Bab
14
“FEERA…
abang kat luar ni.. bawakan makanan untuk Feera..” Laju jemari Hilal menaip
di skrin telefon barunya.
Hilal
melepaskan keluhan. Dahinya ditompang pada stereng kereta. Rindu betul dia pada
gadis itu. Sudah berapa lama tidak berjumpa, gara-gara dia sibuk menguruskan
makhluk belaannya. Wajahnya dibelek seketika di cermin pandang belakang. Risau
juga Zafeera terkejut, atau tidak suka dengan penampilannya sekarang.
Tapi dia
benar-benar rindukan gadis itu. Walau seramai mana pun wanita yang dia jumpa,
tetap tidak boleh mengisi kekosongan hatinya. Tidak seperti Zafeera. Seseorang
yang entah dengan kuasa apa mampu mengubah rentak detakan jantungnya. Seseorang
yang tidak pernah berjaya dia miliki.
Skrin telefon
ditekan lagi. Masih tiada balasan. Paparan jam menunjukkan waktu hampir pukul 9
malam. Hilal termenung seketika, sebelum membuat keputusan untuk keluar dari
kereta.
Pintu rumah
Tok Ma diketuk perlahan. Kereta Zafeera yang diparkir di bawah pokok dikerling
sekilas. Tombol pintu dipulas perlahan, sengaja mencuba nasib.
Tidak berkunci.
Hilal menelan liur.
“Feera?”
Panggil Hilal.
Perlahan daun
pintu ditolak. Kakinya mula melangkah masuk.
“Abang Qasy
dengar tak?” Zafeera yang sedang bersalaman dengan suaminya usai berjemaah
Isyak bersama mengerutkan dahi.
Aqasy diam
memberi tumpuan.
“Cek! Cek!
Cek!”
Feera
mengerling cicak di siling sepintas.
“Feera?”
Kedengaran lagi suara tersebut.
Mereka berdua
saling berpandangan.
“KAU!
Kau buat apa kat sini??!” Membeliak mata Hilal melihat Aqasy melangkah keluar
dari bilik tidur.
Zafeera yang
masih lengkap bertelekung mengekor rapat dari belakang, menarik hujung baju
suaminya. Sudah diminta tadi untuk bersembunyi di dalam bilik, tapi dia
betul-betul takut sekiranya Hilal mencederakan Aqasy. Sudahlah Khaliq tiada di
sini untuk membantu. Kedatangan Hilal ke rumahnya secara tiba-tiba malam ini
memang langsung tidak dijangka.
“Cek! Cek!
Cek!”
“Kek! Kek!
Kek!”
Beberapa ekor
cicak bersahutan di siling rumah.
Tangan kiri
Zafeera bergerak memegang lengan baju suaminya, masih menyembunyikan separuh
dirinya di sebalik tubuh Aqasy. Hilal
perasan akan jari Zafeera yang berinai.
“Kau?!! Qasy!!
Kau buat apa kat sini hah??!!” Pekiknya sekuat hati.
“Korang…
korang… dah nikah..?” Suaranya berubah menjadi sayu.
“Qasy… Feera
aku punya Qasyy..!!” Awal rintihan bertukar keras di penghujung ayat.
“Cek! Cek!
Cek!”
“Kek! Kek!
Kek!”
“Kek! Kek!
Kek!”
Bunyi cicak
semakin galak bersahut-sahutan. Bergema memenuhi ruang udara rumah tersebut.
Seolah-olah mereka sedang dikerumuni oleh puluhan ekor cicak. Zafeera langsung
tidak berani memandang ke atas. Dia sudah membayangkan puluhan ekor cicak
bersaiz besar sedang bersedia untuk melompat menerkam mereka.
Hilal
kelihatan mula mengumat-ngamitkan mulutnya dengan laju. Aqasy pula sejak tadi
tidak putus melafaz zikrullah. Zafeera hanya mampu mengulang sebut nama Allah
di bibirnya.
