Wednesday, March 11, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 8 (Akhir)

 

Bab 8

“Ya Allahu Akbar…. Alhamdulillah… Allah lindung anak-anak mama…” Tangis Nadya sambil memeluk erat anak-anak gadisnya.

Pergelangan tangan keduanya dibelek-belek dengan wajah risau. Jelas kelihatan lebam berwarna biru kemerahan di situ. Leher Nadya juga mempunyai kesan yang sama.

“Alhamdulillah… Allah lindung semuanya…” Sambut Imam Hussin.

“Alhamdulillah…” Sahut Faizal dan Pak Mokhtar serentak.

Mereka semua berkumpul di ruang tamu rumah, berbincang mengenai kejadian yang baru sahaja menimpa keluarga tersebut.

“Memang sebelum ni, saya ada terima beberapa aduan dari penduduk taman…, mengenai gangguan-gangguan yang dikatakan berpunca dari… rumah sebelah kamu ni…” Imam Hussin berhati-hati menyusun bicara.

Pak Mokhtar kelihatan terangguk-angguk. Dia sendiri pun ada mendengar, sangkaan-sangkaan penduduk taman dan kampung berdekatan, mengenai Zuhdi yang ada ‘membela’. Khabarnya lelaki itu terpaksa berpindah juga adalah disebabkan aduan penduduk yang mula tidak selesa dengan kehadirannya di taman tersebut.

“Mungkin… yang menyerang kamu ni… sedang marah, kerana dibuang dan ditinggalkan tuannya…. Sebab tu lah.. keluarga kamu yang menjadi mangsa…” Tutur Imam Hussin lagi.

Wajah Nadya dan Faizal kelihatan memucat putih. Pelbagai tekaan dan kemungkinan sedang berlegar-legar dalam kotak fikiran masing-masing. Risau akan keselamatan keluarga dan anak-anak mereka.

“Tapi tak apa… jangan risau… saya dah halau…” Ujar Imam Hussin lagi, dapat menangkap apa yang menjadi kebimbangan pasangan suami isteri tersebut.

“…dan saya dah pagarkan rumah kamu…” Sambungnya lagi.

“Nanti… teruskan bagi minum air yang saya doakan tadi pada isteri dan anak-anak kamu. Campurkan jugak dalam air mandi. Buatlah untuk beberapa hari ni… biar pulih semula semangat mereka. Masing-masing masih terkejut lagi tu…” Arahnya satu persatu.

“Baik imam…” Sahut Faizal.

Suasana diam seketika sebelum imam Hussin kembali bersuara.

“InshaAllah esok lepas tarawih… kita ajak orang masjid.. ‘bersihkan’ rumah sebelah dan kawasan taman kamu ni. InshaAllah kita buat bacaan Yassin sikit..” Jelasnya panjang.

Mereka yang lain menganggukkan kepala, menyetujui kata-kata lelaki tersebut.

“Alhamdulillah… terima kasih imam.. Pak Tat…” Ujar Faizal.

Tangannya mengusap-usap bahu Nadya penuh kasih. Puteri-puteri kecil yang masih dalam dakapan si ibu ditatapnya dengan rasa lega. Bersyukur tidak terhingga isteri dan anak-anaknya selamat.

“Anak-anak… ni.. pakcik nak pesan…” Panggil imam Hussin mesra.

“Lepas ni… jangan lagi main permainan-permainan yang memanggil, memuja syaitan macam tu, ya. Jin, Iblis ni, suka sangat kita puja-puja, panggil-panggil dia. Nanti dia rasa besar, rasa hebat, rasa boleh jatuhkan kita. Boleh sesatkan kita. Ajak kita buat benda-benda yang Tuhan marah. Ajak kita jauh dari Tuhan…” Jelasnya panjang.

“Allah kata dalam Quran…. Surah Yassin ayat 60…

Bukankah Aku telah perintahkan kepada kamu wahai anak Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

“Allah larang kita puja dan sembah Iblis Syaitan… mereka tu musuh kita… mereka dah janji nak sesatkan kita… Cuma Allah lah…satu-satunya yang layak disembah… ” Ujarnya lagi.

Fiya dan Faiqa hanya mendengar dengan teliti, sambil menayangkan muka orang bersalah.

“Dengan ibu… dengan ayah… jangan kasar-kasar… jangan tinggi suara… jangan melawan…” Pesannya lagi.

“Nabi Muhammad Sallalahua’laihiwassalam pesan….

“Redha Allah terletak pada redha ibu bapa, dan murka Allah terletak pada murka ibu bapa.”
(Riwayat Tirmizi, Hadis no. 1899, Kitab Birr al-Walidayn)”

“Redha Allah tu.. terletak pada redha ibu dan ayah… Kalau ibu dan ayah tak redha… Allah pun tak redha…” Pesannya lagi dalam bahasa mudah untuk anak-anak kecil tersebut.

“Anak-anak pakcik ni nak masuk syurga tak..?” Soal Imam Hussin sambil tersenyum manis.

Fiya dan Faiqa terangguk-angguk kecil. Masing-masing masih memeluk erat tubuh Nadya.

