Saturday, April 20, 2024

ARA ARI dARAhmu kucARI (Bab 2)

 

ARA ARI dARAhmu kucARI

Bab 2

WEH…dah nak sampai! Dah nak sampai!” Hanim yang berada di tempat duduk belakang Maira menggoyang-goyangkan lengannya.

“Akhirnya sampai jugak kita ke Korea..Oppa…! I’m coming….!” Ujar Hanim separuh menjerit. Terlalu teruja.

Hani yang duduk di sebelahnya juga dari tadi melekap mukanya ke tingkap, kalau boleh dibuka mungkin dia sudah terjun  dulu!

Rania masih malas-malas membuka mata dan menggeliat. Dia sudah pun beberapa kali melancong ke situ dengan keluarganya, jadi keterujaan itu sudah berkurangan. Sengaja dia mahu menyibuk juga menyertai teman karibnya alias sepupunya itu melancong ke situ.

Maira terkejut bangun digoyang-goyang begitu. Jatuh tasbih digital dalam genggamannya ke lantai. Pantas dia menarik turun jaket yang menyelubungi kepalanya dan kelam kabut mencari tasbihnya.

Penumpang yang berada di seberang laluan antara tempat duduk tunduk memungut tasbih tersebut. Direnungnya seketika sebelum menyerahkannya kembali kepada Maira yang sudah siap

menadah tangan. Seketika direnung pula tapak tangan gadis itu, sebelum meletakkan tasbih tersebut. Maira perasan penumpang itu merenung wajahnya, dengan riak muka ingin berkata sesuatu.

Err…terima kasih…” Ujar Maira ringkas, lalu mengalihkan

wajahnya dengan pantas.

Tudungnya sudah senget-benget berkelubung jaket tadi. Mata pula berselepet baru bangun tidur. Silap-silap kesan air liur basi pun ada di pipinya. Aduhai…

Maira menyimpan tasbih tersebut ke dalam kocek seluarnya dengan cermat. Kemudian dikeluarkan sehelai tisu basah dari begnya lalu dibersihkan wajahnya serba sedikit. Dikemaskan ikatan rambut di dalam tudungnya sebelum dibetulkan semula tudungnya yang sudah berserabai.

“Ladies and gentleman, welcome to Incheon International Airport. Local time is 7.15 PM, and the temperature is 12 celcius degree. For your safety and comfort, please remain seated with your seatbelt fastened until the Captain turns off the Fasten Seat Belt sign.” Kedengaran juruterbang membuat pengumuman pendaratan.

Pengumuman selanjutnya sudah tidak menarik pendengaran  gadis-gadis tersebut. Gembira betul mereka, tidak sabar lagi nak menjejakkan kaki ke Bumi Korea.



SEMUA penumpang sibuk mengeluarkan beg masing-masing dari ruang penyimpanan bagasi di bahagian atas tempat duduk. Maira turut sama terjinjat untuk menarik keluar beg galasnya dan Rania.

Sedang tangannya menguis-nguis beg tersebut, tiba-tiba ia ditarik keluar oleh satu susuk yang berdiri di belakangnya. Pemuda itu yang mengutip tasbihnya sebentar tadi. Dia menyerahkan beg yang dipegangnya kepada Maira sambil mengukir senyum.

Maira yang baru nak mengucapkan terima kasih tiba-tiba seolah terpukau dengan senyumannya. Direnungnya wajah pemuda itu tak berkelip. Beg yang dihulur juga masih belum bersambut.

Err..terima kasih encik.. maaf..kawan saya ni memang tak boleh tengok orang handsome. Automatik dia jadi patung.” Ujar Hanim menyambut beg di tangan pemuda tersebut sebelum menyiku Maira.

Maira tersentak seperti orang yang baru sedar dari mengelamun. Kemudian kelam kabut dia mengambil beg lalu beredar untuk keluar. Terima kasih pun tidak pada pemuda itu.

Di lapangan terbang sahaja pun gadis-gadis itu sudah sibuk bergambar sakan. Bermacam-macam gaya gambar diambil.

“Hani kau jangan jauh dari kitorang. Nanti aku tak boleh nak up status.” Pesan Rania yang memang pantas memuat naik gambar-gambar mereka ke akaun media sosial miliknya.

Hani yang ditugaskan memegang pocket wifi yang mereka sewa bersama-sama hanya tersengih nakal. Kuasa internet di tangannya ketika itu.

