Saturday, April 20, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 3)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

 

Bab 3

SUBUH itu, Maira yang pertama bangun untuk mandi. Sengaja dia hendak mengelak dari berebut dengan rakan-rakannya. Lebih-lebih si Rania, mahu berjanggut orang lain menunggunya siap mandi nanti. Mata Maira masih separuh tertutup ketika melangkah masuk ke bilik air. Mengantuk lagi. Doa masuk tandas pun tidak dibacanya terlebih dahulu. 

Setelah menggantungkan tuala di dinding, Maira bermalas-malas di depan sinki. Lambat-lambat dia meletakkan ubat gigi sebelum mula memberus. Digosoknya gigi perlahan-lahan sambil menggenyeh mata. Tiba-tiba tangannya terhenti menggosok. Matanya dibesarkan. Diamati refleksinya di cermin sinki.

Maira lihat dirinya sendiri yang di dalam cermin itu sedang mencungkil keluar giginya satu persatu dengan sebilah pisau kecil yang tajam! Berdenting-denting bunyi gigi tersebut jatuh berturut-turutan ke dalam sinki. Darah merah sudah membasahi wajahnya. Tetapi ‘Maira’ di dalam cermin itu masih belum berhenti mencungkil. Mulut dan pipinya juga sudah sobek-sobek ditujah dengan pisau.

Berus gigi di tangan Maira sudah terlepas jatuh ke lantai. Dia berundur setapak demi setapak ke belakang. Sehingga langkahnya terhenti kerana belakang tubuhnya sudah rapat ke dinding. Jantung Maira mengepam dengan begitu laju sekali sehingga kepalanya mula rasa pening. Peluh sudah membasahi tubuhnya. Nafasnya sudah mula tersekat-sekat.

Di saat itu jugalah ‘Maira’ di dalam cermin itu berhenti mencungkil giginya. Direnungnya Maira dengan renungan yang tajam penuh dendam. Sejurus selepas itu dia mengangkat tangannya tinggi lalu dibenamkan pisau di tangannya ke cermin.

“Krakkk!” Cermin tersebut retak di tempat pisau terbenam.

Tidak cukup dengan itu, makhluk tersebut menarik dan mengoyak-ngoyakkan pula wajahnya yang sudah sobek-sobek tadi, sehingga tertanggal kulitnya sekeping-sekeping. Mendedahkan isi daging wajahnya yang berdenyut-denyut dan berurat. Darah merah yang busuk sudah berpercikan merata-merata di dalam cermin tersebut.

Kemudian dia menolak wajahnya keluar dari cermin! Dipaksakan kepala dan tubuhnya keluar melalui cermin yang sudah pecah dengan kaca-kaca tajam menusuk dan menghiris kepala dan tubuhnya. Maira sudah mula hilang semangat. Hendak menjerit minta tolong pun dia sudah tidak mampu.

Makhluk yang sudah keluar sepenuhnya dari cermin itu tiba-tiba meluru ke arahnya pantas lalu mencekik lehernya dengan sebelah tangan. Maira meronta-ronta cuba melepaskan diri tetapi cengkamannya semakin kuat, sehingga tubuh Maira terangkat ke atas, bersandarkan dinding. Kakinya sudah terkuis-kuis tidak mencapai lantai. Maira semakin lemas… dapat dirasakan nyawanya seolah-olah sedang tersedut keluar perlahan-lahan dari tubuhnya.

“Tok! Tok! Tok!” Tiba-tiba pintu bilik air diketuk dari luar.

Serta merta makhluk tersebut melepaskan batang leher Maira dan hilang lesap dari pandangan. Maira sudah jatuh terduduk di lantai sambil memegang lehernya sendiri. terbatuk-batuk dia cuba menyedut udara. Lehernya terasa pedih berapi.

“Maira…! Kau dah start mandi ke? Kalau belum bagi aku masuk dulu sekejap boleh tak? Aku dah tak tahan nak ke tandas ni..!” Kedengaran suara Hani memanggilnya dari luar.

Maira cuba bangun perlahan-lahan sambil berpaut pada dinding. Keadaan dalam bilik air itu bersih seperti asal. Tiada langsung kesan darah atau kaca pecah. Pernafasan Maira sudah kembali stabil walaupun dia masih sedang cuba menenangkan diri.

