Bab
19
ALHAMDULILLAH,
syukur yang tidak terhingga kepada Allah yang Maha Kuasa. Allah yang Maha
Mengasihani, Allah yang Maha Melindungi. Semuanya telah berakhir dengan baik.
Meskipun
mereka tidak sempat menyelamatkan Leen dan Hilal daripada kebuasan Jengkalak.
Juga Aqish…, juga ibu-ibu hamil serta janin-janin yang tidak berdosa yang telah
menjadi habuan kerakusan Jengkalak. Mudahan Allah Subhanahuwata’ala menerima
taubat mereka, mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menempatkan mereka di
kalangan orang beriman. Aamiin… ya Mujib..
Mujurlah pada
masa mereka semua terbaring tidak sedarkan diri ketika Jengkalak berjaya
ditumbangkan, Ida bertindak pantas. Dengan tangan yang menggigil, dan kaki yang
melembut bak jeli, dia cepat-cepat menghubungi Ustaz Rahim. Ustaz Rahim
kemudiannya bergegas ke rumah Leen bersama rakan-rakan segurunya. Mereka yang
menguruskan bangkai Jengkalak dengan pantas, sementara Ustaz Rahim membawa Ida
dan mereka yang lain ke hospital.
Pihak polis
juga telah dihubungi dan dimaklumkan tentang kematian Leen, yang tidak dapat
disangkal keanehannya. Siasatan masih berjalan walaupun anggota yang
menjalankan siasatan juga masing-masing sudah maklum bahawa kematian itu memang
ada kaitan dengan sesuatu yang paranormal.
Jantung Aqasy
secara ‘magisnya’ disahkan sihat seperti asal, seperti langsung tidak pernah mengalami
serangan jantung, meskipun dia disorong ke bahagian kecemasan hospital dalam
keadaan jantungnya begitu lemah dan hampir berhenti berfungsi.
Zafeera pula
mengalami kecederaan yang agak serius pada bahagian bahunya. Tisu otot dan
ligamennya terkoyak dengan agak teruk. Bagaimanapun, rodokan tanduk kepala sisi
Jengkalak tidak melukai sarafnya. Prosedur pembedahan telah dijalankan untuk
menyambung semula otot Zafeera yang terkoyak, dan diyakini bahunya akan dapat
berfungsi seperti sediakala setelah menjalani rawatan pemulihan nanti. Bahagian
ini langsung tidak dirisaukan Zafeera, kerana suaminya sendiri adalah pensyarah
hebat dalam bidang ini.
Manakala
Khaliq pula mengalami kecederaan yang lebih teruk antara mereka bertiga. Tangan
kirinya bersimen, sementara tangan kanannya dipasang backslab. Manakala
kaki kirinya berbalut kerana mengalami koyakan di bahagian kulit. Dua tulang
rusuk sebelah kirinya juga dilaporkan retak. Teruk juga dia diseret dan dipijak
oleh makhluk tak berhati nurani tersebut.
“Assalammualaikum….”
Sapa suatu suara.
Ustaz Rahim menjengulkan
wajahnya di sebalik daun pintu bilik wad. Dia ditemani oleh sahabat segurunya,
Ustaz Aziz yang ikut melangkah masuk dengan senyuman ceria.
“Waalaikummussalam….”
Jawab mereka serentak.
“Apa khabar
kamu semua? Aqasy? Kamu ok?” Tanya Ustaz Rahim, beriak sedikit bimbang.
“Aik… ini tak
adil ni ustaz, ini pilih kasih ni….” Ujar Khaliq mengusik.
“Saya yang
teruk ni ustaz… Aqasy tu doktor cakap dah sihat walafiat, dah boleh main bola
kat padang dah petang ni ustaz.” Sambungnya lagi.
Ustaz Rahim
tergelak kecil.
“Alhamdulillah….
syukur selamat semuanya.” Ujarnya dengan wajah gembira.
“Pasal
makhluk tu, kamu jangan risau, saya dah uruskan dengan sahabat-sahabat saya.
Alhamdulillah, dipermudah, lancar semuanya.” Ustaz Rahim memaklumkan.
Lega mereka
mendengarnya. Mahunya tidak, antara syarat yang dipesan oleh Ustaz Rahim dulu, ketiga
kepalanya dan badannya perlu dipisahkan, dan ditanam secara berasingan dengan
kadar segera. Hero-heronya pula sudah tumbang mencium bumi sebaik berjaya mengalahkan Jengkalak.
Buatnya makhluk itu bangun terpacak semula, tidak ke haru-biru jadinya? Mahunya
cerita ini bersambung 18 bab lagi. Hehe…
“Alhamdulillah…
terima kasih ustaz..” Ujar Aqasy.
Ustaz Rahim
tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
“Sama-sama kita
jadikan semua yang berlaku ni sebagai satu iktibar.” Ujarnya memberi nasihat.
“Ilmu hitam,
ilmu sihir ni dilarang dalam Islam… boleh jatuh syirik sekiranya kita percaya bahawa
jin syaitan ni berkuasa melebihi segala yang telah Allah tetapkan. Begitu juga
apabila kita menyekutukan Allah dengan mengharapkan bantuan daripada kaum jin
syaitan ni, sehingga sanggup menggadaikan agama sendiri, tunduk patuh pada
mereka, bahkan tewas dengan tipu daya mereka. Tak ada untungnya mengamalkan
ilmu-ilmu salah ni.” Jelas Ustaz Rahim dengan panjang lebar.
Mereka yang
lain masing-masing mendengar dengan tekun.
"Dan
demi sesungguhnya, mereka telah mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu
sihir itu, tidaklah ada baginya bahagian yang baik di akhirat."
Surah al
Baqarah, ayat 102.
"Wahai
anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya perbuatan syirik
itu benar-benar suatu kezaliman yang besar."
Surah Luqman,
Ayat 13.
“…dan…
janganlah kita memusnahkan diri kita sendiri dengan menganiaya dan menzalimi
orang lain. Sesungguhnya balasan Allah itu sangat berat.. dan doa orang yang
teraniaya, Allah angkat tanpa hijab…” Pesan Ustaz Rahim lagi.
"Dan
janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada apa yang
dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia hanya menangguhkan
mereka hingga ke hari yang pada waktu itu mata mereka terbeliak (kerana
gerun)."
Surah Ibrahim,
ayat 42.
"Maka
sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya. Dan
sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan
melihatnya."
Surah
al-Zalzalah, ayat 7 dan 8.
Rasulullah
Sallalahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud:
“Takutlah
akan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada penghalang antara
doa itu dengan Allah.”
Riwayat Sahih al-Bukhari,
hadis 2448.
“Jadinya….
Jadi ke majlis kahwin kamu bulan depan ni?” Soal Ustaz Rahim nakal.
“Esyy…
mana boleh tak jadi ustaz… inshaAllah, kita kasi jadi!” Balas Khaliq
laju.
Berhamburan
ketawa mereka semua.
Alhamdulillah
‘ala kulli hal.
TAMAT.

No comments:
Post a Comment