Monday, June 3, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 19)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 19

PAK CIK Hud datanglahh… pak cik Hud datangg..!!” Riuh mulut Fara Afina mengkhabarkan kedatangan lelaki itu kepada semua yang berada di dalam rumah.

Berlari dia dan kakaknya serta sepupu mereka mendapatkannya yang baru turun dari kereta.

“Wahhh ayam gorengg…! Aiskrim pun adaa…!” Kecoh anak-anak itu berebut-rebut menyambut buah tangan yang dibawa.

“Hah.. Hud..masuklah…” Pelawa Aqmar Alif sambil  menghulurkan salam.

Memang dia sudah maklum dengan kedatangan lelaki itu untuk menjemput Isha dan anak-anak. Isha akan mulai bekerja semula minggu hadapan, serentak dengan sesi persekolahan yang bakal bermula. Hanya Fara Afiya sahaja yang masih bercuti panjang kerana tangannya masih bersimen. Sudah dipujuk untuk tinggal bersama mama ngah dan baba ngahnya selama bercuti, tetapi ditolaknya. Rindu pada Cik Mah katanya. Pengasuh mereka dari kecil.

“Assalammualaikum…” Sapa Hud Hurairah sambil menyambut huluran tangan bakal abang iparnya, mesra.

 

DAH? Kenyang dah makan? Sedap tak aiskrim?” Soal Hud sambil mengelap mulut Fara Afina yang comot dengan aiskrim, penuh kasih.

“Sedappp… adik suka yang ni. Coklat yang kat luar dia ni sedap. Nanti Pakcik Hud belikan lagi ea?” Kecoh si kecil itu bercerita.

“Bolehh.. nanti Pakcik Hud belikan baanyaakk banyak. Ok?” Jawab Hud sambil mengangkat ibu jarinya dan mencalitkannya pada ibu jari si kecil Fina, sebagai tanda perjanjian.

“Fiya… jom, Pakcik Hud potongkan rambut Fiya bagi cantik, nak?’ Ajak Hud Hurairah.

“Eh…Pakcik Hud pandai potong rambut ke?” Soal Fara Afiya kembali.

“Eh…mestilah.. lepas Pakcik Hud potongkan nanti mesti Fiya jadi lagi comel.” Ujar Hud bersungguh.

“Adik nak jugak!!” Jerit Fara Afina, ikut menyibuk.

Isha, Alif dan Syara saling berpandangan melihat Hud Hurairah mengeluarkan beg berisi bermacam jenis gunting dan sikat. Seriusla?

Ternganga mereka bertiga melihat Hud Hurairah mengunting rambut Fara Afiya dengan cekap. Sudah seperti penggaya profesional. Lincah tangannya bekerja. Potongan jenis pixie dipilih untuk gadis kecil itu, yang sudah compang-camping dan tidak teratur panjang pendek potongan rambutnya. Sesuai pula dengan wajah comelnya. Matanya tampak lebih bulat dan pipinya kelihatan lebih berisi dengan gaya tersebut.

“Comel tak mama? Comel kan?” Ceria gadis kecil itu berpusing-pusing menggayakan rambut barunya.

“Comeeellll sangat anak mama. Comel macam mama. Dah pergi mandi, syampu rambut, ok?” Sahut Isha sambil membelek-belek rambut Fara Afiya dengan kagum.

“Adik pulak! Adik pulak!” Riuh Fara Afina mengambil tempat duduk kakaknya di kerusi yang diletakkan Hud di perkarangan rumah.

“Alaa..tapi rambut adik kan dah cantik panjang…” Sungut Isha. Sayang pula nak dibiarkan rambut anak kecil dipotong pendek.

Hud Hurairah mengangkatkan keningnya nakal.

Rambut anak itu diikat ke atas dan rapat ke bahagian hadapan dahi. Kemudian hujungnya dipotong. Sebaik dilepaskan semula ikatan, rambutnya beralun membentuk gaya forward layer yang cantik. Gaya potongan ini tidak membuatkan rambut anak itu menjadi lebih pendek. Kemudian dirapikan hujung-hujung rambut anak kecil itu dengan kemas.

Suka betul Fara Afina dengan gaya rambut barunya itu. Bertambah lagi rasa kagum Isha pada kemahiran lelaki itu. Ini boleh buka kedai ni. Boleh bersaing dengan kedai rambut Muthu!

