ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
18
KEESOKAN harinya Hadif datang menjemput Maira
di rumah sewanya seperti biasa.
“Maira..sayang…” Panggil Hadif yang
sedang memandu.
Tangannya cuba meraih tangan Maira,
tetapi Maira yang terkejut dengan tindakannya spontan menarik tangannya dari
genggaman Hadif. Hadif hanya mengeluh perlahan, sudah tahu benar dengan sikap
Maira. Selama mereka bergelar tunang, belum pernah sekalipun lagi mereka
berpegangan tangan.
“Kan kita dah nak kahwin tak lama
lagi…tak kan pegang tangan pun tak boleh..” Hadif cuba memujuk dengan suara
manja.
“Kita cuma tunang, bukan suami isteri.”
Jawab Maira tegas.
Hadif hanya mengangguk-anggukkan
kepalanya. Mengalah.
“Sayang..I tak cancel tau tarikh booking untuk nikah kita, minggu depan.
Macam yang mummy daddy I dengan mama you bincangkan tu. Eloklah, kita nikah
cepat. Senang sikit I nak jaga dan
lindungi you. Kalau ada yang cuba
cederakan you, tahulah nasib dia…”
Ujar Hadif.
Maira tersentak. Dia sudah terlupa
langsung tentang perihal pernikahannya. Hari berganti hari, tarikhnya sudah
tidak lama lagi. Minggu depan? Tidak! Dia belum bersedia. Tidak…sebenarnya, dia
tidak mahu meneruskannya.
“Hadif..saya..” Kata-katanya terhenti
apabila Hadif sudah memberhentikan kereta di depan unitnya di hospital.
“Err…balik nanti kita bincang
tentang ni ya.” Ujar Maira dengan wajah serius.
Riak muka Hadif berubah mendengar
pesanan Maira dengan wajah serius itu.
“HOI!
Jomlah…pergi makan dulu…nanti sambunglah kerja kau tu…” Sergah Hanim dari
belakang, mengejutkan Maira yang sedang asyik menaip di komputer, mengunci
masuk data pesakit.
“Astaghfirullahalazim….kau
pernah kena karate tak?” Ujar Maira
geram.
Terkejut dia disergah begitu. Mahu
sahaja dibukanya silat Pendekar Bujang Lapok di situ.
“Huihh…takutnya aku…macam ni tak
lah aku risau ada orang culik kawan aku ni… mesti penyek orang tu kena karate.” Usik Hanim.
“Weh..jomlah..makan dulu. Orang lain
semua dah keluar. Aku lapar ni tahu tak. Haa..nenek aku pesan, jangan cari
pasal dengan orang yang tengah lapar. Haa..karang…tak tahu apa nasib komputer
ni…” Ugut Hanim.
Maira memandang keliling. Memang hanya
tinggal mereka di situ, dan juga seorang lelaki yang datang untuk menyenggara
penghawa dingin di unit mereka. Lelaki itu kelihatan sibuk dengan kerjanya.
“Hish..yelah, yelah…lapar je
kerjanya.” Rungut Maira sambil menyimpan kerjanya di dalam komputer.
“Haa..tahu takut. Eh kejap eh..aku pergi
toilet dulu. Kejap je.” Ujar Hanim
sambil berlari menuju ke tandas.
“Ish budak ni kan, tadi dia yang
kalut sangat nak pergi.” Bebel Maira sambil kembali menghadap komputer, berniat
mahu menyambung kerjanya sambil menunggu Hanim.
Sedang dia leka menekan-nekan tetikus,
tiba-tiba mulut dan hidungnya dipekup dengan sehelai kain dari belakang. Bau di
kain tersebut kuat menusuk hidungnya membuatkan dia lemas. Maira meronta-ronta
untuk bernafas dan melepaskan diri. Tetapi hanya dalam beberapa saat sahaja, pandangannya
sudah kelam. Maira tidak sedarkan diri.
