Monday, August 4, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 3)

 


Bab 3

“ABANG Harris....” Panggil Lana perlahan apabila dilihat bola mata Harris bergerak-gerak di bawah kelopak matanya yang tertutup. Dahinya juga kelihatan berkerut-kerut.

Harris mula membuka mata perlahan-lahan. Terkejip-kejip sekejap dia dibuatnya, menahan silauan lampu di siling. Pantas sepasang matanya mencari kelibat Lana, setelah pandangannya dapat difokuskan dengan baik. Spontan dia tersenyum manis setelah berjaya menangkap kelibat sang tunang yang setia menunggu di sampingnya.

“Lana....” Tegurnya sambil mengesot cuba bangun untuk duduk. Berkerut dahinya menahan sengal yang terasa menggigit seluruh tubuh.

 “Eh..abang Harris baringlah dulu....” Ujar Lana, cuba menahan lelaki itu dari bangun.

“Lana ok tak? Ada cedera kat mana-mana?” Soalnya risau.

“Sedar pun kau Harris... naik risau dah kitorang tadi.” Celah Shuk sambil terjengket berjalan menggunakan tongkat yang dijepit di celah ketiak sebelah kanannya.

Harris yang sudah duduk bersandar di kepala katil dengan bantuan Lana memerhatikan kaki kiri Shuk yang terbalut kemas.

“Kau kenapa? Ok tak kaki kau?” Soal Harris risau.

“Eh...ok je.. Cuma terseliuh sikit je ni. Pak Teruna tak bagi pijak lagi, takut lambat baik nanti katanya. Aku pun tak ingat macam mana boleh terseliuh. Diorang cakap, tersangkut kat pedal brek.” Jelas Shuk.

Harris masih belum dapat menangkap butir bicara Shuk sepenuhnya.

“Kau dengan Amri tu yang teruk. Sampai ke petang korang tidur. Tu ha si Am tu...sampai sekarang tak sedar lagi. Pak Teruna cakap mungkin kepala korang terhantuk kat mana-mana kut...” Sambungnya lagi, sambil mengunjuk ke arah Amri yang terbaring tenang di katil yang berjarak lebih sedepa dari katil Harris.

“Pak Teruna?” Soal Harris. Rasanya dia belum pernah dengar nama lelaki itu. Unik... dan klasik.

“Pak Teruna tu orang yang mak ngah tugaskan untuk uruskan homestay ni...” Hawa mencelah, menjelaskan hubungkait lelaki itu dengan ibu saudaranya yang memiliki rumah peranginan tersebut.

Harris mengalihkan pandangannya ke arah Hawa yang sedang duduk di hujung sebuah lagi katil yang kosong di sudut bilik tersebut. Harris meliarkan pandangan ke segenap ruang bilik. Cantik. Dihiaskan dengan gaya moden tradisional. Perabot berasaskan kayu jati disusun ringkas dan kemas bagi melengkapkan ruang bilik yang bersaiz sederhana besar itu.

Tingkap kayu yang terbuka jelas menayangkan pemandangan kampung yang damai. Harris dapat mengagak rumah itu didirikan mengikut seni bina rumah kampung tradisional masyarakat Melayu, di mana kedudukannya tinggi dan mempunyai bahagian bawah rumah.

“Mana yang lain?” Soal Harris lagi.

“Syu dengan Hawa tengah ambilkan makanan untuk kita dari Mak Kesuma. Petang ni kita makan kat bilik je lah ea... abang Harris pun baru je sedar.. seeloknya jangan banyak bergerak dulu.” Jelas Lana.

“Mak Kesuma? Amboi. Klasik betul nama-nama orang kat sini. Dah macam termasuk dalam filem melayu dulu-dulu pulak.” Kata-kata itu hanya bergema dalam ruang hati Harris. Diam-diam dia mengagumi nama mereka yang disebutkan rakan-rakannya.

Harris mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda menghormati cadangan Lana. Otaknya diputar ligat, cuba mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Eh! Sekarang dah pukul berapa ni? Dah berapa lama abang tak sedar? Abang belum solat lagi...” Harris bersuara tiba-tiba.

“Dah masuk asar ni... abang tak sedarkan diri dari semalam. Kalau abang tak bangun jugak tadi, Pak Teruna cakap nak bawa ke hospital di bandar. Tapi jauh juga dari sini. Sebab tu kitorang tunggu tengok dulu.” Jelas Lana lagi.

Memang sebolehnya dia ingin cepat-cepat sahaja membawa lelaki itu dan juga Amri yang masih belum sedar untuk medapatkan rawatan perubatan. Tetapi Pak Teruna berjaya meyakinkannya yang mereka tidak mengalami kecederaan serius. Lelaki itu juga berjanji untuk membawa mereka ke hospital sekiranya mereka masih juga belum sedarkan diri.

“Emm... aduh...” Kedengaran suara Amri mengerang perlahan di katilnya.

Serentak mereka berkalih ke arahnya. Shuk terjengket-jengket menghampirinya sahabatnya itu, sebelum melabuhkan punggung di birai katilnya.

“Am... kau ok tak ni.. kau baru sedarkan diri ni...” Jelasnya lembut.

“Ha? Aku kat mana? Apa dah jadi?” Soal Amri bertubi-tubi sambil memegang kepala. Rasa berdenyut sakit.

