Bab
4
“MALAM nanti kitorang nak pergi jalan-jalan
kat Myeongdong Street. Korang nak join sekali tak?” Soal Munir pada Hanim
dan rakan-rakannya.
Mereka sedang melangkah masuk ke hotel.
Hanim memandang rakan-rakannya lain sambil mengangkat kening, mencari jawapan
bagi soalan Munir.
“Boleh jugak, gerak sekali
selamat sikit.” Jawab Hani.
“Takde masalah pun kalau nak
gerak sendiri, aku tahu jalan.” Tingkah Rania pula.
“Eh..baguslah kalau awak tahu jalan.
Kalau macam tu, bagila kitorang yang join
korang.” Balas Munir, disokong oleh rakan-rakan lelaki yang lain.
Rania hanya mencemik.
“Kalau macam tu kita jumpa kat depan
hotel nanti dalam 8.30. Korang lambat kitorang tinggal. Kitorang takpe,
kitorang tahu jalan.” Hanim membuat keputusan, sedikit sombong kerana ada
Rania yang mahir dengan jalan di situ.
“Ok,
ok… kitorang siap 8.30 kat sini… janganlah tinggal kitorang ahjumma…” Sahut Munir, mengusik si
Hanim.
“Ni ahjumma
kau!” Marah Hanim sambil mengangkat penumbuknya.
Gadis-gadis itu naik ke bilik mereka.
Masih sempat merehatkan badan sekejap sebelum bersiap-siap untuk keluar semula.
Walaupun letih, tetapi masing-masing tetap tidak mahu melepaskan peluang
berjalan-jalan di Bandar Seoul. Entah bila berpeluang datang lagi.
“Weh…” Maira bersuara perlahan.
Kasutnya diangkat dan ditayangkan pada
rakan-rakannya.
“Tapak lekang….” Sambungnya, dengan
nada di antara sedih dan lucu.
Berhambur ketawa mereka melihatkan
kasutnya yang sudah tercabut tapak.
“Macam mana ni wey!” Maira sudah mula
panik walaupun masih ikut ketawa.
“Aku takde bawa kasut spare!” Sambungnya lagi.
“Ni betul-betul backpackers ni. Berjalan sungguh. Sampai lekang tapak kasut!” Hani
meriuhkan lagi ketawa mereka.
“Aku ada bawa selipar…” Sahut Hanim.
“Kau pakailah selipar Hanim dulu, nanti
kejap lagi kita cuba cari kasut.” Ujar Rania cuba memujuk.
“Itulah kau. Lain kali nak travel pakailah Skechers ke…” Leternya pula.
Geram juga dia dengan perangai
sepupunya itu yang padanya seperti jimat tidak bertempat. Mama dan papanya tak
kisah pun nak memberinya wang saku, mereka lebih dari mampu untuk
memewahkannya. Tetapi dia berkeras mahu berdikari.
MAIRA yang paling awal siap antara mereka
berempat. Sengaja dia turun ke bawah terlebih dahulu, berniat untuk membeli
susu perasa pisang kegemarannya di kedai serbaneka CU di sebelah hotel
mereka.
“Malam ni ada aktiviti lagi ke?” Maira
membaca mesej yang dihantar oleh Hadif.
Memang lelaki itu kerap menghantar
pesanan padanya sepanjang dia berada di Korea. Setiap waktu dia meminta gambar
dan laporan mengenai aktiviti Maira di situ. Berkali-kali juga dipesan agar
jangan melayan jika ada lelaki yang cuba menguratnya. Risau betul dia.
“Malam ni aktiviti bebas, tapi kitorang
nak jalan-jalan kat Myeondong
Street.” Maira membalas pesanannya.
Sedang dia asyik menekan skrin telefon,
dia terdengar suara seseorang bercakap-cakap. Tetapi tidak jelas apa yang
dikatakannya. Maira memanggungkan kepalanya. Kelihatan seorang wanita sedang
berdiri membelakangkannya di hadapan pintu lif. Dari susuk tubuhnya, Maira
sangat pasti wanita itu adalah Puan Nora, nenek Aqif.
“Makcik Nora…” Tegur Maira mesra.
Puan Nora masih berdiri
membelakangkannya. Sedikit pun dia tidak berpaling menyahut teguran Maira.
Suaranya yang seperti sedang bercakap-cakap sesuatu tadi serta merta terhenti.
“Makcik dengan abang Asif semua nak
pergi tengok-tengok Myeondong Street juga
ke?” Sapa Maira lagi.