“Maira? Maira? Kau kat mana?” Panggil
Hanim yang baru keluar dari tandas.
Pelik melihat kerusi yang diduduki
Maira tadi kosong. Dia berkalih untuk bertanya pada lelaki yang sedang
menyenggara penghawa dingin tadi, tetapi di situ juga tiada sesiapa. Hanim
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rasanya dia tidak dengar bunyi orang
masuk ke tandas tadi. Jadi maknanya Maira tidak ke tandas. Ke mana pula dia
pergi?
“Tak kanlah dia dah pergi café kut. Aku yang lapar ke dia yang
lapar ni?” Sungutnya sendiri.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dan
nombor Maira didail. Cuba memastikan di mana sahabatnya itu berada. Sebaik
sahaja dia memanggil, terdengar bunyi telefon Maira. Tertunduk-tunduk Hanim
mencari arah dari mana datangnya bunyi itu. Dia menjumpai telefon bimbit Maira
di bawah meja komputer tersebut dalam keadaan skrinnya retak seperti terjatuh.
Serta-merta dada Hanim berdebar kencang. Dia mula rasa tidak sedap hati.
“ARA,
ARI,
Kuberi nama, saudara saudari,
Cikebum! Cikebum!
Malam-malam minggu,
Siang-siang hari,
Disko! Disko!”
Suara nyanyian itu membangunkan Maira.
Matanya dipejam dan dicelikkan semula beberapa kali untuk menghilangkan
kekaburan. Kepalanya masih terasa berat. Samar-samar dia lihat seorang lelaki
sedang duduk di atas kerusi roda sambil cuba menjungkit-jungkitkannya kemudian
menyeimbangkannya sebelum terjatuh semula. Mulutnya riuh bernyanyi dengan suara
yang girang.
“Putih-putih Melati Ali Baba..
Merah-merah jelita miau miau…
Siapa yang baik hati Cinderella..
Lama-lama jadi anak patung,
1 2 3 4, siapa gerak, dia kena cubit!”
Leka lelaki itu menyanyi sebelum tiba-tiba mengalihkan pandangannya ke arah
Maira.
Maira kaget. Rasa takut mula menyerbu.
Dia cuba bangun tetapi tidak berjaya. Baru dia sedar yang tubuhnya sedang
terikat di sebuah kerusi yang disandarkan di sebatang tiang. Kedua belah
kakinya diikat di kaki kerusi, manakala kedua belah tangannya pula diikat di
belakang tiang tersebut. Ketat dan menyakitkan.
“Eh…Ara dah bangun?” Tegur lelaki itu
sambil menolak roda kerusi yang didudukinya menghampiri Maira.
Kerusi roda itulah yang digunakannya
tadi untuk menyorong Maira keluar dari hospital dan membawanya ke situ. Dia
menompang dagu dengan kedua tangannya sambil meneliti wajah Maira dengan khusyuk
di hadapan gadis itu.
“Memang cantik…cantik macam dulu juga.”
Pujinya.
Maira mengecilkan matanya cuba mengecam
wajah pemuda itu. Otaknya ligat berfikir siapakah gerangan lelaki yang berada
di hadapannya ini. Lelaki itu tiba-tiba mendekatkan mukanya ke wajah Maira dan
cuba mengucup pipi gadis itu. Maira pantas memusingkan wajahnya, mengelak dari
dicium. Lelaki itu tersentak seketika, kemudian ketawa suka hati.
“Siapa kau?! Kenapa kau buat macam
ni?!” Jerit Maira ketakutan.
Ruang sekitar diperhatikan dengan kelam
kabut. Nampak seperti mereka sedang berada di sebuah gudang yang sudah lama
ditinggalkan. Ada tilam lusuh di atas lantai, bersepah dengan beberapa helai
baju.
Ada juga beberapa bungkus bekas sisa
makan dengan botol air di situ. Puntung-puntung rokok turut bersepah di lantai.
