Wednesday, May 1, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 19)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 19

DAHSYATLAH kisah korang ni…ada pulak pembunuh psikopat yang berdendam dengan korang sejak kecil. Dah boleh buat novel cerita korang ni, tau!” Bebel Munir sambil menyapukan ubat di luka tikaman di perut Mus.

Beberapa hari telah berlalu sejak peristiwa Ara dilarikan oleh Shahir. Shahir telah meninggal di tempat kejadian. Pihak polis telah mengesahkan semua pembunuhan itu dibuat oleh Shahir, berdasarkan keterangan Maira dan beberapa bukti yang ditemui di lokasi kejadian, selain peralatan senjata yang mempunyai DNA mangsa.

Mus pula bernasib baik kerana tikaman di perutnya tidak mencederakan organ dalamannya. Dia dibenarkan pulang berehat di rumah selepas 3 hari berada di hospital. Maira tidak mengalami sebarang kecederaan, selain tangan dan kaki yang berbekas akibat kesan ikatan.

Menangis-nangis Hanim menelefon Munir supaya menghubungi Mus dan memaklumkannya mengenai kehilangan gadis itu tempoh hari. Sebaik sahaja Mus dapat mengesan lokasi Maira, dia telah memaklumkan situasi tersebut kepada pihak polis dan bergegas ke tempat kejadian.

Dengan izin Allah, tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan nyawa Mus dan Maira, sekaligus menghalang lebih ramai nyawa dari terkorban di tangan psikopat tersebut.

Pihak polis masih belum dapat memastikan jumlah sebenar mangsa yang telah dibunuh oleh Shahir. Dianggarkan sudah puluhan orang yang menjadi korbannya dalam tempoh beberapa tahun.

“Alah..kisah kau pun sama juga, boleh buat novel. Bertemu cinta di negara oppa.” Tempelak Mus.

Sengaja mengusik Munir yang bakal melangsungkan pernikahan dengan Hanim tidak lama lagi.

Haishh…takdelah setragis kisah kau, pertemuan semula cinta pertama…” Perli Munir pula.

“Eh.. Maira, tak jadi kahwin dengan mamat perasan macho tu kan?” Soal Munir, perasan riak wajah Mus yang agak berubah.

Mus hanya menjungkitkan kedua bahunya.

Belum sempat Munir menyambung bicara, mereka dikejutkan dengan bunyi loceng pintu apartment mereka.

Hmm..tu sampai dah. Buah hati pengarang jantung kau.” Ujar Munir sambil bangun membuka pintu.

Mus menyarungkan baju dan membetulkan duduknya.

“Assalammualaikum…” Sapa Maira ceria.

Hanim, Hani dan Pak Saad juga ada bersamanya. Mereka membawa bungkusan makanan dan buah-buahan datang menziarahi Mus.

“Waalaikumussalam…duduklah Ara..” Sahut Mus sambil tersenyum manis.

“Macam mana keadaan Ari? Luka sakit lagi?” Soal Maira.

“Tadi sakit, dah nampak Ara ni, langsung hilang dah semua sakit.” Ujar Mus berseloroh.

“Kalau macam tu, Maira kena datang hari-harilah, baru sakit Mus ni cepat lega…” Usik Pak Saad pula sambil bersalaman dengan Mus.

Hmmphh..memang hari-hari pun dia datang Pak Saad… tinggal nak angkut kain baju aje datang duduk sini…” Usik Munir pula. Tangannya sibuk membantu Hanim dan Hani menghidangkan makanan yang mereka bawa.

“Eleh…dia juga yang untung, kan.. Maira bawa makanan sedap tiap hari…” Sampuk Hanim pula, mengenakan kekasihnya.

“Eh..shh…janganlah pecah rahsia…” Jawabnya sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.

Ketawa mereka dengan kerenahnya. Deringan telefon bimbit Maira mematikan ketawa mereka.

Hello Assalammualaikum…” Tenang Maira menyapa si pemanggil.

“Hah? Allahu Akbar…” Nada suara Maira berubah, membuatkan mereka yang lain menumpukan perhatian kepadanya.

“Mus? Err…baiklah… Maira cuba.” Sahutnya selepas berbual seketika.

“Kenapa tu?” Soal Pak Saad risau.

“Hadif call…, katanya ayah dia, Dato’ Hariz kena serangan jantung sejak malam semalam. Sekarang tengah tenat…doktor minta ahli keluarga bersedia..” Maira mula memberi penjelasan.

Dia terdiam seketika. Patutlah Hadif tidak menghubunginya sejak semalam.

“Doktor tak tahu macam mana nak buat lagi sebab keadaannya kritikal, dia sakit teruk tetapi masih bertahan. Macam…ada yang menghalang… dia nasihatkan panggil ustaz yang tahu tentang ni… dan ustaz tu pesan pada ahli keluarga, sekiranya pesakit ada pernah buat salah pada siapa-siapa, elok dipanggil orang tu supaya dia dapat minta maaf… mudahan dipermudahkan urusan sakaratnya…” Sambung Maira.

“…lepas tu.., Hadif cakap mummy dia minta dia bawakan Mus…” Ujarnya lagi sambil mmandang tepat ke arah Mus.

Terpinga-pinga lelaki itu dibuatnya. Mereka yang lain turut kehairanan. Apa pula kaitan Mus dengan ayah Hadif?

“Maira pun tak tahu kenapa…” Tambah Maira lagi sambil memandang mereka yang lain.

