ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
9
“HELLO
Assalammualaikum
anak papa…” Dato’ Harry menjawab panggilan telefon anak gadisnya mesra.
“Waalaikumsalam… papa… papa lambat lagi
ke nak balik?” Kedengaran suara Maira di hujung talian.
“Kenapa…Maira dah rindu sangat pada
papa ye…?” Soal Dato’ Harry kembali, sengaja mengusik anaknya.
“Mestila… papa tak rindu Maira ke..?”
Jawab anaknya dengan nada merajuk.
“Eh…mestilah rindu… papa dah nak balik
ni…sekejap lagi papa sampai. Maira ada nak pesan apa-apa tak? Ke kita keluar
makan kat luar sama-sama dengan mama sekejap lagi?” Soal Dato’ Harry.
“Maira ok je pa, mana-mana pun boleh..yang penting papa balik cepat, tau.”
Rengek anak gadisnya di hujung talian.
“Yelah…yelah..papa balik cepat ni.”
Ujar Dato’ Harry tergelak kecil.
Pak Saad yang memasang telinga di
tempat duduk pemandu turut tersenyum.
“Ok
sayang…Assalammualaikum… I love you…”
Ujar Dato’ Harry menamatkan panggilan.
“Maira ada kat rumah, dato’?” Tegur Pak
Saad.
“Iya…” Jawab Dato’ Harry sambil
tersenyum sendiri.
“Saad…” Dato’ Harry terhenti seketika.
“Kalau apa-apa jadi pada saya…, awak
tolong tengok-tengokkan Maira dan Salimah…ya?” Pintanya.
“Eh…kenapa cakap macam tu dato’?…” Soal
Pak Saad kembali. Pelik dengan permintaannya yang tiba-tiba.
Dato’ Harry hanya tersenyum sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
PAK Saad mematikan enjin. Kereta diparkir
di perkarangan masjid. Lalu dua lelaki turun dan terus menuju ke arah ruang
wudhuk lelaki. Dato’ Harry membetulkan cara membasuh anggota wudhuknya
satu-persatu dengan melihat dan mengikut gerakan Pak Saad. Tubuhnya terasa
segar dan nyaman. Hilang sekejap semua perkara yang sedang berserabut di dalam kepalanya
tadi.
Usai berwudhuk, mereka melangkah masuk
ke dalam masjid. Kosong, hanya ada seorang anak muda yang sedang mengalunkan
bacaan ayat suci al-Quran di penjuru masjid. Dato’ Harry terpempan sebentar
mendengar bacaannya. Sungguh merdu.
Ayat-ayat suci al-Quran itu kedengaran
begitu indah di telinga Dato’ Harry. Suaranya begitu lunak dan menenangkan.
Tercegat dia berdiri berhampiran pemuda itu, sehingga Pak Saad menegurnya untuk
menyertainya bersolat bersama. Lelaki tadi yang menyedari ada jemaah lain yang
mahu menunaikan solat, beransur menamatkan bacaannya.
“Sadaqallahul ‘Azim…” Alun pemuda tersebut lembut.
“Err… Assalammualaikum….” Sempat
Dato’ Harry menegur pemuda itu sebelum membuntuti langkah Pak Saad yang sudah
bergerak ke depan.
“Waalaikumsalam…” Jawab pemuda tersebut
sambil menghulurkan tangan penuh hormat untuk bersalam dengan Dato’ Harry.
Wajahnya dihiaskan dengan senyuman
manis. Riaknya sangat menyenangkan hati orang.
“Err… anak ni selalu ke masjid
ni? Rumah dekat-dekat sini ke?” Soal Dato’ Harry sambil menyambut salam yang
dihulurkan.
“Err.. iya, selalu juga…rumah
saya dekat taman sebelah ni je..” Jawab pemuda tersebut sopan.
Dato’ Harry mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Allah…alangkah bahagianya kalau Maira
dapat bersuamikan seseorang macam budak muda ni...” Detik hati kecilnya.
Lalu dia menghadiahkan sebuah senyuman
sebelum bergegas menyertai Pak Saad yang sudah bersedia untuk memulakan solat.
Manakala lelaki itu pula mengatur langkah menuju ke pintu keluar.