Lebih mengerikan apabila kelihatan beberapa buah kotak peralatan bertukang,
yang ada di antaranya diisi dengan pelbagai jenis senjata tajam.
Maira mati akal. Tidak tahu apa yang
perlu dilakukan. Dia menggerak-gerakkan tangannya, dengan harapan dapat
melonggarkan ikatan, tetapi tidak berhasil. Terlalu ketat. Jam tangannya yang
bergesel di tali membuatkan dia teringat sesuatu. SOS! Pantas butang di jam
tangannya ditekan.
“Kau tak kenal aku?” Soal pemuda itu.
Sekali lagi didekatkan mukanya ke wajah
Maira. Kali ini, tangannya mencekak kuat wajah Maira, lalu diciumnya pipi gadis
itu kasar. Maira langsung tidak dapat bergerak. Serentak itu, memori lama
menghentam kotak fikirannya.
“LEPAS!
Lepaslah Shahir!” Gadis kecil itu meronta-ronta cuba melepaskan diri dari
dakapan rakannya.
Tadi dia tiba-tiba sahaja mencium pipi
Ara setelah memberitahunya bahawa dia sukakannya.
“Ara. Shahir suka Ara.” Laju ayat
tersebut meluncur keluar dari mulut kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu.
Ara terpempan mendengar pengakuan yang
tiba-tiba itu.
Shahir lantas menarik tangan Ara lalu
mencium pipinya. Terkejut Ara dibuatnya. Seraya itu juga dia memeluk gadis
kecil berusia 10 tahun tersebut. Menjerit-jerit gadis itu minta dilepaskan.
“Lepas! Lepaslah Shahir! Lepaskan Ara!”
Tubuh kecilnya tidak berdaya menolak dakapan kasar Shahir yang lebih tinggi dan
tegap.
“Hoi! Kau buat apa tu?!” Jerkah Ari
yang laju berlari menerpa ke arah mereka berdua.
Tempikan Ari mula menarik perhatian
kanak-kanak lain yang baru hendak keluar dari kelas malam itu. Ustazah Fatimah
yang masih mengemas beg tangannya di dalam kelas turut tersentak mendengar
suara Ari bertempik kuat.
“Lepaskan Ara!!” Pekik Ari sekuat
hatinya sebelum dia sampai di depan Shahir lalu melepaskan tumbukan ke muka
Shahir.
Hentakan kuat di wajahnya membuatkan
dakapannya terlepas, kedua-dua Ara dan Shahir jatuh terduduk ke tanah. Ari
terus menerkam Shahir dan menumbuknya bertubi-tubi. Meskipun tubuhnya jauh
lebih kecil berbanding Shahir, namun rakannya itu langsung tidak dapat melawan
balas atau mempertahankan diri. Ari mengamuk!
“Ya Allah…! Kenapa tu…?!!” Jerit
Ustazah Fatimah dari jauh.
“Pergi panggil Encik Thalhah dengan Pak
Mail! Cepat!!” Arahnya pada beberapa orang pelajar di situ.
Ari masih memukul Shahir yang sudah
terbaring di tanah. Kelam kabut Encik Thalhah dan Pak Mail berlari meleraikan
pergaduhan mereka. Ustazah Fatimah pula mendapatkan Ara yang menangis ketakutan
di atas tanah.
“Tadi…Shahir cium Ara. Lepastu dia
peluk Ara…” Adunya pada Ustazah Fatimah.
Terkejut Ustazah Fatimah mendengar
pengakuan gadis kecil itu. Encik Thalhah masih memeluk kuat tubuh kecil Ari,
bagi mengelakkannya kembali menerkam Shahir. Manakala Pak Mail pula membantu
Shahir yang sudah lembik untuk bangun. Sejak peristiwa itulah Shahir sering
menyakiti Ara. Meletakkan paku di dalam kasut sekolahnya, dan yang lebih teruk,
menikam tangannya. Parutnya masih ada hingga sekarang.
