Monday, June 3, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 20)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 20

SEKATAN jalan beberapa ratus meter di hadapan membuatkan Alza biru tersebut membelok secara tiba-tiba dan melalui lorong kecil berdekatan. Pantas Hud Hurairah mengemudi keretanya dan mengikut kereta itu rapat di belakang. Setelah melepasi jambatan, akhirnya pemandu yang diekori itu memberhentikan keretanya di kawasan lapang di sebelah anak sungai. Berdesit bunyi tayar kereta Hud yang ikut berhenti tergopoh-gapah.

Faiz turun dan mencekak kepala Fara Afiya dan Fara Afina keluar dari kereta. Hud dan Isha berlari menerpa mahu mendapatkan kedua anak kecil itu.

“Bangg!!”

Bunyi das tembakan yang dilepaskan mematikan langkah pasangan itu dengan mengejut. Faiz tersenyum sinis dengan tangan kanannya masih lurus ke udara memegang sepucuk pistol. Lalu pistol tersebut dihalakan ke arah Fara Afiya dan Fara Afina yang sedang terjerit-jerit ketakutan sambil berpelukan sesame sendiri. Kering darah Isha melihat situasi tersebut di depan mata.

Allahu Akbar..

“Hah…datanglah kalau berani. Kalau kau nak tengok kepala budak-budak ni bersepai, kau datang!” Pekik Faiz sebelum ketawa-ketawa sendiri, tak ubah seperti orang kurang siuman.

Menggeletar seluruh tubuh Isha. Hud Hurairah juga tidak berani terus bergerak ke depan mendapatkan lelaki itu, bimbang anak-anak itu dicederakan.

“Kau laporkan aku kat polis, sampai kitorang kena serbu…, kau rosakkan semua plan aku.., habis budak-budak yang aku dapat, polis angkut… orang-orang aku kena cekup… sekarang apa pun aku tak ada! Eh kau memang sial lah!” Makinya sambil membeliakkan mata pada Isha dengan muka bengis.

“Kau! Sini..” Panggil Faiz sambil mengunjuk ke arah Hud menggunakan hujung pistolnya.

Hud bertukar pandangan seketika dengan Isha yang sudah merambu-rambu air matanya, sebelum bergerak menghampiri Faiz. Faiz mengajukan pistolnya ke dahi Hud dengan angkuh, sebaik lelaki itu merapatinya.

“Macam ni je, yang kau nak buat laki.. takdelah hebat mana pun.” Cemuhnya sambil meludah ke tanah.

“Ni kalau aku pecahkan kepala dia ni.., lepas tu, kau boleh kahwin dengan aku?” Soalnya sambil tergelak besar. Pistolnya diacah-acahkan ke arah Hud.

“Klik!”

Picu pistol ditarik sambil tersengih menyeringai. Hud Hurairah cuba menepisnya dengan pantas dan melepaskan tumbukan.

“Bangg!!”

Sekali lagi tembakan dilepaskan. Terjerit-jerit kedua anak kecil tersebut ketakutan. Isha terkaku melihat Hud Hurairah tumbang menyembam ke tanah. Darah merah pekat mula mengalir membasahi tanah tempat dia terbaring.

Allah..

Semuanya berlaku dengan terlalu pantas. Pandangan Isha beransur kabur. Telinganya berdengung. Jerit tangis Fara Afiya dan Fara Afina menjadi sayup-sayup pada pendengarannya. Dunia terasa mengelam perlahan-lahan. Seakan-akan dihurung mendung awan hujan yang gelap pekat. Situasi itu keterlaluan untuk diterimanya. Kesedarannya mula melayang. Tubuhnya terasa bagai terhuyung-hayang.

Ingat Allah Isha… ingat Allah… Allah itu dekat!

 

“Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat..”

[Surah Al Baqarah: 214]

 

“Mamaaaa…..! Mamaaaaa…..!”

Jeritan yang kedengaran sayup-sayup kembali menyapa pendengaran Isha.

“Mamaaaa…..! Mamaaaaaa……!!!”

“Fiya? Fina?”

Jeritan anak-anaknnya seakan menarik Isha kembali ke alam realiti secara paksa.

“Mamaaaaa…..! Mamaaaaa…..!” Jeritan kedua-dua anak itu terselang-selang dengan suara Faiz yang sedang ketawa terbahak-bahak.

Pistol diacah-acahkan ke arah kedua anak malang itu tanpa sedikit pun perasaan ihsan.

“Jangan sentuh anak-anak akuuuuu…..!!” Jerit Isha sekuat-kuat hatinya sambil berlari meluru ke arah lelaki durjana tersebut.

