Tuesday, April 30, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 17)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 17

HELLO Assalammualaikum…” Kedengaran suara lembut Mus menyapa di hujung talian.

“Waalaikumsalam…” Sahut Maira lemah.

“Ara dah bangun?” Soal Mus mesra.

“Dah..dah bangun dah..” Jawab Maira.

“Dah solat?” Soal Mus lagi.

“Dah…” Jawab Maira dengan suara tangisan yang masih berbaki. Air matanya dikesat kering, cuba menumpukan perhatian kepada perbualannya dengan Mus.

“Ara ok tak ni… Ara menangis lagi ea…” Teka Mus.

Err macam mana Ari…ada apa-apa berita?” Soal Maira, mengalih topik.

Emm…itulah Ari call ni… proses bedah siasat dah selesai…kita dah boleh bawa balik kedua-dua jenazah pagi ni..err..Ara dah tahu kan..tentang Rania…” Mus mula menyampaikan maklumat.

Emm..Ara tahu semalam… Uncle Razman call Hanim…phone Ara mati, habis bateri..” Jelas Maira jujur.

Emm.. laporan hasil bedah siasat menyatakan…ada kemungkinan Rania bukan mati bunuh diri…sebab ada kesan kecederaan di bahagian perut dan kaki dia, seolah-ada ada berlaku pergelutan… punca kematian pula disyaki lebih kepada kerana dicekik dengan tangan, bukannya dijerut dengan kain yang ditemui menggantung mayat… jadi pihak polis tak menolak kemungkinan yang Rania mungkin telah dibunuh oleh orang yang sama yang telah membunuh Dato’, datin, dan pembantu rumah Ara…” Jelas Mus secara terperinci.

“Allah…” Maira kembali sebak.

“Ara…sabar dulu ya…masih ada yang Ari perlu sampaikan… berkenaan Pak Saad…” Ujar Mus lembut.

“Pak Saad macam mana? Ari…bukan Pak Saad yang buat, Ari…bukan dia…lagipun, Rania ada hantar voice message pada Ara sebelum dia meninggal. Pagi ni baru Ara dengar… Rania cakap, ada lelaki yang ugut dia supaya fitnah Pak Saad.” Ujar Maira dengan suara yang serak.

“Ada orang ugut dia?” Soal Mus dengan nada terperanjat.

Ha’ah..ada lelaki ugut dia..lelaki tu cakap kalau dia tak buat macam tu, lelaki itu akan tuduh dia yang bunuh.. Ara pun tak pasti sangat cerita sebenar. Tapi, melalui apa yang Rania cakap, lelaki tu kenal dia, kenal Ara, kenal family kitorang…” Jelas Maira bersungguh-sungguh.

“Nanti Ara forwardkan mesej tu pada Ari.” Sambungnya lagi.

Hmm..ok Ara forwardkan…nanti Ari akan maklumkan pada pihak polis. Mungkin mesej tu boleh membantu siasatan.” Ujar Mus.

“Tentang Pak Saad, Ara jangan risau… Pak Saad ada dengan Ari ni.. Pak Saad dah dibebaskan dari tahanan, cuma diminta berada dalam kawasan yang boleh dihubungi. Hasil bedah siasat menunjukkan yang Datin Salimah telah meninggal lebih awal, akibat dicekik. Bukan kerana luka tikaman. Tenaga yang digunakan untuk mencekik pun dianggarkan dari seorang lelaki muda, bukan seseorang yang seusia Pak Saad…” Terang Mus.

“dan..Alhamdulillah sangat…waktu kejadian tu, kebetulan Pak Saad sebenarnya tengah video call dengan anak kembar dia. Anak kembar Pak Saad, dengan 2 orang lagi rakan sebilik mereka secara tak langsung menjadi saksi, yang Pak Saad masuk ke rumah datin dan menjumpai datin dalam keadaan sudah terbaring berlumuran darah, dengan pisau terpacak di tubuhnya. Pak Saad terkejut dan spontan mencabut pisau tu, tanpa fikir panjang. Tetapi semuanya dapat dilihat melalui panggilan video yang belum dimatikan, dan telefon Pak Saad yang tercampak dalam keadaan huru-hara tu, berdekatan tempat kejadian.” Sambungnya lagi.

“Ya Allah…Alhamdulillah… Alhamdulillah…” Berulang kali Maira memanjatkan kesyukuran.

“Pagi ni…Ari dan Pak Saad akan bawa jenazah datin, dan Rania, pulang ke rumah orang tua Rania..err..Hadif akan jemput Ara di rumah sewa Ara, nanti kan?” Soal Mus untuk kepastian.

Maira mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Ha’ah…” Jawabnya pendek.

Ok…Ara rehat dulu sekejap lagi, makan dulu..nanti Ari jumpa Ara kat sana, ea?” Ujar Mus.

Ok…Ari..tunggu Ara ya..” Pinta Maira penuh harapan.

Ye..Ara…Ari tak kan tinggalkan Ara…Ari ada dengan Ara.” Jawab Mus bersungguh-sungguh.

“Terima kasih Ari…Assalamualaikum..’ Ujar Maira sebelum menamatkan panggilan.

Nafasnya dihela. Sekurang-kurangnya Pak Saad sudah dibebaskan. Memang dia sendiri tidak percaya langsung sewaktu Rania mula-mula menuduh Pak Saad lagi. Semasa Pak Saad ditahan juga dia yakin, pasti ada sesuatu yang berlaku. Syukurlah, semuanya sudah jelas.

Semoga pihak polis dapat menjejaki penjenayah kejam itu dengan pantas, sebelum orang lain pula yang menjadi korban. Sudah terlalu banyak kehilangan yang dialami Maira. Orang-orang tersayangnya. Kolam matanya bergenang lagi.

