Tuesday, April 30, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 16)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 16

RANIA  gelisah sendiri. Sekarang dia tinggal seorang di rumahnya. Tadi, Hanim membawa Maira pulang ke rumah sewa mereka terlebih dahulu supaya Maira dapat berehat dan bertenang.

Mus pula menunggu di hospital dengan ditemani rakannya Munir sehingga proses bedah siasat jenazah Datin Salimah selesai, sebelum ke balai polis pula untuk memberikan keterangan mengenai kes Pak Saad yang dituduh mencederakan, sehingga mengakibatkan kematian, kepada Datin Salimah.

Hadif terpaksa membawa ibu dan bapanya pulang ke rumah untuk berehat terlebih dahulu kerana daddynya tiba-tiba sakit dada. Dia berjanji untuk menjemput Maira di rumah Hanim nanti untuk pengebumian Datin Salimah. Manakala Rania dan ibu bapanya pulang ke rumah untuk menyiapkan urusan pengebumian kerana jenazah bakal dibawa pulang ke rumah mereka nanti.

Ibu dan bapanya keluar untuk berurusan dengan pihak masjid. Rania pula diminta mengemas rumah sebagai persiapan menyambut jenazah memandangkan pembantu rumah mereka sedang bercuti dan pulang ke kampung asal di Indonesia untuk beberapa bulan. Rania juga ditugaskan untuk memaklumkan perihal kematian kepada keluarga dan kenalan.

Jam sudah lebih sepuluh minit melepasi tengah malam. Dia mundar-mandir sendirian di biliknya. Kedua tangannya menggigil. Terimbas kembali kejadian di bilik pejabatnya siang tadi.

“Cik Rania…saya datang nak betulkan air-cond.” Tegur seorang pemuda yang menjengulkan kepalanya setelah mengetuk pintu beberapa kali.

Yes, masuklah.” Ujar Rania ringkas.

Dibiarkan lelaki itu memanjat tangga dan membelek penghawa dingin di dinding. Rania sibuk menyiapkan kerjanya di komputer. Langsung tidak dihiraukan lelaki tadi. Tidak lama selepas itu, Rania bangun dan keluar untuk ke tandas.

Alangkah terkejutnya dia apabila masuk semula ke bilik pejabatnya. Dilihatnya lelaki yang datang membaiki penghawa dingin tadi sedang bersenang-lenang di atas kerusi di mejanya sambil menghirup air kopinya yang diletakkan di situ.

“Eh, excuse me, awak buat apa ni?” Spontan dia menegur lelaki itu dengan suara yang agak tinggi.

Lelaki itu memandang ke arahnya lalu bangun dengan bersahaja sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Rania, kemudian berjalan mengelilingi gadis itu dengan gaya yang begitu menjengkelkan. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Rania yang terpempan dengan reaksi lelaki itu mendengar pintu bilik pejabatnya dikunci. Rania mula kaget.

“Rania Ruhilla Binti Dato’ Razman.” Lelaki itu menyebut nama penuh Rania dengan suara mengejek.

“Sepupu kepada Aimy Humaira Binti Abdullah…” Sambungnya lagi. Dia masih berjalan berpusing-pusing mengelilingi Rania.

“Siapa kau, hah? Apa kau nak?” Rania sudah mula takut. Bagaimana lelaki ini mengenalinya dan keluarganya.

“Hahahah…. Siapa aku, tak penting.” Ujarnya sambil ketawa.

“Yang penting…sekarang ni, aku nak kau buat apa yang aku cakap.” Arahnya.

Rania mengerutkan dahinya. Tidak faham yang dimahukan lelaki itu.

“Aku nak, kau letakkan kesalahan membunuh Dato’ Harun dan pembantu rumahnya, pada pemandu mereka. Kau boleh guna cara apa pun yang kau suka. Aku tahu kau bijak.” Ujar lelaki itu.

“Kenapa pula aku nak kena buat macam tu?!” Marah Rania.

