Saturday, October 24, 2026

Jengkalak (Bab 10)

 


Bab 10

“KAU rasa tak apa ke, biarkan diorang berdua je kat rumah tu..?” Soal Hilal sambil memandu.

Aqasy diam sejenak sebelum bersuara.

“Takpe… dah pagar dah tadi..” Jawabnya kemudian.

“Lagipun, dia baru dapat upah tadi…” Sambungnya lagi.

Khaliq mengangguk-anggukkan kepalanya. Faham maksud Aqasy. Daripada apa yang mereka tahu, makhluk belaan Hilal itu biasanya diberi upah janin bayi yang belum dilahirkan, setelah menyelesaikan tugasan membunuh, atau tugasan-tugasan lain. Dan kebiasaannya setelah mendapat upah, makhluk itu akan berehat dari membuat kerja-kerja terkutuk yang diarahkan tuannya.

Melalui hasil siasatan mereka, makhluk jin yang menyerupai cicak besar berkepala tiga itu adalah sejenis makhluk belaan manusia yang mengamalkan ilmu hitam, yang digelar Jengkalak.

Jengkalak difahami boleh membuatkan manusia yang membelanya menjadi kaya-raya, berstatus tinggi dan disegani, juga boleh membuatkan orang menjadi suka atau takut, sekaligus membuatkan mereka tunduk pada tuan yang membelanya. Jengkalak juga akan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh tuannya, termasuklah membunuh.

Berdasarkan pemerhatian mereka, bekas-bekas kekasih dan isteri Hilal, semuanya mengalami keguguran kandungan yang aneh. Kematian Aqish pula menjadi begitu mengerikan kerana Hilal disyaki terlupa memberikan upah yang sepatutnya kepada Jengkalak, sehingga makhluk itu mendapatkannya sendiri, iaitu janin yang dikandung Aqish, isteri Hilal.

Mujurlah juga Zafeera tidak pernah menerima lamaran lelaki itu untuk berpasangan. Tapi seperti yang dijangka, kedegilan Zafeera telah mencabar ego Hilal, hingga membawa kepada kematian Azib dan Tok Ma. Juga gangguan yang dialami Zafeera sekarang.

Manakala Aqasy pula diserang kerana Aqasy seakan sudah dapat menghidu perbuatan terkutuk Hilal dan Hilal telah mendapat tahu akan perihal hati dan perasaan Aqasy kepada Zafeera. Rasa cemburu suntikan syaitan telah membutakan matanya untuk membezakan, yang mana sahabat, dan yang mana musuh.

“Tapi kan, kau ni betullah… Aku rasa kau kena pergi ambil kelas tuisyen la, belajar sikit cara-cara mengurat perempuan.” Khaliq tiba-tiba bersuara sambil tergelak kecil.

Aqasy ikut melepaskan tawa.

“Teruk sangat ke?” Soalnya kembali.

“Teruk gilaaa kau tau tak? Kau tau macam kita tengok drama cinta yang boleh buat rasa geleman satu badan tu? Haa macam tu lah perangai kau sekarang ni bila jumpa Feera.” Cemuh sang sahabat, jujur.

Makin sakan gelak Aqasy di tempat duduk sebelah pemandu. Iyalah, manalah dia tahu cara memikat perempuan. Seumur hidupnya belum pernah dicuba lagi. Entah macam mana dia boleh semberono aje dengan juniornya itu. Kalau perempuan lain, mungkin dah lari ketakutan dek anehnya tingkahnya.

“Tak sesuai langsung dengan imej dark, tall, mysterious kau tu. Kalau aku jadi Feera pun mesti aku dah pelik… ingat kau buang tebiat nak….” Kata-kata Khaliq terhenti. Liur ditelan sekilas.

Aqasy hanya tersenyum nakal.

“Haha… manalah aku tahu…, dah kau pun tak ajar aku…” Ujarnya cuba membela diri.

Khaliq mencemik.

“Macamlah aku pun reti sangat…” Omelnya sendiri.

“Tapi kan Khal..” Ujar Aqasy sekerat.

“Kalau sampai masa aku…. Kau tolong tengok-tengokkan Feera.., boleh?” Sambungnya, teragak-agak.

Khaliq terdiam sejenak. Rasa bersalah mula menghurung diri. Meremang sesaat bulu roma di tengkuknya, terbayangkan sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku. Dialah yang menjadi saksi mata pertama, akan terseksa dan menderitanyanya sahabatnya itu apabila diserang sakit mistik tersebut.

“Ah, kau! Jangan nak mengada… dah tak pasal aku nak kena menjaga jodoh orang pulak. Tak kuasa aku. Jodoh aku sendiri pun belum nampak bayang. Kau jaga sendiri!” Tempelaknya geram.

Aqasy mengekeh ketawa.

“Eleh… iya ke, tak nampak bayang…. Yang aku nampak kau tersengih-sengih, tersenyum-senyum depan Ida tu tadi apa? Mengalahkan anak dara!” Laju Aqasy menghantar pukulan balas.

“Alamak…dia perasan pulak….”

Menyembur tawa mereka berdua dalam kereta yang dipandu Khaliq tersebut.

“Kau jangan risau Qasy.. aku yakin… akan ada jalan keluar… InshaAllah Allah bantu kita.” Ujar Khaliq tenang, setelah tawa mereka mereda.

“Tapi kan, aku rasa betul jugak apa yang kau cakap tu.” Sambungnya lagi setelah terdiam sejenak.

“Hmm? Apa yang aku cakap?” Soal Aqasy semula.

“Ala… pasal nikah kau dengan Feera…” Sambung Khaliq lagi.

Aqasy mengerutkan keningnya. Cuba mengingat kembali kata-katanya sendiri.

“Maksud aku, elok jugak kalau kau nikah dengan dia. Lagi senang nak jaga dia. Tengok macam hari ni, kau tak bolehkan temankan dia. Tak boleh duduk sekali satu rumah. Haa.. kalau dia tengah takut ke, tengah sedih ke, kau tak boleh nak peluk-peluk dia macam cerita Hindustan. Kan rugi tu. Kan susah nak jaga dia…” Sambungnya bersahaja.

Aqasy menegakkan duduk. Kulit wajahnya yang tidaklah secerah mana itu kelihatan jelas merona merah di mata Khaliq. Khaliq mengulum senyum.

“Banyaklah kauu…!!” Tempelak sang sahabat memecahkan tawa Khaliq.

 

HILAL menghempaskan kunci keretanya ke meja kopi di tengah ruang tamu, melepaskan geram. Punggungnya dihenyak kasar ke sofa.Bengang dengan situasi sekarang.

Bengang kerana sudah tidak terkira berapa kali cubaannya untuk memiliki Zafeera gagal. Termasuklah ‘usaha-usahanya’ dengan menggunakan ilmu hitam. Entah amalan apa yang melindungi gadis itu, hingga tidak tembus satu pun ilmunya.

Ataukah mungkin doa seorang ibu yang sebenarnya menjadi pelindung gadis itu?

Bahkan rancangannya untuk berlagak hero yang tiba-tiba muncul menyelamatkan gadis yang sedang ketakutan pun tidak berjaya menembusi ruang hati Zafeera.

Dia juga bengang dengan Aqasy yang memang sudah pasti mempunyai amalan tersendiri untuk menangkis serangan-serangannya. Lelaki itu sepatutnya sudah mati bertahun yang lalu!

Hilal memejam rapat kedua belah matanya. Sejurus kemudian kelihatan mulutnya laju terkumat-kamit membaca sesuatu.


No comments:

Post a Comment