Sunday, August 10, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 9)

 


Bab 9

PAK Teruna minta maaf…” Lembut suara lelaki berusia separuh abad itu memecah bicara.

Mereka semua duduk berkeliling membentuk bulatan di ruang tengah rumah kayu tersebut. Kopi panas di dalam cawan kelihatan mengeluarkan asap nipis, bertembung dengan udara sejuk yang membaluti suasana malam itu. Mak Kesuma bertimpuh diam di samping suaminya.

Mereka yang lain juga hanya mendiamkan diri, memberi tumpuan sepenuhnya kepada butir bicara lelaki itu. Minda masing-masing masih ligat memproses situasi yang sedang dialami kala ini.

Sejak kejadian luar jangka yang berlaku siang tadi, tiada sepatah kata yang terluah di bibir masing-masing. Semuanya hanya berlegar di dalam kepala.

Pak Teruna meminta mereka pulang membersihkan diri. Dan tujuh sahabat itu juga hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tiada sebarang penjelasan atau perbincangan berlaku. Semua berada dalam keadaan terkejut. Terperangkap dalam tanda tanya antara benar atau tidak apa yang baru saja berlaku.

“Memang sebelum ni.. dah ada beberapa kes manusia hilang di kawasan ni..” Pak Teruna menyambung bicara. Nafas dihela perlahan.

“….. orang kampung pun memang tengah berusaha untuk kenalpasti… siapa yang punya angkara.” Sambungnya lagi.

Mereka yang lain masih diam. Bulu roma masing-masing mula merinding. Syu melempar pandangan pada Wan. Bertanya dengan mata.

“Apa maksudnya… ‘manusia’ hilang?....”

Wan hanya mampu menghantar jawapan tidak tahu kepada Syu, juga melalui lirikan mata.

“Kami ingat… cuma golongan liar di luar kampung… tak sangka pula.. pelakunya berada di dalam kampung ni… dari kalangan kami sendiri…” Ujar Pak Teruna bernada kecewa. Wajahnya diraup perlahan.

Padanlah sejak si kembar manis itu datang ke kampung ini, kehilangan kaum manusia yang tersesat masuk ke tempat mereka mulai heboh diperkatakan.

Pak Teruna menggeleng-gelengkan kepalanya sendiri. Kesal dengan kealpaan diri. Nyaris sahaja anak-anak muda itu menjadi mangsa dalam jagaannya. Pasti susah untuk dia maafkan dirinya sendiri, sekiranya dia terlewat muncul menyelamatkan mereka.

Sungguh dia tidak mahu, mencipta permusuhan dengan bangsa manusia. Bahkan mereka suami isteri sendiri mempunyai beberapa orang teman rapat dari kalangan manusia, yang masih saling berhubung dari masa ke semasa.

“Mak Kesuma pun minta maaf juga… memang Mak Kesuma langsung tak sangka…” Luah wanita itu kesal.

Dia sendiri pun ikut tertipu dengan pewatakan lembut dan sopan kedua gadis itu. Setahunya, nenek Cendana memang baik orangnya. Datuknya sendiri yang mengislamkan nenek Cendana sewaktu wanita tua itu berhijrah ke kampung mereka.

Tidak disangka pula, cucu-cucu wanita tua itu yang kononnya datang dari jauh mahu menjaga si nenek yang sedang uzur di penghujung usia rupanya adalah kaum kafir yang memerangi bangsa manusia. Lebih teruk lagi, adanya sebahagian kaum ini yang memang sengaja menjadikan darah manusia sebagai santapan untuk mengekalkan kuasa dan kecantikan mereka.

Longgokan mayat berbungkus kain putih seakan pocong yang ditemui di dalam lubang itu menjadi bukti bahawa sudah agak ramai manusia yang menjadi mangsa mereka.

“Kalau Mak Kesuma tahu…” kata-katanya terhenti di situ.

Rasa bersalah menghimpit hatinya kerana dia sendiri yang meminta gadis kembar itu menguruskan hidangan untuk anak-anak muda itu siang tadi.

“Si.. kembar Melati dan Kenanga ni cucu kepada jiran kami, nenek Cendana. Nenek Cendana ni dah lama menetap di kampung ni. Baik orangnya…” Jelas Pak Teruna setelah dilihat sang isteri kematian kata.

“Sekarang ni dia sedang uzur…” Pak Teruna menarik nafas dalam.

“Kami.. tak bermusuhan dengan bangsa manusia.. kami pun.. Islam juga.. beriman dengan Tuhan yang sama dengan kamu.. Allah Azzawajalla. Tapi.. sama macam bangsa kamu… ada juga yang kafir dari kalangan kami..” Jelas Pak Teruna.

“…dan…juga sama seperti kamu… ada yang jahat dari kalangan kami.. ada yang suka berbuat kerosakan.. ada yang suka berbunuhan…” Nafas dihela lagi.

 

"Dan sesungguhnya antara kami ada yang bersifat baik (soleh) dan ada juga yang tidak demikian halnya; kami adalah terdiri daripada berbagai-bagai jalan (atau aliran)."


[Surah Al-Jin, Ayat 11]

 

 

Terkebil-kebil tujuh sekawan itu dibuatnya. Liur dipaksakan turun melepasi tekak.

 

Sahih. Confirm! Mereka sekarang bukan lagi di dunia mereka. Dan ini… bukan homestay mak ngah Hawa! Jauh betul mereka bercuti kali ni.

 

Huuuu…. Mak… nak balikk….!