Err…rambut lelaki? Pandai jugak ke?” Soal Aqmar Alif yang sedari tadi ikut terlopong melihat lelaki itu menggunting dengan cekap.

“Gaya korea? Gaya mat salleh? Cakap je.” Sahut Hud Hurairah berlagak.

Pantas Aqmar Alif mengambil alih tempat duduk Fara Afina tadi sambil tersengih.

“Korea.”

Untunglah dia macam ni. Ada personal hair stylist tak berbayar. Hehehe…

 

KERETA Hud Hurairah dihentikan depan rumah peninggalan Kak Leeya.

“Alya Alisha Arif…” Panggilnya lembut.

Isha mengalihkan pandangan ke arahnya. Sempat dikerlingnya sejenak pada Fara Afiya dan Fara Afina yang sudah terlentuk tidur di tempat duduk belakang.

“Kahwin dengan saya…” Ujar Hud selamba.

“…cepat….” Sambungnya lagi sambil merenung nakal ke dalam mata Isha.

Tak keruan gadis itu dibuatnya. Sekejap dicapainya beg tangan, digalas. Sekejap ditekan-tekan punat tali pinggang keledar yang tiba-tiba susah betul nak terbuka. Sekejap kelam kabut pula meraba tempat buka pintu kereta. Eh mana pergi tempat buka niii…

Ketawa kecil Hud Hurairah dibuatnya.

“Ni..jangan lupa ni.. saya belikan ubat untuk luka adik. Pakai yang ni inshaAllah cepat sikit kering lukanya, dan tak berparut.” Ujar Hud sambil menghulurkan bungkusan plastik kecil.

Ice pack pun ada dalam tu.. awak pun boleh guna jugak… sakit lagi tak tangan tu?” Soalnya sambil memandang ke arah tangan Isha.

Isha sendiri pun ikut memandang tangannya. Memang ada terasa sengal.

“Kuat betul awak tumbuk abang ipar awak. Naik takut saya tengok. Tak jadilah saya nak terus ajar awak taekwondo.” Seloroh Hud lucu.

Tergelak juga Isha dibuatnya. Masa tu tak sakit..

“Saya masuk dulu ya..terima kasih hantarkan kami…” Ujar Isha sambil cuba membangunkan tuan puteri di tempat duduk belakang.

“Eh takpe, kesian diorang. Biar saya angkat. Awak pergi bukakan pagar.” Pintas Hud laju.

Terharu pula Isha lihat lelaki itu mendukung anak-anak itu seorang demi seorang ke dalam rumah. Dulu Isha sendiri terkial-kial mendukung mereka masuk ke dalam rumah, setiap kali mereka terlena di dalam kereta. Dan sekarang Isha terpaksa membangunkan mereka kerana tak mampu lagi mengangkat anak-anak yang semakin tumbuh membesar itu. Lebih-lebih lagi Fara Afiya yang ketinggiannya bakal menyamai Isha sendiri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

SIAPA tadi tu?” Teguran jiran mereka Faiz, mengejutkan Isha yang sedang sibuk mengunci pagar.

“Err…tunang Isha.” Jawabnya jujur.

Riak wajah Faiz tiba-tiba berubah aneh. Terkejut… dan marah?

“Tunang??!” Soalnya seakan-akan membentak.

Terkedu Isha dengan reaksinya.

“Isha! Kenapa buat abang Faiz macam ni?! Isha tahu kan abang Faiz dah lama suka kan Isha, ambil berat dengan Isha??” Bentaknya lagi dengan suara yang mula meninggi.

Isha mula cuak. Tak sangka dengan tindak balasnya.

“Kenapa tak bagi peluang abang Faiz lamar Isha? Abang Faiz mampu tau, sara dua isteri. Lebih dari mampu!” Tekannya lagi.

Isha benar-benar terkejut dengan reaksi jirannya itu.

“Apa ni? Dah kenapa dengan orang ni? Apa yang dia merepek ni?” Bertalu-talu soalan tersebut bergema dalam ruangan hati Isha.

“Putus dengan dia!” Arahnya dengan suara tinggi.

“Aa..apa…Faiz cakap ni…” Isha benar-benar bingung dengan reaksi jirannya itu.

Faiz merenungnya dengan mata yang merah terbeliak menahan marah.

“I..Isha masuk dulu lah.” Ujarnya tersangkut-sangkut, setelah dilihatnya lelaki itu diam tidak bersuara.

Faiz hanya menghantar langkahnya beransur masuk  ke dalam dengan pandangan bengis dari luar pagar.