“Tinggalkan dia…tinggalkan
dia…tinggalkan dia….” Ujar Puan Nora kalut, tetapi dalam nada perlahan.
“Apa makcik?” Soal Maira, tidak jelas
dengan apa yang dikatakan Puan Nora.
“Tinggalkan dia! Putus! Putus! Dia aku
punya!” Tiba-tiba Puan Nora meninggikan suara.
Maira terdiam terkebil-kebil di situ.
Bingung dengan situasi itu. Dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh
wanita tersebut.
Puan Nora berpaling menghadapnya secara
mendadak. Memang wajahnya dan tubuhnya seperti Puan Nora. Tetapi entah kenapa
kulit mukanya begitu hitam dan bola matanya merah berdarah. Dia memandang Maira
dengan bengis seperti sedang marah tentang sesuatu.
“Aku kata tinggalkan dia!!” Jerkahnya
kuat.
Serentak itu dia meluru menembusi tubuh
Maira. Maira dapat merasakan angin laju melalui tubuhnya, dari depan tembus ke
belakang. Terketar-ketar tangannya takut dan terkejut. Sejuk seluruh tubuhnya.
Kakinya pula kaku di situ tidak mampu bergerak.
Belum sempat dia menelan air liur,
tudung kepalanya tiba-tiba dicekak dan disentak ke belakang. Maira kehilangan
imbangan dan dia jatuh terduduk. Serentak itu juga tangan yang mencekak
tudungnya tadi menarik tudung kepalanya, menyeret dia ke belakang.
“Allahu Akbar! Lepaskan dia!!’
Mus bersuara keras.
“Ini bukan urusan kau!!” Puan Nora bertempik.
“A’uudzu bi kalimatillahit-taammaati
min syarri maa kholaq.” Mus
mengulang bacaannya sebanyak 3 kali.
Tanpa bertangguh diteruskan pula
membaca ayat Qursi dengan suara yang kuat. Puan Nora berteriak nyaring sebelum
melepaskan Maira dan menghilangkan diri.
“Awak ok?!” Mus segera mendapatkan Maira.
Maira mengangguk perlahan sambil cuba
membetulkan tudungnya. Sebahagian rambutnya sudah terdedah. Mus berpaling ke
arah lain bagi memberi ruang untuk gadis itu merapikan diri.
“Awak…nampak?” Soal Maira
tergagap-gagap sambil cuba berdiri.
“Eh taklah saya tak nampak pun rambut
awak.” Pantas Mus menafikan.
“Err..tak..saya..tanya..awak
nampak ke..err..makcik Nora tadi..” Maira membetulkan soalannya.
“Oh.. err..ha’ah..saya nampak..”
Balas Mus turut tergagap. Lain yang ditanya, lain yang dijawab.
“Tapi saya tak rasa itu makcik Nora…”
Sambungnya lagi, sambil memandang Maira. Timbul rasa kasihan pada gadis itu.
“Maksud saya..itu cuma syaitan yang
cuba menyerupai makcik Nora..” Jelasnya.
“Awak…selalu ke kena ganggu macam ni…?”
Soal Mus.
“Err…” Maira teragak-agak hendak
menjawab, sebelum kata-katanya dipotong.
“Aik! Kau kata nak pergi beli
susu tadi.” Tegur Hani.
Hanim dan Rania mengekorinya dari
belakang.
“Err…nak pergilah..tapi aku
tunggu korang.. tak berani pulak nak pergi seorang.” Ujar Maira
berdalih.
“Ha jomlah. Kawan-kawan kau dah siap ke
Mus?” Soal Hanim.
“Err..diorang dah siap dah. Kejap
lagi datanglah tu. Jomlah kita turun dulu.” Ajaknya.
MAIRA teraba-raba kocek seluarnya dengan
gelisah di dalam lif. Belum sempat dia bersuara, Mus sudah menghulurkan tasbih
digitalnya di atas tapak tangan.
“Jatuh tadi…” Ujarnya perlahan, separuh
berbisik.
“Terima kasih…” Maira turut berbisik
sambil mengambil tasbih dari tangan lelaki itu.
Mereka beriringan berjalan ke arah
kedai serbaneka yang hanya beberapa langkah sahaja jaraknya dengan hotel.
Beberapa barangan yang tersusun kemas di rak dibelek-belek bersama-sama.
“Sayang betul awak dengan tasbih tu ek..
ada je dengan awak selalu.” Bual Mus semasa di dalam kedai serbaneka
bersama Maira.
“Hadiah istimewa dari orang yang saya
sayang..” Ujar Maira sambil tersenyum sendiri.