 

BEBERAPA jam kemudian Hadif tiba di rumah sewa Maira, untuk menjemputnya ke rumah orang tua Rania. Hanim dan Hani juga ikut bersama. Mujur juga hari itu hari minggu dan mereka berdua cuti.

Uncle Hariz macam mana?” Bual Maira di dalam kereta.

Daddy dah ok…semalam dia tiba-tiba sakit dada. Sekarang mummy teman dia rehat kat rumah. Ada nurse sekali untuk pantau kesihatan dia.” Lapor Hadif.

“Alhamdulillah…” Ujar Maira.

“Maira jangan risau.. I akan tolong apa yang patut, ok?” Balas Hadif.

“Terima kasih…tapi Maira ok..kalau Uncle Hariz perlukan awak, tak apa je awak nak balik…” Beritahu Maira jujur.

Takpe..daddy dah tak rasa sakit lagi pagi ni. Kalau ada apa-apa nanti mummy akan call. Biasalah daddy tu. Letih dan stress dengan kerjalah tu. Makan pun tak jaga sangat…” Bebel Hadif, cuba menyembunyikan kerisauannya.

Ayahnya baru sakit sedikit sahaja pun dia sudah susah hati. Entah apalah perasaan Maira sekarang, yang sudah kehilangan mama dan papanya dalam tempoh yang singkat. Membuak-buak rasa simpati Hadif pada gadis kesayangannya.

Err.. Hadif dah tahu pasal Rania?” Soal Maira.

Hadif hanya menganggukkan kepalanya. Memang dia sudah berhubung dengan Mus. Mus yang memaklumkan semuanya pada dia, dan memintanya mengambil Maira untuk urusan pengebumian kedua-dua jenazah. Perkara lain, semuanya Mus yang uruskan.

Maira turut mendiamkan diri. Masih terngiang di telinganya pengakuan Rania yang menyatakan cintanya pada Hadif, sehingga sanggup menyihir Maira. Maira kenal Rania. Bukan mudah untuk dia suka pada lelaki. Jadi bila dia mengaku begitu, Maira tahu, memang cinta Rania benar-benar dalam pada Hadif. Mungkin di situlah dia hilang pertimbangan, sehingga tergamak melakukan perbuatan syirik.

Tetapi, sekarang ini, Maira langsung tidak berasa marah pada apa yang telah Rania lakukan padanya. Bahkan, dia sudah hampir tidak ingat, kejadian-kejadian menyeramkan yang sering menghantuinya sebelum ini. Yang dia rasakan sekarang ini, cuma kesedihan yang dalam, kerana kehilangan seorang sepupu dan sahabat karib.

Baru sahaja dia bertemu dengan Rania dalam keadaan baik dan sihat. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dan Maira juga rasa bersalah pada Rania, kerana bertunang dengan Hadif. Pastinya Rania berasa begitu menderita selama ini.

 

RANIA….” Maira tidak dapat menahan perasaan ketika diminta mencium jenazah buat kali terakhir.

Hiba hatinya melihat tubuh kaku gadis itu terbaring di situ. Sungguh, ajal kematian itu rahsia Allah. Tiada siapa yang tahu, bila saatnya kematian akan datang menjemput. Tiada siapa yang tahu, sampai bila nyawa ini Allah pinjamkan.

Akan tetapi, manusia masih sahaja lalai dan leka dengan  tipu daya dunia. Seolah-olah kematian tidak akan kunjung tiba. Kehilangan demi kehilangan yang tidak diduga ini membuatkan Maira semakin menginsafi akan dekatnya kematian.

“Rania…aku maafkan kau… aku sayangkan kau Rania…” Bisiknya perlahan di tepi telinga Rania.

Bersungguh dia menyeka air mata yang tidak mahu berhenti mengalir, sebelum mengucup dahi sepupunya itu dengan penuh kasih. Hanim dan Hani masing-masing turut mengambil giliran untuk perjumpaan terakhir itu. Sehingga bertemu lagi di negara abadi, wahai sahabat.

Kemudian Maira beralih pula pada jenazah mamanya yang dibaringkan di sisi Rania. Air matanya semakin laju.

“Ya Allah…aku belum puas menikmati kasih sayang seorang ibu. Tetapi aku redha dengan pemergian ibuku wahai Tuhan… Kau ampunilah segala dosanya dengan RahmatMu wahai Yang Maha Pengampun…, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku sejak aku masih kecil… Seseungguhnya Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…Aamiin Ya Rabb…” Merintih hati Maira memanjatkan sebuah doa dan pengharapan kepada Tuhannya, di samping jasad ibunya.

Hanya Dia Yang Maha Mengetahui, betapa beratnya hati hambaNya ini, untuk mengikhlaskan sebuah perpisahan. Segalanya dilakukan, hanya kerana Allah.

Tubuh mamanya didakap erat, bagai tidak mahu dilepaskan. Sehingga terasa bahunya diusap perlahan oleh ibu saudaranya, Datin Shiela, ibu Rania. Barulah dia melonggarkan pelukannya. Dikucup pula dahi mamanya penuh cinta.

“Terima kasih mama…sebab jadi mama Maira… Maira sayang mama sangat-sangat… Maira sayang mama dan papa sangat-sangat…” Rintihnya sayu.

Kemudian dia berpusing dan merangkul tubuh Hanim. Terhinggut-hinggut tubuhnya menahan tangisan. Hadirin yang ada di situ turut terkesan melihatnya. Mus sendiri sudah bangun melangkah keluar dari rumah itu. Bersandar di dinding mengalirkan air mata sendirian. Pedih dan pilu melihat keadaan Maira.