 

Jeritan itu hanya mampu bergema dalam hati masing-masing.

 

“Kamu ni sebenarnya dah tersesat jauh ke alam kami… mungkin orang-orang kamu pun alami kesukaran nak ikhtiar dapatkan kamu balik…” Jelas Pak Teruna lagi.

 

Memang kalau diikutkan.. bukan mudah untuk kaum manusia melencong masuk ke kampung mereka yang agak jauh di pedalaman. Melainkan ada yang membuka jalannya dengan sengaja.

 

“Tapi… mungkin juga ada yang sengaja buka jalan… atau memerangkap kamu masuk ke sini… dengan tujuan jahat…” Keluhnya lagi.

 

Liur masing-masing ditelan lagi secara paksa buat kesekian kalinya. Sudah terbayang di fikiran masing-masing pihak polis dan ahli keluarga serta ustaz dan imam yang berusaha menjalankan operasi mencari mereka bertujuh. Mungkin juga kisah mereka sudah viral di media sosial sekarang ini. Tak pasal-pasal glamour!

 

“Lagipun… kecederaan kamu semua agak parah juga dalam kemalangan tu sebenarnya… Alhamdulillah.. dengan izin Allah atas kelebihan yang dikurniakan pada kaum kami ni.. Pak Teruna dapat bantu percepatkan proses penyembuhan kamu. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Menyembuhkan.” Sambungnya lagi.

 

Anak-anak muda itu terangguk-angguk menyetujui kata-kata Pak Teruna. Memang mudah sahaja lelaki itu mengubatkan kaki Shuk. Begitu juga kepala Lana yang terluka. Mereka yang lain juga sebenarnya tercedera dengan agak teruk, tanpa mereka sedari.

 

“Tak apalah… semuanya dah selesai. Kamu pun dah sihat. Marilah.. Pak Teruna hantarkan kamu balik. Dah 2 hari kamu di sini… mesti keluarga kamu dah risau. ” Ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum lembut.

 

Err… kereta…” Shuk terhenti menelan liur.

 

Baru teringatkan Toyota Estima milik ayahnya. Kepalanya yang tidak gatal digaru kecil.

 

“Matilah aku…” Desusnya sendiri.

 

Pak Teruna tergelak kecil.

 

Haa…tu hah.. kereta kamu pun dah siap dibaiki. Dah macam baru dah.” Selorohnya bersahaja, memahami apa yang sedang dalam fikiran anak muda itu.

 

“…apa… kamu ingat masyarakat kami ni tak canggih ke. Lagi canggih dari kamu, tau…” Ujarnya lagi sambil tertawa, meneka apa yang bermain di minda mereka yang sedang memandangnya dengan wajah polos.

Friday, August 8, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 8)

 


Bab 8

“EEIIIIKKKKKK…!!!”

Nyaring bunyi jeritan kedua makhluk itu berteriak kesakitan. Kedua mereka dibelit ketat oleh ‘Pak Teruna’ yang telah bertukar menjadi ular putih besar tersebut.

Cengkaman tajam di bahu dan leher Lana dan Hawa serta-merta melonggar. Laju keduanya melungsur turun di atas pusingan belitan sang ular. Berguling-guling kedua gadis malang itu di atas tanah sebelum jatuh berdebuk ke dalam sebuah lubang.

Ketika ini barulah Harris dan rakan-rakan yang lain seakan terlepas dari paku yang memasak kaki mereka kemas ke tanah. Masing-masing baru boleh bergerak! Bagai lipas kudung mereka berlari mendapatkan Lana dan Hawa yang sudah hilang kelibat di balik lubang.

“Lana! Hawa!”

Berganti-ganti suara pekikan mereka sambil berlari mendapatkan gadis-gadis tersebut.

Ahh.. aduh..” Lana mengerang perlahan. Tak pasti kerana sengal batang tubuhnya terhempas atau kerana kepalanya terasa berpusing akibat tergolek berguling tadi.

“Lana…. Isk…” Hawa mula menangis. Bingkas dia bangun duduk lalu mengesot laju ke hujung sudut. Biru wajahnya menahan takut.

Lana yang masih pening-pening lalat berkalih ke arahnya. Sejurus kemudian mata Lana melorot pula ke arah yang sama dengan pandangan mata Hawa.

Arghhh! Ya Allah…!!” Terjerit gadis itu sebelum ikut bingkas berpusing merangkak laju mendekati Hawa. Terpejam-pejam matanya, keduanya berpelukan sambil menangis ketakutan.

Timbunan puluhan jasad berbungkus kain putih yang berlonggok dan bergelimpangan di lantai lubang tersebut benar-benar membuatkan darah kedua gadis itu terasa mengering.

“Lana! Hawa!”

Berkerumun kawan-kawan mereka menjenguk ke dalam lubang.

Korang ok tak?!” Jerit Amri.

“Abang Harris..!” Tangis Lana dari dalam lubang. Bersahut-sahut dengan suara tangisan Hawa.

“Kejap abang turun.” Sahut Harris cemas.

“Kau pegang aku.” Pintanya pada Shuk.

Lincah Harris menuruni tebing lubang dengan tangannya dipaut kuat oleh Shuk.

“Allahu Akbar…”

Spontan bibir Harris mengucapkan nama Allah, sebaik  pandangannya menangkap ‘bungkusan-bungkusan’ mayat yang berselerakan dalam lubang tersebut. 

“Korang ok tak? Jom, cepat. Kita keluar dari sini.” Pintanya dengan nada berbaur cemas.

