ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
19
“DAHSYATLAH kisah korang ni…ada pulak pembunuh
psikopat yang berdendam dengan korang sejak kecil. Dah boleh buat novel cerita
korang ni, tau!” Bebel Munir sambil menyapukan ubat di luka tikaman di perut
Mus.
Beberapa hari telah berlalu sejak
peristiwa Ara dilarikan oleh Shahir. Shahir telah meninggal di tempat kejadian.
Pihak polis telah mengesahkan semua pembunuhan itu dibuat oleh Shahir,
berdasarkan keterangan Maira dan beberapa bukti yang ditemui di lokasi
kejadian, selain peralatan senjata yang mempunyai DNA mangsa.
Mus pula bernasib baik kerana tikaman
di perutnya tidak mencederakan organ dalamannya. Dia dibenarkan pulang berehat
di rumah selepas 3 hari berada di hospital. Maira tidak mengalami sebarang
kecederaan, selain tangan dan kaki yang berbekas akibat kesan ikatan.
Menangis-nangis Hanim menelefon Munir
supaya menghubungi Mus dan memaklumkannya mengenai kehilangan gadis itu tempoh
hari. Sebaik sahaja Mus dapat mengesan lokasi Maira, dia telah memaklumkan
situasi tersebut kepada pihak polis dan bergegas ke tempat kejadian.
Dengan izin Allah, tindakan pantas
mereka berjaya menyelamatkan nyawa Mus dan Maira, sekaligus menghalang lebih
ramai nyawa dari terkorban di tangan psikopat tersebut.
Pihak polis masih belum dapat
memastikan jumlah sebenar mangsa yang telah dibunuh oleh Shahir. Dianggarkan
sudah puluhan orang yang menjadi korbannya dalam tempoh beberapa tahun.
“Alah..kisah kau pun sama juga, boleh
buat novel. Bertemu cinta di negara oppa.”
Tempelak Mus.
Sengaja mengusik Munir yang bakal
melangsungkan pernikahan dengan Hanim tidak lama lagi.
“Haishh…takdelah setragis kisah
kau, pertemuan semula cinta pertama…” Perli Munir pula.
“Eh.. Maira, tak jadi kahwin dengan
mamat perasan macho tu kan?” Soal
Munir, perasan riak wajah Mus yang agak berubah.
Mus hanya menjungkitkan kedua bahunya.
Belum sempat Munir menyambung bicara,
mereka dikejutkan dengan bunyi loceng pintu apartment mereka.
“Hmm..tu sampai dah. Buah hati
pengarang jantung kau.” Ujar Munir sambil bangun membuka pintu.
Mus menyarungkan baju dan membetulkan
duduknya.
“Assalammualaikum…” Sapa Maira ceria.
Hanim, Hani dan Pak Saad juga ada
bersamanya. Mereka membawa bungkusan makanan dan buah-buahan datang menziarahi
Mus.
“Waalaikumussalam…duduklah Ara..” Sahut
Mus sambil tersenyum manis.
“Macam mana keadaan Ari? Luka sakit
lagi?” Soal Maira.
“Tadi sakit, dah nampak Ara ni, langsung
hilang dah semua sakit.” Ujar Mus berseloroh.
“Kalau macam tu, Maira kena datang
hari-harilah, baru sakit Mus ni cepat lega…” Usik Pak Saad pula sambil
bersalaman dengan Mus.
“Hmmphh..memang hari-hari pun
dia datang Pak Saad… tinggal nak angkut kain baju aje datang duduk sini…” Usik
Munir pula. Tangannya sibuk membantu Hanim dan Hani menghidangkan makanan yang
mereka bawa.
“Eleh…dia juga yang untung, kan.. Maira
bawa makanan sedap tiap hari…” Sampuk Hanim pula, mengenakan kekasihnya.
“Eh..shh…janganlah pecah
rahsia…” Jawabnya sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.
Ketawa mereka dengan kerenahnya.
Deringan telefon bimbit Maira mematikan ketawa mereka.
