ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
20
“WEH…kau ok tak ni?” Soal Munir setelah menghantar Maira dan Hadif keluar.
Dilihatnya Mus sedang tunduk merenung
lantai di sofa. Mus memanggungkan kepalanya.
“Ha? Aku ok…” Jawabnya. Tetapi air mata meleleh laju di pipinya.
Kaget Munir melihat keadaan sahabatnya
itu.
“Weh Mus…” Munir menelan air liur.
“Ha?” Soal Mus lagi.
Cecair jernih yang menitis dari hujung
dagunya diseka. Baru dia perasan yang air matanya sedang meleleh.
“Err…” Dia cuba mencari alasan,
tetapi otaknya tidak dapat berfikir.
Air matanya semakin lebat mencurah
turun.
“Sa..sakitlah..Munir.. aku sakit…”
Adunya teresak-esak.
“Hah? Kau sakit? Sakit kat tempat luka
kau ke?” Soal Munir kelam kabut sambil mendekati sahabatnya.
Diperhatikan bahagian perut Mus yang
terkena tikaman. Tidak kelihatan apa-apa yang pelik. Kemudian dialihkan pula
pandangannya ke arah tangan kanan Mus yang sedang mencengkam kuat bajunya di
bahagian dadanya. Fahamlah dia, sakit yang Mus rasakan sekarang bukan di
bahagian perutnya, tetapi sakit di dalam dadanya. Munir meraup wajahnya
perlahan. Runsing dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Sakit Munir… aku sakit….” Tangis
lelaki itu dengan suara yang kuat.
Tangannya mencengkam bahu Munir.
Dadanya benar-benar terasa perit. Lalu disembamkan wajahnya di bahu sahabatnya
lalu dia menangis sepuas hatinya seperti seorang anak kecil.
Sementara itu di luar pintu rumah
mereka, kelihatan Hadif sedang bersandar di dinding. Dia menyuruh Maira dan
Hanim turun ke kereta terlebih dahulu, dan berpatah balik tadi untuk mengambil
kotak rokoknya yang tertinggal.
Waktu itulah dia terdengar esak tangis
Mus yang kuat dari luar pintu. Suara tangisan itu sudah cukup untuk
menggambarkan betapa hati lelaki itu kini sedang koyak, remuk, dan terluka
parah. Hadif meraup rambutnya ke belakang sebelum melangkah pergi.
HANI menyertai Hanim dan Maira yang sedang
berehat menonton televisyen di ruang tamu. Bau enak ayam goreng Korea yang
terhidang di meja mencium hidungnya.
“Wah…ayam Korea! Sedapnya…siapa beli
ni?” Soalnya sambil terus mencapai seketul ayam dan melapiknya dengan piring
kecil yang diambil di atas meja.
“Makan jelah… Hadif belikan sebelum
hantar kitorang balik tadi…” Sahut Hanim.
Dikerlingnya sejenak Maira yang sedang
mendiamkan diri. Rasa marah pun ada juga dengan rakannya itu. Entah macam mana
dia boleh setuju meneruskan pernikahannya dengan Hadif.
Hanim betul-betul tidak faham. Dia dan
Mus dah sah-sah saling mencintai. Tetapi kenapa mahu diteruskan juga pernikahan
itu? Apa puncanya? Tak akanlah si Hadif tu mengugutnya pula. Hanim menelan air
liur. Lelaki itu terkadang boleh tahan juga barannya, setakat yang dia nampak
ni.
“Makan ni teringat masa kita kat Korea
dulu kan? Best betullah masa tu.
Bilalah dapat pergi lagi..” Bual Hani ceria dengan mulut yang penuh dengan ayam
goreng.
Maira yang juga sedang mengunyah ayam
tiba-tiba kalut mengesat hidungnya tidak berhenti-henti. Hani dan kakaknya
saling berpandangan. Dah kenapa dengan si Maira ni? Memanglah ayam Korea ni
pedas, tapi tak adalah melampau sangat.
Lagipun, rakan mereka yang seorang ni
memang sudah terkenal hantu makanan pedas. Susah hendak nampak dia berair mata
dan hidung sewaktu makan makanan pedas. Jika terjadi, maknanya memang pedas
melampau sangatlah tu. Hanim dan Hani pun tak dapat nak telan kalau macam tu.
“Weh, kau kenapa, sampai
menangis-nangis ni? Takdelah pedas sangat pun ayam ni.” Tegur Hanim.