Mahunya tidak. Selalu sahaja ditonton filem-filem seram atau thriller di televisyen di mana watak utama sibuk nak menangis berpelukan di depan penjahat yang sedang terbaring pengsan. Bukan nak lari dulu. Hah, waktu itu jugalah selalunya penjahat akan bangun menyerang sekali lagi.

Dibuatnya pocong-pocong ni tiba-tiba bangun tegak semuanya, memang masaklah diorang!

“Cepat! Cepat! Lana pijak kaki abang.” Arahnya sambil mengunjuk ke arah peha kanannya yang sudah dipasak kemas ke tanah.

Lana kelihatan teragak-agak seketika sebelum kelam kabut bergerak ke arah tunangnya dalam keadaan separuh merangkak. Belum sempat dia sampai ke tempat lelaki itu berdiri, kedengaran suara Hawa menjerit kecil. Tenggelam suaranya di sebalik kedua tapak tangan yang menekup mukanya sendiri.

Serentak itu juga Lana dan Harris berkalih ke arah jasad-jasad bergelimpangan yang berbungkus kejap persis hantu pocong dalam filem-filem seram Melayu, cuba memastikan apa yang membuatkan Hawa menjerit begitu.

“Argghhhh….!!”

Lana pula ikut menjerit sambil kedua matanya dipejam rapat.

“Allahu Akbar… Allahu Akbar…” Hanya itu yang terluncur keluar dari mulut Harris.

Bungkusan-bungkusan mayat yang tadinya terbaring senyap di tanah, mula bergetar-bergetar dengan kuat sehingga teralih dari kedudukan asal. Sama betul keadaannya dengan telefon bimbit yang diletakkan dalam mod vibrate.

“Kan aku dah kata… bangun si bungkus ni semua nanti..” Tangis Harris dalam hati.

Korang..cepat…” Antara keluar dengan tidak suara Harris mengarahkan gadis-gadis untuk memanjat keluar dari situ.

“Sini tangan korang…!” Jerit kawan-kawan di atas, ikut panik melihatkan timbunan pocong yang tiba-tiba bergetar.

Jangan melompat bangun semuanya ni kejap lagi…

Seluruh kudrat mereka dikerahkan untuk membantu menarik keluar Lana dan Hawa dari lubang itu. Mana dengan suasana bingit Sang Ular Putih sedang bertarung dengan kedua mahkluk yang mengerikan itu lagi. Mujurlah kedua sahabat itu bertubuh kecil. Kalau sebaliknya, memang diorang nak tolong ambil pesanan wasiat je, dah!

 

MASING-MASING terduduk mencungap nafas yang memang sudah lari alunannya sejak tadi. Bulat tujuh pasang mata itu menyaksikan Pak Teruna mula melonggarkan belitannya pada tubuh Melati dan Kenanga yang sudah terkulai.

Keduanya dilepaskan ke tanah. Perlahan wajah mereka yang tadinya begitu menyeramkan berubah semula menjadi Melati dan Kenanga yang mereka kenal. Erangan bernada rendah kedengaran. Mereka bernafas lemah.

Seketika kemudian kelihatan Melati mengesot merapati Kenanga. Tangan gadis yang berwajah sama dengannya itu digenggam kemas. Sekilas renungan tajam diberikan kepada tujuh sahabat itu, sebelum sekonyong-konyong tubuh keduanya hilang dari pandangan mata.

Rakan-rakan itu menelan liur. Masing-masing diam tidak berkutik. Hanya menanti apa yang seterusnya akan berlaku.

Kilat memancar cerah beberapa kali di langit, tanpa diikuti sebarang bunyi guruh, sebelum suasana gamat tadi kembali mereda. Ular putih besar tadi juga sudah mengecil perlahan sebelum kembali merupai Pak Teruna yang asal. Lelaki itu berdiri tegak di hadapan anak-anak muda itu.

Mereka hanya saling berpandangan tanpa sebarang suara. Pak Teruna mengeluh perlahan.

 

Thursday, August 7, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 7)

 


Bab 7

HIJAU. Tenang. Damai. Jika dapat dirangkumkan suasana dan pemandangan di situ ketika itu, perkataan-perkataan itulah yang paling tepat. Deruan air terjun berselang-seli sahutan cengkerik ikut membuai perasaan. Sukar digambarkan dengan kata-kata.

Korang tak nak join diorang mandi?” Soal Syu sambil membuang pandangan ke arah Wan, Shuk, Harris dan Amri yang terjerit-jerit kesejukan bermain air.

Lana mengerling Hawa sekilas.

“Tak naklah.. aku baru second day..heavy lagi.. kau pergila join diorang.” Balas Lana.

“Alah...kita duduk kat batu je. Macam Wan tu. Tak masuk dalam air pun...” Syu masih cuba memujuk rakan karibnya itu.

Takpelah..kau pergilah dulu...aku temankan Hawa lepak ambil angin kejap.” Balas Lana lagi.

Hawa hanya memandang kosong ke arah air terjun di hadapan mereka. Sejak tadi dia kurang berbual.

Syu mengangguk-anggukkan kepalanya, memahami kehendak Lana.

Kejap lagi korang datang eh.” Pesannya sebelum meninggalkan kedua gadis itu yang sedang duduk memeluk lutut di atas tikar yang dibentangkan di tanah.

Lana hanya mengangguk perlahan mengiyakan permintaan Syu.

Oit… kau ok tak ni?” Siku Lana Lembut.