Entah dari mana dia memperoleh kekuatan itu, langsung diterpanya syaitan bertopengkan manusia itu. Dihamburkan tumbukan demi tumbukan sepenuh kudrat. Faiz yang langsung tidak menjangka tindakan mengejut Isha, langsung tidak sempat berbuat apa-apa. Pistol di tangan jatuh terpelanting entah ke mana. Bertubi-tubi dia menenerima hamburan serangan Isha yang bertubi-tubi.

Tak cukup dengan itu, Isha meledakkan tendangan padu tepat di batang tubuhnya berkali-kali, tanpa terselang satu saat pun. Terdorong tubuh lelaki itu ke belakang beberapa kali, sebelum terlentang keras ke tanah.

Serentak itu siren kereta polis dan ambulans menampar pendengaran mereka. Berpusu-pusu anggota PDRM menyerbu mendapatkan mereka sambil mengacukan pistol ke arah Faiz yang terlentang di tanah. Tangannya digari pantas.

“Medikk…!” Jerit seorang anggota polis, melihatkan Hud Hurairah terbaring lemah.

Saat itu barulah Isha terjatuh melutut ke tanah. Baru terasa hilang habis semua tenaga di dalam tubuhnya. Berlari Fara Afiya dan Fara Afina memeluknya. Suara esak tangis tiga beranak itu menghiasi segenap ruang udara. Hiba dan sayu mereka yang berada di situ mendengarkannya.

Berbalam-balam pandangan Isha melihat tubuh Hud Hurairah terkulai diangkat ke atas pengusung. Sepasang kakinya ditunjal ke atas, memaksa badannya berdiri untuk mengikut tubuh lelaki itu yang dibawa pergi ke dalam ambulans. Tapi entah kenapa, tanah yang dipijak terasa begitu lembut tidak berstruktur. Isha hilang imbangan. Bumi terasa berpusing-pusing dengan laju. Pandangannya bertukar kelam.

“Mama!”

 

TERKIAL-KIAL Isha menjengket cuba mengikat kain merah jambu yang bakal menjadi back drop untuk sambutan majlis persaraan guru disiplin mereka di bucu papan hitam.

Tiba-tiba sahaja ada sepasang tangan dari belakang membantunya memegang dan mengikatkan hujung kain tersebut. Terasa berhaba belakang tubuh Isha, dari rapatnya susuk yang berdiri di belakangnya.

“Buat apa ni..” Tanya Hud Hurairah dari belakang Isha.

Gadis remaja itu tersentak.

Err…” Rembesan darah yang laju menyerbu ke setiap sel kulitnya secara mendadak spontan membuatkan wajahya bertukar warna. Panas.

Patutlah dari tadi jantungnya terasa berdegup dengan rentak yang aneh. Rupanya gurunya itu ada berdekatan.

Cikgu Hud yang baru selesai mengikatkan kain tersebut merenungnya dengan wajah penuh tanda tanya. Tapi mulut Isha bagaikan terkunci rapat. Puas dia cuba mengawal debar di dada. Tak bergerak dia dari kedudukan asalnya tadi, walaupun gurunya itu sudah beralih ke sampingnya.

“Hei… Alya Alisha Arif.. hello… kenapa jadi patung ni?” Soal Cikgu Hud lucu. Tangannya digawang-gawangkan di hadapan wajah gadis manis itu.

Kitorang tengah prepare untuk majlis sambutan persaraan Cikgu Yusri.” Celah Diana yang juga sedang mengikatkan kain tersebut ke bucu satu lagi papan hitam tersebut.

“Eh, hari ni ke majlis tu?” Soal Cikgu Hud semula.

Diana beranjak ke tepi, memberi laluan kepada Cikgu Hud yang mahu membantu mengikatkan kain tersebut di bahagiannya pula.

“Esok cikgu.. tapi kitorang prepare siap-siaplah hiasan semua. Esok tinggal susun-susun makanan je..” Jelas Diana lagi.

Ooo..ok-ok… banyak lagi ke nak dibuat? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” Soalnya lagi. Dikerlingnya ke arah Isha yang masih berdiri kaku menghadap papan hitam.

“Eh Takpe cikgu, sikit je lagi. Kitorang boleh buat. Nak tiup-tiup belon je lagi ni.” Jawab Diana sambil beredar mendapatkan plastik belon di meja tulis berdekatan.

“Haa..tiuplah dulu, meh saya tolong gantungkan.” Tawar Cikgu Hud.

“Hah, jomlah Isha…kita tiup cepat, sementara cikgu tengah baik nak tolong ni.” Panggil Diana dari meja tulis tersebut.

Cikgu Hud mengalihkan semula pandangannya ke arah Isha yang masih keras mematung di situ. Tak berkutik sedikit pun.

Aik…dah kenapa awak jadi patung cendana pulak kat situ.” Tegur Cikgu Hud tersengih-sengih menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aneh melihat gadis manis itu yang tiba-tiba keras.

