Bab
16
“KAMI
syak.. Jengkalak tu masih ada ustaz.. mungkin dah ada tuan baru..” Khaliq
bersuara perlahan.
Aqasy yang
sedang bersila di sisinya ikut mengiyakan dakwaannya. Mereka menziarahi guru
yang mengajarkan mereka ilmu perubatan Islam untuk meminta nasihat dan bantuan
mengenai Jengkalak.
Ustaz Rahim
menganggukkan kepalanya perlahan. Dia juga sudah maklum akan isu semasa yang
sedang hangat diperkatakan baru-baru ini. Wajahnya tetap terlihat tenang, dan
menenangkan.
Kali terakhir
Jengkalak dilihat adalah semasa peristiwa berdarah yang telah meragut nyawa
tuannya, Hilal. Setelah itu Jengkalak langsung melenyap hilang. Makhluk jin ini
merupakan antara makhluk jin purba yang telah wujud sejak zaman yang sangat
lama. Jengkalak biasanya tidak memunculkan diri atau membuat kecoh di alam
manusia, melainkan diseru dan dipuja. Pawang atau bomoh yang menyerunya pula
pastinya bukan calang-calang darjat ketinggian ilmu sesatnya.
Jengkalak
jarang menjadi pilihan sebagai makhluk belaan pengamal ilmu-ilmu sesat,
meskipun kesannya kepada tuan yang membela begitu mengagumkan. Bukan sahaja
boleh terlihat cantik dan kacak, disegani dan ditakuti, tetapi juga boleh
membuatkan orang yang membelanya menjadi kaya-raya dan memiliki badan yang kekal
kuat bertenaga dan ampuh dari sebarang penyakit. Orang yang membelanya juga
diceritakan mampu melonjakkan status sosial ke tahap tertinggi sehingga mampu
mempunyai kuasa untuk memegang sesebuah empayar atau kerajaan.
Apa yang
membuatkan kebanyakan orang tidak memilihnya sebagai belaan adalah kerana
upahnya yang agak sukar didapatkan. Janin bayi yang belum dilahirkan. Semakin
banyak kuasa yang Jengkalak berikan, semakin banyak dan kerap juga upah yang
perlu disiapkan. Bukan itu sahaja, semakin banyak darah dan janin manusia yang
diratahnya, semakin sukar pula untuk mengawalnya dengan mantera-mantera
tertentu yang telah ditetapkan.
Jengkalak akan
berevolusi menjadi lebih ganas dan buas. Ia juga boleh membunuh tuannya sendiri
begitu sahaja sekiranya tuannya gagal mengawalnya. Jengkalak tidak bertuan yang
sudah terbiasa merasakan kelazatan daging manusia dibimbangi boleh membawa
kemudaratan yang lebih besar kepada umat manusia.
“Membunuhnya
tak susah….” Ujar Ustaz Rahim tenang.
Sudah dirujuk
dan diminta pandangan rakan-rakan segurunya terlebih dahulu mengenai perihal
makhluk jin itu, sebelum Aqasy dan Khaliq datang menziarah. Dia bangun mencapai
sesuatu di dalam almari kecil di situ. Ustaz Rahim kembali mengemaskan silanya
di hadapan Aqasy dan Khaliq.
“…yang lebih
susah tu, nak mencarinya, mengepungnya dan membunuhnya sebelum dia melenyapkan
diri.” Tajam renungannya ke dalam anak mata pemuda berdua tersebut.
“Gunakan
bacaan yang dah saya ajarkan pada kamu. Ikat dia di alam kita dengan
zikrullah.” Sambungnya lagi.
Sebilah keris bersaiz sederhana yang berada di
tangannya dihulurkan kepada Khaliq.
“Ini cuma
alat, tiada yang Istimewa padanya, melainkan telah saya bantu doakan.” Jelas
Ustaz Rahim, memperingatkan.
“Yang penting,
ketaqwaan dan keyakinan kamu pada pertolongan Allah.” Sambungnya tegas.
“Tusuk
bahagian tengah dahi pada kepala utamanya dengan nama Allah. InshaAllah.”
Sambungnya lagi.
Aqasy dan
Khaliq hanya diam tekun mendengar.
“…yang paling
penting… sebaik sahaja dia tumbang, tiga kepalanya dan badannya perlu
dipisahkan, dan kena segera ditanam secara berasingan….” Ustaz Rahim beriak
serius.
“…di alamnya
sendiri.” Sambungnya menghabiskan ayat.
