Friday, May 31, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 15)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 15

BARU Isha mahu bergerak turun dari katil, tiba-tiba kelihatan lintasan kelibat hitam betul-betul di hadapannya. Isha tergamam. Detakan jantung yang tadinya sudah stabil kembali  bergolak. Matanya dikecilkan, cuba mengamati segenap ruang bilik yang hanya disirami cahaya lampu tidur.

“Zasss..!!”

Kali ini kelibat hitam itu melintas lagi, betul-betul hanya seinci jaraknya dari wajah Isha. Pergerakan yang begitu laju dan mendadak tersebut membuatkan Isha terlentang semula ke belakang. Laju Isha bernafas sambil terbaring di katil merenung siling.

Tiba-tiba terasa pergelangan kaki kirinya dicengkam kuat.

“Arghhh!!” Spontan gadis itu menjerit kesakitan.

Serentak itu juga tangan kasar menggerutu dan berhaba yang mencengkam kuat pergelangan kakinya itu merentap keras tubuh Isha jatuh ke bawah. Berdentum kepalanya di lantai. Belum sempat Isha bertindak balas dengan situasi tersebut, pergelangan kakinya sekali lagi direntap dan tubuhnya diseret keluar dari bilik. Berapi rasa kulit belakang badannya bergesel laju di lantai mozek.

Dalam kelam kabut itu, Isha sempat melihat susuk makhluk yang mengheretnya. Besar, hitam, berbulu lebat persis seperti makhluk yang pernah dilihatnya berada di belakang Fara Afiya dan Fara Afina ketika insiden elektrik terpadam tempoh hari.

“Allah….”

Hanya itu yang terlafaz di bibir Isha yang menggeletar menahan takut dan sakit.

Serentak itu juga makhluk yang besar berbulu hitam itu menyeringai dan mendengus ganas dengan sepasang mata yang merah terbelalak. Dalam tempoh sedetik, tangannya  yang masih mencengkam kuat pergelangan kaki Isha menghumban dan menghempas kuat tubuh kurus itu ke dinding.

“Arghhhh….!!”

Tuhan sahaja yang tahu, tahap kesakitan yang sedang Isha rasakan ketika itu. Seluruh tulang-temulang di dalam tubuhnya terasa seakan hancur berserakan. Isha terbaring lembik di lantai. Tak dapat digerakkan lagi hatta sebatang jarinya. Jauh sekali untuk bangun menyelamatkan diri. Nafasnya disedut dan dihembus dengan susah-payah. Nyawa terasa seperti berada di penghujungnya.

“Allah…… Allah….” Ucapnya lemah tidak berdaya.

Seraya itu juga, makhluk tersebut yang tadinya hanya berderam dan merengus tidak berhenti, mengaum dengan kuat. Benar-benar seperti bunyi ngauman seekor harimau jantan yang sangat besar. Jatuh bertaburan barang-barang dan peralatan rumah yang berada di atas meja dan rak almari, dek kerana kuatnya suara ngauman tersebut.

Isha hanya mampu memandang lemah ke arah makhluk tersebut yang mendekatinya dengan pantas. Tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Isha dapat melihat dengan jelas, makhluk hitam berbulu lebat itu mengangkat kakinya yang kelihatan seperti kaki haiwan bertelapuk tinggi ke udara, sebelum menghentaknya kuat ke atas perut Isha!

“Allahhhhh…..!” Teriak Isha kesakitan teramat.

Serta merta pandangannya menjadi kelam.

 

EH…Isha dah sedar?” Sapa Kak Syara sebaik terlihat Isha mengelip-ngelipkan matanya. Aqmar Alif yang turut berada berhampiran mula mendekati mereka.

“Allah…Alhamdulillah…” Ucap Aqmar Alif perlahan.

Emm…? Isha kat mana ni…? Apa dah jadi…?” Soal Isha lemah.

Seluruh tubuhnya terasa sakit. Lebih-lebih lagi di bahagian perutnya. Pergelangan kakinya juga terasa berdenyut menyucuk.

“Isha… sayang… Isha sekarang kat hospital…” Jelas Kak Syara lembut.

“…..hospital..?” Soal Isha lagi. Dahinya dikerutkan, bersungguh cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku, dan kenapa dia dimasukkan ke hospital.

“Ya sayang… Isha kat hospital…dah sehari semalam Isha tak sedarkan diri.. puas adik kakak ni tidur ya…” Balas Kak Syara lagi. Matanya kelihatan berkaca-kaca.

Isha terdiam seketika. Sehari semalam?

“Abang! Abang… makhluk tu! Makhluk tu nak bunuh Isha!” Jerit Isha tiba-tiba.

Memorinya mula memulih menampar ingatan. Masih jelas di matanya imej terakhir kaki bertelapuk makhluk itu yang diangkat tinggi ke udara sebelum dihentak keras ke perutnya. Isha bingkas bangun seakan mahu lari menyelamatkan diri.Tapi sakit yang dirasakan di bahagian perutnya membataskan pergerakannya.

“Aduh! Sakitnya…sakitnya perut Isha…” Spontan tangan diraba ke permukaan kulit perutnya. Terperanjat dengan apa yang dirasakan di tapak tangannya, segera bajunya diselak. Kelihatan parut panjang yang masih merah seakan baru dijahit setelah pembedahan.

“Ke…kenapa dengan perut Isha, Kak Syara?” Terketar-ketar suaranya menyoal. Takut dengan apa yang dilihat.

“Isha…Isha sabar ya sayang… Kak Syara ceritakan satu-satu…” Pujuk Syara lembut, juga dengan suara yang bergetar.

“Apa pun yang jadi.., Isha kena sabar ya sayang… Allah uji sebab Allah sayang, sayang…” Tumpah juga air mata wanita itu sambil memulakan penjelasan.

Isha masih menanti dengan debaran. Air matanya sendiri ikut mengalir laju. Pilu sudah mengguris di hati walaupun kebenaran belum diungkap.

Aqmar Alif mendesah dan bingkas beredar ke tingkap. Rambutnya diraup-raup beberapa kali. Nyata ada perkara yang menganggu atau membebani fikirannya.

“Isha… macam ni… akak dengan abang jumpa Isha dalam keadaan terbaring tak sedarkan diri dalam rumah…darah penuh di lantai… macam ada berlaku pergelutan…?” Jelas Syara seraya bertanya.

Isha mendiamkan diri. Tak semena-mena memori diputar kembali pada apa yang telah berlaku.

“…jadi kami terus bawa Isha ke hospital…” Sambung Syara setelah dilihat Isha tidak bereaksi pada pertanyaannya.

“….sayang…” Kata-kata Syara tersangkut-sangkut.

Kepala adik iparnya kesayangannya dielus penuh kasih.

“…doktor terpaksa jalankan pembedahan kecemasan untuk buang rahim Isha…sebab rahim Isha rosak dengan teruk dan berlaku pendarahan yang tak dapat dikawal…” Jelas Syara sambil menangis.

Isha terkedu. Kepalanya terasa melayang-layang. Perlahan-lahan air mata mula membanjiri wajah bersihnya.

