Monday, April 29, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 15)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 15

DERINGAN telefon bimbit mengejutkan Rania yang terlelap di meja kerjanya. Terpinga-pinga sebentar dia dibuatnya. Nafasnya tercungap-cungap, baju di bahagian dada dan belakangnya basah dengan peluh. Rambut yang berjuntai di dahi diraup ke belakang. Dia memandang sekeliling. Baru sedar dirinya masih berada di pejabat. Penghawa dingin yang terpasang dijeling dengan geram.

Telefon yang tadinya sudah terhenti deringannya, kembali berbunyi. Rania tersentak. Nama Maira tertera di skrin. Cepat-cepat panggilan itu dijawab.

“Assalammualaikum…weh! Kau kat office lagi ke?” Kedengaran suara Maira menyapanya ceria.

“Ha’ah aku kat office lagi ni.. kenapa?” Soal Rania semula.

“Takde…aku ada berita gembira ni.. aku….dah boleh berjalan weh! Kaki aku dah tak sakit lagi, Alhamdulillah…!” Jerit Maira gembira di hujung talian.

“Aik? Dah boleh jalan?” Soal Rania terperanjat.

“Iya…Alhamdulillah… tadi kitorang pergi Pusat Perubatan Islam… Lepas rawatan tu, Alhamdulillah aku dah boleh jalan…” Jelas Maira.

“Ooo..haa..baguslah tu… lega aku dengar..” Jawab Rania.

“Eh.. emm.. kalau kau dah sihat…, malam ni kau datang rumah aku sekejap boleh tak? Aku ada hal nak bagitahu kau..penting ni…” Sambungnya lagi.

“Hmm? Hal apa? Kau tak nak datang sini ke?” Tanya Maira kembali.

“Emm.. tak sesuai sangat aku nak cakap pasal ni kat rumah kau. Kau datang eh? Boleh tak? Kaki kau betul dah ok?” Soal Rania bertalu-talu.

“Iya..betul dah ok.. emm..oklah malam nanti lepas Maghrib aku pergi rumah kau. Tapi kejap je tau.” Ujar Maira bersetuju.

“Ok..set.. apa-apa nanti call je ea.” Ujar Rania.

“Eh..err..kau jangan datang dengan Pak Saad tau.” Sambungnya lagi.

“Ha..kenapa pula? Takkan minta Pak Saad hantarkan pun tak boleh…” Rungut Maira.

“Macam-macamlah Rania ni…” Bebelnya sendiri dalam hati.

“Err..kau ikut je cakap aku dulu..nanti aku explain.” Ujar Rania.

“Datang tau! Ok bye…” Sambungnya lagi.

Butang merah pada skrin telefon ditekan bagi menamatkan panggilan.

“Aku kena juga bagitahu Maira…” Ujar Rania pada dirinya sendiri.

“Eh? Dah letak dah? Entah apalah agaknya yang nak disampaikan si Rania ni. Macam penting je bunyinya.” Maira mengomel sendiri.

Skrin telefon disentuh dan ditatal ke bawah. Nama Hadif dicari. Mahu melaporkan keadaannya kepada lelaki itu. Butang panggilan ditekan sambil otaknya ligat menyusun kata.

Sudahlah dia tidak memberitahu tunangnya itu tentang perihal mereka pergi ke Pusat Rawatan Islam tadi. Pergi dengan Mus pula tu. Sekarang, tahu-tahu dia mahu melaporkan yang dia sudah sembuh dan tidak lagi memerlukan khidmat Cik Nana kepada lelaki itu. Entah apa reaksinya nanti.

“Hello baby…” Kedengaran suara manja Hadif menjawab panggilan.

“Hello Assalammualaikum…” Sapa Maira.

“Waalaikumsalam…. Ye baby? Macam mana keadaan you hari ni? Kaki Ok sikit tak? Nurse tu dah datang kan?”  Sambut Hadif dengan pelbagai soalan.

“Err..dah…awal pagi tadi lagi Cik Nana dah datang tolong Maira. Baik orangnya…pandai awak carikan..” Ujar Maira, memulakan laporannya dengan pujian kepada si tunang.

Salah satu teknik untuk mengurangkan tahap kemarahan yang mungkin tercetus nanti.

“Eh…mestilah I carikan yang terbaik untuk my future wife…” Sahut Hadif bangga.

“Err… terima kasih… err..tapi kan.. tadi Maira dengan mama pergi ke Pusat Rawatan Islam.. nak cuba ikhtiar ubatkan kaki ni… ya Allah…Alhamdulillah tau awak, lepas rawatan tu, kaki Maira dah tak sakit lagi…sekarang Maira dah boleh berjalan semula…dah tak perlukan bantuan Cik Nana dah…” Lapor Maira panjang lebar.

“Hah? Ye ke? Dah boleh berjalan dah?” Soal Hadif terperanjat. Sama seperti reaksi Rania sebentar tadi.

“Iya..betul…Maira dah boleh berjalan macam biasa dah.. sikit pun tak sakit lagi dah..Alhamdulillah sangat..” Balas Maira dengan nada ceria.

“Thank God… happy sangat I dengar… malam nanti I datang rumah you ya? I nak tengok you.” Ujar Hadif dengan suara gembira.

“Err..malam ni Maira nak pergi rumah Rania sekejap. Ada hal sikit..” Balas Maira.

“Ada hal? Emm…ok takpe macam tu esok kita jumpa ya baby? Pasal Cik Nana tu tak apa, nanti I jelaskan bayaran dia full untuk minggu ni. You tak payah rasa bersalah pula dekat dia tau. Macam I tak tahu sayang I seorang ni..cepat sangat rasa bersalah… yang penting you tu dah sihat…” Ujar Hadif, masih bernada ceria.

Langsung dia tidak bertanya atau teringat soal Mus yang sering sahaja ada di waktu Maira memerlukan bantuan. Terlalu gembira dengan berita tunang tercinta yang sudah sembuh.