Aqasy dan
Khaliq masing-masing menelan liur. Ilmu mereka belum setinggi itu. Ustaz Rahim
kemudiannya tersenyum.
“Jangan risau…
saya dan rakan-rakan seguru yang lain akan bantu bahagian tu. Tapi kamu perlu
cepat bawa ia ke sini.” Sambungnya lagi.
Aqasy dan
Khaliq serentak mengangguk faham. Peluh dingin merenik di dahi masing-masing. Mereka
saling berpandangan. Membayangkan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang
bakal terjadi. Semoga Allah mempermudahkan mereka.
“Utuhkan
taqwa, kuatkan hati dengan keyakinan. InshaAllah, Allah bersama kamu.” Pesan
Ustaz Rahim.
“TAPI…
macam mana kita nak cari Jengkalak tu?” Soal Ida polos.
Mereka
berempat masih leka berbincang di kafeteria UTAF lewat petang itu. Suasana agak
lengang memandangkan esok adalah hari minggu. Hanya ada beberapa pelajar dan
pensyarah yang masih di situ.
“Feera….” Panggil
satu suara.
Serentak
mereka berempat berkalih ke arah susuk tersebut. Seorang wanita berjubah hitam,
dengan kaca mata hitam menutupi sebahagian besar wajah cengkungnya, dan sehelai
selendang hitam jarang yang menyamarkan rambut perang panjang yang kusut masai
di bawahnya sedang berdiri memandang mereka. Perlahan kaca mata gelapnya
ditarik turun.
“Tolong aku
Feera…” Ujarnya dengan suara serak.
“Leen?” Zafeera
bersuara setelah mengecaminya.
“AKU…
aku dah tak tahu nak buat macam mana lagi….” Tangis Leen.
Mereka
berempat mengikutnya pulang ke rumahnya, setelah bersolat Maghrib terlebih
dahulu di UTAF. Keadaan rumahnya begitu kucar-kacir. Kelihatan tidak terurus
dan berselerak. Bahkan dirinya juga kelihatan begitu. Wajah cengkungnya berhias
kesan hitam yang jelas di bahagian bawah matanya. Tubuhnya pula begitu kurus
seperti sudah berhari tidak menjamah makanan.
“Apa yang
berlaku sebenarnya? Cuba kau ceritakan betul-betul, bagi kami faham.” Pinta
Zafeera. Kasihan pula dia melihat sahabat sekolejnya itu.
“…aku… aku
pernah tengok benda tu… aku… selalu pergi rumah Hilal. Kami… selalu puaskan
nafsu masing-masing… “ Air matanya mengalir lagi.
Mereka yang
lain hanya diam mendengar. Memberi ruang untuknya bercerita.
“Aku… pernah
tengok cara Hilal kawal dia.. mantera-mantera yang dia guna…” Luahnya lagi.
“Aku ingat aku
boleh buat… nampak mudah je…” Tersekat-sekat ceritanya.
“Lepas aku
tahu Hilal mati.. aku masuk rumah dia. Aku ambil kitab mantera dia. Aku panggil
dia… Jengkalak…” Sambungnya lagi. Wajahnya kelihatan penuh penyesalan.
“Aku… aku bagi
dia janin aku sendiri… aku… hamilkan anak luar nikah Hilal…” Ayat tersebut
diungkap dengan penuh susah payah.
Mereka berempat
masing-masing menahan nafas mendengar ceritanya. Terkejut, bingung, takut, tak
sangka, semuanya bercampur baur.
“Lepas tu… aku
mula bela dia…. Tak susah pun.. dia pandai cari makan sendiri.. paling-paling
pun, aku cuma tunjukkan je, mana-mana wanita hamil yang aku kenal. Tapi.. masa
tu, dia tak bunuh orang.. tak bunuh si ibu.. dia cuma ambil janin.. macam mana
dia buat, aku tak tahu.” Jelasnya lagi.
“Lepas bela
dia, hidup aku jadi senang. Bos aku kat tempat kerja tunduk dengan aku. Duit
masuk macam air dalam akaun aku. Apa-apa barang yang aku promote
semuanya viral. Tapi.. lepas tu…, aku dah tak boleh nak kawal dia.
Mantera yang aku guna, tak berkesan pada dia. Dia jadi makin ganas sampai dia
bunuh orang. Aku…aku tak tahu apa nak buat.” Leen kembali mengesak tangis.
“Korang
kena tolong aku… aku tak tahu nak minta tolong kat siapa lagi dah… aku…
aku tak nak mati macam Hilal…” Air mata berlumba-lumba tumpah di pipinya.

No comments:
Post a Comment