Panggilan telefon dari Munir membuatkan
dia terhenti makan, dan beredar ke bilik untuk menjawabnya. Lebih privasi.
Maklumlah, orang tengah bercinta.
“Pedas ke Maira? Nak air?” Tanya Hani
pula.
Maira yang tadinya cuma sibuk mengesat
hidung dan mata, mula menangis teresak-esak sambil memegang ayam. Hani yang
baru hendak bangun mengambil air sejuk di atas meja makan, duduk semula.
“Wey…kau kenapa ni Maira….kenapa kau
menangis macam ni…?” Soal Hani yang mula cuak melihat keadaan Maira.
Tangisannya mula mengeluarkan bunyi
yang kuat. Hani bingung. Ditariknya ayam dari tangan Maira perlahan lalu
diletakkan ke dalam piring. Kemudian dipeluknya sahabatnya itu.
“Kau kenapa ni? Cuba cerita kat aku..”
Pujuk Hani lembut.
Maira semakin sakan menangis.
Didakapnya tubuh Hani erat lalu dia melepaskan semua kesakitan yang dirasakan
dalam dadanya melalui tangisan yang kuat. Tidak pernah lagi Hani dengar
rakannya itu menangis dengan suara yang kuat begitu. Sakit sangatkah dia? Apa
yang jadi sebenarnya? Hani hanya mampu berteka-teki sendiri dalam membiarkan
Maira menangis semahunya.
Hanim yang sedang melihat mereka dari
pintu biliknya pula mengenggam erat telefon di tangannya. Dia baru mendapat
berita dari Munir, yang Mus juga sudah meraung hebat di sana tadi.
“Ya Allah… bantu mereka ya Allah…
Sekiranya Engkau menetapkan mereka berjodoh ya Allah…Kau permudahkanlah
mereka..Kau satukanlah mereka dalam redhaMu ya Allah…Aamiin…” Bisiknya
memanjatkan doa.
Telefon di tangannya masih dipegang
kemas.
“MAIRA
setuju nak teruskan?” Soal Datin Zara terperanjat.
Hadif menganguk-anggukkan kepalanya.
Nekad mahu meneruskan pernikahan mereka esok. Apa pun yang terjadi, dia tetap
mahu memiliki Maira. Perkara lain akan difikirkannya kemudian.
“Betul ke Maira setuju? Ke..Hadif yang
paksa dia?” Soalnya lagi, masih rasa tidak percaya.
“Ish mummy ni. Tak kanlah Hadif nak buat macam tu.” Sanggah anaknya.
“Manalah tahu, Hadif ugut dia, suruh
teruskan juga sebab permintaan mama dan papa dia. Maira tu memang anak yang
taat. Sentiasa hormatkan permintaan mama papa dia.” Teka Datin Zara. Bukan dia
tidak tahu perangai memaksa anak lelakinya itu.
“Tak baik buat macam tu tau. Tak baik
siksa hati orang…mama tak fahamlah dengan Hadif ni.” Tambahnya lagi. Sudah mati
akal mahu memujuk.
Hadif hanya mendiamkan diri.
“Kalau ye pun, kenapa cepat sangat…kubur
daddy pun masih merah lagi…” Soalnya
sebak. Kadang-kadang dia memang tidak faham dengan tindak tanduk anak
tunggalnya itu.
“Akad nikah je mummy.. nanti-nanti baru buat kenduri. Tarikh tu kan memang dah booking dari awal.” Tingkah anaknya
lagi, masih berkeras dengan pendiriannya.
“Hadif nak mandi.” Ujarnya, mematikan
perbualan. Dia bingkas bangun meninggalkan ibunya sendirian di kerusi batu
halaman rumah mereka.
Datin Zara menghela nafas. Dihantarnya
langkah anaknya pergi dengan pandangan sayu. Kemudian dilemparkan pula
pandangannya ke arah pokok-pokok bunga yang sedang mekar. Cuba mencari
ketenangan.
Hadif menghempaskan punggungnya ke
katil. Serentak itu juga telefon bimbitnya berbunyi. Ada pesanan video dari
nombor yang tidak dikenali. Hadif menekan butang main dengan penuh tanda tanya.
Terpapar video seorang gadis yang sedang teresak kuat dalam pelukan rakan
serumahnya. Wajah dan rambut mereka ditutup, mungkin untuk melindungi aurat
mereka. Tetapi dia kenal suara itu. Maira. Maira menangis dengan begitu teruk
sekali.