“Kak… maksudnya… Isha… dah… tak boleh….” Luahan Isha yang tersangkut-sangkut akhirnya hanya terhenti di situ.

Syara terus merangkulnya erat. Dia sendiri tersedu-sedu mengenangkan ujian yang tertimpa pada adik yang dikasihi.

Mata Aqmar Alif sendiri basah mendengar perbualan kedua wanita yang disayangi. Rambutnya diseka-seka berulang kali. Hilang peluang untuk memiliki malaikat kecil dalam rahim sendiri bukanlah ujian yang kecil untuk seorang wanita. Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui… betapa dalamnya luka itu untuk hambaNya yang bernama perempuan.

Ya Allah…kami berharap pada rahmat dan kasih sayangMu.. sesungguhnya perancanganMu adalah yang terbaik. Dan aturanMu Maha Hebat. Pujuklah hati kami dengan kelembutanMu Ya Latif…

Yakinkanlah kami dengan janji-janjiMu Wahai Allah… dan gembirakanlah kami dengan nikmat kurniaanMu..

 

“….dan bersabarlah atas apa yang menimpamu…”

[Surah Lukman: 17]

 

“….sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

[Surah al Baqarah: 153]

“Isha…” Panggil Aqmar Alif sambil mendekati satu-satunya adiknya.

“Boleh bagitahu abang…, apa yang berlaku sebenarnya…?” Soal Aqmar lembut, memulakan perbincangan dengan serius.

Dia perlu tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku, hingga menyebabkan kecederaan begitu kepada adiknya. Nyaris sahaja nyawanya melayang jika dia ditemui lebih awal.

Isha dan Syara yang tenggelam dalam bawaan emosi  mula mereda esak tangis mereka.

“Isha… abang… ada makhluk hitam besar berbulu lebat serang Isha abang..” Ujar Isha sambil mengerut-ngerutkan dahi, memaksa kotak fikirannya bekerja mengingati kejadian malam itu.

Berubah wajah Aqmar Alif dan Syara, terkejut dengan penjelasan Isha. Langsung tidak sangka kecederaan serius yang berlaku pada gadis itu adalah berkaitan dengan perkaara mistik. Aqmar Alif mengenggam penumbuk. Ini keterlaluan!

“Mula-mula..Isha mimpi buruk.. lepas tu bila terjaga, Isha nampak kelibat melintas laju depan Isha.” Sedaya  upaya dia cuba menyusun semula kejadian yang berlaku dengaan pantas tersebut.

“Tiba-tiba makhluk tu rentap kaki Isha. Dia heret Isha kat lantai. Lepas tu… dia hempas Isha kat dinding.” Ceritanya satu persatu. Masih terasa-rasa sakitnya tubuhnya dihempas kuat ke dinding simen.

Last Isha ingat.., dia pijak perut Isha kuat abang… kaki dia..macam kaki lembu, kaki kuda macam tu…” Sambungnya lagi.

Tangannya mengarah ke perut sendiri. Mula memahami apa yang telah berlaku, kenapa rahimnya rosak teruk sebegitu rupa..

Bagai terhenti nafas Aqmar Alif dan Syara mendengaar rentetan kejadian yang berlaku. Saat-saat genting ketika Isha diserang sewaktu bersendirian di rumah.

“Abang!” Isha tiba-tiba tersentak seolah-olah baru teringat sesuatu.

“Isha pernah nampak makhluk tu abang. Masa tu Fiya dengan Fina ada. Dia berdiri betul-betul kat belakang diorang. Allah….Allah… nasib baik Fiya dengan Fina tak ada abang…kakak… Allah….” Menderu semula air mata Isha apabila teringatkan kedua anak buah kesayangannya itu.

Allah Maha Besar. Mujurlah mereka berdua tiada bersamanya ketika dia diserang malam itu. Tidak dapat dibayangkan sekiranya anak-anak kecil itu yang dicederakan makhluk jahat tersebut. Isha tidak mahu! Tak sanggup! Sudah cantik semua yang Allah susun. Isha tidak kisah walaupun langsung tidak berpeluang merasa mempunyai zuriat sendiri. Bukan sahaja rahimnya, bahkan nyawanya juga sanggup dijadikan tukaran sekiranya anak-anak itu yang menjadi taruhan.

Allah lebih tahu semua itu. Allah lebih tahu, ujian yang mana yang mampu digalas seorang Alya Alisha. Kepala Isha terangguk-angguk perlahan dengan bicaranya sendiri dalam hati. Dalam diam menyetujui perancangan Penciptanya. Dalam diam mensyukuri aturan Tuhannya.

Allah…

Alhamdulillah… Alhamdulillah a’la kulli hal….

“Melampau!” Aqmar Alif bersuara kuat.

Hilang sabar lelaki itu dengan musuh tak bernama yang tidak sudah-sudah membuat onar pada keluarganya. Entah siapa yang tak puas hati sangat pada mereka.

Kedua-dua Isha dan Syara tersentak. Air liur ditelan. Diam tidak berkutik mereka untuk sejenak. Syara sendiri tidak berani berkata apa-apa untuk menyejukkan hati suaminya kala itu.

“Allah….” Ujar Aqmar Alif perlahan sambil kedua-dua belah tangannya meraup wajah.

“Abang nak pergi jumpa Ustaz Abbas. Apa yang berlaku kali ni memang melampau. Tak boleh dibiarkan lagi. Kita kena hentikan apa yang diorang buat ni.” Tegas suaranya.

Syara dan Isha hanya saling pandang-memandang antara satu sama lain.

 

BUNYI air dari tandas yang dipam mengejutkan Isha dari tidur. Entah bila dia terlelap pun dia tak sedar. Mungkin tubuhnya masih lemah setelah dibanting kuat dan seterusnya menjalani pembedahan. Jarum di tangan diusik sedikit. Sakit.

Pandangan Isha melata ke sekeliling. Tiada sesiapa di situ. Abang Alif mungkin masih belum pulang dari rumah Ustaz Abbas. Jadi mungkin Kak Syara yang berada di tandas. Sememangya bilik di hospital swasta tersebut hanya menempatkan Isha seorang. Selain tandas yang disediakan di dalam bilik, ada juga sofa dan meja kopi ditempatkan di ruang bilik yang agak luas untuk keselesaan pesakit dan ahli keluarga.

Tidak semena-mena jantungnya berdebar-debar. Rentak debaran yang hanya berlaku bila…

“Eh! Awak dah bangun?” Sapa Hud Hurairah yang baru keluar dari bilik air.

Bulat mata Isha merenung susuk di depannya. Apa dia buat kat sini? Kelam kabut dia berpusing keliling mencari tudung. Tudung yang tersangkut di hujung kepala katil disauk dan disarungkan ke kepala, gelojoh. Sedetik kemudian mereka berdua terkebil-kebil bertatapan mata antara satu sama lain.

Berkerut seribu wajah Hud Hurairah menahan tawa. Habis herot-berot wajah kacaknya. Isha mencemik pelik. Kenapa? Apa yang lucu?