“Feera aku
punyaaa…!!” Pekik Hilal kuat sambil menghalakan tapak tangannya ke arah Aqasy.
Serentak itu
juga sekonyong-konyong menjelma Jengkalak!
Semuanya
berlaku begitu pantas. Jengkalak mengeluarkan bunyi yang begitu menggerunkan,
seakan-akan bunyi ngauman, sebelum kepala tengahnya mengangakan rahangnya
dengan luas dan memancut keluarkan lidah bercabangnya dengan laju menuju ke
arah dada Aqasy.
Serentak itu
juga Zafeera berkalih ke depan dan memeluk tubuh Aqasy, melindungi dada Aqasy
dengan tubuhnya. Seiring itu juga, lidah bercabang Jengkalak melekap di
belakang badan Zafeera. Tersentak gadis itu menahan sakit yang mendadak.
“Allahu Akbar!
Feera!!” Teriak Aqasy, tidak menjangkakan situasi tersebut.
Terbelalak
mata Hilal melihat keadaan tersebut.
“Jangann!!”
Teriaknya menggila.
“Jangan dia!!”
Pekiknya lagi.
Mata di kepala
tengah Jengkalak menyala terang seakan berapi. Ekornya melibas kuat bahagian
kaki Hilal sehingga lelaki itu jatuh terlentang di lantai. Sejurus kemudian
dilepaskan lekapan lidahnya di belakang badan Zafeera dan ditarik kembali ke
dalam rahangnya.
Jengkalak
berpusing menghadap Hilal yang masih terlentang di lantai. Seluruh tubuh Jengkalak
kemudiannya bergegar, semakin lama semakin kuat. Habis bergoncang perkakasan
kecil di dalam rumah.
Aqasy
menyambut tubuh Zafeera yang mendadak lemah terkulai. Dipeluk erat tubuh
isterinya yang tidak bermaya itu.
“Arghhhh!!!”
Hilal tiba-tiba memekik kesakitan.
Kedua
tangannya meraba-raba bahagian dada dan tekaknya.
“Ahhaukk!!
Ahhauukkk!!!” Hilal kemudian bangun menjeluak.
Dia duduk
melutut di lantai sambil berpaut pada kaki kerusi. Sesekali tangannya
menumbuk-numbuk dadanya sendiri, kemudian dicekiknya pula batang lehernya sendiri.
“Argghh!!
Ahhaukk!!”
“Bloakhhh!!”
Hilal memuntahkan dua ekor cicak. Bergerutu dan berbelang.
“Bloakhh!”
Seekor lagi.
“Bloaaakhh!!”
Dua ekor lagi.
“Blephh!
Bloaakhhh!!” Seekor yang lebih besar dari yang lainnya.
Situasi
tersebut berterusan sehingga lebih sepuluh ekor yang dimuntah keluar dari mulut
Hilal. Habis berdarah mulutnya dan terkoyak tekaknya. Semua cicak yang dimuntahkan merangkak pantas ke serata lantai
rumah, sebelum melekap ke dinding dan merangkak ke siling. Bingit suasana rumah
tersebut dengan bunyi decitan cicak.
Aqasy hanya
mampu terus berzikir sambil memangku isterinya. Mengharapkan Hilal dan isterinya
mampu bertahan.
Kesemua cicak
yang merangkak di siling beransur hilang. Jengkalak yang baru sebentar tadi
masih di situ juga telah lesap entah sejak bila. Hilal sudah berhenti
memuntahkan cicak. Dia terbaring lemah dan tercungap-cungap mencuri nafas.
Darah terpancut-pancut dan tidak berhenti mengalir dari mulut dan tekaknya.
Badannya terhenjut-henjut seketika, sebelum perlahan berhenti tidak bergerak.
Hilal kaku di lantai.
“Allahu
Akbar….” Rintih Aqasy sayu.

No comments:
Post a Comment