Sunday, April 28, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 14)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 14

PAGI itu awal-awal lagi Cik Nana, jururawat peribadi Maira yang diupah oleh Hadif datang bertugas di rumah besar Dato’ Harun. Semua keperluan Maira dibantu dan diuruskannya dengan cekap dan mesra.

“Pelik juga ya…, kaki cik Maira kuat, gerak semua boleh. Ransangan tindak balas, saraf, semua ok. Luka dan lebam pun tak ada. Tapi cik Maira tak boleh berdiri.” Bual Cik Nana sambil membelek-belek kaki Maira.

Maira tersenyum tawar.

“Panggil Maira je…” Ujar Maira cuba membuatkan jururawat itu berasa lebih selesa.

“Itulah.. semalam, bila duduk biasa macam ni, rasa pedih…rasa panas je sampai pergelangan kaki ni. Lepas doktor cucuk ubat tahan sakit tu Alhamdulillah…dah tak rasa. Tapi bila saya pijak lantai je, nak berdiri, rasa macam pijak atas jarum yang banyak. Sakit betul.” Jelas Maira panjang lebar

Cik Nana mengerutkan keningnya. Belum pernah bertemu kes sebegitu.

“Cik Nana, Maira, jom kita sarapan sama-sama. Mus dah datang bawakan sarapan. Pak Saad pun ada.” Sapa Datin Salimah.

Langkahnya diatur menuju ke arah gadis-gadis itu yang sedang berbual di katil.

“Sekejap lagi kita pergi ke Pusat Perubatan Islam tu. Cik Nana pun ikut sekali ya?” Pintanya.

“Oh..boleh… nak cuba ikhtiar perubatan Islam pula, ya?” Soal Cik Nana.

“Itulah…tak tahulah apa yang tak kena dengan kaki Maira ni. Doktor cakap semuanya normal…” Keluh Datin Salimah.

Cik Nana mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Elok juga tu datin… kadang-kadang ada juga sakit yang tak dapat dikesan melalui perubatan moden..” Ujarnya sambil menggosok-gosok lengan yang terasa sedikit meremang.

Ketiga-tiga wanita itu terdiam sejenak, melayangkan fikiran mengenai kemungkinan-kemungkinan yang sedang berlaku pada Maira.

“Eh..jomlah, kita ke ruang makan. Mesti Pak Saad dengan Mus tengah tunggu.” Ujar Datin Salimah, menghentikan lamunan mereka.

Cik Nana bingkas bangun membantu Maira beralih ke kerusi roda. Ada juga Maira cuba memijak lantai perlahan-lahan untuk berdiri, tetapi sakit menusuk dalam tapak kakinya membuatkan dia hampir terhempas duduk di kerusi roda.

“Masih sakit bila pijak?” Soal Datin Salimah.

Maira menganggukkan kepalanya perlahan.  Datin Salimah hanya menelan keluhan kerisauannya sambil cuba beriak tenang. Kerusi roda Maira didorong dengan cermat oleh Cik Nana menuju ke ruang makan. Kelihatan Mus dan Pak Saad sedang berbual di meja makan. Sarapan sudah siap dihidang di meja.

Ada bihun goreng, nasi lemak daun pisang, dan yang paling memikat selera Maira pagi itu, roti canai dengan kari ayam dan sambal bilis. Campurkan keduanya, cicah dengan roti canai panas, aduh… sedapnya. Dia sudah mula kecur air liur.

“Kenapa Ara renung makanan tu sampai macam tu. Malu roti canai tu kena tenung.” Usik Mus apabila dilihatnya Maira merenung roti canai di pinggan dengan berselera.

“Mus beli kat mana roti canai ni…sedapnya…” Sahutnya, sudah mula menceduk kuah ke pinggan.

“Amboi anak mama…nampak roti canai, langsung dilupanya Cik Nana kat sebelah ni ha..” Usik Datin Salimah pula, lucu melihat kelaku anaknya.

“Eh…lupa pulak. Marilah Cik Nana, duduk makan sini. Sedap ni…” Pelawa Maira tersengih-sengih.

