Tuesday, April 23, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 6)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI


Bab 6

HARI itu kumpulan pelancongan dari agensi Asya Travel akan dibawa melawat Gyeongbok Palace, Gwanghwamun Square, dan Sejong Museum. Semua ahli kumpulan telah berkumpul di depan hotel seawal pukul 7 pagi lagi.

Puan Nora dan cucunya Aqif juga ikut serta dalam aktiviti hari itu. Mereka sekeluarga akan menaiki teksi yang telah ditempah oleh pemandu pelancong, untuk kemudahan mereka. Manakala ahli yang lain akan menggunakan perkhidmatan bas dan Subway.

“Assalammualaikum Maira…annyeonghaseyo…” Sapa Mus sebaik turun berkumpul di depan hotel.

“Waalaikummussalam… annyeong…” Balas Maira sambil menundukkan kepalanya sedikit ala-ala orang Korea.

Munir, Firdaus dan Imran turut menegur dan berbual dengan Rania, Hanim dan Hani. Baru masuk hari ke 3 mereka di Bandar Seoul, tetapi sudah rasa begitu mesra dan rapat antara satu sama lain.

“Sejuk kan hari ni? Awak ok tak? Kalau nak saya boleh bagi jaket saya kat awak.” Ujar Mus.

       Tangannya dimasukkan ke dalam poket baju yang sudah dizipkan sehingga ke atas. Kakinya sudah berkawad kecil sejak tadi. Tak boleh nak duduk diam. Sejuk!

“Awak sendiri pun dah menggigil-gigil sejuk tu, lagi nak bagi kat saya.” Usik Maira.

“Alaa…saya pun nak juga jadi gentleman macam dalam cerita Korea…” Balas Mus sambil mencebik.

Memang pun dia sejenis yang tidak tahan sejuk. Tetapi kalau untuk Maira, beku pun dia sanggup!

Maira hanya mengetawakannya. Dikeluarkan hand warmer kecil yang memang sedia dibawa dalam poket jaketnya lalu diserahkan kepada lelaki itu.

“Nah..ambillah. Saya tak rasa sejuk sangat lagi.” Ujarnya.

Mus menyambutnya lalu membelek-beleknya sebentar. Panas. Diletakkan ke pipinya. Maira ketawa lagi melihatkan tingkahnya.

“Masukkan dalam poket awak. Boleh pegang dalam poket. Nanti tak rasa sejuk sangat.” Jelas Maira.

Mus tersengih kesukaan. Berbunga-bunga rasa hatinya. Segera dimasukkan pemanas tangan tersebut ke dalam koceknya.

Err ada habuk dekat bulu mata awak.” Ujar Maira.

“Hah?” Mus mula menyapu-nyapu matanya.

“Janganlah tahi mata hendaknya. Musnahlah kekacakan aku nanti.” Sungutnya dalam hati.

“Ada lagi..” Ujar Maira.

Mus mula menggenyeh-genyeh matanya. Kemudian dilihat pula pada jarinya. Dia pasti bukan tahi mata. Lalu direndahkan tubuhnya dan disuakan mukanya kepada gadis itu.

“Tolong…” Pintanya pada Maira.

Maira pula sudah mula berdebar-debar apabila lelaki itu mendekatkan wajahnya sambil memejam mata. Seketika diamati pula kening kiri Mus sambil mengerutkan dahi. Mus yang terasa agak lama menunggu, membuka sebelah matanya.

“Dah?” Tanyanya

“Err..belum.. kejap.” Jawab Maira.

Kemudian dia cepat-cepat memegang hujung habuk berwarna kelabu yang melekat di bulu mata Mus. Lalu ditunjukkan kepada lelaki itu.

“Dah.’ Ujarnya pendek.

“Gamsahabnida! Joahamnida!” Ujar Mus sambil membongkokkan badan.

“Weh..kau tau ke joahamnida tu maksudnya apa?” Soal Hanim yang berdiri berdekatan dengan mereka.