Seraya itu juga Hud Hurairah memutarkan jari telunjuk di wajahnya sendiri. Memberi isyarat kepada Isha. Tudung yang dipakai terkalih! Atas ke bawah, bawah ke atas. Potongan jahitan berbentuk segitiga yang sepatutnya berada di bahagian dagu sudah terkalih ke atas dahi. Bahagian awning tudung pula berada di bawah dagunya. Aduhai….

Isha menjeling sepintas lalu, menahan malu, sebelum kedudukan tudungnya dibetulkan. Keras juga perutnya yang masih berjahit cuba menahan tawa dari meledak. Hud Hurairah menghampirinya dengan senyum yang tertahan-tahan.

“Awak ni kan…dari  dulu lagi.., kalau nampak saya je, mesti terus kelam kabut macam  ni.” Ujarnya lucu.

“Berdebar-debar ke tengok saya? Suka  sangat kat saya eh?” Soalnya selamba.

“Zupp!!”

Isha tersentak. Rasa macam kena panah tepat ke tengah jantung. Bull’s eye!

“Eh..mana ada..mengarutlah cikgu ni.. perasan. Saya cuma nak cepat pakai je tudung ni tadi.” Dalih Isha, cuba menutup gugup.

Jantung kat dalam tengah bergendang jangan ceritalah. Lagi  rancak dari tarian singa yang selalu dibuat dari rumah ke rumah semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina!

Terletus juga gelak Hud Hurairah, melihatkan kekalutan gadis itu, dengan kedua-dua belah pipi yang sudah memerah.

“Alah…tak nak mengaku pulak…saya tahulah…awak suka sangat kat saya… tu, jantung kat dalam tu. Dup dap dup dap! Dengar sampai sini tau.” Usiknya lagi, masih belum puas mahu menyakat.

Spontan Isha memegang dadanya sendiri, yang sememangnya tengah mengocak kencang. Betul ke dengar?

Berhambur lagi ketawa Hud Hurairah melihat reaksi comel gadis itu.

Terkelip-kelip Isha memandangnya. Lelaki ini dah kenapa? Berani sangat bergurau bukan-bukan ni hari ni. Main cakap lepas sesedap rasa dia aje! Mentang-mentanglah hanya mereka berdua saja di situ ketika itu. Mana Kak Syara ni. Kak Syaraaa….!

“Hai awak ni… tahulah saya ni bekas cikgu awak. Benda macam ni pun nak kena tunggu saya ajar jugak…” Sambungnya lagi, bersulam ketawa nakal.

“Ni…cakap macam ni.. I… love… you….!” Tambahnya lagi, sambil tersengih suka.

Terbuntang biji mata Isha dibuatnya. Dah habis besar matanya yang bulat itu. Sikit lagi je, nak terkeluar dari soket!

“Wehhh…dah kenapa dengan orang nii…. Biar betuuulll…!” Teriaknya sendiri dalam hati.

Sekarang apa nak buat niii…. Nak bangun lari pergi tandas? Nyorok bawah katil? Atau nak lompat keluar je dari tingkap sebelah ni??!!

“Isha…. Seriously… I love you…” Hud Hurairah mengulang kata-katanya. Kali ini nadanya berubah. Lebih lembut, lebih tegas… juga ada getaran yang dalam.

Isha rasa pening-pening lalat.

“Kalau aku pitam sekarang, ok tak?” Soalnya pada diri sendiri. Berkira-kira untuk pura-pura pengsan, bagi melarikan diri dari situasi tersebut.

“Saya….” Hud Hurairah terhenti, nafas cuba disedut sedalamnya, cuba mencari kekuatan untuk menuturkan ayat seterusnya. Sejujurnya, tubuhnya sendiri pun sedang menggeletar tidak keruan. Tadi je, berlagak selamba sangat!

“Isha… saya… dah lama sukakan awak. Saya… betul-betul sukakan awak. Suka… yang betul-betul suka. Bukan suka yang main-main. Memang saya tak main-main betul-betul sukakan awak. Suka awak sangat-sangat.” Terbelit-belit lidahnya sendiri menuturkan ayat yang dirasakannya berulang-ulang dan berterabur.

Isha sudah keras menjadi patung. Air liur yang sedari tadi tak lepas di tekak cuba ditelan.

“Isha.. saya..pernah berniat.. nak lamar awak menjadi isteri saya yang sah, selepas awak habis belajar…” Air liur sendiri ditelan. Rahsia hatinya yang dipendam sekian lama cuba diungkapkan pada gadis itu dengan  susah-payah.

“Tapi.. saya terpaksa turutkan kemahuan arwah ayah saya.. untuk berkahwin dengan sepupu saya. Isha…masa tu… saya betul-betul tak berdaya.” Ujarnya lagi.

Kolam matanya mula bergenang. Sememangnya tiada siapa yang tahu, betapa hancurnya sekeping hati lelakinya, bila mana dia terpaksa berpindah dan berjauhan dari gadis kesayangannya itu, sekaligus berkahwin dan mendirikan rumah tangga dengan Sakeena.

Hanya Sang Pencipta hatinya sahaja yang tahu, betapa tersiksanya dia. Betapa perasaannya pada gadis itu benar-benar kuat, benar-benar tulus. Tetapi dia hanya mampu menyerahkan urusannya, seluruh hidupnya pada Tuhannya pada waktu itu. Tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya Allah, semata-mata.

Dan sekarang, takdir membawa gadis itu kembali ke dalam hidupnya.

Tersentuh Isha melihat reaksinya yang kelihatan begitu bersusah-payah memberi penjelasan. Teringat dia sepintas tentang kisah hidup lelaki itu yang telah lebih dahulu dimaklumkan pada Isha oleh Cikgu Haidar sebelum ini.

“…dan sekarang.. awak ada dengan saya lagi.. saya…takkan lepaskan awak, apa pun yang jadi. Saya…tak nak kehilangan awak lagi…” Ujarnya penuh kesungguhan.

Tanpa sedar, butiran air mata jatuh menitis di kedua-dua pipi Alya Alisha. Tidak sangka dengan pengakuan yang didengarnya ketika ini.

“Saya… cintakan awak… Alya Alisha Arif.” Bergetar suaranya mengungkapkan sebaris ayat tersebut.

“…dan saya…. nak awak jadi… isteri saya yang sah… peneman hidup saya… pelengkap agama saya…” Ucapnya lagi. Jelas, lembut, dan tegas.

Hud Hurairah mengenggam kuat tangannya sendiri. Nak genggam tangan gadis manis ini, belum boleh lagi! Liurnya sendiri ditelan berkali-kali.

Yeayyy mama Chu terimalah!!” Suara Akmal tiba-tiba mengejutkan kedua mereka yang sedang tenggelam dalam emosi dan situasi.

Syara kembali menutup mulut Akmal sambil tersengih kerang. Sudah ditutup mulut anak kecil itu supaya tidak menganggu sejak tadi, terlepas pula.

“Betul tu mama Chu terimalah! Ammar suka uncle ni! Uncle ni handsome!” Sampuk Ammar pula sambil menggoyang-goyangkan tangan papanya.

Aqmar Alif dan Ustaz Abbas yang turut berdiri tercegat di situ ikut menayangkan sengihan kerang seperti Syara. Entah sejak bila mereka berdiri diam di situ menonton drama swasta tidak berbayar di depan mata!