“Hello
Assalammualaikum…” Tenang Maira menyapa si pemanggil.
“Hah? Allahu Akbar…” Nada suara Maira
berubah, membuatkan mereka yang lain menumpukan perhatian kepadanya.
“Mus? Err…baiklah… Maira cuba.”
Sahutnya selepas berbual seketika.
“Kenapa tu?” Soal Pak Saad risau.
“Hadif call…, katanya ayah dia, Dato’ Hariz kena serangan jantung sejak
malam semalam. Sekarang tengah tenat…doktor minta ahli keluarga bersedia..”
Maira mula memberi penjelasan.
Dia terdiam seketika. Patutlah Hadif
tidak menghubunginya sejak semalam.
“Doktor tak tahu macam mana nak buat
lagi sebab keadaannya kritikal, dia sakit teruk tetapi masih bertahan.
Macam…ada yang menghalang… dia nasihatkan panggil ustaz yang tahu tentang ni…
dan ustaz tu pesan pada ahli keluarga, sekiranya pesakit ada pernah buat salah
pada siapa-siapa, elok dipanggil orang tu supaya dia dapat minta maaf… mudahan dipermudahkan
urusan sakaratnya…” Sambung Maira.
“…lepas tu.., Hadif cakap mummy dia minta dia bawakan Mus…”
Ujarnya lagi sambil mmandang tepat ke arah Mus.
Terpinga-pinga lelaki itu dibuatnya.
Mereka yang lain turut kehairanan. Apa pula kaitan Mus dengan ayah Hadif?
“Maira pun tak tahu kenapa…” Tambah
Maira lagi sambil memandang mereka yang lain.
“Mus boleh ke, pergi ke hospital? Boleh
bangun?” Soal Pak Saad setelah mereka diam seketika.
“Boleh Pak Saad…saya boleh jalan
perlahan-lahan.” Jawab Mus.
“Kalau macam tu eloklah kita pergi
tengok sekejap.” Nasihat Pak Saad.
Mereka yang lain menganggukkan kepala
dan berkemas untuk ke hospital.
“ARI….
Ari…maafkan aunty…” Datin Zara meluru
ke arah Mus sebaik sahaja pemuda itu melangkah masuk ke dalam wad VIP tersebut.
Bulat mata Mus dan mereka yang lain.
“Ari…dah tak kenal aunty?” Soal Datin Zara sambil menangis tersedu-sedu.
Mus cuba mengamati wajah wanita itu
dengan teliti. Pertama kali mereka bertemu ialah di depan bilik mayat sewaktu
Datin Salimah meninggal. Dia hanya memandang sekilas sahaja pada orang tua
Hadif ketika itu. Berkerut dahi Mus. Ingatannya masih samar-samar.
“Ini aunty, Ari… aunty Zara,
ibu saudara Ari. Kamu Kairi Musyrif Bin Hamzah kan? Itu Uncle Hariz kamu, adik kandung arwah ayah kamu.” Jelas Datin Zara,
masih rancak menangis.
Terkejut Mus mendengar pengakuan Datin
Zara. Berpinar sekejap pandangannya. Mujur Munir menahan tubuhnya yang sedikit
terhuyung-hayang.
“Ini pula sepupu kamu, Hadif.”
Sambungnya.
Hadif sendiri kelihatan terkejut dengan
pengakuan ibunya. Sepupu?
“Maafkan kami Ari… kami banyak berdosa
dengan Ari, kami ambil semua harta peninggalan arwah abang Hamzah, dan
tinggalkan Ari di Rumah Anak Yatim…” Semakin kuat esakan Datin Zara
menceritakan kisah lalu.
“Kami makan harta anak yatim…!”
Raungnya lagi.
Peluh dingin merenik di dahi Mus.
Nadinya mula berdenyut laju. Mukanya terasa panas. Mereka yang lain turut
terpempan mendengar butir bicara Datin Zara.
