Sunday, June 2, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 18)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 18

“MELAMPAU!” Isha mengulangkan ayat yang sama seperti abangnya setelah diberitahu tentang apa yang berlaku. Keras dan bergetar suaranya menahan marah.

“Itulah..tadi si Farhan datang hantar depan pagar je.. katanya budak-budak ni terjatuh masa main di taman…., lepas tu terus cepat-cepat gerak balik.” Maklum Syara perihal Farhan yang datang menghantar pulang anak-anak buahnya itu ketika dia bersendirian di rumah. Kedua-dua Ammar dan Akmal pula sedang enak tidur siang di bilik mereka.

“Abang dah call dia suruh datang semula sekarang jugak. Kalau tak kita buat laporan polis.” Aqmar Alif bersuara tegas. Menyirap darahnya melihatkan keadaan anak-anak kak Leeya yang kini berada di bawah tanggungjawabnya.

Awalnya selepas dia pulang dari kerja dan terkejut melihat keadaan mereka tadi, kedua-duanya hanya mengatakan yang mereka terjatuh ketika bermain di taman permainan. Tetapi setelah Fara Afiya menanggalkan tudungnya dan mendedahkan rambutnya yang bagaikan dipotong-potong sesuka hati, mereka mula berasa curiga.

Syara memeriksa seluruh tubuh mereka dan menemui kesan-kesan kecederaan yang mencurigakan, seperti bekas dicucuh dengan puntung rokok, serta kelecuran aneh dan kesan-kesan lebam yang banyak, membuatkan suami isteri itu terpaksa mendesak anak-anak itu untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.

Waktu itulah Fara Afina menangis dan menceritakan hal sebenar, yang mereka dua beradik telah didera dengan teruk oleh ami mereka di sana. Mereka dipaksa menjaga adik tiri mereka yang masih bayi, termasuk menguruskan najisnya, selain dilambakkan dengan kerja-kerja rumah. Bila berlaku sedikit kesilapan, teruk mereka dipukul oleh si ibu tiri. Lebih mengewakan, Farhan hanya membiarkan sahaja mereka diperlakukan begitu di depan matanya.

Tangan Fara Afiya, dikilas dengan kuat hanya kerana tidak membersihkan punggung Rayhan Syakila dengan betul. Sampai patah tangan anak kecil itu dibuatnya. Rambutnya pula digunting-gunting oleh Raheeya kerana anak itu tidak mengeringkan rambutnya dengan baik selepas mandi. Air yang menitis dari rambut dan membasahi lantai menyebabkan wanita itu tergelincir. Apa lagi, mengamuk dia memarahi anak itu sambil memukul dan menggunting-gunting rambutnya.

Fara Afina pula yang ketika itu menangis-nangis menarik tangannya memintanya berhenti dari menyakiti kakaknya, dilempang berkali-kali sehingga pecah berdarah bibirnya. Tidak cukup dengan itu, kepala anak itu dicekak dan dihantukkan ke lantai mozek sehingga terkoyak dan perlu menerima jahitan. Lebih teruk lagi, Raheeya begitu berani mencekik leher anak kecil itu sebelum Fara Afiya memukul-mukulnya dari belakang dan menarik adiknya lari dan menguncikan diri dalam bilik.

Selepas Fariz Farhan pulang barulah anak-anak itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Pandai suami isteri itu berdalih menyembunyikan punca kecederaan. Kedua-dua Fara pula diugut agar tidak menceritakan perkara sebenar kepada sesiapa. Padanlah mereka jarang berhubung dengan Isha sepanjang berada di sana. Telefon mereka dipegang oleh Raheeya, dan hanya dibenarkan menghantar pesanan ringkas dalam pemantauannya.

“Allahu Akbar…” Hud Hurairah bersuara geram. Mereka benar-benar melampau!

Teruk Isha menangis berpelukan dengan anak-anak gadisnya. Sakit tercarik hatinya, koyak-rabak, bagai disiat-disiat hidup-hidup, mendengarkan pengalaman ngeri mereka selama bercuti di sana. Sungguh tidak terjangka langsung olehnya perkara begini boleh berlaku. Langsung tak terlintas!

 

BUNYI kereta yang masuk ke perkarangan rumah mengalihkan perhatian mereka. Aqmar Alif bergegas melangkah laju ke luar. Meruap-ruap rasa marahnya, panas berbahang rasa kepalanya.

“Hud…tolong tengokkan Alif..!” Teriak Syara meminta lelaki itu mengejarnya, bimbang berlaku pergaduhan besar dengan Fariz Farhan yang baru tiba.