Mus mengangkatkan keningnya dan mengerutkan dahi tanda tidak pasti.

“Maksudnya tadi kau cakap, kau suka Maira.” Terang Hani yang turut menyertai perbualan mereka.

Dia dan Hani sudah mula ketawa.  Mus terangguk-angguk sekejap.

“Memang pun..” Jawabnya selamba sambil mula melangkah mengikut ahli kumpulan lain yang sudah mula bergerak.

Gadis-gadis itu saling berpandangan sesama sendiri. Maira menyentuh kedua-dua pipinya dengan tapak tangannya. Tadi rasa sejuk. Sekarang dah panas.

 

CEPATLAH…nanti habis baju yang cantik-cantik orang ambil…” Gesa Hani sambil menarik tangan kakaknya supaya melangkah lebih laju.

Dia sudah tidak sabar mahu menyewa pakaian tradisional Korea, Hanbok. Mereka dibenarkan menyewa pakaian itu di deretan kedai berdekatan dengan Gyeongbokgung Palace dan bersiar-siar serta bergambar di istana itu selama beberapa jam.

Maira dan Hanim turut teruja untuk mencuba pakaian tersebut. Maira memilih gaun Hanbok berwarna ungu gelap dengan jaketnya yang berwarna ungu lembut. Hani turut memilih gaun berwarna ungu gelap, dengan jaket berwarna putih. Hanim pula memilih gaun berwarna merah yang disesuaikan dengan jaket berwarna merah jambu. Manakala gaun biru dengan padanan jaket berwarna krim pula menjadi pilihan Rania.

Sakan mereka berpusing-pusing mengembangkan gaun yang sudah sedia kembang itu di depan kedai. Seronok betul boleh berangan-angan menjadi puteri raja Korea zaman dahulu kala.

“Ya Ampun…apakah ini puteri-puteri kayangan ataukah bidadari-bidadari syurga?” Tegur Munir.

Keempat-empat lelaki itu juga kelihatan segak bergaya dengan pakaian tradisional mereka yang dilengkapi dengan topi. Persis hero drama Korea.

Mus tiba-tiba menyertai gadis-gadis itu berpusing-pusing mengembangkan bajunya sambil memegang topi. Berderai ketawa mereka dengan aksi spontannya itu. Ada sahaja akalnya nak mengusik.

“Jom tuan puteri..kita bersiar-siar di istana.” Ajaknya sambil menghulurkan sikunya pada Maira.

Maira pula melayan sahaja kerenahnya dan berpura-pura memaut lengan Mus dari jauh. Tahu yang Mus hanya bergurau, kerana mereka tidak boleh bersentuhan. Kemudian mereka beriringan berjalan setapak demi setapak, seperti pasangan pengantin yang berarak, menuju ke halaman istana Gyeongbokgung.

“Haa..kau orang jalan macam tu, esok pagi baru sampai.” Sindir Hanim sambil berjalan laju memintas mereka berdua.

“Eh! Jangan laju sangat tuan puteri. Tersembam nanti!” Pekik Munir yang turut melajukan langkahnya menyaingi Hanim.

Pecah lagi ketawa mereka di situ. Mereka berjalan masuk ke dalam istana itu beramai-ramai. Memang cantik sangat kawasannya. Apa yang ditonton dalam drama-drama Korea kini berada di depan mata. Gembira betul mereka. Tidak habis-habis mereka bergaya mengambil gambar kenangan dengan pakaian masing-masing.

Mus juga sempat memujuk Maira bergambar berdua dengannya.

“Ish ish ish…padan betullah. Sesuai. ” Katanya dengan suara yang kuat sebaik sahaja melihat hasil tangkapan gambar yang diambil oleh Rania.

Maira rasa nak cubit sahaja mulutnya. Mengada betul.

“Aku? Padan tak?” Soal Munir pula sambil berdiri di sebelah Hanim.

Mereka yang lain menyambutnya dengan ketawa, sementara Hanim menjeling geram pada si Munir.