“Ok.. terima kasih ya, tolong Maira..” Maira menarik nafas lega. Mujur lelaki itu tidak marah atau merajuk.

“Bye…Assalammualaikum…” Ujarnya sebelum mematikan panggilan.

Dibelek-beleknya telefon bimbitnya seketika. Kemudian disampaikan pula khabar gembira itu kepada rakan-rakan serumahnya, Hanim dan Hani melalui aplikasi pesanan Whatsapp.

Berulang kali sahabatnya yang berdua itu menyatakan rasa bersyukur mereka. Maira masih ingat lagi riak wajah Hanim sewaktu melihat dia berkerusi roda ke jabatan mereka, untuk melakukan imbasan sinar-X. Mukanya berubah dengan cepat, dari terkejut sehingga menyebik seperti mahu menangis.

 

PANJANG sujud syukur Maira dan mamanya malam itu, setelah mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah. Bersama mereka hantarkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Pengasih, ketika dahi bertemu dengan sejadah. Usai ibadah, kedua beranak itu bersalaman dan berpelukan. Lama Datin Salimah mencium dahi anak gadis kesayangannya.

“Maira jangan balik lewat ya, bahaya. Seorang-seorang drive malam-malam macam ni. Dahlah baru je sembuh kaki tu.” Ujar Datin Salimah setelah dahi anaknya dikucup penuh kasih.

“Mama suruh minta Pak Saad hantarkan, tak nak.” Leternya.

“Iya ma, Maira pergi kejap je. Maira pun risau juga nak tinggal mama seorang-seorang lama-lama. Ranialah…pesan suruh datang sendiri je, nak cakap benda rahsia katanya. Entahlah apa yang nak diberitahu si Rania tu. Macam penting pun ada bunyinya.” Jawab Maira.

“Yelah…elok-elok drive tu. Mama pun ada benda penting nak cakap lepas Maira balik nanti.” Balas Datin Salimah dengan anda agak serius.

“Benda apa ma?” Soal Maira tidak sabar.

“Nantilah…lepas Maira balik. Banyak yang mama nak cakapkan…” Jawab ibunya ringkas.

“Yelah Maira pergi kejap ye. Saaayang mama.” Ujar Maira sambil mencium pipi mamanya.

“Peluk mama lagi sekali sayang.” Pinta Datin Salimah sambil mendepakan kedua tangannya.

“Mama sayang Maira tau…” Ujarnya lagi sambil mendakap erat tubuh Maira.

“Maira laaaagi sayang mama.” Jawab anak gadisnya manja.

Datin Salimah menghantar anaknya hingga ke muka pintu. Ditunggunya sehingga kereta Maira hilang dari pandangan. Pintu dikunci dengan cermat sebelum dia melangkah naik ke atas semula. Mahu menghabiskan masa dengan berzikir dan membaca al-Quran sementara menunggu waktu Isyak.

Sampai sahaja di tingkat atas, terdengar bunyi ketukan di pintu.

“Lahh…ada tinggal apa-apalah tu.” Leternya sendirian sambil mengatur langkah kembali menuruni anak tangga.

Sampai sahaja di pintu, terus kunci diputar dan selak ditarik.

Tiba-tiba, daun pintu ditolak dengan kuat dari luar sehingga menghentam dahinya. Terlentang Datin Salimah di lantai. Berpinar matanya menahan sakit hentakan daun pintu di dahi, dan punggung yang terhempas di lantai. Sedaya-upaya matanya dicelikkan luas, cuba mengenalpasti susuk tubuh yang menyerbu masuk ke dalam rumah.

Belum sempat dia bertanya apa-apa, wajahnya ditampar dengan kuat berulang-kali. Seraya itu juga, lehernya dicekik sepenuh tenaga. Sepasang tangan berurat yang terbenam di lehernya terasa rakus mencengkam saluran pernafasannya.

Datin Salimah cuba meronta, tetapi hanya dalam beberapa saat sahaja, dia sudah lemas. Pandangannya mulai kabur. Antara pertarungan hembusan nafas dan sedutan nyawa, hanya bibirnya sahaja yang mampu bergerak membentuk kalimah “Allah”, sebelum dia terkulai dalam genggaman penyerang itu.

 

“HAH, cakaplah, ada apa yang penting sangat sampai kau suruh aku datang ni. Kau tak kesian pun kat aku kan, dahlah kaki aku baru je baik…” Sungut Maira sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam bilik Rania.

Ibu dan bapa Rania ada di ruang tamu, sedang berehat. Tetapi tidak lama Maira bertegur sapa dengan mereka, Rania sudah mengheretnya naik ke bilik.

“Sini…kau duduk dulu.” Ujar Rania sambil menarik tangan Maira, menyuruhnya duduk di sampingnya di birai katil.

“Macam ni…aku…err…” Wajahnya kelihatan kusut dan serba salah.

Maira menumpukan sepenuh perhatian kepada sepupunya. Berdebar pula rasanya menunggu barisan ayat yang bakal keluar dari mulutnya.

“Maira…kau jangan marah tau…” Ujar Rania sambil memegang tangan Maira.

“Kenapa…apa sebenarnya yang kau nak cakap ni? Ceritalah betul-betul.” Pinta Maira yang sudah mula cuak melihat gelagat rakan baiknya itu.

“Maira…aku tahu kau sayang kat Pak Saad… tapi…” Kata-kata Rania terhenti seketika.

“…tapi, aku syak sebenarnya dia yang bunuh kak Suri dengan papa kau..” Ucap Rania laju.

“Hah? Apa yang kau merepek ni weh?” Soal Maira terkejut.

Tidak sangka langsung itu yang akan keluar dari mulut Rania.

“Maira..aku tak tipu… kak Suri pernah cerita kat aku.., yang Pak Saad selalu je sebut-sebut, seronok kalau banyak duit macam dato’ dengan datin. Senang hidup.” Lapor Rania.

“Lah…tak kanlah sebab tu je kau nak tuduh Pah Saad bunuh orang?” Tingkah Maira yang sudah mula sebal dengan tuduhan Rania yang dirasakan tidak berasas.