“Tuhan…, Kau kuatlah hatinya untuk menempuh dugaan ni Ya Allah…sesungguhnya, tiada daya dan kekuatan melainkan Engkau Ya Allah….” Bisiknya menyampaikan permintaan hati kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Tiada tempat pergantungan kami, hamba-hambaMu yang lemah ini, melainkan hanya kepada Engkau Ya Allah…

 

AIR mata Maira langsung tidak berhenti mengalir sepanjang urusan pengebumian Datin Salimah dan Rania. Sehinggalah mereka pulang semula ke rumah Dato’ Razman dan Datin Shiela, yang juga kehilangan satu-satunya anak perempuan mereka, Rania Ruhilla.

Puas Hanim dan Hani memujuk Maira untuk menjamah sedikit makanan, tetapi gadis itu hanya menggeleng lemah. Wajahnya kelihatan begitu pucat, dengan bibirnya kering merekah. Bukan sengaja dia mahu memprotes atau menyiksa diri, tetapi dia benar-benar tidak mampu hatta untuk mengesip walau seteguk air ketika itu. Dia hanya bermenung melihat ke depan dengan pandangan yang kosong.

“Ari mana…?” Soal Maira perlahan.

“Dia ada…tengah uruskan makan minum orang masjid. Kau nak aku panggilkan dia?” Soal Hani.

Takpelah… aku nak pergi tandas kejap.” Jawab Maira. Perutnya terasa sebu dan mual.

“Jom, aku temankan kau.” Sampuk Hanim pula.

Maira bingkas bangun bersama Hanim. Tetapi tiba-tiba dia terasa pening memusing. Tangannya memaut Hanim. Pandangannya berpinar-pinar sebelum bertukar kelam. Maira pengsan tidak sedarkan diri.

Kecoh seketika orang ramai yang ada di situ. Kelam kabut Datin Shiela memanggil Dato’ Razman. Hadif yang berada berdekatan menerpa ke arah Maira. Mus dan Pak Saad yang sedang melayan tetamu di luar pula terpinga-pinga mendengar kekecohan di dalam.

Takpe, takpe, kitorang papah dia ke bilik dulu.” Ujar Hanim yang sudah memaut tubuh Maira bersama adiknya Hani.

Datin Shiela turut membantu mereka membawa Maira ke bilik yang berdekatan. Hadif dan Dato’ Razman sibuk mengalihkan barang-barang yang menghalang laluan dan meminta mereka yang lain ke tepi. Maira dibaringkan di katil bilik tetamu di situ.

Dato’ Razman mengajak Hadif keluar dan menghubungi doktor. Manakala Hanim dan Hani membukakan tudung yang membalut kepala Maira serta melonggarkan pakaiannya supaya dia lebih selesa. Datin Shiela pula bergegas mendapatkan air untuk anak saudaranya.

 

MAIRA membuka matanya perlahan. Pandangan pertamanya adalah kipas yang berputar laju di siling. Tangannya yang terasa sedikit sakit diangkat ke atas. Ada tiub yang dicucuk masuk ke tangannya, mengalirkan air dari botol yang tergantung di sebatang besi di tepi katil.

“Maira, kau dah sedar?” Soal Hani yang baru perasan rakannya sudah bangun.

Hanim yang berada di hujung katil mendekati Maira.

“Kau ok tak ni?” Soal Hanim.

“Apa yang jadi….?” Soal Maira bingung.

“Kau pengsan tadi. Doktor dah datang periksa kau, dia cakap kau cuma terlalu letih dan sedih je, dan kau kekurangan tenaga. Dia nasihat suruh biarkan kau berehat dan pasangkan drip untuk kau.” Jelas Hani.

Maira memegang kepalanya yang terasa berat.

“Kau tidurlah dulu sekejap lagi..rehat…” Ujar Hanim pula.

“Pukul berapa dah ni? Aku belum solat lagi…” Ujar Maira lemah.

“Masih dalam waktu Zohor lagi, kau tidur dulu sekejap lagi. Aku dengan Hani pun baru nak solat ni. Nanti dah siap, kitorang kejutkan kau.” Jawab Hanim.

Maira kembali memejamkan matanya, cuba merehatkan kepalanya yang terasa berat.

 

BEBERAPA hari sudah berlalu sejak kematian Datin Salimah dan Rania. Hari ini, Maira akan kembali bertugas setelah lama bercuti. Sejak dia pulang dari Seoul, Korea tempoh hari, dia belum masuk bekerja lagi. Bermula dari cuti rehat tahunan yang diambilnya, kemudian cuti yang diperuntukkan untuk kematian ahli keluarga sewaktu papanya meninggal.

Selepas itu disambung pula dengan cuti sakit yang diperolehi dari doktor sewaktu kakinya sakit tidak boleh berjalan. Akhir sekali, cuti kematian sempena pemergian arwah mama tersayang. Semuanya berlaku dengan begitu pantas dalam tempoh waktu yang singkat. Mujur juga pihak atasan Maira cakna dan sangat mengambil berat akan kemelut yang sedang dihadapi olehnya.

Pihak polis masih lagi giat memburu saspek yang disyaki bertanggungjawab atas pembunuhan keluarganya. Penjenayah licik itu masih belum dapat dijejaki. Justeru itu, pihak polis menasihatkan agar Maira tidak tinggal sendirian di rumah orang tuanya. Mereka juga berpesan agar Maira dan orang-orang sekelilingnya sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling serta tidak ke mana-mana secara bersendirian.

 

HON yang dibunyikan mengejutkan Maira, Hanim dan Hani yang sedang bersiap untuk ke tempat kerja. Kelihatan Hadif sedang turun dari kereta yang diparkir di luar pagar rumah sewa gadis-gadis itu. Puas Maira memberitahunya yang dia boleh pergi dan pulang kerja bersama dengan Hanim dan Hani, tetapi tetap juga tunangnya itu mahu menjemput dan menghantarnya ke hospital. Risau dia dengan keselamatan Maira.

“Hadif dah sampai, jomlah kita pergi sekali.” Ajak maira.