“Oh..untunglah orang tu… hari-hari awak
guna, hari-hari jugak dia dapat tumpang pahala.” Balas Mus sambil
tersenyum kacak.
“Err..
saya pernah tengok video Ustazah Asma’ Harun…ada ustazah bagitahu.. antara
zikir yang paling ditakuti iblis dan syaitan ialah ‘La ilaha illallahu
wahdahu la sharika lahu lahul-mulku wa lahul-hamdu wa huwa ‘ala kulli sha’in
qadir..” Ujarnya.
“Maksudnya, ‘Tiada Tuhan yang berhak
disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya segala
kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dialah yang maha Kuasa atas segala
sesuatunya’. Awak boleh cuba amalkan secara istiqamah, 100 kali
sehari..inshaAllah..mudah-mudahan Allah lindung awak dari gangguan-gangguan jin
dan syaitan..” Sambungnya lagi.
Maira mendengar dengan teliti dan
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Selain tu..awak boleh amalkan baca ‘Bismillahilladzi
la yadhurru ma’asmihi syai’un fil’ardhi wala fissama’i wahuwassami’ul alim…’
yang bermaksud, ‘Dengan menyebut nama Allah yang bersama namaNya sesuatu itu
tidak berbahaya di bumi dan di langit. Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui…’ awak boleh cuba amalkan, baca 3 kali setiap pagi dan
petang…inshaAllah…Allah jaga awak..” Mus meneruskan perkongsian nasihat dengan
gadis itu.
‘Barangsiapa mnegucapkan zikir tersebut
sebanyak tiga kali di pagi hari, dan tiga kali di petang hari, maka tidak akan
ada bahaya yang tiba-tiba memudaratkannya.’ (HR. Abu Daud no 5088, 5089,
Tirmidzi no.3388, dan Ibnu Majah no.3869. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan
bahawa sanad hadits ini hasan).
“….dan yang paling mudah untuk dibuat,
awak amalkan 3 Qul, 3 kali sehari setiap pagi dan petang, dan juga sebelum
tidur. InshaAllah…boleh menghindarkan
gangguan-gangguan jin dan syaitan.” Sambungnya lagi.
“Barang siapa yang membacanya 3 kali
pada pagi dan petang, maka segala sesuatu akan dicukupkan untuknya. (HR.
At-Tirmidzi dan Abu Dawud)”
Maksud Surah al Ikhlas,
“Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku)
ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk
memohon sebarang hajat, Ia tidak beranak, dan ia tidak pula diperanakkan, dan
tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Maksud Surah al Falaq,
“Katakanlah, aku berlindung kepada
Tuhan yang menguasai Subuh (fajar), dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan
dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, dan dari kejahatan
(perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (talinya), dan dari
kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”
Maksud Surah an Nas,
“Katakanlah: aku berlindung kepada
Tuhan manusia, Raja manusia, Sembahan manusia, daripada kejahatan (bisikan
syaitan) yang bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,
daripada jin dan manusia.”
Maira mengangguk-anggukan kepalanya,
memasang azam. Nasihat dan amalan itu kendengaran agak mudah. Tetapi untuk
istiqamah melakukannya itu adalah sesuatu yang agak mencabar. Kadang terlupa,
kadang malas. Manusia..
“Eh! Baru saya perasan, kenapa awak
pakai selipar ni…tak sejuk ke kaki?” Mus memandang kaki Maira yang sudah
seperti orang dalam pantang. Berstokin dan berselipar.
“Err..kasut saya lekang…” Jawab
Maira tersengih-sengih.
“Dia perasan la pulak..”
Sungutnya dalam hati.
“Haa..? Lekang…?!” Bulat mata Mus
mendengar jawapannya.
Seketika kemudian dia tergelak.
“Awak kenapa gelakkan saya…” Maira
sudah menarik muncung.
“Sedap dia aje gelakkan aku.”
Bebelnya sendirian.
“Gelaklah…sebab awak lucu. Comel pulak
tu.” Balasnya masih belum berhenti ketawa.
“Sini, saya bayarkan.” Ujarnya lagi
sambil mengambil susu perasa pisang di tangan Maira.
“Eh…” Maira tak sempat menghalangnya.
Laju sahaja lelaki itu membayar di kaunter, sebelum mendapatkan Maira yang
sudah keluar menunggu di luar kedai.
“Awak pegang ni kejap…” Pinta
Mus menghulurkan plastik barang yang dibeli tadi, di depan kedai.