Mereka juga sempat bergambar dengan kanak-kanak comel berpakaian Hanbok. Mungkin pelancong dari dalam negara, atau pelancong dari Jepun dan China. Menonong sahaja si Hani meminta izin ibu bapa mereka untuk bergambar bersama. Comel sangat, tak boleh tahan!

Ada juga beberapa keping gambar Maira dengan Mus dengan dua orang kanak-kanak perempuan comel ditangkap oleh Rania. Sudah kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia. Mus tak berhenti-henti menayangkan gambar tersebut pada mereka yang lain. Suka betul dia dengan gambar yang diambil oleh Rania itu. Lebar sengihnya sampai ke telinga.

Lawatan mereka diteruskan lagi ke Gwanghwamun Square, dan Sejong Museum. Hari sudah gelap ketika mereka pulang ke hotel. Masing-masing keletihan, tetapi mereka gembira membawa pulang memori yang sangat indah dan pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti.

Alhamdulillah..terima kasih untuk nikmat ini Ya Allah.

 

SEMENTARA itu di Malaysia, Hadif sudah tidak senang duduk. Dibeleknya lagi gambar-gambar yang telah dimuat naik oleh Rania di akaun media sosialnya. Ada gambar Maira berdua dengan lelaki yang segak rupa parasnya. Ada juga gambar mereka berdua dengan anak-anak kecil berpakaian tradisional. Nampak seperti sebuah keluarga.

Dari semalam lagi dia sudah gelisah melihat gambar lelaki itu memberikan bunga pada tunangnya. Laju sahaja Rania memuat naik gambar-gambar mereka di sana. Sudahlah dia merindui gadis itu. Sekarang dia risau pula sekiranya ada yang cuba mencuri hati Maira.

Hadif sendiri pun sedar, perasaannya pada Maira hanya sebelah pihak. Tidak pernah sekalipun gadis itu menyatakan rasa sayang atau cinta padanya. Tetapi dia tahu Maira anak yang baik dan mendengar kata. Dan dia juga yakin Maira akan menjadi pasangan yang baik. Gadis itu akan menjadi isteri yang taat pada suami, sama seperti dia taat pada orang tuanya.

Hadif tidak kisah jika perlu berusaha seumur hidup untuk mendapatkan hati Maira. Yang penting, gadis itu diikat menjadi miliknya yang mutlak. Esok dia akan merayu pada ibunya untuk memujuk orang tua Maira supaya mempercepatkan majlis pernikahan mereka. Tidak sanggup rasanya dia nak menunggu gadis itu habis belajar. Bagaimana kalau dia berubah hati atau didekati oleh lelaki lain dalam tempoh itu?

Bunyi telefon bimbitnya menarik perhatian Hadif. Pantas dia menekan skrin, besar harapannya agar menerima mesej dari Cik Tunang.

Darling… you free tak malam ni Datanglah rumah I.. I rindu you lah..”

Mesej dari seorang kenalan perempuannya. Hadif meraup wajahnya. Dicampakkan telefon ke atas meja, lalu dia meneguk minuman keras yang sudah tinggal separuh di dalam gelas. Ditenungnya gelas tersebut. Bukan dia tidak tahu minuman itu haram bagi umat Islam.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.” (QS alMa’idah: ayat 90)

Begitu juga dengan zina.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” (QS Al Isra’ ayat 32)

Hadif tahu benar tentang semua itu. Tetapi dia sudah terbiasa dengan kehidupan begitu. Beberapa kali juga dia menyesal dan rasa bersalah pada Maira. Dalam tempoh mereka bertunang ini sahaja sudah beberapa kali dia berzina dengan kenalan-kenalan wanitanya.

Mujur juga dia tidak pernah ketahuan. Pandai dia menyimpan kemas perbuatan kejinya itu. Dipesannya pada wanita-wanita yang melayaninya supaya tidak membuka mulut. Disogoknya juga mereka dengan wang yang berjumlah besar.