“Mus boleh ke, pergi ke hospital? Boleh bangun?” Soal Pak Saad setelah mereka diam seketika.

“Boleh Pak Saad…saya boleh jalan perlahan-lahan.” Jawab Mus.

“Kalau macam tu eloklah kita pergi tengok sekejap.” Nasihat Pak Saad.

Mereka yang lain menganggukkan kepala dan berkemas untuk ke hospital.

 

ARI…. Ari…maafkan aunty…” Datin Zara meluru ke arah Mus sebaik sahaja pemuda itu melangkah masuk ke dalam wad VIP tersebut.

Bulat mata Mus dan mereka yang lain.

“Ari…dah tak kenal aunty?” Soal Datin Zara sambil menangis tersedu-sedu.

Mus cuba mengamati wajah wanita itu dengan teliti. Pertama kali mereka bertemu ialah di depan bilik mayat sewaktu Datin Salimah meninggal. Dia hanya memandang sekilas sahaja pada orang tua Hadif ketika itu. Berkerut dahi Mus. Ingatannya masih samar-samar.

“Ini aunty, Ari… aunty Zara, ibu saudara Ari. Kamu Kairi Musyrif Bin Hamzah kan? Itu Uncle Hariz kamu, adik kandung arwah ayah kamu.” Jelas Datin Zara, masih rancak menangis.

Terkejut Mus mendengar pengakuan Datin Zara. Berpinar sekejap pandangannya. Mujur Munir menahan tubuhnya yang sedikit terhuyung-hayang.

“Ini pula sepupu kamu, Hadif.” Sambungnya.

Hadif sendiri kelihatan terkejut dengan pengakuan ibunya. Sepupu?

“Maafkan kami Ari… kami banyak berdosa dengan Ari, kami ambil semua harta peninggalan arwah abang Hamzah, dan tinggalkan Ari di Rumah Anak Yatim…” Semakin kuat esakan Datin Zara menceritakan kisah lalu.

“Kami makan harta anak yatim…!” Raungnya lagi.

Peluh dingin merenik di dahi Mus. Nadinya mula berdenyut laju. Mukanya terasa panas. Mereka yang lain turut terpempan mendengar butir bicara Datin Zara.

“Ari…tolong Ari.. Uncle Hariz sedang tersiksa Ari.. tolonglah maafkan dia supaya dia dapat pergi dengan tenang…” Rayu Datin Zara mengharapkan kemaafan dari pemuda itu.

Pemuda yang telah dizalimi hidupnya seawal usianya 5 tahun. Suami isteri itu berseronok dan bersenang-lenang dengan harta yang sepatutnya menjadi milik anak kecil itu, sehingga sekarang. Mereka yang lain hanya mendiamkan diri menunggu respon Mus. Rasa hiba dan simpati kepadanya berbondong-bondong bertandang di dalam hati masing-masing. Maira dari tadi lagi sudah menangis sedih.

Usapan lembut Pak Saad di bahu Mus menyedarkannya dari terus tergamam. Perlahan dia melangkah menghampiri Dato” Hariz yang sedang terlantar, tercungap-cungap menyedut nafas di atas katil. Tangannya yang diangkat lemah, terketar-ketar cuba menggapai Mus, disambut pemuda itu dengan cermat.

Bunyi nafas bapa saudaranya semakin kuat. Kedengaran begitu sakit dan menyiksakan.

“Ari maafkan uncle…” Ujar Mus perlahan sambil menangis.

Nafasnya ditarik beberapa kali lagi dengan kuat, sebelum dia diam tidak bersuara. Innalillahiwainnailahiroji’un…. Dato Hariz telah kembali menghadap Sang Pencipta. Bergema suara tangisan Hadif dan ibunya di dalam bilik itu, meratapi pemergian ayah dan suami tercinta.

 

KITA teruskan pernikahan kita weekend ni.” Ujar Hadif secara tiba-tiba sewaktu di dalam kereta.

Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah sewa Maira. Hadif menghantarnya pulang setelah datang menziarah ibunya di rumahnya. Baru beberapa hari berlalu sejak kematian ayahnya, Dato’ Hariz. Kini Hadif menyatakan niatnya untuk meneruskan pernikahan mereka esok lusa.

“Apa yang Hadif cakap ni?” Soal Maira tidak faham.

Hadif mendiamkan diri. Fikirannya melayang mengingatkan perbualannya dengan ayahnya ketika lelaki itu masih boleh bercakap selepas terkena serangan jantung.

“Hadif….. jangan ambil hak Ari… jangan ambil hak Ari…” Ujarnya berulang-ulang sambil menggenggam erat tangan anaknya.

Setelah itu, kondisinya memburuk dengan cepat dan dia nazak.

I cakap, kita nikah weekend ni.” Tegasnya lagi.

Maira terdiam. Hadif juga mendiamkan diri.

Teringat pula perbualannya dengan ibunya setelah pulang dari kubur arwah Dato’ Hariz.

“Hadif…mama rasa kita kena pulangkan semua harta Ari… dah cukuplah apa yang kita ambil dari dia. Arwah daddy pun pasti mahukan perkara yang sama.” Ujar Datin Zara.

“Eh mana boleh macam tu mummy.. habis tu macam mana dengan Hadif? Tak kan nak suruh Hadif hidup melarat?” Bantahnya. Tidak berpuas hati dengan keputusan ibunya.

“Kita hidup senang sampai sekarang ni pun…, atas harta Ari yang ditinggalkan arwah orang tuanya, Hadif.” Tegas Datin Zara.