“Kalau nak masuk syurga, kena dengar cakap ibu, cakap ayah ya…” Pesannya penuh kasih.

“Solat… puasa… jangan tinggal… anak-anak pakcik puasa tak hari ni?” Soalnya mesra.

“Puasa…” Jawab keduanya serentak dengan suara perlahan.

Imam Hussin tersenyum senang.

 

“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ruku’lah beserta orang-orang yang ruku’.”

Surah Al Baqarah Ayat 43.

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”

Surah Al Baqarah Ayat 183.

 

Rasululullah Sallalahua’laihiwassalam bersabda yang bermaksud,

“Puasa itu perisai (dari neraka dan dosa).”

Riwayat Ahmad, Hadis no. 23477

 

“Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sepuluh kali ganda, kecuali puasa; ia untuk-Ku, dan Aku yang akan membalasnya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

 

~Selamat menjalani ibadah puasa.~

TAMAT.



‘KAWAN BARU’ Bab 7

 

Bab 7

BEBERAPA ketika sebelum Nadya diserang…

“Dah ambil bubur dah?” Imam Hussin menyapa mesra.

Bahu Faizal ditepuk perlahan.

“Dah… terima kasih imam. Saya ambil lebih satu imam, nak sampaikan pada jiran sebelah saya yang baru pindah tu.” Sahut Faizal ramah.

Eh, jiran baru pindah?” Soal Imam Hussin.

Dahinya dikerutkan. Seolah-olah sedang tekun memikirkan sesuatu.

“Bila pindah? Kamu tahu pasal ni Tat?” Soal Imam Hussin kepada Pak Mokhtar yang turut berada di situ.

Eh… tak tahu pulak saya, imam. Setahu saya… lepas si Zuhdi tu pindah keluar hujung bulan lepas, tak ada pulak dengar orang baru nak pindah masuk. Tuan rumah pun tak ada sebut apa-apa dalam group whatsapp taman.”  Jawabnya bersungguh.

Eh… ada imam, Pak Tat… dekat maghrib tadi ada lori angkut barang masuk. Lepas tu, masa saya nak keluar ke masjid ni tadi, ada seorang perempuan… emmm.. apa namanya tadi…” Kata-kata Faizal terhenti sebentar.

“Rinah.. haaa… Qarinah namanya, dia minta tumpangkan anak perempuannya di rumah saya sekejap, sebab nak patah balik ke rumah ibunya, tertinggal telefon katanya.” Sambungnya.

“Qarin….” Imam Hussin bersuara perlahan. Dahinya berkerut-kerut sambil hujung jari jemarinya digerak-gerakkan, seolah-olah sedang mengira-ngira sesuatu.

Astaghfirullahalazim….” Lafaznya kemudian.

“Cepat, Faizal, kamu kena balik sekarang. Tat, kamu ikut sekali. Kita pergi rumah Faizal sekejap.” Ujarnya dengan riak risau.

“Ke..kenapa imam?” Tanya Faizal tergagap-gagap.

Rasa takut dan bimbang mula tersebar dalam hatinya, seakan pewarna hitam yang dititiskan dalam air jernih. Merebak dan menular dengan pantas. Debar di dada mula beralih rentak.

 

SEMENTARA itu di rumah.. Semua lampu yang tadinya terpasang elok di siling tiba-tiba meletup dan terpadam serentak.

“Ahhhh…!! Aaahh! Aaahhhh….!!” Terjerit-jerit Fiya dan Faiqa ketakutan.

“Kakak! Kakak! Adik takut..!!” Jerit Faiqa sambil tangannya tergawang-gawang cuba menggapai Fiya.

“Mama..!! Mamaaa…!” Jerit Fiya pula, cuba memanggil ibunya.

Namun kelibat yang ditunggu tidak kunjung tiba. Bahkan tidak terdengar pun suara sahutan dari sang ibu di bilik sebelah.

Tiba-tiba pergelangan tangan Fiya terasa dicengkam kuat oleh seseorang yang berkuku tajam.

“Arghhh aaahhhh…!” Faiqa menjerit-jerit sambil menarik-narik tangan kanannya.

Tahulah Fiya, adiknya juga sedang dicengkam sesuatu. Tersekat-sekat nafasnya sambil mengecilkan mata, cuba memaksa untuk menyesuaikan penglihatannya dalam gelap dengan cepat. Tapi dia langsung tidak nampak apa-apa. Suasana dalam bilik tersebut betul-betul kelam. Gelap gelita.

“Ikut aku!” Tiba-tiba suara garau milik sepasang tangan berkuku tajam tersebut menjerkah mereka berdua dengan kasar.

Entah bagaimana, Fiya berasa sangat pasti, bahawa yang bersuara itu adalah Awa. Kawan baru mereka.

Belum sempat Fiya bertindak balas dengan situasi tersebut, Awa, atau makhluk tersebut merentap tangan mereka berdua dan mengheret mereka di lantai.

Aaahhhh…!!! Mamaaaaa…! Mama tolong adiiikkk….!!” Faiqa menjerit sekuat-kuat hatinya.