Mereka disambut oleh pemandu pelancong yang merupakan pelajar Malaysia yang belajar di Bandar Seoul itu. Sememangnya pakej pelancongan mereka menggunakan khidmat sekumpulan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di situ. Bayarannya lebih menjimatkan dan pelajar-pelajar itu juga dapat menambahkan duit poket. Komunikasi juga tidak menjadi satu masalah dan lebih mesra begini.

Pemandu pelancong mereka mengagihkan kad T-Money kepada semua ahli kumpulan untuk digunakan ketika menaiki pengangkutan awam di situ nanti. Mengikut rancangan, malam itu mereka akan dibawa ke Namsan Tower terlebih dahulu, sebelum ke tempat penginapan.

Teruja betul gadis-gadis itu dapat melihat Namsan Tower di depan mata mereka sendiri. Tak habis-habis disebut-sebutkan kisah cinta ‘Yoo Rin dan Gong Chan’ dalam siri drama popular Korea, ‘My Girl’ yang disiarkan pada tahun 2005 itu.

“Ingat tak weh.. Yoo Rin cakap kat Gong Chan, kalau nak hajat termakbul kena tahan nafas dalam lif.” Ujar Hanim teruja.

Ha’ah.. kau jangan nak buat pulak, merepek. Nak makbul hajat minta kat Tuhan je.” Tempelak adiknya, Hani.

“Tak..aku nak cakap..entah-entah, lif ni la yang diorang naik tu!” Balasnya dengan mata yang bersinar-sinar.

Yelah.. kau kalau bab berangan memang nombor hana.” Sampuk Maira.

Padahal dalam diam dia sendiri ikut teruja. Mahu tidaknya, entah sudah berapa ratus kali dikhatamnya drama itu. Suka sangat! Dalam banyak-banyak cerita Korea yang pernah ditontonnya, drama itulah antara yang paling dia suka. Kelakar!

Sedih pun iya. Dah tengok berkali-kali pun dia tetap menangis juga. Yang paling menyentuh hatinya ialah bahagian di mana watak perempuan utama, Yoo Rin, menangis di lapangan terbang sambil dipujuk ayahnya yang ikut menangis sama.

Mula-mula tanpa suara, kemudian dia menangis bersungguh- sungguh macam anak kecil. Meraung melepaskan sakit di dadanya. Sampaikan Maira sendiri pun dapat merasakan kesakitan yang watak tersebut rasa. Sakitnya berpisah dan melepaskan.

 

GEMBIRA betul gadis-gadis itu dapat bergambar di situ. Ada juga tempat pasangan kekasih menguncikan mangga pelbagai bentuk, sebagai tanda ikatan cinta. Mangganya comel-comel. Ada

juga ditulis nama pasangan dan kata-kata cinta di mangga- mangga tersebut.

“Son Oh Gonggg..!” Tiba-tiba Hani bersuara separuh memekik.

Oi! Kau ingat kau jerit macam tu lepas tu tiba-tiba Lee Seung Gi nak muncullah kat sini?” Tempelak Maira sambil ketawa.

Mereka yang lain turut tertawa dengan gelagat si Hani. Berangan tak habis-habis. Sempat pula dia meniru adegan dalam drama ‘A Korean Odyssey’ yang menggabungkan pelakon terkenal Lee Seung Gi dan Oh Yeon So itu. Banyak sangat tengok cerita Korea budak-budak ni!

Setelah puas bersiar-siar di situ, mereka dibawa menjamu selera di sebuah restoran makanan halal berdekatan. Seterusnya, mereka menaiki Subway ke tempat penginapan mereka. Puas juga mereka berjalan kaki dari stesen ke hotel. Boleh tahan jauhnya.

Wanita dalam pertengahan usia 50-an tadi yang turut menjadi ahli kumpulan mereka mengalami sedikit kesulitan berjalan dalam jarak yang agak jauh. Beberapa kali juga mereka terpaksa berhenti menunggunya.

Anak kecil pasangan muda itu pula sudah dikendong secara bergilir-gilir oleh ahli kumpulan yang lain yang simpati dengan pasangan tersebut. Mungkin mereka terlepas pandang bahawa

pakej yang disediakan ini kurang sesuai untuk golongan kanak- kanak dan warga emas.

