Monday, April 22, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 5)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI


Bab 5

JOM korang, sebelah sana selalu diorang ada buat street show. Ada busking, ada yang menyanyi, yang menari ala-ala K-Pop pun ada.” Ajak Rania, selaku ketua kumpulan kecil 4 orang lelaki dan 4 orang perempuan itu.

K-pop?!” Mata Hani sudah bersinar-sinar.

“Come.. who’s here for the first time, please have the front seat..” Ramah salah seorang lelaki dari kumpulan anak muda Korea yang bakal memulakan persembahan mereka menyapa, sebaik sahaja Rania dan kawan-kawannya sampai di situ.

Apa lagi, laju sahaja mereka ke depan, duduk di bahagian hadapan ruang persembahan tersebut. Seronok betul dapat duduk di depan sekali. Baru puas tengok depan mata. Rakan-rakan lelaki memberi ruang untuk Rania, Maira, Hanim dan Hani duduk, manakala mereka berdiri di belakang gadis-gadis tersebut.

Bersorak meriah semua penonton yang ada di situ sebaik sahaja kumpulan anak muda Korea tersebut memulakan tarian mereka. Ada seorang tu, siap mengenyit mata lagi pada Maira sambil menayangkan gaya tariannya yang penuh bertenaga. Terjerit-jerit Hanim dan Hani dibuatnya. Cemburu dan teruja.

Selesai membuat persembahan, seorang demi seorang anak muda itu menghulurkan tong kecil kepada penonton untuk mendapatkan bayaran ikhlas. Mereka akan menepuk tangan penyumbang dengan gaya high five, selepas wang dimasukkan ke dalam tong.

Semasa tiba di depan Maira, pemuda Korea tersebut mengangkat tangannya meminta Maira menepuknya. Belum sempat gadis itu berbuat apa-apa, Mus yang berdiri di belakangnya sudah menepuk tangan pemuda Korea itu, menggantikan Maira.

“Owhh.. your girl??” Ujar pemuda Korea tersebut, seakan faham tindakan Mus.

Pertanyaannya disambut dengan sorakan penonton yang sedang memerhati.

“Can you dance? Come, lets show your girl some moves.” Ujarnya lagi, mengajak Mus ke ruang tarian.

Perghh dia cabar kau Mus. Pergi Mus! Kasi ajar sama dia!” Munir sudah menolak tubuh Mus ke depan.

Pemuda Korea tersebut mengajak penonton menepuk tangan bagi menyambut Mus di ruang tarian, sementara rakannya yang lain memulakan lagu. Gadis-gadis itu saling pandang memandang antara satu sama lain. Berdebar menantikan tindakan Mus yang seterusnya di ruang tarian tersebut.

Tiba-tiba Mus mula menggerakkan tubuhnya mengikut rentak lagu. Lengguknya semakin rancak menyamai irama muzik. Kulitnya yang cerah dan tubuhnya yang tinggi setara dengan pemuda-pemuda Korea tersebut membuatkan dia kelihatan seperti seorang dari mereka.

       Gaya tariannya berjaya membuatkan hadirin yang menonton terdiam sejenak sebelum bersorak sakan. Ternganga mulut Maira dan kawan-kawannya melihat Mus beraksi. Saling tak tumpah seperti penari K-Pop professional.

“Maakk aaii…! Mus boleh menari K-Pop wehh!!” Jerit Hanim teruja.

Kumpulan pemuda Korea tersebut turut tergamam melihat rentak tarinya. Mereka tersengih sambil meraup wajah dan membetul-betulkan rambut masing-masing. Mungkin berasa agak tergugat. Boleh gulung tikar mereka dibuatnya dengan pemuda Melayu ini!

Munir dan rakan-rakan lelaki Mus yang lain hanya tersengih bangga. Sudah maklum benar dengan kelebihan lelaki itu.

Heh… jangan pandang orang sebelah mata tau! Go Malaysia! We are from Malaysia!!” Laung Munir bangga sambil bersiul nyaring.

Penonton yang ada di situ menyambutnya dengan siulan dan tepukan gemuruh.

Go Malaysia!” Sahut mereka beramai-ramai.

Sehinggakan ada beberapa orang penonton mencampakkan beberapa tangkai bunga ke arah ruang tarian. Mus sempat berpusing dan menyambar setangkai bunga sebelum berlutut sebelah kaki di hadapan Maira. Dikenyitkan mata pada gadis itu sambil menghulurkan bunga tersebut. Gelagatnya disambut dengan sorakan penonton. Hanim dan Hani yang berada di sebelahnya turut terjerit-jerit di situ.