Belum sempat Fariz Farhan keluar sepenuhnya dari kereta, leher bajunya sudah dicekak kemas oleh Aqmar Alif, memaksa dia keluar. Belum sempat Aqmar Alif melayangkan penumbuknya ke wajah lelaki itu, Isha tiba-tiba meluru dengan pantas. Terus dia menerpa tanpa sempat dihalang oleh abangnya.

“Setannnnn….!” Pekiknya kuat, merempuh dan menolak tubuh Fariz Farhan.

Tumbukan demi tumbukan menghentam wajah dan badan lelaki malang itu. Isha berterusan memukulnya dengan membabi buta. Dia benar-benar naik gila!

Terpempan mereka yang lain dibuatnya dengan tindakan Isha yang tidak disangka-sangka. Memang silap besar orang yang berani menyentuh ‘nyawa’ seorang ibu.

Aqmar Alif yang bagaikan baru tersedar dari mimpi terpaksa merangkul tubuh Isha sekuat hatinya. Bimbang Fariz Farhan tercedera dengan teruk. Lelaki itu langsung tidak sempat mempertahankan dirinya. Terkulai lembik dia di tanah.

“Isha! Isha! Sabar Isha!” Pekiknya cuba menenangkan adiknya yang mengamuk bagaikan dirasuk.

Dalam kelam kabut itu pula, Raheeya terkocoh-kocoh turun dari kereta. Kalut dia menerpa suaminya yang terduduk di tanah.

Heyyy jangan pukul laki aku!” Marahnya.

Nampak sahaja wajah wanita itu, Isha terasa kepalanya seperti terbakar dan meletup. Dironta kuat tubuhnya melepas rangkulan abangnya lalu dia meluru ke arah wanita tersebut. Dalam kiraan sedetik sahaja, dia sudah melayangkan penampar ke wajah itu sekuat-kuat hatinya. Menjerit menangis perempuan itu dibuatnya. Pedih pijar ditempeleng dengan begitu kuat.

Terkial-kial Aqmar Alif kembali merangkul adiknya dan menariknya menjauhi suami isteri itu. Berpeluh-peluh dia berhempas-pulas memeluk adiknya sepenuh kudrat. Syara sudah menangis berpelukan dengan Fara Afiya dan Fara Afina. Cemas, takut semuanya bercampur baur melihatkan situasi tak terjangka itu di depan mata.

“Allahu Akbar Alya Alisha Arif!. Ingat Allah! Mengucap!” Hud Hurairah bersuara sambil menghadang pandangan Isha dari pasangan suami isteri itu dengan tubuhnya.

Dalam kekecohan itu pula, kedengaran suara anak kecil menangis dari dalam kereta. Kelihatan Rayhan Syakila sedang berdiri menangis di tempat duduk beakang kereta. Mungkin baru terjaga dari tidur. Dengan izin Allah, tangisan anak itu berjaya mengembalikan kewarasan Isha. Perlahan-lahan dia berhenti menggelupur dalam pelukan abangnya.

“Allah…astaghfirullahalazim…” Ucapnya perlahan.

Perlakuan Raheeya yang terus-menerus menangis di samping suaminya membuatkan Hud terpaksa menghampiri Rayhan Syakila dan mendukungnya keluar dari kereta. Dia cuba menyerahkan anak kecil itu kepada ibunya, tetapi Raheeya bereaksi aneh. Fariz Farhan yang terpaksa menyambut anaknya lemah.

“Alif…Isha… abang Farhan minta maaf..” Ujar lelaki itu mengesak tangis.

“Fiya…Fina…abi minta maaf sayang…” Esaknya lagi sambil memandang sayu ke arah kedua puterinya.

 

ISHA masih merangkul anak-anak kesayangannya erat. Bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Air matanya juga masih lagi meleleh sekejap-sekejap. Berhentinya sekejap, mengalirnya lama. Tak tertahan sebak melihatkan keadaan mereka. Apatah lagi apabila membayangkan apa yang anak-anak tidak bersalah itu lalui.

“Kesian kak Fiya dengan kak Fina…” Akmal yang berada di ribaan Syara bersuara sambil menyebik. Terkejut dia melihat keadaan kakak-kakak sepupunya  yang bersimen dan berjahit.

Ha’ah..mesti sakit kan pakai tu…” Sahut Ammar yang berada di samping ayahnya pula, sambil mengunjukkan simen putih yang membaluti lengan Fara Afiya.

