Tuesday, October 27, 2026

Jengkalak (Bab 13)


Bab 13

ZAFEERA menjuihkan bibir. Masih cuba control ayu. Walhal bukan sahaja tangan, lutut, dan bibir, bahkan pipinya juga terasa ikut menggeletar.

“Eleh… orang tua-tua cakap, suka ke, benci ke, jangan sangat-sangat..” Balasnya memberi peringatan.

Aqasy menarik nafas panjang sebelum melabuhkan punggung di pasir. Pasir di sebelahnya ditepuk-tepuk sambil memandang Zafeera, mengisyaratkan gadis itu untuk duduk di sampingnya.

“Abang Qasy… betul-betul sukakan Feera… dari dulu lagi..” Aqasy memulakan bicara.

Zafeera hanya diam mendengar.

“…sekarang…” Kata-katanya terhenti seketika.

Zafeera menahan debar.

“Sekarang dah tak suka ke?” Soalan tersebut tersekat di kerongkongnya.

“…dah bertambah lebih banyak lagi… dah melimpah-limpah keluar dah…” Sambungnya dengan nada nakal.

Matanya masih setia menatap Zafeera yang menunduk rapat. Jika ditunduk lebih lagi, mungkin boleh terbenam dalam pasir.

“..kalau boleh… Abang Qasy.. nak peristerikan Feera…” Suaranya kedengaran bergetar.

“…tapi…jujur abang Qasy takut… takut kalau-kalau.. sakit abang Qasy ni…” Serak suaranya mengatur bicara.

“…abang Qasy takut kalau… Feera jadi lebih sedih.. kalau… macam Azib.. abang Qasy…” Susunan ayatnya mula menjadi berterabur dan lintang-pukang.

“Abang Qasy…” Tegur Zafeera lembut.

Aqasy memandangnya dengan mata yang bergenang.

“…takkan berlaku segala sesuatu…, tanpa izin Allah…, kan…?” Sambung Zafeera tenang.

 

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah.”

Surah at-Taghabun, ayat 11.

 

“Tidak ada sesuatu kesusahan yang menimpa di bumi dan tidak juga pada diri kamu melainkan telah tertulis dalam Kitab sebelum Kami menciptakannya.”

Surah al-Hadid, ayat 22.

 

“Dan tiap-tiap yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”

Surah Ali ‘Imran, ayat 145.

 

Gugur air mata Ahmad Aqasy mendengar bicara tenang gadis yang dicintai sepenuh jiwanya itu. Perlahan dia menganggukkan kepala, menyetujui ucapan sang gadis. Aqasy menunduk, menyembunyikan air mata yang mencuri keluar tanpa izin.

Zafeera tiba-tiba menghulurkan sehelai sapu tangan kepada lelaki itu. Aqasy menyambutnya penuh cermat. Dibeleknya sapu tangan tersebut seketika.

Eh….

Sapu tangan tersebut adalah sapu tangan Aqasy sendiri yang pernah diberikan kepada Zafeera semasa dia menangis sewaktu di kolej dulu. Zafeera masih menyimpannya dengan baik selama ini. Mungkinkah… gadis itu turut menyimpan perasaan padanya sejak dulu?

Aqasy memandang Zafeera. Gadis itu hanya membalas pandangannya sepintas sambil tersenyum malu sebelum berkalih melarikan pandangan. Aqasy tersengih sendiri.

“Alhamdulillah ‘ala kulli hal….” Dalam tak sedar hati dan bibirnya berbicara serentak dengan Sang Pencipta.

Aqasy benar-benar bersyukur. Bersyukur dengan rasa yang mengisi ruang hatinya untuk Zafeera Imani, sejak dulu hingga sekarang. Bersyukur bahkan dengan ujian yang sedang menimpa mereka kini, dengan kesakitan yang acap kali menyerang dadanya. Dan lebih lagi bersyukur, kerana Allah membuka hati gadis ini untuk membalas perasaannya. Dalam diam dia berdoa, meminta dipermudahkan jalan untuk mereka bersatu dalam ikatan  yang halal.

“Jadi… bila nikahnya?” Soal Khaliq dari belakang.

Entah sejak bila mereka berdua duduk tersengih-sengih beberapa kaki di belakang Aqasy dan Zafeera. Zafeera spontan menutup muka dengan kedua belah tangannya. Aqasy pula langsung bingkas mengejar Khaliq yang sudah lebih dulu berlari menyelamatkan diri. Ida pula ketawa suka mendapatkan Zafeera dan merangkulnya gembira.

 

“AKU kata nanti aku bagilah! Makan, makan, makannn je kau tahu!!” Jerkah Hilal geram.

Telefon bimbit di tangan dihempas ke lantai. Bersepai peranti tersebut mencium lantai. Tubuhnya dihempas keras ke sofa. Kedua belah tangan menggenggam rambut sendiri. Kusut. Rimas. Serabut. Hidupnya menjadi tidak tentu arah sejak kebelakangan ini. Dia buntu mahu mendapatkan janin buat makanan makhluk belaannya. Sejak akhir-akhir ini nafsu makan makhluk itu semakin menjadi-jadi.

Habis sudah wanita hamil yang dia kenal, untuk diarahkan Jengkalak pergi menyantap. Atau, lebih tepat lagi wanita yang dihamilkannya. Makhluk itu sudah berani memberontak, dengan menganggu tuannya sendiri. Tidur Hilal tidak lagi lena, makannya sudah lama tidak menentu. Tubuhnya sudah semakin melidi. Wajahnya juga sudah cengkung dan serabai dengan misai dan janggut yang tidak bercukur. Pendek kata, dirinya benar-benar tidak terurus lagi.