“Orang Malaysia datang buat cerita Korea kat Korea! Sweet..!!” Jerit Hanim kesukaan.

Maira mengambil bunga yang dihulurkan Mus dengan muka yang terasa merah membahang.

“Kiss! Kiss! Kiss!” Sorak penonton di situ. Mungkin kurang arif dengan batas-batas seorang Muslim.

Mus bingkas berdiri dan memberi tunduk hormat kepada penonton sebelum bersalaman dengan pemuda-pemuda Korea tersebut.

“Malaysians are good! Thank you! Thank you! Gamsahabnida!” Ujar pemuda Korea yang mengajaknya menari tadi sambil menyambut salam Mus.

Kemudian di angkatnya ibu jarinya kepada Maira. Mus pula tersengih sambil mengangkat-angkat keningnya kepada gadis itu.

 

WEH cayalah Mus…diorang terkejut tengok kau menari tadi. Memang silap orang la dia cabar kau!” Puji Hanim sewaktu berada dalam kedai makan.

Mereka singgah sebentar di kedai yang dicadangkan Rania, untuk mengisi perut sebelum pulang ke hotel.

Mus hanya ketawa suka. Sempat dikerlingnya Maira di sebelah. Maira hanya tunduk memandang meja. Masih cuba meneutralkan warna kulit pipinya yang bertukar merah terang sejak tadi.

“Haa..tu awak belum tengok saya gelek Bollywood lagi. Mesti cair punyalah…” Sampuk Munir, membangga diri.

Hanim cuma buat muka menyampah.

Aih? Tak percaya? Nak saya gelek kat sini sekarang?” Ujar Munir lagi, belum puas menyakat.

Pecah ketawa mereka beramai-ramai. Tak sanggup nak tengok Munir bergelek di situ. Silap-silap kena angkut ke balai!

Korang jangan risau. Sini semua halal. Tuan kedai dengan tukang masak dia semuanya Muslim.” Jelas Rania.

“Kita kongsi-kongsi je lah nak tak? Tak rasa lapar sangat.” Ujar Hani.

Ok juga tu. Tteokbokki dia sedap tau sini. Rasa dia lain, tak sama dengan yang kat Malaysia. Korang kena cuba.” Ujar Rania memberikan cadangan.

Ok lah macam tu, kita ambil 3 set, makan kongsi-kongsi, ok tak? Tak cukup nanti boleh tambah lagi.” Sampuk Munir pula.

Err…tambah Jjajangmyeon satu, nampak macam sedap je orang meja sebelah ni makan.” Ujar Hanim pantas.

“Kalau untuk awak, mestilah boleh…” Cepat Munir menyahut. Sengaja dia meniru dialog Mus semasa di Pulau Nami tempoh hari.

“Eleh…takde idea sendiri ke..ciplak yang orang aje kerja dia.” Tempelak Hanim.

“Eh…orang cakap, kalau selalu gaduh-gaduh ni nanti berjodoh.” Sampuk Firdaus, seorang lagi rakan mereka.

Berderai ketawa mereka menyakat si Hanim dan Munir.

Yelah yelah…nah ni… makan. Rania cakap yang ni boleh makan. Aku beli untuk kita semua kongsi sama-sama.” Ujar Munir sambil meletakkan sebungkus plastik di atas meja makan.

Hanim mengeluarkan isinya. Ada beberapa bungkus roti berbentuk ikan. Ada juga roti-roti kecil berbentuk jagung. Roti dengan telur di atasnya pun ada. Hanim menelan air liur. Semuanya nampak sedap.

“Terbaik..!” Ujarnya sambil mengangkat ibu jari pada Munir.

Lelaki itu tersenyum bangga sambil membetul-betulkan rambutnya yang sudah dirasakan sangat bergaya ketika itu. Mereka hanya mentertawakannya sambil mengagih-agihkan roti yang dibeli.

Sedang mereka asyik berbual sambil menunggu makanan sampai, kedengaran suara kecoh lelaki dan perempuan Korea di meja berhampiran. Kelihatan seorang lelaki sedang menunjukkan kehebatan mencacakkan garpu di celah-celah jarinya yang dibuka lebar, dengan laju di atas meja. Rakan-rakannya yang lain bersorak melihat aksinya.