Mereka berdua pula langsung tidak sedar bila mereka yang lain itu masuk ke bilik. Agaknya kalau berlaku gempa bumi di luar, atau hospital tersebut diserang zombi pun, langsung mereka tak perasan!

Hud Hurairah dan Isha saling berpandangan. Spontan keduanya mula buat aksi P.Ramlee ketika berdepan dengan Cik Salmah dalam filem Seniman Bujang Lapuk. Seorang kalut check besi katil hospital. Seorang lagi sibuk cari kutu khinzir!




JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 14)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 14

CEPAT sayang...mama dah lambat ni...” Bebel Isha sambil tangannya lincah membuka mangga pintu pagar yang masih berkunci.

Sebaik dia memanggungkan kepala, kelihatan Faiz sudah berdiri terpacak di depannya sambil tersengih-sengih.

“Isha semalam tidur awal ke? Puas abang Faiz tekan loceng.., tak keluar-keluar..” Sapanya mesra.

“Oh..ha’ah..Isha dengan budak-budak memang setiap hari pun tidur awal..” Jawab Isha jujur.

Aih...muda-muda macam ni pun tidur awal jugak ea...” Faiz tergelak-gelak sendiri dengan jenakanya yang tak selucu mana itu.

“Abang nak hantarkan makanan untuk Isha semalam... itulah..abang minta nombor telefon, sampai sekarang Isha tak bagi-bagi. Susah abang nak contact Isha. Ha lagipun kalau ada apa-apa berlaku kan susah...” Bebelnya panjang.

“Eh takpelah.. tak payahlah susah-susah hantarkan makan...lagipun lewat malam sangat macam tak berapa kena juga...” Ujar Isha berterus terang.

“Kalau tak faham jugak lagi ni tak tahulah...” Getunya sendiri dalam hati.

Err..maaf ya, saya dah lewat nak ke tempat kerja ni...” Sambung Isha lagi.

Riak muka Faiz agak berubah dengan layanan Isha yang dirasakan dingin. Dalam tak sedar bibirnya dijuihkan sambil dia melangkah menjauhi pagar untuk memberi ruang kepada Isha mengeluarkan kereta.

“Isha bagilah nombor telefon kat abang...apa-apa nanti senang...” Ujar Faiz masih tidak berputus asa sewaktu Isha turun mengunci semula pagar.

Isha menarik nafas panjang, mati akal mencari jalan untuk mengelak. Sudahlah dia terlambat, lelaki ini pula sibuk mencuri masanya.

 

“Eh..kenapa dengan tangan tu?” Soalnya tiba-tiba setelah terperasankan luka seakan-akan bekas gigitan di tangan lelaki itu, berserta luka panjang di lengannya seperti dicakar sesuatu. Elok juga dibuat pengubah topik.

“Oh...tak ada apa ni...kena cakar kucing... err...Isha...”

“Oh..nampak teruk juga tu.. kena letak ubat tu... err..saya pergi dulu ya, dah lewat ni...Assalammualaikum...” Cepat-cepat Isha memintas bicaranya sebelum bergegas melangkah masuk ke dalam kereta.

 

SEJURUS menurunkan kedua-dua Fara di hadapan pintu pagar sekolah, Isha pantas memusingkan kembali keretanya lalu mengambil tempat dalam barisan panjang deretan kereta dan motosikal para waris yang sedang menunggu giliran untuk keluar dari simpang.

“Cepatla..cepatla…” Ratibnya sendirian di dalam kereta.

Jam yang terpamer di dashboard kereta dikerlingnya berkali-kali. Geram pula rasanya apabila kolum minitnya tidak berhenti-henti bertukar digit.

Stoplah kejap…” Tangis hatinya sendiri.

Sudah terbayang angka merah yang bakal terpamer di kad perakam waktunya nanti. Dia pasti terlewat hari ini.

Sebaik sahaja mendapat peluang keluar dari simpang tersebut, Isha menekan deras pedal minyak dan memecut laju ke depan bak pelumba di litar. Satu demi satu kereta dan motosikal dipotongnya bila berkesempatan. Hampir semua lampu isyarat kuning dilanggarnya. Ini kalau Abang Alif ada di sebelah, mahu cair telinganya kena bebel. Silap haribulan diazannya terus telinga adiknya seorang itu!

Mujurlah selepas hampir separuh perjalanan, keadaan trafik menjadi lebih tenang. Isha perlu melalui jalan kampung yang lebih kecil dengan sawah bendang di kiri kanan jalan. Pelajar-pelajar sekolah juga sudah memulai sesi persekolahan, ibu bapa dan penjaga juga beransur pulang, mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pemanduan Isha menjadi lebih lancar, pedal minyak masih ditekan kuat dengan kedua belah tangannya mengenggam erat stereng kereta. Meliuk-liuk kepalanya ke kanan dan kiri mengikut rentak selekoh jalan. Ditambah pula dengan ketiadaan kenderaan lain di depan dan belakangnya ketika itu, semakin rancak dia menekan minyak.

Dalam Isha sedang asyik menumpukan perhatian kepada pemanduannya, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang kanak-kanak lengkap berpakaian seragam sekolah dengan menggalas beg berlari melintas jalan, betul-betul di hadapan kereta Isha! Jarak yang terlalu dekat antara mereka membuatkan Isha mendadak menekan pedal brek secara mengejut.

Sreetttttt…!!” Bingit bunyi yang terhasil apabila tayar kereta yang sedang berputar laju dihentikan secara paksa.

Isha terasa seperti keretanya melelong dan hampir hilang kawalan. Menggeletar seluruh tubuhnya setelah kereta benar-benar berhenti. Rasa macam di awang-awangan. Antara percaya dengan tidak apa yang baru sahaja berlaku.

Isha mencuba sedaya-upaya memfokuskan penglihatan yang mula terasa kembang. Terjengah-jengah dia dari dalam kereta, memusing mencari kelibat pelajar sekolah tadi. Dia yakin dia tidak melanggar anak itu, kerana tiada sebarang hentaman berlaku.

“Mana…” Bisik Isha sendirian. Mukanya sudah terasa panas, tindak balas dari rasa terkejut, takut dan risau yang bercampur-baur. Tunggu masa sahaja air matanya hendak mengalir turun.

Tangan yang masih menggigil dipaksa membuka pintu kereta sebelum dia melangkah turun dengan lemah. Seketika dia berdiri di samping pintu kereta yang terbuka. Matanya diarahkan memeriksa keadaan sekeliling. Memang tiada sesiapa.

Hanya keretanya sahaja yang berada di situ pada ketika itu. Isha mula melangkah melihat-lihat di sekitar. Dijenguk habis ke dalam bendang, mana tahu kalau anak kecil itu terpelanting hasil perlanggaran. Sampai bawah kereta pun diperiksanya sekali. Memang tiada sesiapa!

Bunyi sayup burung kecil bersahutan menambahkan sunyi di laluan tersebut. Isha menggosok-gosok lengannya sendiri. Takkanlah dia bermimpi sambil memandu pula. Memang dia nampak jelas kelibat pelajar sekolah yang berlari melintas jalan betul-betul di depan keretanya tadi. Terpinga-pinga Isha dibuatnya  memikirkan apa yang sedang berlaku. Setelah benar-benar pasti memang tiada sesiapa di situ, Isha kembali melangkah longlai menuju ke arah pintu kereta yang masih terbuka.