Fiya pula menangis semahunya. Tidak semena-mena adegan dia bersikap biadab pada ibunya tadi terulang tayang di layar matanya. Rasa menyesal menghentam dadanya bertubi-tubi. Entah kenapa dia begitu sebentar tadi.

Pergelangan tangannya terasa pedih dan sendinya bagai mahu tercabut, direntap dengan begitu kuat. Menggelupur anak-anak kecil itu diseret di atas lantai yang bagaikan tidak berpenghujung. Padahal keluasan bilik tidur tersebut hanyalah beberapa kaki.

“Toloooonnngggg…!!” Pekik kedua-duanya.

Dalam saat genting itu, Fiya terasa pergelangan kaki kanannya ditangkap seseorang. Pegangannya kemas dan kuat, sehingga pergerakan makhluk tersebut yang sedang mengheret mereka terhenti. Waktu itu juga kedengaran laungan azan begitu dekat dengan mereka.

“Eeeeikkkhhhhh….!!!” Kedengaran makhuk tadi mengeluarkan bunyi nyaring melengking, seolah-olah sedang kesakitan.

“Lepaskan diorang! Jangan kacau anak cucu aku!” Pekik seorang lelaki.

Beberapa potong ayat suci al-Quran dialunkan dengan kuat oleh lelaki yang sama. Sementara laungan azan masih kedengaran di belakangnya.

“Eeeeiiikhhhhhhhhhh………!”

Makhluk tersebut menjerit lagi… sehingga suaranya kedengaran beransur menjauh, sebelum hilang sepenuhnya.

“Fiya! Faiqa! Ya Allah…” Panggil Faizal sambil melepaskan pegangannya di pergelangan kaki kedua-dua anak perempuannya lalu memeluk mereka erat.

Rasa takut menyelubungi hati lelaki itu. Kalaulah dia terlambat sedikit sahaja tadi…

“Papa..!!” Jerit keduanya sambil mendakap tubuh ayah mereka.

Berhamburan air mata kedua beradik tersebut.



Tuesday, March 10, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 6

 

Bab 6

SERENTAK itu tangan Nadya melekap ke dada. Terkejut. Jantung yang bergendang di sebalik kurungan sangkar rusuk terasa jelas berdenyut di tapak tangannya. Laju.

Belum sempat fungsi pernafasannya pulih, Awa tiba-tiba menjengahkan kepala betul-betul di hadapan muka Nadya. Seluruh tubuhnya seolah-olah disimbahi cahaya lampu berwarna merah. Tubuhnya yang dibaluti kurung merah itu seakan dilumuri darah.

Kedua belah lengannya diletakkan ke atas kepala lutut. Si kecil Awa sekarang sedang berada di depan Nadya dalam kedudukan mencangkung. Hanya naskhah al-Quran yang terbentang di atas rehal sahaja yang menjadi pemisah antara mereka.

Wajah Nadya membiru serta-merta. Sistem pernafasannya terhenti sepenuhnya. Belum sempat matanya berkelip, Awa yang asalnya berwajah comel seperti kebanyakan kanak-kanak seusianya, tiba-tiba menguak dengan kasar, persis bunyi binatang yang besar.

Mulutnya terkuak luas menampakkan bahagian dalam kerongkongnya. Lendir air liur bertali-tali menyatukan bahagian atas dan bawah ruang dalam mulutnya. Bau busuk hanyir yang likat segera menerpa rongga hidung Nadya yang masih terpaku di depan mukanya.

“Ya Allah, ya Allah, ya Allah.” Kedua belah mata Nadya dipejamkan serapat-rapatnya.

Tubuhnya langsung tidak dapat digerakkan hatta seinci pun. Apatah lagi mahu berlari menyelamatkan diri.

“DIAMMMMM….!!! Aku panaslah bodohh…!!!!”

Makhluk yang masih dengan rupa Awa di hadapannya itu tiba-tiba mengamuk! Nashkah suci al-Quran ditepis kasar ke tepi sebelum sempat Nadya berbuat apa-apa. Dalam sekilas itu, Nadya nampak dengan jelas, bahagian tangan mahkluk tersebut yang terkena al-Quran, menyala dengan mengejut, seperti api yang menyambar minyak secara tiba-tiba, sebelum terpadam sendiri.  

“PANASSSS…..!!” Jeritannya begitu nyaring dan bingit, menampar gegendang telinga.

Nadya menekup kuat kedua belah telinganya yang terasa pedih mencucuk. Serentak itu juga mahkluk tersebut menerpa laju ke arah Nadya. Kedua tangannya yang berjari kurus dan panjang dengan kuku yang tajam di hujungnya mencekak keras batang leher Nadya.

Berat jasad ‘Awa’ yang kecil itu terasa seakan lebih berat daripada puluhan kampit pasir simen, merempuh tubuh badan Nadya, menyebabkan dia terlentang ke belakang.

Kepala Nadya terhantuk kuat di lantai, meskipun ruangan itu beralas karpet sederhana tebal. Tubuhnya mati dari sebarang rasa dan pergerakan, akibat ditindih susuk yang sebegitu berat. Nadya tidak mampu menguit sedikit pun.