“Bukan tu je…Kak Suri bagitahu aku, Pak Saad pernah bergurau dengan dia, suruh dia bantu Pak Saad bunuh je keluarga kau kemudian ambil semua harta kau. Dia ajak Kak Suri lari ikut dia tinggal di luar negara dengan anak kembar dia. Dia nak Kak Suri jadi isteri dia. Dia siap janji lagi untuk hidup mewah dengan harta mama papa kau, dengan kak Suri dan anak-anak dia. Kak Suri tak boleh nak cerita dengan kau walaupun korang rapat, sebab dia tahu kau sayang dan hormatkan Pak Saad” Tambah Rania lagi.

Maira bingkas berdiri. Sudah tidak tahan mahu mendengar cerita seterusnya dari Rania. Akalnya sudah tidak dapat memproses maklumat yang disampaikan. Dia langsung tak boleh terima apa yang Rania cakapkan.

“Maira..kau dengar dulu…” Rengek Rania sambil cuba menarik tangan Maira supaya kembali duduk.

Maira menarik semula tangannya dari pegangan Rania. Dia cuba menghubungkan berita yang didengar dan berfikir dengan rasional.

“Tapi, lelaki yang bunuh papa bukan Pak Saad. Ari pun nampak lelaki bermotosikal tu.” Hujah Maira setelah terdiam sejenak.

“Maira…. Memanglah dia buat macam tu supaya orang tak syak pada dia. Lelaki tu mungkin je orang upahan dia..” Tekan Rania, masih berkeras menuduh Pak Saad.

“Ishh…tak masuk akallah apa yang…” Bicara Maira terhenti dengan deringan telefon bimbit di tangannya.

“Hello..Assalammualaikum? Ini Cik Aimy Humaira, anak kepada Datin Salimah Syamsul ke?” Soal seorang lelaki di hujung talian.

“Waalaikumsalam..ya saya..siapa ni? Ada apa ya?” Jawab Maira gugup.

“Err..saya inspektor Aizat.. err.. cik…boleh cik datang ke hospital sekarang?” Ujar lelaki itu lagi.

“Hospital? Kenapa ni encik? Ada apa? Ada apa-apa berlaku pada mama saya ke?” Soal Maira bertalu-talu.

Tangan dan kakinya sudah menggeletar. Pelbagai andaian buruk bermain di kepala.

“Err..maafkan saya cik..harap cik bersabar ya… kami dapat panggilan kecemasan menyatakan yang rumah cik dipecah masuk.. dan..err..waktu pihak polis sampai di tempat kejadian, kami temui pemandu cik sedang berada di samping ibu cik yang terbaring di lantai dengan berlumuran darah. Kami dapati, pemandu cik sedang memegang pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata. Pemandu tersebut telah kami tahan untuk membantu siasatan, manakala, jenazah ibu cik telah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.” Jelas Inspektor Aizat dengan terperinci.

“Jenazah…??!” Maira terjelepuk jatuh ke lantai.

Dia tidak dengar lagi apa yang dikatakan oleh inspektor Aizat selepas itu. Telefon juga sudah terlepas dari genggamannya. Rania yang sibuk menyambutnya dan menyambung perbualan dengan inspektor Aizat.

“Mama aku! Rania! Mama aku! Aku kena pergi tengok mama aku!” Jerit Maira

“Sabar…sabar Maira…” Rania kelam kabut cuba menenangkan sepupunya.

Maira memaksa kedua kakinya berdiri dengan susah-payah. Lututnya terasa lembik tidak bersendi. Maira menggagahkan diri menghayunkan kakinya untuk melangkah sambil berpaut pada apa sahaja yang tercapai dek tangannya.

“Maira..tunggu… kau tak boleh pergi sendiri dengan keadaan macam ni. Macam mana kau nak drive. Aku panggil mummy dengan daddy. Kita pergi sama-sama.” Pujuk Rania sambil melaung memanggil orang tuanya yang berada di tingkat bawah.

 

“TAK…tak tak tak…” Ujar Maira perlahan, berkali-kali, sebaik sahaja dia melihat tubuh ibunya terlantar tidak bergerak di atas troli di bilik mayat.

Tadinya, dia masih berharap yang dia tersalah dengar maklumat yang disampaikan oleh inspektor Aizat. Dia masih berdoa yang ibunya terselamat dan sedang dirawat di hospital setelah diserang di rumah. Tetapi melihat sendiri tubuh ibunya dengan mata kepalanya, menyentak keluar harapan yang dipaut kuat sejak dalam perjalanan ke hospital. Mamanya benar-benar sudah mati!

Hanim memegang Maira kuat, memapahnya berjalan mendekati jenazah Datin Salimah yang sedang terbaring kaku di situ. Maira bagaikan tidak mampu langsung untuk berdiri dan berjalan pada saat itu.

Hanim yang kebetulan sedang bertugas on call di hospital malam itu bergegas mendapatkan rakan baiknya di bilik mayat setelah mendengar khabar yang mengejutkan itu. Sempat juga dia menghubungi Mus untuk menyampaikan berita duka tersebut.

Rania dan orang tuanya berdiri tercegat di sudut bilik mayat tersebut, bagaikan tidak percaya dengan apa yang disajikan di depan mata mereka ketika ini. Rania kemudian berundur ke tepi dinding lalu mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi Hadif, tunang Maira, bagi menyampaikan kejadian itu. 

“Ma…ma..apa ni..mama…. mama….!” Panggilnya sambil menghinggut perlahan tubuh ibunya, dengan harapan ibunya akan bangun, yang semua ini cuma satu kesilapan, mamanya tidak mati.

Air mata berlumba laju mengalir keluar seperti paip pecah dari sepasang matanya. Wajah tenang Datin Salimah terpamer kembang-kembang pada penglihatannya kerana diganggu air mata. Semuanya terasa bagaikan tidak benar. Tidak nyata.

