Friday, October 30, 2026

Jengkalak (Bab 17)


Bab 17

“PATUTNYA kau fikir dulu sebelum buat. Kau tahu tak apa kau buat ni syirik?? Kau takde rasa takut kat Tuhan ke?” Aqasy bersuara tegas.

Wajahnya kelihatan tegang. Sememangnya dia kesal dengan manusia yang sewenang-wenangnya menggadai agama dan akidah, dengan menyekutukan Allah Subhanahuwata’ala. Apatah lagi sehingga memudaratkan orang lain atau lebih teruk, memang berniat untuk membinasakan orang lain. Jahat.

Air mata Leen semakin laju meluncur turun membasahi wajahnya. Mereka yang lain hanya mendiamkan diri.

“Bertaubatlah Leen. Bertaubat sebelum terlambat.” Sambung Aqasy lagi.

Bukan dengan nada yang tinggi. Tapi cukup untuk menggetarkan isi perut. Suasana hening seketika. Hanya esakan tangis Leen yang menghiasi ruang udara.

“Kau dah sedia?” Soal Aqasy serius.

Pandangannya tajam menikam wajah basah Leen yang sudah mula mereda esak tangisnya. Leen hanya memandangnya dengan mata sayu. Tidak berani walaupun hanya untuk mengangguk, jauh sekali untuk bertanya apa-apa. Dia hanya membatu di tempatnya.

Aqasy mengeluarkan bilah keris yang memang sudah sedia dibawa bersama. Dia menoleh sekilas ke Khaliq. Khaliq mengangguk bersetuju.

“Panggil dia.” Arahnya pada Leen.

 

AQASY dan Khaliq masing-masing sudah bersiap siaga memasak kekuda di tempat masing-masing, bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Zafeera dan Ida diarahkan berdiri di satu sudut. Manakala Leen berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu, sambil memulai bacaan manteranya.

“Cek cek!”

“Kek!”

Seekor dua cicak mula bersahutan di dinding rumah.

Mata Aqasy dan Khaliq pantas melingas ke kiri dan kanan, mengawasi persekitaran mereka.

“Kek!”

“Cek! Cek! Cek!”

“Cek! Cek! Cek!”

Sahutan cicak semakin meriah. Mulut Leen juga kelihatan semakin laju terkumat-kamit. Bulu tengkuk Zafeera terasa berdiri meremang. Suhu di dalam rumah terasa membahang secara tiba-tiba.

“Cek! Cek! Cek!!”

“Kek! Kek! Kek!!”

“Kek! Kek! Kek!!”

“Kek! Kek! Kek!!”

Bunyi cicak di dalam rumah tersebut tiba-tiba menjadi semakin hingar, seolah-olah datang dari puluhan ekor cicak-cicak besar. Kemudian suasana menjadi senyap secara tiba-tiba. Pada waktu ini, Deria bau mereka tidak semena-mena diserang aroma yang begitu busuk dan menjijikkan. Ida hampir saja memuntahkan segala isi perutnya, dek kerana tidak tahan dengan bau yang begitu meloyakan tersebut.

Dalam masa yang sama, sekonyong-konyong Jengkalak muncul tepat di hadapan Leen, membelakangi Aqasy dan Khaliq yang sudah bersedia di situ.

Leen masih belum berhenti membaca mantera tanpa suara, seiring matanya yang membuntang bulat membalas pandangan Jengkalak yang menyala merah.

“Khal!” Panggil Aqasy.

Serentak itu juga Khaliq ikut membaca ayat suci al-Quran seperti sahabatnya, dengan suara yang kuat dan jelas.

“Cekk! Cekk!! Cekk!!”

“Kekk!! Kek! Kekk!!”

Bergempita ruangan dalam rumah tersebut dengan deruman ratusan ekor cicak yang bagaikan cuba berlawan dengan bacaan-bacaan Aqasy dan Khaliq.