“A’udzubikalimatillahi ttammati min sharrima khalaq..” Minda dan lidah Nadya cuba bekerja sama untuk melafazkan kalimah tersebut, merayu pertolongan Tuhan di kala itu.

Tetapi doa yang diharapkan menjadi senjata itu seakan terpalam di dalam ruangan mulutnya. Tidak berjaya diucapkan secara hakiki.

“Aku PANASSSSS…!!!!” Jeritnya lagi.

Kedua tangannya dibenamkan ke leher wanita malang itu, sejurus sebelum mencerut rapat keseluruhan jari dan tapak tangannya, mencekik Nadya dengan tenaga yang luar biasa.

“Erkkkhhh….” Kerongkong Nadya nyaris pecah terhimpit. Benar-benar rapat.

Tiada pertukaran udara berjaya tersusup, jauh sekali sebarang suara atau bunyi. Air mata berlinangan di kedua belah pipinya. Kalimah Allah bergema di segenap ruang hati dan seluruh tubuhnya. Sesungguhnya dia menyerahkan sepenuhnya hidup dan matinya di tangan Tuhannya.  

“Allah…”

Pandangan Nadya bertukar gelap. Hitam dan Pekat.

 

“ALLAHHH…..!!!”

Setelah bersungguh-sungguh berhempas-pulas meronta-ronta cuba melepaskan diri dan meneran keluar suaranya sedaya-upaya, Nadya akhirnya berjaya melaungkan kalimah suci tersebut.

Serentak dengan laungan itu, susuk tubuh Nadya juga ikut terbangun mendadak dari pembaringan. Peluh meleleh-leleh membasahi seluruh bahagian tengkuk dan badannya.

Nadya terpinga-pinga. Rasanya benar-benar seperti keadaan ketika ‘ditindih’ ketika sedang tidur dan bermimpi. Tak mampu bergerak, tak mampu bersuara.

“A’udzubikalimatillahi ttammati min sharrima khalaq.., A’udzubikalimatillahi ttammati min sharrima khalaq..” Berulang-ulang Nadya melafazkan doa tersebut dalam keadaan tercungap-cungap.

“Sayang?! Sayang…! Sayang tak apa-apa ke?” Pintu bilik tidur Nadya terbuka gopoh.

Kelam-kabut Faizal menerpa mendapatkan isterinya.

“Abang! Abang..! Dia… dia menyamar jadi budak abang! Hantu tu menyamar jadi budak, dia nak bunuh sayang! Fiya! Dia hasut Fiya! Fiya Faiqa! Mana anak-anak kita abang!” Berterabur bicara Nadya cuba menjelaskan apa yang berlaku dalam senafas.

Kelam-kabut dia cuba turun dari katil untuk mencari anak-anaknya.

“Mama! Mama!” Fiya dan Faiqa tiba-tiba menerpa dan memeluk ibu mereka kuat. Esak tangis masing-masing kedengaran bersahut-sahutan.

“Sapukan air tadi ke mukanya sekali lagi, Faizal. Bagi minum sikit.”

Kedengaran suara seorang lelaki dari luar bilik. Nadya dan Faizal saling berpandangan.

Apa yang sebenarnya berlaku?



Monday, March 9, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 5

 

Bab 5

NAFASNYA cuba dikawal sebaik mungkin. Sukar untuk percaya dengan apa yang dilihatnya. Bukannya anak-anaknya tidak tahu tentang perkara itu. Ada beberapa filem yang telah mereka tonton bersama, yang berkisar mengenai sekumpulan anak remaja yang bermain permainan memuja roh tersebut.

Sudah dijelaskan sebaik mungkin kepada anak-anak gadisnya, kenapa permainan itu tidak dibenarkan dalam agama mereka. Sudah diberitahu akan keburukan permainan-permainan begitu. Sudah diberi peringatan  berulang-kali untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti sebegitu, walaupun diajak rakan-rakan di sekolah atau sebagainya.

Dada Nadya mula terasa ketat dihimpit geram. Bahagian hadapan telekung yang melorot turun dari atas bahunya diselak dan disangkutkan semula berkali-kali.

Ala, main-main je pun! Bukan betul-betul pun!” Balas Fiya dengan suara yang tinggi.

Terjegil mata Nadya memandang anak sulungnya. Terkejut dengan reaksinya.

“Mama kata kan bulan puasa syaitan tak ada, kena ikat.” Sampuk Faiqa pula.

Bibir Nadya bergetar menahan rasa marah. Hatinya sudah mula berburuk sangka kepada Awa yang masih diam di situ. Dalam tidak sedar dia mula menuduh gadis kecil itu yang mempengaruhi anak-anak gadisnya untuk bermain permainan bukan-bukan begitu. Tadi main gigit-gigit sampai luka, sekarang permainan memuja syaitan pula.

Sikap melawan dan meninggi suara Fiya juga disalahkan ke atas Awa. Sebelum ini, tiada pula anak gadisnya itu bersikap begitu. Apatah lagi jika terang-terangan terbukti dia sendiri yang melakukan kesalahan atau  perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Nadya menarik nafas dan menghembuskannya kembali panjang. Emosinya cuba dikawal sebaik mungkin.