Cengkaman tangan Shahir di wajah Maira
menyakitkannya, sekaligus mematikan lamunannya. Shahir cuba untuk mengucup
bibirnya pula.
“Sha…Shahir!” Jerit Maira.
Pergerakan lelaki itu terhenti.
“Haa..ingat pun kau kat aku eh…”
Ujarnya sinis.
“Kau….” Kata-kata Maira terhenti.
Lidahnya kelu.
“Hmm? Aku…?” Soal Shahir.
Otak Maira ligat mula mengingat kembali
segalanya tentang lelaki itu. Seingatnya pertama kali dia berjumpa dengannya
adalah beberapa bulan sebelum dia berangkat untuk melancong ke Korea. Waktu itu
Shahir datang ke unitnya bekerja untuk menyenggara penghawa dingin.
Maira yang kebetulan ketika itu baru
pulang dari cafeteria bersama Hanim,
langsung menghulurkan minuman dingin yang berada di tangannya kepada lelaki
itu. Simpati dia melihat lelaki itu berpeluh-peluh menyelesaikan tugasannya.
“Kau tau tak Ara? Aku tak pernah rasa,
apa yang aku rasa kat kau, pada orang lain.” Ujar Shahir.
Sejenak dia terimbas kembali kenangan
sewaktu pertama kali dia ‘jatuh hati’ pada gadis itu di Rumah Anak Yatim
Basyirah. Waktu itu, dia baru sahaja menjadi penghuni Rumah Anak Yatim tersebut
setelah kedua orang tuanya meninggal dalam kebakaran di rumah mereka.
‘Kebakaran’ yang sebenarnya dicipta
oleh dia. Ya..anak kecil itulah yang menuangkan minyak petrol dan memulakan api
di sekeliling rumah mereka, sewaktu ibu bapanya sedang mabuk dengan najis dadah.
Dari kecil lagi, dia tidak pernah
mendapat didikan yang baik dari kedua orang tuanya. Mereka bergelumang dengan
najis dadah. Bukan sahaja ayahnya menjual dan mengedarkan dadah, malah juga
mengajak ibunya untuk sama-sama menghisapnya. Shahir tidak pernah bersekolah.
Dunianya diliputi dengan suasana yang sangat
kotor dan kejam. Dia juga sering dipukul oleh ibu bapanya ketika mereka
kehilangan akal waras mereka akibat kemaruk dengan dadah.
Entah sejak bila, Shahir mula
menunjukkan perkembangan mental yang tidak sihat. Dia gemar bertindak ganas dan
kejam. Sudah ratusan kali dia mencederakan dan membunuh haiwan dan binatang
kecil.
Adik lelakinya yang masih kecil juga
sering menjadi mangsanya. Pernah dia memotong jari tangan anak kecil itu
sewaktu ibu bapanya tiada di rumah. Sehingga kemuncaknya dia membakar rumah
mereka ketika ibu dan ayahnya serta adik yang baru berusia setahun lebih masih
berada di dalam.
Pihak polis hanya mengesyaki bahawa
perbuatan tersebut dilakukan oleh kenalan yang bermusuh dengan ibu bapanya
dalam urusan jual beli dadah. Tiada siapa yang menyangka anak kecil itu yang
melakukan perbuatan sezalim itu.Setelah kejadian itu, dia tinggal dengan
neneknya yang rumahnya tidak jauh dari Rumah Anak Yatim Basyirah.
Tetapi perangainya yang nakal dan
sering menganggu dan mencederakan anak-anak jiran membuatkan neneknya runsing.
Justeru, wanita tua itu meminta bantuan Encik Thalhah. Sejak itulah Shahir
dimasukkan ke Rumah Anak Yatim Basyirah. Di situ, dia tidak mempunyai kawan.
Dia lebih suka menyendiri, bahkan telah beberapa kali mencuba untuk melarikan
diri.