Ada juga beberapa orang lelaki yang mula membantu ahli kumpulan perempuan yang terkial-kial mengheret beg. Beberapa pasangan perempuan pun sudah beriringan menjijit sebuah beg bersama. Tetapi seronok pula Maira lihat ahli kumpulan yang lain saling membantu begitu. Terasa mesranya.

Tidak dapat dinafikan, orang Malaysia memang masyarakat yang peramah dan penuh dengan budi bahasa dan adat sopan. Diam-diam Maira berasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

Hani pun sudah mengadu sakit tapak kaki. Maira sendiri pun sudah beberapa kali meletakkan beg yang digalasnya ke bawah, sewaktu mereka berhenti menunggu keluarga tadi. Dipicit-picit bahu yang sudah mula terasa sengal. Walaupun beg itu tidaklah seberat mana, tetapi itu adalah kali pertama dia menyertai pakej pelancongan ala backpackers. Masih belum biasa.

“Nak sangat travel backpackers kan…haa..rasakan!” Sindir Rania. Dia sendiri sudah rasa macam nak baring saja di situ. Letih.

Hanim pula sibuk merakam dan mengambil gambar rakan- rakannya yang sudah keletihan. Boleh dibuat bahan ketawa bila balik nanti.

Melihatkan ahli kumpulan yang lain sudah mula bergerak menyambung perjalanan, Maira pun menggapai semula begnya yang diletakkan di bawah. Tiba-tiba beg tersebut diangkat terlebih dahulu oleh seorang lelaki.

Takpe, saya tolong.” Ujarnya tersenyum, sambil berjalan menggalas beg Maira.

Aikk…beg kitorang tak nak tolong sekali ke??” Laung Hanim. Cemburu.

“Tak aci betul la. Lain semua single lagi kat sini. Maira juga yang dia tolong.” Sampuk Rania, membebel.

“Entah…takpe-takpe, nanti aku bawa balik pakwe Korea

satu.” Sahut Hani memasang azam.

Weh…mamat tu memang dari tadi lah asyik usha Maira. Dalam flight tadi lagi aku perasan. Masa dia ambilkan beg dalam compartment.” Lapor Hanim.

Uuuu….untunglah kau Maira…” Usik Hani.

“Hah! Aku report kat Hadif.” Ugut Rania pula.

Maira terkedu sekejap diserang bertalu-talu begitu. Sudahnya   dia menyapu-nyapu kedua-dua bahunya dengan gaya sombong, sebelum menjelir lidah dan melajukan langkah meninggalkan kawan-kawannya.

Weyy! Tolong angkat beg aku ni…!” Jerit Rania.



AKHIRNYA kumpulan itu sampai juga ke hotel yang menjadi tempat penginapan mereka. Sempat juga mereka singgah membeli minuman sejuk di kedai serbaneka CU yang terletak hanya di sebelah hotel.

Maira mengambil kesempatan untuk mencuba minuman popular susu perasa pisang yang kerap dilihat dalam drama Korea. Ada juga perasa lain seperti strawberry, melon, dan lychee & peach yang dicuba oleh rakan-rakannya. Tetapi Maira paling suka perasa pisang. Memang sedap betul!

Maira membayar beberapa botol susu tersebut dan beberapa bar coklat Sneakers. Boleh dibuat bekal waktu lapar masa berjalan nanti. Kemudian dia keluar menunggu rakan-rakannya di luar. Penuh kedai tersebut dengan ahli kumpulan mereka.

Maira menghampiri lelaki tadi, berniat mahu memberikan sebotol susu perasa pisang itu sebagai tanda terima kasih. Mereka sedang duduk-duduk di bahu jalan, mungkin turut menunggu kawan-kawan yang lain membeli minuman.

“Mus! Tu awek cun datang cari kau.” Siku rakan lelaki itu memaklumkan kehadiran Maira.

Err…terima kasih, tolong bawa beg saya.” Ujar Maira

tergagap-gagap. Laju jantungnya berdegup.

“Saya terima kasih awak..” Jawab lelaki itu sambil tersenyum manis.

Maira terpempan. Entah kenapa, entah ada apa dengan  senyuman lelaki tersebut, sampaikan mudah sahaja dia nak bertukar jadi patung, tercegat kaku kat situ. Deringan telefon dalam kocek Maira mengejutkannya dari lamunan. Terus dia beredar untuk menjawab panggilan.

Baby… dah check in hotel ke?” Kedengaran suara Hadif menyapa mesra di hujung talian.