“Nayla Safiya… walaupun main-main ke, cuba-cuba ke, benda ni salah ke betul?  Patut ke tak patut Fiya main benda-benda macam ni?” Nama penuh anaknya disebut, menandakan apa yang mahu disampaikan ketika itu benar-benar serius.

“Anak-anak mama tahu ke tak tahu, boleh ke tidak kita bermain permainan-permainan memuja roh syaitan semua ni? Tak takut ke kalau jatuh syirik??” Tambahnya lagi. Nada suaranya naik seoktaf.

“ Takut tak kalau Allah marah? Nak Allah sayang ke nak Allah marah??” Soal Nadya lagi.

Ligat otaknya cuba menyusun ayat seringkas mungkin supaya apa yang hendak disampaikan dapat difahami anak-anak gadis itu dengan mudah.

“Mama ni semuanya tak boleh!!” Bentak Fiya dengan suara separuh menjerit.

Mendadak dia bangun berdiri. Lantas tangan Awa ditarik lalu mereka beredar menuju ke bilik tidur Faiqa di bahagian ruang makan. Kakinya sengaja dihentak kuat di lantai, mempamerkan rasa marah. Adiknya pula teragak-agak mengikut dari belakang, dengan air mata yang mula bertakung.

Terkedu Nadya dengan tindak balas si anak yang tidak disangka-sangka. Spontan rasa panas menyerbu ke muka dan menjalar naik hingga ke kepala. Kalau tidak ada Awa di rumahnya ketika ini, mungkin dia sudah bergegas mendapatkan penyangkut baju untuk merotan bahagian kaki si Fiya atas sikap biadabnya tadi.

Astaghfirullahalazim…..” Sebutnya perlahan, sambil kepala digeleng-gelengkan ke kanan dan kiri. Rasa marah yang menyerang cuba digugurkan dengan istighfar.

Dulang tadi diangkat kembali, lalu suis lampu dan kipas di bilik dimatikan, sebelum melangkah menuju ke ruang makan. Dulang di tangan diletakkan di atas meja, kemudian tudung saji dicapai, menutup dulang tersebut.

Kakinya dibawa berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik Faiqa yang terletak tepat di sebelah bilik tidurnya sendiri. Berkira-kira sendiri tindakan terbaik yang patut diambil dalam situasi itu.

Betullah kata orang, menguruskan anak kecil lain cabarannya. Membesarkan anak remaja pula, lain cabarannya. Nadya cuba memujuk diri. Mungkin sikap Fiya malam itu cuma salah satu dari tanda perubahan emosi anak yang sedang menginjak remaja. Ikut kiraan tahun pun, usianya sudah mencecah 12 tahun, tahun ini.

Nafas dihela panjang sekali lagi.

Nadya mengambil keputusan memberikan masa untuk anak gadisnya bertenang dulu. Tubuhnya dibawa kembali ke dalam biliknya. Telekung di tubuh ditanggalkan dan dibiarkan di atas sejadah. Pintu bilik air dikuak, sengaja mahu memperbaharui wudhuk. Air dingin yang mengalir laju dari pili sedikit sebanyak membantu menyejukkan dirinya. Terasa kembali segar.

Bacaan al-Fatihah dialunkan lembut, sambil tangannya menyelak helaian kitab suci tersebut. Bacaannya yang terhenti pada kali terakhir disambung cermat. Surah al-Baqarah tersebut dialunkan dengan penuh penghayatan.

“Pupp!!”

Baru beberapa baris ayat dibaca, lampu downlight di siling tiba-tiba berkelip laju, sebelum terus meletup dan terpadam. Bukan satu, tapi ke-empat biji di bilik tersebut meletup dan terpadam serentak.

“Allahu Akbar!”

 

 


 

 

 

 

 

 

 

Sunday, March 8, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 4

 

Bab 4

“PERGI basuh dulu luka tu. Lepas tu baru sapu ubat.” Arah Nadya dengan kening bertaut.

“Apa main macam tu, Fiya.. dah besar kan.. bukannya umur 3,4 tahun…kenapa nak gigit-gigit… ” Leter Nadya dengan suara yang dikawal perlahan.

Anak sulungnya yang berusia 4 tahun lebih tua dari si adik itu hanya menundukkan kepala ke bawah.

“Sini minyak gamat tu. Biar mama sapu.” Pinta Nadya.

Fiya mendekati ibunya dengan botol minyak gamat di tangan, manakala Faiqa yang baru keluar dari bilik air sudah berdiri tercegat di depan si ibu.

“Bukan kakak mama, Awa yang ajak main… tengok siapa paling tahan sakit kena gigit.” Bisik Faiqa yang kelihatan sedikit tenang.

Fiya menjeling adiknya, marah.

“Dia yang nak main jugak!” Marahnya pada si adik.

“Fiya….” Tegur Nadya spontan, terkejut dengan reaksi si kakak.

Kebiasaannya, Fiya yang paling risau sekiranya si adik terluka sewaktu bermain. Dia juga yang selalunya paling sibuk mahu menyapukan  ubat untuk si adik yang rajin berdrama. Bergaduh, bergaduh juga, tapi jika sampai si adik terluka, Fiya biasanya akan cepat-cepat mengalah dan menunjukkan rasa bersalah.