Dalam keadaaan masih bingung, membuntang biji mata Isha melihat seekor ular hitam berkilat melingkar di sebelah tayar hadapan keretanya. Keras kaku tidak berkutik dia di situ. Tergamam.

“Ya Allah..apa pula ni… nak lari mana ni.. macam mana nak masuk dalam kereta ni..” Isha mula hendak menangis.

Kedudukan ular tersebut menjadikan mustahil untuknya berlari masuk ke dalam kereta. Nak meminta tolong, tiada seorang manusia pun yang lalu di situ ketika itu. Sedang dia berkira-kira tindakan terbaik yang boleh diambil dalam situasi tersebut, ular itu tiba-tiba menyusur laju menghampirinya. Terjerit-terjerit, terlompat-lompat Isha mengundur menjauhi ular tersebut. Spontan juga kedua-dua matanya terpejam rapat, enggan menyaksikan perkara menakutkan yang bakal terjadi.

Sejenak juga dia berkeadaan begitu, sebelum matanya dibuka perlahan-lahan setelah menyedari tiada apa yang berlaku. Ular tersebut tiada di situ! Terpusing-pusing Isha mencari kelibat haiwan menakutkan itu.

“Masuk dalam kereta ke?” Terjengah-jengah dia dari luar, bimbang kalau-kalau ular itu menyelinap masuk ke dalam kereta.

Setelah dipastikan dirinya dalam keadaan selamat, barulah pemanduannya diteruskan. Keretanya meluncur perlahan meninggalkan tempat kejadian dengan seribu tanda tanya.

“Allahu Akbar….” Ucapnya sambil meraup wajahnya perlahan, mula sedar apa yang dialaminya tadi adalah antara gangguan yang sedang menguji hidupnya kala ini.

Sekurang-kurangnya itu akan menjadi kali terakhir Isha memandu selaju itu. Pastinya dia akan lebih beringat dan berhati-hati selepas ini.

Alhamdulillah a’la kulli hal…

 

PILIH yang cantik sikitlah sayang.. yang ini dah kelabu dah.. nampak tak cantik dah…” Ujar Isha sambil membelek-belek baju yang kelihatan lusuh di matanya.

“Ala…tapi adik suka yang ni..” Bebel Fara Afina.

“Awak tu memang…kalau dah yang itu, yang itu je dipakainya… padahal yang lain banyak lagi ni yang cantik-cantik. Semua cantik kan mama beli… sayang baju.. nanti tak pakai, kecik macam tu je, bila dah tak muat nanti baru sibuk nak pakai.. membazir.. tak baik tau.” Isha juga tak mahu mengalah lawan membebel dengan si kecil.

“Haa…membazir tu perangai siapa… syaitan…” Fara Afiya ikut serta menambahkan inci di muncung itik adiknya.

Riuh tiga beranak tersebut mengemaskan pakaian untuk dibawa ke rumah Fariz Farhan di timur tanah air. Lelaki itu sudah berjanji untuk mengambil anak-anak gadisnya itu sempena cuti penggal persekolahan yang bakal bermula.

“Nanti kat sana elok-elok… jangan degil.. dengar cakap abi dgn ami.. adik jangan buat perangai merajuk tu sangat… nanti kalau orang marah anak mama, ha macam mana?” Leter Isha dalam kerisauan.

Fara Afiya dan Fara Afina terangguk-angguk akur dengan nasihat Isha. Berebut mereka berpelukan dengannya. Lama juga mereka bakal berpisah. Lebih kurang sebulan. Cukup untuk membuatkan hati masing-masing terusik dengan rasa rindu yang bakal memberat. Adat ibu dan anak-anak… semasa ada, sering bertingkah. Bila jauh, rindu pula.

“Nanti jangan lupa kat mama pulak... awak tu..dah dapat main dengan adik baby nanti.. langsung tak ingat mama dah..” Ujar Isha pura-pura merajuk.

Kalau diikutkan, ini adalah kali pertama Fariz Farhan menyuarakan hasrat untuk datang mengambil mereka bercuti ke rumahnya di pantai timur. Sebelum ini pelbagai alasan diberikan apabila Fara Afiya dan Fara Afina meminta untuk meluangkan masa dengannya dan adik baru mereka. Sibuk kerjalah... isterinya kurang sihatlah... adik baby masih kecil untuk dibawa berjalanlah. Sehingga akhirnya Fara Afiya dan Fara Afina tidak lagi meminta untuk bertemu dengan ayah mereka.

Sudahlah panggilan telefon pun jarang-jarang sekali diterima. Kasihan anak-anak kecil itu hanya boleh memendamkan rasa rindu pada sang ayah sendiri. Walau bagaimanapun layanan yang diterima dari sang ayah, hati tulus bidadari-bidadari kecil itu tetap menyayangi dan merindui ayah kandung mereka dengan tidak berbelah-bagi.

“Kesian mama...nanti mesti mama rindu kitorang kan?” Ujar Fara Afiya yang masih memeluk Isha sayu.

“Mama.., mama tak takut ke tinggal sorang-sorang nanti?” Soal Fara Afina pula. Mungin sudah membayang-bayangkan keadaan Isha sendirian di rumah.

“Ish.. kenapa pulak mama kena takut... kita kena takut kat siapa? Kat hantu ke... kat Allah?” Soal Isha semula.

“Allah..!” Sahut keduanya serentak.

 

ISHA berkalih baring untuk kesekian kalinya. Matanya masih juga belum mahu terlelap. Sudah lama dia tidak tidur sendirian. Anak-anak buah kesayangan sudah bertolak ke rumah ayah mereka sejak awal pagi tadi.

Abi dan ami mereka datang menjemput mereka di rumah abang Alif setelah mereka tiga beranak bermalam di sana. Betul-betul mereka hanya datang menjemput sahaja. Langsung tidak diterima pelawaan abang Alif dan kak Syara untuk masuk ke rumah. Walhal kak Syara sudah siap-siap menyediakan nasi lemak sambal sotong istimewanya untuk menyambut tetamu. Terpaksalah pula Isha menghabiskan sambal sotong kak Syara yang memang menjadi kegemarannya itu. ‘Terpaksa’......

Isteri baru abang Farhan pun bukan main sombong lagi pada pandangan Isha. Turun dari kereta pun dia tidak mahu. Langsung tidak bertegur sapa dengan keluarga Isha. Ada juga Isha menyuarakan rasa hatinya itu pada kak Syara. Tapi wanita itu hanya tersenyum mesra.

Alah.. dia kan tengah riba baby kat dalam kereta tu.. dengan macam-macam barang lagi.. tak baik tau bersangka buruk kat orang.” Lembut Syara menegur adik iparnya seorang itu. Sudah cemberut mukanya. Sebiji muka Fara Afina ketika merajuk.

