Sunday, October 25, 2026

Jengkalak (Bab 11)

 


Bab 11

ZAFEERA berkalih baring. Masih lagi mencari-cari posisi yang selesa untuk mencari kantuk. Ida yang sedang berbaring di sebelahnya kelihatan nyenyak dibuai lena. Zafeera membiarkan fikirannya menerawang. Berselisih ganti tentang pelbagai topik. Kematian insan-insan tersayangnya, keanehan Hilal, Aqasy, juga perihal mahkluk aneh yang tiba-tiba muncul menggugat ketenteraman.

Selimut ditarik menutupi tubuh. Perlahan kotak memori diselam, mengenangkan perjalanan hidupnya ketika masih bergelar seorang pelajar universiti.

 

“FEERA, Feera… nah cepat-cepat keropok lekor panas-panas ni, abang suapkan. Buka mulut. Aaaa….” Pinta Hilal yang datang entah dari mana, menyertai kumpulan mereka yang sedang belajar santai di pondok kawasan lapang kolej.

“Eh takpe-takpe… abang Hilal makanlah…” Zafeera menolak.

Aqasy dan Khaliq yang turut berada di situ hanya saling berpandangan antara satu sama lain.

“Ish.. cepat… nanti menitik sos ni…” Desak Hilal lagi.

“Eh.. tak..takpe…. Aa.. Feera puasa hari ni..” Ujar Zafeera, masih menolak.

“Hmph.. lah.. puasa pulak…” Bebel Hilal sambil menyuapkan keropok tersebut ke mulutnya sendiri.

“Kalau macam tu… jom, malam ni kita buka puasa kat luar. Abang belanja. Boleh kita tengok wayang sekali?” Sambung Hilal, masih belum berputus  asa.

Zafeera mula tidak sedap duduk. Otaknya ligat mencari alasan.

“Err… malam ni.. dah janji dengan Tehah nak siapkan assignment sama-sama…” Dalih Zafeera.

“Alah.. assignment tu bukannya kena hantar esok pun.. kita keluar ea? Abang tunggu kat pagar depan.” Desaknya lagi.

“Emm… maaf abang Hilal.., tapi Feera dah janji dah.. lagipun banyak lagi tak siap…” Zafeera cuba menegaskan suara.

Muka Hilal berubah. Dia mendiamkan diri.

“Aa…abang Hilal! Leen boleh temankan abang! Leen belanja tengok movie, nak?” Sahut Leen yang duduk di sebelah Zafeera dengan gaya menggedik.

“Hmm. Pukul 8 abang ambil.” Jawab Hilal ringkas sambil menjeling marah ke arah Zafeera.

Zafeera hanya menundukkan wajah dan pura-pura meneliti buku  nota di depannya, berharap situasi itu cepat berakhir.

“Jom Khal, Qasy, lepak padang, main bola.” Ajak Hilal sambil berdiri menggalas beg, sebelum melangkah pergi.

Khaliq dan Aqasy ikut mengemas buku dan menggalas beg.

“Err… Feera.” Panggil Khaliq, seraya membuatkan Zafeera memanggung kepala.

Hampir melatah dia tiba-tiba ada penumbuk berada di depan mukanya. Mujur tak sempat buka silat. Kelihatan Aqasy bersahaja menggenggam sesuatu dalam tangannya yang dibentuk seperti penumbuk.

Spontan Zafeera menadah kedua tangannya, menyambut sesuatu yang jatuh dari tangan kanan Aqasy.

“Untuk berbuka nanti.” Bisik Khaliq sedikit menunduk ke depan.

Kemudian mereka berdua bergerak mengekori Hilal yang sudah jauh ke depan. Zafeera menjatuhkan kembali pandangan melihat isi di dalam tangannya. Dua ketul bungkusan kecil coklat kurma yang memang disukainya. Zafeera tersenyum sendiri.

 

“HAHH! Melamun berangankan abang ke??” Hilal tiba-tiba menyergah seraya menepuk meja.

Terbang sekejap roh Zafeera dibuatnya. Spontan dia memanggung kepala ke arah Hilal, sebelum kembali melihat tadahan tangannya. Coklat kurmanya tadi sudah tiada di situ. Pantas dia melihat ke sekeliling. Suara hiruk-pikuk kelasnya bagaikan baru kedengaran di telinganya. Dia bukan lagi berada di pondok kawasan lapang kolej, sebaliknya berada di dalam bilik kelas. Terpinga-pinga sekejap Zafeera.

“Dengar sini semua rakyat jelata!” Senior mereka Fendi mengetuk-ngetuk meja pensyarah, cuba mendapatkan perhatian semua.

