ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
15
DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Rania yang
terlelap di meja kerjanya. Terpinga-pinga sebentar dia dibuatnya. Nafasnya
tercungap-cungap, baju di bahagian dada dan belakangnya basah dengan peluh.
Rambut yang berjuntai di dahi diraup ke belakang. Dia memandang sekeliling.
Baru sedar dirinya masih berada di pejabat. Penghawa dingin yang terpasang
dijeling dengan geram.
Telefon yang tadinya sudah terhenti
deringannya, kembali berbunyi. Rania tersentak. Nama Maira tertera di skrin.
Cepat-cepat panggilan itu dijawab.
“Assalammualaikum…weh! Kau kat office lagi ke?” Kedengaran suara Maira
menyapanya ceria.
“Ha’ah aku kat office lagi ni.. kenapa?” Soal Rania
semula.
“Takde…aku ada berita gembira
ni.. aku….dah boleh berjalan weh! Kaki aku dah tak sakit lagi, Alhamdulillah…!”
Jerit Maira gembira di hujung talian.
“Aik? Dah boleh jalan?” Soal
Rania terperanjat.
“Iya…Alhamdulillah… tadi kitorang pergi
Pusat Perubatan Islam… Lepas rawatan tu, Alhamdulillah aku dah boleh jalan…”
Jelas Maira.
“Ooo..haa..baguslah tu… lega aku
dengar..” Jawab Rania.
“Eh.. emm.. kalau kau dah
sihat…, malam ni kau datang rumah aku sekejap boleh tak? Aku ada hal nak
bagitahu kau..penting ni…” Sambungnya lagi.
“Hmm? Hal apa? Kau tak nak
datang sini ke?” Tanya Maira kembali.
“Emm.. tak sesuai sangat aku nak
cakap pasal ni kat rumah kau. Kau datang eh? Boleh tak? Kaki kau betul dah ok?” Soal Rania bertalu-talu.
“Iya..betul dah ok.. emm..oklah malam nanti lepas Maghrib aku pergi rumah kau. Tapi
kejap je tau.” Ujar Maira bersetuju.
“Ok..set..
apa-apa nanti call je ea.” Ujar
Rania.
“Eh..err..kau jangan datang
dengan Pak Saad tau.” Sambungnya lagi.
“Ha..kenapa pula? Takkan minta Pak Saad
hantarkan pun tak boleh…” Rungut Maira.
“Macam-macamlah Rania ni…” Bebelnya
sendiri dalam hati.
“Err..kau ikut je cakap aku
dulu..nanti aku explain.” Ujar Rania.
“Datang tau! Ok bye…” Sambungnya lagi.
Butang merah pada skrin telefon ditekan
bagi menamatkan panggilan.
“Aku kena juga bagitahu Maira…” Ujar
Rania pada dirinya sendiri.
“Eh? Dah letak dah? Entah apalah
agaknya yang nak disampaikan si Rania ni. Macam penting je bunyinya.” Maira
mengomel sendiri.
Skrin telefon disentuh dan ditatal ke
bawah. Nama Hadif dicari. Mahu melaporkan keadaannya kepada lelaki itu. Butang
panggilan ditekan sambil otaknya ligat menyusun kata.
Sudahlah dia tidak memberitahu tunangnya
itu tentang perihal mereka pergi ke Pusat Rawatan Islam tadi. Pergi dengan Mus
pula tu. Sekarang, tahu-tahu dia mahu melaporkan yang dia sudah sembuh dan
tidak lagi memerlukan khidmat Cik Nana kepada lelaki itu. Entah apa reaksinya
nanti.
“Hello
baby…” Kedengaran suara manja Hadif menjawab panggilan.
“Hello
Assalammualaikum…” Sapa Maira.
“Waalaikumsalam…. Ye baby? Macam mana keadaan you hari ni? Kaki Ok sikit tak? Nurse tu
dah datang kan?” Sambut Hadif dengan
pelbagai soalan.
“Err..dah…awal pagi tadi lagi
Cik Nana dah datang tolong Maira. Baik orangnya…pandai awak carikan..” Ujar
Maira, memulakan laporannya dengan pujian kepada si tunang.