Mus memandang ke arah Maira. Riak wajah gadis itu berubah dengan tiba-tiba. Tangan kirinya mengusap-usap tangan kanannya sendiri dengan gelisah.

 

OLA OLI, kuberi nama.., saudara saudari… Eh..tak bestlah…kita tukar nama jadi Ara Ari lah. Ara Ari kan best friend dekat sini.” Ujar Atiqah pada Anati.

Ara yang turut bermain dengan Farhana di samping mereka terkejut.

“Kenapa pulak…?” Dia cuba membantah.

“Ala..kenapa tak boleh..tak pe lah..sedap apa..” Atiqah masih bertegas.

“Ara Ari…kuberi nama.., saudara saudari, cikebum! Cikebum!” Nyanyinya lagi sambil meneruskan permainan bertepuk tangan itu dengan Anati.

Anati pula hanya menurut sahaja. Farhana juga ikut menyanyikan lagu yang diubah Atiqah sambil cuba menepuk tangan Ara.

“Alah..penatlah dah lama kita main ni…Main lain pulaklah..” Pujuk Ara.

Emm..ok, kita main mak, mak pergi pekan. Nak?” Tanya Farhana.

Ok jom..” Sahut mereka yang lain.

Lalu mereka bersusun meletakkan tangan sebelah menyebelah di atas meja.

“Mak, mak, pergi pekan, mak beli baju warna apa?” Anati mula menyanyi sambil mengira jari-jari mereka satu persatu.

Kiraannya terhenti pada jari Farhana.

“Emm…hijau.” Jawab Farhana.

“H-I-J-A-U… Hijau!” Anati menyambung nyanyiannya sambil menghitung jari.

Kiraannya terhenti pada jari manis Atiqah, lalu Atiqah membengkokkan jari manisnya.

Sedang mereka leka bermain, tiba-tiba tangan Ara ditikam dengan pisau kecil yang tajam. Terlekat tangannya di meja tersebut.

Darah sudah mengalir membasahi kawasan luka. Ara meraung kesakitan, manakala kawan-kawannya tadi menjerit-jerit ketakutan. Budak lelaki yang menikam tangan Ara tadi terus berlari menghilangkan diri.

Ari yang sedang beratur untuk mengambil nasi di situ berlari mendapatkan Ara.

“Ya Allah!! Ara!!” Pekiknya. Terbelalak matanya melihat pisau terbenam di tangan kanan gadis itu.

“Shahir! Shahir yang buat!” Lapor Farhana sambil menangis ketakutan.

“Panggil cikgu cepat!!” Ari memekik mengarahkan Atiqah dan Anati untuk mendapatkan bantuan.

Pak Mail yang berada tidak jauh dari situ kelam kabut berlari mendapatkan mereka setelah terdengar jerit pekik anak-anak itu.

“Allahu Akbar…!” Pak Mail bersuara keras.

“Farhana, kamu tutup mata Ara.” Arahnya pantas pada Farhana.

“Ari pergi ambil kain bersih.” Arahnya pada Ari pula.

Berlari Ari mendapatkan kain bersih dari Mak Yam.

“Bismillahirrahmanirrahim…..” Ujar Pak Mail Sebelum mencabut pisau yang terbenam di tangan Ara dengan pantas.

Meraung Ara dalam dakapan Farhana. Farhana yang melihat Pak Mail mencabut pisau di depan matanya turut menjerit ketakutan. Kemudian dia rebah di situ. Pengsan!

“Ya Allah…! Apa dah jadi ni?!” Kuat suara Encik Thalhah yang baru tiba di situ bersama Ustazah Fatimah.

Pak Mail pantas mengambil kain bersih yang dibawakan Ari lalu mengikatnya di tangan Ara untuk menghentikan darah. Lalu dikendongnya anak itu ke kereta. Ara masih meraung kesakitan. Encik Thalhah dan Ari pantas mengikut Pak Mail ke kereta. Encik Thalhah memandu laju menuju ke hospital.

Ustazah Fatimah pula memapah Farhana yang pengsan dengan bantuan Atiqah dan Anati.

Ari mula menangis di dalam kereta melihat Ara yang masih meraung sakit. Darah merah begitu banyak mengalir membasahi kain yang diikat di tangannya. Encik Thalhah yang sedang memandu juga panik. Sampai sahaja sampai di hospital Pak Mail terus mencempung Ara ke bahagian kecemasan.