“Hanim..mama aku…betul ke…? Tak kan…? Hanim…mama aku….” Ujar Maira sambil menarik-menarik lengan baju Hanim.

Akal warasnya terasa hampir-hampir hilang. Terhentak kuat dengan ujian hebat Allah Subhanahuwata’ala. Ujian yang telah dijanjikan pasti akan sampai pada hamba-hambaNya yang mengaku beriman.

“Patutkah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) berkata, ‘kami telah beriman’, sedangkan mereka belum diuji lagi?” (Surah al-Ankabut 29:2)

“Maira…sabar Maira… ingat Allah… ingat Allah Maira…” Pujuk Hanim dengan suara yang menggeletar, dia sendiri turut menangis tidak tertahan dengan asakan emosi.

Separuh diri Aimy Humaira terasa mahu meraung dan menjerit memanggil-manggil mamanya di situ, detik itu. Mahu ditempik keluar segala rasa sakit yang menghenyak dadanya ketika itu.

Sungguh dia tidak bersedia dengan perpisahan itu. Dia masih belum puas bersalut dengan kasih sayang ibunya yang satu itu. Ibu yang sangat-sangat dia cinta dan kasih, dengan sepenuh jiwa raganya. Ibu pemberian Tuhan, yang sentiasa disyukurinya setiap saat dan setiap detik.

Ya, ibu pemberian Tuhan. Pemberian Tuhan, Maira! Kurniaan terhebat yang Allah Subhanahuwata’ala pinjamkan. Sekarang kau nak jadi hamba yang tak bersyukur pulak? Nak marah, nak mengamuk, kerana pinjaman ini perlu dipulangkan sekarang? Maira… Allah tidak kejam. Allah tidak zalim. Buka hati kau Maira.. Tengok kebesaran Tuhanmu…tengok! Sabarlah…dan redhalah… inshaAllah… mudahan bertemu lagi di syurga sana..

Sebutan nama Allah yang terdengar sayup-sayup di telinganya berjaya menarik kembali akal warasnya yang sudah hampir melayang pergi. Suara Hanim yang tadinya terdengar berdengung di telinganya, kini kembali jelas.

“Ingat Allah Maira…ingat Allah….” Ulang Hanim berkali-kali. Hanya itu yang mampu diucapkan pada ketika itu.

“Allah…” Lafaz Maira panjang.

Ditarik nafas sedalam-dalamnya, lalu dia beristighfar. Maira mendekati tubuh kaku ibunya. Ditatapnya sayu wajah tenang dan manis mamanya. Seakan sedang tidur lena, bertemankan mimpi indah.

“Allah….” Kalimat magis itu dilafazkan lagi. Cuba menggantung kekuatan.

Disekanya air mata yang dari tadi berpusu-pusu melimpah keluar dengan hujung tudung. Kemudian dicium dan dipeluk tubuh dingin mamanya penuh kasih sayang dan kerinduan.

 

“ARA!”

“Maira!”

Serentak Mus dan Hadif memanggil gadis itu sebaik terlihat dia berjalan keluar dari bilik mayat dengan dipimpin oleh Hanim dan Rania di kiri dan kanannya. Wajahnya terlihat basah dengan air mata. Ibu dan bapa Rania juga turut beriringan di samping mereka dengan wajah sugul. Spontan mereka mengarahkan pandangan ke arah suara yang memanggil nama Maira.

Hadif yang dari tadi menunggu di luar bilik mayat bersama ibu bapanya, Dato’ Hariz dan Datin Zara turut mengalihkan pandangan pada Mus yang berteriak memanggil nama Maira. Lelaki itu berlari anak menuju ke arah mereka, mungkin baru sampai di hospital.

Dato’ Hariz dan isterinya Datin Zara terkedu melihat pemuda itu laju menghampiri mereka. Berkerut-kerut wajah Dato’ Hariz mengamatinya. Wajah Datin Zara pula berubah pucat. Mereka saling berpandangan sesama sendiri, dan merenung anak-anak muda di depan mereka berganti-ganti.

Sebaik melihat wajah Mus, Maira kembali laju menumpahkan air mata.

“Ari… Ari..Ara dah tak ada siapa-siapa… papa dengan mama dah tinggalkan Ara… Ara seorang diri lagi…” Adunya hiba.

Sebak hati semua yang ada di situ mendengar rintihannya.

“Maira…I kan ada. I ada dengan you…you tak sendiri…” Sahut Hadif.

Mahu sahaja didakapnya gadis itu pada ketika ini. Sesak dadanya melihatkan keadaan tunang tercinta yang begitu terluka.

“Maira… jangan cakap macam itu…aku dengan mummy daddy kan masih keluarga kau.. kau tak seoranglah….” Ungkap Rania, juga teresak menangis. Sungguh, sakit rasanya melihat keadaan Maira.

“Ye Maira…kitorang semua kan ada dengan kau…aku, Hani.. kau balik duduk dengan kitorang ea… aku ambil cuti panjang, temankan kau…ok? Kau janganlah macam ni…sedih aku…” Rintih Hanim pula. Basah sudah tudungnya dengan air mata sendiri.

Mus menahan nafas. Hancur luluh hatinya melihat air mata kepedihan yang tidak berhenti menghujani sepasang mata seorang Aimy Humaira. Dia tahu sangat akan parahnya kesakitan yang ditanggung oleh sekeping hati Maira sekarang. Dia juga pernah merasakan carikkan kasar yang merentap koyak hatinya dulu. Dugaan mereka, anak yatim piatu.

Jika ada sesiapa yang paling memahami kesakitan yang dirasakan Maira sekarang, itu adalah dia, Kairi Musyrif Bin Hamzah. Dia, Ari, teman rapat Maira yang membesar bersama di Rumah Anak Yatim Basyirah.




Sunday, April 28, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 14)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 14

PAGI itu awal-awal lagi Cik Nana, jururawat peribadi Maira yang diupah oleh Hadif datang bertugas di rumah besar Dato’ Harun. Semua keperluan Maira dibantu dan diuruskannya dengan cekap dan mesra.