Luluh hatinya melihat video itu. Tak
pernah dia melihat gadis itu menangis dengan begitu teruk. Suara tangisannya
jelas menceritakan betapa sakitnya dia. Sama seperti Mus tadi. Hadif nampak,
dia nampak dengan jelas sekali, betapa dua insan itu saling mencintai antara
satu sama lain. Kolam matanya bergenang. Pesanan mesej yang masuk ditekan dan
dibaca.
“Kau tak kesiankan Maira ke. Kalau kau
betul sayangkan dia, tak kan kau sanggup buat dia macam ni…” Mesej Hanim.
“Habis aku macam mana?!! Aku pun
sayangkan dia!!” Tempiknya geram.
Dibantingnya telefon bimbitnya ke
dinding. Berderai bunyi telefon tersebut terhempas ke lantai. Mujur tidak
sampai ke pendengaran ibunya yang berada di luar rumah. Hadif merebahkan
badannya kasar ke atas katil. Lalu dia menangis sendirian.
PAGI itu Hadif sudah siap menunggu di
pejabat agama. Lengkap berpakaian baju melayu putih dengan kain sampin. Maira
pula baru tiba dengan Pak Saad, Hanim, Hani, dan ibu saudaranya Datin Shiela.
Mus, Munir, dan Datin Zara sedang menunggu di bilik yang disediakan di pejabat
agama. Pihak sebelah pengantin perempuan beriringan berjalan masuk ke bilik
yang sama.
Maira kelihatan ayu dengan baju kurung
polos, juga berwarna putih. Veil pendek dan tiara kecil menghiasi tudungnya
yang kosong tidak bercorak. Tampak begitu cantik dalam kesederhanaan. Namun
sayang, wajahnya jelas disalut kesedihan. Hanya sahaja air mata tidak mengalir
membasahi wajahnya. Sayu mereka melihatnya.
Munir memegang bahu Mus sebaik Maira
melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, cuba meminjamkan kekuatan kepada sang
sahabat. Dalam masa yang sama, pandangan mata mereka berdua bertembung. Mus
menghadiahkan senyuman manis pada gadis itu. Maira ingin membalas senyumannya,
tapi malah air mata yang merembes keluar dengan laju. Tewas dia dalam menahan
perasaan. Tercegat dia berdiri di situ tak bergerak.
“Maira…” Panggil ibu saudaranya, Datin
Shiela apabila dilihatnya Maira diam menunduk tidak bergerak.
Jurunikah, wali hakim, dan yang
lain-lain semuanya sudah menunggu di meja. Masing-masing mempamerkan wajah
hairan melihat pengantin perempuan menangis tidak bergerak di depan pintu.
Hadif turut tegak menunggu di meja. Debaran di dadanya mengencang, tapi entah
kenapa riak wajahnya tenang.
“Maira…” Panggil Hanim pula dengan
suara sebak.
“Maira tak boleh… Maira tak boleh…”
Rintih seorang Aimy Humaira perlahan dengan suara yang tenggelam timbul dalam
esak tangis.
Dia benar-benar tidak mampu untuk
meneruskannya. Untuk melangkah menuju ke meja sahaja pun dia tidak berdaya.
Mus pula sudah merah mata menahan
tangis. Pilu melihat Maira begitu. Hatinya kuat mengatakan, yang Maira juga
mempunyai perasaan yang sama padanya.
Hadif menghela nafas panjang dengan
agak kuat, membuatkan semua yang berada di situ meoleh ke arahnya.
“Maaf tuan, kita tukar pengantin
lelaki.” Ujarnya pada mereka yang berada di meja.
Semua mata tertumpu ke arahnya. Hadif
melangkah menghampiri Mus yang sedang berdiri bersama Munir dan Pak Saad.
“Aku tahu, kau akan jaga dia dengan
baik…” Ujarnya sambil memegang bahu Mus dan mendorongnya ke kerusi yang
didudukinya tadi.
Terpinga-pinga Mus bergerak mngikut
langkahnya. Kemudian Hadif menghampiri Maira pula.
“Hadif sangat….sangat sayangkan Maira…”
Dia terhenti menelan air liur.
Wajah Maira yang basah dengan air mata
ditatapnya sayu.
“Tak ada lain yang Hadif nak, selain
untuk tengok Maira senyum bahagia dan ketawa gembira…” Sambungnya lagi.