“Maira…! Tak tahan nii…!” Hani masih merayu dari luar.

Pantas Maira membuka pintu bilik air. Kelam kabut Hani masuk ke dalam.

Kejap tau! Kejap je…!” Ujarnya sambil menutup pintu.

Maira melangkah ke arah katilnya dengan kaki yang masih menggigil. Perlahan-lahan dia mencapai botol air pemberian Mus di meja kecil tepi katil lalu diteguknya perlahan-lahan setelah membaca al Fatihah dan selawat beberapa kali. Diniatkan ketenangan dan dimohon perlindungan dari Allah di dalam hatinya. Alhamdulillah…dengan izin Allah dia beransur-ansur pulih dari rasa takut dan terkejut tadi.

“Dah Maira…pergilah mandi..” Tegur Hani yang baru keluar dari bilik air.

Errtakpelah..kau mandilah dulu. Aku lepas kau, nanti.” Balas Maira, masih memerlukan sedikit masa untuk masuk semula ke dalam bilik air tersebut.

Maira menyeluk beg mencari tasbih digitalnya. Digenggam erat tasbih tersebut sambil bersandar di kepala katil. Dibeleknya seketika tasbih miliknya itu sebelum memicit-micit butangnya sambil mula berzikir. Matanya dipejamkan sekejap, merehatkan kepala sambil menunggu Hani keluar dari bilik air.

 

“ARA! Happy birthday!!” Seorang kanak-kanak lelaki menghulurkan secawan kek kecil berhias comel dengan krim coklat.

“Ambillah..Ari belikan khas untuk Ara. Jangan bagi orang lain tau. Ni untuk Ara seorang je.” Pesannya lagi.

“Sedapnya…terima kasih Ari. Boleh makan sekarang tak?” Soal gadis kecil itu, teruja.

“Eh..mestilah boleh.. tapi…kejap…” Ujar anak lelaki itu sambil menyelup kocek seluarnya.

Haa..ini hadiah birthday Ara.” Ujarnya lagi sambil menghulurkan sebuah kotak kecil.

Ara menyambutnya dengan sengih lebar.

“Ari pegang kek ni kejap, Ara nak buka hadiah.” Pintanya pada Ari.

Lalu dibukanya kotak kecil tersebut dengan tidak sabar. Kemudian dibelek-belek isi di dalamnya penuh rasa ingin tahu.

“Ara sarungkanlah kat jari Ara. Kan jadi macam cincin.” Ujar Ari sambil tersenyum bangga.

“Bila dah besar nanti, Ari belikan emas yang mahal dan caaaantik untuk Ara.” Katanya lagi memasang azam.

Ara masih membelek sambil menekan-nekan butang pada hadiah yang diberikan sahabatnya.

“Ini tasbih digital. Boleh guna untuk berzikir, berselawat. Ara jaga baik-baik tau. Bila Ara rasa sedih, rasa takut, atau rasa gembira, Ara zikirlah guna tasbih ni. Bila kita ingat Allah, Allah pun akan selalu ingat kat kita. Hati kita pun rasa tenang.” Petah anak lelaki itu memberi penerangan pada gadis kecil di depannya. Sudah dihafalnya nasihat dari Ustazah Fatimah yang didengarnya berulang kali.

“Bila Ara rindu Ari pun, Ara zikirlah guna tasbih ni. Nanti Ara dapat pahala, Ari pun dapat pahala. Sebab Ara zikir guna tasbih yang Ari belikan.” Katanya lagi, sambil tersengih-sengih.

“Terima kasih Ari. Ara janji akan jaga hadiah ni baik-baik. InshaAllah…” Jawab Ara sambil membalas senyuman rakan karibnya itu.

 

MAIRA…” Panggil Hani perlahan sambil menyentuh pergelangan kaki Maira, cuba membangunkannya dari tidur.

Tangan sejuk Hani yang baru sudah mandi mematikan mimpi pendek Maira. Terpisat-pisat dia bangun menggenyeh mata. Sempat pula dia terlelap sambil menunggu gadis itu keluar dari bilik air.

“Kau dah siap?” Soalnya pada Hani yang sudah mula menyarungkan baju di tubuh.

Hani hanya mengangguk-anggukan kepalanya. Maira melangkah ke bilik air dengan rasa sedikit berdebar.