Fiya hanya menjeling dan mendengus perlahan setelah ditegur begitu. Jelas tidak berpuas hati dengan si adik. Kemudian kaki dihentak kasar ke lantai, tanda protes, sambil bergegas keluar dari bilik untuk mendapatkan Awa.

Berkerut lagi dahi Nadya. Tidak faham dengan tingkah si anak yang tiba-tiba. Pandangannya difokuskan kembali ke arah Faiqa. Mata gadis itu kembali bergenang, mungkin terkesan dengan sikap si kakak.

“Dah, siap dah… sikit je ni.. pergi main elok-elok.. jangan main bukan-bukan lagi.” Ujar Nadya setelah siap menyapukan ubat di lengan si anak.

Faiqa kembali menatang lengannya sambil berjalan menuju ke bilik si kakak.

“Jangan gaduh-gaduh….!” Sempat Nadya melaungkan pesanan tersebut sebelum pintu bilik tidurnya kembali ditutup si anak.

Nadya menggeleng-gelengkan kepalanya. Jam yang tergantung di dinding dikerling seketika. Lambat lagi suaminya akan pulang. Biasanya suaminya akan menghabiskan solat tarawih di masjid, jarang-jarang dia menamatkan solat pada 8 rakaat seperti Nadya di rumah.

Al-Quran yang berada di rak dicapai. Nadya kembali bersimpuh di sejadah. Papan rehal dibuka dan naskhah al-Quran di tangan diletakkan dengan cermat. Tapak tangan kanannya diletakkan di atas Al-Quran, bersedia untuk memulakan bacaan. Sejenak kemudian dia berpaling ke arah pintu bilik. Berkira-kira mahu menjenguk anak-anak itu sebentar.

Tubuhnya ditunjal bangun dengan helaan nafas. Lalu kakinya diatur menuju ke dapur.

 

 “SAYANG…?” Panggil Nadya sambil menatang dulang berisi sedikit potongan buah tembikai, sepiring kecil kuih raya yang baru siap dibakar siang tadi, serta bancuhan air Ribena untuk tetamu kecil mereka.

Pintu bilik tidur Fiya diketuk perlahan. Kepalanya dijengul ke dalam ruang bilik setelaah pintu bilik dibuka.

Nah, mama bawa kuih raya yang kita buat tadi. Tadi cakap nak rasa, kan? Ajak Awa makan sama-sama.” Ujar Nadya sambil tersenyum kepada anak-anak gadis tersebut.

Entah apa yang mereka bertiga sedang lakukan. Duduk bersila bertiga di atas lantai beralaskan karpet, membentuk bulatan, mengelilingi selembar kertas besar seperti kertas lukisan.

“Main apa tu?” Soal Nadya, sambil menjenguk ke dalam ruang bulatan mereka.

Err… tak ada apa pun mama. Main lukis-lukis.” Jawab Fiya pantas.

 Tubuhnya digerakkan seolah-olah cuba menghadang kertas lukisan tersebut dari pandangan ibunya.

“Lukis apa tu? Boleh mama tengok?” Pinta Nadya, masih tidak berganjak dari rasa ingin tahunya.

Entah kenapa dadanya rasa berdebar aneh.

“Tak ada apa pun…” Jawab Fiya pantas, masih enggan berkongsi dengan si ibu.

Faiqa dan Awa pula masing-masing hanya mendiamkan diri. Nadya mula resah.

“Kenapa pelik aje budak-budak ni….” Bisik hatinya sendiri.

Lebih aneh lagi, bunyi seperti menderam seperti dari dalam tekak dengan mulut yang tertutup kedengaran menyapa telinganya, sayup-sayup. Pandangannya diarahkan kepada tiga anak gadis itu, silih berganti. Tidak pasti dengan pendengarannya sendiri.

“Sini mama tengok sekejap..” Tangannya spontan mencapai kertas yang terbentang di lantai.

“Dup…!”

Sekeping syiling bersaiz 50 sen yang tergelincir dari lembaran kertas itu jatuh ke atas lantai beralaskan karpet bermotifkan kartun Hello Kitty tersebut menangkap pandangan Nadya. Sedetik kemudian matanya ditumpukan ke arah lukisan di atas kertas. Serta-merta dahinya berkerut. Wajahnya mula terasa panas memerah.

“Ya Allah… apa benda ni?” Intonasi Nadya berubah senada.

Terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Kamu main apa ni? Spirit of the coin??” Soalnya bertalu-talu.

 


Saturday, March 7, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 3

 

Bab 3

NADYA masih kaku di situ. Keras tidak berkutik. Nafasnya terhenti seketika, sebelum dadanya kembali berombak, senada lebih kencang dari asal. Kipas yang berputar di siling ruang tamu terasa memusarkan angin dingin yang lebih sejuk daripada biasa.

Pandangannya masih terpaku di daun pintu bilik Fiya yang tertutup rapat.

“Apa yang aku nampak tadi?” Hatinya berbicara sendiri.