“Oi..! Isha! Wey?!” Laung Diana.

Isha masih tetap diam tidak berganjak. Menguit sikit pun tidak. Dia benar-benar tidak dapat mengawal debaran yang mengasak dadanya ketika itu. Nak bernafas pun tak ingat macam mana dah.

“Alya Alisha Arif…?” Panggil Cikgu Hud .

Dia merapati gadis itu. Jarinya dipetik-petik di depan Isha.

Hello..? Ada orang tak..?” Usiknya, setelah perasankan pipi putih gadis itu yang mula merona merah. Ini kalau bukan kes malu, mesti terkejut. Tak pun berdebar sebab aku rapat sangat tadi. Cikgu Hud tersengih sendiri.

“Hello? Hello??”

 

HELLO? Hello??”

Sayup-sayup suara yang kedengaran di hujung telinga Isha membangunkannya. Kelopak mata yang terasa berat dicelikkan perlahan.

Hello? Kejap-kejap saya tak dengar.” Aqmar Alif melangkah mencapai pintu sebelum beredar keluar, dengan telefon bimbit yang melekap rapat di telinga kanannya.

Pandangan Isha jatuh ke arah sofa. Kelihatan Fara Afina dan Fara Afiya sedang terlentuk lena di situ di samping Ammar dan Akmal yang ralit dengan telefon pintar.

“Eh..Isha dah sedar?” Tegur Syara yang baru meletakkan botol air di kabinet kecil sebelah katil tempat Isha berbaring.

“Kak Syara…” Panggil Isha. Sedikit samar-samar dengan situasinya sekarang.

Syara menumpukan perhatian pada Isha yang sedang mengesot untuk bangun.

“Eh…Isha tak nak baring dulu ke…” Tegurnya sambil cuba membantu Isha duduk.

“Kak Syara…” Panggil Isha lagi.

Ingatan tentang apa yang telah berlaku mula menyerbu kotak fikiran.

“Cikgu…” Ujar Isha.

Spontan butir demi butir air air mata mengalir membasahi pipinya.

“Cikgu Hud mana…?” Soal Isha. Dia menurunkan kedua belah kakinya di birai katil, bersedia untuk bangun.

Err…akak tak tahu…eh, Isha buat apa tu? Nak pergi mana?” Soal Syara risau apabila dilihatnya Isha memulas menghentikan pengaliran air drip, sebelum mencabut jarum yang terpasang di tangannya.

“Isha!” Tergopoh-gapah Syara menerpa cuba memapah Isha yang sudah berjalan keluar dari bilik.

Nurse.. Hud Hurairah. Hud Hurairah mana? Lelaki yang kena tembak tadi.” Soal Isha kalut pada kakitangan yang berada di kaunter.

Err… dia dekat depan tu….” Belum sempat jururawat di kaunter itu menghasbiskan ayatnya, Isha sudah meluru ke bilik yang berada di depannya.

Terkocoh-kocoh Syara mengekorinya dari belakang.

Terkedu Isha melihat sekujur tubuh berselimut putih dari atas kepala hingga ke kaki sedang terbaring kaku di bilik itu.

“….ha…?...” Sungguh, Isha tidak percaya apa yang dilihat di depan matanya ketika ini.

Kaki yang terasa melekat di lantai, digagahkan melangkah merapati sekujur tubuh yang tidak bergerak itu.

“…cik…cikgu…?” Panggilnya perlahan. 

“…cik..gu.. ke?..” Soalnya lagi pada susuk  tubuh yang terbujur di hadapannya.

“…..I…Isha…” Panggil Kak Syara dari belakang. Panggilan yang seakan-akan menyentak Isha pulang ke alam nyata. Tak semena-mena berderu air matanya tumpah menitik-nitik dengan laju.

“..Allah… tak…kan lah… tak kan macam ni….” Rintihnya sayu.

Akal logiknya yang masih ternampak-nampak dengan jelas bagaimana tubuh itu menerima letusan tembakan dari pistol Faiz, berperang hebat dengan hatinya yang begitu berharap lelaki itu terselamat, masih hidup, dan masih ada dengannya.

“Allahh…ya Allah…. tolong jangan…..” Rintihnya lagi.., memanggil-manggil nama Tuhannya dengan cucuran air mata. Terduduk dia jatuh di lantai, beberapa langkah dari katil yang menempatkan tubuh kaku tersebut.

“….cikgu Hud… awak… tolong jangan tinggalkan Isha…” Berhambur suara tangisnya dalam deraian air mata.

Derapan tapak kasut kedengaran semakin hampir mengerumuni bilik tersebut, tetapi hanya terhenti di depan pintu. Tiada siapa yang berani mendekati gadis itu yang sedang tenggelam dalam emosi.