A’uzubillahiminassyaitonirojim…Bismillahirrahmanirrahim… Allahumma innii a’uudzubika minal khubutsi wal khabaa’itsi. Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari gangguan syaitan lelaki dan perempuan.” Maira menadah tangan dan berdoa.

Dia membaca selawat sebelum mengaminkan doanya dan melangkah masuk ke bilik air perlahan-lahan dengan kaki kiri. Dikerlingnya sebentar sekeliling bilik air itu. Kemudian dia menutup cermin di sinki dengan tuala mandinya. Barulah dia dapat mandi dengan selesa.

 

USAI mengaminkan doanya, Maira bangun melipat telekung. Dilihatnya Hanim sedang membelit selendang di kepalanya. Hani pula sedang duduk-duduk melihat telefon sambil makan roti. Rania masih dalam bilik air.

“Weh…Rania..cepat sikit. Pukul 7 kena berkumpul dah..kau lambat kitorang tinggal!” Sempat dia memekik kepada rakannya itu dari luar bilik air.

“Eh..kenapa dengan leher kau tu Maira?” Tegur Hani sewaktu Maira sedang menyapu bedak di depan cermin.

Maira turut membelek lehernya yang kelihatan berbekas.

“Ada bekas…” Bisik hatinya perlahan, yakin bahawa bekas itu adalah kesan cekikan makhluk di dalam bilik air tadi.

Err..aku alergik kut. Gatal.” Jawabnya pendek.

Mereka turun ke bawah hanya beberapa minit lagi sebelum pukul 7, menunggukan Cik Rania yang bersolek lama. Ahli kumpulan lain kebanyakannya sudah berkumpul di luar hotel. Masih ada beberapa orang yang belum turun.

“Hai Maira! Assalammualaikum…” Tegur Mus yang sudah siap menunggu di situ dengan kawan-kawannya.

Uuuu…cepat Mus dapat awek…” Sakat salah seorang rakannya, disambut dengan ketawa oleh geng lelaki di situ.

“Kita kena cari awek Korea lah macam ni…” Sahut seorang lagi rakan lelakinya.

Kejap-kejap. Siapa kat sini yang single lagi, sila angkat tangan!” Ujar seorang lagi rakannya separuh memekik, sambil mengerling ke arah kumpulan-kumpulan gadis yang ada di situ.

Mereka semua hanya mentertawakannya.

“Awak macam mana hari ni? Ok?” Soalnya lagi pada Maira.

Dia tidak mempedulikan rakan-rakannya yang sakan menyakat. Tetapi telinganya sudah mula memerah. Entah kerana sejuk, atau kerana malu diusik begitu.

“Waalaikumsalam…Alhamdulillah..ok je..” Jawab Maira ringkas sambil turut tersenyum.

Ok..semua dah berkumpul kat sini. Saya dimaklumkan abang Asif, yang ibunya Puan Nora dan anak lelakinya Aqif tidak akan turut serta dalam aktiviti kita hari ini.. Jadi..mengikut jadual, hari ini kita akan melawat Nami Island. Kita akan berada di sana sehingga waktu petang. Pada sebelah malam pula hanya ada aktiviti bebas. Dekat dengan hotel ni ialah Myeondong Street. Anda semua boleh berjalan-jalan di sekitar sini, tetapi saya tak akan temankan andalah. Cuma saya nasihatkan anda semua bergerak dalam kumpulan, dan berhati-hati. Untuk Street Korean Food juga anda perlu berhati-hati, sebab tak semua gerai dengan tanda ‘Halal’ dipamerkan adalah betul-betul halal. Ada sesetengah peniaga sengaja meletakkan tanda halal untuk menarik pembeli. Nanti saya akan kongsikan beberapa gerai makan yang diyakini selamat dan halal. Ok kalau tak ada apa, kita boleh gerak sekarang.” Pemandu pelancong mereka memberikan taklimat ringkas mengenai perjalanan aktiviti mereka pada hari itu.

Perjalanan ke Pulau Nami memerlukan mereka menaiki train, bas, dah seterusnya feri. Cuaca hari itu baik dan cerah, tetapi masih lagi sejuk walaupun matahari bersinar memancar. Terasa seperti memasang penghawa dingin di luar.