“Ari…tolong Ari.. Uncle Hariz sedang tersiksa Ari.. tolonglah maafkan dia supaya dia
dapat pergi dengan tenang…” Rayu Datin Zara mengharapkan kemaafan dari pemuda
itu.
Pemuda yang telah dizalimi hidupnya
seawal usianya 5 tahun. Suami isteri itu berseronok dan bersenang-lenang dengan
harta yang sepatutnya menjadi milik anak kecil itu, sehingga sekarang. Mereka
yang lain hanya mendiamkan diri menunggu respon Mus. Rasa hiba dan simpati
kepadanya berbondong-bondong bertandang di dalam hati masing-masing. Maira dari
tadi lagi sudah menangis sedih.
Usapan lembut Pak Saad di bahu Mus
menyedarkannya dari terus tergamam. Perlahan dia melangkah menghampiri Dato”
Hariz yang sedang terlantar, tercungap-cungap menyedut nafas di atas katil.
Tangannya yang diangkat lemah, terketar-ketar cuba menggapai Mus, disambut
pemuda itu dengan cermat.
Bunyi nafas bapa saudaranya semakin
kuat. Kedengaran begitu sakit dan menyiksakan.
“Ari maafkan uncle…” Ujar Mus perlahan sambil menangis.
Nafasnya ditarik beberapa kali lagi
dengan kuat, sebelum dia diam tidak bersuara. Innalillahiwainnailahiroji’un….
Dato Hariz telah kembali menghadap Sang Pencipta. Bergema suara tangisan Hadif
dan ibunya di dalam bilik itu, meratapi pemergian ayah dan suami tercinta.
“KITA
teruskan pernikahan kita weekend ni.”
Ujar Hadif secara tiba-tiba sewaktu di dalam kereta.
Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah
sewa Maira. Hadif menghantarnya pulang setelah datang menziarah ibunya di
rumahnya. Baru beberapa hari berlalu sejak kematian ayahnya, Dato’ Hariz. Kini
Hadif menyatakan niatnya untuk meneruskan pernikahan mereka esok lusa.
“Apa yang Hadif cakap ni?” Soal Maira
tidak faham.
Hadif mendiamkan diri. Fikirannya
melayang mengingatkan perbualannya dengan ayahnya ketika lelaki itu masih boleh
bercakap selepas terkena serangan jantung.
“Hadif….. jangan ambil hak Ari… jangan
ambil hak Ari…” Ujarnya berulang-ulang sambil menggenggam erat tangan anaknya.
Setelah itu, kondisinya memburuk dengan
cepat dan dia nazak.
“I
cakap, kita nikah weekend ni.”
Tegasnya lagi.
Maira terdiam. Hadif juga mendiamkan
diri.
Teringat pula perbualannya dengan
ibunya setelah pulang dari kubur arwah Dato’ Hariz.
“Hadif…mama rasa kita kena pulangkan
semua harta Ari… dah cukuplah apa yang kita ambil dari dia. Arwah daddy pun pasti mahukan perkara yang
sama.” Ujar Datin Zara.
“Eh mana boleh macam tu mummy.. habis tu macam mana dengan
Hadif? Tak kan nak suruh Hadif hidup melarat?” Bantahnya. Tidak berpuas hati
dengan keputusan ibunya.
“Kita hidup senang sampai sekarang ni
pun…, atas harta Ari yang ditinggalkan arwah orang tuanya, Hadif.” Tegas Datin
Zara.
Hadif mengenggam penumbuk. Masih tidak
puas hati. Patutlah semasa terjumpa Mus di depan bilik mayat tempoh hari, ibu
bapanya terkejut sangat. Sampai ayahnya diserang sakit dada. Selepas itu, tidak
berhenti pula mereka bertanya soal Mus kepadanya. Malah, ayahnya turut bertanya
pada Pak Saad mengenai Mus.
“Seperkara lagi Hadif. Daddy bagitahu pada mummy, yang Ari membesar dengan Maira di Rumah Anak Yatim Basyirah.