Erm… betul jugak tu.. adeh.. kenapalah teruk sangat aku ni. Cubalah bersangka baik sikit.” Omel Isha sendirian dalam hati. Perlahan-lahan dilafazkan istighfar di bibirnya yang masih sengaja dimuncungkan tanda protes. Saling tak tumpah seperti Fara Afina ketika dibebelkan.

Isha berkalih lagi. Layaran situasi yang berlaku pagi tadi berkocak pergi dari kotak fikirannya. Keluhan lembut dilepaskan. Rindunya rasa pada budak-budak itu..

Telefon bimbit di meja tepi katil ditekan. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Isha membenamkan semula kepalanya ke bantal. Mujurlah esok cuti. Kalau tidak melelonglah keretanya dipandu dalam keadaan mengantuk. Silap haribulan boleh terjun bendang.

“Szziiiiiiiiittttttt…..!!!!!”

Tiba-tiba pendengaran Isha berdesing ditusuk bunyi nyaring seperti benda tajam dicakar pada atap zink, betul-betul di tepi telinga kirinya. Spontan Isha menekup telinga kirinya sambil memerukkan kepalanya di celahan bantal dan selimut. Sakit betul telinga Isha, nyeri tak terkata. Beberapa saat juga dia berkeadaan begitu. Telinganya terasa berdengung dan pekak sebentar. Dirabanya perlahan cuping telinganya.

“Allahu Akbar!”

Jantung Isha berhenti berdetak. Darah serta-merta berhenti mengalir ke seluruh tubuhnya. Wajahnya bertukar pucat lesi. Nafasnya mencungap sebelum tangannya meraba bahagian kiri kepalanya. Isha panik. Jantung yang tadinya terhenti kini mengepam dengan dua kali ganda lebih laju. Cuping telinganya tiada di situ!

Kelam kabut dia meraba mencari cuping telinganya. Air mata meleleh laju. Kejadian itu benar-benar menakutkan Isha. Lebih mengerikan apabila tapak tangannya terhenti pada cuping telinga kirinya yang telah beralih kedudukan ke belakang kepalanya!

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!!”

Serentak itu juga kedengaran hilaian tawa yang datang entah dari mana, seolah-olah sedang mengejek dan berpuas hati dengan keadaan Isha.

“Allahh!!”

Mendadak Isha bangun terpacak di atas katil. Terpinga-pinga sebentar cuba menyatukan fikirannya yang terasa pecah mengembang. Seketika kemudian telefon bimbit di meja kecilnya dicapai lalu jam loceng yang sedang berbunyi nyaring dimatikan.

Peluh yang merenik membasahi dahi diseka perlahan. Hembusan angin sejuk dari penghawa dingin yang terpasang baru mula dirasa menyapa kulit tubuh yang basah dengan peluh. Nafas ditarik panjang. Perlahan tangannya diarah ke bahagian kedua-dua telinganya.

“Allah….aku mimpi…” Ujarnya perlahan.

Entah bila dia terlelap pun dia tidak sedar. Termenung dia seketika sebelum lafaz Ta’awuz diucapkan.




Thursday, May 30, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 13)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 13

“WEY! Kau pergila tengok, siapa yang ketuk pintu tu!” Suruh Wan.

“Eh, apa aku pulak, kau la pergi!” Tolak Lana.

Hish! Penakutlah kau ni. Kaulah pergi Hawa!”

Hawa menelan liur yang terasa kesat.

Last-last aku jugaklah. Hampeh betul budak Wan ni. Dia yang penakut, habis orang lain semua disuruhnya.” Bebel Hawa sendirian dalam hati.

Baru dia hendak mengatur langkah menuju ke pintu, tiba-tiba lampu terpadam. Gelap-gelita seluruh ruang bilik dorm mereka. Tersentak mereka berempat.

Ah sudah…dia main lampu pulak…” Syu bersuara perlahan.

Ketukan di pintu masih bertalu-talu. Terkadang kuat, terkadang perlahan.

“Siapa tu hah…??” Buat kesekian kalinya Lana menyoal.

Masih tiada yang menyahut di luar. Ketukan masih berterusan. Sesekali tombol pintu dipulas-pulas perlahan dari sebelah luar. Bagai sengaja mahu menambah kecut di perut orang di dalam. Dalam kelam-kabut itu, Hawa mengorak langkah sambil menyua tangan, cuba meraba dinding.

Tiba-tiba, prapp!

Hoit, apa tu…” Wan berbisik.

Sekali lagi air liur ditelan.

“Aku… terpijak laptop…” Mahu tak mahu Hawa terpaksa jujur.

Laptop yang masih terpasang filem seram Melayu tersebut menjadi mangsa tapak kaki Hawa yang bersaiz 40. Tak dapat dipastikan tahap kecederaan komputer riba yang tidak bersalah itu, dalam keadaan gawat begini.

Tadi mereka sedang menonton filem ‘Jangan Pandang Belakang’ beramai-ramai. Elok sahaja sampai di bahagian Opah memanggil-manggil ‘kawan’ Darma masuk ke rumah.. pintu bilik mereka tiba-tiba diketuk. Apa lagi.., menyacak bulu roma masing-masing.

Hahh..?? laptop aku Hawaaa…” Teriak Wan dengan suara yang cuba dikawal rendah.

“Ala…sorry la.. aku tak nampak..gelap…” Jawab Hawa serba salah, juga dengan suara berbisik.

“Nanti aku…” Kata-katanya terhenti dengan bunyi aneh yang kedengaran halus.

Phisshh…..”

Masing-masing menyepikan diri. Memasang telinga mengamati bunyi yang terdengar dekat.

“….puut..” Bunyi tadi berakhir dengan lembut.

Serentak itu bau yang agak kurang enak mula menikam hidung masing-masing perlahan-lahan.

Weh.. bau apa….” Lana tidak sempat menghabiskan ayatnya.

Shhh… orang pesan, jangan tegur…” Potong Syu pantas, dengan nada yang begitu bersungguh. Perlahan tangannya menggosok perut.

“Eh…ni  bau ni aku kenal ni…” Wan tiba-tiba menyampuk.

Ha’ah… kau kentut eh Syu!” Tembak Hawa.

Spontan mereka memicit hidung, geram.

 

MENGEKEK-NGEKEK Fara Afiya dan Fara Afina ketawa mendengarkan bacaan Isha. Sudah menjadi kebiasaan tiga beranak itu setiap malam sebelum tidur. Isha akan membacakan sedikit buku cerita kepada puteri-puteri kecil kesayangannya itu. Buku cerita kanak-kanak yang memaparkan kisah haiwan hutan, buku kisah-kisah para Nabi dan sahabat, buku tauladan, dan yang menjadi kegemaran mereka sekarang, buku kisah seram kelakar.

Eeee Syu kentuuutt…!” Ujar Fara Afina sambil ketawa,

“Puut…!” Sambung Fara Afiya masih mengekek lucu.

Isha sendiri turut ketawa suka. Menarik juga buku yang mereka baca sejak beberapa malam yang lalu. Kisah pengalaman seram lucu beberapa orang pelajar asrama.

Haa…dah…esok pulak kita sambung.” Ujar Isha setelah tawa mereka reda.

“Alaa….mama…sikit lagilah…sikit lagi je…” Rengek Fara Afina.