“Pelik juga ya…, kaki cik Maira kuat, gerak semua boleh. Ransangan tindak balas, saraf, semua ok. Luka dan lebam pun tak ada. Tapi cik Maira tak boleh berdiri.” Bual Cik Nana sambil membelek-belek kaki Maira.

Maira tersenyum tawar.

“Panggil Maira je…” Ujar Maira cuba membuatkan jururawat itu berasa lebih selesa.

“Itulah.. semalam, bila duduk biasa macam ni, rasa pedih…rasa panas je sampai pergelangan kaki ni. Lepas doktor cucuk ubat tahan sakit tu Alhamdulillah…dah tak rasa. Tapi bila saya pijak lantai je, nak berdiri, rasa macam pijak atas jarum yang banyak. Sakit betul.” Jelas Maira panjang lebar

Cik Nana mengerutkan keningnya. Belum pernah bertemu kes sebegitu.

“Cik Nana, Maira, jom kita sarapan sama-sama. Mus dah datang bawakan sarapan. Pak Saad pun ada.” Sapa Datin Salimah.

Langkahnya diatur menuju ke arah gadis-gadis itu yang sedang berbual di katil.

“Sekejap lagi kita pergi ke Pusat Perubatan Islam tu. Cik Nana pun ikut sekali ya?” Pintanya.

“Oh..boleh… nak cuba ikhtiar perubatan Islam pula, ya?” Soal Cik Nana.

“Itulah…tak tahulah apa yang tak kena dengan kaki Maira ni. Doktor cakap semuanya normal…” Keluh Datin Salimah.

Cik Nana mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Elok juga tu datin… kadang-kadang ada juga sakit yang tak dapat dikesan melalui perubatan moden..” Ujarnya sambil menggosok-gosok lengan yang terasa sedikit meremang.

Ketiga-tiga wanita itu terdiam sejenak, melayangkan fikiran mengenai kemungkinan-kemungkinan yang sedang berlaku pada Maira.

“Eh..jomlah, kita ke ruang makan. Mesti Pak Saad dengan Mus tengah tunggu.” Ujar Datin Salimah, menghentikan lamunan mereka.

Cik Nana bingkas bangun membantu Maira beralih ke kerusi roda. Ada juga Maira cuba memijak lantai perlahan-lahan untuk berdiri, tetapi sakit menusuk dalam tapak kakinya membuatkan dia hampir terhempas duduk di kerusi roda.

“Masih sakit bila pijak?” Soal Datin Salimah.

Maira menganggukkan kepalanya perlahan.  Datin Salimah hanya menelan keluhan kerisauannya sambil cuba beriak tenang. Kerusi roda Maira didorong dengan cermat oleh Cik Nana menuju ke ruang makan. Kelihatan Mus dan Pak Saad sedang berbual di meja makan. Sarapan sudah siap dihidang di meja.

Ada bihun goreng, nasi lemak daun pisang, dan yang paling memikat selera Maira pagi itu, roti canai dengan kari ayam dan sambal bilis. Campurkan keduanya, cicah dengan roti canai panas, aduh… sedapnya. Dia sudah mula kecur air liur.

“Kenapa Ara renung makanan tu sampai macam tu. Malu roti canai tu kena tenung.” Usik Mus apabila dilihatnya Maira merenung roti canai di pinggan dengan berselera.

“Mus beli kat mana roti canai ni…sedapnya…” Sahutnya, sudah mula menceduk kuah ke pinggan.

“Amboi anak mama…nampak roti canai, langsung dilupanya Cik Nana kat sebelah ni ha..” Usik Datin Salimah pula, lucu melihat kelaku anaknya.

“Eh…lupa pulak. Marilah Cik Nana, duduk makan sini. Sedap ni…” Pelawa Maira tersengih-sengih.

“Yang cantik manis ni, siapa?” Soal Mus.

“Ni Cik Nana…jururawat peribadi Ara. Ari tak payah nak mengada nak mengurat eh..tak adanya dia nak kat Ari yang suka sakat orang tu.” Jawab Maira mengenalkan Cik Nana kepada Mus dan Pak Saad.

“Eh..setahu Pak Saad…perempuan cantik-cantik suka dengan lelaki kelakar macam Mus ni..” Sampuk Pak Saad, turut mencuri peluang menyakat Maira.

“Kan Pak Saad?” Ujar Mus pula sambil membetul-betulkan rambut dan kolar bajunya, cuba berlagak kacak.

Maira menjelingnya tajam.

“Perasan handsomelah tu.” Omelnya sendiri di dalam hati.

“Kenapa…Maira cemburu ke?” Ujar Datin Salimah, cuba menduga.

“Mana ada…” Nafi Maira, sambil pura-pura sibuk makan roti canai.

Mereka yang lain hanya tertawa melihat gelagatnya.

 

SETELAH menunggu beberapa ketika, tiba giliran Maira untuk dirawat oleh pengamal perubatan yang dikenali sebagai Ustaz Yunus. Tidak ramai orang di situ hari itu, mungkin kerana mereka datang pada hari bekerja. Cuak juga Maira lihat pesakit lelaki muda yang dirawat sebelumnya.

Pada awalnya lelaki kurus itu kelihatan lemah tidak bermaya sahaja, sehingga berjalan pun terpaksa dipapah ahli keluarganya. Tetapi semasa sesi rawatan tadi, tiba-tiba sahaja dia bersuara keras sambil cuba bertindak ganas. Tidak semena-mena dia melompat bercangkung di hadapan Ustaz Yunus sambil kepalanya diteleng-telengkan ke kiri dan kanan, sebelum dia cuba untuk menerkam.

Jenuh juga perawat-perawat Islam yang ada di situ memegangnya dengan bantuan ahli keluarganya. Tegak bulu roma Maira dibuatnya. Sempat juga dikerling pada Cik Nana dan mamanya yang duduk di sampingnya. Riak wajah mereka juga berubah melihat gelagat pesakit itu. Hanya Mus dan Pak Saad sahaja yang bereaksi tenang dan tidak terganggu.

