Bab 8
JENAZAH
Tok Ma sudah selamat dikebumikan. Zafeera bersyukur semua urusan berjalan
dengan lancar dan dipermudahkan. Aqasy, Khaliq dan Ida lah yang banyak membantu
menguruskan semuanya. Hilal pula lebih banyak meluangkan masa menemani Zafeera,
sehingga dia sendiri berasa serba salah, bimbang disalah anggap oleh orang
kampung.
“Feera ok
ke nak tinggal sorang-sorang ni? Betul tak nak ikut abang balik?”
Soal Hilal di muka pintu.
Mata Zafeera meliar melihat
beberapa orang tamu yang masih ada, bimbang pertanyaan Hilal disalah erti.
“Alah Feera
jangan risaulah, rumah abang ada pembantu. Bukan kita berdua je…” Asak
Hilal, cuba meyakinkannya.
“Takpe
abang Hilal…, terima kasih… tapi Ida ada temankan Feera malam ni…” Tolak
Zafeera sopan.
Hilal menarik
muka. Memang begitulah Zafeera. Nampak lembut, tetapi belum pernah sekalipun
Hilal berjaya memujuknya untuk melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Lembut,
lembut juga. Tolak, tolak juga. Kalau dia tidak mahu tu, memang tidak mahulah.
“Oklah…
apa-apa nanti call abang. Abang balik dulu.” Ujar Hilal mengalah.
Zafeera
mengangguk-angguk perlahan. Dia membiarkan pandangan matanya mengiringi langkah
lelaki itu yang diatur kemas menuju ke kereta. Hilal berhenti di depan
keretanya dan menoleh semula ke belakang, mahu melambai kepada Zafeera. Namun
memek wajahnya tiba-tiba berubah. Kelat. Tangan yang diniatkan mahu melambai
tidak jadi diangkat.
Dia lihat Zafeera
sedang berbual mesra dengan Aqasy dan Khaliq di muka pintu. Tangannya digenggam
kuat. Pintu kereta dibuka kasar, lalu punggungnya dihenyak di seat kereta
sebelum menghempas tutup pintu keretanya dengan
kuat. Ditolehnya sekali lagi ke arah mereka bertiga.
“Abang Qasy
dengan abang Khaliq nak balik dah?” Sapa Zafeera apabila mereka berdua
menghampirinya yang masih berdiri di muka pintu.
“Ermm…
kami ada.. benda sikit nak bincang dengan Feera dulu…” Ujar Khaliq memulakan
bicara.
Zafeera
memberikan senyuman dan menundukkan kepala kepada beberapa orang jiran yang meminta
izin untuk mengundurkan diri. Hanya tinggal mereka bertiga dan juga Ida sahaja
di rumah itu sekarang.
“Bincang apa
tu…” Soalnya kembali.
“Macam ni.. err…”
Khaliq berkira-kira mahu menyusun ayat.
“Feera… ada..
ternampak apa-apa yang aneh tak..?” Pintas Aqasy setelah dilihatnya sang
sahabat terkial-kial mahu meluah bicara.
“Aneh? Maksud
abang…?” Soal Feera kembali, sambil fikirannya menerawang cuba mencari maklumat
untuk menjawab soalan Aqasy.
“Oh?” Dia
tiba-tiba teringat perihal malam tadi. Bukan saja aneh, bahkan mungkin sesuatu
yang paling menggerunkan pernah dia lihat seumur hidupnya.
“Err…
aneh macam… err han…tu.. ke?” Soalnya sambil menelan liur.
Entah
bagaimana mahu mengkategorikan mahkluk ngeri yang dilihatnya. Padanya, hantu itu
selalunya perempuan berambut panjang dengan baju putih dan kuku panjang. Tetapi
makhluk semalam lebih kepada mutan hibrid yang tersalah DNA.
Aqasy menajamkan
pandangan matanya menikam sepasang mata sang gadis. Dia mengangguk serius.
“Err..
sebenarnya macam ni… semalam.. tak tahu macam mana… maksud Feera, Feera pun tak
pasti apa yang Feera nampak..” Ujar Feera.
Liur ditelan
sekali lagi. Berkira-kira untuk menceritakan kejadian semalam. Risau pula kedua
seniornya itu menganggapnya gila atau bermimpi. Tapi rasanya dia takde pun
menonton cerita ultraman dan dinosaur yang boleh membawa kepada mimpi
begitu.
“Tak apa,
cerita je. Abang Qasy nak tahu.” Ujar Aqasy, cuba meyakinkan gadis
tersebut.
“Feera, Feera nampak…
tapi masa tu gelap, jadi Feera tak pasti sangat.. Tapi Feera nampak ada..
binatang.. err.. makhluk kat atas katil Tok Ma…” Ujarnya sambil
mengimbas semula imej mahkluk tersebut.
“Makhluk…macam
cicak berkepala tiga?” Potong Aqasy.
Bulat mata
Zafeera memandangnya. Aqasy dan Khaliq juga saling berpandangan dan
menganggukkan kepala. Zafeera masih menanti bicara Aqasy seterusnya,
mengharapkan penjelasan.
“Feera, abang Qasy
belum betul-betul pasti lagi… tentang semua ni… tapi…” Kata-kata Aqasy
tergantung seketika.
“Macam nilah,
sekarang ni, abang Qasy cuma nak minta izin Feera untuk pagarkan rumah Feera
ni…” Ujarnya kemudian.
Terangkat kedua belah kening
Zafeera.
“Pagar dengan
ayat-ayat suci al-Quran, ikut kaedah perubatan Islam.” Sambung Khaliq,
menjelaskan dengan lebih terperinci, kepada juniornya yang kelihatan bingung.
“Oh…”
Sambutnya sepatah.
Aqasy
mengangkatkan keningnya.
“Boleh… Feera
izi…”
“Argh!”
Belum sempat
Zafeera menghabiskan ayatnya, Aqasy tiba-tiba mengerang sakit sambil memegang
dada.
“Qasy!”
Panggil Khaliq.
Wajah Khaliq
bertukar serius. Penumbuk digenggam dan pandangannya dihalakan keluar.
Kelihatan kereta mewah Hilal masih kaku di situ. Khaliq terus melangkah keluar.
“A..abang Qasy
ok tak?” Soal Feera panik.
“Abang Khaliq
nak pergi mana tu?” Bingung dia melihat Khaliq yang selamba keluar meninggalkan
Aqasy yang sedang mengerang sakit.
Khaliq
membongkok mengetuk cermin tingkap kereta Hilal. Hilal yang tadinya sedang memejam
rapat matanya dengan mulut yang terkumat-kamit dengan laju, terkejut. Cermin
tingkap diturunkan perlahan.
Dalam masa
yang sama, Aqasy kembali menegakkan badan perlahan-lahan. Sakit di dadanya spontan
mereda. Bertambah bingung Zafeera dibuatnya.
“Abang Qasy kenapa,
abang Qasy ok tak? Abang Qasy ada sakit jantung ke?” Soal Feera
bertalu-talu.
Aqasy mengurut
dadanya perlahan, mencuri nafas untuk menstabilkan diri.

No comments:
Post a Comment