Sebenarnya sedikit pun dia tidak punya perasaan pada wanita-wanita itu. Tidak seperti Maira yang memiliki seluruh hatinya. Tetapi untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan haram itu Hadif tidak mampu. Mungkin belum mampu. Bolehkah itu dijadikan alasan? Perlukah dia menunggu sehingga Malakul Maut datang menjemputnya sebelum mampu untuk bertaubat?  Bukankah waktu itu sudah terlambat?

Diraupnya lagi wajahnya. Dicapai semula telefon bimbitnya. Direnung gambar-gambar Maira yang tersenyum gembira. Rindu betul dia pada gadis itu.

 

ARI! Ari!” Panggil Ara tergesa-gesa.

“Eh Ara..kau buat apa kat sini?” Tanya Farhana pada Ara yang terjengah-jengah di bilik belajar.

“Farhana!” Dipeluknya kawan yang sudah beberapa ketika tidak ditemuinya itu.

“Mana Ari?” Soalnya tidak sabar.

“Ara…Ara sihat?” Tanya Encik Thalhah yang baru muncul di belakangnya dengan diekori oleh Ustazah Fatimah dan mama papanya.

“Alhamdulillah sihat… mana Ari ustazah?” Tanyanya pada Ustazah Fatimah yang memeluknya rindu.

Hari itu mama dan papanya membawa Ara menziarahi Rumah Anak Yatim Basyirah. Sudah sebulan lebih Ara tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur. Dua minggu pertama Ara tinggal di sana, dia jatuh sakit dan demam. Meracau-racau dalam tidur memanggil-manggil nama Ari. Mungkin masih terkejut dan dalam fasa penerimaan perpisahan dengan sahabat baiknya itu.

Setelah demamnya beransur kebah pula, Ara jadi murung dan pendiam. Kebanyakan masanya dia hanya mengangguk dan menggeleng bila diajak berbual. Sesekali dapatlah didengar suaranya bercakap sepatah-sepatah.

Bukan itu sahaja, Ara juga hilang selera makan. Puas mama dan papanya memujuknya untuk menjamah makanan. Pelbagai jenis hidangan yang lazat disediakan untuknya. Tetapi tetap tidak dapat membuka seleranya. Berat badan anak itu susut dengan teruk sehingga merisaukan ibu bapa angkatnya. Lalu mereka membuat keputusan untuk membawanya menziarah Rumah Anak Yatim Basyirah atas nasihat rakan-rakan mereka.

“Ara…Ari tak ada di sini…” Ujar Ustazah Fatimah perlahan.

Ara memandangnya dengan mata yang bulat. Tak ada?

“Ara… Ara ingat tak Pakcik Yusuf?” Soal Encik Thalhah pula, masih merangka ayat untuk menyampaikan berita itu padanya.

Ara mengangguk-angguk perlahan. Dadanya sudah mula dihimpit sebak. Kepalanya sudah berteka-teki mengenai berita yang bakal disampaikan.

Ara kenal dengan Pakcik Yusuf. Pakcik Yusuf selalu datang menziarahi mereka di situ dengan membawa pelbagai makanan, pakaian dan juga mainan. Pakcik Yusuf ialah orang yang terlibat dalam kemalangan dengan ibu dan ayah Ari. Dia juga kehilangan isteri dan anak lelakinya dalam nahas jalan raya tersebut. Khabar angin mengatakan, kemalangan itu berpunca kerana dia memandu dalam keadaan mengantuk.

Sudah beberapa kali dia meminta untuk mengambil Ari sebagai anak angkat, sejak mendapat tahu Ari ditinggalkan di Rumah Anak Yatim tersebut oleh bapa saudaranya. Tetapi setiap kali itu juga anak kecil itu menolak. Ari enggan berpisah dengan Ara.

“Beberapa minggu lepas Ara berpindah ke Kuala Lumpur, Pakcik Yusuf datang mengambil Ari tinggal bersamanya…” Berat Encik Thalhah menyampai berita itu.