“Yang cantik manis ni, siapa?” Soal Mus.

“Ni Cik Nana…jururawat peribadi Ara. Ari tak payah nak mengada nak mengurat eh..tak adanya dia nak kat Ari yang suka sakat orang tu.” Jawab Maira mengenalkan Cik Nana kepada Mus dan Pak Saad.

“Eh..setahu Pak Saad…perempuan cantik-cantik suka dengan lelaki kelakar macam Mus ni..” Sampuk Pak Saad, turut mencuri peluang menyakat Maira.

“Kan Pak Saad?” Ujar Mus pula sambil membetul-betulkan rambut dan kolar bajunya, cuba berlagak kacak.

Maira menjelingnya tajam.

“Perasan handsomelah tu.” Omelnya sendiri di dalam hati.

“Kenapa…Maira cemburu ke?” Ujar Datin Salimah, cuba menduga.

“Mana ada…” Nafi Maira, sambil pura-pura sibuk makan roti canai.

Mereka yang lain hanya tertawa melihat gelagatnya.

 

SETELAH menunggu beberapa ketika, tiba giliran Maira untuk dirawat oleh pengamal perubatan yang dikenali sebagai Ustaz Yunus. Tidak ramai orang di situ hari itu, mungkin kerana mereka datang pada hari bekerja. Cuak juga Maira lihat pesakit lelaki muda yang dirawat sebelumnya.

Pada awalnya lelaki kurus itu kelihatan lemah tidak bermaya sahaja, sehingga berjalan pun terpaksa dipapah ahli keluarganya. Tetapi semasa sesi rawatan tadi, tiba-tiba sahaja dia bersuara keras sambil cuba bertindak ganas. Tidak semena-mena dia melompat bercangkung di hadapan Ustaz Yunus sambil kepalanya diteleng-telengkan ke kiri dan kanan, sebelum dia cuba untuk menerkam.

Jenuh juga perawat-perawat Islam yang ada di situ memegangnya dengan bantuan ahli keluarganya. Tegak bulu roma Maira dibuatnya. Sempat juga dikerling pada Cik Nana dan mamanya yang duduk di sampingnya. Riak wajah mereka juga berubah melihat gelagat pesakit itu. Hanya Mus dan Pak Saad sahaja yang bereaksi tenang dan tidak terganggu.

Ustaz Yunus terus mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, kemudian direnjiskan air ke wajah lelaki itu. Perlahan-lahan tubuh lelaki itu menjadi lembik. Hampir sahaja dia tidak sedarkan diri. Dia didudukkan dengan cermat oleh mereka yang lain. Rawatan diteruskan lagi beberapa ketika, sebelum pesakit dibenarkan pulang bersama ahli keluarga. Beberapa botol air yang dibaca ayat al-Quran turut dibekalkan untuk dibawa pulang.

Tiba giliran Maira untuk dirawat. Cik Nana menyorong kerusi rodanya dekat dengan Ustaz Yunus, sejurus sebelum membantunya untuk duduk di bawah bersama Datin Salimah.

“Assalammualaikum ustaz…” Sapa Pak Saad sambil bersalaman dengan Ustaz Yunus, diikuti oleh Mus.

“Tak boleh bangun?” Tegur Ustaz Yunus melihatkan keadaan Maira yang berkerusi roda.

Maira menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Entah kenapa, dadanya berdebar kencang.  Macam ada keretapi sedang meluncur laju di dalamnya. Kuat dan bising. Kakinya juga tiba-tiba sahaja terasa panas dan berat…pedih…walaupun dia tidak berpijak. Peluh mula merenik di dahinya.

“Semalam, dia tiba-tiba tak boleh berdiri pijak lantai. Katanya sakit macam pijak jarum. Dah bawa jumpa doktor, tetapi doktor cakap tiada apa-apa masalah. Kedua kakinya elok…” Terang Datin Salimah apabila dilihatnya Maira hanya diam membisu.

Ustaz Yunus hanya tersenyum manis di hadapannya.

“Nama siapa?” Tanya Ustaz Yunus lembut.