“Tadi dah sikit lagi dah. Dah, dah… esok pulak sambung. Esok sekolah kan sayang. Pukul berapa dah ni.” Bantah Isha.

Kalau diturutkan budak-budak ni, tak tidurlah jawabnya mereka. Nanti esok pagi masing-masing meragam buat perangai bila dikejutkan untuk bangun ke sekolah.  Lagi-lagi si adik. Memang anak nombor dua ni lain sikit karakternya. Kebanyakan yang Isha dengar dari pengalaman rakan-rakan, serta orang yang lebih tua begitulah. Berbeza dengan karakter si kakak yang lebih mudah mengikut arahan serta lebih bertolak ansur dengan adiknya. Tetapi kalau sudah terasa hati, susah pula mahu dipujuk anak itu.

Kalau mengikut pengalaman Isha juga begitu. Ibu dan ayahnya menghadapi cabaran yang lebih dalam membesarkan abang Aqmar, jika nak dibandingkan dengan dirinya dan Kak Leeya. Entah berapa kali ibunya mengurut dada sewaktu abang Aqmar pulang ke rumah dengan berdarah-darah. Jatuh, bergaduh. Ada juga ayahnya dipanggil orang untuk melihat anak lelakinya itu  yang dikhabarkan lemas di sungai. Tidak terkira pula berapa kali mereka mengunjungi hospital gara-gara Aqmar Alif seorang.

Mungkin juga kerana dia seorang sahaja anak lelaki dalam adik-beradik mereka. Lasaknya lain macam betul berbanding kakak dan adik perempuannya. Tetapi dia memang bersikap sangat melindungi kepada Isha dan Kak Leeya. Pantang dia kalau mereka berdua diganggu atau diusik. Pasti akan diajar pengacau tersebut habis-habisan. Dengan Farhan pun sudah berapa kali diterkamnya sejak menjadi abang ipar mereka. Panas hati dengan sikapnya pada Kak Leeya. Mujur sempat ditahan Encik Arif.

“Ala mama ni…sikit je lagi…” Fara AFina masih merengek tak puas hati.

“Mama kata sudah sayang. Esok kita bacalah lagi.” Tegas Isha.

Fara Afina segera menarik selimut dengan muka monyok.

“Baca doa tidur sayang…. comel-comel busuk-busuk mama ni…” Sengaja Isha menggeletek leher anak kecil itu untuk memujuknya.

Fara Afina hanya mengeraskan badannya dan berpusing membelakangi Isha, menghadap kakaknya.

“Dia senyum mama..” Lapor Fara Afiya .

Isha tersengih. Dielus lembut rambut Fara Afiya sebelum dahi anak itu dikucup penuh kasih. Kemudian perbuatan yang sama diulang pada si adik.

“Fiya baca doa sayang…” Pinta Isha.

“Bismillahirraahmanirrahim….” Lancar Fara Afiya membacakan surah-surah amalan mereka sebelum tidur.

Ayat Qursi, surah al Fatihah, surah al-Iklas diulang sebanyak tiga kali, sebelum disambung dengan surah al-Falaq dan an-Nas. Tidak lupa juga doa sebelum tidur, dan diakhiri dengan kalimah syahadah dan selawat kepada Nabi. Kemudian dihembus kedua tapak tangannya lalu diraup ke muka dan disapu ke seluruh badannya hingga ke kaki. Perbuatan itu diulang sebanyak tiga kali. Isha yang dari tadi mengikut bacaannya perlahan-lahan turut meniru pergerakannya bersama-sama.

Seterusnya ditiupkan pula adiknya yang masih terbaring berselimut, konon-konon merajuk, bermula dari atas kepala hingga ke hujung kaki. Diulangnya tiupannya sebanyak tiga kali. Tersenyum Isha melihat tingkahnya. Senang hati melihat sikapnya.

Memang itu yang Isha ajarkan selalu bila si adik tertidur lebih awal tanpa sempat membaca doa, atau sewaktu Isha uzur. Fara Afiya akan membacakan doa untuk dirinya dan menghembus tubuh adiknya dan juga Isha. Memang anak itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

Kemudian dia menerpa dan mencium pipi Isha.

Thank you sayang, I love you…” Ujar Isha sambil membalas ciumannya.

I love you too…” Balas Fara Afiya sambil menarik selimut.

I love you baby….”  Bisik Isha pada Fara Afina yang sedang pura-pura tidur.

Isha mematikan lampu utama dan menggantikannya dengan lampu tidur yang menghasilkan imej corak bintang berkelip dan berwarna-warni di siling dan dinding bilik. Lalu kepalanya direbahkan penuh nikmat ke bantal. Matanya dipejamkan rapat beberapa saat sebelum kembali terbuka luas.

Terkebil-kebil dia memerhatikan kerlipan cahaya lampu tidur tersebut di siling. Tidak semena-mena perbualannya dengan Cikgu Haidar siang tadi terlayar di ruang fikiran.

 

ALONG sekarang single and available tau..” Ujar Cikgu Haidar lagi, masih tersengih-sengih.

Pernyataannya berjaya mencuri perhatian Isha yang sejak tadi tunduk merenung kertas borang pendaftaran. Cikgu Haidar tersengih nakal. Pancing mengena!

Isha masih terkebil-kebil menanti penjelasan seterusnya dari Cikgu Haidar.

Err… along sebenarnya.. dah lama kehilangan isteri dan dua orang anak perempuannya… mereka dah meninggal…” Jelas Cikgu Haidar dengan berhati-hati.

Bicara seterusnya dirangka di dalam kepala, cuba menyusun isi cerita yang ringkas dan mudah untuk difahami Isha.

Innalillahi wainnailaihiroji’un…..” Ucap Isha perlahan.

Err…macam ni…  lebih kurang 6,7 tahun yang lalu…, anak-anak kembar along… diculik… kemudian..akibat dari peristiwa tu…, isteri along mengalami kemurungan daan depresi yang berat…, hingga akhirnya meragut nyawanya sendiri…” Ujar Haidar Huzaifah memulakan cerita.

Isha hanya diam mendengar dengaan tekun.

“Beberapa tahun lepas tu pula…, pihak polis menemukan… rangka kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia yang melibatkan penjualan organ di pasaran gelap… anak-anak perempuan along…turut dikenal pasti sebagai mangsa di antara mereka…” Jelas Haidar Huzaifah lagi.

Air liur ditelan kelat. Masih terkesan dengan peristiwa hitam yang menimpa keluarga mereka itu.

Isha sendiri begitu terkejut mendengar cerita Cikgu Haidar. Dia langsung tak sangka, perkara sedahsyat itu telah menimpa keluarga Cikgu Hud. Bertimpa-timpa rasa simpati menindih hati kepada bekas gurunya itu.

Haidar Huzaifah tersenyum lemah melihat reaksi Isha. Memang dia sudah mengagak penerimaan gadis itu dengan berita yang disampaikan.

“Allahu Akbar….” Hanya itu yang terluncur keluar dari bibir Isha.

“Kalau Fateema dan Ameena masih ada…mungkin mereka lebih kurang sebaya Fara sekarang…” Ujar Haidar Huzaifah sambil mengukir senyum nipis.