Orang dewasa yang lain yang berkumpul di ruang tamu itu hanya mampu menelan air liur masing-masing. Semua yang berlaku terasa bagaikan mimpi. Masih terngiang-ngiang di telinga masing-masing, pengakuan Fariz Farhan sebentar tadi.

 

ISHA… Alif… abang Farhan mengaku.. memang isteri abang yang sihirkan keluarga kamu…” Ujarnya tersangkut-sangkut dengan esakan yang belum mereda.

“Dia yang sihirkan kak Leeya kamu… sampai dia meninggal.. ayah dengan ibu pun sama…Allahhh…. Ampunkan kami ya Allahh….” Raung Fariz Farhan hiba.

Isha dan Alif saling berpandangan antara satu sama lain. Kedua-duanya seakan mencungap menahan sesak di dada. Nafas masing-masing menjadi berterabur tidak terkawal.

“Allahhh ampunkan kami ya Allahhh… ampunkan abang Farhan Alifff…Ishaaaa…” Raung lelaki itu lagi.

Menggigil kedua kaki Isha mendengar pengakuannya. Wajah-wajah orang tercintanya bersilih ganti terlayar di ingatan. Puan Leha… Encik Arif… Kak Leeya… apa dosa mereka… apa dosa mereka sehingga dizalimi begitu sekali.. Melorot Isha jatuh melutut ke bawah. Aqmar Alif yang masih merangkul tubuh adiknya erat turut ikut terduduk ke tanah. Tiada daya lagi untuk sepasang kakinya menampung tubuhnya sendiri ketika itu.

“Allahhh…..” Mengesak tangis lelaki itu di samping adiknya.

Dadanya terasa seperti dihentak dengan sebongkah batu yang besar lagi berat. Isha yang masih mencengkam lengan abangnya erat ikut meledakkan tangis yang hebat. Tiada sepatah kata pun lagi yang mampu terbit di bibirnya yang menggeletar menahan perit di hati. Hanyut dua beradik itu dalam rasa sakit yang mengasak segenap ruang dada, pilu yang menyentak kuat tangkai hati.

 

Ya Allah…sesungguhnya tidak berlaku segala sesuatu tanpa izinMu ya Allah…

Ya Tuhan…kuatkan hati hamba-hambaMu dalam menerima takdir ketentuanMu ya Allah.. jadikan kami hidup dalam keredhaanMu… jadikan kami mati dalam keredhaanMu…

 

ISHA kembali mengesat air mata yang mengalir lebat untuk kesekian kalinya. Fariz Farhan telah mengakui, perbuatan khianat Raheeya kepada keluarga mereka, sedari awal lelaki itu menikahi Aleeya Aqma. Sehinggakan peristiwa Isha diserang di pasaraya juga adalah angkaranya.

Tidak mudah untuk dia menyihir keluarga yang sentiasa mendahulukan Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan mereka. Bersusah payah dia mencari bomoh yang handal untuk menyihir keluarga itu dengan niat mendatangkan maut. Bukan seorang dua diupahnya.

Nyaris sahaja rancangannya gagal. Sehinggakan timbul pula akal untuk mengupah orang mencederakan, dan tidak keterlaluan dikatakan, mengambil nyawa Isha. Namun dalam perlindungan Allah, rencananya itu juga tidak berjaya.

Termasuk juga rancangan sihir jahatnya yang menggunakan khidmat bomoh hebat kali ini. Di mana usaha Ustaz Abbas dan rakan-rakan segurunya serta anak didiknya melakukan solat sunat hajat khusus untuk membantu keluarga itu berhasil menghapuskan syaitan dari bangsa jin yang menjadi rakan sekongkol mereka.

Difahamkan bomoh tersebut mengalami kecederaan dalaman pada tubuhnya yang tidak dapat dijelaskan oleh perubatan moden. Dengan izin Allah, ajalnya sampai dalam keadaan kufur. Manakala Raheeya pula semakin kehilangan akal warasnya saban hari.

Bermula dengan rungutan tentang rasa panas membahang di tubuhnya, sehingga muncul tompok-tompok kelepuhan di merata-rata bahagian tubuhnya. Bukan itu sahaja, Raheeya bertukar menjadi pemarah dan panas baran. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Acap kali dia memulakan pertelingkahan dengan suaminya atas perkara-perkara yang remeh. Anak kandungnya sendiri, Rayhan Syakila juga sering dimarahi dan ditengking.