Encik Thalhah dan Ari menunggu Ara dan Pak Mail dengan gelisah di ruang menunggu. Beberapa lama selepas itu, Pak Mail muncul membawa berita.

Alhamdulillah, doktor kata tikaman pisau tu tak mencederakan saraf dan ligamen tangannya. Nasib baik cuma terkena bahagian otot. Kalau tidak mungkin tangannya tak boleh bergerak sempurna lagi… Ujar Pak Mail, mengambil nafas sebelum menyambung bicaranya.

“Tetapi lukanya dalam..tembus tadi tangan budak tu…” Sambungnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Terkejut dan tidak sangka dengan kejadian yang baru berlaku.

“Sekarang doktor tengah jahit lukanya. Doktor cadangkan elok dia bermalam di hospital dahulu. Kalau tak ada apa, inshaAllah esok boleh keluar.” Ujarnya lagi.

“Allah….” Ujar Encik Thalhah, terkelu dengan apa yang berlaku.

“Ari nampak ke, macam mana kejadian tu berlaku?” Tanya Pak Mail.

Ari menggelengkan kepala.

“Ari Cuma nampak pisau tu dah terpacak kat tangan Ara. Farhana bagitahu, Shahir yang buat.” Ari memaklumkan apa yang dia tahu kepada Pak Mail dan Encik Thalhah.

“Shahir lagi…” Encik Thalhah mengeluh berat.

Sakit kepalanya dengan budak seorang itu. Tak berhenti-henti menimbulkan masalah. Sejak neneknya menghantarnya ke Rumah Anak Yatim Basyirah tahun lepas, satu demi satu ulahnya dibuat sehingga menyusahkan Encik Thalhah.

Memang neneknya sendiri mengadu tidak mampu mengawal sikap nakalnya. Ibu bapa dan adik lelakinya ditemui meninggal dalam kebakaran di rumahnya. Sejak itulah dia tinggal dengan neneknya. Tetapi wanita tua itu tidak mampu mengawal sikap nakalnya yang suka mengganggu anak-anak jiran. Kerana itulah dia meminta bantuan Encik Thalhah.

Tetapi budak itu benar-benar nakal. Perangainya menjadi-jadi sehingga membahayakan penghuni yang lain. Tahun lepas, Pak Mail menemuinya sedang membakar tikus-tikus yang ditangkap dalam sangkar hidup-hidup. Nyaris api itu merebak membakar pondok kecil di situ. Puas Ustazah Fatimah meleterinya supaya tidak berlaku kejam dengan haiwan.

Tidak lama selepas itu, kecoh pula beberapa orang budak lelaki yang menggunakan tandas duduk di tandas lelaki, melekat punggung dan peha di mangkuk tandas kerana Shahir menyapu gam cepat kering di situ. Habis luka kulit mereka.

Jenuh Encik Thalhah dan Pak Mail nak mengeluarkan mereka dari terlekat di situ. Itupun ada budak yang ternampak Shahir berlari keluar dari tandas sambil memegang gam. Mati-mati dia tidak mengaku melakukannya walaupun dirotan oleh Encik Thalhah.

Beberapa bulan yang lepas pula dimasukkan bangkai ular di dalam beg Atiqah. Terjerit-jerit budak itu apabila terpegang ular semasa menyeluk begnya. Sampai demam dia dibuatnya. Apabila diperiksa, Encik Thalhah menemui seekor lagi bangkai ular yang dikerat-kerat dan disimpan dalam plastik di dalam beg Shahir. Setelah didesak barulah dia mengaku meletakkannya dalam beg Atiqah.

Beberapa hari selepas kejadian itu, dimasukkan pula segenggam kecil paku tekan di dalam kasut sekolah Ara. Ara yang baru keluar dari surau selepas menunaikan solat Asar berjemaah dengan Ustazah Fatimah dan rakan-rakan perempuan yang lain terus menyarungkan kasut ke kaki tanpa menyedari ada paku di dalamnya. Dipijaknya kasut rapat ke lantai. Apa lagi, menjerit dia kesakitan.

Terduduk dia di depan pintu surau. Air mata sudah laju merembes keluar. Dibukanya kembali kasut sekolah di kakinya, kelihatan beberapa batang paku tekan sudah melekat di tapak kakinya. Menjerit-jerit lagi dia apabila Ustazah Fatimah cuba membantu menanggalkan paku tersebut satu-persatu.