Risau pula dia melihat Hawa diam begitu. Ditambah dengan hiasan benjolan hampir sebesar bola pingpong yang kelihatan semakin membiru melengkapkan muka monyoknya. Cukup menambahkan rasa kasihan di hati Lana. Nak tergelak pun ye juga!

Hawa mendengus perlahan.

“Kau tak nak cerita dengan aku ke, apa yang jadi tadi… Takkanlah sebab cicak sampai tergolek kau kat lantai tu.. nah.. tuamkan ais ni kat dahi kau. Dah start biru dah tu.” Pujuk Lana. Uncang beg kalis air berisi ketulan ais dihulurkan kepada Hawa.

Laju gadis itu berkalih menghadap Lana.

“Lana… benda yang kau nampak kat tingkap semalam.” Ujarnya sepotong.

Berkerut wajahnya, bersungguh mahu membincangkan perkara itu dengan sahabatnya.

Lana terasa bulu roma di tengkuknya mula berdiri. Serentak keduanya menelan liur masing-masing.

“..A....aku nampak…” Sambungnya separuh-separuh.

Lana menanti Hawa menghabiskan ceritanya dengan mata yang bulat dan jantung yang mula laju rentaknya.

“Mula-mula aku nampak masa aku buka almari bawah tu. Elok je dia duduk menyandar kat situ weh.” Hawa menyambung cerita sambil menggosok lengan sendiri. Imej sosok yang menyeramkan itu kembali terlayar di mata.

“Lepas tu aku pusing nak pecut, ehh ada pulak sekor lagi kat lantai tu kau tau. Aku tersepak dia.., haa.. itu yang tersembam menyujud aku kat lantai tu.” Ujar Hawa lagi.

Lana menelan liur buat kesekian kalinya. Faham sangat dengan ketakutan yang dirasakan sahabatnya itu. Dia sendiri pun terpaku tak bergerak dibuatnya semalam.

Entah kenapa tujuh sahabat ini tiba-tiba diganggu begitu. Hanya dengan pocong secara khususnya pula tu. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

 

“KRRRANGGG…!!”

Kilat yang memancar tajam secara tiba-tiba sebelum diikuti bunyi keras di langit beberapa saat kemudian serta-merta mematikan lamunan Lana.

Syuhada terjerit kecil, terkejut. Sementara yang lain terdiam kaku. Cuaca yang tadinya cerah elok beransur gelap dengan laju. Seolah-olah diselimuti langit akhir senja dalam kiraan detik.

Terpinga-pinga mereka melihat perubahan cuaca yang mendadak itu. Dalam keadaan bingung itu, serentak mereka berkalih ke arah pokok berdekatan dengan tempat duduk Lana dan Hawa. Bagai diarah tanpa sedar.

Sekonyong-konyong kelihatan Melati dan Kenanga berdiri senyap di situ. Tanpa sebarang pergerakan, tanpa sebarang bunyi, entah sejak bila.

Harris menelan liur. Hati mula berlagu bimbang. Firasatnya membisikkan berita yang tidak enak. Gerak hatinya kuat mengatakan sesuatu yang buruk bakal terjadi.

Melati dan Kenanga masih diam berdiri di situ. Entah kenapa gadis-gadis cantik yang tadinya kelihatan begitu ayu dan mempesona kini memberikan aura yang menyeramkan. Cukup untuk membuatkan bulu roma di lengan rakan-rakan itu menegak perlahan-lahan.

Lambat-lambat senyuman mula terukir di wajah kedua gadis tersebut. Sedangkan tujuh sahabat itu masih setia menjadi penonton tanpa beralih sedikitpun dari tempat masing-masing.

Anehnya, senyuman yang terukir perlahan di hujung kedua belah bibir gadis-gadis itu langsung tidak mendatangkan rasa lega di hati anak-anak muda tersebut. Lebih aneh lagi bila angin mula berhembus kuat dari segenap arah.

Tambah parah pula apabila senyuman keduanya semakin meruncing sehingga ke pangkal telinga mereka. Rambut masing-masing berayun menutupi senyuman yang semakin aneh itu sekejap-sekejap, sebelum mula mengerbang dan…memanjang!

Gigi keduanya yang mula terserlah menyengih juga ikut memanjang dan meruncing, membentuk taring yang tirus dan… tajam!

Wajah manis Melati dan Kenanga mula berubah melendut dan berkedut seolah-olah mereka sudah berusia ratusan tahun tuanya. Tak cukup dengan itu, kaki mereka pula mula menjauhi tanah sehingga keduanya terapung beberapa kaki di udara.

Lana dan Hawa yang berada di kedudukan paling dekat dengan mereka sudah keras tidak bernafas di tempat duduk masing-masing. Hendak dihembus pun tidak lepas, hendak tarik apatah lagi!

Mereka yang lain yang masih berada di dalam air juga ikut mematung, beku di tempat masing-masing. Senang cerita, jantung pun tak berani berdenyut dah!

Hanya Harris sahaja kelihatan terkumat-kamit mulutnya membisikkan kalimah-kalimah Allah. Allah… bala apakah ini…

"Eeeehehehehehehh……!"

Suara mengilai yang nyaring membingit secara tiba-tiba itu hampir saja menyentak keluar jantung ketujuh-tujuh sahabat itu dari pangkalnya masing-masing.

“Allahu Akbar…” Bisik Harris perlahan dari bibir yang mula mengetar.

Belum sempat otaknya memproses situasi tersebut, kedua ‘makhluk’ yang sedang terapung di udara itu menerkam laju ke arah Hawa dan Lana.