“Sebab…wahai cik adik manis… kalau kau tak ikut cakap aku, aku akan bunuh kau!” Sergah lelaki itu sambil mendekatkan mukanya ke wajah Rania.

“…dan lepas tu, aku akan tuduh kau yang bunuh bapa saudara kau sendiri, dan pembantu rumahnya. Sebab kau….!” Sergahnya lagi sambil menudingkan jari betul-betul di depan batang hidung Rania.

“Kau…. Ada motif besar untuk buat macam tu. Pertama, sebab kau nak rampas harta keluarga tu…dan kedua, sebab kau gilakan tunang si Maira sehingga sanggup menyihirkan dia!” Tempiknya dengan wajah bengis.

Rania terkedu. Wajahnya pucat. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan.

“Aa…aa…apa kau cakap ni? Bi…bila masa aku buat macam tu?!” Tergagap-gagap Rania membalas kata-kata lelaki itu.

Lelaki itu tertawa terbahak-bahak, sebelum mengeluarkan patung sihir yang disimpan Rania di dalam laci meja kerjanya. Patung jerami itulah yang digunakan Rania untuk menyihir Maira sehingga tidak boleh berjalan.

Helaian rambut Maira terikat pada patung tersebut, dan beberapa batang jarum kelihatan terpacak pada bahagian hujung kaki patung tersebut. Memang dari awal lagi, dialah dalang yang menyihir Maira, dengan harapan sepupunya itu akan memutuskan pertunangannya.

Rania terjelupuk jatuh ke lantai. Tidak sangka rahsia yang disimpannya kemas selama ini terbongkar. Memang benar, sudah lama dia mencemburui Maira. Meskipun dia suka berkawan dengan gadis itu, tetapi sedikit sebanyak timbul perasaan iri dan tidak puas hati dalam dirinya.

Mana tidaknya, kalau bukan kerana ibu dan bapa saudaranya itu mengambil Maira sebagai anak angkat, sudah pasti segala harta kekayaan keluarga itu akan diwariskan kepadanya kerana pasangan itu tidak mempunyai anak. Kasih sayang pasangan itu juga, yang sebelum ini begitu memanjakannya, telah beralih arah dengan kehadiran Maira dalam hidup mereka.

Tidak cukup dengan itu, jejaka pujaan hatinya, Hairul Hadif, juga jatuh hati pada gadis itu dan mahu menikahinya. Rania benar-benar menggilai jejaka tampan itu. Sudah lama dia meminatinya. Ada juga beberapa kali dia cuba menggoda lelaki itu untuk berhubungan intim dengannya. Tetapi lelaki itu menolak dengan baik, dengan alasan dia menghormati Rania dan keluarganya.

Rania terpaksa akur dan tetap berada di sisinya sebagai sahabat baik. Sekurang-kurangnya dia masih dapat selalu dekat dengan lelaki itu dan bermanja dengannya. Tetapi, tiba-tiba pula dia jatuh hati pada Maira. Tidak! Dia tidak rela Hadif menjadi suami Maira. Perempuan lain, dia tidak kisah. Tetapi, bukan Maira. Dia masih berharapan dapat memenangi hati pemuda itu suatu hari nanti.

“Hah! Kenapa? Jangan cakap kau tiba-tiba dah insaf, dah bertaubat pulak!” Ejek lelaki itu.

Rania menangis teresak-esak. Bukan dia tidak sayang pada Maira. Sejujurnya, dia sayangkan sahabatnya itu. Tetapi dia tidak dapat menangkis hasutan syaitan yang membisikkan hasad ke dalam hatinya. Ada juga sesekali dia didera rasa bersalah.

Terkadang dia terharu dengan keikhlasan yang ditunjukkan Maira dalam bersahabat. Telus gadis itu menyayangi dirinya. Tetapi Rania tidak dapat terima yang Maira akan bernikah dengan Hadif. Dia berniat mahu menamatkan perbuatan sihirnya apabila berjaya membuatkan pasangan itu putus.