Err..takpelah…kau gerak dulu. Nanti kitorang follow belakang. Tu ha, makcik sorang tu belum siap make up lagi. Nanti lama pula tunang kau tunggu.” Ujar Hanim sambil menjuihkan bibirnya ke arah Hani yang masih membelek muka di meja solek.

Morning baby…” Tegur Hadif yang kelihatan segak bergaya.

Dibukanya pintu kereta untuk Maira sebelum menutupnya kembali dengan cermat.

“Kita pergi breakfast dulu ya?” Pintanya sambil tersenyum kacak ke arah Maira yang duduk di sebelahnya.

Maira hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum.

Ok…” Sahutnya perlahan.

Kereta mewah Hadif meluncur laju meninggalkan taman perumahan tersebut, menyertai kesibukan jalan raya yang dipenuhi dengan kenderaan pagi itu.

Semuanya berjalan lancar hari itu. Maira menjalankan tugasnya dengan baik di hospital. Walaupun sesekali angin rindu berhembus syahdu di ruang hatinya, mengingatkan arwah mama papanya, serta arwah Rania dan juga Kak Suri. Kesibukan kerja sedikit sebanyak membantu Maira untuk tidak terus hanyut dalam kesedihan.

“Jom, pergi cafĂ©. Hani dah chup tempat untuk kita.” Tegur Hanim sambil menepuk lembut bahu kanan Maira.

Emm..tapi aku tak laparlah..” Maira cuba mengelak.

Ahh…takde, lapar ke tak lapar ke, kau kena makan juga sikit. Lagipun takdenya aku nak tinggal kau sorang-sorang kat sini time rehat ni. Orang lain semua dah keluar makan.” Bantah Hanim.

Maira memerhatikan sekeliling. Sunyi. Lampu di unit mereka juga sudah dipadamkan. Air liur ditelan. Tak perasan pula dia rakan-rakan lain dah keluar. Mahu tak mahu, dipaksakan juga kakinya melangkah mengikut Hanim yang sudah menarik tangannya. Sememangnya bersendirian bukanlah pilihan terbaik Maira ketika ini. Dia harus sentiasa berwaspada dalam keadaan penjenayah tersebut masih lepas bebas.

Tiada apa yang pelik atau sesiapa yang mencurigakan menghampiri Maira sepanjang hari itu. Cuma Maira terasa seperti gerak gerinya sedang diperhatikan sewaktu dia berjalan mendapatkan Hadif yang sedang menunggu di dalam kereta di ruang parkir untuk menjemputnya pulang.

 

MALAM itu, sewaktu Maira sedang mengaji di biliknya, telefon bimbitnya berdering. Nama Ari terpapar di skrin telefon. Pantas Maira menjawab panggilannya.

Hello Assalammualaikum…” Sapa Maira.

“Waalaikumsalam… Ara buat apa tu” Soal Mus di hujung talian.

“Err..tak ada apa pun…” Jawab Maira.

Emm…boleh Ara keluar sekejap? Ari ada kat depan rumah ni…” Pinta Mus.

“Ha? Ada kat depan?” Maira bingkas bangun menjenguk dari celah tingkap nako biliknya.

Kelihatan Mus sedang berdiri bersandar di keretanya sambil bercakap telefon.

“Ari tak bagitahu pun nak datang? Kejap Ara keluar.” Ujar Maira.

“Hai! Saja je Ari nak buat surprise. Manalah tahu..kut-kut Ara rindukan Ari ke…’ Usik Mus sebaik Maira menghampirinya.

“Banyaklah dia punya surprise…” Bebel Maira.

“Hehe…Ara dah makan?” Soal Mus sambil menatap wajah redup Maira. Rasa rindu dan simpati berganti-ganti memenuhi ruang dadanya.

Maira menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya sengaja dilarikan ke arah kereta Mus. Segan pula ditenung begitu. Jantung di dalam sudah melajukan rentaknya sedikit.

“Ha…ni… Ari ada bawakan kuetiaw kerang. Makanlah dengan Hanim, Hani. Ara punya yang tanda pangkah. Tak ada taugeh dan extra pedas.” Ujar Mus sambil tersenyum. Sudah tahu benar selera gadis itu.

Bungkusan plastik berisi makanan itu dihulurkan kepada Maira. Maira menyambutnya riang.

Err…ini pulak…Ari belikan untuk Ara..” Ujar Mus sambil mengeluarkan sebuah kotak dan botol kecil.

“Apa ni?” Soal Maira sambil menyambut barang-barang yang dihulurkan Mus.

“Yang ni…pepper spray. Ara bawa sentiasa ya, dalam beg ke, dalam poket ke. Boleh guna masa kecemasan. Kalau ada orang ganggu Ara, Ara spray je kat mata dia lepas tu lari.” Jelas Mus.

Maira menganggukkan kepalanya faham. Dibukanya pula kotak yang diberi Mus tadi. Ada seutas jam tangan pintar berwarna ‘rose gold’ di dalamnya.

“Cantiknya!” Ujar Maira teruja.

Dikeluarkan jam tangan itu dari kotak dan dibelek-beleknya.

“Ara suka?” Soal Mus gembira melihat reaksi Maira.

“Suka…cantik sangat. Pandai Ari pilih..” Puji Maira.

Mus tersenyum senang.

“Ara pakai ni… senang untuk Ari atau pihak polis track location Ara kalau berlaku apa-apa. Call pun boleh, guna jam ni.’ Jelas Mus.

“Ooo…canggih…” Puji Maira lagi.

Dilemparkan pandangan ke dalam mata pemuda itu.

“Terima kasih Ari…” Ujarnya lembut.

Bergetar pula hati lelaki Mus dipandang begitu. Langsung dia jadi malu-malu kucing.

Err..sama-sama..err… Ari balik dulu ya.. Ara masuklah makan dengan diorang.. err… Munir suruh kirim salam rindu kat Hanim.” Ujar Mus mula tergagap-gagap.