Sejenak kemudian kepalanya digeleng-gelengkan sendiri. Cuba menyangkal imej yang dianggap mainan minda. Banyak sangat tengok cerita hantu. Itulah…

Seraya itu tangannya naik menekan tutup suis kipas ruang tamu, yang terletak di dinding betul-betul bersebelahan pintu bilik tidur anak sulungnya.

“Sejuk macam nak hujan je…” Omelnya sendiri.

Kain telekung yang labuh menutupi kaki diangkat kembali, mula menapak ke arah bilik tidurnya sendiri, mahu ikut mendirikan solat Isya’ seperti anak-anaknya, sebelum meneruskan tarawih sendirian.

Tubuhnya dibawa melintasi ruang makan yang memisahkan ruang tamu dan bilik tidurnya dan Faiqa. Sedikit pun dia tidak sedar, imej Awa dalam biasan cermin hiasan di ruang tamu tersebut, yang menghantar langkahnya ke bilik dengan renungan tajam.

Kepala ‘anak kecil’ itu tiba-tiba terteleng mendadak ke sebelah kiri, dengan kedudukan telinganya terbenam rapat ke bahu, seolah-olah tulang tengkuknya dipatahkan, sebaik sahaja Nadya melangkah masuk ke dalam bilik dan menutup pintu.

 

KEDUA tangannya diraup ke muka mengaminkan doa yang dipanjatkan setelah selesai mengerjakan solat witir.

Tuk.. tuk..”

Kedengaran bunyi ketukan pendek dan perlahan di pintu bilik tidurnya, diikuti kelibat Fiya yang masuk ke bilik dan menghala terus ke arah laci kabinet plastik di sudut bilik, di mana Nadya menyimpan beberapa barangan termasuk ubatan seperti minyak gamat.

“Kenapa tu? Nak ambil apa?” Tegur Nadya.

Fiya kelihatan kalut mengambil sebotol kecil minyak gamat bersama putik kapas dan pembalut luka, sebelum cepat-cepat menutup kembali laci, tergesa-gesa mahu beredar.

“Kan kakak dah kata, tunggu kat sana.” Bisik Fiya geram.

Kedengaran suara Faiqa teresak perlahan di luar pintu bilik.

“Fiya…? Mama tanya ni kan… kenapa tu?” Langkah Fiya terhenti betul-betul di depan pintu bilik.

Sesaat kemudian kelihatan Faiqa menjengulkan kepala dengan muka sebek. Kesan air mata jelas terpalit di wajahnya. Takut-takut dia berjalan menghampiri mamanya. Tangan kirinya ditatang ke depan sambil melangkah.

“Kenapa tangan tu?” Soal Nadya meraih Faiqa.

Serta-merta air mata yang ditahan mengalir turun ke pipi. Tangisnya mula mengesak.

“Kenapa luka ni?” Soal Nadya lagi.

Tangan Faiqa dibelek risau. Berkerut dahinya melihat kesan seolah-olah gigitan di bahagian  tengah lengan si anak. Jelas kelihatan luka dan koyakan kecil di situ, tetapi tidak berdarah keluar. Mungkin sudah dibersihkan si kakak.

“….gi..git….” Tenggelam timbul butir bicara Faiqa dalam tangisannya sendiri.

“Kenapa ni Fiya?” Soal Nadya, mula tidak sabar mendapatkan jawapan daripada si adik.

Faham sangat dia dengan drama queen yang seorang itu. Kebiasaannya begitulah. Luka sedikit pun, sedihnya bukan main lagi. Sampai tak boleh bercakap dah.

“….tadi.. main gigit-gigit…” Jawab Fiya teragak-agak.

Awa dilihatnya hanya berselindung di sebalik dinding. Mungkin cuba menyembunyikan diri dari Nadya.

Hah?! Main gigit-gigit?! Main apa pulak dah macam tu?” Soal Nadya bertalu-talu.

Intonasinya cuba dikawal sebaik mungkin agar tidak kedengaran keterlaluan, lebih-lebih lagi di hadapan Awa. Tetamu kecil yang tidak diundang.

“Ni siapa yang gigit tangan adik?” Pandangan kembali terarah kepada tuan empunya lengan di hadapannya.

“…..Aa…wa….” Perlahan Faiqa menjawab, masih dalam tangisan.

Nadya menelan liur. Walaupun perlahan, tapi jawapan Faiqa terdengar jelas di telinganya.

“Ni dah basuh ke, luka ni?” Soal Nadya, mengalih topik.

Apa lagi yang boleh dia buat, tak kan nak dileteri pula anak orang. Ibunya pun belum bertemu rupa lagi.

Faiqa menggeleng laju.

“…ta…tadi darah… lepas tu.. Aa..Awa hisap…” Jawab Faiqa tersekat-sekat.

Bulat kedua bola mata Nadya. Sudah gigit, hisap pulak. Hish… apa benda ni? Hatinya mula berdetak aneh.




Friday, March 6, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 2

 

Bab 2

MAMA.. ni jiran baru kita.” Fiya bersuara lagi.