“Maira. Aimy Humaira Binti Abdullah.” Jawab Datin Salimah.

Maira masih tunduk merenung kakinya sendiri. Langsung tidak memandang wajah Ustaz Yunus.

“Sebelum ni…tak pernah jadi macam ni?” Soal Ustaz Yunus lagi.

“Tak pernah, ustaz.” Jawab Datin Salimah.

Err… sebelum ni, ada beberapa kali…err…dia kena ganggu..” Sampuk Mus apabila dilihatnya Maira langsung tidak bersuara.

Ustaz Yunus mengangguk-anggukkan kepalanya. Mungkin semakin faham dengan situasi pesakitnya.

“Maira..” Panggil Ustaz Yunus.

Maira masih menundukkan kepalanya. Pelik mereka yang lain melihat gelagatnya.

“Sekarang Maira ada rasa sakit kat mana-mana?” Soal Ustaz Yunus.

Maira tetap diam tidak berkutik, meskipun kedua belah kakinya terasa semakin panas, seperti sedang berada dekat dengan api.

“Maira…” Panggil mamanya pula, sambil mengusap-ngusap bahunya.

Maira masih tidak memberikan sebarang reaksi.

“Tak apa…kita mulakan dengan bacaan Ruqyah dulu…” Ujar Ustaz Yunus sambil tersenyum.

Ustaz Yusuf memulakan bacaan ayat suci al-Quran yang dapat didengar dengan jelas oleh semua mereka yang berada di situ. Maira semakin gelisah. Debaran di dadanya semakin mengencang. Kakinya pula terasa berapi. Peluh meleleh membasahi wajah dan tubuhnya. Mahu sahaja dijeritkan Ustaz Yunus supaya menghentikan bacaannya. Datin Salimah mengenggam tangan Maira. Risau melihat tingkah laku anak gadisnya.

Ustaz Yunus meneruskan bacaannya dengan tenang sehingga selesai. Maira perasan debaran di dadanya beransur kurang. Degup jantungnya lebih teratur. Tetapi kedua belah kakinya masih terasa panas dan pedih.

“Masih rasa takut berdebar?”Soal Ustaz Yunus setelah menamatkan bacaannya.

Maira menggelengkan kepalanya, sedikit kagum melihat Ustaz Yunus bagaikan dapat membaca gerak hatinya, walaupun tidak diberitahu.

“Tapi kaki saya masih panas dan pedih…” Adu Maira perlahan. Baru mahu bercakap.

Ustaz Yunus mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Dihulurkan segelas air kepada Maira.

“Maira Bismilah, selawat 7 kali, kemudian minum air ni. Tinggalkan sedikit untuk sapu pada kaki.” Ustaz Yunus memberikan arahan.

Maira menurut tanpa membantah. Setelah baki air di dalam gelas disapu pada kedua-dua belah kakinya, Ustaz Yunus kembali memulakan bacaan ayat suci al-Quran sambil tapak tangannya dihalakan ke arah kedua belah kaki Maira. Maira dapat merasakan panas dan pedih di kakinya seperti ditarik keluar perlahan-lahan. Sehingga kedua belah kakinya tidak lagi berasa tidak selesa.

“Sekarang rasa macam mana?” Soal Ustaz Yunus setelah bacaannya ditamatkan.

“Dah tak sakit…” Jawab Maira teruja.

“Cuba berdiri.. perlahan-lahan ya.” Pinta Ustaz Yunus.

Maira meletakkan kedua belah tapak kakinya di lantai. Tak sakit. Kemudian dilonjakkan pula tubuhnya berdiri memijak lantai.

“Ya Allah… Alhamdulillah ustaz…. tak sakit dah…” Ujar Maira gembira.

Air mata bergenang di kelopak matanya. Sangkanya dia sudah tidak dapat berdiri lagi, atau perlu berkerusi roda seumur hidup.

“Alhamdulillah…..” Sahut mereka yang lain serentak.