Err.. belum lagi, dah sampai dah. Tengah tunggu diorang beli

minuman. Sekejap lagi dapatlah bilik.” Jawab Maira.

Ok lega I, you dah selamat sampai. I miss you.” Ujar Hadif. Err.. nanti dah check in saya mesej ea.” Balas Maira.


Ok baby..bye..” Sahut tunangnya.

 

Bye     Assalammualaikum..”     Ujar     Maira     sebelum menamatkan panggilan.

 

PEMANDU pelancong mereka sudah siap menunggu di depan  kaunter hotel. Setelah semua ahli kumpulan berkumpul, dia mengedarkan kunci bilik. Kemudian dia memberikan taklimat ringkas mengenai aktiviti mereka esok. Mereka diminta berkumpul di depan hotel pada pukul 7 pagi esok.

Masuk sahaja dalam bilik, masing-masing terus menghempaskan tubuh ke katil, melepaskan lelah.

Weh tepuk-tepuk katil tu dulu, selawat…kibas-kibas… korang ni..main landing je..” Leter Maira.

Hani bangun menuruti katanya. Hanim pula menepuk-nepuk katil dalam keadaan berbaring. Tak boleh nak bangun dah. Manakala Rania langsung buat tak dengar. Sudah rasa nak pengsan dek penatnya berjalan tadi.

“Pemanas ni pasang macam mana weh?” Soal Maira. Terkebil- kebil memegang alat kawalan jauh yang dengan butang-butang yang bertanda tulisan Korea.

“Tengok.” Pinta Hanim.

Uikss annyeonghaseyo… saranghaeyo..” Ujarnya pura-pura membaca dalam bahasa Korea. Sedikit pun dia tidak faham apa yang tertulis di butang alat kawalan jauh tersebut.

Hani sudah tergelak besar. Dirabutnya alat kawalan jauh tersebut dari tangan kakaknya. Dia cuba menekan-nekan butang- butang tersebut satu persatu secara rambang.

“Weh..ini makin sejuk…bukan panas.” Ujar Maira sudah mula

menggigil.

Suhu waktu malam di situ boleh tahan juga sejuknya. Walaupun mereka dalam musim luruh. Tetapi masih lagi sejuk untuk orang Malaysia seperti mereka. Tambah-tambah lagi bila anginnya bertiup. Boleh tegak bulu roma dibuatnya. Sejuk!

“Weh…tak tahu yang mana nak bagi panas. Ke rosak? Tutup je lah.” Ujar Hani, sudah mengalah untuk terus mencuba. Semua butang yang ditekan seakan-akan membuatkan suhu dalam bilik bertambah sejuk.

“Cuba kau tolong tengok kejap Rania, kau tau tak?” Ujar Hanim sambil berpaling ke arah Rania.

 

Gadis itu sudah pun terlelap sambil berdengkur halus. Hanim tepuk dahi. Mereka yang lain hanya ketawa sambil menggeleng kepala. Tidak sampai beberapa minit meletakkan kepala, Rania sudah hanyut di alam mimpi. Letih betul dia.

“Aku mandi dulu!” Ujar Hani sudah membuat tempahan awal bilik air.

“Kalau macam tu, aku dengan Maira pergi iron baju dulu lah. Kau nak pakai baju mana esok? Sini aku iron kan. Esok kau iron baju aku pulak eh.” Tawar Hanim.

I lebiuu kakak..!” Jerit Hani. Seronok ada orang tolong gosokkan baju.

 

MAIRA dan Hanim keluar ke ruang menggosok baju yang disediakan di tepi koridor. Ruang terbuka itu mempamerkan pemandangan malam Bandar Seoul yang masih hidup, dengan hembusan angin lembut yang sejuk. Hanim sudah menggigil-gigil walaupun jaket hoodie yang dipakainya sudah di zipkan hingga ke   atas.

“Weh…aku nak terkucil la pulak. Kau iron lah dulu. Aku pergi tandas kejap ye. Nanti aku datang balik.” Ujar Hanim, sudah mula nak berjoget zapin di situ.

“Kau ni kan…cepat sikit tau!” Pesan Maira. Risau juga dia  seorang diri di situ.

Sedang dia asyik menggosok baju, tiba-tiba terdengar bunyi suara kanak-kanak ketawa sambil berlari. Pada mulanya kedengaran sayup-sayup, tapi semakin lama semakin hampir. Seolah-olah kanak-kanak tu berlari ke arah tempat menggosok baju tersebut. Tangan Maira sudah terhenti dari menggosok baju. Berdebar-debar.