Maira mengulum senyum melihat tingkahnya.

“Tadi dia tenung orang tak apa..” Leternya sendiri di dalam hati.

“Ara jaga diri baik-baik ya…Ari balik dulu…Assalammualaikum..” Ujar Mus meminta diri.

“Waalaikusalam…” Jawab Maira sambil mengunci semula pagar.

Kereta Mus mula bergerak perlahan. Dilambai-lambaikan tangannya pada Maira.

“Masuklah…” Arahnya pada gadis itu.

Maira membalas lambaiannya dan berpusing untuk masuk ke rumah. Langkahnya terhenti seketika sebelum sampai ke pintu rumah. Dia menoleh melihat ke jalan. Hujung belakang kereta Mus masih terlihat bergerak perlahan meninggalkan rumahnya.

Entah kenapa, Maira rasa seperti sedang ada yang memerhatikannya. Cepat-cepat dia masuk dan mengunci pintu dengan lafaz Bismillah. Mudahan mereka bertiga di dalam prlindungan Allah dan baik-baik sahaja di dalam rumah itu.

“Nah..Ari belikan kuetiaw kerang. Yang tanda pangkah tu aku punya.” Ujar Maira sambil menghulurkan plastik makanan pada Hani yang sedang duduk bersama kakaknya di sofa.

“Kuetiaw kerang….” Hani teruja. Sengihnya dilebarkan.

Ish..kau ni.. jangan senyum macam tu boleh tak. Seram aku..” Ujar Maira.

Tiba-tiba dia teringatkan ‘Hani’ yang ada di rumah sewaktu dia datang mengambil baju dengan mamanya tempoh hari. Lebih kurang begitulah senyumnya. Lengannya yang terasa meremang digosok-gosok. Alhamdulillah, sekarang dia sudah tidak lagi diganggu oleh makhluk-makhluk aneh lagi menyeramkan.

“Hehehe….” Usik Hani dengan suara ketawa yang sengaja diseramkan.

Spontan Maira membaling bantal kecil yang berada di atas sofa kepadanya. Hani ketawa galak sambil bangun menuju ke dapur membawa plastik kuetiaw yang diberi Maira tadi.

“Itu apa yang kau pegang tu?” Soal Hanim pula. Malas melayan kerenah Maira dan Hani yang kebudak-budakan.

Smart watch..Ari bagi. Eh kau tolong tengokkan kejap, setting kan apa yang patut. Aku tak pandai sangat.” Pinta Maira sambil menghulurkan jam tersebut.

“Hah…Ari pesan tadi, Munir kirim salam rindu kat kau.” Ujar Maira dengan nada mengusik.

Hanim menjelirkan lidahnya.

“Eleh..cover malu la tu.” Sakat Maira lagi.

Perghh… lawa siot jam ni…” Puji Hanim. Dibelek-beleknya jam pemberian Mus, kagum dengan citarasa lelaki itu.

“Ini semua dah setting siap dah Maira. Kau tinggal connect kat phone kau je. Mesti Mus dah buatkan untuk kau.” Teka Hanim setelah ditekan-tekan jam tersebut beberapa kali.

“Ni…yang paling penting, button SOS ni. Kalau kecemasan, kau tekan je ni, nanti kau punya speed dial contact dan talian kecemasan akan alert dan dapat track location kau dengan pantas.” Terangnya lagi sambil menunjukkan beberapa fungsi jam tersebut kepada rakannya.

“Wehh…mari makan…!” Laung Hani dari meja makan.

Mereka bertiga menjamu selera bersama-sama sambil bergurau-senda. Diam-diam Maira mensyukuri nikmat pemberian Tuhan ini. Rakan-rakan yang baik dan menyayangi dirinya, yang sentiasa ada dengannya.

Alhamdulillah..terima kasih Allah.




ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 16)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 16

RANIA  gelisah sendiri. Sekarang dia tinggal seorang di rumahnya. Tadi, Hanim membawa Maira pulang ke rumah sewa mereka terlebih dahulu supaya Maira dapat berehat dan bertenang.

Mus pula menunggu di hospital dengan ditemani rakannya Munir sehingga proses bedah siasat jenazah Datin Salimah selesai, sebelum ke balai polis pula untuk memberikan keterangan mengenai kes Pak Saad yang dituduh mencederakan, sehingga mengakibatkan kematian, kepada Datin Salimah.

Hadif terpaksa membawa ibu dan bapanya pulang ke rumah untuk berehat terlebih dahulu kerana daddynya tiba-tiba sakit dada. Dia berjanji untuk menjemput Maira di rumah Hanim nanti untuk pengebumian Datin Salimah. Manakala Rania dan ibu bapanya pulang ke rumah untuk menyiapkan urusan pengebumian kerana jenazah bakal dibawa pulang ke rumah mereka nanti.

Ibu dan bapanya keluar untuk berurusan dengan pihak masjid. Rania pula diminta mengemas rumah sebagai persiapan menyambut jenazah memandangkan pembantu rumah mereka sedang bercuti dan pulang ke kampung asal di Indonesia untuk beberapa bulan. Rania juga ditugaskan untuk memaklumkan perihal kematian kepada keluarga dan kenalan.

Jam sudah lebih sepuluh minit melepasi tengah malam. Dia mundar-mandir sendirian di biliknya. Kedua tangannya menggigil. Terimbas kembali kejadian di bilik pejabatnya siang tadi.

“Cik Rania…saya datang nak betulkan air-cond.” Tegur seorang pemuda yang menjengulkan kepalanya setelah mengetuk pintu beberapa kali.

Yes, masuklah.” Ujar Rania ringkas.