Ari yang juga kebetulan baru keluar dari pintu depan surau, kelam kabut berlari ke pintu belakang surau mendengarkan jeritan Ara. Bertembung dia dengan Shahir yang sedang berlari sambil ketawa puas. Berhambur paku tekan yang dibawa Shahir jatuh ke lantai. Kecoh semua anak-anak di situ bising mengatakan Shahir yang meletakkan paku ke dalam kasut Ara.

Tak tunggu lama, Ari terus menerkam dan memukul Shahir sehingga terlentang. Ditumbuknya Shahir yang sudah terbaring itu bertubi-tubi sehingga Pak Mail menarik dan mengangkatnya jauh dari Shahir.

Kalau dibiarkan mungkin sudah pecah muka budak itu dibuatnya. Keningnya sudah terkoyak, dan bibirnya luka. Manakala hidungnya sudah berdarah. Lembik budak itu dikerjakan Ari yang berang kerana Ara disakiti.

Baru-baru ini pula, Shahir mencucuk kening Ari dengan pensel yang diasah tajam, setelah mereka bertengkar mulut beberapa ketika. Mungkin masih berdendam kerana dipukul teruk oleh Ari tempoh hari, maka Shahir sengaja menghalakan pensel yang tajam laju ke mata Ari.

Nasib baik Ari sempat mengelak, tetapi terbenam juga pensel tersebut tepat di kening kirinya. Mujur sungguh tidak terkena mata, jika tidak, pasti anak itu sudah buta atau cacat kekal di mata kirinya.

“Sakit lagi tak?” Tanya Ara yang baru sudah menampalkan plaster luka di kening Ari.

“Tak berapa sakit dah..” Jawab Ari.

Berkerut dahinya cuba menyesuaikan gam plaster dengan kulitnya. Diangkat-angkat keningnya beberapa kali.

“Nasib baik kening Ari tebal, kalau tidak mesti nampak parut.” Ujar Ara.

“Ari masih kacak lagi kan?” Soalnya kembali. Risau juga luka itu mempengaruhi penampilannya.

Ye..ye..kacak..kacak.” Jawab Ara acuh tak acuh.

“Betul-betul lah Ara…Ari kacak tak?” Soalnya lagi, tidak berpuas hati.

Ara hanya menjelirkan lidahnya sebagai jawapan.

 

MAIRA, cuba tengok ni.” Ujar Mus sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Maira.

Barulah Maira berhenti mengusap-ngusap tangan kanannya lalu diajukan ke depan menyambut huluran telefon bimbit Mus. Jelas kelihatan parut lama di tengah-tengah tangan kanannya. Parut itulah yang direnung Mus sewaktu mula-mula mengembalikan tasbih digital Maira yang terjatuh dalam kapal terbang.

“Eh…bila Mus buat ni…?” Soalnya sambil tersenyum-senyum melihat video di dalam telefon Mus.

Video pendek itu memaparkan gabungan keratan-keratan gambar dan video mereka yang diambil sepanjang perlancongan. Nama-nama tempat yang mereka lawati juga diletakkan bersama. Muzik yang rancak turut dimasukkan membuatkan video itu kelihatan menarik. Pandai Mus sunting. Boleh disimpan sebagai kenangan.

“Wah..pandai kau edit ek.” Tegur Rania yang turut menonton video tersebut dari tempat duduknya di sebelah kanan Maira.

Ha’ah… cantiklah. Nanti hantar kat aku sama ea? Nak post kat IG” Kata Hani pula yang duduk di sebelah kiri Maira.

“Mana-mana, tengok?” Pinta Hanim pula yang menjengah dari sebelah Hani.

Maira menghulurkan telefon itu kepadanya. Munir yang duduk di depan Hanim turut sibuk menjengahkan kepala mahu melihat skrin telefon di tangan Hanim.

“Tapi…apasal gambar Maira je yang banyak niii…?” Soal Hanim yang sudah perasan isi kandungan video tersebut penuh dengan gambar dan video Maira.

Lebih banyak dari bahagian mereka yang lain.

Emmpph…nampak sangat ni Mus…nampak sangat…” Perli Munir pula.

Mus hanya tersengih-sengih di tempatnya sambil mengerling Maira. Nak buat macam mana. Dia tidak dapat mengalihkan pandangannya dari gadis itu. Balik-balik, di wajah itu juga matanya menyinggah. Kamera pun ikut samalah!




No comments:

Post a Comment