JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab 20
SEKATAN jalan beberapa ratus meter di hadapan
membuatkan Alza biru tersebut membelok secara tiba-tiba dan melalui lorong
kecil berdekatan. Pantas Hud Hurairah mengemudi keretanya dan mengikut kereta
itu rapat di belakang. Setelah melepasi jambatan, akhirnya pemandu yang diekori
itu memberhentikan keretanya di kawasan lapang di sebelah anak sungai. Berdesit
bunyi tayar kereta Hud yang ikut berhenti tergopoh-gapah.
Faiz turun dan mencekak kepala Fara
Afiya dan Fara Afina keluar dari kereta. Hud dan Isha berlari menerpa mahu
mendapatkan kedua anak kecil itu.
“Bangg!!”
Bunyi das tembakan yang dilepaskan
mematikan langkah pasangan itu dengan mengejut. Faiz tersenyum sinis dengan
tangan kanannya masih lurus ke udara memegang sepucuk pistol. Lalu pistol
tersebut dihalakan ke arah Fara Afiya dan Fara Afina yang sedang terjerit-jerit
ketakutan sambil berpelukan sesame sendiri. Kering darah Isha melihat situasi
tersebut di depan mata.
Allahu Akbar..
“Hah…datanglah kalau berani. Kalau kau
nak tengok kepala budak-budak ni bersepai, kau datang!” Pekik Faiz sebelum
ketawa-ketawa sendiri, tak ubah seperti orang kurang siuman.
Menggeletar seluruh tubuh Isha. Hud
Hurairah juga tidak berani terus bergerak ke depan mendapatkan lelaki itu,
bimbang anak-anak itu dicederakan.
“Kau laporkan aku kat polis,
sampai kitorang kena serbu…, kau rosakkan semua plan aku.., habis budak-budak
yang aku dapat, polis angkut… orang-orang aku kena cekup… sekarang apa pun aku
tak ada! Eh kau memang sial lah!” Makinya sambil membeliakkan mata pada Isha
dengan muka bengis.
“Kau! Sini..” Panggil Faiz sambil
mengunjuk ke arah Hud menggunakan hujung pistolnya.
Hud bertukar pandangan seketika dengan
Isha yang sudah merambu-rambu air matanya, sebelum bergerak menghampiri Faiz.
Faiz mengajukan pistolnya ke dahi Hud dengan angkuh, sebaik lelaki itu
merapatinya.
“Macam ni je, yang kau nak buat
laki.. takdelah hebat mana pun.” Cemuhnya sambil meludah ke tanah.
“Ni kalau aku pecahkan kepala dia ni..,
lepas tu, kau boleh kahwin dengan aku?” Soalnya sambil tergelak besar.
Pistolnya diacah-acahkan ke arah Hud.
“Klik!”
Picu pistol ditarik sambil tersengih
menyeringai. Hud Hurairah cuba menepisnya dengan pantas dan melepaskan
tumbukan.
“Bangg!!”
Sekali lagi tembakan dilepaskan.
Terjerit-jerit kedua anak kecil tersebut ketakutan. Isha terkaku melihat Hud
Hurairah tumbang menyembam ke tanah. Darah merah pekat mula mengalir membasahi
tanah tempat dia terbaring.
Allah..
Semuanya berlaku dengan terlalu pantas.
Pandangan Isha beransur kabur. Telinganya berdengung. Jerit tangis Fara Afiya
dan Fara Afina menjadi sayup-sayup pada pendengarannya. Dunia terasa mengelam
perlahan-lahan. Seakan-akan dihurung mendung awan hujan yang gelap pekat.
Situasi itu keterlaluan untuk diterimanya. Kesedarannya mula melayang. Tubuhnya
terasa bagai terhuyung-hayang.
Ingat Allah Isha… ingat Allah… Allah
itu dekat!
“Sesungguhnya pertolongan Allah itu
dekat..”
[Surah Al Baqarah: 214]
“Mamaaaa…..! Mamaaaaa…..!”
Jeritan yang kedengaran sayup-sayup
kembali menyapa pendengaran Isha.
“Mamaaaa…..! Mamaaaaaa……!!!”
“Fiya? Fina?”
Jeritan anak-anaknnya seakan menarik
Isha kembali ke alam realiti secara paksa.