“Kau…kau yang bunuh bapa saudara aku, kan?” Soal Rania dengan suara yang tenggelam timbul.

Iyeee….” Lelaki itu mengakuinya dengan begitu santai.

“Ke…kenapa? Kenapa kau bunuh dia?” Soal Rania lagi, cuba memberanikan diri untuk mencari tahu kebenaran.

“Saja je…..hobi aku…” Jawab lelaki itu sambil ketawa-ketawa.

“Gila.” Cemuh Rania dalam hatinya.

“Sekarang, aku nak kau buat apa yang aku suruh. Aku tahu semua tentang kau, Rania. Dah lama aku perhatikan kau, keluarga kau dan sepupu kau. Mudah je untuk aku cabut nyawa kau…” Ugutnya sambil memainkan-mainkan sebilah pisau kecil di depan muka Rania.

Setelah itu, dia meninggalkan Rania menangis di situ sendirian. Rania benar-benar ketakutan diancam begitu. Seharian dia mengurung diri di dalam bilik pejabatnya. Semua mesyuarat dan perjumpaan dengan klien berkaitan urusan kerja dibatalkan. Sehinggalah dia terlelap di meja kerjanya, sebelum mendapat panggilan telefon dari Maira yang mahu memberitahu keadaan kakinya yang sudah pulih.

Bunyi berdenting di dapur mematikan lamunan Rania. Diamati bunyi itu dengan teliti. Senyap.

“Aku salah dengar kut.” Bisiknya sendiri.

Dia kembali mengelamun. Arahan lelaki gila itu sudah dituruti. Dia sudah memfitnah Pak Saad seperti yang diminta. Tetapi dia langsung tidak sangka ibu saudaranya akan dibunuh. Lebih aneh lagi, Pak Saad pula ditangkap oleh pihak polis kerana berada di tempat kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Siapa lelaki tu sebenarnya?” Tanyanya pada diri sendiri.

“Hai Rania…sembang dengan siapa tu? Melamun ingatkan saya ke…sampai tak sedar penyangak masuk rumah?” Suara lelaki dari siang tadi mengejutkan Rania.

“Kau! Apa kau buat kat sini?! Macam mana kau boleh masuk?!” Jerit Rania takut.

“Alah…penting ke pun macam mana aku masuk….” Balas lelaki itu bersahaja.

Rania mengerling telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Dia berlari cuba mendapatkannya, tapi dengan pantas ditahan oleh lelaki itu. Rambutnya dicekak kuat sehingga kepalanya terdongak ke belakang.

“Eh eh..eh… kau nak pergi manaa…..” Soal lelaki itu sambil membeliakkan matanya.

“Sakitlah…! Lepaskan aku! Aku dah buat apa yang kau suruh. Apa lagi kau nak dari aku?!” Pekik Rania kesakitan.

Rambutnya ditarik dengan lebih kuat sehingga terasa terik kulit kepalanya. Rania menjerit kesakitan. Lelaki itu memain-mainkan sebilah pisau dapur di lehernya.

Iyeee…terima kasih tolong aku… apa yang aku nak sekarang ni…..” Ujarnya mengejek.

“….aku nak bunuh kau….” Sambungnya lagi, berbisik perlahan di telinga Rania.

Rania yang ketakutan berusaha sedaya melepaskan diri. Dihantukkan kepalanya ke muka lelaki itu, kemudian dia cuba berlari keluar dari bilik. Tetapi kakinya disepak sehingga dia jatuh tersembam di lantai. Darah panas mengalir dari hidungnya.

“Kau tak payah nak melawanlah perempuan!” Pekik lelaki itu sambil merangkak naik ke atas badan Rania.

Perut Rania ditumbuk bertalu-talu sehingga dia tidak mampu mengeluarkan sebarang suara. Kemudian dicekiknya leher Rania sekuat hati. Terenjat-renjat kedua belah kaki gadis itu sambil tangannya cuba meleraikan cengkaman lelaki itu di lehernya. Sehingga akhirnya dia tidak bergerak lagi.