“Sebab tu lah…macam yang Cik Isha tengok.., penampilan along seperti agak kurang terurus…” Sambungnya lagi.

“Tak mudah untuk along bangun semula setelah apa yang berlaku. Walaupun sekarang ni pada asasnya dia menjalani  hidup seperti biasa…, tapi sedikit sebanyak dia masih lagi dirundung rasa sedih dan kehilangan…” Jelas Cikgu Haidar dengan nada mendatar.

“…sampailah baru-baru ni…., dia nampak lain… nampak ceria…. Saya….dah lama tak nampak dia senyum…” Sambungnya kemudian, dengan nada yang agak teruja.

 

“TING TONG!!” Deringan loceng pintu yang memecahkan kesunyian malam merenggut lamunan Isha. Tersentak dia mengurut dada. Pantas tangannya menggapai telefon bimbit.

“Ish.. dah pukul berapa ni..siapa pulak yang datang malam-malam macam ni.” Sungutnya sendirian.

Perasaan kurang enak mula menerpa. Seraya skrin telefon pintar ditekan-tekan, cuba mencari jika ada yang menghantar pesanan untuk datang ke rumah pada waktu begitu. Kosong.

“Ting tong! Ting tong!” Tetamu di luar masih setia membunyikan loceng dan tidak menunjukkan tanda mahu beredar. Isha masih enggan menyambut kehadiran tamu tidak diundang tersebut. Perlahan dia menyusup ke tepi tingkap sambil mengintai ke pagar. Risau juga..entahkan orang..entahkan mambang yang main loceng!

Isha dapat mengecam susuk yang sedang terhendap-hendap di luar pagar dengan bantuan lampu jalan yang terang di hadapan rumah mereka. Jiran sebelah mereka, Faiz kelihatan masih berusaha menekan loceng dengan sebelah tangannya lagi kelihatan seperti sedang membimbit bungkusan plastik. 

“Arghhhh...!” Suara tangisan kanak-kanak secara tiba-tiba diikuti tempikan marah seorang wanita mengejutkan Isha. Faiz juga tampak tersentak dan kelam kabut pulang ke rumahnya. Isha menarik nafas lega.

Termasuk malam ini, sudah hampir 3 kali lelaki itu bertandang ke rumahnya lewat malam hanya semata-mata mahu memberikan makanan yang dibawa pulang dari masjid.

Memanglah, kalau diikut logik waktu pulangnya bertepatan dengan masa ceramah atau kuliah agama di situ tamat, tetapi agak kurang sesuai pula menurut Isha untuk menghantarkan makanan ke rumah wanita bujang hampir tengah malam begitu. Seolah membuka ruang mudah untuk jiran-jiran lain memandang serong atau bergosip.

Suara tangisan kanak-kanak tadi mula mereda dan suasana malam kembali tenang.

“Tidur Isha tidur... karang esok mengantuk nak drive...” Bebelnya sendirian. Isha menyembamkan wajahnya ke bantal, bergolek-golek mencari posisi yang selesa untuk belayar ke alam mimpi. Tasbih digital yang terselit di celah bantal digenggam erat. Belum pun sampai sepuluh kali butangnya ditekan, dia sudah terlena.

“ALYA ALISHA ARIF!” Terjegil mata bulat Hud Hurairah melihatkan isi buku latihan Isha yang terlindung separuh dengan tangannya.

Terkejut monyet Isha dibuatnya. Habis terconteng panjang lakarannya di helaian kertas tersebut. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Cikgu Hud sudah menarik bukunya dari meja.

“Saya suruh awak selesaikan soalan ni, awak pergi lukis Son Goku??!” Suara hairan bercampur terkejut Cikgu Hud disambut dengan ketawa lucu rakan-rakan sekelas yang lain.

Ada yang sibuk-sibuk bangun dari tempat duduk masing-masing untuk ikut menjenguk lukisan yang dimaksudkan. Riuh mereka mengetawakannya, tak kurang juga yang memuji lukisannya.

“Bertuah punya budak... Awak pun minat Dragonball ye?” Perli Cikgu Hud sinis.

Isha tunduk diam menekur meja. Merah padam mukanya menahan malu dan rasa bersalah. Apa nak buat, dia benar-benar tidak meminati subjek Matematik Tambahan.

Berpusing kepala otaknya cuba menghafal dan memahami formula dan jalan kira yang diajar. Sudahlah berbelit-belit panjang, kemudian bila sampai ke akhir, jawapan yang diperoleh salah pula. Sudah satu hal mahu menyemak semula dari awal di mana salahnya. Bosan betul!

Berbeza sungguh dengan subjek Matematik Moden yang selalu diskor A. Padahal kedua-duanya menggunakan nombor-nombor yang sama? Hairan betul...

“Hah! Diam pulak dia.. awak jangan tiba-tiba nak bertukar jadi Super Saiya pulak!” Hentam Cikgu Hud masih belum puas menyakat gadis itu.

“Kaa...meee...haa...mehaaa...!!!” Sambut seorang pelajar lelaki sambil menggayakan aksi berlawan popular dalam siri kartun Mutiara Naga yang terkenal di kalangan kanak-kanak dan remaja ketika itu.

Hingar-bingar kelas 5 Alfa dihiasi gelak ketawa pelajar-pelajarnya mengusik Isha petang itu. Mujur sahaja dia tidak boleh menggunakan teknik Gerakan Sejenak untuk menghilangkan diri dari kelas waktu itu. Kalau tidak, sesaat pun dia tak mahu tunggu di situ lagi.

Adoi...Alya Alisha Arif...lucu la kamu ni... ” Cikgu Hud turut mengekeh ketawa dengan gelagat pelajar kesayangannya itu.

Memang dia sudah maklum dari awal Isha agak lemah dalam menguasai subjek tersebut. Sedangkan dia sering mendapat markah yang tinggi untuk mata pelajaran yang lain. Lagi-lagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Bangga betul Teacher Syuhada jika bercerita tentang Isha pada rakan-rakan guru yang lain.

 Besar harapannya untuk melihat Isha menceburi bidang pendidikan dengan mengambil Bahasa Inggeris sebagai subjek utama. Anak itu punya kelebihan dalam mengarang. Penulisannya boleh sampai ke hati pembaca. Sudah beberapa kali Teacher Syuhada menitiskan air mata sewaktu menanda kertas ujiannya.

Sampaikan pelajar nombor satu harapan sekolah yang disasarkan untuk meraih keputusan straight A juga tidak mampu menandinginya dalam subjek tersebut.

“Dah...buku awak ni saya simpan. Nanti saya nak masukkan dalam frame, gantung kat dinding.” Ujar Cikgu Hud masih mengulum senyum.

Isha tetap mematungkan diri memaku pandangan ke meja. Terasa kebas mukanya menahan usikan demi usikan dari guru dan rakan-rakan.

Start minggu depan, awak kena balik lewat dari orang lain sebagai denda. Saya akan buat latih tubi dengan awak sampai awak mahir.” Tegas Cikgu Hud memberikan hukuman.

Isha menelan air liur yang terasa kelat. Nasib...nasib...