“Mamaaaaa…..! Mamaaaaa…..!” Jeritan
kedua-dua anak itu terselang-selang dengan suara Faiz yang sedang ketawa
terbahak-bahak.
Pistol diacah-acahkan ke arah kedua
anak malang itu tanpa sedikit pun perasaan ihsan.
“Jangan sentuh anak-anak akuuuuu…..!!”
Jerit Isha sekuat-kuat hatinya sambil berlari meluru ke arah lelaki durjana
tersebut.
Entah dari mana dia memperoleh kekuatan
itu, langsung diterpanya syaitan bertopengkan manusia itu. Dihamburkan tumbukan
demi tumbukan sepenuh kudrat. Faiz yang langsung tidak menjangka tindakan
mengejut Isha, langsung tidak sempat berbuat apa-apa. Pistol di tangan jatuh
terpelanting entah ke mana. Bertubi-tubi dia menenerima hamburan serangan Isha
yang bertubi-tubi.
Tak cukup dengan itu, Isha meledakkan
tendangan padu tepat di batang tubuhnya berkali-kali, tanpa terselang satu saat
pun. Terdorong tubuh lelaki itu ke belakang beberapa kali, sebelum terlentang
keras ke tanah.
Serentak itu siren kereta polis dan
ambulans menampar pendengaran mereka. Berpusu-pusu anggota PDRM menyerbu
mendapatkan mereka sambil mengacukan pistol ke arah Faiz yang terlentang di
tanah. Tangannya digari pantas.
“Medikk…!” Jerit seorang anggota polis,
melihatkan Hud Hurairah terbaring lemah.
Saat itu barulah Isha terjatuh melutut
ke tanah. Baru terasa hilang habis semua tenaga di dalam tubuhnya. Berlari Fara
Afiya dan Fara Afina memeluknya. Suara esak tangis tiga beranak itu menghiasi
segenap ruang udara. Hiba dan sayu mereka yang berada di situ mendengarkannya.
Berbalam-balam pandangan Isha melihat
tubuh Hud Hurairah terkulai diangkat ke atas pengusung. Sepasang kakinya
ditunjal ke atas, memaksa badannya berdiri untuk mengikut tubuh lelaki itu yang
dibawa pergi ke dalam ambulans. Tapi entah kenapa, tanah yang dipijak terasa
begitu lembut tidak berstruktur. Isha hilang imbangan. Bumi terasa
berpusing-pusing dengan laju. Pandangannya bertukar kelam.
“Mama!”
TERKIAL-KIAL Isha menjengket cuba mengikat kain
merah jambu yang bakal menjadi back drop untuk sambutan majlis persaraan
guru disiplin mereka di bucu papan hitam.
Tiba-tiba sahaja ada sepasang tangan
dari belakang membantunya memegang dan mengikatkan hujung kain tersebut. Terasa
berhaba belakang tubuh Isha, dari rapatnya susuk yang berdiri di belakangnya.
“Buat apa ni..” Tanya Hud Hurairah dari
belakang Isha.
Gadis remaja itu tersentak.
“Err…” Rembesan darah yang laju
menyerbu ke setiap sel kulitnya secara mendadak spontan membuatkan wajahya
bertukar warna. Panas.
Patutlah dari tadi jantungnya terasa
berdegup dengan rentak yang aneh. Rupanya gurunya itu ada berdekatan.
Cikgu Hud yang baru selesai mengikatkan
kain tersebut merenungnya dengan wajah penuh tanda tanya. Tapi mulut Isha
bagaikan terkunci rapat. Puas dia cuba mengawal debar di dada. Tak bergerak dia
dari kedudukan asalnya tadi, walaupun gurunya itu sudah beralih ke sampingnya.
“Hei… Alya Alisha Arif.. hello…
kenapa jadi patung ni?” Soal Cikgu Hud lucu. Tangannya digawang-gawangkan di
hadapan wajah gadis manis itu.
“Kitorang tengah prepare
untuk majlis sambutan persaraan Cikgu Yusri.” Celah Diana yang juga sedang
mengikatkan kain tersebut ke bucu satu lagi papan hitam tersebut.
“Eh, hari ni ke majlis tu?” Soal Cikgu
Hud semula.