“Aamiin….” Dato’ Harry mengaminkan
bacaan doa Pak Saad.
“Awak pergilah tunggu dalam kereta dulu
ya, Saad. Sekejap lagi saya datang.” Pinta Dato’ Harry.
Masih ada yang ingin dia bicarakan
dengan Penciptanya, sendirian. Pak Saad hanya tersenyum sambil menganggukkan
kepalanya.
Dato’ Harry yang masih duduk di sejadah
kembali menadahkan tangannya. Otaknya ligat menyusun kata-kata untuk diluahkan
pada Tuhannya. Serentak itu pula, hatinya dihimpit sebak. Perit mengenangkan
kekhilafan diri.
Air mata mengalir lesu di wajahnya.
Semakin lama semakin deras. Sedang mulutnya masih terkunci dari menuturkan
sebarang kata. Sudahnya, dia hanya menyampaikan doanya kepada Yang Maha
Mengetahui melalui tangisan yang tersedu-sedu.
PAK Saad yang masih menunggu di dalam
kereta mulai berasa sedikit gelisah. Lama pula rasanya majikannya berada di
dalam masjid. Jam yang tertera di kereta dijeling. Belum pun sampai 20 minit
sejak dia masuk menunggu di dalam kereta. Entah kenapa, dia rasa tidak sedap
hati sejak seorang lelaki bermotosikal masuk ke dalam masjid tersebut. Topi keledar
yang dipakainya juga tidak ditanggalkan.
Pak Saad mengerling ke sekeliling.
Hanya ada anak muda yang mengaji di dalam masjid tadi sedang bercakap telefon
di dalam keretanya yang diparkir berdekatan dengan kereta Dato’ Harry. Selepas
berkira-kira sendiri, Pak Saad mematikan enjin kereta dan mengatur langkah
masuk semula ke dalam masjid untuk mendapatkan majikannya.
Terbuntang biji mata Pak Saad apabila
melihat pemuda bertopi keledar tadi sedang mengheret Dato’ Harry yang sudah
menggelepar di lantai, keluar melalui pintu sisi masjid yang menghala ke
kawasan belukar di tepi masjid. Darah sudah penuh mengotori karpet masjid.
“Allahu Akbar!!” Teriak Pak Saad sambil
menerpa ke arah mereka.
Tempikan Pak Saad mengejutkan lelaki
itu. Spontan dilepaskan tubuh Dato’ Harry lalu berlari keluar. Kelam kabut Pak
Saad mendapatkan Dato’ Harry yang sudah tercungap-cungap cuba bernafas. Darah
merah pekat berhamburan keluar dari kesan torehan di lehernya. Pak Saad
memangku kepalanya dengan panik.
Sementara itu, lelaki bertopi keledar
yang tergesa-gesa berlari keluar tadi hampir saja berlanggar dengan kereta
pemuda di sebelah kereta Dato’ Harry tadi. Dia baru saja hendak bergerak keluar
dari perkarangan masjid setelah selesai berbual di telefon. Tersentak dia
apabila bonet depan keretanya ditepuk kuat oleh seorang lelaki bertopi keledar
yang berlari laju tanpa melihat kiri dan kanan.
Terkocoh-kocoh pemuda itu keluar
selepas memberhentikan kereta. Tetapi lelaki bertopi keledar tersebut sudah
terlebih dahulu memecut keluar dari perkarangan masjid dengan motosikal
miliknya. Terpinga-pinga dia melihat situasi tersebut. Tambah mengejutkan
apabila dilihat kesan tapak tangan yang penuh darah meleleh di bonet depan
keretanya.
Serentak itu juga terdengar laungan
meminta tolong dari dalam masjid. Tanpa berfikir panjang, dia terus menerpa
masuk semula ke dalam masjid.
“Ya Allah…apa yang jadi ni pakcik?!”
Soalnya cemas.
Segera dia mengambil kain yang ada di
sudut masjid lalu menekupkannya di bahagian luka di leher Dato’ Harry.
“Pakcik tekan ni kuat-kuat.” Arahnya
pada Pak Saad.
Segera dikeluarkan telefon di dalam
poket dan menghubungi ambulans.