Dibiarkan lelaki itu memanjat tangga dan membelek penghawa dingin di dinding. Rania sibuk menyiapkan kerjanya di komputer. Langsung tidak dihiraukan lelaki tadi. Tidak lama selepas itu, Rania bangun dan keluar untuk ke tandas.

Alangkah terkejutnya dia apabila masuk semula ke bilik pejabatnya. Dilihatnya lelaki yang datang membaiki penghawa dingin tadi sedang bersenang-lenang di atas kerusi di mejanya sambil menghirup air kopinya yang diletakkan di situ.

“Eh, excuse me, awak buat apa ni?” Spontan dia menegur lelaki itu dengan suara yang agak tinggi.

Lelaki itu memandang ke arahnya lalu bangun dengan bersahaja sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Rania, kemudian berjalan mengelilingi gadis itu dengan gaya yang begitu menjengkelkan. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Rania yang terpempan dengan reaksi lelaki itu mendengar pintu bilik pejabatnya dikunci. Rania mula kaget.

“Rania Ruhilla Binti Dato’ Razman.” Lelaki itu menyebut nama penuh Rania dengan suara mengejek.

“Sepupu kepada Aimy Humaira Binti Abdullah…” Sambungnya lagi. Dia masih berjalan berpusing-pusing mengelilingi Rania.

“Siapa kau, hah? Apa kau nak?” Rania sudah mula takut. Bagaimana lelaki ini mengenalinya dan keluarganya.

“Hahahah…. Siapa aku, tak penting.” Ujarnya sambil ketawa.

“Yang penting…sekarang ni, aku nak kau buat apa yang aku cakap.” Arahnya.

Rania mengerutkan dahinya. Tidak faham yang dimahukan lelaki itu.

“Aku nak, kau letakkan kesalahan membunuh Dato’ Harun dan pembantu rumahnya, pada pemandu mereka. Kau boleh guna cara apa pun yang kau suka. Aku tahu kau bijak.” Ujar lelaki itu.

“Kenapa pula aku nak kena buat macam tu?!” Marah Rania.

“Sebab…wahai cik adik manis… kalau kau tak ikut cakap aku, aku akan bunuh kau!” Sergah lelaki itu sambil mendekatkan mukanya ke wajah Rania.

“…dan lepas tu, aku akan tuduh kau yang bunuh bapa saudara kau sendiri, dan pembantu rumahnya. Sebab kau….!” Sergahnya lagi sambil menudingkan jari betul-betul di depan batang hidung Rania.

“Kau…. Ada motif besar untuk buat macam tu. Pertama, sebab kau nak rampas harta keluarga tu…dan kedua, sebab kau gilakan tunang si Maira sehingga sanggup menyihirkan dia!” Tempiknya dengan wajah bengis.

Rania terkedu. Wajahnya pucat. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan.

“Aa…aa…apa kau cakap ni? Bi…bila masa aku buat macam tu?!” Tergagap-gagap Rania membalas kata-kata lelaki itu.

Lelaki itu tertawa terbahak-bahak, sebelum mengeluarkan patung sihir yang disimpan Rania di dalam laci meja kerjanya. Patung jerami itulah yang digunakan Rania untuk menyihir Maira sehingga tidak boleh berjalan.

Helaian rambut Maira terikat pada patung tersebut, dan beberapa batang jarum kelihatan terpacak pada bahagian hujung kaki patung tersebut. Memang dari awal lagi, dialah dalang yang menyihir Maira, dengan harapan sepupunya itu akan memutuskan pertunangannya.

Rania terjelupuk jatuh ke lantai. Tidak sangka rahsia yang disimpannya kemas selama ini terbongkar. Memang benar, sudah lama dia mencemburui Maira. Meskipun dia suka berkawan dengan gadis itu, tetapi sedikit sebanyak timbul perasaan iri dan tidak puas hati dalam dirinya.

Mana tidaknya, kalau bukan kerana ibu dan bapa saudaranya itu mengambil Maira sebagai anak angkat, sudah pasti segala harta kekayaan keluarga itu akan diwariskan kepadanya kerana pasangan itu tidak mempunyai anak. Kasih sayang pasangan itu juga, yang sebelum ini begitu memanjakannya, telah beralih arah dengan kehadiran Maira dalam hidup mereka.

Tidak cukup dengan itu, jejaka pujaan hatinya, Hairul Hadif, juga jatuh hati pada gadis itu dan mahu menikahinya. Rania benar-benar menggilai jejaka tampan itu. Sudah lama dia meminatinya. Ada juga beberapa kali dia cuba menggoda lelaki itu untuk berhubungan intim dengannya. Tetapi lelaki itu menolak dengan baik, dengan alasan dia menghormati Rania dan keluarganya.

Rania terpaksa akur dan tetap berada di sisinya sebagai sahabat baik. Sekurang-kurangnya dia masih dapat selalu dekat dengan lelaki itu dan bermanja dengannya. Tetapi, tiba-tiba pula dia jatuh hati pada Maira. Tidak! Dia tidak rela Hadif menjadi suami Maira. Perempuan lain, dia tidak kisah. Tetapi, bukan Maira. Dia masih berharapan dapat memenangi hati pemuda itu suatu hari nanti.

“Hah! Kenapa? Jangan cakap kau tiba-tiba dah insaf, dah bertaubat pulak!” Ejek lelaki itu.

Rania menangis teresak-esak. Bukan dia tidak sayang pada Maira. Sejujurnya, dia sayangkan sahabatnya itu. Tetapi dia tidak dapat menangkis hasutan syaitan yang membisikkan hasad ke dalam hatinya. Ada juga sesekali dia didera rasa bersalah.

Terkadang dia terharu dengan keikhlasan yang ditunjukkan Maira dalam bersahabat. Telus gadis itu menyayangi dirinya. Tetapi Rania tidak dapat terima yang Maira akan bernikah dengan Hadif. Dia berniat mahu menamatkan perbuatan sihirnya apabila berjaya membuatkan pasangan itu putus.