Diana beranjak ke tepi, memberi laluan
kepada Cikgu Hud yang mahu membantu mengikatkan kain tersebut di bahagiannya
pula.
“Esok cikgu.. tapi kitorang prepare
siap-siaplah hiasan semua. Esok tinggal susun-susun makanan je..” Jelas
Diana lagi.
“Ooo..ok-ok… banyak lagi ke nak
dibuat? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” Soalnya lagi. Dikerlingnya ke arah
Isha yang masih berdiri kaku menghadap papan hitam.
“Eh Takpe cikgu, sikit je lagi.
Kitorang boleh buat. Nak tiup-tiup belon je lagi ni.” Jawab Diana
sambil beredar mendapatkan plastik belon di meja tulis berdekatan.
“Haa..tiuplah dulu, meh saya
tolong gantungkan.” Tawar Cikgu Hud.
“Hah, jomlah Isha…kita tiup cepat,
sementara cikgu tengah baik nak tolong ni.” Panggil Diana dari meja tulis
tersebut.
Cikgu Hud mengalihkan semula
pandangannya ke arah Isha yang masih keras mematung di situ. Tak berkutik
sedikit pun.
“Aik…dah kenapa awak jadi patung
cendana pulak kat situ.” Tegur Cikgu Hud tersengih-sengih menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Aneh melihat gadis manis itu yang tiba-tiba keras.
“Oi..! Isha! Wey?!” Laung Diana.
Isha masih tetap diam tidak berganjak.
Menguit sikit pun tidak. Dia benar-benar tidak dapat mengawal debaran yang
mengasak dadanya ketika itu. Nak bernafas pun tak ingat macam mana dah.
“Alya Alisha Arif…?” Panggil Cikgu Hud
.
Dia merapati gadis itu. Jarinya
dipetik-petik di depan Isha.
“Hello..? Ada orang tak..?”
Usiknya, setelah perasankan pipi putih gadis itu yang mula merona merah. Ini
kalau bukan kes malu, mesti terkejut. Tak pun berdebar sebab aku rapat sangat
tadi. Cikgu Hud tersengih sendiri.
“Hello? Hello??”
“HELLO? Hello??”
Sayup-sayup suara yang kedengaran di
hujung telinga Isha membangunkannya. Kelopak mata yang terasa berat dicelikkan
perlahan.
“Hello? Kejap-kejap saya tak
dengar.” Aqmar Alif melangkah mencapai pintu sebelum beredar keluar, dengan
telefon bimbit yang melekap rapat di telinga kanannya.
Pandangan Isha jatuh ke arah sofa.
Kelihatan Fara Afina dan Fara Afiya sedang terlentuk lena di situ di samping
Ammar dan Akmal yang ralit dengan telefon pintar.
“Eh..Isha dah sedar?” Tegur Syara yang
baru meletakkan botol air di kabinet kecil sebelah katil tempat Isha berbaring.
“Kak Syara…” Panggil Isha. Sedikit
samar-samar dengan situasinya sekarang.
Syara menumpukan perhatian pada Isha
yang sedang mengesot untuk bangun.
“Eh…Isha tak nak baring dulu ke…”
Tegurnya sambil cuba membantu Isha duduk.
“Kak Syara…” Panggil Isha lagi.
Ingatan tentang apa yang telah berlaku
mula menyerbu kotak fikiran.
“Cikgu…” Ujar Isha.
Spontan butir demi butir air air mata
mengalir membasahi pipinya.
“Cikgu Hud mana…?” Soal Isha. Dia
menurunkan kedua belah kakinya di birai katil, bersedia untuk bangun.
“Err…akak tak tahu…eh, Isha buat
apa tu? Nak pergi mana?” Soal Syara risau apabila dilihatnya Isha memulas
menghentikan pengaliran air drip, sebelum mencabut jarum yang terpasang di
tangannya.
“Isha!” Tergopoh-gapah Syara menerpa
cuba memapah Isha yang sudah berjalan keluar dari bilik.
“Nurse.. Hud Hurairah. Hud
Hurairah mana? Lelaki yang kena tembak tadi.” Soal Isha kalut pada kakitangan
yang berada di kaunter.
“Err… dia dekat depan tu….”