Mereka bertemu semula semasa Maira melancong ke Korea. Dan…walaupun mereka tak
cakap, tapi semua orang di sekeliling mereka tahu, yang mereka saling
mencintai..” Tambah Datin Zara lagi.
“Lepaskanlah Maira sayang, jangan
diambil lagi hak Ari…” Pinta ibunya penuh pengharapan.
Hadif mendengus. Fahamlah dia pesanan
terakhir ayahnya padanya supaya tidak mengambil hak Mus.
“HADIF…dengar
tak, apa Maira cakap ni?” Panggil Maira apabila dilihatnya Hadif seperti sedang
mengelamun.
Hadif memusingkan keretanya secara
mendadak kemudian berhenti di tepi jalan. Terkejut Maira dengan tindakannya.
“Apa tadi? Tak dengar.” Ujar Hadif
tenang selepas menarik dan menghembus nafas beberapa kali.
Maira menelan air liur.
“Maira cakap.., Maira minta
maaf…tapi…Maira tak dapat teruskan pernikahan kita…” Ujarnya perlahan.
Hadif memandang tepat ke arahnya.
Mukanya memerah. Sekali lagi Maira menelan air liur.
“Maira…Maira minta maaf sangat..tapi
Maira tak ada perasaan cinta pada Hadif… Maira terpaksa ikut permintaan mama
dengan papa untuk bertunang dengan Hadif…” Sambungnya lagi dengan suara
menggigil.
“Habis tu?! Ada perasaan cinta pada
siapa?! Pada Mus?!” Bentak Hadif sambil menghentak tangannya ke stereng kereta.
Maira tersentak dan mula hendak
menangis. Takut melihat Hadif naik angin begitu.
“Tak..tak… Hadif tak boleh kehilangan
Maira…tolonglah faham.. Hadif betul-betul cintakan Maira…” Ujar Hadif
mengendurkan suara. Air matanya mula mengalir.
“Lagipun, Maira sanggup ke nak
hancurkan harapan mama dan papa Maira? Bukan ke amanat terakhir diorang adalah
untuk lihat kita kahwin? Untuk Hadif jaga Maira? Maira tak nak jadi anak
derhaka, kan?” Ujar Hadif lagi, memulakan permainan psikologi dengan Maira.
Maira diam menunduk. Memang itu satulah
kelemahannya. Dia tidak mampu ingkar dengan orang tuanya. Meskipun mereka telah
tiada. Meskipun perkara ini berkaitan dengan hidupnya.
Sedikit pun dia tidak tahu, bahawa mama
dan papanya hanya menginginkan dia bahagia. Hanya mereka terlambat menyedari,
yang cinta Maira adalah pada Mus, bukannya Hadif. Datin Salimah sendiri pun
sudah merancang untuk memutuskan pertunangan mereka, sebelum dia dibunuh.
“Maira tahu, apa yang daddy pesan pada Hadif, sebelum dia
nazak?” Soal Hadif.
Maira masih menundukkan wajahnya.
“Daddy
pesan, supaya kita teruskan pernikahan, dia nak sangat tengok kita menikah.”
Ujar Hadif sambil menelan liur.
Cuba menyembunyikan rasa bersalah
kerana mengucapkan kata-kata dusta. Saat ini, apa pun sanggup dilakukannya agar
tidak kehilangan Maira.
“Maira tak sekejam tu kan, nak abaikan
permintaan orang yang sedang nazak… dan amanat terakhir orang tua kita…”
Tambahnya lagi.
“Hey..Maira..Maira
pandang Hadif…” Pintanya lembut.
Perlahan Maira mengangkatkan kepalanya.
Basah wajahnya dengan air mata. Hadif cuba mengesat air matanya, tetapi dia
melarikan wajahnya. Akhirnya, lelaki itu hanya menghulurkan tisu untuknya.
“Hadif janji…Hadif akan berusaha setiap
hari untuk dapatkan hati Maira, untuk buat Maira jatuh cinta pada Hadif, lepas
kita kahwin nanti.” Pujuknya, masih dengan nada yang lembut.
“Dah…, jangan menangis ya sayang..