“Kau…kau yang bunuh bapa saudara aku, kan?” Soal Rania dengan suara yang tenggelam timbul.

Iyeee….” Lelaki itu mengakuinya dengan begitu santai.

“Ke…kenapa? Kenapa kau bunuh dia?” Soal Rania lagi, cuba memberanikan diri untuk mencari tahu kebenaran.

“Saja je…..hobi aku…” Jawab lelaki itu sambil ketawa-ketawa.

“Gila.” Cemuh Rania dalam hatinya.

“Sekarang, aku nak kau buat apa yang aku suruh. Aku tahu semua tentang kau, Rania. Dah lama aku perhatikan kau, keluarga kau dan sepupu kau. Mudah je untuk aku cabut nyawa kau…” Ugutnya sambil memainkan-mainkan sebilah pisau kecil di depan muka Rania.

Setelah itu, dia meninggalkan Rania menangis di situ sendirian. Rania benar-benar ketakutan diancam begitu. Seharian dia mengurung diri di dalam bilik pejabatnya. Semua mesyuarat dan perjumpaan dengan klien berkaitan urusan kerja dibatalkan. Sehinggalah dia terlelap di meja kerjanya, sebelum mendapat panggilan telefon dari Maira yang mahu memberitahu keadaan kakinya yang sudah pulih.

Bunyi berdenting di dapur mematikan lamunan Rania. Diamati bunyi itu dengan teliti. Senyap.

“Aku salah dengar kut.” Bisiknya sendiri.

Dia kembali mengelamun. Arahan lelaki gila itu sudah dituruti. Dia sudah memfitnah Pak Saad seperti yang diminta. Tetapi dia langsung tidak sangka ibu saudaranya akan dibunuh. Lebih aneh lagi, Pak Saad pula ditangkap oleh pihak polis kerana berada di tempat kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Siapa lelaki tu sebenarnya?” Tanyanya pada diri sendiri.

“Hai Rania…sembang dengan siapa tu? Melamun ingatkan saya ke…sampai tak sedar penyangak masuk rumah?” Suara lelaki dari siang tadi mengejutkan Rania.

“Kau! Apa kau buat kat sini?! Macam mana kau boleh masuk?!” Jerit Rania takut.

“Alah…penting ke pun macam mana aku masuk….” Balas lelaki itu bersahaja.

Rania mengerling telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Dia berlari cuba mendapatkannya, tapi dengan pantas ditahan oleh lelaki itu. Rambutnya dicekak kuat sehingga kepalanya terdongak ke belakang.

“Eh eh..eh… kau nak pergi manaa…..” Soal lelaki itu sambil membeliakkan matanya.

“Sakitlah…! Lepaskan aku! Aku dah buat apa yang kau suruh. Apa lagi kau nak dari aku?!” Pekik Rania kesakitan.

Rambutnya ditarik dengan lebih kuat sehingga terasa terik kulit kepalanya. Rania menjerit kesakitan. Lelaki itu memain-mainkan sebilah pisau dapur di lehernya.

Iyeee…terima kasih tolong aku… apa yang aku nak sekarang ni…..” Ujarnya mengejek.

“….aku nak bunuh kau….” Sambungnya lagi, berbisik perlahan di telinga Rania.

Rania yang ketakutan berusaha sedaya melepaskan diri. Dihantukkan kepalanya ke muka lelaki itu, kemudian dia cuba berlari keluar dari bilik. Tetapi kakinya disepak sehingga dia jatuh tersembam di lantai. Darah panas mengalir dari hidungnya.

“Kau tak payah nak melawanlah perempuan!” Pekik lelaki itu sambil merangkak naik ke atas badan Rania.

Perut Rania ditumbuk bertalu-talu sehingga dia tidak mampu mengeluarkan sebarang suara. Kemudian dicekiknya leher Rania sekuat hati. Terenjat-renjat kedua belah kaki gadis itu sambil tangannya cuba meleraikan cengkaman lelaki itu di lehernya. Sehingga akhirnya dia tidak bergerak lagi.

 

HAH?! Apa??!” Hanim yang baru menjawab panggilan telefon terjerit.

Hani dan Maira yang duduk di ruang tamu tersentak dan menumpukan perhatian pada Hanim yang sedang bercakap telefon.

“Allahu Akbar….ya, ya…baik, baik. Nanti saya bagitahu pada dia.” Kata Hanim sambil memandang Maira.

Dia meneruskan perbualan seketika sebelum menamatkan panggilan telefon.

“Wey….” Seru Hanim sambil meluru ke arah adiknya dan Maira.

“Kenapa ni? Siapa yang call tu? Ada apa-apa yang jadi ke?” Soal Maira tidak sabar. Dia sudah mula rasa tidak sedap hati.

Err… ayah Rania yang call…” Hanim terhenti.

“Ayah Rania?” Soal Maira kembali.

Hanim mengangguk.

“Dia cuba call kau banyak kali, tak dapat.” Lapornya.

Maira baru teringat yang telefon bimbitnya masih berada di dalam beg tangannya. Mungkin juga sudah kehabisan bateri.

“Kenapa? Apa yang jadi?” Soal Maira lagi.

Hani hanya memandang mereka berdua silih berganti dengan kaget. Berdebar menanti maklumat seterusnya.

“Rania…err…diorang jumpa Rania tergantung di siling bilik tidur dia. Diorang syak Rania bunuh diri. Dia tinggalkan surat pengakuan. Katanya, dia mengaku dia yang bunuh papa dan mama kau, dan pembantu rumah kau. Dia upah orang untuk buat kerja tu. Dan dia juga yang sihirkan kau selama ni. Sekarang ni pihak polis masih lagi menjalankan siasatan. Jenazah dia dah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.” Jelas Hanim satu-persatu.