“Arghhhhhh…!” Spontan keduanya menjerit ketakutan.

“Allahu Akbarrr!!!” Harris langsung memekik dari tempatnya berdiri. Tidak sangka dengan tindakan mengejut kedua makhluk tersebut.

“Hoiiii!!”

“Krrangggg….!!”

Suatu suara yang dikenali menyergah kuat secara tiba-tiba, sebelum bersambung dengan panahan petir yang memancar berapi di kaki langit. Pergerakan Melati dan Kenanga serta-merta terhenti. Taring tajam keduanya hanya berjarak beberapa sentimeter sahaja dari terbenam ke dalam isi lembut di tengkuk Lana dan Hawa.

“Apa yang kau orang buat ni hahh??!!” Tempik Pak Teruna keras.

“Astaghfirullahalazim…..!” Istighfarnya kasar.

Melati dan Kenanga masing-masing menyeringai.

“Lepaskan budak-budak ni!” Pak Teruna bersuara tegas.

Makhluk-makhluk itu semakin galak menyeringai. Dicengkamnya kedua-dua Lana dan Hawa lalu diterbangkan mereka ke atas.

“Aku kata..lepas!” Arah Pak Teruna lagi dengan nada yang lebih keras.

"Eeeehehehehehehh……! Eeeehehehehehehh……!"

Mencicit nyaring kedua makhluk tersebut mengilai di udara, seolah-olah mengejek dan mencabar Pak Teruna.

Pak Teruna mengenggam tangannya geram. Giginya diketap rapat sambil merengus kasar.

Tanpa diduga, kepalanya tiba-tiba mengembang. Bahu dan kakinya pula menjulur panjang, membentuk seekor ular tedung selar yang sangat besar berwarna putih keemasan. Lebih besar dan lebih tinggi dari pokok tua yang megah terpacak di situ.

Hampir sahaja terjojol keluar bola mata si tujuh sahabat menyaksikan adegan yang tidak disangka-sangka itu. Dah macam tengah tengok cerita ultraman dalam televisyen!

TEMPAT MEREKA (BAB 6)

 


Bab 6

PAGI itu awal-awal lagi Pak Teruna dan Mak Kesuma sudah berangkat ke bandar. Khabarnya kereta mereka juga sudah hampir siap dibaiki. Mungkin mereka dapat menggunakannya untuk pulang setelah percutian ini tamat nanti.

Mereka bersepakat membuat keputusan untuk berehat di homestay sahaja pagi itu. Lana juga masih belum pulih sepenuhnya dari kejutan malam semalam. Mujurlah dia tidak diserang demam. Mungkin petang nanti mereka boleh cuba bersiar-siar di kawasan air terjun terkenal yang menjadi agenda utama mereka, sekiranya keadaan Lana bertambah baik.

Tiada siapa pun yang mempersoalkan kejadian demi kejadian pelik yang menimpa mereka hari itu. Mungkin masing-masing hanya mahu cuba melapangkan fikiran sekejap dari semua perkara yang merunsingkan, dan berharap gangguan aneh itu tidak berlarutan. Sekurang-kurangnya mereka semua masih dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Lana betul dah ok ni?” Soalnya pada si tunang yang ikut bersila bersama-sama mereka yang lain, mengelilingi hamparan kad permainan keluarga, Saidina.

Ok..., Alhamdulillah... kan abang dah jampikan semalam.” Sengihnya nakal.

“Oo... hari ni pandai bergurau. Semalam macam nak terjojol dah biji mata tu tengok tingkap.” Bebel Harris sendirian dalam hati, enggan mengulang sebut kejadian semalam.

Bimbang emosi dan semangat gadis itu kembali terganggu.

Ye ke ni... risau abang semalam tau.” Ujarnya dengan nada mengusik.

“...risau kena peluk dengan Lana.” Sambungnya sambil tersengih mengada.

Eee... perasan. Tak ingin orang nak peluk dia.” Tingkah Lana dengan muka merah padam.

Hish...macam mana dia boleh tau ni. Ada timbul kat dahi keee....” Jerit Lana dalam hati, menghambat rasa malu.

“Eleh... sikit lagi je Lana nak peluk abang semalam kan...kan...” Balas Harris, masih mahu menyakat.

Hish.... orang ni kan... haa.. karang ada jugak kena backhand ni karang...” Gumam Lana sendirian, geram apabila rakan-rakan yang lain ikut mengetawakannya.

“Mana aci....semalam tu sebab nampak Cik Cong kut...” Tukasnya lagi. Namun masih hanya bergema dalam hati sendiri.

Lana menelan liur sendiri. Tiba-tiba teringat imej makhluk mistik yang dilihatnya semalam. Serta merta bulu romanya berdiri tegak.

“Ah sudah-sudah, tak payah nak berdrama kat sini. Karang aku kawinkan korang kat sini jugak karang baru tau.” Marah Hawa.

Cemburu pula melihat kemesraan pasangan itu. Sudahlah teman lelakinya tidak mengikut percutian mereka kali itu.

 

“WEHH...! Mana aci macam ni...kau main tipu niii.... dari tadi aku asyik masuk hotel kau jeee...! Dah berapa kali dah ni... bankrap la aku macam ni...” Pekik Amri tidak berpuas hati.

Heyy...dia yang masuk...kita pulak yang salah. Dadu tu kau putar sendiri kann??” Balas Syu, tidak mahu mengalah.

“Entah kau Syu, aku pun malas lalu situ dah. Asyik kena je!” Ujar Wan, turut tidak berpuas hati.