Belum sempat jururawat di kaunter itu menghasbiskan ayatnya, Isha sudah meluru
ke bilik yang berada di depannya.
Terkocoh-kocoh Syara mengekorinya dari
belakang.
Terkedu Isha melihat sekujur tubuh
berselimut putih dari atas kepala hingga ke kaki sedang terbaring kaku di bilik
itu.
“….ha…?...” Sungguh, Isha tidak percaya
apa yang dilihat di depan matanya ketika ini.
Kaki yang terasa melekat di lantai,
digagahkan melangkah merapati sekujur tubuh yang tidak bergerak itu.
“…cik…cikgu…?” Panggilnya
perlahan.
“…cik..gu.. ke?..” Soalnya lagi
pada susuk tubuh yang terbujur di
hadapannya.
“…..I…Isha…” Panggil Kak Syara dari
belakang. Panggilan yang seakan-akan menyentak Isha pulang ke alam nyata. Tak
semena-mena berderu air matanya tumpah menitik-nitik dengan laju.
“..Allah… tak…kan lah… tak kan macam
ni….” Rintihnya sayu.
Akal logiknya yang masih
ternampak-nampak dengan jelas bagaimana tubuh itu menerima letusan tembakan
dari pistol Faiz, berperang hebat dengan hatinya yang begitu berharap lelaki
itu terselamat, masih hidup, dan masih ada dengannya.
“Allahh…ya Allah…. tolong jangan…..”
Rintihnya lagi.., memanggil-manggil nama Tuhannya dengan cucuran air mata.
Terduduk dia jatuh di lantai, beberapa langkah dari katil yang menempatkan
tubuh kaku tersebut.
“….cikgu Hud… awak… tolong jangan
tinggalkan Isha…” Berhambur suara tangisnya dalam deraian air mata.
Derapan tapak kasut kedengaran semakin
hampir mengerumuni bilik tersebut, tetapi hanya terhenti di depan pintu. Tiada
siapa yang berani mendekati gadis itu yang sedang tenggelam dalam emosi.
“…tolong… jangan tinggalkan Isha…”
Rintihnya lagi dalam sedu sedan.
“…Isha..pun suka cikgu Hud… suka… suka
awak.. sangat-sangat… betul-betul suka…” Luahnya tersangkut-sangkut, cuba
mengulangi luahan lelaki itu padanya tempoh hari.
“…Isha…janji.. awak… saya janji.. akan
ikut apa saja permintaan awak… bangunlah….” Rintihnya lagi.
Terkenang-kenang permintaan lelaki itu
yang mahu mempercepatkan pernikahan mereka. Dia masih belum sempat menjadi
isterinya. Masih belum sempat bersatu dalam ikatan yang halal. Tak mungkin
lelaki itu sudah pergi meninggalkannya sendiri. Tak mungkin semua ini sedang
berlaku sekarang… tak mungkin….!
“Err… janji…? Apa pun boleh…?”
“Ye…apa pun….. ha??” Tangisan
Isha mendadak terhenti.
Siapa yang bercakap dengannya tadi?
“Err… kalau kahwin esok… pun boleh?”
Spontan Isha memusingkan kepalanya ke
arah datangnya suara tersebut.
Kelihatan Hud Hurairah sedang
mencangkung di sebelahnya, dalam pakaian hospital sama sepertinya, sedang
tersengih dengan mata yang memerah dengan air mata yang ditahan-tahan.
Terlopong mulut Isha, tak berkedip
matanya melihat lelaki itu.
“Err… saya…hidup lagi…ni…” Jelas
Hud teragak-agak, walaupun sudah jelas dirinya masih hidup dan sedang bercakap
dengan gadis itu.
Terkebil-kebil Isha dibuatnya. Bibirnya
bergerak-gerak mahu menuturkan sesuatu, tapi tiada sepatah pun perkataan
terluncur keluar dari mulutnya. Perlahan tangannya terangkat, mengunjukkan ke
arah susuk yang terbujur kaku di atas katil di depan mereka.
“Err… itu.. dummy yang
kami guna untuk latihan bantuan pernafasan cik.. tadi saya nak bagitahu.. encik
Hud kat depan ni..dengan abang cik, dan anggota polis… bukan kat dalam bilik
depan ni…” Jelas jururawat tadi canggung. Belum sempat dia habis bercakap tadi,
Isha sudah pun meluru masuk ke situ.