Ustaz Yunus terus mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, kemudian direnjiskan air ke wajah lelaki itu. Perlahan-lahan tubuh lelaki itu menjadi lembik. Hampir sahaja dia tidak sedarkan diri. Dia didudukkan dengan cermat oleh mereka yang lain. Rawatan diteruskan lagi beberapa ketika, sebelum pesakit dibenarkan pulang bersama ahli keluarga. Beberapa botol air yang dibaca ayat al-Quran turut dibekalkan untuk dibawa pulang.

Tiba giliran Maira untuk dirawat. Cik Nana menyorong kerusi rodanya dekat dengan Ustaz Yunus, sejurus sebelum membantunya untuk duduk di bawah bersama Datin Salimah.

“Assalammualaikum ustaz…” Sapa Pak Saad sambil bersalaman dengan Ustaz Yunus, diikuti oleh Mus.

“Tak boleh bangun?” Tegur Ustaz Yunus melihatkan keadaan Maira yang berkerusi roda.

Maira menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Entah kenapa, dadanya berdebar kencang.  Macam ada keretapi sedang meluncur laju di dalamnya. Kuat dan bising. Kakinya juga tiba-tiba sahaja terasa panas dan berat…pedih…walaupun dia tidak berpijak. Peluh mula merenik di dahinya.

“Semalam, dia tiba-tiba tak boleh berdiri pijak lantai. Katanya sakit macam pijak jarum. Dah bawa jumpa doktor, tetapi doktor cakap tiada apa-apa masalah. Kedua kakinya elok…” Terang Datin Salimah apabila dilihatnya Maira hanya diam membisu.

Ustaz Yunus hanya tersenyum manis di hadapannya.

“Nama siapa?” Tanya Ustaz Yunus lembut.

“Maira. Aimy Humaira Binti Abdullah.” Jawab Datin Salimah.

Maira masih tunduk merenung kakinya sendiri. Langsung tidak memandang wajah Ustaz Yunus.

“Sebelum ni…tak pernah jadi macam ni?” Soal Ustaz Yunus lagi.

“Tak pernah, ustaz.” Jawab Datin Salimah.

“Err… sebelum ni, ada beberapa kali…err…dia kena ganggu..” Sampuk Mus apabila dilihatnya Maira langsung tidak bersuara.

Ustaz Yunus mengangguk-anggukkan kepalanya. Mungkin semakin faham dengan situasi pesakitnya.

“Maira..” Panggil Ustaz Yunus.

Maira masih menundukkan kepalanya. Pelik mereka yang lain melihat gelagatnya.

“Sekarang Maira ada rasa sakit kat mana-mana?” Soal Ustaz Yunus.

Maira tetap diam tidak berkutik, meskipun kedua belah kakinya terasa semakin panas, seperti sedang berada dekat dengan api.

“Maira…” Panggil mamanya pula, sambil mengusap-ngusap bahunya.

Maira masih tidak memberikan sebarang reaksi.

“Tak apa…kita mulakan dengan bacaan Ruqyah dulu…” Ujar Ustaz Yunus sambil tersenyum.

Ustaz Yusuf memulakan bacaan ayat suci al-Quran yang dapat didengar dengan jelas oleh semua mereka yang berada di situ. Maira semakin gelisah. Debaran di dadanya semakin mengencang. Kakinya pula terasa berapi. Peluh meleleh membasahi wajah dan tubuhnya. Mahu sahaja dijeritkan Ustaz Yunus supaya menghentikan bacaannya. Datin Salimah mengenggam tangan Maira. Risau melihat tingkah laku anak gadisnya.

Ustaz Yunus meneruskan bacaannya dengan tenang sehingga selesai. Maira perasan debaran di dadanya beransur kurang. Degup jantungnya lebih teratur. Tetapi kedua belah kakinya masih terasa panas dan pedih.

“Masih rasa takut berdebar?”Soal Ustaz Yunus setelah menamatkan bacaannya.

Maira menggelengkan kepalanya, sedikit kagum melihat Ustaz Yunus bagaikan dapat membaca gerak hatinya, walaupun tidak diberitahu.

“Tapi kaki saya masih panas dan pedih…” Adu Maira perlahan. Baru mahu bercakap.

Ustaz Yunus mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Dihulurkan segelas air kepada Maira.

“Maira Bismilah, selawat 7 kali, kemudian minum air ni. Tinggalkan sedikit untuk sapu pada kaki.” Ustaz Yunus memberikan arahan.

Maira menurut tanpa membantah. Setelah baki air di dalam gelas disapu pada kedua-dua belah kakinya, Ustaz Yunus kembali memulakan bacaan ayat suci al-Quran sambil tapak tangannya dihalakan ke arah kedua belah kaki Maira. Maira dapat merasakan panas dan pedih di kakinya seperti ditarik keluar perlahan-lahan. Sehingga kedua belah kakinya tidak lagi berasa tidak selesa.

“Sekarang rasa macam mana?” Soal Ustaz Yunus setelah bacaannya ditamatkan.

“Dah tak sakit…” Jawab Maira teruja.

“Cuba berdiri.. perlahan-lahan ya.” Pinta Ustaz Yunus.

Maira meletakkan kedua belah tapak kakinya di lantai. Tak sakit. Kemudian dilonjakkan pula tubuhnya berdiri memijak lantai.

“Ya Allah… Alhamdulillah ustaz…. tak sakit dah…” Ujar Maira gembira.

Air mata bergenang di kelopak matanya. Sangkanya dia sudah tidak dapat berdiri lagi, atau perlu berkerusi roda seumur hidup.

“Alhamdulillah…..” Sahut mereka yang lain serentak.

Bagai terlepas satu kerisauan berat yang memenuhi ruang dada masing-masing. Syukur kepada Tuhan yang memberikan kesembuhan. Alhamdulillah…

“Alhamdulillah….syukur kepada Allah…” Ujar Ustaz Yunus.