Bagai terlepas satu kerisauan berat yang memenuhi ruang dada masing-masing. Syukur kepada Tuhan yang memberikan kesembuhan. Alhamdulillah…

“Alhamdulillah….syukur kepada Allah…” Ujar Ustaz Yunus.

Maira kembali melabuhkan punggung di hadapan Ustaz Yunus. Ceria wajahnya.

“Air ni nanti balik… campur dengan air biasa, untuk dibuat bilasan terakhir selepas mandi. Isikan air dalam baldi, kemudian tuangkan segelas air ni di atasnya. Perahkan limau purut ni, dan gaulkan semua prlahan-lahan. Baca al-Fatihah, 3 Qul 3 kali, dan selawat 7 kali. Niatkan di dalam hati minta dikeluarkan segala benda yang tidak elok dalam badan, dan minta kesembuhan dari Allah. Kemudian jirus mula dari kepala hingga ke hujung kaki. Lebih baik jika dibuat 3 hari berturut-turut.” Jelas Ustaz Yunus satu-persatu.

“Yang sebotol lagi ni, buat minum… sama juga bacaannya. Niat mohon kesembuhan dari Allah ya… kemudian…ini minyak urut bidara. Boleh sapukan di kaki tu…” Tambahnya lagi.

“Jin dan Iblis ni…diorang selalunya kenal kita, cari kita melalui bau tubuh kita. Dan mereka tak suka dengan bau limau purut. Bagi diorang, baunya busuk. jadi kita gunakan sebagai ikhtiar untuk mengelakkan gangguan. Sama juga dengan daun bidara. Mereka tak suka.” Ustaz Yunus memberi penerangan ringkas.

“Kalau diikutkan, memang ada yang berniat jahat, sengaja menghantar sihir kepada kamu. Sebelum ni, dia cuba menakut-nakutkan kamu. Tapi saya yakin, Maira cukup bijak dan cukup kuat untuk menangkis gangguan-gangguan yang dihantar, dengan izin Allah. Teruskan, mendekatkan diri dengan Allah. Banyakkan membaca surah Al-Baqarah di rumah. Kuatkan diri dengan amalan…inshaAllah…” Pesan Ustaz Yunus.

“Cuma kali ini, orang itu agak licik sedikit. Dia gunakan sihir patung…sihir ini biasanya, diikatkan rambut misalnya pada patung, dibacakan jampi. Kemudian bila dicucukkan jarum atau disakitkan patung itu, orang yang disihir juga akan rasa sakit. Seeloknya, kita cari dan musnahkan patung tu…” Ustaz Yunus terdiam sebentar.

“Seeloknya begitu…tapi jika tak dapat cari…kita ikhtiarkanlah dengan cara lain. Banyakkan berdoa pada Allah…inshaAllah.. mudahan terbuka hati si pelaku untuk bertaubat dan menghentikan perbuatan syirik ini.” Sambungnya lagi.

Err..tak tahu ke siapa yang buat tu, ustaz…?” Soal Datin Salimah.

Ustaz Yunus hanya menjawab soalannya dengan senyuman.

“Kalau ada apa-apa masalah, boleh datang sini semula. Saya cuba bantu apa yang boleh. InshaAllah…saya tolong doakan untuk keselamatan kamu sekeluarga. Sama-sama kita doa” Ujar Ustaz Yunus.

“Baiklah ustaz, terima kasih banyak ustaz…” Sahut Pak Saad sambil meminta diri untuk pulang.

Datin Salimah dan Maira berpegangan tangan, berjalan beriringan bersama Cik Nana menuju ke kereta. Manakala Pak Saad dan Mus yang menolak kerusi roda mengekori mereka dari belakang. Lapang tak terkata hati Mus melihat Maira melangkah dan berjalan dengan baik seperti sediakala. Tidak henti-henti dia memanjatkan kesyukuran dalam hati.

Terima kasih Allah.

Riuh betul Maira berceloteh dan berlawan cakap dengan Mus, serta bergurau dengan Pak Saad dan Cik Nana di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang. Sudah rasa sihat sangatlah tu. Tersenyum Datin Salimah melihat keletahnya. Sempat juga diamati keakraban anak gadisnya itu dengan Mus, anak muda yang diam-diam dikagumi keperibadiannya.