Muahahahaha...! Aku kayaa...! Aku kayaa...!” Laung Syu sambil mengipas-ngipas duit di wajahnya.

Riuh rendah suara mereka berbalah dan bergelak ketawa menikmati permainan tersebut bersama. Mujurlah Pak Teruna dan Mak Kesuma tiada di rumah. Entah saling mengurut dada orang tua berdua itu agaknya, jika mendengar hiruk pikuk keletah mereka yang mengalahkan anak-anak sekolah rendah itu.

“Lana... duit abang dah cukup ni, boleh dah kita nak buat kenduri ni.” Harris pula tak berhenti-henti sibuk menyakat tunangnya di sepanjang permainan.

Digemburkan duit Saidina di depan gadis itu dengan bangga. Picit kepala Lana dibuatnya.

“Eh kejap-kejap, korang tunggu ea, jangan jalan dulu. Aku nak pergi ambil air kejap. Dahaga dah.” Ujar Hawa sambil bangun beredar ke dapur.

“Ambilkan untuk aku sekali...!” Pekik Amri.

“Aku pun nak...!” Laung Wan pula.

Order je pandai. Tolongnya tidak.” Sungut Hawa.

Dipunggahnya juga kabinet dapur, mencari dulang dan gelas.

Hawa mencangkung mencapai pintu kabinet dapur di bahagian bawah, setelah apa yang dicari tidak ditemui di bahagian atas.

Sebaik sahaja daun pintu tersebut terbuka luas, Hawa terkedu. Hidungnya serta merta terhenti dari berfungsi menarik dan menghembus nafas. Seluruh tubuhnya terasa keras membeku. Sekujur susuk berbungkus kain putih yang sedang mengerekot memenuhi ruang kabinet itu hampir sahaja menghentikan pengepaman jantung gadis itu secara mendadak.

Sikit lagi sahaja nak kena heart attack!

Dalam keadaan otaknya kosong dari sebarang perancangan kecemasan untuk melarikan diri, susuk itu tiba-tiba tergolek keluar dari kabinet, merapati kaki Hawa.

Apalagi, lintang-pukang gadis itu berlari dibuatnya.

“Arghhhhh....!”

“Buk!”

Baru sahaja suara jeritannya hendak meninggi, tersadung pula kakinya pada suatu objek. Menyembam juga gadis malang itu ke lantai. Berdebuk dahinya mencium mozek.

Hawa bingkas berkalih dari kedudukan meniarap, cuba mengenalpasti apa yang disepaknya tadi. Bulat matanya melihat hantu pocong terbaring tenang di lantai, benar-benar di hujung kakinya. Belum sepat dia sambung menjerit, rakan-rakan yang lain sudah sampai mengerumuninya.

“Allahu Akbar! Hawa!” Syu berteriak sambil mendapatkan Hawa yang masih terbaring di lantai dapur.

“Hawa! Hawa! Kau ok tak ni??” Wan dan Lana ikut sama menerpa ke arahnya dengan riak bimbang.

Macam mana pulalah kawan mereka yang seorang ni boleh tergolek kat sini.

Sedetik Hawa menoleh ke arah mereka secara spontan, sebelum kembali mengarahkan pandangannya kepada hantu bungkus tadi.

Tiada di situ!

Tu..! Tadi....” Bersusah-payah Hawa memaksa mulutnya yang tiba-tiba terasa tebal dan kebas untuk bercerita tentang apa yang berlaku.

“Assalammualaikum.....”

Kata-kata Hawa terpotong oleh satu suara yang menyapa lembut. Serentak mereka semua menoleh ke arah pintu dapur. Kelihatan dua gadis ayu sedang tersenyum manis ke arah mereka. Atau lebih tepat lagi, dua gadis ayu dengan wajah yang sama. Benar-benar sama!

Baik dari perincian wajah dan rambut mereka, saiz tubuh dan ketinggian, bahkan pakaian mereka juga sama. Bukan itu sahaja, kedua-duanya benar-benar cantik mempesona. Aishwarya Rai dan Angelina Jolie pun boleh kalah!

“Assalammualaikum.....” Ulang gadis ayu yang seorang lagi, setelah dilihat tiada siapa pun yang menjawab salam pertama dari gadis berwajah serupa yang berdiri di sampingnya.

Err... wa..alaikum...salam...” Perlahan-lahan salam mereka disambut oleh Harris dan Wan. Manakala mereka yang lain masih terkebil-kebil, terpana dengan keindahan wajah bidadari-bidadari di depan mata.

Err... saya Kenanga..., ini kakak kembar saya Melati... kami datang untuk uruskan hidangan tetamu seperti pesanan Mak Kesuma...” Jelas si gadis ayu dengan begitu lemah lembut sekali.

Terkelip-kelip mata tujuh sekawan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.

Err... kamu semua tak apa-apa ke.. kenapa di lantai...?” Soal Melati pula. Bergemersik suaranya menyapa pendengaran mereka yang lain.

Agaknya kalau menyanyi ni boleh pengsan Dato’ Siti Nurhaliza.

Err..ha’ah.. Hawa.. kau kenapa.. apa yang dah jadi...” Lana mula bersuara setelah tersedar dari pukauan kecantikan sang kembar.

Mereka yang lain juga mula berkalih dan memberikan tumpuan kepada Hawa. Hawa menelan liur.

Err....” Dahinya yang terasa tebal berdenyut disentuhnya perlahan. Sakit.