Sepasang mata yang menyala merah dengan lidah bercabang terjelir-jelir di sebalik kegelapan tidak jauh di hadapannya dijeling geram.

 

AQASY sudah berkali-kali menarik dan menghembus nafas, cuba menenangkan diri sendiri. Terasa seperti nak pitam pun ada. Tadi sahaja sudah berapa kali dia menziarah tandas di pejabat agama tersebut. Tak sangka pula begini sekali rasa gemuruhnya mahu diijab kabul. Entah sudah berapa ribu kali dihafalnya nama Zafeera. Masa nak exam dulu pun dia tidak mengulangkaji separah ini.

Atas perbincangan bersama juga nasihat daripada Khaliq dan guru-gurunya, mereka bersetuju untuk tidak menghebahkan terlebih dahulu pernikahan mereka. Semua persiapan borang, kursus kahwin dan ujian kesihatan dilakukan dengan lancar dalam diam. Bahkan Khaliq dan Ida juga ikut melakukan persiapan. Cumanya tarikh pernikahan mereka lebih lewat dari Aqasy dan Zafeera.

Aqasy dan Zaafeera juga bakal menumpang mengadakan majlis dan kenduri bersama mereka nanti, untuk menghebahkan pernikahan mereka. Ini kerana, dikhuatiri Aqasy akan menerima serangan sihir yang hebat jika pernikahan mereka dihebahkan terlalu awal. Segala persediaan disiapkan, termasuk memperkasakan amal ibadah, juga menyiapkan mental untuk menerima sebarang kemungkinan. 

Borang-borang yang memang sudah lengkap di dalam fail ditariknya keluar buat kesekian kalinya. Entah sudah berapa kali dia meneliti dan menyemaknya satu-persatu, dia sendiri pun tidak tahu. Sekeping penanda buku ikut terjatuh dari celahan kertas di dalam fail. Zafeera membongkok menunduk untuk mengutipnya.

Penanda buku tersebut dibuat daripada beberapa kuntum bunga kekwa liar berkelopak putih. Bunga itu dilaminasi dengan kemas dan diikat dengan reben kecil berwarna ungu. Lama Zafeera memegang penanda buku tersebut.

Kalau tidak salah, penanda buku itu jugalah yang dikutipnya terjatuh dari celahan buku Aqasy sewaktu di kolej. Waktu itulah kali pertama Aqasy bercakap dengannya, hanya sebaris ‘terima kasih’. Tetapi itu sahaja sudah cukup untuk menyentuh bahagian paling dalam, hati gadisnya. Satu perasaan yang tak pernah dikongsikannya dengan sesiapa pun.  

“Feera ingat ke?” Tegur bakal suaminya, Aqasy.

Zafeera mengerutkan kening, tanda tidak faham dengan soalan Aqasy.

“Kali pertama Feera jumpa abang.” Sambung Aqasy lagi, cuba memancing ingatan sang gadis.

“Kali pertama? Kali pertama, waktu dekat kolejlah.” Jawab Zafeera polos.

Aqasy kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

“Dekat kubur…” Jawab Aqasy.

Zafeera kembali mengerutkan dahi. Benar-benar tidak dapat menangkap apa yang sedang cuba disampaikan Aqasy.

“Emm… masa tu rasanya.. Feera baru tingkatan 3 kut?” Ujar Aqasy.

Zafeera masih menanti penjelasan dari Aqasy.

“Feera, masa tu, Feera datang, ziarah kubur ayah abang. Ayah abang adalah salah seorang yang terlibat dalam nahas jalan raya tu….” Jelas Aqasy.

Nahas jalan raya yang dimaksudkan ialah kemalangan besar yang melibatkan tumpahan dan letupan sebuah lori minyak yang terbabas dan terbalik. Kira-kira 5 buah kereta yang berdekatan turut mengalami kecelakaan, termasuk beberapa yang meninggal dunia dan cedera parah. Keluarga Zafeera dan keluarga Aqasy adalah antara yang terlibat.

Mata Zafeera mula bergenang. Samar-samar memori itu kembali ke ruang ingatannya. Dia yang baru sudah menangis hebat dalam pelukan Tok Ma di pusara keluarganya, terpandang Aqasy yang sedang menangis di samping kubur ayahnya. Zafeera yang memetik bunga kekwa liar di situ dan memberikannya kepada Aqasy, memintanya untuk kuat dan bersabar.

Zafeera sendiri sudah tidak ingat tentang peristiwa tersebut. Sedangkan Aqasy, sudah lama mengenalinya, dan masih menyimpan pemberiannya itu dengan baik. Zafeera teringat sendiri akan doa-doa peribadinya yang sering dipintanya kepada Tuhannya secara rahsia.

“Ya Allah.. aku mohon cintaMu ya Allah, dan aku mohon cinta dari cintaMu ya Allah…”

Dipohonnya kepada Sang Pencipta, untuk mengurniakan cinta yang tulus untuk menemani hidupnya di dunia dan akhirat. Cinta suci yang datang dari cinta Tuhannya. Dan Tuhan mengurniakan kepadanya cinta Aqasy, yang tulus dan ikhlas untuknya sejak dulu.

Terima kasih ya Allah..

“Eh, eh… kenapa nangis ni. Jangan nangis, kita nak kawin ni. Nanti habis make up.” Ujar Aqasy separuh berbisik, separuh memujuk. Dan separuh lagi panik.

“Pasangan seterusnya, Ahmad Aqasy dan Zafeera Imani, boleh masuk ke bilik akad nikah.” Seorang lelaki berpakaian kemas bersuara sambil tersenyum.

Aqasy dan Zafeera saling berpandangan. 


 

No comments:

Post a Comment