Salah satu teknik untuk mengurangkan
tahap kemarahan yang mungkin tercetus nanti.
“Eh…mestilah I carikan yang terbaik untuk my
future wife…” Sahut Hadif bangga.
“Err… terima kasih… err..tapi
kan.. tadi Maira dengan mama pergi ke Pusat Rawatan Islam.. nak cuba ikhtiar
ubatkan kaki ni… ya Allah…Alhamdulillah tau awak, lepas rawatan tu, kaki Maira
dah tak sakit lagi…sekarang Maira dah boleh berjalan semula…dah tak perlukan
bantuan Cik Nana dah…” Lapor Maira panjang lebar.
“Hah? Ye ke? Dah boleh berjalan
dah?” Soal Hadif terperanjat. Sama seperti reaksi Rania sebentar tadi.
“Iya..betul…Maira dah boleh berjalan
macam biasa dah.. sikit pun tak sakit lagi dah..Alhamdulillah sangat..” Balas
Maira dengan nada ceria.
“Thank
God… happy sangat I dengar… malam
nanti I datang rumah you ya? I nak tengok you.” Ujar
Hadif dengan suara gembira.
“Err..malam ni Maira nak pergi
rumah Rania sekejap. Ada hal sikit..” Balas Maira.
“Ada hal? Emm…ok takpe macam tu esok kita jumpa ya baby? Pasal Cik Nana tu tak apa, nanti I jelaskan bayaran dia full
untuk minggu ni. You tak payah rasa
bersalah pula dekat dia tau. Macam I tak
tahu sayang I seorang ni..cepat
sangat rasa bersalah… yang penting you
tu dah sihat…” Ujar Hadif, masih bernada ceria.
Langsung dia tidak bertanya atau
teringat soal Mus yang sering sahaja ada di waktu Maira memerlukan bantuan.
Terlalu gembira dengan berita tunang tercinta yang sudah sembuh.
“Ok..
terima kasih ya, tolong Maira..” Maira menarik nafas lega. Mujur lelaki itu
tidak marah atau merajuk.
“Bye…Assalammualaikum…”
Ujarnya sebelum mematikan panggilan.
Dibelek-beleknya telefon bimbitnya
seketika. Kemudian disampaikan pula khabar gembira itu kepada rakan-rakan
serumahnya, Hanim dan Hani melalui aplikasi pesanan Whatsapp.
Berulang kali sahabatnya yang berdua
itu menyatakan rasa bersyukur mereka. Maira masih ingat lagi riak wajah Hanim
sewaktu melihat dia berkerusi roda ke jabatan mereka, untuk melakukan imbasan
sinar-X. Mukanya berubah dengan cepat, dari terkejut sehingga menyebik seperti
mahu menangis.
PANJANG sujud syukur Maira dan mamanya malam
itu, setelah mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah. Bersama mereka
hantarkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Pengasih, ketika
dahi bertemu dengan sejadah. Usai ibadah, kedua beranak itu bersalaman dan
berpelukan. Lama Datin Salimah mencium dahi anak gadis kesayangannya.
“Maira jangan balik lewat ya, bahaya.
Seorang-seorang drive malam-malam
macam ni. Dahlah baru je sembuh kaki tu.” Ujar Datin Salimah setelah dahi
anaknya dikucup penuh kasih.
“Mama suruh minta Pak Saad hantarkan,
tak nak.” Leternya.
“Iya ma, Maira pergi kejap je. Maira
pun risau juga nak tinggal mama seorang-seorang lama-lama. Ranialah…pesan suruh
datang sendiri je, nak cakap benda rahsia katanya. Entahlah apa yang nak
diberitahu si Rania tu. Macam penting pun ada bunyinya.” Jawab Maira.
“Yelah…elok-elok drive tu. Mama pun ada benda penting nak
cakap lepas Maira balik nanti.” Balas Datin Salimah dengan anda agak serius.
“Benda apa ma?” Soal Maira tidak sabar.
“Nantilah…lepas Maira balik. Banyak
yang mama nak cakapkan…” Jawab ibunya ringkas.