Hadif mengenggam penumbuk. Masih tidak puas hati. Patutlah semasa terjumpa Mus di depan bilik mayat tempoh hari, ibu bapanya terkejut sangat. Sampai ayahnya diserang sakit dada. Selepas itu, tidak berhenti pula mereka bertanya soal Mus kepadanya. Malah, ayahnya turut bertanya pada Pak Saad mengenai Mus.

“Seperkara lagi Hadif. Daddy bagitahu pada mummy, yang Ari membesar dengan Maira di Rumah Anak Yatim Basyirah. Mereka bertemu semula semasa Maira melancong ke Korea. Dan…walaupun mereka tak cakap, tapi semua orang di sekeliling mereka tahu, yang mereka saling mencintai..” Tambah Datin Zara lagi.

“Lepaskanlah Maira sayang, jangan diambil lagi hak Ari…” Pinta ibunya penuh pengharapan.

Hadif mendengus. Fahamlah dia pesanan terakhir ayahnya padanya supaya tidak mengambil hak Mus.

 

HADIF…dengar tak, apa Maira cakap ni?” Panggil Maira apabila dilihatnya Hadif seperti sedang mengelamun.

Hadif memusingkan keretanya secara mendadak kemudian berhenti di tepi jalan. Terkejut Maira dengan tindakannya.

“Apa tadi? Tak dengar.” Ujar Hadif tenang selepas menarik dan menghembus nafas beberapa kali.

Maira menelan air liur.

“Maira cakap.., Maira minta maaf…tapi…Maira tak dapat teruskan pernikahan kita…” Ujarnya perlahan.

Hadif memandang tepat ke arahnya. Mukanya memerah. Sekali lagi Maira menelan air liur.

“Maira…Maira minta maaf sangat..tapi Maira tak ada perasaan cinta pada Hadif… Maira terpaksa ikut permintaan mama dengan papa untuk bertunang dengan Hadif…” Sambungnya lagi dengan suara menggigil.

“Habis tu?! Ada perasaan cinta pada siapa?! Pada Mus?!” Bentak Hadif sambil menghentak tangannya ke stereng kereta.

Maira tersentak dan mula hendak menangis. Takut melihat Hadif naik angin begitu.

“Tak..tak… Hadif tak boleh kehilangan Maira…tolonglah faham.. Hadif betul-betul cintakan Maira…” Ujar Hadif mengendurkan suara. Air matanya mula mengalir.

“Lagipun, Maira sanggup ke nak hancurkan harapan mama dan papa Maira? Bukan ke amanat terakhir diorang adalah untuk lihat kita kahwin? Untuk Hadif jaga Maira? Maira tak nak jadi anak derhaka, kan?” Ujar Hadif lagi, memulakan permainan psikologi dengan Maira.

Maira diam menunduk. Memang itu satulah kelemahannya. Dia tidak mampu ingkar dengan orang tuanya. Meskipun mereka telah tiada. Meskipun perkara ini berkaitan dengan hidupnya.

Sedikit pun dia tidak tahu, bahawa mama dan papanya hanya menginginkan dia bahagia. Hanya mereka terlambat menyedari, yang cinta Maira adalah pada Mus, bukannya Hadif. Datin Salimah sendiri pun sudah merancang untuk memutuskan pertunangan mereka, sebelum dia dibunuh.

“Maira tahu, apa yang daddy pesan pada Hadif, sebelum dia nazak?” Soal Hadif.

Maira masih menundukkan wajahnya.

Daddy pesan, supaya kita teruskan pernikahan, dia nak sangat tengok kita menikah.” Ujar Hadif sambil menelan liur.

Cuba menyembunyikan rasa bersalah kerana mengucapkan kata-kata dusta. Saat ini, apa pun sanggup dilakukannya agar tidak kehilangan Maira.

“Maira tak sekejam tu kan, nak abaikan permintaan orang yang sedang nazak… dan amanat terakhir orang tua kita…” Tambahnya lagi.

Hey..Maira..Maira pandang Hadif…” Pintanya lembut.

Perlahan Maira mengangkatkan kepalanya. Basah wajahnya dengan air mata. Hadif cuba mengesat air matanya, tetapi dia melarikan wajahnya. Akhirnya, lelaki itu hanya menghulurkan tisu untuknya.

“Hadif janji…Hadif akan berusaha setiap hari untuk dapatkan hati Maira, untuk buat Maira jatuh cinta pada Hadif, lepas kita kahwin nanti.” Pujuknya, masih dengan nada yang lembut.

“Dah…, jangan menangis ya sayang.. Hadif janji akan bahagiakan Maira..” Ujarnya lagi.

Maira tidak dapat menghentikan air matanya dari terus mengalir.

“Allah…bantu aku…” Rintih Maira.

Laluan di hadapannya terasa kelam, gelap dan pekat. Tidak nampak jalan keluar.

 

PETANG itu seperti biasa, Maira datang melawat Mus di rumahnya. Ada Hanim menemankannya. Bukan main sakan lagi Munir mengusik dan bergurau senda dengan buah hatinya seorang itu sambil menghidangkan makanan di meja. Sementara Maira dan Mus pula masing-masing terdiam di sofa. Terlalu banyak yang ingin mereka katakan, tetapi tidak satu perkataan pun berjaya keluar dari mulut masing-masing.

“Assalammualaikum….” Sapa Hadif di muka pintu. Dia baru mendapatkan tempat parkir untuk kereta mereka.