Pemandangan di Nami Island benar-benar mengagumkan gadis-gadis itu. Kebetulan pula waktu itu adalah Musim Luruh di Korea. Pokok-pokok di Nami island kelihatan begitu mempersona, dengan rimbunan daunnya yang berwarna jingga, kuning, dan merah. Subhanallah… indah sungguh alam ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Allahu Akbar!

Gadis-gadis itu tak berhenti-henti bergaya mengambil gambar kenangan. Mus dan rakan-rakannya pula sengaja berjalan berdekatan dengan mereka, menunggu peluang untuk diminta bantuan mengambilkan gambar. Sempat sahaja mereka mencuba nasib mengurat perempuan sambil menikmati pelancongan mereka.

Puas mereka berjalan-jalan di sekitar Pulau Nami yang begitu cantik. Ada juga mereka berbasikal mengelilingi pulau. Sempat juga mereka bergambar dengan tugu pelakon dari drama terkenal Korea, ‘Winter Sonata’.

Kumpulan itu juga menikmati makan tengah hari di sebuah restoran halal yang menyajikan masakan Korea di situ. Tempat solat juga ada disediakan. Agak besar dan selesa. Maira dan Hani bersolat jamak terlebih dahulu, sementara Rania dan Hanim menunggu pesanan makanan di tempat duduk. Hanim tidak boleh bersolat, manakala Rania pula seperti biasa, jarang-jarang menunaikan fardhu yang satu itu.

Maira mengambil tempat di sebelah Hanim dan Rania. Mus pula sudah tersenyum-senyum di depannya. Sengaja dia memilih untuk duduk betul-betul berhadapan dengan gadis itu. Makanan yang mereka pesan juga sampai sebaik sahaja kedua gadis itu melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan.

Munir, kawan Mus yang duduk di sebelahnya berhadapan dengan Hanim, menadah tangan dan membacakan doa makan dengan agak kuat, dan diaminkan oleh ahli kumpulan yang lain. Maira mula menyudu hidangan Bulgogi Bibimbap yang dipesan ke mulutnya. Sejenis makan Korea yang merupakan nasi campur. Agak lazat juga rasanya.

“Weh..kau kena gaulkan semua sekali dulu. Baru betul.” Tegur Rania di sebelahnya, yang sudah biasa dengan makanan Korea.

“Awak nak cuba rasa nasi saya? Sedap tau!” Pelawa Mus sambil menyorongkan semangkuk nasi putih berlaukkan sambal sotong.

“Ala..sambal sotong kat Malaysia pun banyak…” Sungut Maira dalam hati.

Namun disudukan juga nasi dalam mangkuk Mus ke mulutnya. Mata Maira membulat. Nasi putih dengan sambal sotong itu benar-benar mengujakan tunas rasa di lidahnya. Lazat amat!

“Emm..!! Ya Allah sedapnya...!” Ujar Maira dengan mata yang bulat bersinar-sinar.

Mus sudah tergelak-gelak dengan reaksi gadis itu. Comel betul!

“Nak tukar dengan saya?” Tawar Mus lembut.

“Ha? Boleh ke?” Soal Maira pula. Memang dia sudah rasa nak angkat je mangkuk nasi Mus dan letak di depannya.

“Untuk awak mestila boleh…” Balas Mus sambil tersenyum manis.

Rakan-rakan yang lain sudah mula berpura-pura terbatuk-batuk dan tersedak-sedak melihat gelagat mereka berdua. Maira tak peduli, terus disorongnya mangkuk bibimpapnya pada Mus lalu ditariknya mangkuk nasi Mus dekat dengannya.  Disudunya nasi sambal sotong itu ke mulut dengan penuh nikmat. Kenapa sedap sangat ni?!

“Ehem! Awak nak tukar dengan saya?” Tanya Munir pada Hanim, meniru dialog yang baru diucapkan oleh Mus sebentar tadi.

Hish! Aku punya order dah sedap! Tak nak!” Hanim pura-pura membentak sambil memeluk mangkuk nasinya dengan lengannya.

Pecah ketawa mereka di meja itu dengan aksi spontannya.

“Alahh…tak romantik la awak ni!” Tempelak Munir kembali sambil tergelak-gelak.

Semua ahli kumpulan berpuas hati dengan lawatan ke Nami Island. Letih masing-masing seharian berjalan dan bergambar. Mujurlah malam nanti hanya ada acara bebas.