“Walaupun bukan Hadif yang
menggembirakan dan membahagiakan Maira…” Bergetar suaranya menahan sebak.
“Hadif yakin, Hadif tahu sangat…yang
Mus adalah lelaki yang terbaik untuk Maira. Mus akan jadi suami yang baik, dan
akan bahagiakan Maira…” Air matanya mengalir lesu.
“Cuma Hadif harap…, Maira tak akan
benci Hadif, atau buang Hadif dari hidup Maira…Maafkan Hadif ya…?” Pintanya
lemah.
Laju air mata Maira mengalir sambil
menatap wajah Hadif. Terketar-ketar bibirnya. Kepalanya dianggukkan perlahan.
Sebagai tanda janji untuk memaafkan lelaki itu, untuk tidak membencinya, dan
tidak membuangnya dari hidup seorang Aimy Humaira.
“Pergilah… dah lama qadi tunggu… orang
lain pun nak menikah jugak ni nanti…” Usiknya lembut.
Hanim dan Hani memimpin Maira duduk di
kerusi sebelah Mus. Canggung keduanya dengan situasi yang tidak dijangka itu.
Pak Saad menepuk lembut bahu Hadif. Datin Zara pula merangkul lengan anaknya,
bangga dengan tindakannya. Hadif hanya tersenyum tawar sambil mengesat air
mata.
“Err..boleh kita mulakan?” Soal
Jurunikah.
Hanya dengan sekali lafaz, Kairi
Musyrif dan Aimy Humaira sah bergelar suami isteri. Masing-masing tidak henti-henti
memanjatkan kesyukuran atas kasih sayang Allah ini. Bersatulah dua hati dengan
jalan yang halal, dalam keredhaan Tuhan mereka.
Syukur, Alhamdulillah.
“Dan sesungguhnya Tuhanmu akan
memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau
redha-berpuas hati.” [Ad-Duha - 5]
MALU-MALU Maira bersalaman dengan Mus. Macam
tidak percaya pula lelaki itu kini sudah sah menjadi suaminya. Mus sendiri pun
teragak-agak mengucup dahi Maira, membuatkan hadirin yang ada di situ tertawa
kecil dengan gelagat mereka.
“Terima kasih Hadif, atas pengorbanan
kau.” Ujar Mus ketika bersalaman dengan Hadif.
“Hey…
kau sama umur dengan Maira kan? Panggil aku abang Hadif k… aku kan abang sepupu kau.” Ujar Hadif sambil memeluk Mus mesra.
Datin Zara mengusap tangan anak
lelakinya, dan tangan anak saudaranya penuh kasih. Syukur atas kurniaan ini.
Mudahan segala dosanya dan dosa arwah suaminya diampunkan oleh Yang Maha
Pengampun.
“Maira…, sini…, Pak Saad nak cakap
sikit…” Panggil Pak Saad mengajak anak majikannya yang sudah dianggap seperti
anak sendiri itu ke suatu sudut.
Maira menumpukan perhatian kepada Pak
Saad.
“Pak Saad tahu…Maira serba salah sebab
rasa macam Maira tak tunaikan permintaan mama dengan papa Maira..” Pak Saad
memulakan bicara.
Ditatapnya wajah gadis itu penuh kasih.
“Tapi…Pak Saad kerja dengan mereka dah
lama… pandangan mata mereka, senyuman mereka, semuanya Pak Saad dah kenal
sangat.” Sambungnya lagi.
Penilaian orang tua sepertinya
selalunya berasaskan pengalaman hidup yang tak dapat dijual beli. Bak kata
pepatah, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya.
“Kalau tak salah pemerhatian Pak Saad,
dari mula papa Maira jumpa dengan Mus semasa dia sedang mengaji di masjid lagi,
dia dah jatuh suka dengan Mus. Dari cara dia pandang dan berbual dengan Mus,
Pak Saad dapat rasa, apa yang dia rasa dalam hati dia sebagai seorang ayah.
Walaupun masa tu, dia belum tahu yang Maira dan Mus membesar bersama, atau
perasaan kamu berdua.” Jelasnya lagi panjang lebar.
Bergenang air mata Maira mendengar
penjelasan Pak Saad.
“Datin Salimah pun begitu… Pak Saad
tahu… dari cara dia bertanya, Maira cemburu ke kalau Mus mengurat Cik Nana,
masa Maira tengah makan roti canai tu…ingat tak?” Soal Pak Saad sambil
tersenyum.