“....Aku... aku jatuh....” Ujarnya perlahan. Masih berkira-kira sendiri untuk berterus-terang dengan rakan-rakannya tentang apa yang dilihatnya tadi.

“....Aku...terkejut kat cicak...” Sambungnya lagi. Membuat keputusan enggan menceritakan perkara sebenar di hadapan ‘orang luar’.

“Nantilah aku cerita kat diorang.” Fikirnya sendiri.

“Dah benjol dahi kau ni Hawa..” Tegur Wan risau. Dibeleknya bengkak di bahagian temannya dengan teliti.

Ha’ah... lagi besar dari telur ayam Omega Gred A ni.” Sampuk Syu berseloroh.

“Buat terperanjat kitorang jelah kau ni.” Bebel si Shuk sambil membetul-betulkan rambut.

Err... adik Kenanga dan Melati jangan risau ya. Kawan kitorang ni memang macam ni.” Ujar Shuk sambil tersengih-sengih. Perasan kacaklah tu.

Wan mengetapkan bibir sambil menjeling teman lelakinya.

Mentang-mentanglah diorang tu lawa...

Wednesday, August 6, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 5)

 


Bab 5

SHUK terjinjat-jinjat sambil memegang bahagian atas palang tingkap kayu yang terbuka luas di bilik mereka. Sekejap kemudian dia terlompat-lompat ringan pula. Testing kaki.

Ish dia ni...main lompat-lompat pulak. Karang tergeliat balik kaki tu, kan susah.” Marah Amri. Marah risau.... marah sayang.

“Tak sakit langsung dah?” Soal Harris yang sedang bertenggek di atas palang tingkap di sebelah Shuk.

Suasana malam di kawasan pedalaman begitu benar-benar mengujakan seluruh sistem tubuhnya. Tenang dan mendamaikan.

“Tak sakit langsung weh. Kelmarin tersentuh sikit pun sakit.” Adu Shuk bersungguh.

“Alhamdulillah....” Balas Harris lega. Bersyukur.

Nyaris sahaja percutian mereka kali itu bertukar menjadi bencana.

Amri yang sedang terbaring di katil dengan kakinya masih di lantai, tiba-tiba bingkas menyacak bangun. Bulat matanya merenung kedua-dua rakannya.

Bunyi apa tu?

“Eh. Shuk. Cuba kau diam kejap.” Pinta Amri. Wajahnya kelihatan serius.

Shuk yang tadinya sedang melompat-lompat ringan terdiam. Harris juga menumpukan pandangan kepada Amri.

“Thud! Thud! Thud!”

Bunyi melompat seakan-akan lompatan Shuk tadi menyapa pendengaran mereka bertiga. Tapi kedengaran sayup-sayup, dari luar rumah. Spontan mereka berkalih ke arah luar. Mata masing-masing dikecilkan, cuba memfokuskan pandangan, mencari punca bunyi tersebut di sebalik gelap yang membaluti malam.

“Thud! Thud! Thud!”

Berderau darah Shuk dan Harris.

Harris serta merta bingkas dari duduknya. Shuk pula sudah terundur beberapa tapak ke belakang.

“Kenapa? Ada apa kat luar tu?” Soal Amri yang masih duduk di birai katil Cuak melihat reaksi kawan-kawannya.

“Thud! Thud! Thud!”

Bunyi yang tadinya sayup-sayup kendengaran semakin mendekat.

“Allahu Akbar!” Keras dan bergetar suara Harris melafazkan kalimah agung tersebut.

Seraya itu kelam kabut dia menarik daun tingkap dengan tangan yang menggigil.

“Tu...tutup weh! Tutup cepat!” Arahnya pada Shuk yang masih berdiri terkedu beberapa langkah dari tingkap.

Teragak-agak Shuk untuk beberapa saat sebelum menerpa membantu Harris menutup tingkap. Terketar-ketar tangannya mengunci selak tingkap.

“Tamm! Tamm! Tamm!”

Bunyi melompat-lompat tadi kini bertukar menjadi bunyi hentaman sederhana kuat di daun tingkap. Serentak Harris dan Shuk terundur ke belakang. Amri pula sudah berdiri tegak di belakang keduanya.

“..’Dia’ ketuk tingkap pulak dahhh.... Eh, tapi.. macam mana ‘dia’ ketuk. Bukan tangan ‘dia’ terikat ke... takkanlah...dia hantuk pakai kepala pulak?”

“...kalau hantu cina, logiklah juga, tangannya tegak ke depan...” Sempat pula Harris berdialog sendirian di dalam hatinya. Membayangkan apa yang sedang berlaku di sebalik kepingan tingkap yang tertutup rapat.

“Harris...buatlah apa-apa...” Bisik Shuk di sebelah, mengharapkan rakannya itu melakukan sesuatu untuk menghalau makhluk berbungkus yang mereka nampak tadi.

Kalau nak diharapkan dirinya, tak sebaris ayat suci al Quran pun yang mampu dibacakan saat itu. Sipi-sipi je lagi dia nak terkencing dalam seluar. Harris menarik nafas panjang, cuba mengatur detak jantung yang dari tadi sudah berterabur. Mata dipejam rapat, dengan kedua tangan diangkat merapati telinga, bersedia untuk melaungkan azan.

“Thud....! Thud.......!”

Belum sempat azan dilaungkan, bunyi hentakan di daun tingkap mendadak berhenti. Sekaligus digantikan dengan bunyi lompatan menjauhi tingkap.

“Ben.... benda apa tadi tu....” Soal Amri separuh berbisik, setelah berasa pasti ‘benda’ itu telah pergi dari situ.