“Kita sekarang kat homestay mak ngah Hawa... kita accident semalam... kau ingat tak?” Shuk menelan liur sambil melayan pertanyaan si sahabat. Teringat pula pada apa yang menimpa mereka malam semalam.

“Hah? Accident? Weh! Semalam tu kan...? Aduh!” Amri yang terkejut mendengar penerangan Shuk bingkas bangun duduk, sebelum rasa sakit di bahagian kepalanya kembali menyerang.

Weh..kau ni..pelan-pelanlah... kau tu baru je sedar.” Bebel Shuk.

Amri yang sudah bersandar di katil menelan liur. Satu persatu wajah rakan-rakannya di bilik itu direnung silih berganti.

“Semalam.....” Amri bersuara perlahan sambil menelan liur yang terasa memekat di tekak.

Mereka yang lain menumpukan perhatian kepadanya. Persoalan yang sama turut bermain di fikiran masing-masing. Cumanya mereka masih belum berkesempatan untuk membincangkannya.

“Korang ingat tak apa yang jadi semalam?” Soalnya dengan nada cuak.

“Lepas..kita terlanggar benda dan abang Harris tak jadi turun tengok tu.. kereta tiba-tiba tak boleh gerak kan..” Lana mula bersuara, membentangkan kronologi kejadian yang menimpa mereka dari awal.

“Ha’ah... sebelum tu... aku nampak....” Shuk terhenti sebentar. Teragak-agak mahu meneruskan cerita.

“Kau nampak apa?” Soal Amri tidak sabar.

Err...aku nampak..pocong... banyak ekor jugak aku nampak... boleh kata setiap 500 meter ada dia berdiri terpacak kat tepi jalan dalam hutan tu.” Laju Shuk menghamburkan ceritanya tanpa berselindung.

“Cis! Apesal kau tak cakap?! Aku ingat aku sorang je nampak!” Tingkah Amri dengan nada geram.

Padanlah Shuk tiba-tiba diam tak melayan pertanyaannya dalam kereta masa itu. Siap berpeluh-peluh lagi. Tak lama lepas itu dia mula nampak apa yang Shuk nampak.

“Aikk?? Kau pun nampak jugak ke??” Shuk menyoal balas.

Amri hanya merengus geram.

Lana dan Hawa masing-masing menelan liur. Mujur pula mereka tak nampak apa yang Shuk dan Amri nampak. Kalau tidak mungkin mereka sudah pengsan sebelum kemalangan berlaku lagi.

“Astaghfirullahalazim....” Harris pula bersuara.

Benda yang jatuh atas bumbung, bergolek ke depan cermin kereta tu...korang nampak tak, apa?” Soalnya sambil merenung mereka yang lain.

Masing-masing menggeleng kepala laju. Mana tidaknya, mata masing-masing sudah terpejam rapat waktu itu, tidak sudi melihat ‘makhluk’ yang bakal memunculkan diri.

Harris mengeluh perlahan sebelum menyambung bicara.

“Pocong.....” Jawabnya pendek.

Merinding bulu roma masing-masing mendengar jawapan Harris.

“Err...lepas tu... kereta tiba-tiba bergerak ke belakang, berpusing, sampai kita langgar pokok, kan?” Hawa memecahkan kesunyian setelah mereka semua terdiam seketika.

Mereka yang lain mengangguk-anggukkan kepala perlahan, menyetujui memori Hawa tentang apa yang berlaku semalam.

“Korang... jom, makan.” Tegur Syu yang baru melangkah masuk ke bilik tersebut sambil menatang dulang makanan.

Wan dan Mak Kesuma membontotinya dari belakang dengan dulang di tangan masing-masing.

“Err... saya nak solat dulu..” Pinta Harris sambil melirik pandangan ke arah Mak Kesuma yang sedang tersenyum manis.

“Ha... pergilah.. nanti mak Kesuma siapkan tempat solatnya.” Ujar wanita separuh abad itu dengan senyuman yang tak lekang dari bibir.

Err..kau orang dah solat ke?” Soal Harris kepada mereka yang lain, mengharapkan dapat menunaikan ibadah itu bersama-sama.

“Lana dengan diorang ni semua tak boleh solat.” Ujar Lana separuh berbisik.

Harris tersenyum lembut pada tunangnya.

“Macam berjanji pula diorang ni. Tak boleh solat sama-sama.” Gumamnya sendirian.

Tapi memang pun dia ada terdengar sebelum ini, wanita yang rapat atau tinggal serumah, kebiasaannya mengalami datang bulan pada masa yang berdekatan. Mungkin ada pengaruh hormon atau emosi. Tidak pula dipastikan kesahihan teori melalui sebarang kajian. Dengar-dengar gitu je lah...

“Korang?” Soal Harris pada Shuk dan Amri.

“Jangan nak cakap datang bulan jugak sekali...” Sempat pula dia berlucu sendirian dalam hati.

Err... kejap lagilah.” Jawab Amri sambil menggaru kepala.

“Aku qadha nanti je.” Shuk tersengih di samping Amri.

Harris hanya tersenyum tawar. Sudah masak sangat dengan perangai kedua rakan baiknya itu. Tetapi dia tiada tenaga untuk memberi syarahan kepada keduanya ketika itu. Harris bingkas bangun untuk membersihkan diri.

Menjawab panggilan Yang Maha Esa.

 

No comments:

Post a Comment