“…tolong… jangan tinggalkan Isha…” Rintihnya lagi dalam sedu sedan.

“…Isha..pun suka cikgu Hud… suka… suka awak.. sangat-sangat… betul-betul suka…” Luahnya tersangkut-sangkut, cuba mengulangi luahan lelaki itu padanya tempoh hari.

“…Isha…janji.. awak… saya janji.. akan ikut apa saja permintaan awak… bangunlah….” Rintihnya lagi.

Terkenang-kenang permintaan lelaki itu yang mahu mempercepatkan pernikahan mereka. Dia masih belum sempat menjadi isterinya. Masih belum sempat bersatu dalam ikatan yang halal. Tak mungkin lelaki itu sudah pergi meninggalkannya sendiri. Tak mungkin semua ini sedang berlaku sekarang… tak mungkin….!

Err… janji…? Apa pun boleh…?”

Ye…apa pun….. ha??” Tangisan Isha mendadak terhenti.

Siapa yang bercakap dengannya tadi?

“Err… kalau kahwin esok… pun boleh?”

Spontan Isha memusingkan kepalanya ke arah datangnya suara tersebut.

Kelihatan Hud Hurairah sedang mencangkung di sebelahnya, dalam pakaian hospital sama sepertinya, sedang tersengih dengan mata yang memerah dengan air mata yang ditahan-tahan.

Terlopong mulut Isha, tak berkedip matanya melihat lelaki itu.

Err… saya…hidup lagi…ni…” Jelas Hud teragak-agak, walaupun sudah jelas dirinya masih hidup dan sedang bercakap dengan gadis itu.

Terkebil-kebil Isha dibuatnya. Bibirnya bergerak-gerak mahu menuturkan sesuatu, tapi tiada sepatah pun perkataan terluncur keluar dari mulutnya. Perlahan tangannya terangkat, mengunjukkan ke arah susuk yang terbujur kaku di atas katil di depan mereka.

Err… itu.. dummy yang kami guna untuk latihan bantuan pernafasan cik.. tadi saya nak bagitahu.. encik Hud kat depan ni..dengan abang cik, dan anggota polis… bukan kat dalam bilik depan ni…” Jelas jururawat tadi canggung. Belum sempat dia habis bercakap tadi, Isha sudah pun meluru masuk ke situ.

Isha mengalihkan pandangan ke arahnya. Kelihatan ramai yang sedang berdiri di situ, melihatnya. Ada juga Kak Syara dan abang Alif, serta beberapa orang anggota polis dalam pakaian uniform. Masing-masing terdiam.

Isha mengalihkan pandangannya kembali ke arah Hud Hurairah di sampingnya.

Lelaki itu masih tersengih.

“Boleh..?” Soalnya lagi dengan nada lucu.

Berhambur lagi air mata gadis itu. Tapi kali ini berselang dengan ketawa yang mengesak. Ketawa lucu. Ketawa malu! Ketawa…lega…ketawa…syukur…

“Awak niii….!” Marah Isha dalam tangis yang bersulam tawa.

“Kak Syara pun…! Kenapa tak bagitahu….” Rungutnya sambil mengesat mata.

Hish! Malu la macam ni…

Akhirnya terledak ketawa mereka yang lain dengan tingkahnya. Lucu!

Walhal tadinya masing-masing sudah ikut berair mata mendengar rintihan dan ratapannya di depan patung dummy hospital itu!

 

YE ke??”

“Lepas tu mama nangis-nangis kat depan patung tu?” Soal Fara Afiya dan Fara Afina berebut-rebut.

“Iyeee…. Mama siap cakap lagi mama suuuka sangat dengan Pakcik Hud.” Jawab Aqmar Alif bersungguh.

Isha yang duduk di sofa berdekatan menjelingnya geram. Mereka yang lain ikut mengetawakannya. Hud Hurairah pun bukan main lagi. Ceria betul dia, dalam keadaan bahu berbalut dari bekas luka tembakan.

Mujurlah tembakan tersebut tidak mengena bahagian jantungnya. Jika tidak, pasti dia tidak berkesempatan lagi tertawa begitu bersama mereka sekarang. Alhamdulillah… syukur ya Allah..atas nikmat usia yang Kau kurniakan.

“Alhamdulillah…semua dah selesai.. tahniah Hud. Sekali lagi kau berjaya bantu pihak polis menumpaskan sindiket penculikan kanak-kanak di negara kita ni.” Puji Inspektor Anas.

Rupanya sudah lama Faiz menjalankan kegiatan penculikan itu. Beberapa kali juga kanak-kanak yang diculiknya disembunyikan sementara di rumahnya. Mereka diberikan dadah, selain diugut. Padanlah Isha lihat anak-anaknya semuanya berpurdah.