Dia ingat lagi semasa bulan pertama dia
berada di situ. Dibakarnya beberapa ekor tikus yang sedang terperangkap dalam
jerat sangkar, hidup-hidup. Semua orang terkejut dengan tindakannya. Puas dia
dinasihatkan oleh Ustazah Fatimah agar tidak berlaku kejam dengan binatang.
Rakan-rakan mula memandangnya dengan pandangan yang aneh dan menjauhinya.
Tetapi, ada seorang gadis kecil yang
berani menghampirinya. Waktu itu dia masih didenda untuk berdiri berdekatan
pondok kecil yang turut hampir dijilat api semasa dia membakar tikus-tikus
malang tersebut. Gadis itu memerhatikannya sejenak dari jauh, sebelum
menghampirinya untuk menghulurkan segelas air sirap. Mungkin simpati melihat
dia berdiri lama di situ.
“Nak air?” Soal gadis kecil itu.
Dia hanya menjelingnya dengan muka
masam dan tidak mengendahkannya.
“Eh! Tangan awak luka tu!” Kata gadis
kecil itu sambil menuding jari ke arah tangan kanannya.
Dia melihat tangannya sendiri. Ada
kesan melecur. Mungkin terkena api sewaktu dia sedang membakar tikus-tikus di
dalam perangkap tadi. Dialihkan semula perhatian ke arah gadis kecil tadi. Dia
sudah pun berlari pergi. Shahir hanya mencebik. Dengan tidak disangka-sangka,
gadis itu kembali dengan membawa krim sapu untuk kelecuran. Termengah-mengah
dia menghilangkan penat berlari.
Tanpa berfikir panjang, terus disapunya
krim itu pada luka di tangan Shahir.
“Nah, nanti lepas mandi dan solat, sapu
lagi. Kalau tidak nanti jadi parut.” Petah gadis kecil itu memberikan arahan
sambil menghulurkan krim tersebut ke tangannya.
Satu senyuman manis dihadiahkan kepada
Shahir sebelum namanya dipanggil oleh seorang budak lelaki.
“Ara!” Laung Ari.
Tinggallah Shahir terkedu di situ
sambil mengenggam krim yang diberi.
“Ara…” Ucapnya perlahan.
Shahir merasakan suatu jenis perasaan
yang baru baginya, yang tak pernah dirasakannya sebelum ini.
Sejak Ara dan Ari mengikut keluarga
angkat masing-masing, Shahir sudah terputus hubungan dengan mereka. Dia telah
melarikan diri dan hidup sendiri di luar, dengan mengambil upah di kedai-kedai
makan.
Menginjak dewasa, kegemarannya
mencederakan haiwan sudah beralih kepada mangsa yang lebih besar, manusia. Dia
mula menangkap dan mencederakan gelandangan-gelandangan yang berkeliaran,
sehingga ke tahap membunuh mangsanya untuk memuaskan nafsu psikonya.
Tiada siapa yang tahu kegiatannya
kejamnya itu. Segalanya berjalan dengan lancar, sehinggalah dia bertemu semula
dengan Ara sewaktu bekerja menyenggara penghawa dingin di hospital. Senyuman
itu, dia tidak pernah lupakan senyuman itu. Senyuman yang sama manis, sewaktu
Ara menghulurkan minuman dingin kepadanya. Sekali lagi, gadis itu bersikap baik
padanya. Dan sekali lagi, perasaannya kembali berputik.
Sejak itu, dia mengintip dan mengekori
Ara. Dialah orangnya, yang membunuh ahli keluarga Ara. Tetapi kali ini dia
tidak berjaya menyembunyikan perlakuan jahatnya. Dia tahu yang dirinya kini
sedang diburu oleh pihak polis. Tetapi, masih juga dia mahu mendapatkan Ara.
“Kau yang bunuh mama papa aku?! Kenapa
kau buat aku macam ni?!” Soal Maira dengan suara yang kuat.