Maira terdiam sejenak sebelum mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Haa…masa tu lagi, Pak Saad rasa, mama
Maira dah boleh rasa perasaan Maira dan Mus. Maira tahu tak…, naluri seorang
ibu ni ajaib?” Soal Pak Saad lagi.
Air mata Maira tumpah lagi.
“Mama Maira mungkin dah tahu…, dan
mungkin sedang cuba untuk betulkan keadaan.. tapi tak sempat…” Ujar Pak Saad
lagi.
Menitik-nitik air mata Maira tumpah ke
bumi. Teringat yang mamanya berpesan mahu bercakap tentang sesuatu selepas dia
pulang dari bertemu Rania. Tiada antara mereka yang tahu, itulah kali terakhir
mereka berpeluang berbicara.
“Mama..papa…, Maira rindu mama papa..”
Bisik hatinya perlahan.
“Jadi… Maira jangan rasa yang Maira dah
ingkar dengan permintaan mereka ya? Maira anak yang baik… mama dan papa Maira
tahu tu… InshaAllah…Maira akan sentiasa dalam redha dan restu mereka. Hiduplah
baik-baik dengan Mus. Jangan fikir yang bukan-bukan lagi, ya?” Pesan Pak Saad.
Tahu benar dia, perangai anak majikannya itu.
“Terima kasih Pak Saad…sebab bagitahu
Maira semua ni…” Ujar Maira dengan linangan air mata.
“Dah tu…jangan menangis lagi. Bengkak
dah mata pengantin ha…” Usik Pak Saad.
Maira tertawa kecil.
“Pak Saad…, Maira berniat nak jadikan
rumah papa dengan mama tu, rumah untuk anak yatim. Boleh Pak Saad tolong
uruskan untuk Maira? Sama-sama dengan anak-anak kembar Pak Saad. Diorang pun
tak lama lagi dah nak balik ke Malaysia kan.. Pak Saad duduklah di situ dengan
diorang, uruskan apa yang termampu. Kalau Pak Saad tak larat, kita boleh
gajikan pekerja nanti.” Pinta Maira.
Memang Dato’ Harun dan Datin Salimah
awal-awal lagi sudah menghibahkan keseluruhan harta mereka kepada anak
kesayangan mereka, walaupun tiada pertalian darah. Mereka yakin, Maira akan
menggunakannya pada jalan kebaikan.
Pak Saad tersenyum.
“Besar sungguh hatimu anak…” Bisik
hatinya.
“Yelah… InshaAllah… sengajalah
tu dia tu… nak manja-manja lagi dengan Pak Saad walaupun dah besar dah jadi
isteri orang dah.” Usik Pak Saad.
Ketawa mereka berdua, lega, bahagia.
Alhamdulillah.
“Pak Saad…kenapa culik pengantin Mus
ni. Dahlah bukan main susah lagi nak dapat.” Usik Mus.
Dia dan mereka yang lain mula berjalan
menuju ke arah Maira dan Pak Saad, setelah perbincangan serius mereka berdua
tadi kelihatan mereda dengan gelak ketawa.
“Alah kamu ni…pinjam sekejap pun tak
boleh…kedekut.” Balas Pak Saad melayan usikan Mus.
“Hah, jomlah, bergambar dengan
pengantin. Sempoi ni, pengantin lelaki pakai kemeja je. Kahwin koboi.”
Sampuk Munir pula.
Masing-masing membelek pakaian Mus dari
atas ke bawah sebelum sama-sama mentertawakannya. Beriringan mereka melangkah
mencari pemandangan yang cantik untuk dijadikan latar belakang untuk bergambar.
Maira yang turut ikut melangkah ditahan oleh ibu saudaranya, Datin Shiela.
“Maira… aunty harap, Maira dapat maafkan perbuatan Rania ya…” Pintanya
dengan wajah yang sedih.
“Ye aunty…Maira dah lama maafkan Rania. Maira tetap sayang Rania. Aunty janganlah sedih… sama-sama kita
doakan dia, ya?” Pujuk Maira lembut.
“Lagi satu aunty… tentang urusan hal syarikat papa, boleh tak kalau Maira
serahkan semuanya pada aunty? Maira
tak tahu apa-apa tentang perniagaan. Aunty
orang yang paling layak untuk ambil alih syarikat tu. Maira serahkan semuanya
pada aunty ya?” Pintanya manja.
Bergenang air mata Datin Shiela dengan
kebaikan anak buahnya.