Tindakannya benar-benar aneh, dan tidak masuk akal pada Isha. Sedikit sebanyak perlakuannya tadi menimbulkan rasa takut pada Isha.

Ya Allah.., lindungilah kami dari perkara-perkara yang buruk..

 

SUARA jerit tangis kanak-kanak dari luar rumah mengejutkan Isha dan kedua-dua Fara yang sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu. 

“Diam!” Suara herdikan menyusul selepasnya.

Berpandang-pandangan mereka anak-beranak sebelum masing-masing menerpa menjenguk ke tingkap.

“Masuk!” Kelihatan Faiz sedang mencekak leher seorang anak perempuan sambil memaksanya masuk ke dalam kereta.

Seorang lagi anak perempuannya yang lengkap  berjubah dan berniqab turut mengesak tangis di dalam kereta.

“Mama….” Panggil Fara Afiya dengan wajah yang ketakutan.

“Macam mana kalau kakak tu kena pukul macam Fiya  dengan adik..” Fara Afiya bersuara sebak, kolam matanya bergenang. Mungkin peristiwa ngeri itu masih menghantui jiwa kecilnya.

Fara Afiya sudah mula menangis perlahan sambil memeluk Isha.

Isha terkedu.

Err…tak lah.. pakcik tu marah sebab kakak tu nakal kut…” Ujar Isha cuba menenangkan anak-anak gadisnya, walaupun dia sendiri tidak pasti kenapa dadanya berdebar semacam. Gerak hatinya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Tapi… macam mana kalau diorang kena pukul… mama taknak tolong ke..” Sayu Fara Afiya menyuarakan isi hatinya.

Bukan Isha tak nak tolong. Tetapi dia sendiri pun tidak jelas dengan apa yang berlaku. Risau juga jika tersalah andaian, terlebih-lebih menyibuk urusan orang. Sudahlah lelaki itu berkelakuan pelik sebentar tadi.

“Bukan mama tak nak tolong…” Ujar Isha perlahan, sambil otaknya ligat berfikir.

Ok macam ni… “ Pantas Isha mendapatkan telefon pintarnya yang berada di atas sofa.

Butang merakam ditekan dengan kamera telefon dihalakan ke arah jirannya itu. Isha terus merakam tangisan dan layanan kasar Faiz pada anak-anak perempuan tersebut, sehinggalah kereta Alza biru milik lelaki itu beredar.

“Fiya dengan Fina tahu tak, VSP?” Soal Isha sambil jarinya sibuk menatal dan menekan-nekan skrin telefon.

Kedua-dua beradik itu menggelengkan kepala dengan pantas.

“VSP ataupun Volunteer Smartphone Patrol ni adalah aplikasi dari pihak polis kita, PDRM. Melalui aplikasi ni, kita boleh buat laporan terus pada pihak polis berkenaan jenayah yang berlaku di sekitar kita, atau apa-apa yang meragukan. Pihak polis akan datang dan buat siasatan mengenai apa yang kita laporkan.” Jelas Isha sambil menunjukkan skrin telefonnya kepada mereka.

“Mama dah isi dan hantarkan rakaman video tadi dekat pihak polis.” Tambahnya lagi.

Fara Afiya dan Fara Afina terangguk-angguk sambil tersenyum senang.

“Pandainya mama…” Puji Fara Afiya tulus.

“Dah…tak nak sedih-sedih lagi ea.” Dahi Si kecil dikucup penuh kasih.

“KITA nak pergi mana ni Pakcik Hud?” Soal Fara Afina teruja.

“Kita nak main kat taman permainan…kan Pakcik Hud?” Pantas Fara Afiya memberikan jawapan.

“Eh, takdelah..kita nak pergi kedai depan ni, je beli roti. Lepas tu baliklah.” Jawab Hud Hurairah serius.

Terus monyok wajah kedua-dua anak gadis itu.

“Betul ke mama…” Soal Fara Afina perlahan.

Isha menjeling tunangnya di tempat duduk pemandu geram. Hud Hurairah menghamburkan tawa. Barulah puteri-puteri kecil itu ikut ketawa.

“Pakcik Hud tipuuu…!” Jerit keduanya serentak.

“Mama cakap tak baik tipu tau… dosa..” Bebel Fara Afina. Sebiji gaya mamanya berleter.

“Ok..ok…sorry tuan puteri… kita pergi main kat taman ea… lepas tu kita beli aiskrim, nak?” Pujuk Hud Hurairah mesra.