Rupa-rupanya anak-anak itu bukan orang yang sama. Bersilih ganti bertukar-tukar. Malang kerana tiada pun antara jiran-jiran mereka yang sedar tentang perkara ini, termasuklah Isha sendiri. Hud pula memang sudah memerhatikan dan menjejak lelaki itu untuk beberapa ketika, sebelum terjumpa Isha semula.

Allahu Akbar…

Hukuman setimpal bakal dikenakan ke atas lelaki itu, yang disahkan menjadi dalang yang ‘membekalkan’ mangsa untuk dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia di luar negara. Pihak polis tidak akan berhenti dari terus memburu dan membanteras kegiatan penjenayah-penjenayah ini, dalam usaha menjamin keselamatan rakyat, terutama anak-anak kecil yang tidak berdosa.

“Alhamdulillah….” Sambut mereka yang lain.

“Hah…kira jadilah kita makan nasi minyak esok kan?” Usik Inspektor Anas, kembali mencurah minyak ke dalam api.

Berderai ketawa mereka yang lain.

Dalam asyik ketawa itu Isha terperasankan Hud yang mencuri pandang ke arahnya. Pandangan mata mereka bertaut. Dan mereka berbicara berdua mengggunakan bahasa hati.

Terima kasih Ya Wadud… untuk cinta ini.

 

Ya Allah…kami redha Allah Tuhan kami, kami redha Islam cara hidup kami, dan kami redha Nabi Muhammad Sallalahu’alaihiwassalam Nabi dan Rasul kami.

 

TAMAT.




JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 19)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 19

PAK CIK Hud datanglahh… pak cik Hud datangg..!!” Riuh mulut Fara Afina mengkhabarkan kedatangan lelaki itu kepada semua yang berada di dalam rumah.

Berlari dia dan kakaknya serta sepupu mereka mendapatkannya yang baru turun dari kereta.

“Wahhh ayam gorengg…! Aiskrim pun adaa…!” Kecoh anak-anak itu berebut-rebut menyambut buah tangan yang dibawa.

“Hah.. Hud..masuklah…” Pelawa Aqmar Alif sambil  menghulurkan salam.

Memang dia sudah maklum dengan kedatangan lelaki itu untuk menjemput Isha dan anak-anak. Isha akan mulai bekerja semula minggu hadapan, serentak dengan sesi persekolahan yang bakal bermula. Hanya Fara Afiya sahaja yang masih bercuti panjang kerana tangannya masih bersimen. Sudah dipujuk untuk tinggal bersama mama ngah dan baba ngahnya selama bercuti, tetapi ditolaknya. Rindu pada Cik Mah katanya. Pengasuh mereka dari kecil.

“Assalammualaikum…” Sapa Hud Hurairah sambil menyambut huluran tangan bakal abang iparnya, mesra.

 

DAH? Kenyang dah makan? Sedap tak aiskrim?” Soal Hud sambil mengelap mulut Fara Afina yang comot dengan aiskrim, penuh kasih.

“Sedappp… adik suka yang ni. Coklat yang kat luar dia ni sedap. Nanti Pakcik Hud belikan lagi ea?” Kecoh si kecil itu bercerita.

“Bolehh.. nanti Pakcik Hud belikan baanyaakk banyak. Ok?” Jawab Hud sambil mengangkat ibu jarinya dan mencalitkannya pada ibu jari si kecil Fina, sebagai tanda perjanjian.

“Fiya… jom, Pakcik Hud potongkan rambut Fiya bagi cantik, nak?’ Ajak Hud Hurairah.

“Eh…Pakcik Hud pandai potong rambut ke?” Soal Fara Afiya kembali.

“Eh…mestilah.. lepas Pakcik Hud potongkan nanti mesti Fiya jadi lagi comel.” Ujar Hud bersungguh.

“Adik nak jugak!!” Jerit Fara Afina, ikut menyibuk.

Isha, Alif dan Syara saling berpandangan melihat Hud Hurairah mengeluarkan beg berisi bermacam jenis gunting dan sikat. Seriusla?

Ternganga mereka bertiga melihat Hud Hurairah mengunting rambut Fara Afiya dengan cekap. Sudah seperti penggaya profesional. Lincah tangannya bekerja. Potongan jenis pixie dipilih untuk gadis kecil itu, yang sudah compang-camping dan tidak teratur panjang pendek potongan rambutnya. Sesuai pula dengan wajah comelnya. Matanya tampak lebih bulat dan pipinya kelihatan lebih berisi dengan gaya tersebut.

“Comel tak mama? Comel kan?” Ceria gadis kecil itu berpusing-pusing menggayakan rambut barunya.

“Comeeellll sangat anak mama. Comel macam mama. Dah pergi mandi, syampu rambut, ok?” Sahut Isha sambil membelek-belek rambut Fara Afiya dengan kagum.