“Waalaikumsalam… eh..Hadif,  masuklah…” Pelawa Mus, agak terkejut kerana tidak sangka Hadif juga ada datang bersama mereka.

“Macam mana keadaan kau?” Soal Hadif sambil bersalaman dengan Mus.

Err…Alhamdulillah ok…” Jawab Mus.

Munir dan Hanim sedang sibuk bermain isyarat dengan mata dan kening di meja makan. Munir pun terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Geram dia pada kekasihnya kerana tidak memberitahunya lebih awal.

“Baguslah kalau dah ok… bolehlah kau datang pernikahan aku dengan Maira weekend ni…” Jemput Hadif dengan bersahaja. Ada sedikit nada sombong pada suaranya.

Mus tidak sempat menyembunyikan riak wajahnya. Dia benar-benar terkejut, tidak kurang juga terluka dengan berita tersebut. Matanya mula berkaca.

Munir pula sudah terlopong. Dibulatkan matanya pada Hanim. Gadis itu cuma terkebil-kebil menayangkan muka tidak bersalah.

“Ni…kah.. weekend ni…?” Soal Mus tergagap-gagap. Cuba memastikan yang dia tidak tersalah dengar.

Maira pula hanya tunduk membisu. Hakikatnya, dia cuba menyembunyikan pilu di hati. Sedaya upaya cuba ditahannya air matanya dari mengalir keluar.

Ha’ah, weekend ni. Kau kena datanglah, kau kan sepupu aku.” Ujar Hadif selamba.

Korang pun jemput datang ya, kitorang cuma buat majlis kecil je, nikah di pejabat agama. Ada keluarga terdekat dan kawan-kawan rapat je…” Jemputnya sambil memandang ke arah Munir dan Hanim.

Mereka berdua hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.

“Err…mummy aku pesan, suruh bincang dengan kau pasal harta tu…” Kata-kata Hadif terhenti. Wajahnya gelisah.

Takpelah…aku halalkan semuanya untuk kau sekeluarga. Aku tak perlukan semua tu…” Mudah sahaja Ari berkata-kata.

Bulat mata Hadif mendengarnya. Tidak sangka.

“Tak perlu pulangkan apa-apa.” Sambungnya lagi sambil tersenyum ikhlas.

Err…terima kasih…” Ujar Hadif lambat-lambat.

Dia mengenggam penumbuknya sendiri. Walaupun egonya sedikit tercalar, tetapi dia sedikitpun tidak mahu kehilangan segala harta keluarganya. Dia tidak sanggup hidup susah. Rasa bersalah pada Mus dibuangnya jauh-jauh. Rasa kagum dengan keperibadian lelaki itu juga dicampakkan ke tepi. Apa yang penting, harta, dan juga cinta, menjadi miliknya.

Pandangan mata mereka berdua akhirnya jatuh pada Maira yang masih tunduk mendiamkan diri.




Last day!! (Ara Ari)

 Assalamualaikum...

Koranggg.... hari ni last... Ara Ari... best ke sedih?? Huu...

Kaih nyanyi Ara Ari, kuberi nama saudara saudari, ramai-ramai... kalau tak takmau up episod last. Kihkih.

Sedikit kata akhir dari penulis ya.. 

Terima kasih...tak terhingga pada semua yang dah follow Ara Ari dengan penulis, dari mula sampai akhir.. korang memang THE BEST OF THE BEST!

Semua kata-kata semangat, sokongan, yang korang pinjamkan, penulis simpan kemas-kemas dalam hati. Harta berharga penulis. Teruskan ya...memberikan kata-kata yang baik pada orang sekeliling korang.. kata-kata korang mungkin membantu seseorang yang sedang jatuh..., atau sedang sakit..., lebih dari yang korang sangka. Mudahan Allah membalas kebaikan dan keikhlasan korang dengan sebaik-baik balasan. Aamin ya Mujib...

Korang.. pesanan untuk kita..kita termasuk penulis..

Jangan pernah rasa rugi... ikhlas pada orang..

Jangan pernah rasa rugi.. berbuat baik pada orang..

Jangan pernah rasa rugi.. memberi kemaafan  pada orang....

Kita buat kerana Allah na... Allah tu Maha Adil kan... Maha Penyayang... inshaAllah.. bahagia kita juga akan sampai... 

atau...

cuba tengok lagi sekali betul-betul... mungkin 'bahagia' tu...dah pun ada dengan kita.. 😊

dan... 

jangan terlalu keras menghukum diri sendiri.. tak ada orang yang tak pernah buat silap.. tak pernah buat salah... kan?

Teruskan berharap pada pengampunanNya... dan teruskan perbaiki diri... 

dan...

ambillah masa yang diperlukan.. untuk korang gather up balik kekuatan korang.. tak apa kalau orang sekeliling tak dapat faham.. korang sendiri tau.. apa yang korang perlu. Kita sendiri pun...tak dapat selalu fahami orang lain kan...? 

dan... yang paling penting...

JANGAN suka-suka hati bunuh oranggg...!! Aigooo...! 😝


Sayang korang. 


Love, 

Laila Raiqahana.

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 18)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 18

KEESOKAN harinya Hadif datang menjemput Maira di rumah sewanya seperti biasa.

“Maira..sayang…” Panggil Hadif yang sedang memandu.

Tangannya cuba meraih tangan Maira, tetapi Maira yang terkejut dengan tindakannya spontan menarik tangannya dari genggaman Hadif. Hadif hanya mengeluh perlahan, sudah tahu benar dengan sikap Maira. Selama mereka bergelar tunang, belum pernah sekalipun lagi mereka berpegangan tangan.