Sejenak fikirannya melayang mengingatkan kembali perbualannya dengan anak buahnya Rania, sewaktu gadis itu mahu melangkah pulang selepas menemankan Maira yang baru balik dari hospital semalam.

Datin Salimah menemankan Rania hingga ke pintu depan.

Erraunty…” Ujar Rania sebelum melangkah keluar. Datin Salimah memberikan perhatian kepada anak saudaranya itu, menunggu butir bicara yang seterusnya.

Aunty…Rania ada benda nak cakap dengan aunty…” Ujar Rania dengan nada serba salah.

“Cakap apa Rania?” Soal Datin Salimah. Hairan melihat gelagat Rania yang kelihatan serba tak kena.

Aunty… sebenarnya…, Maira tu…dia tak cintakan Hadif…dia setuju untuk kahwin kerana hormat dan sayangkan aunty dengan uncle… Rania rasa aunty pun sedar perkara ni…” Ujar Rania memulakan bicara.

Datin Salimah terdiam, hanya menunggu butiran seterusnya keluar dari bibir Rania.

“…malah…Maira juga tahu tentang perbuatan curang Hadif dengan perempuan-perempuan lain. Dia pernah terima gambar-gambar kecurangan Hadif dari pengirim tak bernama, melalui Whatsapp. Rania kenal perempuan-perempuan tu aunty…, dan Rania dah siasat. Rania tanya sendiri dengan mereka, dan memang mereka mengaku, selalu berhubungan dengan Hadif untuk memuaskan nafsu masing-masing….” Rania menghela nafas seketika.

“…Maira tahu semua ni aunty, tetapi sedikit pun dia tidak menyuarakan apa-apa pada aunty dan uncle, ataupun pada Hadif sendiri. Dia tetap layan Hadif dengan baik, langsung tak prejudis pada dia..” Tambah Rania lagi.

Air mata Datin Salimah sudah mula bergenang. Tidak sangka yang Maira tahu tentang perkara itu.

“Bukan tu je auntyerr.. Maira… dia dah lama kena…err…gangguan-gangguan yang menyeramkan, bermula sejak hari pertunangan dia dengan Hadif. Mungkin dia…err…disihir oleh salah seorang dari perempuan-perempuan yang berhubungan dengan Hadif… auntyerr…Rania rasa…err…Rania yakin… gangguan-gangguan tu akan berhenti sekiranya Maira dengan Hadif putus…” Ujar Rania tergagap-gagap.

Terkebil-kebil Datin Salimah mendengar apa yang disampaikan oleh Rania. Dia langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini. Maira tidak pernah mengadukan apa-apa. Padanlah semasa di pusat rawatan Islam tadi, Mus menyatakan yang Maira sering diganggu.

“Astaghfirullahalazim….” Istighfar Datin Salimah di dalam hati.

“…dan seperkara lagi aunty.., Maira sebenarnya sayang sangat pada Mus… Mus pun begitu…mereka saling mencintai… Mereka memang tak cakap apa-apa, tidak memberontak, dan berlagak seperti biasa sahaja. Tetapi kami, kawan-kawan Maira, kawan-kawan Mus, semuanya tumpang sayu melihat situasi mereka aunty…Rania sendiri tak tahan…, sebab tu Rania beritahu semua ni pada aunty…” Jelas Rania dengan suara yang sedikit sebak.

Datin Salimah kembali sayu. Memang naluri keibuannya sudah menjangka, perasaan Maira pada Mus, dan sebaliknya. Cuma belum benar-benar terbukti. Kini, anak buahnya itu telah mengesahkan sangkaannya. Jujurnya, dia sendiri juga sangat menyenangi Mus. Ada juga terdetik di hatinya sebelum ini, mengharapkan Mus menjadi suami Maira.

“Rania harap…aunty dapat pertimbangkan semula untuk meneruskan pernikahan Hadif dengan Maira..” Ujarnya lagi sebelum meminta diri untuk pulang.