“Yelah Maira pergi kejap ye.
Saaayang mama.” Ujar Maira sambil mencium pipi mamanya.
“Peluk mama lagi sekali sayang.” Pinta
Datin Salimah sambil mendepakan kedua tangannya.
“Mama sayang Maira tau…” Ujarnya lagi
sambil mendakap erat tubuh Maira.
“Maira laaaagi sayang mama.” Jawab anak
gadisnya manja.
Datin Salimah menghantar anaknya hingga
ke muka pintu. Ditunggunya sehingga kereta Maira hilang dari pandangan. Pintu
dikunci dengan cermat sebelum dia melangkah naik ke atas semula. Mahu
menghabiskan masa dengan berzikir dan membaca al-Quran sementara menunggu waktu
Isyak.
Sampai sahaja di tingkat atas,
terdengar bunyi ketukan di pintu.
“Lahh…ada tinggal apa-apalah tu.”
Leternya sendirian sambil mengatur langkah kembali menuruni anak tangga.
Sampai sahaja di pintu, terus kunci
diputar dan selak ditarik.
Tiba-tiba, daun pintu ditolak dengan
kuat dari luar sehingga menghentam dahinya. Terlentang Datin Salimah di lantai.
Berpinar matanya menahan sakit hentakan daun pintu di dahi, dan punggung yang
terhempas di lantai. Sedaya-upaya matanya dicelikkan luas, cuba mengenalpasti
susuk tubuh yang menyerbu masuk ke dalam rumah.
Belum sempat dia bertanya apa-apa,
wajahnya ditampar dengan kuat berulang-kali. Seraya itu juga, lehernya dicekik
sepenuh tenaga. Sepasang tangan berurat yang terbenam di lehernya terasa rakus
mencengkam saluran pernafasannya.
Datin Salimah cuba meronta, tetapi
hanya dalam beberapa saat sahaja, dia sudah lemas. Pandangannya mulai kabur.
Antara pertarungan hembusan nafas dan sedutan nyawa, hanya bibirnya sahaja yang
mampu bergerak membentuk kalimah “Allah”, sebelum dia terkulai dalam genggaman
penyerang itu.
“HAH,
cakaplah, ada apa yang penting sangat sampai kau suruh aku datang ni. Kau tak
kesian pun kat aku kan, dahlah kaki aku baru je baik…” Sungut Maira sebaik
sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam bilik Rania.
Ibu dan bapa Rania ada di ruang tamu,
sedang berehat. Tetapi tidak lama Maira bertegur sapa dengan mereka, Rania
sudah mengheretnya naik ke bilik.
“Sini…kau duduk dulu.” Ujar Rania
sambil menarik tangan Maira, menyuruhnya duduk di sampingnya di birai katil.
“Macam ni…aku…err…” Wajahnya
kelihatan kusut dan serba salah.
Maira menumpukan sepenuh perhatian
kepada sepupunya. Berdebar pula rasanya menunggu barisan ayat yang bakal keluar
dari mulutnya.
“Maira…kau jangan marah tau…” Ujar
Rania sambil memegang tangan Maira.
“Kenapa…apa sebenarnya yang kau nak
cakap ni? Ceritalah betul-betul.” Pinta Maira yang sudah mula cuak melihat
gelagat rakan baiknya itu.
“Maira…aku tahu kau sayang kat Pak
Saad… tapi…” Kata-kata Rania terhenti seketika.
“…tapi, aku syak sebenarnya dia yang
bunuh kak Suri dengan papa kau..” Ucap Rania laju.
“Hah? Apa yang kau merepek ni weh?”
Soal Maira terkejut.
Tidak sangka langsung itu yang akan
keluar dari mulut Rania.
“Maira..aku tak tipu… kak Suri pernah
cerita kat aku.., yang Pak Saad selalu je sebut-sebut, seronok kalau banyak
duit macam dato’ dengan datin. Senang hidup.” Lapor Rania.
“Lah…tak kanlah sebab tu je kau nak
tuduh Pah Saad bunuh orang?” Tingkah Maira yang sudah mula sebal dengan tuduhan
Rania yang dirasakan tidak berasas.