Sewaktu menaiki train untuk pulang ke hotel, ramai ahli kumpulan mereka terpaksa berdiri kerana tempat duduk penuh. Setelah penumpang sedia ada turun di stesen masing-masing barulah mereka mendapat tempat untuk duduk. Rania antara yang awal mendapat tempat duduk. Hanim dan Hani pula berkongsi satu tempat duduk di seat paling hujung. Bersempit-sempit mereka bertenggek kerana sudah lenguh berdiri sejak dalam bas tadi.

Maira pula masih berdiri bersama beberapa orang lagi ahli kumpulan lelaki. Boleh dikatakan koc itu dipenuhi dengan ahli kumpulan Asya Travel juga. Hanya ada beberapa orang penumpang awam yang lain.  Maira memerhati sekeliling. Kebanyakan mereka sudah terlelap di kerusi masing-masing. Letih berjalan.

“Maira! Mari duduk sini.” Panggil Mus mengarahkan Maira duduk di kerusi di depan tempat dia berdiri.

Maira menurut arahannya tanpa banyak soal. Memang kakinya pun sudah letih berdiri sejak tadi. Maira menghempaskan punggungnya di kerusi tersebut. Lalu dia menarik beg sandang Mus, dan diletakkan atas ribanya, memandangkan lelaki itu masih lagi berdiri. Kemudian dia terus memejamkan matanya yang memang sudah berat untuk terus terbuka.

Mus hanya tersenyum memandangnya. Dibiarkan sahaja gadis itu meriba beg sandangnya, sebagai tanda terima kasih kerana memberikan tempat duduk tersebut. Ditatapnya wajah indah Maira yang sudah mula melangkah masuk ke alam mimpi itu, sepuas-puasnya.

 

ARA…mulai hari ni Ara akan ikut keluarga baru Ara tinggal di Kuala Lumpur. Rumah mereka besar dan cantik tau! Mesti Ara suka.” Ujar Encik Thalhah, pengurus Rumah Anak Yatim Basyirah, yang sangat dihormati oleh semua penghuni di situ.

“Ara dah siap kemaskan beg, kan?” Soalnya pada gadis kecil itu.

Ara hanya menggangguk perlahan. Wajahnya suram. Bukan dia tidak gembira akhirnya diambil menjadi anak angkat oleh sebuah keluarga seperti rakan-rakan yang lain. Malah, dialah antara penghuni paling lama berada di situ, sejak bayi lagi. Antara doa yang selalu diminta dari Tuhan Yang Maha Kaya ialah seorang ibu dan seorang ayah yang baik dan ikhlas menyayangi dirinya.

Ara bersyukur, doanya termakbul dan ada sepasang suami isteri yang sudi mengambilnya sebagai anak angkat. Tetapi, hatinya merasa sangat sedih memikirkan dia akan berpisah dengan teman baiknya. Teman yang paling rapat, seorang manusia yang paling dia sayang di dunia ini.

Entah bila boleh bertemu lagi. Sudahlah sekarang pun dia tidak ada di sini. Dari pagi lagi dia ke bandar membantu Pak Mail membeli barang keperluan Rumah Anak Yatim tersebut bersama beberapa orang kanak-kanak lelaki yang lain. Sekejap lagi Ara sudah mahu berangkat ke Kuala Lumpur, batang hidungnya pun belum kelihatan lagi.

“Jaga diri baik-baik ya Ara… ada masa nanti jenguklah kami di sini…” Ujar Encik Thalhah sebak. Anak gadis itu membesar di depan matanya sejak usianya baru beberapa hari lagi.

“Ara jadi anak yang solehah ya…solat jangan tinggal sayang…” Pesan Ustazah Fatimah sambil memeluk dan mencium anak kecil tu.

Tumpah juga air matanya, menghadapi perpisahan itu. Ara anak yang baik dan mendengar kata. Tidak pernah merungut, jauh sekali memberontak dengan nasib dirinya yang langsung tidak pernah kenal siapa ibu dan bapa kandungnya.

Dia juga sering diejek oleh rakan-rakan sebayanya. Mereka menggelarnya anak luar nikah. Puas Ustazah Fatimah menasihatkan anak-anak itu agar tidak memanggil kawan sendiri dengan gelaran yang tidak baik.