“Adik pulak! Adik pulak!” Riuh Fara Afina mengambil tempat duduk kakaknya di kerusi yang diletakkan Hud di perkarangan rumah.

“Alaa..tapi rambut adik kan dah cantik panjang…” Sungut Isha. Sayang pula nak dibiarkan rambut anak kecil dipotong pendek.

Hud Hurairah mengangkatkan keningnya nakal.

Rambut anak itu diikat ke atas dan rapat ke bahagian hadapan dahi. Kemudian hujungnya dipotong. Sebaik dilepaskan semula ikatan, rambutnya beralun membentuk gaya forward layer yang cantik. Gaya potongan ini tidak membuatkan rambut anak itu menjadi lebih pendek. Kemudian dirapikan hujung-hujung rambut anak kecil itu dengan kemas.

Suka betul Fara Afina dengan gaya rambut barunya itu. Bertambah lagi rasa kagum Isha pada kemahiran lelaki itu. Ini boleh buka kedai ni. Boleh bersaing dengan kedai rambut Muthu!

Err…rambut lelaki? Pandai jugak ke?” Soal Aqmar Alif yang sedari tadi ikut terlopong melihat lelaki itu menggunting dengan cekap.

“Gaya korea? Gaya mat salleh? Cakap je.” Sahut Hud Hurairah berlagak.

Pantas Aqmar Alif mengambil alih tempat duduk Fara Afina tadi sambil tersengih.

“Korea.”

Untunglah dia macam ni. Ada personal hair stylist tak berbayar. Hehehe…

 

KERETA Hud Hurairah dihentikan depan rumah peninggalan Kak Leeya.

“Alya Alisha Arif…” Panggilnya lembut.

Isha mengalihkan pandangan ke arahnya. Sempat dikerlingnya sejenak pada Fara Afiya dan Fara Afina yang sudah terlentuk tidur di tempat duduk belakang.

“Kahwin dengan saya…” Ujar Hud selamba.

“…cepat….” Sambungnya lagi sambil merenung nakal ke dalam mata Isha.

Tak keruan gadis itu dibuatnya. Sekejap dicapainya beg tangan, digalas. Sekejap ditekan-tekan punat tali pinggang keledar yang tiba-tiba susah betul nak terbuka. Sekejap kelam kabut pula meraba tempat buka pintu kereta. Eh mana pergi tempat buka niii…

Ketawa kecil Hud Hurairah dibuatnya.

“Ni..jangan lupa ni.. saya belikan ubat untuk luka adik. Pakai yang ni inshaAllah cepat sikit kering lukanya, dan tak berparut.” Ujar Hud sambil menghulurkan bungkusan plastik kecil.

Ice pack pun ada dalam tu.. awak pun boleh guna jugak… sakit lagi tak tangan tu?” Soalnya sambil memandang ke arah tangan Isha.

Isha sendiri pun ikut memandang tangannya. Memang ada terasa sengal.

“Kuat betul awak tumbuk abang ipar awak. Naik takut saya tengok. Tak jadilah saya nak terus ajar awak taekwondo.” Seloroh Hud lucu.

Tergelak juga Isha dibuatnya. Masa tu tak sakit..

“Saya masuk dulu ya..terima kasih hantarkan kami…” Ujar Isha sambil cuba membangunkan tuan puteri di tempat duduk belakang.

“Eh takpe, kesian diorang. Biar saya angkat. Awak pergi bukakan pagar.” Pintas Hud laju.

Terharu pula Isha lihat lelaki itu mendukung anak-anak itu seorang demi seorang ke dalam rumah. Dulu Isha sendiri terkial-kial mendukung mereka masuk ke dalam rumah, setiap kali mereka terlena di dalam kereta. Dan sekarang Isha terpaksa membangunkan mereka kerana tak mampu lagi mengangkat anak-anak yang semakin tumbuh membesar itu. Lebih-lebih lagi Fara Afiya yang ketinggiannya bakal menyamai Isha sendiri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

SIAPA tadi tu?” Teguran jiran mereka Faiz, mengejutkan Isha yang sedang sibuk mengunci pagar.

“Err…tunang Isha.” Jawabnya jujur.

Riak wajah Faiz tiba-tiba berubah aneh. Terkejut… dan marah?

“Tunang??!” Soalnya seakan-akan membentak.

Terkedu Isha dengan reaksinya.

“Isha! Kenapa buat abang Faiz macam ni?! Isha tahu kan abang Faiz dah lama suka kan Isha, ambil berat dengan Isha??” Bentaknya lagi dengan suara yang mula meninggi.

Isha mula cuak. Tak sangka dengan tindak balasnya.

“Kenapa tak bagi peluang abang Faiz lamar Isha? Abang Faiz mampu tau, sara dua isteri. Lebih dari mampu!” Tekannya lagi.

