Wednesday, March 11, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 7

 

Bab 7

BEBERAPA ketika sebelum Nadya diserang…

“Dah ambil bubur dah?” Imam Hussin menyapa mesra.

Bahu Faizal ditepuk perlahan.

“Dah… terima kasih imam. Saya ambil lebih satu imam, nak sampaikan pada jiran sebelah saya yang baru pindah tu.” Sahut Faizal ramah.

Eh, jiran baru pindah?” Soal Imam Hussin.

Dahinya dikerutkan. Seolah-olah sedang tekun memikirkan sesuatu.

“Bila pindah? Kamu tahu pasal ni Tat?” Soal Imam Hussin kepada Pak Mokhtar yang turut berada di situ.

Eh… tak tahu pulak saya, imam. Setahu saya… lepas si Zuhdi tu pindah keluar hujung bulan lepas, tak ada pulak dengar orang baru nak pindah masuk. Tuan rumah pun tak ada sebut apa-apa dalam group whatsapp taman.”  Jawabnya bersungguh.

Eh… ada imam, Pak Tat… dekat maghrib tadi ada lori angkut barang masuk. Lepas tu, masa saya nak keluar ke masjid ni tadi, ada seorang perempuan… emmm.. apa namanya tadi…” Kata-kata Faizal terhenti sebentar.

“Rinah.. haaa… Qarinah namanya, dia minta tumpangkan anak perempuannya di rumah saya sekejap, sebab nak patah balik ke rumah ibunya, tertinggal telefon katanya.” Sambungnya.

“Qarin….” Imam Hussin bersuara perlahan. Dahinya berkerut-kerut sambil hujung jari jemarinya digerak-gerakkan, seolah-olah sedang mengira-ngira sesuatu.

Astaghfirullahalazim….” Lafaznya kemudian.

“Cepat, Faizal, kamu kena balik sekarang. Tat, kamu ikut sekali. Kita pergi rumah Faizal sekejap.” Ujarnya dengan riak risau.

“Ke..kenapa imam?” Tanya Faizal tergagap-gagap.

Rasa takut dan bimbang mula tersebar dalam hatinya, seakan pewarna hitam yang dititiskan dalam air jernih. Merebak dan menular dengan pantas. Debar di dada mula beralih rentak.

 

SEMENTARA itu di rumah.. Semua lampu yang tadinya terpasang elok di siling tiba-tiba meletup dan terpadam serentak.

“Ahhhh…!! Aaahh! Aaahhhh….!!” Terjerit-jerit Fiya dan Faiqa ketakutan.

“Kakak! Kakak! Adik takut..!!” Jerit Faiqa sambil tangannya tergawang-gawang cuba menggapai Fiya.

“Mama..!! Mamaaa…!” Jerit Fiya pula, cuba memanggil ibunya.

Namun kelibat yang ditunggu tidak kunjung tiba. Bahkan tidak terdengar pun suara sahutan dari sang ibu di bilik sebelah.

Tiba-tiba pergelangan tangan Fiya terasa dicengkam kuat oleh seseorang yang berkuku tajam.

“Arghhh aaahhhh…!” Faiqa menjerit-jerit sambil menarik-narik tangan kanannya.

Tahulah Fiya, adiknya juga sedang dicengkam sesuatu. Tersekat-sekat nafasnya sambil mengecilkan mata, cuba memaksa untuk menyesuaikan penglihatannya dalam gelap dengan cepat. Tapi dia langsung tidak nampak apa-apa. Suasana dalam bilik tersebut betul-betul kelam. Gelap gelita.

“Ikut aku!” Tiba-tiba suara garau milik sepasang tangan berkuku tajam tersebut menjerkah mereka berdua dengan kasar.

Entah bagaimana, Fiya berasa sangat pasti, bahawa yang bersuara itu adalah Awa. Kawan baru mereka.

Belum sempat Fiya bertindak balas dengan situasi tersebut, Awa, atau makhluk tersebut merentap tangan mereka berdua dan mengheret mereka di lantai.

Aaahhhh…!!! Mamaaaaa…! Mama tolong adiiikkk….!!” Faiqa menjerit sekuat-kuat hatinya.

Fiya pula menangis semahunya. Tidak semena-mena adegan dia bersikap biadab pada ibunya tadi terulang tayang di layar matanya. Rasa menyesal menghentam dadanya bertubi-tubi. Entah kenapa dia begitu sebentar tadi.

Pergelangan tangannya terasa pedih dan sendinya bagai mahu tercabut, direntap dengan begitu kuat. Menggelupur anak-anak kecil itu diseret di atas lantai yang bagaikan tidak berpenghujung. Padahal keluasan bilik tidur tersebut hanyalah beberapa kaki.

“Toloooonnngggg…!!” Pekik kedua-duanya.

Dalam saat genting itu, Fiya terasa pergelangan kaki kanannya ditangkap seseorang. Pegangannya kemas dan kuat, sehingga pergerakan makhluk tersebut yang sedang mengheret mereka terhenti. Waktu itu juga kedengaran laungan azan begitu dekat dengan mereka.

“Eeeeikkkhhhhh….!!!” Kedengaran makhuk tadi mengeluarkan bunyi nyaring melengking, seolah-olah sedang kesakitan.

“Lepaskan diorang! Jangan kacau anak cucu aku!” Pekik seorang lelaki.

Beberapa potong ayat suci al-Quran dialunkan dengan kuat oleh lelaki yang sama. Sementara laungan azan masih kedengaran di belakangnya.

“Eeeeiiikhhhhhhhhhh………!”

Makhluk tersebut menjerit lagi… sehingga suaranya kedengaran beransur menjauh, sebelum hilang sepenuhnya.

“Fiya! Faiqa! Ya Allah…” Panggil Faizal sambil melepaskan pegangannya di pergelangan kaki kedua-dua anak perempuannya lalu memeluk mereka erat.

Rasa takut menyelubungi hati lelaki itu. Kalaulah dia terlambat sedikit sahaja tadi…

“Papa..!!” Jerit keduanya sambil mendakap tubuh ayah mereka.

Berhamburan air mata kedua beradik tersebut.



No comments:

Post a Comment