“Kan kita dah nak kahwin tak lama lagi…tak kan pegang tangan pun tak boleh..” Hadif cuba memujuk dengan suara manja.

“Kita cuma tunang, bukan suami isteri.” Jawab Maira tegas.

Hadif hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mengalah.

“Sayang..I tak cancel tau tarikh booking untuk nikah kita, minggu depan. Macam yang mummy daddy I dengan mama you bincangkan tu. Eloklah, kita nikah cepat. Senang sikit I nak jaga dan lindungi you. Kalau ada yang cuba cederakan you, tahulah nasib dia…” Ujar Hadif.

Maira tersentak. Dia sudah terlupa langsung tentang perihal pernikahannya. Hari berganti hari, tarikhnya sudah tidak lama lagi. Minggu depan? Tidak! Dia belum bersedia. Tidak…sebenarnya, dia tidak mahu meneruskannya.

“Hadif..saya..” Kata-katanya terhenti apabila Hadif sudah memberhentikan kereta di depan unitnya di hospital.

Err…balik nanti kita bincang tentang ni ya.” Ujar Maira dengan wajah serius.

Riak muka Hadif berubah mendengar pesanan Maira dengan wajah serius itu.

 

HOI! Jomlah…pergi makan dulu…nanti sambunglah kerja kau tu…” Sergah Hanim dari belakang, mengejutkan Maira yang sedang asyik menaip di komputer, mengunci masuk data pesakit.

Astaghfirullahalazim….kau pernah kena karate tak?” Ujar Maira geram.

Terkejut dia disergah begitu. Mahu sahaja dibukanya silat Pendekar Bujang Lapok di situ.

Huihh…takutnya aku…macam ni tak lah aku risau ada orang culik kawan aku ni… mesti penyek orang tu kena karate.” Usik Hanim.

“Weh..jomlah..makan dulu. Orang lain semua dah keluar. Aku lapar ni tahu tak. Haa..nenek aku pesan, jangan cari pasal dengan orang yang tengah lapar. Haa..karang…tak tahu apa nasib komputer ni…” Ugut Hanim.

Maira memandang keliling. Memang hanya tinggal mereka di situ, dan juga seorang lelaki yang datang untuk menyenggara penghawa dingin di unit mereka. Lelaki itu kelihatan sibuk dengan kerjanya.

Hish..yelah, yelah…lapar je kerjanya.” Rungut Maira sambil menyimpan kerjanya di dalam komputer.

“Haa..tahu takut. Eh kejap eh..aku pergi toilet dulu. Kejap je.” Ujar Hanim sambil berlari menuju ke tandas.

Ish budak ni kan, tadi dia yang kalut sangat nak pergi.” Bebel Maira sambil kembali menghadap komputer, berniat mahu menyambung kerjanya sambil menunggu Hanim.

Sedang dia leka menekan-nekan tetikus, tiba-tiba mulut dan hidungnya dipekup dengan sehelai kain dari belakang. Bau di kain tersebut kuat menusuk hidungnya membuatkan dia lemas. Maira meronta-ronta untuk bernafas dan melepaskan diri. Tetapi hanya dalam beberapa saat sahaja, pandangannya sudah kelam. Maira tidak sedarkan diri.

“Maira? Maira? Kau kat mana?” Panggil Hanim yang baru keluar dari tandas.

Pelik melihat kerusi yang diduduki Maira tadi kosong. Dia berkalih untuk bertanya pada lelaki yang sedang menyenggara penghawa dingin tadi, tetapi di situ juga tiada sesiapa. Hanim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rasanya dia tidak dengar bunyi orang masuk ke tandas tadi. Jadi maknanya Maira tidak ke tandas. Ke mana pula dia pergi?

“Tak kanlah dia dah pergi café kut. Aku yang lapar ke dia yang lapar ni?” Sungutnya sendiri.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dan nombor Maira didail. Cuba memastikan di mana sahabatnya itu berada. Sebaik sahaja dia memanggil, terdengar bunyi telefon Maira. Tertunduk-tunduk Hanim mencari arah dari mana datangnya bunyi itu. Dia menjumpai telefon bimbit Maira di bawah meja komputer tersebut dalam keadaan skrinnya retak seperti terjatuh. Serta-merta dada Hanim berdebar kencang. Dia mula rasa tidak sedap hati.

 

ARA, ARI,

Kuberi nama, saudara saudari,

Cikebum! Cikebum!

Malam-malam minggu,

Siang-siang hari,

Disko! Disko!”

Suara nyanyian itu membangunkan Maira. Matanya dipejam dan dicelikkan semula beberapa kali untuk menghilangkan kekaburan. Kepalanya masih terasa berat. Samar-samar dia lihat seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi roda sambil cuba menjungkit-jungkitkannya kemudian menyeimbangkannya sebelum terjatuh semula. Mulutnya riuh bernyanyi dengan suara yang girang.

“Putih-putih Melati Ali Baba..

Merah-merah jelita miau miau…

Siapa yang baik hati Cinderella..

Lama-lama jadi anak patung,

1 2 3 4, siapa gerak, dia kena cubit!” Leka lelaki itu menyanyi sebelum tiba-tiba mengalihkan pandangannya ke arah Maira.

Maira kaget. Rasa takut mula menyerbu. Dia cuba bangun tetapi tidak berjaya. Baru dia sedar yang tubuhnya sedang terikat di sebuah kerusi yang disandarkan di sebatang tiang. Kedua belah kakinya diikat di kaki kerusi, manakala kedua belah tangannya pula diikat di belakang tiang tersebut. Ketat dan menyakitkan.