Isha benar-benar terkejut dengan reaksi jirannya itu.

“Apa ni? Dah kenapa dengan orang ni? Apa yang dia merepek ni?” Bertalu-talu soalan tersebut bergema dalam ruangan hati Isha.

“Putus dengan dia!” Arahnya dengan suara tinggi.

“Aa..apa…Faiz cakap ni…” Isha benar-benar bingung dengan reaksi jirannya itu.

Faiz merenungnya dengan mata yang merah terbeliak menahan marah.

“I..Isha masuk dulu lah.” Ujarnya tersangkut-sangkut, setelah dilihatnya lelaki itu diam tidak bersuara.

Faiz hanya menghantar langkahnya beransur masuk  ke dalam dengan pandangan bengis dari luar pagar.

Tindakannya benar-benar aneh, dan tidak masuk akal pada Isha. Sedikit sebanyak perlakuannya tadi menimbulkan rasa takut pada Isha.

Ya Allah.., lindungilah kami dari perkara-perkara yang buruk..

 

SUARA jerit tangis kanak-kanak dari luar rumah mengejutkan Isha dan kedua-dua Fara yang sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu. 

“Diam!” Suara herdikan menyusul selepasnya.

Berpandang-pandangan mereka anak-beranak sebelum masing-masing menerpa menjenguk ke tingkap.

“Masuk!” Kelihatan Faiz sedang mencekak leher seorang anak perempuan sambil memaksanya masuk ke dalam kereta.

Seorang lagi anak perempuannya yang lengkap  berjubah dan berniqab turut mengesak tangis di dalam kereta.

“Mama….” Panggil Fara Afiya dengan wajah yang ketakutan.

“Macam mana kalau kakak tu kena pukul macam Fiya  dengan adik..” Fara Afiya bersuara sebak, kolam matanya bergenang. Mungkin peristiwa ngeri itu masih menghantui jiwa kecilnya.

Fara Afiya sudah mula menangis perlahan sambil memeluk Isha.

Isha terkedu.

Err…tak lah.. pakcik tu marah sebab kakak tu nakal kut…” Ujar Isha cuba menenangkan anak-anak gadisnya, walaupun dia sendiri tidak pasti kenapa dadanya berdebar semacam. Gerak hatinya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Tapi… macam mana kalau diorang kena pukul… mama taknak tolong ke..” Sayu Fara Afiya menyuarakan isi hatinya.

Bukan Isha tak nak tolong. Tetapi dia sendiri pun tidak jelas dengan apa yang berlaku. Risau juga jika tersalah andaian, terlebih-lebih menyibuk urusan orang. Sudahlah lelaki itu berkelakuan pelik sebentar tadi.

“Bukan mama tak nak tolong…” Ujar Isha perlahan, sambil otaknya ligat berfikir.

Ok macam ni… “ Pantas Isha mendapatkan telefon pintarnya yang berada di atas sofa.

Butang merakam ditekan dengan kamera telefon dihalakan ke arah jirannya itu. Isha terus merakam tangisan dan layanan kasar Faiz pada anak-anak perempuan tersebut, sehinggalah kereta Alza biru milik lelaki itu beredar.

“Fiya dengan Fina tahu tak, VSP?” Soal Isha sambil jarinya sibuk menatal dan menekan-nekan skrin telefon.

Kedua-dua beradik itu menggelengkan kepala dengan pantas.

“VSP ataupun Volunteer Smartphone Patrol ni adalah aplikasi dari pihak polis kita, PDRM. Melalui aplikasi ni, kita boleh buat laporan terus pada pihak polis berkenaan jenayah yang berlaku di sekitar kita, atau apa-apa yang meragukan. Pihak polis akan datang dan buat siasatan mengenai apa yang kita laporkan.” Jelas Isha sambil menunjukkan skrin telefonnya kepada mereka.

“Mama dah isi dan hantarkan rakaman video tadi dekat pihak polis.” Tambahnya lagi.

Fara Afiya dan Fara Afina terangguk-angguk sambil tersenyum senang.

“Pandainya mama…” Puji Fara Afiya tulus.

“Dah…tak nak sedih-sedih lagi ea.” Dahi Si kecil dikucup penuh kasih.

“KITA nak pergi mana ni Pakcik Hud?” Soal Fara Afina teruja.

“Kita nak main kat taman permainan…kan Pakcik Hud?” Pantas Fara Afiya memberikan jawapan.

“Eh, takdelah..kita nak pergi kedai depan ni, je beli roti. Lepas tu baliklah.” Jawab Hud Hurairah serius.

Terus monyok wajah kedua-dua anak gadis itu.

“Betul ke mama…” Soal Fara Afina perlahan.

Isha menjeling tunangnya di tempat duduk pemandu geram. Hud Hurairah menghamburkan tawa. Barulah puteri-puteri kecil itu ikut ketawa.

