Bab
1
“BETUL ke
lorong ni Shuk? Lain macam je aku tengok..” Tegur Amri dari tempat duduk
penumpang di sebelah.
Pemandangan hutan
kelam yang menghiasi kiri dan kanan jalan selepas beberapa ketika mula
menimbulkan rasa kurang senang padanya. Hembusan angin dingin dari penghawa
dingin Toyota Estima milik ayah Shuk menambahkan ukuran tegak bulu roma di
lengannya.
“Aku ikut maps
ni dari tadi kut. Kalau salah, dia lah salah. Bukan aku.” Balas Shuk
mempertahankan diri.
Pandangannya masih
difokuskan ke jalan. Hatinya sendiri juga sudah ikut gelisah melihatkan jalan
sunyi yang bagaikan tidak berpenghujung itu. Puas tadi dia memujuk Harris
supaya berehat dan tidur dan membiarkan dia mengambil alih pemanduan setelah hampir
seharian lelaki itu mengemudi. Tercalarlah imejnya nanti kalau mereka tersesat
sebaik sahaja stereng berada dalam kawalannya.
Sekilas wajah-wajah
penumpang di belakang dikerling. Harris berada di tempat duduk di belakangnya,
manakala tunangnya Lana berada di kerusi sebelahnya di ruang tengah.
Kedua-duanya kelihatan sedang tidur dengan tenang. Teman wanitanya Wan juga
sedang terlentuk lena di bahu Hawa di tempat duduk belakang. Begitu juga dengan
Syu yang berada di sebelah Hawa.
Mereka bertujuh
sedang dalam perjalanan menuju ke Homestay milik ibu saudara Hawa yang
baru sahaja dibuka untuk pengunjung. Homestay yang terletak di utara
tanah air itu menarik perhatian mereka untuk menghabiskan masa bercuti bersama
memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan air terjun, selain harga istimewa
untuk ahli keluarga yang ditawarkan kepada Hawa.
Biasan cahaya lampu
tinggi dari kereta dari arah bertentangan membuatkan Shuk spontan mengangkat
tangan ke dahi. Sedikit sebanyak rasa lega juga melihat masih ada kereta lain
di situ.
“Jauh lagi ke weh,
dekat pukul 12 dah.” Bual Amri, sambil membelek jam pintar di pergelangan
tangannya.
Pandangannya
dialihkan ke arah Shuk, setelah tidak mendapat balasan.
“Wey, kau pehal?”
Tanya Amri cuak.
Dilihatnya wajah Shuk
seakan membiru. Peluh merenik berbutir-butir di sekeliling dahinya. Tangannya
yang mengenggam kejap stereng terlihat menggeletar.
“Wey.. kau ok
tak ni?” Desak Amri lagi. Pelik dengan perubahan Shuk yang tiba-tiba.
Shuk masih membungkam
sepi.
“Wey, aku tanya kau…”
…..ni..” Nada suara
Amri yang semakin tinggi tadi turun mendadak.
Seketika kemudian dia
ikut senyap di samping Shuk. Mulut kedua-duanya terkunci rapat.
SUASANA
kekal sunyi di dalam kereta untuk beberapa ketika.
“In
800 metres , turn right.” Suara dari apikasi google
maps menyentak mereka berdua. Terlompat masing-masing dibuatnya.
Belum sempat
masing-masing mahu menyusun nafas, tiba-tiba..
“Bam!
Degek! Degek!”
Kereta mereka
terlanggar sesuatu, sebelum tayar depan dan tayar belakang menggilis naik ke
atasnya. Spontan Shuk memberhentikan kereta. Dada masing-masing berdebar
kencang. Liur diulang telan berkali-kali.
“Weh…kau
langgar apa?” Tegur Harris yang baru terjaga dari tidur.
Wajahnya diraup
beberapa kali, cuba menghilangkan kantuk sebelum berkalih menjenguk ke luar
tingkap. Rakan-rakan perempuan yang lain turut terbangun, tertanya-tanya apa
yang berlaku.
Shuk dan Amri pula
keras kaku di tempat masing-masing.
“Eh, eh! Kau buat apa
tu?! Janganlah..!” Tiba-tiba Shuk bersuara keras memecah kesunyian.
Terkejut Harris yang
baru membuka pintu untuk melangkah keluar.
“Aku nak keluarlah,
tengok…apa yang kau langar tadi.” Sahutnya dengan riak aneh.
“Dah kenapa cuak
semacam je si Shuk ni. Takkan dia langar orang pulak.” Gumamnya sendiri.
“Tak… tak payahlah
tengok… kucing je kut… tak pun biawak…” Tergagap-gagap Shuk meyakinkan
Harris, dengan harapan lelaki itu menukar fikiran.
“Haa..a..aku
pun… rasa binatang kecil je tadi tu…gelap-gelap ni… ka..kalau orang..ke
ape…dah nampak dah….” Sokong Amri di sebelah.
Harris menggaru-garu
kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan kelakuan Shuk dan Amri yang dirasakan aneh. Dijengukkan
kepala keluar melalui pintu yang sudah terbuka. Angin lembut bertiup sejuk di
wajahnya. Suasana gelap dan sunyi di luar sedikit sebanyak mendorong bulu roma
di kedua belah lengannya mengembang. Betul-betul sunyi. Tiada langsung
kedengaran bunyi unggas atau cengkerik. Air liur ditelan sekilas.
“Err… tak nak check
kejap ke..?” Soal Harris semula. Goyah dengan keputusannya sendiri tadi.
Soalan Harris terbiar
sepi. Masing-masing sibuk melayan debaran yang mula berdetak rancak di dada.
Lewat malam. Beberapa
orang sekawan sedang dalam perjalanan bercuti. Kereta terlanggar sesuatu. Benar-benar
seperti situasi yang diatur dalam filem-filem seram.
Harris menunjalkan
badan mahu keluar dari kereta. Pergerakannya terhenti seketika. Pandangannya
terarah kepada tangan Lana yang menarik hujung lengan bajunya. Spontan dia
berkalih melihat gadis itu.
Lana
menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah berkerut takut, meminta lelaki itu
agar tidak meneruskan niatnya untuk turun dari kereta.
“Ishh…dia ni
tak pernah tengok cerita hantu ke. Dah tahu dah kalau turun nanti jadi
macam-macam, lagi nak turun jugak.” Omel Lana sendiri dalam hati.
Harris menelan liur
buat kesekian kalinya.
“Err…
Lana..tarikla baju abang kuat sikit, abang nak turun ni.” Ujarnya berlucu.
Spontan isi lengannya
diketam halus gadis itu.
“Adoi. Ketam tak bagi turun. Gerakla Shuk.” Pintu kereta ditutup
kembali sambil tersengih nakal pada sang tunang.
Mereka yang lain
menarik nafas lega. Dah berdiri bulu roma masing-masing tadi, membayangkan
adegan-adegan menakutkan dalam filem-filem seram yang pernah ditonton.
Shuk pantas menukar gear
dan menekan pedal minyak.
“Vrooommm….!”
Riak wajah Shuk mula
berubah. Kedudukan gear dan brek tangan diperiksa sekilas, sebelum kaki
kanannya kembali menekan pedal minyal.
“Vroommmm…!!”
Sekali lagi kereta
mereka berderum kuat, tetapi tidak bergerak.
Ah,
sudah….

No comments:
Post a Comment