“Lecturer-lecturer semua ada meeting tergempar sekarang. Jadii… kami senior-senior penyayang ni telah diamanahkan untuk bantu adik-adik kami ni buat revision untuk test minggu depan.” Sambungnya lagi, dengan lagak  seorang bentara yang sedang menyampaikan titah diraja.

“Ha, dengar tu. Hari ni… abang… Feera yang punya. Cepat. Nak tanya apa? Nak palpate? Nak buat apa, semua boleh.” Ujar Hilal sambil mendepakan kedua tangannya.

Belum sempat Zafeera berkata apa-apa, tangan kanannya sudah ditangkap Leen, dengan tangan kirinya ditangkap Adi.

“Abang Hilaaalll… jomla tolong kitorang revise kitorang punya palpation… badan abang senang palpate…” Rengek Leen mendayu-dayu.

Langsung diheretnya jejaka itu ke meja kumpulan mereka. Zafeera menarik nafas lega. Matanya menangkap kelibat Khaliq dan Aqasy di tepi pintu kelas.

“Abang Khaliq!” Panggil Zafeera sambil menayang sengih.

“Hah? Err… kejap Feera.. abang Khaliq tengah emergency ni… dah hujung-hujung ni.. pedas sangat mi goreng tadi. Err…kau pegi tolong dia dulu Qasy!” Ujarnya sambil menolak bahu Aqasy ke depan sebelum berlari mencicit keluar dari kelas sambil memegang perut.

Zafeera dan Aqasy masing-masing terkedu seketika. Zafeera kalau tak ada Khaliq, memang tak pandai dia nak berbual dengan Aqasy.

Eh, lagipun mana ada mamat tu nak berbual pun, selalunya abang Khaliq yang jadi penterjemah dia!

Aqasy tiba-tiba melangkah ke arah Zafeera dengan gaya macho. Ditariknya kerusi berdekatan lalu melabuhkan punggung di depan meja Zafeera. Bersahaja dia menarik keluar buku nota dari beg galasnya. Kemudian dia meletakkan buku tersebut di atas meja lalu menolaknya perlahan ke arah Zafeera.

Zafeera teragak-agak menyambutnya. Dibuka dan dibeleknya isi di dalam buku nota tersebut. Subjek anatomi! Memang subjek yang paling dia lemah semangat.

“Macam mana Abang Qasy boleh tahu aku memang tengah nak study subjek ni? Magic betullah….” Dia bermonolog sendiri, mengagumi telahan sang senior.

Matanya tiba-tiba membulat dan bersinar-sinar setelah mendalami isi buku nota tersebut.

“Eee… cantiknya abang Qasy lukis….!” Pujinya kagum.

Cermat dia meneliti lukisan-lukisan tulang rangka dan otot di dalam buku tersebut. Notanya juga ditulis kemas dan lengkap. Seribu kali lebih mudah difahami dari buku Tortoranya! Kalau macam ni, satu malam je dia boleh hafal semua! Eh, berlagak pulak…

Tiba-tiba geliga otaknya mula memikirkan sesuatu.

“Aaa… kalau… benda lain? Abang Qasy pandai lukis tak?” Spontan terpacul soalan itu dari mulutnya.

Aqasy hanya mengangkat kening.

“Lukis Feera? Boleh?” Soalnya lagi sambil tersengih penuh mengharap.

Aqasy mengulum senyum. Tiba-tiba dua batang jarinya diangkat.

“Hmm? Peace?” Soal Feera tidak faham.

“Dua ringgit.” Balas Aqasy pendek.

Sengihan Zafeera semakin melebar.

“Boleh! Boleh!” Balasnya riang.

Aqasy menghulurkan tangannya. Kelam kabut Zafeera mendapatkan buku nota kesayangannya sebelum diserahkan kepada Aqasy. Lelaki itu menggodek-godek kotak pensel Zafeera dan mengeluarkan sebatang pen biru. Aqasy mula melakar.

Suasana hingar-bingar di dalam kelas terasa beransur menghilang dari  pendengaran. Masa bagaikan terhenti untuk mereka berdua kala itu. Masing-masing hanya diam tanpa bicara. Sekejap-sekejap pandangan mereka bertemu, sewaktu Aqasy sedang melakar wajahnya.

“Woi!”

Sergahan Hilal memecahkan dunia sepi mereka.

“Kau buat apa ni?!” Pekiknya lagi.

Buku nota yang sedang dilakar Aqasy dirampas. Terbeliak biji matanya melihat lakaran cantik wajah indah Zafeera menghiasi kertas putih tersebut. Langsung dicekak kolar baju Aqasy. Serentak itu juga dada Aqasy ditikam berkali-kali dengan pen dalam genggaman tangan.

“Abang Qasy!”


No comments:

Post a Comment