Lalu dia membongkok menanggalkan
kasutnya. Disumbatkan tisu ke bahagian dalam hujung kasut, kemudian diletakkan
di depan kaki Maira.
“Awak pakai ni dulu. Kita tukar. Kejap
lagi kita cari kasut baru untuk awak, ok?”
Katanya pada gadis itu.
Maira masih tercegat tidak bergerak di
situ.
“Cepatlah awak…kaki saya sejuuk…”
Gesanya bila dilihat gadis itu teragak-agak.
“Eh takpelah awak..tak payah..”
Maira serba salah melihat lelaki itu berdiri berkaki ayam menunggu seliparnya.
“Omooo…
sweetnyaa….”
Bising Hani yang baru keluar dari kedai.
“Wowww…romantis! Tukar jela..selipar
aku tu pun besar dengan kau. Muatlah Mus pakai.” Hanim yang baru keluar pula
turut menggesa. Teruja dia melihat adegan manis mereka.
“Haa..cepat..ke awak nak saya pakaikan
untuk awak..macam dalam cerita Korea..haa..” Ugut Mus.
Teragak-agak Maira memberikan selipar
yang dipakai lalu menyarungkan kasut Mus ke kakinya.
“Aduhh…aku kena belajar dengan Mus la
macam mana nak sweet-sweet…!” Munir
pula tiba-tiba menyampuk. Dia dan rakan-rakan lelaki lain baru turun dari
hotel.
Terus disambut dengan sorakan dan gelak
tawa mereka yang lain. Sekarang bukan kaki Maira saja yang panas. Muka dan
kepalanya turut berasa panas. Malu diusik begitu.
Kumpulan kecil yang terdiri dari 4
orang lelaki dan 4 orang perempuan itu mula berjalan menuju ke Myeondong Street yang tidak jauh dari
hotel tempat mereka menginap.
“Eee..kesiannya anak kucing
tu..” Ujar Rania tiba-tiba sambil menunjuk ke arah bangkai kucing yang
tersembul bola matanya di tepi jalan. Mungkin digilis kereta.
Langkah Maira terhenti.
“SUDAHLAH
tu Ara..janganlah menangis lagi… mata Ara dah bengkak tau..tak cantik dah…”
Pujuk Ari yang sedang mencangkung di sebelah Ara.
Air mata Ara masih belum mahu berhenti
mengalir di pipinya.
“Tapi…kesian Mimi…” Air matanya kembali
laju. Dipekup mukanya di lutut.
Dia menangis tersedu-sedu sambil
mencangkung di depan kubur anak kucing yang baru ditanam Ari sebentar tadi.
Beberapa minggu yang lepas ada ibu kucing dengan tiga ekor anak yang
kecil-kecil. Mereka menumpang makan di Rumah Anak Yatim Basyirah. Ara dan Ari lah
yang rajin memberi kucing-kucing itu makan.
Mereka ingat dengan pesan Ustazah
Fatimah. Umat Islam dituntut berbuat baik pada semua makhluk bernyawa termasuk
haiwan. Lebih-lebih lagi kucing, binatang yang Rasulullah Sallallahu’alaihiwassalam
sayang.
Tetapi seekor demi seekor kucing-kucing
itu ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan. Mula-mula Pak Mail terjumpa
bangkai ibu kucing tersebut. Bahagian hadapan badannya terbelah dari dada
hingga ke perut, dan segala isi perutnya terkeluar.
Kemudian ada pulak kanak-kanak yang
bermain di kawasan halaman terjumpa anaknya yang masih kecil itu mati dengan
keadaan tangan, kaki dan ekornya dipotong kecil-kecil. Lebih menyayat hati, ada
seekor anak kucing yang ditemui dalam keadaan badannya ditindih dengan bata
besar, manakala kepalanya dipancung dan dipacakkan pada sebatang kayu kecil
yang didirikan tegak di sebelah tubuhnya.
Sekarang, Ara terjumpa Mimi pula, anak
kucing yang paling manja dan paling Ara sayang, terbaring kaku di bawah pokok.
Matanya dicungkil keluar dan semua gigi kecilnya dicabut. Telinganya juga
dipotong. Melimpah air matanya melihat keadaan anak kucing kecil yang tidak
berdosa itu. Entah kerja gila siapa yang melakukan perbuatan itu. Sungguh zalim
dan tidak berperikemanusiaan!
Ari turut mengesat mata melihat Ara
menangis hiba. Dia sendiri berasa sedih dan marah dengan apa yang berlaku pada
kucing-kucing itu. Kesian sangat pada haiwan kecil yang tidak berdaya melawan
tersebut. Ari hanya mencangkung di situ menemani Ara menangis. Kehabisan kata
untuk memujuk sahabatnya.