“Mudahan Allah merahmatimu wahai anak…”
Bisik hatinya perlahan.
“Jom, kita tangkap gambar. Mulai hari
ni, aunty jadi mama Maira, Maira jadi
anak aunty, boleh?” Ujar Maira ceria.
Datin Shiela mendakap dan mencium
dahinya penuh kasih lalu mereka berjalan beriringan menyertai mereka yang lain.
“Haa..rapatlah sikit pengantin.
Malu-malu pulak…” Usik Munir yang sedang mengambil gambar.
“Romantiklah sikit..” Tambahnya lagi.
Seronoklah dapat mengusik sahabatnya sepuas hati.
“Lepas ni nanti kita pulak ye?
Tak sabar pula rasa nak menikah, tengok diorang ni.” Ujarnya pada Hanim.
Hanim membeliakkan matanya. Hani pula
sudah menggosok tengkuk. Rasa kembang-kembang melihat kakaknya bermain cinta
dengan kekasih hati. Mus pula sakan mengusik Maira, mencuitnya sana sini.
Mentang-mentang dah halal.
“Ara…, untuk majlis nanti… kita jemput
sekali Ustazah Fatimah, Encik Thalhah, Pak Mail dengan kawan-kawan kita dulu
nak tak? Rindu dengan diorang.” Cadang Mus.
Maira tersengih lebar mendengarnya.
Laju kepalanya diangguk tanda bersetuju. Rasa macam nak peluk-peluk sahaja
suaminya. Tapi malu pula.
“Mesti diorang tak sangka kita dah jadi
suami isteri.” Ujar Mus lagi sambil mengulum senyum. Jangan kata mereka, dia
sendiri pun masih rasa macam tak percaya.
“Hmm…nasib baik…kalau tidak..,
jenuh aku nak pujuk orang tu menangis sambil pegang ayam.” Ujar Hani sambil
mengerling Maira.
Merah muka Maira dibuatnya bila
rahsianya dibocorkan. Kelakar pun ada bila diingat kembali.
“Sayang menangis sambil pegang ayam?”
Soal Mus.
Maira buat muka pelik mendengar
panggilannya.
“Gelilah Ari ni!” Tingkah Maira, terasa
lucu dan geli dipanggil begitu.
Pecah ketawa mereka yang lain.
“Ok
lagi tu… ada orang tu ha, meraung-raung menangis cakap sakit.
Kelam kabut aku takut perut dia terburai. Rupanya sakit tempat lain.” Sampuk
Munir pula.
Pecah lagi ketawa mereka.
“Dah dah lah…sakit perut aku ni ketawa
banyak sangat tau.” Komplen Mus sambil memegang bahagian perut yang terkena
luka tikaman.
“Sakit lagi ke?” Ujar Maira risau.
“Sakit…balik nanti sayang sapukan ubat
ya?” Pintanya sambil mencemikkan mulut seperti mulut itik.
Langsung Maira mencubit perutnya yang
sebelah lagi. Beradoi manja lelaki itu dibuatnya.
“Sejak bila Ari jadi mengada sangat
ni?” Soalnya geram.
“Emm…sejak nikah tadi.” Jawab
Mus selamba.
“Uwekkkhhhhh!!!” Mereka yang lain beramai-ramai buat
aksi nak termuntah melihat gelagat pasangan pengantin baru itu.
Gelak tawa bergema menghiasi ruang
udara, dan ruang hati semua yang ada di situ. Alhamdulillah. Ketawa itu satu
nikmat. Bahagia itu satu nikmat. Cinta dan kasih sayang itu satu nikmat.
“Terima kasih Allah, atas kurniaan
terindah ini. Terima Kasih Allah, atas nikmat yang tidak terhingga ini. Terima
kasih Allah, atas doa yang Kau kabulkan ini.” Bisik hati Kairi Musyrif sambil
memandang Aimy Humaira yang sedang tertawa riang, dengan penuh kasih.
“Ya Allah…jadikan aku…, jadikan kami…,
hambaMu yang sentiasa bersyukur. Aamiin…” Berbisik-bisik dia menyampaikan suara
hatinya kepada Tuhannya.
Ya Allah…kami redha Allah Tuhan kami,
kami redha Islam cara hidup kami, dan kami redha Nabi Muhammad
Sallalahu’alaihiwassalam Nabi dan Rasul kami.
TAMAT.

No comments:
Post a Comment