Teringat dia betapa susahnya mereka semua memujuk Ari untuk bersetuju menjadi anak angkat Pakcik Yusuf. Anak itu juga mengalami kemurungan setelah Ara berpindah. Ari yang biasa tersenyum dan selalu ringan tulang membantu Pak Mail dan Mak Yam terlihat sentiasa muram dan lesu. Hilang sudah senyuman di wajahnya. Barangkali dia terlalu rindu pada Ara.

Pak Mail, Encik Thalhah, dan Ustazah Fatimah bersungguh-sungguh memujuknya untuk mengikut Pakcik Yusuf. Mungkin elok juga jika dia berubah angin di tempat baru. Peluang untuk melanjutkan pelajaran juga lebih baik. Akhirnya anak kecil itu hanya menurut kata mereka dengan wajah sedih.

Pakcik Yusuf yang juga sebatang kara, berhasrat untuk berhijrah ke luar negara. Dia tidak mempunyai keluarga lain lagi di Malaysia. Keluarga sebelah isterinya juga membuangnya dan memutuskan persaudaraan dengannya kerana menyalahkannya atas kematian anak dan cucu mereka.

Hari Ari berangkat mengikut Pakcik Yusuf, dia sempat mengirimkan sepucuk surat untuk Ara pada Encik Thalhah.

“Ari sekarang tinggal di luar negara… Ini ada Ari tinggalkan surat untuk Ara..” Encik Thalhah menghulurkan sekeping kertas yang berlipat kemas kepada gadis kecil itu.

Ara menyambutnya dengan linangan air mata.

“Assalammualaikum sahabatku Ara…,

Ara…, Alhamdulillah… Doa Ara untuk memiliki ibu dan ayah, dimakbulkan Tuhan. Sekarang Ara dah ada keluarga. Ari bersyukur dan gembira untuk Ara. Tapi, Ari rindukan Ara… dan Ari tahu…mesti Ara pun rindu sangat pada Ari kan? Kalau sehari Ara tak nampak senyuman kacak Ari, mesti Ara tak senang hati, kan?”

Ara tersenyum dalam tangisan membaca tulisan sahabatnya.

“Ara… Ari nak jadi kawan Ara sampai syurga. Walaupun kita terpisah jauh, atau berpuluh tahun sekalipun, Ari tetap tak akan lupakan Ara… dan Ari janji, suatu hari nanti, Ari akan cari Ara, kat mana pun Ara. Dengan izin Allah, Ari akan jumpa Ara semula. Ara tunggu Ari ya?

Tapi… Ara kena janji, jaga diri Ara baik-baik…, jaga kesihatan Ara. Ari tak nak Ara jatuh sakit. Hari tu, berapa hari Ara tak makan sebab Mimi meninggal. Ara jangan macam tu lagi, ya? Tak baik tau.. kita kena jaga nikmat kesihatan yang Allah bagi dengan baik.. barulah kita dapat buat ibadah dengan lebih baik kan…?”

Ara mengangguk angguk sendiri. Menitik-nitik air matanya tumpah ke tanah. Sebak mereka yang berada di situ melihat gelagatnya.

“Ara jangan selalu menangis lama-lama sangat ya? Nanti mata Ara bengkak lagi… menangis sekejap-sekejap sudahlah.. Ara kena selalu senyum. Kan ustazah Fatimah cakap, senyum tu sedekah… lagipun.., bila Ara senyum, dunia Ari akan bersinar dengan lebih terang.., kat mana pun Ari berada..

Ari akan sentiasa ingat Ara dalam doa-doa Ari.. inshaAllah.

Sahabatmu, Ari.”

Teresak-esak Ara menyudahkan bacaannya. Dipeluknya kertas nipis itu erat. Ustazah Fatimah mengusap-usap kepalanya penuh kasih.


MAIRA… hei…kenapa kau menangis ni?” Soal Rania cemas sambil menggoncang-goncang tubuh sepupunya.

Maira terpisat-pisat bangun. Rupanya dia terlelap di katil sambil menunggu giliran untuk membersihkan diri. Rania lah….lama sangat mandi.




No comments:

Post a Comment