“Saya rasa tak boleh tunggu ni pakcik,
kita angkat dia ke kereta.” Arahnya pula setelah berfikir sebentar.
Lalu dia dan Pak Saad sama-sama
mengusung Dato’ Harry ke keretanya. Pak Saad diarahkan duduk di belakang sambil
menekan luka di leher Dato’ Harry. Manakala pemuda tersebut pantas menekan
minyak menuju ke hospital yang terdekat.
“Lailahaillallah…..
Lailahaillallah….” Bisik Pak Saad berulang kali ke telinga Dato’ Harry
apabila dilihatnya majikan itu sudah terbeliak-beliak ke atas.
Menggigil-gigil bibir Pak Saad
membisikkan kalimat suci itu ke telinganya. Kelihatan bibir Dato’ Harry
bergerak-gerak, mungkin cuba mengikut bisikan Pak Saad. Tubuhnya
terenjat-renjat dengan darah yang membuak-buak keluar dari lehernya. Seketika
kemudian tubuh itu terkulai layu. Diam kaku tidak bergerak.
“Ya Allah….dato’…” Pak Saad bersuara
keras menahan sedih.
Kereta diberhentikan betul-betul di
hadapan unit kecemasan, lalu pemuda tersebut berlari mendapatkan bantuan
kakitangan hospital. Usungan dibawa dan Dato’ Harry disorong ke dalam dengan
pantas.
“TERIMA
kasih Mus…kamu dah banyak tolong Pak Saad…” Ujar Pak Saad ketika mereka sedang
duduk di ruang legar hospital.
Dato’ Harry, atau nama sebenarnya Dato’
Harun, disahkan telah pun meninggal dunia apabila tiba di hospital akibat
kehilangan terlalu banyak darah. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh doktor dan
pihak hospital untuk menyelamatkannya. Laporan polis telah dibuat kerana kes
kematian yang agak mencurigakan. Pak Saad dan Mus masing-masing telah memberi
keterangan berkenaan kejadian tersebut.
Pelaku yang telah mencederakan hingga
mengakibatkan kematian Dato’ Harry sedang diburu oleh pihak polis. Mereka
mengesyaki lelaki itu adalah orang yang sama yang telah membunuh pembantu rumah
Dato’ Harry. Kes sedang disiasat dengan lebih lanjut. Mayat Dato’ Harry juga
sedang dibedah siasat, sebelum dibenarkan dibawa pulang oleh ahli keluarganya
untuk urusan pengebumian.
Sejak tadi, pemuda yang membawa Dato’
Harry dan Pak Saad ke hospital itulah yang membantu Pak Saad menguruskan semua
perkara. Setia dia di situ dengan kesan darah yang masih penuh di bajunya
sendiri. Sewaktu sedang duduk menunggu mayat dibedah siasat barulah mereka
berpeluang berbual. Dia mengenalkan dirinya sebagai Mus, kepada Pak Saad.
Pak Saad masih memikirkan ayat yang
sesuai untuk menyampaikan berita tersebut kepada Datin Sally dan Maira. Telefon
bimbitnya ditekan lemah, lalu diletakkan di telinga.
“Hello…Assalammualaikum…datin…” Sapanya
apabila panggilannya dijawab.
“Waalaikumsalam...Saad kat mana
sekarang? Kenapa belum balik lagi?” Soal Datin Sally.
“Err…saya..sekarang kat hospital
datin…” Jawabnya dengan rasa serba salah.
“Hah? Hospital? Kenapa? Kamu sakit ke
Saad? Dato’ mana?” Soal Datin Sally bertalu-talu.
Suaranya jelas menunjukkan yang dia
sedang cemas. Mungkin juga sudah meneka-neka perkara-perkara yang buruk.
“Datin… Dato’….” Pak Saad terdiam
sebentar.
Datin Sally masih menunggu dengan penuh
debaran di hujung talian.
“Dato’…dah meninggal dunia datin… dia
diserang oleh seorang lelaki sewaktu kami singgah bersolat di masjid. Pihak
polis sedang menjalankan siasatan. Sekarang..,mayat dato’ sedang dibedah
siasat… Lepas selesai semuanya nanti baru jenazah boleh dibawa pulang untuk
urusan pengebumian…” Laju Pak Saad menceritakan semuanya dalam senafas.