“Eh…Ara dah bangun?” Tegur lelaki itu sambil menolak roda kerusi yang didudukinya menghampiri Maira.

Kerusi roda itulah yang digunakannya tadi untuk menyorong Maira keluar dari hospital dan membawanya ke situ. Dia menompang dagu dengan kedua tangannya sambil meneliti wajah Maira dengan khusyuk di hadapan gadis itu.

“Memang cantik…cantik macam dulu juga.” Pujinya.

Maira mengecilkan matanya cuba mengecam wajah pemuda itu. Otaknya ligat berfikir siapakah gerangan lelaki yang berada di hadapannya ini. Lelaki itu tiba-tiba mendekatkan mukanya ke wajah Maira dan cuba mengucup pipi gadis itu. Maira pantas memusingkan wajahnya, mengelak dari dicium. Lelaki itu tersentak seketika, kemudian ketawa suka hati.

“Siapa kau?! Kenapa kau buat macam ni?!” Jerit Maira ketakutan.

Ruang sekitar diperhatikan dengan kelam kabut. Nampak seperti mereka sedang berada di sebuah gudang yang sudah lama ditinggalkan. Ada tilam lusuh di atas lantai, bersepah dengan beberapa helai baju.

Ada juga beberapa bungkus bekas sisa makan dengan botol air di situ. Puntung-puntung rokok turut bersepah di lantai. Lebih mengerikan apabila kelihatan beberapa buah kotak peralatan bertukang, yang ada di antaranya diisi dengan pelbagai jenis senjata tajam.

Maira mati akal. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia menggerak-gerakkan tangannya, dengan harapan dapat melonggarkan ikatan, tetapi tidak berhasil. Terlalu ketat. Jam tangannya yang bergesel di tali membuatkan dia teringat sesuatu. SOS! Pantas butang di jam tangannya ditekan.

“Kau tak kenal aku?” Soal pemuda itu.

Sekali lagi didekatkan mukanya ke wajah Maira. Kali ini, tangannya mencekak kuat wajah Maira, lalu diciumnya pipi gadis itu kasar. Maira langsung tidak dapat bergerak. Serentak itu, memori lama menghentam kotak fikirannya.

 

LEPAS! Lepaslah Shahir!” Gadis kecil itu meronta-ronta cuba melepaskan diri dari dakapan rakannya.

Tadi dia tiba-tiba sahaja mencium pipi Ara setelah memberitahunya bahawa dia sukakannya.

“Ara. Shahir suka Ara.” Laju ayat tersebut meluncur keluar dari mulut kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu.

Ara terpempan mendengar pengakuan yang tiba-tiba itu.

Shahir lantas menarik tangan Ara lalu mencium pipinya. Terkejut Ara dibuatnya. Seraya itu juga dia memeluk gadis kecil berusia 10 tahun tersebut. Menjerit-jerit gadis itu minta dilepaskan.

“Lepas! Lepaslah Shahir! Lepaskan Ara!” Tubuh kecilnya tidak berdaya menolak dakapan kasar Shahir yang lebih tinggi dan tegap.

“Hoi! Kau buat apa tu?!” Jerkah Ari yang laju berlari menerpa ke arah mereka berdua.

Tempikan Ari mula menarik perhatian kanak-kanak lain yang baru hendak keluar dari kelas malam itu. Ustazah Fatimah yang masih mengemas beg tangannya di dalam kelas turut tersentak mendengar suara Ari bertempik kuat.

“Lepaskan Ara!!” Pekik Ari sekuat hatinya sebelum dia sampai di depan Shahir lalu melepaskan tumbukan ke muka Shahir.

Hentakan kuat di wajahnya membuatkan dakapannya terlepas, kedua-dua Ara dan Shahir jatuh terduduk ke tanah. Ari terus menerkam Shahir dan menumbuknya bertubi-tubi. Meskipun tubuhnya jauh lebih kecil berbanding Shahir, namun rakannya itu langsung tidak dapat melawan balas atau mempertahankan diri. Ari mengamuk!

“Ya Allah…! Kenapa tu…?!!” Jerit Ustazah Fatimah dari jauh.

“Pergi panggil Encik Thalhah dengan Pak Mail! Cepat!!” Arahnya pada beberapa orang pelajar di situ.

Ari masih memukul Shahir yang sudah terbaring di tanah. Kelam kabut Encik Thalhah dan Pak Mail berlari meleraikan pergaduhan mereka. Ustazah Fatimah pula mendapatkan Ara yang menangis ketakutan di atas tanah.

“Tadi…Shahir cium Ara. Lepastu dia peluk Ara…” Adunya pada Ustazah Fatimah.

Terkejut Ustazah Fatimah mendengar pengakuan gadis kecil itu. Encik Thalhah masih memeluk kuat tubuh kecil Ari, bagi mengelakkannya kembali menerkam Shahir. Manakala Pak Mail pula membantu Shahir yang sudah lembik untuk bangun. Sejak peristiwa itulah Shahir sering menyakiti Ara. Meletakkan paku di dalam kasut sekolahnya, dan yang lebih teruk, menikam tangannya. Parutnya masih ada hingga sekarang.

Cengkaman tangan Shahir di wajah Maira menyakitkannya, sekaligus mematikan lamunannya. Shahir cuba untuk mengucup bibirnya pula.

“Sha…Shahir!” Jerit Maira.