Wajah mendung Ara sejak tadi, kini sudah basah dengan air mata. Tangisan yang mulanya perlahan tersedu-sedu semakin kuat esakannya. Tidak berhenti-henti dia menjengah melihat jalan, menantikan wajah yang diharapkan muncul ketika itu. Keluar juga suara raungannya apabila dia diminta masuk ke dalam kereta. Sebak dan hiba semua yang ada di situ melihatkan keadaannya.

“Ada rezeki nanti kita jumpa lagi sayang…inshaAllah..” Ustazah Fatimah sendiri sudah tidak dapat membendung air matanya.

Encik Thalhah juga kelihatan berkali-kali menyapu air mata yang tak berhenti-henti mengalir di pipinya. Mereka melambai-lambai ke arah kereta yang perlahan-lahan menyusur pergi.

“Ya Allah…kami titipkan anak ini dalam jagaanMu wahai Yang Maha Pengasih…” Bisik hati masing-masing.

Belum pun jauh kereta itu bergerak pergi, kereta Pak Mail berhenti di hadapan mereka. Ari bersama beberapa orang lagi anak lelaki turun dan memunggah barang keluar dari bonet kereta.

“Ada budak ikut keluarga baru ke Ustazah?” tegur Pak Mail apabila dilihat wajah Ustazah Fatimah dan Encik Thalhah masing-masing basah dengan air mata.

Ustazah Fatimah mengangguk-anggukkan kepalanya lemah.

“Ara…” Jawabnya pendek.

“Ara?!” Terlepas bungkusan dari tangan Ari.

Terus dia berlari laju mengejar kereta yang baru bergerak pergi tadi tanpa sempat dihalang oleh sesiapa pun di siu.

“Araaaa…..!!!!!” Jeritnya.

“Araaaa…..! Tunggu…..!” Jeritnya sekuat-kuat hati.

“Araaaa….tunggu Ariiii…..!!!” Pekiknya lagi sambil berlari selaju yang mungkin. 

Larian yang begitu laju menyebabkan selipar yang dipakainya putus. Berguling-guling dia jatuh ke tanah. Koyak berdarah kepala lutut dan kakinya tersagat tanah. Dia terus bangun dan menyambung lariannya dengan berkaki ayam tanpa mempedulikan lukanya yang berdenyut sakit.

“Araaaaaa……! Araaaaaa….!” Laungnya lagi.

Suaranya sudah serak bercampur dengan tangisan. Air mata merambu-rambu keluar dengan laju dari sepasang mata anak lelaki itu. Namun kereta itu sudah terlalu jauh. Mustahil untuk anak kecil itu mengejarnya. Dia berhenti kepenatan dan melutut di tanah.

“Ara….Ari belum ucap selamat tinggal pada Ara….” Rintihnya hiba.

Semakin lama semakin kuat tangisannya di atas jalan itu, melepaskan perit dan pedih di dada. Seingatnya, kali terakhir dia menangis seteruk itu adalah pada waktu dia melihat ibu dan ayahnya dikebumikan di depan matanya. Usianya baru 5 tahun ketika itu. Ibu dan ayahnya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bapa saudara yang kononnya bersetuju menjaganya pula telah mengkhianati janjinya. Dihantarnya Ari ke rumah anak yatim setelah semua harta peninggalan orang tuanya diambil. Lupa dia pada ancaman kepada orang-orang yang memakan harta anak yatim.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (Neraka).” [QS. An-Nisa’: 10]

 

ARI….” Maira yang menangis dalam tidurnya terjaga.

Dikesatnya air mata yang terasa mengalir di wajahnya, dan di baju….Mus! Rupanya dia sudah terlentuk tidur di bahu Mus yang entah sejak bila duduk di sebelahnya. Lelaki itu kelihatan sedang nyenyak tidur. Di sebelah kiri Maira pula ada Hani yang sedang melentukkan kepalanya ke bahu Maira. Entah bila dia berpindah duduk di situ pun Maira tak sedar.

Rania dan Hanim juga sedang tidur dengan kepala masing-masing saling bertindih-tindih dan tersengguk-sengguk. Maira membetulkan duduknya. Perasaan sedih dari mimpinya sebentar tadi masih terasa di sudut hatinya.




No comments:

Post a Comment