Shuk dan Harris menelan air liur yang terasa kesat. Soalan Amri terbiar sepi tanpa jawapan.

“Di... dia... ikut kita ke... weh...” Soal Shuk pula kepada Harris.

Pertanyaannya juga tidak bersambut.

Akhirnya mereka hanya saling berpandangan antara satu sama lain.

 

BUNYI telefon bimbit mengejutkan Lana yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala. Skrin telefon diperhatikan seketika sebelum panggilan dijawab dengan senyuman menghiasi bibir.

“Hello.. Asslammualaikum...” Sapanya mesra.

Err... waalaikumsalam... Lana...” Tegur Harris di hujung talian.

“Lana buat apa tu, tak tidur lagi?” Soalnya.

“Belum lagi...baru siap-siap nak tidur.” Jawab Lana jujur.

Err... pintu, tingkap semua dah kunci?” Soal Harris lagi.

Spontan Lana melemparkan pandangan ke arah pintu. Matanya dikecilkan. Selaknya sudah terkunci. Kemudian dilemparkan pula pandangan ke arah tingkap. Baru dia perasan tingkap di sebelah kiri bilik itu belum lagi berkunci selak.

“Ala...nasib baik abang Harris tanya. Syu lah ni tadi buka tingkap ni. Tutup tak kunci balik.” Leter Lana pada Harris.

Pantas sahaja dia bangun merapati tingkap dengan telefon bimbit masih melekap di telinga.

Dua langkah sebelum sampai ke tingkap, tiba-tiba daun tingkap terbuka kasar!

Berhayun daun tingkap tersebut kerana terbuka dengan kuat. Terkejut Lana dibuatnya. Terjatuh telefon bimbit yang dipegang ke lantai. Hawa yang tadinya sudah terlelap di katil turut terjaga, terkejut dengan bunyi yang terhasil.

Wan yang sedang leka menatal skrin telefon juga terkedu memandang Lana dengan tingkap yang sudah terbuka luas di hadapannya. Syu pula sedang berada di dalam bilik air.

Belum sempat lagi debaran di dada Lana mereda, muncul pula pocong betul-betul di depan tingkap. Anak tekak Lana terasa bagaikan sudah tertelan masuk ke perut. Tak mampu bersuara lagi. Kakinya seolah sudah terpaku rapat ke lantai. Jangankan nak lari, nak menguit sedikit pun tak boleh lagi dah.

Mujur sahajalah seluruh wajah makhluk itu berbungkus kemas di dalam kain putih. Buatnya dia tersengih kerang pada Lana ketika itu, mahunya histeria gadis itu saat itu.

“Lana....” Panggil Wan perlahan. Kaget melihat gadis itu keras terpaku di depan tingkap.

Apa yang dilihatnya di luar tu?

“Dammm!!”

Serentak itu juga kedua-dua belah daun tingkap yang berayun deras tadi berdentam tertutup rapat.

Macam nak terlucut jantung gadis-gadis itu dibuatnya.

Lana terduduk di lantai. Lembik sudah kedua kakinya. Wan menerpa mendapatkannya.

Selang beberapa saat selepas itu kedengaran bunyi ketukan bertalu-talu di pintu bilik. Suara panik Harris memanggil-manggil nama tunangnya jelas kedengaran di sebalik pintu.

Hawa dan Wan saling berpandangan. Kelam kabut mereka mencari tudung dan kain untuk menutup kepala. Wan menyarung tudung di kepalanya sendiri, dan menutupkan kepala Lana yang masih terjegil memandang tingkap dengan tuala yang tersangkut di bahu gadis itu. Hawa yang sudah bersedia untuk membuka pintu pula memberikan isyarat kepada Syu yang baru keluar dari tandas untuk memakai tudung.

“Lana! Lana!” Harris tergesa-gesa mendapatkan tunangnya yang kelihatan terduduk di lantai di depan tingkap, sebaik pintu bilik dibuka.

Korang semua ok tak?” Soal Shuk cemas.

“Tingkap!” Laung Harris pada rakannya.

Pantas Amri menerpa dan mengunci tingkap yang tertutup rapat.

“Lana... abang ni...” Panggil Harris lembut.

Lana masih tidak mengalihkan pandangan dari tingkap. Matanya langsung tidak berkelip.

“Ambilkan air.” Arah Harris dengan suara menggeletar.

Lafaz ta’awuz, surah Al Fatihah, ayatul Qursi, dan 3 Qul berserta selawat dibacakan pada segelas air, sebelum Harris merenjiskannya pada wajah Lana. Setelah itu barulah Lana mengelipkan matanya yang mula memerah dan berair.

“Abang....” Panggilnya dengan suara yang serak mahu menangis.

Mahu sahaja dia memeluk tubuh lelaki itu ketika itu. Mujurlah akal warasnya masih berfungsi. Lana betul-betul terkejut dan ketakutan.

Ye... abang ada kat sini. Lana ok, Lana selamat...” Sahut Harris pantas.

“Lana minum air ni dulu ya... Lana terkejut ni...” Pinta Harris lembut, sambil menyuakan gelas air ke bibir gadis itu.

“A....apa yang jadi sebenarnya... Lana nampak apa...” Soal Wan perlahan, sambil mengarah pandangan kepada teman lelakinya, Shuk.

Buat kesekian kalinya Shuk, Harris dan Amri saling berpandangan antara satu sama lain. Sebelum diturut serta oleh gadis-gadis tersebut.