Dalam keadaan berdiri kaku itu, tiba-tiba kelihatan kelibat seorang kanak-kanak berlari berhampirannya. Sekali pandang kanak-kanak itu kelihatan mirip betul dengan anak pasangan dari kumpulannya, yang mereka panggil Aqif. Serta merta Maira berpaling untuk melihat dengan lebih jelas. Kanak-kanak itu pula berlari pantas dan terus memanjat tembok koridor.

“Aqif!!” Jerit Maira yang sudah tergopoh-gapah mahu mendapatkan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak lelaki itu berpaling memandangnya sejenak sebelum melompat turun ke bawah!

“Allahu Akbar!! Aqif!!” Jerit Maira sambil berlari menjenguk ke bawah.

Terasa jantungnya sudah berhenti berdenyut menyaksikan kejadian itu. Tercungap-cungap dia melihat ke bawah. Tetapi tidak kelihatan apa-apa. Budak lelaki itu tiada di situ, tidak terjatuh. Di bawah sana masih ada seorang dua ahli kumpulan mereka. Seorang sedang menghisap rokok dan seorang lagi kelihatan seperti sedang bercakap telefon. Jika kanak-kanak tersebut terjatuh, pasti mereka sudah kecoh.

Maira terpinga-pinga sendiri. Tiba-tiba kedengaran lagi suara kanak-kanak ketawa dari arah belakangnya. Spontan Maira berpusing. Dilihatnya Aqif sedang bediri di situ. Wajahnya ditundukkan sedikit, tetapi matanya mengerling ke atas sedang memandang tepat ke arah Maira. Bibirnya pula mengukirkan senyum, dan entah bagaimana,menghasilkan suara ketawa. Terhenti nafas Maira dibuatnya. Pucat wajahnya tidak berwarna.

“Allah….Allah…” Hanya itu yang meniti di bibirnya.

Serentak itu juga, kanak-kanak itu berlari laju dan melompat menerkam Maira.

“Arghh!” Maira menjerit kuat.

Separuh tubuhnya sudah melayah di tebing koridor. Mujur juga tembok tersebut agak tinggi melepasi pinggangnya. Kalau lebih rendah, pasti dia sudah terhumban jatuh ke bawah dari tingkat 4 hotel tersebut.

Dalam keadaan cuba mengimbangkan semula badannya yang sudah separuh hampir terjatuh itu, Maira merasakan tangannya ditarik semula ke depan dengan kuat. Kakinya yang tadi sudah terangkat sedikit, kembali melekap berpijak di lantai. Tarikan yang agak kuat itu menyebabkan tubuh Maira hilang kawalan dan dia berlanggar dan berpaut pada susuk yang menariknya tadi.

“Awak ok?! Awak ok tak ni?! Ya Allah…” Soal lelaki itu cemas. Tangan Maira masih digenggam erat.

“Maira! Maira! Ya Allah…kau ok tak?!” Hanim pula meluru mendapatkannya.

Pantas Hanim memeluk Maira. Berderau darahnya apabila nampak di depan mata bagaimana Maira hampir terjatuh dari jauh tadi. Mujur lelaki itu sedang lalu berdekatan situ dan menarik tangan sahabatnya itu.

Maira pula sudah terjelepuk ke bawah dalam pelukan Hanim. Kakinya terlalu lemah untuk menampung berat badannya ketika itu. Mus pula sudah melepaskan pegangannya sebaik saja Hanim meraih Maira dalam pelukannya tadi. Turun naik dada Maira cuba mengawal nafas sambil cuba ditenangkan oleh Hanim.

Mus beredar untuk mendapatkan air minuman untuk gadis tersebut. Seketika kemudian dia kembali mendapatkan kedua gadis itu dengan sebotol air mineral di tangannya. Dia melutut disamping mereka, lalu membuka penutup botol dengan berhati- hati.

A’uzubillahiminassyaitonirojim…Bismillahirrahmanirrahim….” Mus mula membacakan surah al Fatihah dan 3 Qul, lalu ditiup perlahan ke arah mulut botol tersebut sebelum diserahkan kepada Hanim.

“Awak sapu muka dia sikit, lepas tu awak suruh dia minum.” Pintanya kepada Hanim.