Sejurus selepas itu, fikiran Datin Salimah melayang pula meningatkan peristiwa malam semalam, selepas Mus menamatkan bacaan al-Quran yang dialunkan untuk Maira. Datin Salimah dapat dengar dengan jelas, Mus meluahkan rasa sayang pada Maira.

“Selamat malam Ara…  Ari sayang Ara sangat…” Masih terngiang-ngiang di telinga Datin Salimah suara lembut anak muda itu mengungkapkan kasih dengan tulus.

Gelak tawa Maira yang rancak mengusik Mus di dalam kereta mematikan lamunan Datin Salimah. Seronok dia lihat Maira tertawa gembira begitu. Datin Salimah tahu, dia harus berbuat sesuatu. Demi kebahagiaan anak kesayangannya yang seorang itu.

“Amboi…dah sihat sangatlah anak mama tu. Bukan main seronok lagi dia mengusik orang.” Sampuk Datin Salimah sambil mengelus mesra wajah Maira yang tersengih riang.

 

JADI…saya minta diri dululah ya, datin, Maira.” Ujar Cik Nana sopan, setelah mereka semua berbual untuk beberapa ketika di ruang tamu rumah Dato’ Harun.

“Maira pun dah boleh berjalan dah, Alhamdulillah…tak sakit lagi dah… tak perlukan bantuan saya lagi…” Terangnya menjelaskan maksudnya.

Mereka yang berada di situ mengangguk-anggukkan kepala. Baru tersedar yang tujuan asal Cik Nana berada di situ adalah untuk membantu merawat dan menguruskan Maira yang sakit.

“Terima kasih banyak ya, Cik Nana.. maaflah, belum sampai sehari pun Cik Nana di sini..” Sahut Maira.

“Eh tak apa…yang penting kaki Maira dah sembuh.. Alhamdulillah…” Balas Cik Nana.

Mereka bersalaman sebelum Datin Salimah dan Maira menemankan Cik Nana hingga keluar.

“Ada masa singgahlah jenguk-jenguk kami di sini ya…” Pesan Datin salimah mesra.

“InshaAllah datin… Assalammualaikum…” Ujar Cik Nana.

“Waalaikumsalam…” Sambut Maira dan mamanya serentak.

“Ara ada simpan nombor cik cantik tadi kan?” Tegur Mus tiba-tiba dari belakang.

Maira berpusing menghadap Mus yang tersengih lebar.

“Takde.” Jawabnya pendek.

“Aik…? Tak kan lah takde…dengan Ari pun nak kedekut..” Balas Mus, masih lagi tersengih nakal.

Maira hanya menjeling Mus.

“Aii…tajamnya anak mama ni menjeling…” Sampuk Datin Salimah sambil tertawa kecil.

Huihh…ini baru sikit ni datin…jantung saya ni..dah berlubang-lubang kena jelingan tajam Ara ni sejak kecil, datin..” Usik Mus. Dadanya diurut-urut dengan muka berkerut, konon menahan sakit.

Mereka yang lain menyambut gurauannya dengan tawa kecil.

“Ara nanti jangan lupa buat sujud syukur ya…” Bisik Mus perlahan sebelum beredar setelah meminta diri untuk pulang.

“Ari...!” Panggil Maira apabila dilihatnya Mus mula melangkah menuju ke kereta.

Serta-merta Mus menghentikan langkahnya dan berpaling ke arah Maira. Kedua keningnya diangkat. Maira memandang sepasang mata Mus yang redup. Pelbagai ayat dan kata-kata bersimpang-selirat di dalam hati Maira. Macam-macam hendak dituturkan kepada pemuda itu.

Err…terima kasih…” Akhirnya hanya itu yang terkeluar dari bibirnya.

Mus tersenyum manis sambil meluruskan jari telunjuk dan jari hantunya, dari dahi ke udara dengan bergaya. Maira turut tersenyum. Hanya Tuhan sahaja yang tahu, rahsia apa yang terselit di dalam hati dua insan itu ketika ini.




No comments:

Post a Comment