Bab
2
“KE….NAPA…. weh…?” Soal Amri di sebelah, tergagap-gagap.
“Aku… aku tak tahu.
Kereta tak nak gerak.” Jawab Shuk yang masih berhempas-pulas menekan rapat
pedal minyak dengan harapan kereta akan memecut laju ke depan.
“Kau….”
“Bammm!!”
Belum sempat Harris
menghabiskan kata-katanya, mereka dikejutkan dengan bunyi benda berat jatuh ke
atas bumbung kereta. Berpelukan Syu, Hawa dan Wan di tempat duduk belakang
dibuatnya.
“Gedegukk! Gedegukk! Gukkkk….!!!”
Sejurus itu
kedengaran pula bunyi ‘benda’ tersebut bergolek-golek di atas bumbung kereta
dengan laju. Shuk dan Amri di tempat duduk hadapan sudah memejamkan mata
serapat-rapatnya, enggan melihat ‘benda’ yang bakal bergolek jatuh ke cermin
hadapan kereta.
Hujung lengan baju
Harris sudah renyuk digenggam kuat tangan Lana yang menggigil. Mahu sahaja
rasanya Lana melompat ke tempat duduk belakang untuk ikut sama menyempit dan
berpelukan dengan rakan-rakan perempuannya.
Harris yang paling
tenang di antara mereka juga sudah tegak duduknya. Meletup-letup jantungnya di
dalam, menantikan entah gerangan makhluk apa yang bakal muncul di depan cermin
kereta.
“Gukk!!”
“Allahu Akbar!!”
Keras suara Harris melaungkan takbir, sebaik
kelihatan susuk berbalut kemas dengan kain putih dari hujung kaki hingga hujung
kepala, dengan ikatan berbentuk bunjut di atasnya. Mereka yang lain ikut menjerit ketakutan
walaupun masing-masing memejamkan mata dan langsung tidak tahu apa yang Harris
nampak.
Belum sempat pekik laung masing-masing
mereda, kereta mereka pula tiba-tiba bergerak laju secara berundur ke belakang.
Bertambah gamat suasana di dalam kereta, memecahkan kesunyian malam itu.
Terpekik terlolong tujuh sekawan itu seolah-olah sedang berada di dalam
permainan roller coaster. Kereta
terus-menerus bergerak sendiri ke belakang pada kadar kelajuan 120km/jam!
Wan dan Hawa sudah menekup mulut masing-masing
rapat, menahan isi perut yang bergelodak mual dari termuntah keluar. Pening dan
loya dengan pergerakan laju kereta ke arah belakang.
Hampir seminit juga kereta meluncur laju ke
belakang begitu, cukup untuk membuatkan anak tekak masing-masing hampir
terkeluar dek kerana kuatnya pekikan mereka yang benar-benar ketakutan.
Shuk dan Amri sendiri pun tak ketinggalan
mengeluarkan suara nyaring sambil berpegang kuat pada tempat pemegang kereta di
bahagian atas. Hilang terbang entah ke mana ‘kemachoan’ masing-masing.
Kereta yang akhirnya berhenti secara mengejut
membuatkan mereka terhentak di tempat duduk masing-masing. Belum sempat
rakan-rakan itu menarik nafas lega, kereta tiba-tiba berpusing dengan laju!
“Argggghhhhhh......!!!!!”
Suara teriakan kembali bergema di ruang
udara. Kereta yang berputar laju pada satu kedudukan lebih menakutkan dari
kereta yang mengundur laju ke belakang. Tak kurang juga lebih memualkan untuk
kepala yang pening berpusing.
Mulut masing-masing sibuk menjerit manakala
hati tidak putus memanggil-manggil Tuhan, mengharapkan bantuan dan
perlindunganNya.
Tayar berdecit kuat, sehingga menghasilkan
percikan api, sebelum kereta yang berpusing sendiri dengan laju itu mendadak bergerak
dari kedudukan asal.
“Bammmm!!!”
“Allahu Akbarrr...!!”
Hentaman kuat berlaku hasil pertembungan
bahagian belakang kereta dengan sebatang pokok yang besar. Toyota Estima
tersebut serta-merta terbalik ke tepi. Terkulai mereka di tempat duduk
masing-masing, dengan tali pinggang keselamatan masih terpaut kemas di tubuh.
“Aduh.... ya Allah....” Lana mengerang
kesakitan.
Terpisat-pisat dia di tanah. Entah bagaimana
dia boleh tercampak keluar melalui cermin kereta yang pecah berderai.
“Korang....”
Rintihnya perlahan, cuba memanggil rakan-rakan lain yang masih tidak sedarkan
diri di dalam kereta.
Lana meliarkan pandangan ke sekitar. Amri
juga kelihatan sedang tertiarap di tanah, tidak jauh darinya. Mungkin tercampak
keluar dari tingkap hadapan kereta.
“Am....” Perlahan suara yang terlepas keluar
dari tekaknya perit.
Lana cuba menggerakkan tubuh untuk
menghampiri Amri.
“Ahh! Hssttt.....”
Pergerakannya membuatkan rasa nyeri menikam bahagian kaki kirinya, ngilu.
Pandangannya dialihkan ke arah kakinya
sendiri. Tidak kelihatan apa-apa luka atau pendarahan. Kemudian diraba pula
kepalanya yang terasa mendenyut sakit. Basah.
Lana cuba memfokuskan pandangan ke tapak
tangan kanannya yang terasa basah. Samar-samar kelihatan darah merah pekat
mengotori tangannya. Buat kesekian kalinya gadis malang itu mengaduh sakit.
Tadi tak sakit sangat. Lepas nampak darah,
menjadi-jadi pula sakitnya.
Suara orang bercakap-cakap membuatkan Lana
spontan mengalihkan pandangannya kembali ke arah Amri. Lelaki itu masih
terbaring meniarap di situ, tak bergerak-gerak. Belasan cahaya kecil yang
bergerak-gerak bersimpang siur berdekatan dengan tubuh Amri menarik perhatian
Lana.
“Tolong.....” Lana bersuara lemah, cuba
meminta pertolongan.
Lana nampak satu kumpulan lelaki dewasa
berjubah putih sedang berjalan menuju ke arah mereka bersama suluhan cahaya
dari tangan masing-masing, sebelum pandangannya menjadi berbalam-balam. Suara
bercakap-cakap tadi juga menjadi semakin sayup di pendengarannya. Bahagian
kanan kepalanya terasa kuat mencengkam sakit. Lana memejamkan matanya rapat,
cuba melawan rasa sakit tersebut. Semuanya menjadi gelap.
Kelam.

No comments:
Post a Comment