Pergerakan lelaki itu terhenti.

“Haa..ingat pun kau kat aku eh…” Ujarnya sinis.

“Kau….” Kata-kata Maira terhenti. Lidahnya kelu.

“Hmm? Aku…?” Soal Shahir.

Otak Maira ligat mula mengingat kembali segalanya tentang lelaki itu. Seingatnya pertama kali dia berjumpa dengannya adalah beberapa bulan sebelum dia berangkat untuk melancong ke Korea. Waktu itu Shahir datang ke unitnya bekerja untuk menyenggara penghawa dingin.

Maira yang kebetulan ketika itu baru pulang dari cafeteria bersama Hanim, langsung menghulurkan minuman dingin yang berada di tangannya kepada lelaki itu. Simpati dia melihat lelaki itu berpeluh-peluh menyelesaikan tugasannya.

“Kau tau tak Ara? Aku tak pernah rasa, apa yang aku rasa kat kau, pada orang lain.” Ujar Shahir.

Sejenak dia terimbas kembali kenangan sewaktu pertama kali dia ‘jatuh hati’ pada gadis itu di Rumah Anak Yatim Basyirah. Waktu itu, dia baru sahaja menjadi penghuni Rumah Anak Yatim tersebut setelah kedua orang tuanya meninggal dalam kebakaran di rumah mereka.

‘Kebakaran’ yang sebenarnya dicipta oleh dia. Ya..anak kecil itulah yang menuangkan minyak petrol dan memulakan api di sekeliling rumah mereka, sewaktu ibu bapanya sedang mabuk dengan najis dadah.

Dari kecil lagi, dia tidak pernah mendapat didikan yang baik dari kedua orang tuanya. Mereka bergelumang dengan najis dadah. Bukan sahaja ayahnya menjual dan mengedarkan dadah, malah juga mengajak ibunya untuk sama-sama menghisapnya. Shahir tidak pernah bersekolah.

 Dunianya diliputi dengan suasana yang sangat kotor dan kejam. Dia juga sering dipukul oleh ibu bapanya ketika mereka kehilangan akal waras mereka akibat kemaruk dengan dadah.

Entah sejak bila, Shahir mula menunjukkan perkembangan mental yang tidak sihat. Dia gemar bertindak ganas dan kejam. Sudah ratusan kali dia mencederakan dan membunuh haiwan dan binatang kecil.

Adik lelakinya yang masih kecil juga sering menjadi mangsanya. Pernah dia memotong jari tangan anak kecil itu sewaktu ibu bapanya tiada di rumah. Sehingga kemuncaknya dia membakar rumah mereka ketika ibu dan ayahnya serta adik yang baru berusia setahun lebih masih berada di dalam.

Pihak polis hanya mengesyaki bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh kenalan yang bermusuh dengan ibu bapanya dalam urusan jual beli dadah. Tiada siapa yang menyangka anak kecil itu yang melakukan perbuatan sezalim itu.Setelah kejadian itu, dia tinggal dengan neneknya yang rumahnya tidak jauh dari Rumah Anak Yatim Basyirah.

Tetapi perangainya yang nakal dan sering menganggu dan mencederakan anak-anak jiran membuatkan neneknya runsing. Justeru, wanita tua itu meminta bantuan Encik Thalhah. Sejak itulah Shahir dimasukkan ke Rumah Anak Yatim Basyirah. Di situ, dia tidak mempunyai kawan. Dia lebih suka menyendiri, bahkan telah beberapa kali mencuba untuk melarikan diri.

Dia ingat lagi semasa bulan pertama dia berada di situ. Dibakarnya beberapa ekor tikus yang sedang terperangkap dalam jerat sangkar, hidup-hidup. Semua orang terkejut dengan tindakannya. Puas dia dinasihatkan oleh Ustazah Fatimah agar tidak berlaku kejam dengan binatang. Rakan-rakan mula memandangnya dengan pandangan yang aneh dan menjauhinya.

Tetapi, ada seorang gadis kecil yang berani menghampirinya. Waktu itu dia masih didenda untuk berdiri berdekatan pondok kecil yang turut hampir dijilat api semasa dia membakar tikus-tikus malang tersebut. Gadis itu memerhatikannya sejenak dari jauh, sebelum menghampirinya untuk menghulurkan segelas air sirap. Mungkin simpati melihat dia berdiri lama di situ.

“Nak air?” Soal gadis kecil itu.

Dia hanya menjelingnya dengan muka masam dan tidak mengendahkannya.

“Eh! Tangan awak luka tu!” Kata gadis kecil itu sambil menuding jari ke arah tangan kanannya.

Dia melihat tangannya sendiri. Ada kesan melecur. Mungkin terkena api sewaktu dia sedang membakar tikus-tikus di dalam perangkap tadi. Dialihkan semula perhatian ke arah gadis kecil tadi. Dia sudah pun berlari pergi. Shahir hanya mencebik. Dengan tidak disangka-sangka, gadis itu kembali dengan membawa krim sapu untuk kelecuran. Termengah-mengah dia menghilangkan penat berlari.

Tanpa berfikir panjang, terus disapunya krim itu pada luka di tangan Shahir.

“Nah, nanti lepas mandi dan solat, sapu lagi. Kalau tidak nanti jadi parut.” Petah gadis kecil itu memberikan arahan sambil menghulurkan krim tersebut ke tangannya.

Satu senyuman manis dihadiahkan kepada Shahir sebelum namanya dipanggil oleh seorang budak lelaki.

“Ara!” Laung Ari.