“Bukan tu je…Kak Suri bagitahu
aku, Pak Saad pernah bergurau dengan dia, suruh dia bantu Pak Saad bunuh je
keluarga kau kemudian ambil semua harta kau. Dia ajak Kak Suri lari ikut dia
tinggal di luar negara dengan anak kembar dia. Dia nak Kak Suri jadi isteri
dia. Dia siap janji lagi untuk hidup mewah dengan harta mama papa kau, dengan
kak Suri dan anak-anak dia. Kak Suri tak boleh nak cerita dengan kau walaupun
korang rapat, sebab dia tahu kau sayang dan hormatkan Pak Saad” Tambah Rania
lagi.
Maira bingkas berdiri. Sudah tidak
tahan mahu mendengar cerita seterusnya dari Rania. Akalnya sudah tidak dapat
memproses maklumat yang disampaikan. Dia langsung tak boleh terima apa yang
Rania cakapkan.
“Maira..kau dengar dulu…” Rengek Rania
sambil cuba menarik tangan Maira supaya kembali duduk.
Maira menarik semula tangannya dari
pegangan Rania. Dia cuba menghubungkan berita yang didengar dan berfikir dengan
rasional.
“Tapi, lelaki yang bunuh papa bukan Pak
Saad. Ari pun nampak lelaki bermotosikal tu.” Hujah Maira setelah terdiam
sejenak.
“Maira…. Memanglah dia buat macam tu
supaya orang tak syak pada dia. Lelaki tu mungkin je orang upahan dia..” Tekan
Rania, masih berkeras menuduh Pak Saad.
“Ishh…tak masuk akallah apa
yang…” Bicara Maira terhenti dengan deringan telefon bimbit di tangannya.
“Hello..Assalammualaikum?
Ini Cik Aimy Humaira, anak kepada Datin Salimah Syamsul ke?” Soal seorang
lelaki di hujung talian.
“Waalaikumsalam..ya saya..siapa ni? Ada
apa ya?” Jawab Maira gugup.
“Err..saya inspektor Aizat..
err.. cik…boleh cik datang ke hospital sekarang?” Ujar lelaki itu lagi.
“Hospital? Kenapa ni encik? Ada apa?
Ada apa-apa berlaku pada mama saya ke?” Soal Maira bertalu-talu.
Tangan dan kakinya sudah menggeletar.
Pelbagai andaian buruk bermain di kepala.
“Err..maafkan saya cik..harap
cik bersabar ya… kami dapat panggilan kecemasan menyatakan yang rumah cik
dipecah masuk.. dan..err..waktu pihak polis sampai di tempat kejadian,
kami temui pemandu cik sedang berada di samping ibu cik yang terbaring di
lantai dengan berlumuran darah. Kami dapati, pemandu cik sedang memegang pisau
yang disyaki digunakan sebagai senjata. Pemandu tersebut telah kami tahan untuk
membantu siasatan, manakala, jenazah ibu cik telah dibawa ke hospital untuk
dibedah siasat.” Jelas Inspektor Aizat dengan terperinci.
“Jenazah…??!” Maira terjelepuk jatuh ke
lantai.
Dia tidak dengar lagi apa yang
dikatakan oleh inspektor Aizat selepas itu. Telefon juga sudah terlepas dari
genggamannya. Rania yang sibuk menyambutnya dan menyambung perbualan dengan
inspektor Aizat.
“Mama aku! Rania! Mama aku! Aku kena
pergi tengok mama aku!” Jerit Maira
“Sabar…sabar Maira…” Rania kelam kabut
cuba menenangkan sepupunya.
Maira memaksa kedua kakinya berdiri
dengan susah-payah. Lututnya terasa lembik tidak bersendi. Maira menggagahkan
diri menghayunkan kakinya untuk melangkah sambil berpaut pada apa sahaja yang
tercapai dek tangannya.
“Maira..tunggu… kau tak boleh pergi
sendiri dengan keadaan macam ni. Macam mana kau nak drive. Aku panggil mummy
dengan daddy. Kita pergi sama-sama.”