“Mama dia minta tumpang dia kat sini sekejap sebab dia kena patah balik rumah nenek dia. Mama dia tertinggal telefon.” Ujarnya lagi setelah melihat Nadya terkelip-kelip memandang mereka tanpa sepatah kata.

Hah? Oh.. ya ke… err… mama dia dah pergi? Papa dah pergi masjid?” Soal Nadya setelah berjaya memproses maklumat yang diterima. Seminit jugalah loading nya.

“Dah… masa papa tutup pagar tadi mama dia minta nak tinggalkan dia sekejap.” Jawab Fiya.

“Papa suruh kitorang bawa dia masuk sebab papa dah lambat.” Sambungnya lagi.

Nadya mengangguk-anggukkan kepalanya, mula memahami duduk perkara yang sebenar. Unik betul perkenalannya dengan jiran baru mereka.

“Awak nama siapa?” Soalnya mesra, sambil melangkah menghampiri gadis kecil yang kelihatan takut-takut dan cuba bersembunyi di belakang Faiqa.

“Awa. Nama dia Awa.” Laju Faiqa menjawab bagi pihak kawan barunya.

Ooo.. sedap nama tu. Nama penuh Awa..? Hawa?” Soal Nadya lagi, cuba mengajak anak kecil itu berbual. Punggung dilabuhkan di birai katil, di tepi pintu bilik tidurnya.

Awa menggeleng-gelengkan kepalanya.

Emm.. kalau bukan Hawa.. Salwa?” Teka Nadya lagi, dengan nada ceria.

Alaa.. salah lagi..” Nadya memuncungkan bibirnya, pura-pura kecewa.

Faiqa dan Fiya tergelak kecil. Manakala Awa mula mengukirkan senyuman. Masih malu-malu.

Emm.. Awa tak nak bagitahu acik ke ni…?” Usik Nadya lagi, masih dengan mulut muncungnya.

         “…..Nya…wa…..” Kelihatan bibir anak kecil itu bergerak-gerak, menggumam perlahan, antara dengar dan tidak.

         Dahi Nadya dikerutkan, ditambah dengan memek muka lucu. Tidak pasti dengan apa yang didengarnya.  Niawa? Unik betul namanya. Belum pernah dengar.

         “Tak apalah… Awa duduk rumah acik dulu.., main dengan Fiya dengan Faiqa ya? Rumah nenek Awa tu.. jauh ke?” Ujar Nadya sambil mengangkat tangannya cuba mengusap kepala gadis kecil tersebut.

         Awa hanya mendiamkan diri. Kedua belah tangannya meraut lengan Faiqa. Nadya tersentak dan cepat-cepat mengalihkan tangannya.

         Err.. takpelah.. Fiya ajak adik-adik err.. solat dulu. Malam ni larat tak.. err.. nak solat tarawih dengan mama?” Suaranya kedengaran teragak-agak pada pendengarannya sendiri.

         Faiqa dan Fiya masing-masing buat muka comel. Mengelatlah tu.

         Hmm… tahu dah…” Omel Nadya.

         Okay lah.. malam ni rehat dulu. Solat dulu, dah masuk waktu  ni.. lepas tu baru boleh main, okay? Dah.. pergi solat.” Katanya lagi.

         Berebut-rebut anak-anak gadis itu berlari ke bilik air. Nadya menghela nafas. Tangan kanannya direnung seketika. Mengingatkan kembali ubun kepala Awa yang terasa berbahang di tapak  tangannya sebentar tadi.

         “Demam ke budak tu? Tapi.. panasnya rasa lain macam..” Gumamnya sendiri.

         Langkahnya diatur perlahan menuju ke pintu utama. Sengaja mahu memastikan selaknya terkunci. Risau juga zaman sekarang, macam-macam hal boleh berlaku. Terlintas juga di fikirannya akan keberanian jiran barunya itu meninggalkan anaknya dengan mereka, walaupun belum berkenalan dengan baik.

         “Mungkin dia memang percaya je agaknya…” Bicaranya sendiri.

         Setelah dipastikan pintu dalam keadaan berkunci, langkahnya diatur kembali ke bilik tidurnya. Sempat juga dia menjenguk mencuri lihat ke dalam bilik tidur anak sulungnya. Kelihatan anak-anak gadisnya sedang berdiri menunaikan solat Isyak.

         Manakala Awa dilihatnya sedang duduk bersila di sudut dinding bilik. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

         Tangannya diangkat perlahan cuba menolak daun pintu, untuk menegur anak kecil tersebut. Sangkanya mungkin dia sedang menunggu giiran untuk memakai telekung.

         “Damm!!”

         Nadya terkedu. Pintu bilik tersebut tiba-tiba berdentum, bagai ditolak tutup dengan kasar dari sebelah dalam. Dan gambaran yang terakam di layar matanya sejurus sebelum pintu bilik tersebut tertutup rapat, masih kekal untuk beberapa ketika. Imej Awa, bergerak sedikit demi sedikit dari kedudukan kepala yang  tertunduk merenung lantai, mendongak perlahan dan memandang tajam ke arahnya dengan bola mata yang bulat dan berwarna hitam pekat keseluruhannya.