Hanim hanya menurut arahannya tanpa banyak soal. Beberapa ketika setelah meneguk air tersebut barulah Maira dapat bernafas dengan baik. Hanim memimpinnya untuk duduk di kerusi yang disediakan di situ.

“Aqif…tadi   saya   nampak   Aqif…”   Ujar   Maira   sambil memandang ke arah Mus.

 

“Tadi aku nampak Aqif, dia panjat tembok tu..” Ujarnya lagi, beralih memandang sahabatnya pula. 

“Kejap saya tanya abang Asif dulu.” Balas Mus sambil menaip mesej di telefonnya.

Risau juga kalau anak abang Asif itu berlari keluar dari bilik tanpa disedari ibu bapanya. Hendak ditelefon, bimbang mengganggu pula sekiranya anak lelaki itu sudah tidur. Seketika kemudian dia mendapat balasan mesej dari abang Asif.

“Abang Asif cakap Aqif tengah tidur kat bilik…” Ujarnya pada Maira dan Hanim. Kedua gadis itu saling berpandangan.

“Tapi…” Kata-kata Maira terhenti. Tidak tahu bagaimana hendak meyakinkan Hanim dan Mus tentang apa yang dilihatnya sebentar tadi.

“Saya percayakan awak. Saya tahu apa yang awak nampak tadi.” Pantas Mus bersuara, bimbang gadis itu merasa tidak dipercayai.

“Tapi saya yakin itu cuma tipu daya syaitan…” Sambungnya lagi. Kedua gadis itu terdiam.

            “Tak apa lah..yang penting semuanya selamat sekarang. Aqif selamat di biliknya. Awak pun selamat sekarang. Alhamdulillah tak ada apa-apa perkara yang buruk berlaku.” Sambung Mus, cuba menenangkan kedua-dua gadis itu yang masih terkejut.

“Nasib baik jugak awak pendek.” Ujarnya lagi.

Maira dan Hanim mengambil masa beberapa saat untuk    menghadam apa yang dikatakan lelaki itu, sebelum keduanya tertawa kecil.

“Awak iron lah baju…saya tunggu awak berdua kat sini.” Ujarnya pada Hanim.


Hanim   menganggukkan   kepala   kemudian   cepat-cepat   menggosok baju mereka serba sedikit. Cincai je lah!

Mus mengambil tempat di sebelah Maira.

“Lain kali awak nak gosok baju suruh je saya. Upah saya tak mahal, susu perasa pisang sebotol je.” Selorohnya.

Tersenyum juga Maira dibuatnya.

“Terima kasih…” Maira terhenti seketika, teragak-agak mahu  menyebut namanya.

“Mus… saya Musyrif. Nama comel orang panggil Mus je.” Pantas Mus menyambung ayat Maira.

Maira tersenyum lagi.

“Terima kasih Mus…” Ujarnya perlahan.

Sudah beberapa kali lelaki itu menolongnya hari ini.

“Saya Maira..yang ni Hanim” Ujar Maira pula mengenalkan diri.

“Maira…nama penuh awak Humaira?” Sengaja dia meneka. Maira mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Aimy Humaira..” Jawab Maira.

Mus memandangnya tak berkelip. Matanya menceritakan seribu satu kisah yang tidak difahami Maira. Kemudian perlahan- lahan dia mengukirkan senyuman manis untuk gadis itu.

Sekali lagi Maira merenung senyumannya. Senyuman itu bagaikan sering dilihatnya sebelum ini. Bagaikan milik seseorang yang dia pernah kenal. Itulah yang menyebabkan dia terpana dan kaku seperti patung setiap kali lelaki itu tersenyum manis padanya. Dia cuba mencari cebisan kenangan yang terselit jauh dalam kotak memorinya.

“Ha..! Aku dah siap ni. Esok je lah korang sambung bercinta.” Sergah Hanim, membuatkan mereka berdua tersentak dan tersipu-sipu sekejap.

Err..ha..ok..awak berdua masuklah berehat.. nak tidur nanti jangan lupa baca ayat Qursi dengan 3 Qul.” Pesan Mus.

“Terima kasih ye tolong kawan saya tadi..” Ujar Hanim.

Mus tersenyum sambil mengangguk-angguk.

“Selamat malam…” Ucapnya lembut.

Maira hanya tersenyum sambil melangkah mengikut Hanim yang sudah menarik tangannya.




No comments:

Post a Comment