Dalam masa yang sama, Leen tiba-tiba menggelijat bagai terkena renjatan. Wanita itu terus menggelupur sehingga terlentang di lantai. Darah merah pekat kehitaman berpusu-pusu memancut keluar dari mulutnya. Kedua bola matanya terbuntang luas, membeliak bagaikan mahu terjojol keluar. Imbasan-imbasan dosa-dosa yang pernah dilakukan ketika hidupnya bersilih ganti terpamer laju di ruang matanya. 

Perutnya pula tiba-tiba membuncit bulat dengan kadar yang pantas. Jelas kelihatan sesuatu, atau puluhan ekor sesuatu, sedang bergerak-gerak dari dalam perutnya yang membonjol-bonjol ke kiri dan kanan secara rawak. Semuanya bagaikan sedang mencari jalan keluar dari perut wanita malang itu.

Tidak semena-mena, perut Leen terkoyak! Bermula dengan koyakan kecil di beberapa bahagian, sehingga puluhan ekor cicak bersaiz agak besar berbanding cicak normal, menembus keluar dari dalam perutnya dalam keadaan yang sangat mengerikan. Merangkak dan melompat keluar seekor demi seekor dengan pantas. Beberapa ketika kemudian koyakan-koyakan kecil tersebut mengakibatkan koyakan besar di tengah-tengah perutnya. Habis memburai segala isi perutnya, berselepet di sekeliling tubuhnya, juga membanjiri lantai tempat dia terbaring.

Leen mati serta-merta dengan matanya terbelalak ke atas. Tuhan sahaja yang tahu akan peritnya azab kematiannya.

Semuanya berlaku dengan terlalu pantas. Tiada sesiapa mampu berbuat apa-apa ketika itu. Zafeera dan Ida saling berpelukan ketakutan. Aqasy dan Khaliq menguatkan lagi bacaan masing-masing. Keduanya berdiri utuh, memperteguhkan kayakinan dan pergantungan kepada Allah yang Maha Esa, satu-satunya.

Jengkalak kemudiannya tiba-tiba mendecit kuat. Lidah bercabangnya terjelir ke udara dengan pantas, berulang kali keluar dan masuk dari rahangnya yang ternganga luas. Dua lagi kepala di sebelahnya menggeliang-geliut dengan ganas. Ekornya menghempas-hempas lantai dengan kuat. Seluruh tubuhnya kelihatan memudar samar berulang kali sebelum menjelma semula. Aqasy dan Khaliq berjaya mengekang pergerakannya sekaligus menghalang makhluk itu dari menghilang ke alamnya.

Dengan bacaan ayat suci al-Quran yang tidak lekang dari lidah, Aqasy bingkas ke arah Jengkalak bersama keris yang sedia terhunus. Namun, belum sempat keris di tangan dihunjam tepat ke kepala tengah Jengkalak, lidah bercabangnya terlebih dahulu menyambar dada Aqasy!

“Allahhh…!!” Aqasy mengerang sakit.

Dadanya terasa perit membakar, bagai ditampar dengan tangan berapi yang bersaiz dua kali ganda lebih besar dari tangan manusia. Keris di tangannya terlepas dari pegangan. Belum sempat nafas ditarik, lidah kepala tengah Jengkalak kembali bergulung, dan memancut keluar sekali lagi dengan laju sebelum melekap kejap di bahagian dada Aqasy.

“Allahu Akbarrr!!” Teriaknya kuat.

Aqasy jatuh melutut di hadapan Jengkalak. Seluruh tubuhnya terasa bagai disambar renjatan elektrik berkuasa tinggi. Batang-batang tulang di segenap pelusuk badannya bagai dihentak keras oleh sesuatu yang besar dan berat. Ruang dadanya mengetat kejap dalam kadar sesaat! Sakitnya benar-benar tidak terperi, tidak mampu ditanggung oleh tubuh seorang manusia pada fitrahnya.

“Aqasyy!!”

“Abangggg!!!”


 

No comments:

Post a Comment