Tidak lama selepas itu, Ara mengelap
air mata yang sudah kering dengan hujung tudungnya. Kakinya sudah mula berasa
lenguh dan kebas mencangkung begitu lama. Diletakkan seliparnya di tanah
kemudian dia duduk di atasnya. Masih belum mahu meninggalkan Mimi di situ. Ari
menurut perlakuan Ara dan duduk di atas seliparnya.
“Nanti kita doa sama-sama, supaya Tuhan
balas perbuatan jahat orang yang buat Mimi macam ni ya.” Ujar Ari, bernada
geram.
Ara menggeleng-gelengan kepalanya.
“Kita doakan.., orang tu insaf dan tak
buat lagi macam ni..” Pintanya pada sang sahabat.
Ari hanya mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Ari.. nanti Mimi masuk syurga tak?
Kita boleh jumpa dia lagi tak?” Soalnya pada Ari.
Ari terdiam seketika. Cuba memikirkan
jawapan untuk soalan Ara.
“Emm.. Ari tak tahu… nanti kita
tanya Ustazah Fatimah ya?” Jawabnya tulus.
“Tapi kan…ustazah cakap, dekat syurga
nanti, kita boleh minta apa saja yang kita nak. Jadi..kalau kita minta nak
jumpa Mimi mestilah boleh, kan?” Sambungnya lagi.
Barulah gadis kecil itu tersenyum
tawar.
“Senyumlah Ara… tau tak..bila Ara
senyum kan, dunia Ari bersinar dengan lebih terang.” Ujar anak kecil itu
bersungguh-sungguh, dengan harapan dapat mengurangkan kesedihan sahabatnya.
Ara tersenyum manis.
“OK tak kasut tu. Longgar ke?” Soal
Mus.
Dia bergerak ke hadapan gadis itu,
menghalang pandangan Maira dari terus melihat bangkai kucing tersebut, dengan
tubuhnya. Sekaligus mematikan lamunan Maira.
“Err..ok..awak letak tisu tadi, jadi tak rasa longgar sangat..” Jawabnya.
“Weh kat situ ada jual kasut.” Pantas
Rania menarik tangan Maira menuju ke tempat yang dimaksudkan.
Rania dan Mus menemankan Maira memilih
kasut, manakala rakan-rakan yang lain bertaburan di kawasan sekitar, melihat-lihat
pelbagai jenis barangan lain yang dijual.
“Yang ni cantik dengan awak. Selesa
tak?” Soal Mus kepada Maira yang sedang mencuba sepasang kasut.
“Aku rasa yang ni ok buat jalan. Tapak dia tebal, tak keras.” Rania pula memberikan
pendapat.
“Sedaplah pijak. Ambil yang ni lah.”
Maira turut bersetuju dengan mereka.
Senang pula dia jumpa kasut kali ini.
Baru 2 pasang dicubanya, sudah jumpa yang sesuai. Selalunya ada sahaja yang
tidak kena. Kalau cantik, tak selesa pula. Yang selesa, potongannya tidak memuaskan
hati pula. Bila sudah jumpa yang berkenan, saiz pula tidak ada!
Pantas sahaja Mus membayarkan kasut
Maira di kaunter.
“Eh awak..tak payahlah… saya bayar
sendiri..” Bantah Maira.
“Alaa…nak bayarkan pun tak bagi.. awak
memang tak sayang saya..” Mus buat muka hendak menangis, sambil
menghentak-hentakkan kakinya ke lantai seakan-akan anak kecil yang tidak
dituruti kemahuannya.
Terkemam-kemam mulut Maira menahan
gelak melihat memek mukanya. Kembung-kembung sudah kedua-dua belah pipinya cuba
membendung ketawa dari meletus keluar. Rania pula sudah berdekah di situ. Nasib
baik dia tidak berguling di lantai.
“Saya ikhlas…awak terima ea..”
Pujuk Mus lembut, sambil tersenyum manis.
“Err..terima kasih…” Maira beralah
dalam terpaksa.
Kasut yang baru dibeli tadi terus
dipakai. Kasut Mus dikembalikan kepada lelaki itu. Selipar Hanim pula
dimasukkan dengan cermat ke dalam kotak kasut di dalam plastik. Alhamdulillah..kalau
tidak, terpaksalah dia bersiar-siar di Seoul memakai selipar!

No comments:
Post a Comment