Thursday, October 22, 2026

Jengkalak (Bab 7)


Bab 7

2012

“TAPI kenapa tak boleh?!” Bentak Hilal, agak kasar.

Zafeera tersentak. Tidak sangka dengan intonasi yang keluar dari mulut pemuda itu.

“Feera minta maaf abang….” Bicaranya tersangkut. Mati akal mencari kata-kata.

“Tak, sekarang ni abang tak faham. Kenapa tak boleh?! Kenapa Feera tak nak terima abang?” Tekannya lagi.

Dilayangkan penumbuk padu di dinding bangunan kolej. Kalau cermin, mungkin dah pecah.

Zafeera hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak tahu mahu memberikan alasan apa lagi. Wajahnya yang sudah mula panas tadi kini merembeskan cecair yang mula bertakung di kolam mata.

Hilal merengus kasar, kemudian berlalu meninggalkan Zafeera.

Zafeera masih berdiri di situ. Menangis. Takut, geram, malu dan macam-macam lagi yang membuatkannya berdiri menangis di situ.

Itu bukan kali pertama senior seorang itu meminta untuk bercouple dengannya. Sejak Zafeera mula masuk ke kolej lagi, sudah dimintanya. Setelah ditolak dengan baik, Hilal kemudian bercinta dengan junior kos lain yang memang diakui lebih cantik daripada Zafeera. Beberapa semester kemudian hubungan tersebut putus, dan Hilal kembali meminta untuk berpasangan dengannya. Juga ditolaknya dengan sehabis baik.

Kitaran yang sama berlaku berulang-ulang, dengan Hilal bercinta dengan beberapa gadis lain, sebelum hubungannya putus dan dia kembali meminta perkara yang sama dari Zafeera. Sehinggalah hari ini, di mana dikhabarkan bahawa lelaki itu baru sahaja clash dengan girlfriendnya yang satu kelas dengannya, pagi tadi. Dan sekarang Zafeera sedang berdiri di sini, menangis kerana dibentak lelaki itu untuk kesekian kalinya.

Hilal akan bersikap begitu padanya selama beberapa hari, sebelum kembali berlembut dan melayaninya dengan baik. Tak akanlah lelaki begitu nak dibuat suami. Mahunya berendam air mata Zafeera dibuatnya nanti. Sudahlah dia memang sensitif orangnya. Sememang lelaki yang berperwatakan tenang dan sopan lebih menarik minat Zafeera, berbanding lelaki seperti Hilal.

“Feera? Eh… kenapa ni…? Kenapa nangis sorang-sorang kat sini…” Soal Khaliq prihatin.

Aqasy yang sedang berdiri di sebelahnya ikut menunduk menjenguk wajah Zafeera yang basah dengan air mata.

Bertambah menunduklah gadis itu cuba menyembunyikan wajahnya yang comot dengan air mata. Zafeera memaksa diri untuk berhenti menangis. Kedua tangannya diguna silih berganti untuk menyeka air mata dan memegang buku. Habis comot semuanya. Sudahnya dia mengesat air mata menggunakan hujung tudungnya.

Aqasy menyigung Khaliq lalu menghulurkan sapu tangannya kepada sang sahabat, sambil memberi isyarat.

“Feera, nah ambil sapu tangan ni. Habis comot berlemoih dah tudung-tudung semua. Tuu… apa tu… ee.. hingus….” Usik Khaliq mesra.

Aqasy terlepas tawa kecil. Zafeera mengerling Aqasy sambil menyambut huluran Khaliq. Sejurus kemudian dia sendiri ikut ketawa. Mesti sememeh betul mukanya waktu itu.

“Terima kasih…” Ucap Zafeera tulus.

“Sama-sama kasih….adoih, eh, sapu tangan tu Aqasy punya, nanti Feera pulangkan kat dia ea…” Ucapan Khaliq berubah arah setelah disigung buat kesekian kalinya oleh sang sahabat.

“Terima kasih abang Aqasy… nanti lepas dah basuh, Feera pulangkan ea..” Ucap Feera sambil memandang Aqasy.

Serta merta Aqasy melarikan pandangan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Lengan Khaliq disikunya lagi.

“Haa… abang Aqasy kata takpe tak payah, simpan je sapu tangan tu untuk Feera guna.” Sahut Khaliq bagi pihak Aqasy.

“Eh… dah main pakai jurucakap pulak. Hmm..betullah diorang cakap, suara abang Aqasy memang ketul  emas.” Omel Zafeera dalam hati.

Tidak pula dia berani mengucapkannya di mulut.

“Err.. terima kasih…” Ulang Zafeera lagi.

“Sama-sama.. dah, jangan nangis-nangis lagi ea. Hilang manis tu nanti.” Pesan Khaliq sebelum melangkah pergi bersama Aqasy.

Tidak semena-mena Zafeera nampak sesuatu melayang jatuh dari buku di tangan Aqasy.

“Abang Aqasy..! Ni.. ada ni… jatuh…” Ujarnya sambil membelek penanda buku tersebut seketika sebelum menyerahkannya ke tangan Aqasy yang sudah berpatah balik.

“Terima kasih….” Ujar Aqasy sambil tersenyum kacak.

“Omak… oh Tok Ma… indahnya ciptaan Allah ini…” Bisik hati gadis seorang Zafeera Imani.

 

2024

HILAL sudah agak lama berhenti menganggu Zafeera dengan permintaan-permintaan mengarutnya. Apatah lagi setelah dia mula berhubungan serius dengan Aqish, adik perempuan Aqasy. Sehinggalah mereka berkahwin dan kemudian mereka dikejutkan dengan kematian ngeri wanita itu di rumahnya sendiri. Kes itu telah menggemparkan rakyat Malaysia pada ketika itu. Berbagai andaian dibuat namun hasil siasatan tidak berjaya merungkai misteri kematiannya, dan kes tersebut akhirnya perlahan-lahan hilang dari menjadi sebutan.

Setelah itu ada juga sekali Hilal meminta untuk meminang Zafeera, tidak berapa lama selepas kes kematian Aqish mereda. Namun tetap ditolak oleh Zafeera. Waktu itu dia sudah pun bergelar seorang balu. Kemudian Hilal merajuk dan tidak menghubunginya untuk satu jangka masa yang agak lama. Zafeera hanya mendengar berita mengenai perkahwinan kedua lelaki itu bersama seorang pramugari.

Walaubagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama. Hanya beberapa tahun, sebelum mereka akhirnya bercerai. Dengarnya si isteri sering keguguran dan membawa kepada pertelingkahan pasangan itu yang kemudiannya berakhir dengan penceraian. Sejak itu Hilal kembali menganggunya. Sudah beberapa kali diminta untuk memperisterikan Zafeera. Sehingga dia sanggup berpindah ke hospital yang dimiliki oleh UTAF, untuk mendekati wanita itu.

Hilal tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan persetujuan Zafeera meskipun dalam masa yang sama dia turut menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya dan rakan sekerja Zafeera sendiri.


 

No comments:

Post a Comment