Pujuk Rania sambil melaung memanggil orang tuanya yang berada di tingkat bawah.
“TAK…tak
tak tak…” Ujar Maira perlahan, berkali-kali, sebaik sahaja dia melihat tubuh
ibunya terlantar tidak bergerak di atas troli di bilik mayat.
Tadinya, dia masih berharap yang dia
tersalah dengar maklumat yang disampaikan oleh inspektor Aizat. Dia masih
berdoa yang ibunya terselamat dan sedang dirawat di hospital setelah diserang
di rumah. Tetapi melihat sendiri tubuh ibunya dengan mata kepalanya, menyentak
keluar harapan yang dipaut kuat sejak dalam perjalanan ke hospital. Mamanya
benar-benar sudah mati!
Hanim memegang Maira kuat, memapahnya
berjalan mendekati jenazah Datin Salimah yang sedang terbaring kaku di situ.
Maira bagaikan tidak mampu langsung untuk berdiri dan berjalan pada saat itu.
Hanim yang kebetulan sedang bertugas on call di hospital malam itu bergegas
mendapatkan rakan baiknya di bilik mayat setelah mendengar khabar yang
mengejutkan itu. Sempat juga dia menghubungi Mus untuk menyampaikan berita duka
tersebut.
Rania dan orang tuanya berdiri tercegat
di sudut bilik mayat tersebut, bagaikan tidak percaya dengan apa yang disajikan
di depan mata mereka ketika ini. Rania kemudian berundur ke tepi dinding lalu
mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi Hadif, tunang Maira, bagi
menyampaikan kejadian itu.
“Ma…ma..apa ni..mama…. mama….!”
Panggilnya sambil menghinggut perlahan tubuh ibunya, dengan harapan ibunya akan
bangun, yang semua ini cuma satu kesilapan, mamanya tidak mati.
Air mata berlumba laju mengalir keluar
seperti paip pecah dari sepasang matanya. Wajah tenang Datin Salimah terpamer
kembang-kembang pada penglihatannya kerana diganggu air mata. Semuanya terasa
bagaikan tidak benar. Tidak nyata.
“Hanim..mama aku…betul ke…? Tak kan…?
Hanim…mama aku….” Ujar Maira sambil menarik-menarik lengan baju Hanim.
Akal warasnya terasa hampir-hampir
hilang. Terhentak kuat dengan ujian hebat Allah Subhanahuwata’ala. Ujian yang
telah dijanjikan pasti akan sampai pada hamba-hambaNya yang mengaku beriman.
“Patutkah manusia itu menyangka bahawa
mereka dibiarkan (sahaja) berkata, ‘kami telah beriman’, sedangkan mereka belum
diuji lagi?” (Surah al-Ankabut 29:2)
“Maira…sabar Maira… ingat Allah… ingat
Allah Maira…” Pujuk Hanim dengan suara yang menggeletar, dia sendiri turut
menangis tidak tertahan dengan asakan emosi.
Separuh diri Aimy Humaira terasa mahu
meraung dan menjerit memanggil-manggil mamanya di situ, detik itu. Mahu ditempik
keluar segala rasa sakit yang menghenyak dadanya ketika itu.
Sungguh dia tidak bersedia dengan
perpisahan itu. Dia masih belum puas bersalut dengan kasih sayang ibunya yang
satu itu. Ibu yang sangat-sangat dia cinta dan kasih, dengan sepenuh jiwa raganya.
Ibu pemberian Tuhan, yang sentiasa disyukurinya setiap saat dan setiap detik.
Ya, ibu pemberian Tuhan. Pemberian
Tuhan, Maira! Kurniaan terhebat yang Allah Subhanahuwata’ala pinjamkan.
Sekarang kau nak jadi hamba yang tak bersyukur pulak? Nak marah, nak mengamuk,
kerana pinjaman ini perlu dipulangkan sekarang? Maira… Allah tidak kejam. Allah
tidak zalim. Buka hati kau Maira.. Tengok kebesaran Tuhanmu…tengok!