Kedengaran bunyi berdentum di hujung
talian, kemudian dengar pula suara jeritan Maira memanggil mamanya. Sejurus
selepas itu talian terputus. Pak Saad sudah mula risau. Dicubanya membuat
panggilan sekali lagi, tetapi tidak dapat disambung.
“Pak Saad kena balik sekarang. Mungkin isteri
dato’ terlalu terkejut dengar berita ni.” Pak Saad mula menggelabah.
Rasa bersalah menikam hatinya kerana
menghamburkan berita tersebut begitu. Tetapi dia pun sudah mati akal, tidak
tahu bagaimana lagi cara hendak menyampaikan berita buruk tersebut.
“Sabar Pak Saad, tenang. Jom saya
hantarkan Pak Saad. Nanti kita datang semula ke hospital untuk ambil jenazah.”
Ujar Mus cuba menenangkan Pak Saad.
Mus bergegas mendapatkan kakitangan
hospital untuk memaklumkan sesuatu sebelum kembali dan memimpin Pak Saad ke
kereta. Baju Pak Saad juga berlumuran dengan darah Dato’ Harry. Kereta Mus
meluncur laju meninggalkan perkarangan hospital menuju ke rumah besar Dato’
Harry.
“Assalammualaikum…!
Datin…!” Panggil Pak Saad dari luar pintu rumah.
Maira yang masih cuba membangunkan
mamanya yang jatuh pengsan selepas mendapat panggilan telefon sebentar tadi
pantas berlari membuka pintu.
“Pak Saad! Tolong Maira..! Mama
pengsan!” Jeritnya dengan air mata yang berjurai di pipi.
Pak Saad bergegas masuk ke dalam rumah
dengan diekori oleh Mus. Dari awal lagi Mus sudah tersentak melihat Maira. Cuma
Maira saja yang tidak perasankan dirinya dalam keadaan kelam kabut itu.
Kelihatan Datin Sally sudah terbaring di lantai di tepi tangga. Telefonnya pula
terpelanting ke tepi dinding dengan baterinya terkeluar. Padanlah panggilan Pak
Saad tidak dapat disambungkan semula sebentar tadi.
“Allahu Akbar…datin…!” Panggil Pak Saad
kuat, dengan harapan suaranya dapat mengejutkan majikannya.
Tetapi masih tiada reaksi. Maira sudah
teresak-esak sambil memangku kepala ibunya. Mus memandang keliling. Dicapainya
sebiji bantal hiasan kecil di atas sofa. Lalu disuakan ke bawah kepala Datin
Sally, menggantikan tangan Maira.
“Ara tolong ambilkan air segelas.”
Pintanya pada gadis itu.
Maira yang baru perasan kehadiran Mus
di hadapannya terkebil-kebil memandang lelaki itu. Ari membalas pandangannya.
“Kita cuba guna air untuk sedarkan
datin.” Ujarnya lagi apabila dilihat Maira masih terkebil-kebil memandangnya.
Maira tersentak dan
mengangguk-anggukkan kepalanya lalu bingkas ke dapur mengambil air. Segelas air
dihulurkan kepada Mus. Pak Saad pula membantu mengipas-ngipaskan Datin Sally
dengan majalah nipis yang diambilnya dari atas meja kopi di situ. Mus menyambut
huluran Maira.
Kemudian dibacakan surah al Fatihah
sebanyak 3 kali beserta selawat lalu direnjiskan air tersebut ke muka Datin
Sally sedikit demi sedikit. Maira menepuk-nepuk perlahan pipi mamanya sambil
memanggil-manggilnya. Dengan izin Allah, perlahan-lahan Datin Sally membuka
mata. Terpinga-pinga dia cuba memahami apa yang sedang berlaku. Mus mengarahkan
Maira memimpin mamanya duduk di sofa.
Baki air di gelas tadi lalu dihulurkan kepada Datin Sally.
“Datin minum ni sikit…mungkin datin
terlalu terkejut.” Ujarnya sambil menghulurkan gelas tersebut.
Maira menyambut gelas tersebut dan
mendorongnya ke bibir Datin Sally, membantunya minum. Seketika kemudian, mata
Datin Sally mula berkaca. Mungkin sudah teringat kembali apa yang baru berlaku.