Terbeliak biji mata Hani mendengar berita itu. Maira pula sudah rasa nak pitam. Ruang tamu rumah itu terasa bagai sedang berpusing-pusing. Kalau dia sedang berdiri waktu itu, pasti dia sudah terjatuh ke lantai kerana tidak dapat berdiri dengan baik atas Bumi yang terasa senget tidak sekata. Dahinya dipegang sambil matanya dipejam dan dibuka berulang kali, dengan harapan rasa pening itu hilang.

“Wey…kau ok tak?” Soal Hanim cuak melihat reaksi Maira.

Dia sendiri pun terkedu dengan kejadian-kejadian mengejutkan yang datang bertimpa-timpa atas sahabat baiknya itu. Tidak tahu nak berkata apa.

“Apa benda kau cakap tu? Kenapa pulak Rania? Ha? Rania dah mati ke?” Soal Maira bingung.

“Sabar…sabar dulu Maira.. kita pun tak pasti lagi apa yang berlaku sebenarnya.” Pujuk Hani sambil mengusap-usap belakang Maira.

Risau sahabatnya itu pitam dalam situasi tak terjangkau akal itu. Jenazah Datin Salimah pun belum dikebumikan lagi, sekarang Rania pula sudah meninggal. Lebih mengejutkan, dia disyaki membunuh diri selepas mengaku membunuh keluarga Maira dan menyihirnya.

“Sekarang ni dah dekat pukul 2 pagi. Takde apa kita boleh buat sekarang, melainkan tunggu je berita seterusnya. Aku rasa elok kau cuba tidur dulu kejap, Maira. Kau perlukan rehat. Banyak lagi benda kita nak hadap esok.” Cadang Hanim bila dilihatnya Maira kelihatan begitu letih tidak bermaya.

Hani memimpin Maira ke bilik dan membantu dia berbaring dengan selesa.

“Kau cuba tidur ea..? Subuh esok aku kejutkan kau solat. Apa-apa panggil je tau. Aku dengan Hanim tak tutup pintu bilik pun.” Ujar Hani sambil menyelimutkan tubuh Maira yang sudah memejamkan mata.

“Terima kasih Hani…” Ujar Maira lemah.

Hani menghidupkan lampu tidur di meja Maira sebelum menekan tutup suis lampu kalimantang di dinding bilik. Sayu dia melihat keadaan rakannya itu. Semoga Tuhan mempermudahkan segalanya.

 

USAI mengaminkan doa selepas solat Subuh, Maira mencapai telefon bimbitnya yang sedang dicas. Punat hidup ditekan. Telefonnya sudah mati kerana kehabisan bateri. Dia trpaksa mengecas dahulu untuk beberapa ketika sebelum boleh menghidupkannya. Suis pengecas telah ditekan sebelum dia bersiap untuk solat sebentar tadi. Beberapa bunyi mesej masuk bertalu-talu setelah telefon berjaya dihidupkan.

Dia telah terlepas beberapa panggilan daripada bapa saudaranya, Uncle Razman, seperti yang dimaklumkan Hanim semalam, juga panggilan dari Hadif dan Mus. Diperiksa pula bahagian mesej di aplikasi Whatsapp. Spontan dadanya berdebar-debar melihat ada pesanan suara dari Rania. Pesanan tersebut dihantar pada tepat pukul 12 tengah malam semalam. Yakni beberapa ketika sebelum Rania ditemui mati di rumahnya.

Teragak-agak Maira menekan butang memainkan pesanan suara yang dihantar. Suasana sepi seketika, hanya kedengaran bunyi nafas Rania selama beberapa saat, sebelum dia mula bersuara.

“Maira..aku…aku minta maaf… aku…sebenarnya aku dah fitnah Pak Saad… Kak Suri tak pernah cakap apa-apa yang buruk tentang Pak Saad pada aku. Semuanya aku reka sendiri…” Kedengaran suara Rania memulakan bicara.

“Aku..kena ugut…aku tak kenal orang tu… tapi dia kenal aku, kenal kau, family kita… dia ugut supaya aku fitnah Pak Saad..kalau tak dia nak bunuh aku…dan tuduh aku yang bunuh mama papa kau…aku takut…” Menggeletar suara Rania.

Rania terdiam seketika.

“…dan aku…aku juga nak minta maaf pada kau… sebenarnya Maira…aku dah lama cemburukan kau… semua orang sayang kau.. dan…aku tak pernah cerita kat kau, tapi aku dah lama sukakan Hadif. Aku…aku betul-betul cintakan dia…aku tak sanggup tengok kau kahwin dengan dia. Sebab tu aku…” Rania sudah mula menangis.

Bulat Maira mendengar apa yang disampaikan Rania. Dia langsung tidak tahu dan tidak sangka, yang Rania ada hati pada Hadif. Jika tidak, dia pasti tidak akan bersetuju dengan keputusan mama papanya untuk menyatukan mereka.

“Aku sihir kau Maira…aku yang buat… aku tak tahu macam mana aku boleh terfikir nak buat kerja bodoh tu. Aku…aku cuma tak nak kau bersama dengan Hadif… aku minta maaf Maira…aku betul-betul minta maaf… aku dah aniaya kau…” Sambung Rania teresak-esak.

Terkedu Maira mendengar pengakuannya. Selama ini, semua gangguan yang dia alami, semua itu perbuatan Rania. Dia tidak tahu hendak rasa apa ketika ini. Semuanya bercampur-baur.

“Aku faham..kalau kau tak boleh maafkan aku… tapi…aku nak cakap kat kau… bukan semua dari aku adalah satu pembohongan atau kepura-puraan Maira… aku..betul-betul seronok berkawan dengan kau…dan aku… Maira, walaupun kau tak percaya..tapi aku…sayangkan kau….” Pesanan suara yang dimainkan tamat di situ.

Air mata Maira laju merembes keluar.