“Pakcik Hud tipuuu…!” Jerit keduanya serentak.

“Mama cakap tak baik tipu tau… dosa..” Bebel Fara Afina. Sebiji gaya mamanya berleter.

“Ok..ok…sorry tuan puteri… kita pergi main kat taman ea… lepas tu kita beli aiskrim, nak?” Pujuk Hud Hurairah mesra.

“Nakkk….!” Pekik keduanya riang. Bingit telinga Ishaa dibuatnya.

“Adik nak aiskrim strawberry” Sahut Fara Afina sambil membuat aksi menjilat bibir.

“Kakak nak vanilla!” Sambung si kakak.

Strawberry satu.. vanilla satu! Allright…!” Sahut Hud Hurairah ceria.

“ Mama nak apa?” Usiknya pula sambil menyengih nakal pada pujaan hati.

“Mama mestilah coklat..!” Sahut Fara Afina yakin.

“Pakcik Hud? Pakcik Hud nak apa?” Soal Fara Afiya pula.

“Ermm…pakcik Hud…nak….mama!” Selamba lelaki itu berseloroh.

Mengekek ketawa budak berdua tersebut di tempat duduk belakang. Isha mengetap bibir geram. Mahu saja rasanya dicubit isi perut lelaki itu.

 

KANAK-kanak lelaki kecil berusia sekitar 2 hingga 3 tahun yang terjatuh ketika berlari menarik perhatian Isha. Pantas dia bangun meninggalkan kerusi batu tempat duduknya dan menerpa ke arah anak itu.

“Allah..Allah.. sikit je ni…” Pujuk Isha sambil membantunya bangun.

Luka juga lututnya sedikit. Anak itu menyebik mahu menangis.

“Ha..kan umi dah pesan jangan lari..” Tegur ibunya yang berlari anak mendapatkan mereka.

“Terima kasih ea… cakap terima kasih kat kakak ni..” Pinta wanita itu sambil mendukung anaknya.

“Tima kasih…” Ujar anak kecil itu, masih dengan memek muka yang menyebik comel.

“Sama-sama..” Sahut Isha mesra. Matanya sudah melirik Hud Hurairah yang tersengih-sengih berjalan ke arahnya sambil memegang aiskrim di kedua-dua belah tangannya.

“Makcik! Makcik! Ada orang ambik kakak tu!” Tiba-tiba beberapa orang kanak-kanak berlari mendapatkan Isha. Anak-anak itu yang bermain papan gelungsur dengan Fara Afiya dan Fara Afina baru beberapa saat tadi, sambil diperhatikan Isha.

Berderau darah Isha. Kelihatan perodua Alza biru sedang meluncur laju meninggalkan Kawasan tersebut.

Luruh jantung Isha. Allahu Akbar!!!

 

AWAK ambil phone saya, cari nama Anas.” Arah Hud Hurairah. Matanya difokuskan ke arah jalan. Minyak ditekan rapat. Kereta dipandu selaju yang boleh, cuba mengejar perodua Alza biru yang semakin sayup  jauh di depan.

Pantas Isha mencapai telefon bimbit yang dimaksudkan dan membuat panggilan kepada kenalan yang bernama Anas. Butang loudspeaker ditekan.

“Anas! Anak-anak aku kena culik! Saspek dalam Alza biru. Nombor plat tak nampak. Aku kat Jalan Mahanum.” Hud bersuara kuat. Tangannya masih cekap mengawal stereng, memotong satu demi satu kereta di depannya.

“Isha rasa tu kereta Faiz, jiran kami!” Entah kenapa dia berkata begitu. Memang dia langsung tidak nampak lelaki itu, atau memastikan yang kereta itu miliknya. Tapi gerak hatinya kuat mengatakan lelaki itu yang melarikan anak-anaknya!

“Kalau betul tu kereta diaa, nombor plat dia WNM 5189.” Sambungnya lagi.

Ok, on it! Update location kau!” Balas Suara di hujung talian.

Isha menamatkan panggilan lalu menekan butang live location untuk dihantar pada nombor tersebut.

Pandangan kembali difokuskan ke depan. Matanya sudah basah sejak tadi. Hatinya tak berhenti-henti berzikir dan merintih merayu kepada Tuhannya agar melindungi kedua-dua nyawanya. Sungguh tidak tersangka perkara begini boleh berlaku. Hanya sesaat dia mengalihkan pandangan dari mereka sebentar tadi. Allah..tolong Allah…

Allah..ya Allah.. Yang Maha Kuasa.. Hanya kepadaMu kami bergantung harap. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung. Engkaulah sebaik-baik Penolong.

Hasbunallah wa ni’mal wakeel wa ni’mal maula mani’man Naseer.