“Betul ke…dato’… Saad…?” Soalnya
terputus-putus.
Pak Saad menunduk ke bawah dan
mengangguk perlahan. Pecah tangisan Datin Sally ketika itu. Baru pagi tadi dia
bermesra dengan suaminya. Tiba-tiba sekarang dia sudah pergi jauh
meninggalkannya. Pergi yang tak akan kembali lagi. Dia belum puas hidup bersama
pasangannya itu.
Masih ada yang ingin dibicarakan pada
suaminya itu. Masih berbaki kata maaf yang belum terungkap. Masih banyak
perkara yang belum mereka lakukan bersama. Pernikahan puteri mereka juga belum
sempat dilangsungkan. Dia masih perlukan suaminya. Kenapa sepantas ini dia
pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan?
Bertalu-talu persoalan demi persoalan
menyerang benaknya. Wajah suaminya yang tadi pagi tersenyum mesra padanya silih
berganti terlayar di ruang penglihatannya. Semua itu memaksa air matanya keluar
dengan semakin deras.
Maira juga turut mengalirkan air mata.
Rasa lega apabila mamanya sedar tadi, sudah berganti dengan rasa takut untuk
mendengar berita yang bakal disampaikan. Digagahkan mulutnya bertanya.
“Kenapa…dengan papa….?” Soalnya
tersekat-sekat.
Soalannya membuatkan Datin Sally
semakin hiba. Pak Saad berulang-kali meraup wajahnya yang sudah kembali basah
dengan air mata.
“Kenapa dengan papa…Pak Saad…” Maira
rasa sudah seperti mahu pitam.
Baru dia perasaan baju lelaki tua itu
dan juga Mus berlumuran dengan bekas darah. Mus sendiri tidak dapat menahan air
mata melihat keadaan Maira. Rasa simpati bagaikan runtuh bertimpa-timpa di
dalam hatinya untuk gadis itu.
“Papa Maira…dah meninggal dunia
sayang…” Ujar Pak Saad perlahan.
Kata-kata sayu Pak Saad itu kedengaran
bagai guruh yang menampar kuat telinga Maira. Dadanya tajam menyucuk sakit,
bagai dipanah petir. Pandangannya mula berpinar, bumi terasa bagai
berpusing-pusing. Datin Sally segera meraihnya dalam dakapannya. Dipeluknya
anak gadisnya erat.
“Papa dah tinggalkan kita sayang…. Papa
tinggalkan kita…” Rintihnya sambil mendakap Maira.
Maira yang tadinya diam, mula mengeluarkan
suara tangisan, persis seorang anak kecil yang sedang menghadapi sakitnya
sebuah kehilangan. Laju air mata Pak Saad dan Mus gugur mendengarkan
tangisannya. Tangisan anak kecil yang tidak pernah mengenal ibu dan bapa
kandung sendiri. Dan kini dia terpaksa berdepan dengan kematian seorang lelaki
yang dikasihinya sepenuh hati sebagai seorang ayah.
MAIRA sudah terlentuk di bahu mamanya. Letih
menangisi permergian sang ayah semahunya. Datin Sally juga kelihatan tidak
bermaya.
“Err… pihak hospital maklumkan yang jenazah
sudah boleh dibawa pulang. Jenazah sudah siap dimandi dan dikafankan. Mereka
sudah mengaturkan van jenazah..” Ujar Mus perlahan setelah mematikan panggilan
telefon yang baru diterimanya.
Pak Saad mengangguk-anggukkan
kepalanya. Dialihkan pandangan kepada dua orang wanita yang tersandar lesu di
sofa.
“Emm.. Pak Saad akan hubungi
keluarga terdekat dato’… err..ayah Rania.. untuk maklumkan tentang
perkara ni. Lepas tu Pak Saad minta Mus tolong Pak Saad ya, uruskan dengan
pihak surau tentang pengebumian…” Ujar Pak Saad.
Mus mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Maaflah…masih belum habis lagi Pak
Saad susahkan Mus…” Ujarnya perlahan.
“Saya langsung tak rasa susah Pak
Saad…lagipun…kebetulan.. Maira ni sahabat baik saya dari kecil…” Terang Mus,
cuba mengurangkan rasa bersalah Pak Saad.