Pada kemuncaknya, Fara Afiya dan Fara Afina yang tidak bersalah menjadi mangsa lampiasan amarahnya. Nyaris sahaja terjadi kecederaan yang lebih parah kepada keduanya. Segala puji bagi Allah yang memberi perlindungan kepada hamba-hambaNya yang tidak berdaya.

Hasbunallah wa ni’mal wakeel.

Dan sekarang, tingkah Raheeya berubah persis orang kurang siuman. Bercakap sendiri, enggan memakai pakaian dengan baik, terjerit-jerit ketakutan dan sesekali meraung seolah diserang kepanasan yang amat sangat. Anak perempuannya sendiri juga seperti tidak dikenalinya lagi. Hanya suaminya seorang sahaja yang mampu memujuk dan menenangkannya.

Allahu Rabbul al Amin..

 

TAKLAH…tak sakit dah… masa ami pulas tangan kak Fiya je sakit. Sekarang tak sakit dah. Kak Fiya kan kuat. Nanti baiklah ni.” Jawab Fara Afiya yakin. Sekaligus mematikan lamunan mereka yang lain.

Ha’ah…mama kan fisioterapi. Nanti mama boleh tolong buatkan tangan kakak bagi baik balik, kan mama?” Sampuk Fara Afina pula.

Meleleh lagi air mata Isha dibuatnya. Aqmar Alif sendiri kelihatan sugul dengan kesan air mata yang mengering di wajah. Langsung diam tidak bersuara sejak tadi. Mungkin dihimpit dengan rasa rindu kepada arwah ayah ibu serta kakak sulungnya. Mungkin juga sedang berperang hebat dengan perasaan sendiri, yang memberontak merasa dizalimi. Mujurlah perbuatan jahat mereka  itu dapat dihentikan…, sebelum dia kehilangan lebih ramai orang tersayangnya.

Allahu Akbar.

“Mestilah…kuat anak cikgu ni.. kan dah belajar taekwondo kan..” Puji Hud Hurairah… cuba melayani sang anak kecil, yang mungkin sudah tercedera jiwanya.

“Haa..mama ngah pun dah pandai buat fisioterapi tau.. mama ngah pun boleh tolong kakak Fina.” Ujar Syara mesra, mengikut rentak Hud.

“Eh…anak cikgu? Fiya boleh jadi anak cikgu ke? Mama nak kahwin dengan pak cik ke?” Tiba-tiba Fara Afiya mengutarakan soalan cepu emas.

Terdiam mereka seketika dibuatnya.

“Err… boleh ke.. kalau pakcik nak kahwin dengan mama Fiya?” Hud bersuara perlahan, tak dapat menahan diri dari rasa ingin tahu yang menghantui diri sejak awal dulu.

“Mestilah bolehh…!!” Sahut kedua-dua Fara serentak dengan wajah ceria.

Reaksi mereka sedikit sebanyak mengejutkan mereka yang lain.

“Fiya dengan Fina..suka kalau pakcik Hud jadi ayah Fina dengan Fiya?” Soal Syara pula, cuba mengenal pasti isi hati sebenar kedua-dua gadis kecil itu.

“Suuuukaaa sangat! Pakcik Hud handsome…baik…” Petah si adik menyuarakan isi hati.

“Fiya pun suka. Bila Pakcik Hud usik mama, mama jadi malu-malu. Hehehe…” Lapor si kakak sambil menekup mulut ketawa-ketawa.

Aduh, sememangnya anak-anak seusia ini cepat sahaja menangkap perlakuan orang dewasa di hadapan mereka.

Hud Hurairah tersenyum simpul. Lega, lapang rasa dadanya dengan penerimaan si kecil yang bakal menjadi permata hatinya nanti.

“Eh.. Pakcik Hud handsome lagi ke..baba ngah handsome lagi.” Soal Aqmar Alif dengan suara serak.

Hatinya mula terasa sedikit ringan, dengan kebahagiaan yang bakal menyinari keluarga kecilnya itu. Keluarga yang menjadi amanatnya. Keluarga yang akan dilindungi sepenuh kudratnya. Keluarga pemberian Tuhannya. Anugerah tidak ternilai.

“Pakcik Huddd….!” Jerit keduanya spontan, tanpa ragu-ragu.

Aqmar Alif mencebik dan menjeling, pura-pura merajuk..sebelum tertawa kecil. Bahagia.

Isha sendiri turut tersenyum dalam linangan air mata.

 

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusan adalah baik baginya.

Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.

Apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”

[HR. Muslim no.2999]




No comments:

Post a Comment