Sabarlah…dan redhalah… inshaAllah… mudahan bertemu lagi di syurga sana..
Sebutan nama Allah yang terdengar
sayup-sayup di telinganya berjaya menarik kembali akal warasnya yang sudah
hampir melayang pergi. Suara Hanim yang tadinya terdengar berdengung di
telinganya, kini kembali jelas.
“Ingat Allah Maira…ingat Allah….” Ulang
Hanim berkali-kali. Hanya itu yang mampu diucapkan pada ketika itu.
“Allah…” Lafaz Maira panjang.
Ditarik nafas sedalam-dalamnya, lalu
dia beristighfar. Maira mendekati tubuh kaku ibunya. Ditatapnya sayu wajah
tenang dan manis mamanya. Seakan sedang tidur lena, bertemankan mimpi indah.
“Allah….” Kalimat magis itu dilafazkan
lagi. Cuba menggantung kekuatan.
Disekanya air mata yang dari tadi
berpusu-pusu melimpah keluar dengan hujung tudung. Kemudian dicium dan dipeluk
tubuh dingin mamanya penuh kasih sayang dan kerinduan.
“ARA!”
“Maira!”
Serentak Mus dan Hadif memanggil gadis
itu sebaik terlihat dia berjalan keluar dari bilik mayat dengan dipimpin oleh
Hanim dan Rania di kiri dan kanannya. Wajahnya terlihat basah dengan air mata.
Ibu dan bapa Rania juga turut beriringan di samping mereka dengan wajah sugul.
Spontan mereka mengarahkan pandangan ke arah suara yang memanggil nama Maira.
Hadif yang dari tadi menunggu di luar
bilik mayat bersama ibu bapanya, Dato’ Hariz dan Datin Zara turut mengalihkan
pandangan pada Mus yang berteriak memanggil nama Maira. Lelaki itu berlari anak
menuju ke arah mereka, mungkin baru sampai di hospital.
Dato’ Hariz dan isterinya Datin Zara
terkedu melihat pemuda itu laju menghampiri mereka. Berkerut-kerut wajah Dato’
Hariz mengamatinya. Wajah Datin Zara pula berubah pucat. Mereka saling
berpandangan sesama sendiri, dan merenung anak-anak muda di depan mereka
berganti-ganti.
Sebaik melihat wajah Mus, Maira kembali
laju menumpahkan air mata.
“Ari… Ari..Ara dah tak ada siapa-siapa…
papa dengan mama dah tinggalkan Ara… Ara seorang diri lagi…” Adunya hiba.
Sebak hati semua yang ada di situ
mendengar rintihannya.
“Maira…I kan ada. I ada dengan you…you tak sendiri…” Sahut Hadif.
Mahu sahaja didakapnya gadis itu pada
ketika ini. Sesak dadanya melihatkan keadaan tunang tercinta yang begitu
terluka.
“Maira… jangan cakap macam itu…aku
dengan mummy daddy kan masih keluarga
kau.. kau tak seoranglah….” Ungkap Rania, juga teresak menangis. Sungguh, sakit
rasanya melihat keadaan Maira.
“Ye Maira…kitorang semua kan ada
dengan kau…aku, Hani.. kau balik duduk dengan kitorang ea… aku ambil cuti
panjang, temankan kau…ok? Kau
janganlah macam ni…sedih aku…” Rintih Hanim pula. Basah sudah tudungnya dengan
air mata sendiri.
Mus menahan nafas. Hancur luluh hatinya
melihat air mata kepedihan yang tidak berhenti menghujani sepasang mata seorang
Aimy Humaira. Dia tahu sangat akan parahnya kesakitan yang ditanggung oleh
sekeping hati Maira sekarang. Dia juga pernah merasakan carikkan kasar yang
merentap koyak hatinya dulu. Dugaan mereka, anak yatim piatu.
Jika ada sesiapa yang paling memahami
kesakitan yang dirasakan Maira sekarang, itu adalah dia, Kairi Musyrif Bin
Hamzah. Dia, Ari, teman rapat Maira yang membesar bersama di Rumah Anak Yatim
Basyirah.

No comments:
Post a Comment