Pak Saad mengangkat keningnya.
“Allahu Akbar… begitu aturan pertemuan
yang Allah tetapkan.” Bisik hatinya sendiri, mensyukuri kehadiran pemuda itu di
saat-saat keluarga ini menghadapi kesulitan seperti ini.
Datin Sally mula memanggungkan
kepalanya memandang Mus.
“Kawan baik Maira dari Rumah Anak Yatim
Basyirah…?” Soalnya dengan suara yang masih serak.
Mus mengangguk-anggukkan kepalanya.
Datin Sally tersenyum dalam saki baki air mata yang sudah kering di pipi.
Diusap-usap kepala anaknya yang masih tersandar letih di bahunya.
“Terima kasih nak…tolong kami…” Ujarnya
lagi.
Mus membalasnya dengan senyuman manis.
“Marilah..bersihkan diri dulu. Kamu
boleh pakai baju Pak Saad dulu.” Ajak Pak Saad.
Mus bangun mengekori langkah Pak Saad,
ke rumah kecilnya yang masih terletak di dalam perkarangan rumah besar Dato’
Harry.
“Pak Saad tinggal seorang sahaja di
rumah ni…isteri Pak Saad dah lama meninggal dunia. Anak kembar Pak Saad
sekarang sedang belajar di luar negara. Dihantar dan dibiaya oleh dato’ dan
datin…” Terangnya serba ringkas.
“Dulu..Suri, pembantu rumah dato’ dan
datin tinggal bersama di rumah besar ni…sebelum dia…” Kata-kata Pak Saad
terhenti.
“Kenapa pihak polis syak yang dia mati
dibunuh, Pak Saad?” Soal Mus, masih kurang jelas akan kisah sebenar kes
pembunuhan Dato’ Harry dan pembantu rumahnya.
Dia hanya mengetahui serba sedikit
tentang kaitan kedua kes tersebut berdasarkan penerangan ringkas pihak polis
sebentar tadi.
“Katanya…mayat Suri ditemui dalam
keadaan mengerikan di dalam semak berdekatan dengan pasaraya berhampiran dengan
rumah dato’…” Cerita Pak Saad.
“Jari-jarinya, lidah, hidung,
telinganya semuanya dipotong.” Tambahnya lagi.
Ternganga Mus mendengarnya. Ini kes
pembunuhan kejam. Selalunya perkara begini hanya didengar dari jauh atau
ditonton dalam filem-filem yang ditayangkan di kaca televisyen sahaja. Tidak
pernah dia atau orang yang dia kenal melalui pengalaman dahsyat seperti ini.
“Rasanya…kalau Pak Saad terlewat
sedikit lagi mendapatkan dato’ di masjid tadi, mungkin mayatnya akan
diperlakukan dengan cara yang sama.” Pak Saad bersuara lagi, teringat situasi
di mana lelaki bertopi keledar itu dilihatnya sedang mengheret tubuh dato’ yang
menggelepar di lantai menuju ke arah semak di tepi masjid.
“Gila…” Terlepas perkataan itu dari
mulut Mus.
Sungguh dia tidak dapat berfikir dengan
akal logik, akan perbuatan kejam pembunuh tersebut. Fahamlah dia kenapa pihak
polis mengesyaki pembunuh kedua mangsa tersebut adalah orang yang sama. Berani
betul penjahat itu. Kes pembunuhan Suri masih lagi rancak dalam siasatan, dia
sudah melancarkan serangan kedua.
Entah dendam apa yang dipendamnya pada
keluarga malang itu. Ataupun dia sememangnya hanya seorang psikopat yang
menikmati perlakuan kejam seperti itu. Tetapi kenapa keluarga Dato’ Harry yang
menjadi sasarannya? Mus mula merisaukan keselamatan Maira. Sudahlah masalah
gangguan yang dialami gadis itu belum selesai, sekarang ditambah pula dengan
ancaman dari pembunuh gila yang mensasarkan keluarganya.
Mus meraup wajahnya. Bertalu-talu ujian
hidup menimpa gadis kesayangannya itu. Mudahan Tuhan membantunya.

No comments:
Post a Comment