Hadif janji akan bahagiakan Maira..” Ujarnya lagi.
Maira tidak dapat menghentikan air
matanya dari terus mengalir.
“Allah…bantu aku…” Rintih Maira.
Laluan di hadapannya terasa kelam,
gelap dan pekat. Tidak nampak jalan keluar.
PETANG itu seperti biasa, Maira datang
melawat Mus di rumahnya. Ada Hanim menemankannya. Bukan main sakan lagi Munir
mengusik dan bergurau senda dengan buah hatinya seorang itu sambil
menghidangkan makanan di meja. Sementara Maira dan Mus pula masing-masing
terdiam di sofa. Terlalu banyak yang ingin mereka katakan, tetapi tidak satu
perkataan pun berjaya keluar dari mulut masing-masing.
“Assalammualaikum….” Sapa Hadif di muka
pintu. Dia baru mendapatkan tempat parkir untuk kereta mereka.
“Waalaikumsalam… eh..Hadif, masuklah…” Pelawa Mus, agak terkejut kerana
tidak sangka Hadif juga ada datang bersama mereka.
“Macam mana keadaan kau?” Soal Hadif
sambil bersalaman dengan Mus.
“Err…Alhamdulillah ok…” Jawab Mus.
Munir dan Hanim sedang sibuk bermain
isyarat dengan mata dan kening di meja makan. Munir pun terkejut dengan
kehadiran lelaki itu. Geram dia pada kekasihnya kerana tidak memberitahunya
lebih awal.
“Baguslah kalau dah ok… bolehlah kau datang pernikahan aku
dengan Maira weekend ni…” Jemput
Hadif dengan bersahaja. Ada sedikit nada sombong pada suaranya.
Mus tidak sempat menyembunyikan riak
wajahnya. Dia benar-benar terkejut, tidak kurang juga terluka dengan berita
tersebut. Matanya mula berkaca.
Munir pula sudah terlopong. Dibulatkan
matanya pada Hanim. Gadis itu cuma terkebil-kebil menayangkan muka tidak
bersalah.
“Ni…kah.. weekend ni…?” Soal Mus tergagap-gagap. Cuba memastikan yang dia
tidak tersalah dengar.
Maira pula hanya tunduk membisu.
Hakikatnya, dia cuba menyembunyikan pilu di hati. Sedaya upaya cuba ditahannya
air matanya dari mengalir keluar.
“Ha’ah, weekend ni. Kau kena datanglah, kau kan sepupu aku.” Ujar Hadif
selamba.
“Korang pun jemput datang ya,
kitorang cuma buat majlis kecil je, nikah di pejabat agama. Ada keluarga
terdekat dan kawan-kawan rapat je…” Jemputnya sambil memandang ke arah
Munir dan Hanim.
Mereka berdua hanya tersenyum sambil
menganggukkan kepala.
“Err…mummy aku pesan, suruh bincang dengan kau pasal harta tu…”
Kata-kata Hadif terhenti. Wajahnya gelisah.
“Takpelah…aku halalkan semuanya
untuk kau sekeluarga. Aku tak perlukan semua tu…” Mudah sahaja Ari
berkata-kata.
Bulat mata Hadif mendengarnya. Tidak
sangka.
“Tak perlu pulangkan apa-apa.”
Sambungnya lagi sambil tersenyum ikhlas.
“Err…terima kasih…” Ujar Hadif
lambat-lambat.
Dia mengenggam penumbuknya sendiri.
Walaupun egonya sedikit tercalar, tetapi dia sedikitpun tidak mahu kehilangan
segala harta keluarganya. Dia tidak sanggup hidup susah. Rasa bersalah pada Mus
dibuangnya jauh-jauh. Rasa kagum dengan keperibadian lelaki itu juga
dicampakkan ke tepi. Apa yang penting, harta, dan juga cinta, menjadi miliknya.
Pandangan mata mereka berdua akhirnya
jatuh pada Maira yang masih tunduk mendiamkan diri.

No comments:
Post a Comment