“Nakkk….!” Pekik keduanya riang. Bingit telinga Ishaa dibuatnya.

“Adik nak aiskrim strawberry” Sahut Fara Afina sambil membuat aksi menjilat bibir.

“Kakak nak vanilla!” Sambung si kakak.

Strawberry satu.. vanilla satu! Allright…!” Sahut Hud Hurairah ceria.

“ Mama nak apa?” Usiknya pula sambil menyengih nakal pada pujaan hati.

“Mama mestilah coklat..!” Sahut Fara Afina yakin.

“Pakcik Hud? Pakcik Hud nak apa?” Soal Fara Afiya pula.

“Ermm…pakcik Hud…nak….mama!” Selamba lelaki itu berseloroh.

Mengekek ketawa budak berdua tersebut di tempat duduk belakang. Isha mengetap bibir geram. Mahu saja rasanya dicubit isi perut lelaki itu.

 

KANAK-kanak lelaki kecil berusia sekitar 2 hingga 3 tahun yang terjatuh ketika berlari menarik perhatian Isha. Pantas dia bangun meninggalkan kerusi batu tempat duduknya dan menerpa ke arah anak itu.

“Allah..Allah.. sikit je ni…” Pujuk Isha sambil membantunya bangun.

Luka juga lututnya sedikit. Anak itu menyebik mahu menangis.

“Ha..kan umi dah pesan jangan lari..” Tegur ibunya yang berlari anak mendapatkan mereka.

“Terima kasih ea… cakap terima kasih kat kakak ni..” Pinta wanita itu sambil mendukung anaknya.

“Tima kasih…” Ujar anak kecil itu, masih dengan memek muka yang menyebik comel.

“Sama-sama..” Sahut Isha mesra. Matanya sudah melirik Hud Hurairah yang tersengih-sengih berjalan ke arahnya sambil memegang aiskrim di kedua-dua belah tangannya.

“Makcik! Makcik! Ada orang ambik kakak tu!” Tiba-tiba beberapa orang kanak-kanak berlari mendapatkan Isha. Anak-anak itu yang bermain papan gelungsur dengan Fara Afiya dan Fara Afina baru beberapa saat tadi, sambil diperhatikan Isha.

Berderau darah Isha. Kelihatan perodua Alza biru sedang meluncur laju meninggalkan Kawasan tersebut.

Luruh jantung Isha. Allahu Akbar!!!

 

AWAK ambil phone saya, cari nama Anas.” Arah Hud Hurairah. Matanya difokuskan ke arah jalan. Minyak ditekan rapat. Kereta dipandu selaju yang boleh, cuba mengejar perodua Alza biru yang semakin sayup  jauh di depan.

Pantas Isha mencapai telefon bimbit yang dimaksudkan dan membuat panggilan kepada kenalan yang bernama Anas. Butang loudspeaker ditekan.

“Anas! Anak-anak aku kena culik! Saspek dalam Alza biru. Nombor plat tak nampak. Aku kat Jalan Mahanum.” Hud bersuara kuat. Tangannya masih cekap mengawal stereng, memotong satu demi satu kereta di depannya.

“Isha rasa tu kereta Faiz, jiran kami!” Entah kenapa dia berkata begitu. Memang dia langsung tidak nampak lelaki itu, atau memastikan yang kereta itu miliknya. Tapi gerak hatinya kuat mengatakan lelaki itu yang melarikan anak-anaknya!

“Kalau betul tu kereta diaa, nombor plat dia WNM 5189.” Sambungnya lagi.

Ok, on it! Update location kau!” Balas Suara di hujung talian.

Isha menamatkan panggilan lalu menekan butang live location untuk dihantar pada nombor tersebut.

Pandangan kembali difokuskan ke depan. Matanya sudah basah sejak tadi. Hatinya tak berhenti-henti berzikir dan merintih merayu kepada Tuhannya agar melindungi kedua-dua nyawanya. Sungguh tidak tersangka perkara begini boleh berlaku. Hanya sesaat dia mengalihkan pandangan dari mereka sebentar tadi. Allah..tolong Allah…

Allah..ya Allah.. Yang Maha Kuasa.. Hanya kepadaMu kami bergantung harap. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung. Engkaulah sebaik-baik Penolong.

Hasbunallah wa ni’mal wakeel wa ni’mal maula mani’man Naseer.




No comments:

Post a Comment