Isha mengalihkan pandangan ke arahnya.
Kelihatan ramai yang sedang berdiri di situ, melihatnya. Ada juga Kak Syara dan
abang Alif, serta beberapa orang anggota polis dalam pakaian uniform.
Masing-masing terdiam.
Isha mengalihkan pandangannya kembali
ke arah Hud Hurairah di sampingnya.
Lelaki itu masih tersengih.
“Boleh..?” Soalnya lagi dengan nada
lucu.
Berhambur lagi air mata gadis itu. Tapi
kali ini berselang dengan ketawa yang mengesak. Ketawa lucu. Ketawa malu!
Ketawa…lega…ketawa…syukur…
“Awak niii….!” Marah Isha dalam tangis
yang bersulam tawa.
“Kak Syara pun…! Kenapa tak bagitahu….”
Rungutnya sambil mengesat mata.
Hish! Malu la macam ni…
Akhirnya terledak ketawa mereka yang
lain dengan tingkahnya. Lucu!
Walhal tadinya masing-masing sudah ikut
berair mata mendengar rintihan dan ratapannya di depan patung dummy hospital
itu!
“YE ke??”
“Lepas tu mama nangis-nangis kat depan
patung tu?” Soal Fara Afiya dan Fara Afina berebut-rebut.
“Iyeee…. Mama siap cakap lagi mama suuuka
sangat dengan Pakcik Hud.” Jawab Aqmar Alif bersungguh.
Isha yang duduk di sofa berdekatan
menjelingnya geram. Mereka yang lain ikut mengetawakannya. Hud Hurairah pun
bukan main lagi. Ceria betul dia, dalam keadaan bahu berbalut dari bekas luka
tembakan.
Mujurlah tembakan tersebut tidak
mengena bahagian jantungnya. Jika tidak, pasti dia tidak berkesempatan lagi
tertawa begitu bersama mereka sekarang. Alhamdulillah… syukur ya Allah..atas
nikmat usia yang Kau kurniakan.
“Alhamdulillah…semua dah selesai..
tahniah Hud. Sekali lagi kau berjaya bantu pihak polis menumpaskan sindiket
penculikan kanak-kanak di negara kita ni.” Puji Inspektor Anas.
Rupanya sudah lama Faiz menjalankan
kegiatan penculikan itu. Beberapa kali juga kanak-kanak yang diculiknya
disembunyikan sementara di rumahnya. Mereka diberikan dadah, selain diugut.
Padanlah Isha lihat anak-anaknya semuanya berpurdah.
Rupa-rupanya anak-anak itu bukan orang
yang sama. Bersilih ganti bertukar-tukar. Malang kerana tiada pun antara
jiran-jiran mereka yang sedar tentang perkara ini, termasuklah Isha sendiri.
Hud pula memang sudah memerhatikan dan menjejak lelaki itu untuk beberapa
ketika, sebelum terjumpa Isha semula.
Allahu Akbar…
Hukuman setimpal bakal dikenakan ke
atas lelaki itu, yang disahkan menjadi dalang yang ‘membekalkan’ mangsa untuk
dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia di luar negara. Pihak polis tidak
akan berhenti dari terus memburu dan membanteras kegiatan penjenayah-penjenayah
ini, dalam usaha menjamin keselamatan rakyat, terutama anak-anak kecil yang
tidak berdosa.
“Alhamdulillah….” Sambut mereka yang
lain.
“Hah…kira jadilah kita makan nasi
minyak esok kan?” Usik Inspektor Anas, kembali mencurah minyak ke dalam api.
Berderai ketawa mereka yang lain.
Dalam asyik ketawa itu Isha
terperasankan Hud yang mencuri pandang ke arahnya. Pandangan mata mereka
bertaut. Dan mereka berbicara berdua mengggunakan bahasa hati.
Terima kasih Ya Wadud… untuk cinta ini.
Ya Allah…kami
redha Allah Tuhan kami, kami redha Islam cara hidup kami, dan kami redha Nabi
Muhammad Sallalahu’alaihiwassalam Nabi dan Rasul kami.
TAMAT.

No comments:
Post a Comment