Maira kembali melabuhkan punggung di hadapan Ustaz Yunus. Ceria wajahnya.

“Air ni nanti balik… campur dengan air biasa, untuk dibuat bilasan terakhir selepas mandi. Isikan air dalam baldi, kemudian tuangkan segelas air ni di atasnya. Perahkan limau purut ni, dan gaulkan semua prlahan-lahan. Baca al-Fatihah, 3 Qul 3 kali, dan selawat 7 kali. Niatkan di dalam hati minta dikeluarkan segala benda yang tidak elok dalam badan, dan minta kesembuhan dari Allah. Kemudian jirus mula dari kepala hingga ke hujung kaki. Lebih baik jika dibuat 3 hari berturut-turut.” Jelas Ustaz Yunus satu-persatu.

“Yang sebotol lagi ni, buat minum… sama juga bacaannya. Niat mohon kesembuhan dari Allah ya… kemudian…ini minyak urut bidara. Boleh sapukan di kaki tu…” Tambahnya lagi.

“Jin dan Iblis ni…diorang selalunya kenal kita, cari kita melalui bau tubuh kita. Dan mereka tak suka dengan bau limau purut. Bagi diorang, baunya busuk. jadi kita gunakan sebagai ikhtiar untuk mengelakkan gangguan. Sama juga dengan daun bidara. Mereka tak suka.” Ustaz Yunus memberi penerangan ringkas.

“Kalau diikutkan, memang ada yang berniat jahat, sengaja menghantar sihir kepada kamu. Sebelum ni, dia cuba menakut-nakutkan kamu. Tapi saya yakin, Maira cukup bijak dan cukup kuat untuk menangkis gangguan-gangguan yang dihantar, dengan izin Allah. Teruskan, mendekatkan diri dengan Allah. Banyakkan membaca surah Al-Baqarah di rumah. Kuatkan diri dengan amalan…inshaAllah…” Pesan Ustaz Yunus.

“Cuma kali ini, orang itu agak licik sedikit. Dia gunakan sihir patung…sihir ini biasanya, diikatkan rambut misalnya pada patung, dibacakan jampi. Kemudian bila dicucukkan jarum atau disakitkan patung itu, orang yang disihir juga akan rasa sakit. Seeloknya, kita cari dan musnahkan patung tu…” Ustaz Yunus terdiam sebentar.

“Seeloknya begitu…tapi jika tak dapat cari…kita ikhtiarkanlah dengan cara lain. Banyakkan berdoa pada Allah…inshaAllah.. mudahan terbuka hati si pelaku untuk bertaubat dan menghentikan perbuatan syirik ini.” Sambungnya lagi.

“Err..tak tahu ke siapa yang buat tu, ustaz…?” Soal Datin Salimah.

Ustaz Yunus hanya menjawab soalannya dengan senyuman.

“Kalau ada apa-apa masalah, boleh datang sini semula. Saya cuba bantu apa yang boleh. InshaAllah…saya tolong doakan untuk keselamatan kamu sekeluarga. Sama-sama kita doa” Ujar Ustaz Yunus.

“Baiklah ustaz, terima kasih banyak ustaz…” Sahut Pak Saad sambil meminta diri untuk pulang.

Datin Salimah dan Maira berpegangan tangan, berjalan beriringan bersama Cik Nana menuju ke kereta. Manakala Pak Saad dan Mus yang menolak kerusi roda mengekori mereka dari belakang. Lapang tak terkata hati Mus melihat Maira melangkah dan berjalan dengan baik seperti sediakala. Tidak henti-henti dia memanjatkan kesyukuran dalam hati.

Terima kasih Allah.

Riuh betul Maira berceloteh dan berlawan cakap dengan Mus, serta bergurau dengan Pak Saad dan Cik Nana di dalam kereta sewaktu perjalanan pulang. Sudah rasa sihat sangatlah tu. Tersenyum Datin Salimah melihat keletahnya. Sempat juga diamati keakraban anak gadisnya itu dengan Mus, anak muda yang diam-diam dikagumi keperibadiannya.

Sejenak fikirannya melayang mengingatkan kembali perbualannya dengan anak buahnya Rania, sewaktu gadis itu mahu melangkah pulang selepas menemankan Maira yang baru balik dari hospital semalam.

Datin Salimah menemankan Rania hingga ke pintu depan.

“Err… aunty…” Ujar Rania sebelum melangkah keluar. Datin Salimah memberikan perhatian kepada anak saudaranya itu, menunggu butir bicara yang seterusnya.

“Aunty…Rania ada benda nak cakap dengan aunty…” Ujar Rania dengan nada serba salah.

“Cakap apa Rania?” Soal Datin Salimah. Hairan melihat gelagat Rania yang kelihatan serba tak kena.

“Aunty… sebenarnya…, Maira tu…dia tak cintakan Hadif…dia setuju untuk kahwin kerana hormat dan sayangkan aunty dengan uncle… Rania rasa aunty pun sedar perkara ni…” Ujar Rania memulakan bicara.

Datin Salimah terdiam, hanya menunggu butiran seterusnya keluar dari bibir Rania.

“…malah…Maira juga tahu tentang perbuatan curang Hadif dengan perempuan-perempuan lain. Dia pernah terima gambar-gambar kecurangan Hadif dari pengirim tak bernama, melalui Whatsapp. Rania kenal perempuan-perempuan tu aunty…, dan Rania dah siasat. Rania tanya sendiri dengan mereka, dan memang mereka mengaku, selalu berhubungan dengan Hadif untuk memuaskan nafsu masing-masing….” Rania menghela nafas seketika.

“…Maira tahu semua ni aunty, tetapi sedikit pun dia tidak menyuarakan apa-apa pada aunty dan uncle, ataupun pada Hadif sendiri. Dia tetap layan Hadif dengan baik, langsung tak prejudis pada dia..” Tambah Rania lagi.

Air mata Datin Salimah sudah mula bergenang. Tidak sangka yang Maira tahu tentang perkara itu.