Tinggallah Shahir terkedu di situ sambil mengenggam krim yang diberi.

“Ara…” Ucapnya perlahan.

Shahir merasakan suatu jenis perasaan yang baru baginya, yang tak pernah dirasakannya sebelum ini.

Sejak Ara dan Ari mengikut keluarga angkat masing-masing, Shahir sudah terputus hubungan dengan mereka. Dia telah melarikan diri dan hidup sendiri di luar, dengan mengambil upah di kedai-kedai makan.

Menginjak dewasa, kegemarannya mencederakan haiwan sudah beralih kepada mangsa yang lebih besar, manusia. Dia mula menangkap dan mencederakan gelandangan-gelandangan yang berkeliaran, sehingga ke tahap membunuh mangsanya untuk memuaskan nafsu psikonya.

Tiada siapa yang tahu kegiatannya kejamnya itu. Segalanya berjalan dengan lancar, sehinggalah dia bertemu semula dengan Ara sewaktu bekerja menyenggara penghawa dingin di hospital. Senyuman itu, dia tidak pernah lupakan senyuman itu. Senyuman yang sama manis, sewaktu Ara menghulurkan minuman dingin kepadanya. Sekali lagi, gadis itu bersikap baik padanya. Dan sekali lagi, perasaannya kembali berputik.

Sejak itu, dia mengintip dan mengekori Ara. Dialah orangnya, yang membunuh ahli keluarga Ara. Tetapi kali ini dia tidak berjaya menyembunyikan perlakuan jahatnya. Dia tahu yang dirinya kini sedang diburu oleh pihak polis. Tetapi, masih juga dia mahu mendapatkan Ara.

“Kau yang bunuh mama papa aku?! Kenapa kau buat aku macam ni?!” Soal Maira dengan suara yang kuat.

Air mata sudah membasahi wajahnya. Geram, marah, takut, semuanya bercampur-baur dalam hatinya sekarang.

“Kenapa aku buat kau macam ni?! Kenapa kau buat aku macam tu?!” Tengking Shahir kembali.

“Aku cakap aku suka kau, tapi kau jerit dan tolak aku! Aku tahu…kau suka si budak Ari tu kan?!” Tempiknya lagi dengan wajah yang merah dan bengis.

“Dia pun aku bunuh jugak nanti!” Tempiknya lagi.

Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Mungkin sudah mengimaginasikan kematian Ari di tangannya.

“Ara, Ari, kuberi nama saudara saudari…. Ara, Ari, darahmu kucari….” Nyanyinya dengan gaya yang menakutkan.

“Ara, Ari, darahmu kucari….” Dendangnya lagi sambil menyentuh pipi Maira.

“Kranggg!!” Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi kaca pecah.

Ari yang sampai di lokasi tersebut terlebih dahulu terus memecah masuk ke dalam tanpa menunggu ketibaan pihak polis. Tingkap kaca dipecahkan lalu dia melompat masuk ke dalam.

“Ara!!” Panggilnya.

Shahir dan Maira menoleh ke arahnya.

“Ari!” Sahut Maira dengan linangan air mata.

“Haa…dah sampai pun, Tuan Ari kita…” Ujar Shahir dengan nada sebal.

Ari meluru ke arah mereka sebelum terhenti apabila Shahir mengenggam pisau di tangannya. Ari menyiapkan langkahnya untuk menyerang Shahir.

“Ari! Shahir! Shahir yang buat semua ni! Dia yang bunuh mama papa!” Jerit Maira memaklumkan duduk perkara kepada Mus.

“Shahir?” Ari mengerutkan dahinya cuba mengingat kembali susuk tubuh yang sedang berdiri di depannya.

“Kali ni, kau akan mati kat tangan aku Ariii…!!” Tempik Shahir.

Serentak itu juga dihunuskan pisau dalam genggamannya ke arah Mus, tetapi berjaya dielak oleh pemuda itu. Mus menyusun langkah dan melepaskan beberapa tumbukan dan tendangan ke arah Shahir sambil mulutnya terkumat-kamit membaca syahadah. Kering darah Maira melihat Shahir berkali-kali cuba menikam Mus di depan matanya.

“Ya Allah…tolong ya Allah…” Rintih hatinya mengharapkan pertolongan dari Tuhannya.

Entah bagaimana, Shahir berjaya menumbangkan Mus ke lantai. Laju tangannya membenamkan pisau ke perut Ari yang sudah terbaring. Mus mengerang kesakitan.

“Allahh…!! Ariii…!” Jerit Maira.

Shahir mengangkat tangannya tinggi, mahu menikam Mus buat kali kedua. Tetapi pergerakannya terhenti dengan bunyi tembakan amaran dan teriakan pegawai polis.

“Berhenti! Jangan Bergerak! Letakkan senjata!” Teriak Inspektor Aizat nyaring.

Beberapa orang pegawai polis sudah mengepung mereka. Shahir kembali menghayunkan tangannya laju tanpa mempedulikan amaran yang diberi. Tembakan terpaksa dilepaskan dan mengena bahunya. Dia terdorong ke belakang seketika, tetapi masih cuba untuk menikam Mus.

Tembakan kedua terpaksa dilepaskan dan dengan izin Allah, tidak lagi mengena bahu, sebaliknya terkena di bahagian dadanya. Darah merah pekat membasahi bajunya, Shahir tumbang menyembam Ari dengan mata yang terbeliak kesakitan. Perlahan-lahan nafasnya terhenti. Shahir mati di tempat kejadian.