 

HAH?! Apa??!” Hanim yang baru menjawab panggilan telefon terjerit.

Hani dan Maira yang duduk di ruang tamu tersentak dan menumpukan perhatian pada Hanim yang sedang bercakap telefon.

“Allahu Akbar….ya, ya…baik, baik. Nanti saya bagitahu pada dia.” Kata Hanim sambil memandang Maira.

Dia meneruskan perbualan seketika sebelum menamatkan panggilan telefon.

“Wey….” Seru Hanim sambil meluru ke arah adiknya dan Maira.

“Kenapa ni? Siapa yang call tu? Ada apa-apa yang jadi ke?” Soal Maira tidak sabar. Dia sudah mula rasa tidak sedap hati.

Err… ayah Rania yang call…” Hanim terhenti.

“Ayah Rania?” Soal Maira kembali.

Hanim mengangguk.

“Dia cuba call kau banyak kali, tak dapat.” Lapornya.

Maira baru teringat yang telefon bimbitnya masih berada di dalam beg tangannya. Mungkin juga sudah kehabisan bateri.

“Kenapa? Apa yang jadi?” Soal Maira lagi.

Hani hanya memandang mereka berdua silih berganti dengan kaget. Berdebar menanti maklumat seterusnya.

“Rania…err…diorang jumpa Rania tergantung di siling bilik tidur dia. Diorang syak Rania bunuh diri. Dia tinggalkan surat pengakuan. Katanya, dia mengaku dia yang bunuh papa dan mama kau, dan pembantu rumah kau. Dia upah orang untuk buat kerja tu. Dan dia juga yang sihirkan kau selama ni. Sekarang ni pihak polis masih lagi menjalankan siasatan. Jenazah dia dah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.” Jelas Hanim satu-persatu.

Terbeliak biji mata Hani mendengar berita itu. Maira pula sudah rasa nak pitam. Ruang tamu rumah itu terasa bagai sedang berpusing-pusing. Kalau dia sedang berdiri waktu itu, pasti dia sudah terjatuh ke lantai kerana tidak dapat berdiri dengan baik atas Bumi yang terasa senget tidak sekata. Dahinya dipegang sambil matanya dipejam dan dibuka berulang kali, dengan harapan rasa pening itu hilang.

“Wey…kau ok tak?” Soal Hanim cuak melihat reaksi Maira.

Dia sendiri pun terkedu dengan kejadian-kejadian mengejutkan yang datang bertimpa-timpa atas sahabat baiknya itu. Tidak tahu nak berkata apa.

“Apa benda kau cakap tu? Kenapa pulak Rania? Ha? Rania dah mati ke?” Soal Maira bingung.

“Sabar…sabar dulu Maira.. kita pun tak pasti lagi apa yang berlaku sebenarnya.” Pujuk Hani sambil mengusap-usap belakang Maira.

Risau sahabatnya itu pitam dalam situasi tak terjangkau akal itu. Jenazah Datin Salimah pun belum dikebumikan lagi, sekarang Rania pula sudah meninggal. Lebih mengejutkan, dia disyaki membunuh diri selepas mengaku membunuh keluarga Maira dan menyihirnya.

“Sekarang ni dah dekat pukul 2 pagi. Takde apa kita boleh buat sekarang, melainkan tunggu je berita seterusnya. Aku rasa elok kau cuba tidur dulu kejap, Maira. Kau perlukan rehat. Banyak lagi benda kita nak hadap esok.” Cadang Hanim bila dilihatnya Maira kelihatan begitu letih tidak bermaya.

Hani memimpin Maira ke bilik dan membantu dia berbaring dengan selesa.

“Kau cuba tidur ea..? Subuh esok aku kejutkan kau solat. Apa-apa panggil je tau. Aku dengan Hanim tak tutup pintu bilik pun.” Ujar Hani sambil menyelimutkan tubuh Maira yang sudah memejamkan mata.