“Bukan tu je aunty… err.. Maira… dia dah lama kena…err…gangguan-gangguan yang menyeramkan, bermula sejak hari pertunangan dia dengan Hadif. Mungkin dia…err…disihir oleh salah seorang dari perempuan-perempuan yang berhubungan dengan Hadif… aunty… err…Rania rasa…err…Rania yakin… gangguan-gangguan tu akan berhenti sekiranya Maira dengan Hadif putus…” Ujar Rania tergagap-gagap.

Terkebil-kebil Datin Salimah mendengar apa yang disampaikan oleh Rania. Dia langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini. Maira tidak pernah mengadukan apa-apa. Padanlah semasa di pusat rawatan Islam tadi, Mus menyatakan yang Maira sering diganggu.

“Astaghfirullahalazim….” Istighfar Datin Salimah di dalam hati.

“…dan seperkara lagi aunty.., Maira sebenarnya sayang sangat pada Mus… Mus pun begitu…mereka saling mencintai… Mereka memang tak cakap apa-apa, tidak memberontak, dan berlagak seperti biasa sahaja. Tetapi kami, kawan-kawan Maira, kawan-kawan Mus, semuanya tumpang sayu melihat situasi mereka aunty…Rania sendiri tak tahan…, sebab tu Rania beritahu semua ni pada aunty…” Jelas Rania dengan suara yang sedikit sebak.

Datin Salimah kembali sayu. Memang naluri keibuannya sudah menjangka, perasaan Maira pada Mus, dan sebaliknya. Cuma belum benar-benar terbukti. Kini, anak buahnya itu telah mengesahkan sangkaannya. Jujurnya, dia sendiri juga sangat menyenangi Mus. Ada juga terdetik di hatinya sebelum ini, mengharapkan Mus menjadi suami Maira.

“Rania harap…aunty dapat pertimbangkan semula untuk meneruskan pernikahan Hadif dengan Maira..” Ujarnya lagi sebelum meminta diri untuk pulang.

Sejurus selepas itu, fikiran Datin Salimah melayang pula meningatkan peristiwa malam semalam, selepas Mus menamatkan bacaan al-Quran yang dialunkan untuk Maira. Datin Salimah dapat dengar dengan jelas, Mus meluahkan rasa sayang pada Maira.

“Selamat malam Ara…  Ari sayang Ara sangat…” Masih terngiang-ngiang di telinga Datin Salimah suara lembut anak muda itu mengungkapkan kasih dengan tulus.

Gelak tawa Maira yang rancak mengusik Mus di dalam kereta mematikan lamunan Datin Salimah. Seronok dia lihat Maira tertawa gembira begitu. Datin Salimah tahu, dia harus berbuat sesuatu. Demi kebahagiaan anak kesayangannya yang seorang itu.

“Amboi…dah sihat sangatlah anak mama tu. Bukan main seronok lagi dia mengusik orang.” Sampuk Datin Salimah sambil mengelus mesra wajah Maira yang tersengih riang.

 

“JADI…saya minta diri dululah ya, datin, Maira.” Ujar Cik Nana sopan, setelah mereka semua berbual untuk beberapa ketika di ruang tamu rumah Dato’ Harun.

“Maira pun dah boleh berjalan dah, Alhamdulillah…tak sakit lagi dah… tak perlukan bantuan saya lagi…” Terangnya menjelaskan maksudnya.

Mereka yang berada di situ mengangguk-anggukkan kepala. Baru tersedar yang tujuan asal Cik Nana berada di situ adalah untuk membantu merawat dan menguruskan Maira yang sakit.

“Terima kasih banyak ya, Cik Nana.. maaflah, belum sampai sehari pun Cik Nana di sini..” Sahut Maira.

“Eh tak apa…yang penting kaki Maira dah sembuh.. Alhamdulillah…” Balas Cik Nana.

Mereka bersalaman sebelum Datin Salimah dan Maira menemankan Cik Nana hingga keluar.

“Ada masa singgahlah jenguk-jenguk kami di sini ya…” Pesan Datin salimah mesra.

“InshaAllah datin… Assalammualaikum…” Ujar Cik Nana.

“Waalaikumsalam…” Sambut Maira dan mamanya serentak.

“Ara ada simpan nombor cik cantik tadi kan?” Tegur Mus tiba-tiba dari belakang.

Maira berpusing menghadap Mus yang tersengih lebar.

“Takde.” Jawabnya pendek.

“Aik…? Tak kan lah takde…dengan Ari pun nak kedekut..” Balas Mus, masih lagi tersengih nakal.

Maira hanya menjeling Mus.

“Aii…tajamnya anak mama ni menjeling…” Sampuk Datin Salimah sambil tertawa kecil.

“Huihh…ini baru sikit ni datin…jantung saya ni..dah berlubang-lubang kena jelingan tajam Ara ni sejak kecil, datin..” Usik Mus. Dadanya diurut-urut dengan muka berkerut, konon menahan sakit.

Mereka yang lain menyambut gurauannya dengan tawa kecil.

“Ara nanti jangan lupa buat sujud syukur ya…” Bisik Mus perlahan sebelum beredar setelah meminta diri untuk pulang.

“Ari...!” Panggil Maira apabila dilihatnya Mus mula melangkah menuju ke kereta.

Serta-merta Mus menghentikan langkahnya dan berpaling ke arah Maira. Kedua keningnya diangkat. Maira memandang sepasang mata Mus yang redup. Pelbagai ayat dan kata-kata bersimpang-selirat di dalam hati Maira. Macam-macam hendak dituturkan kepada pemuda itu.

“Err…terima kasih…” Akhirnya hanya itu yang terkeluar dari bibirnya.

Mus tersenyum manis sambil meluruskan jari telunjuk dan jari hantunya, dari dahi ke udara dengan bergaya. Maira turut tersenyum. Hanya Tuhan sahaja yang tahu, rahsia apa yang terselit di dalam hati dua insan itu ketika ini.