Air mata sudah membasahi wajahnya.
Geram, marah, takut, semuanya bercampur-baur dalam hatinya sekarang.
“Kenapa aku buat kau macam ni?! Kenapa
kau buat aku macam tu?!” Tengking Shahir kembali.
“Aku cakap aku suka kau, tapi kau jerit
dan tolak aku! Aku tahu…kau suka si budak Ari tu kan?!” Tempiknya lagi dengan
wajah yang merah dan bengis.
“Dia pun aku bunuh jugak nanti!”
Tempiknya lagi.
Kemudian dia ketawa terbahak-bahak.
Mungkin sudah mengimaginasikan kematian Ari di tangannya.
“Ara, Ari, kuberi nama saudara
saudari…. Ara, Ari, darahmu kucari….” Nyanyinya dengan gaya yang menakutkan.
“Ara, Ari, darahmu kucari….” Dendangnya
lagi sambil menyentuh pipi Maira.
“Kranggg!!” Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan
bunyi kaca pecah.
Ari yang sampai di lokasi tersebut
terlebih dahulu terus memecah masuk ke dalam tanpa menunggu ketibaan pihak
polis. Tingkap kaca dipecahkan lalu dia melompat masuk ke dalam.
“Ara!!” Panggilnya.
Shahir dan Maira menoleh ke arahnya.
“Ari!” Sahut Maira dengan linangan air
mata.
“Haa…dah sampai pun, Tuan Ari kita…”
Ujar Shahir dengan nada sebal.
Ari meluru ke arah mereka sebelum
terhenti apabila Shahir mengenggam pisau di tangannya. Ari menyiapkan
langkahnya untuk menyerang Shahir.
“Ari! Shahir! Shahir yang buat semua
ni! Dia yang bunuh mama papa!” Jerit Maira memaklumkan duduk perkara kepada
Mus.
“Shahir?” Ari mengerutkan dahinya cuba
mengingat kembali susuk tubuh yang sedang berdiri di depannya.
“Kali ni, kau akan mati kat tangan aku
Ariii…!!” Tempik Shahir.
Serentak itu juga dihunuskan pisau
dalam genggamannya ke arah Mus, tetapi berjaya dielak oleh pemuda itu. Mus
menyusun langkah dan melepaskan beberapa tumbukan dan tendangan ke arah Shahir
sambil mulutnya terkumat-kamit membaca syahadah. Kering darah Maira melihat
Shahir berkali-kali cuba menikam Mus di depan matanya.
“Ya Allah…tolong ya Allah…” Rintih
hatinya mengharapkan pertolongan dari Tuhannya.
Entah bagaimana, Shahir berjaya
menumbangkan Mus ke lantai. Laju tangannya membenamkan pisau ke perut Ari yang
sudah terbaring. Mus mengerang kesakitan.
“Allahh…!! Ariii…!” Jerit Maira.
Shahir mengangkat tangannya tinggi,
mahu menikam Mus buat kali kedua. Tetapi pergerakannya terhenti dengan bunyi
tembakan amaran dan teriakan pegawai polis.
“Berhenti! Jangan Bergerak! Letakkan
senjata!” Teriak Inspektor Aizat nyaring.
Beberapa orang pegawai polis sudah
mengepung mereka. Shahir kembali menghayunkan tangannya laju tanpa mempedulikan
amaran yang diberi. Tembakan terpaksa dilepaskan dan mengena bahunya. Dia
terdorong ke belakang seketika, tetapi masih cuba untuk menikam Mus.
Tembakan kedua terpaksa dilepaskan dan
dengan izin Allah, tidak lagi mengena bahu, sebaliknya terkena di bahagian
dadanya. Darah merah pekat membasahi bajunya, Shahir tumbang menyembam Ari
dengan mata yang terbeliak kesakitan. Perlahan-lahan nafasnya terhenti. Shahir
mati di tempat kejadian.

No comments:
Post a Comment