“Terima kasih Hani…” Ujar Maira lemah.

Hani menghidupkan lampu tidur di meja Maira sebelum menekan tutup suis lampu kalimantang di dinding bilik. Sayu dia melihat keadaan rakannya itu. Semoga Tuhan mempermudahkan segalanya.

 

USAI mengaminkan doa selepas solat Subuh, Maira mencapai telefon bimbitnya yang sedang dicas. Punat hidup ditekan. Telefonnya sudah mati kerana kehabisan bateri. Dia trpaksa mengecas dahulu untuk beberapa ketika sebelum boleh menghidupkannya. Suis pengecas telah ditekan sebelum dia bersiap untuk solat sebentar tadi. Beberapa bunyi mesej masuk bertalu-talu setelah telefon berjaya dihidupkan.

Dia telah terlepas beberapa panggilan daripada bapa saudaranya, Uncle Razman, seperti yang dimaklumkan Hanim semalam, juga panggilan dari Hadif dan Mus. Diperiksa pula bahagian mesej di aplikasi Whatsapp. Spontan dadanya berdebar-debar melihat ada pesanan suara dari Rania. Pesanan tersebut dihantar pada tepat pukul 12 tengah malam semalam. Yakni beberapa ketika sebelum Rania ditemui mati di rumahnya.

Teragak-agak Maira menekan butang memainkan pesanan suara yang dihantar. Suasana sepi seketika, hanya kedengaran bunyi nafas Rania selama beberapa saat, sebelum dia mula bersuara.

“Maira..aku…aku minta maaf… aku…sebenarnya aku dah fitnah Pak Saad… Kak Suri tak pernah cakap apa-apa yang buruk tentang Pak Saad pada aku. Semuanya aku reka sendiri…” Kedengaran suara Rania memulakan bicara.

“Aku..kena ugut…aku tak kenal orang tu… tapi dia kenal aku, kenal kau, family kita… dia ugut supaya aku fitnah Pak Saad..kalau tak dia nak bunuh aku…dan tuduh aku yang bunuh mama papa kau…aku takut…” Menggeletar suara Rania.

Rania terdiam seketika.

“…dan aku…aku juga nak minta maaf pada kau… sebenarnya Maira…aku dah lama cemburukan kau… semua orang sayang kau.. dan…aku tak pernah cerita kat kau, tapi aku dah lama sukakan Hadif. Aku…aku betul-betul cintakan dia…aku tak sanggup tengok kau kahwin dengan dia. Sebab tu aku…” Rania sudah mula menangis.

Bulat Maira mendengar apa yang disampaikan Rania. Dia langsung tidak tahu dan tidak sangka, yang Rania ada hati pada Hadif. Jika tidak, dia pasti tidak akan bersetuju dengan keputusan mama papanya untuk menyatukan mereka.

“Aku sihir kau Maira…aku yang buat… aku tak tahu macam mana aku boleh terfikir nak buat kerja bodoh tu. Aku…aku cuma tak nak kau bersama dengan Hadif… aku minta maaf Maira…aku betul-betul minta maaf… aku dah aniaya kau…” Sambung Rania teresak-esak.

Terkedu Maira mendengar pengakuannya. Selama ini, semua gangguan yang dia alami, semua itu perbuatan Rania. Dia tidak tahu hendak rasa apa ketika ini. Semuanya bercampur-baur.

“Aku faham..kalau kau tak boleh maafkan aku… tapi…aku nak cakap kat kau… bukan semua dari aku adalah satu pembohongan atau kepura-puraan Maira… aku..betul-betul seronok berkawan dengan kau…dan aku… Maira, walaupun kau tak percaya..tapi aku…sayangkan kau….” Pesanan suara yang dimainkan tamat di situ.

Air mata Maira laju merembes keluar.




No comments:

Post a Comment