Friday, April 26, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 10)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 10

URUSAN pengebumian Dato’ Harun berjalan lancar. Mus dan Pak Saadlah yang sibuk ke sana ke sini membantu melancarkan urusan sehingga selesai. Keluarga terdekat Dato’ Harun dan Datin Salimah turut datang menziarah. Rania dan ibunya berada di samping Maira dan mamanya, cuba membantu untuk menenangkan mereka. Sudah sembam wajah keduanya kerana terlalu banyak menangis.

Hadif juga hadir menyampaikan takziah setelah dihubungi Rania. Dia mewakili ibu bapanya yang hanya mampu mengirimkan salam dari jauh kerana sedang berada di luar negeri, atas urusan perniagaan. Sebagai tunang Maira, Hadif  berasa agak terkilan kerana tunangnya itu tidak menghubunginya terlebih dahulu. Sepatutnya dialah yang membantu gadis itu di waktu seperti ini, bukan orang luar.

Dia menjeling Mus dari jauh. Apa yang dia dengar dari Rania, Mus dan Maira adalah rakan baik sejak kecil yang membesar bersama di Rumah Anak Yatim Basyirah sebelum Maira diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Dato’ Harun. Terbit rasa cemburu di hati lelakinya. Apatah lagi apabila teringatkan kembali gambar mesra mereka berdua sewaktu melancong di Korea, yang telah dimuatnaik oleh Rania di akaun media sosial miliknya.

“Maira…” Panggilnya perlahan sambil merapati gadis itu yang masih berteleku di samping mamanya.

Baby..ok tak..?” Soalnya lembut.

Tersentuh juga hatinya melihat wajah sedih tunangnya. Maira hanya mengangguk perlahan.

“Terima kasih datang… maaf Maira tak sempat call bagitahu tadi..” Ujarnya perlahan.

Bukan tidak sempat, tetapi dia terlalu tenggelam dalam kesedihan, sehingga langsung tidak dapat berfungsi. Kepalanya terasa kosong, tak dapat memikirkan apa-apa pun. Hanya wajah papanya, suara papanya, dan kenangan-kenangannya yang terus-menerus berputar di kotak fikirannya. Mamanya pun begitu. Mujurlah ada Pak Saad dan Mus yang menguruskan semuanya untuk mereka.

“Lain kali… kalau ada apa-apa berlaku, call I dulu ya?” Pinta Hadif bersungguh-sungguh.

Maira hanya memandangnya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya lemah. Hari sudah semakin larut, para tetamu juga sudah beransur pulang.

You boleh ke tinggal dengan mama je.. I boleh stay, risau juga you berdua je kat rumah ni.” Ujar Hadif menawarkan diri.

Takpe…Pak Saad ada dekat je.. Rania pun nak tidur di sini temankan saya dan mama. Lagipun, Mus dah uruskan untuk pihak polis pantau rumah ni untuk sementara waktu ni. Mereka risau orang jahat tu… kembali meneruskan serangan…” Ujar Maira sambil menelan liur sendiri.

Antara percaya dengan tidak, perkara yang sedang menimpa keluarganya sekarang.

“Mus lagi…” Getus Hadif sendirian.

Emm.. yelahyou rehatlah..jangan lupa makan..alas perut tu..I tak nak you sakit..ok? Apa-apa terus call I. Anytime, I akan datang untuk you.” Pesan Hadif sebelum meminta diri untuk pulang.

 

MAIRA…, datin…, marilah makan sikit…dari tadi belum jamah apa-apa pun…” Pujuk Pak Saad lembut.

Ha’ah Maira.. kau langsung tak minum air sikit pun. Kalau kau pengsan nanti macam mana. Kesian mama kau nanti lagi susah hati dia..” Ujar Rania pula turut memujuk.

Maira perlahan-lahan mencapai gelas di depannya lalu diteguknya sedikit. Sedikit sebanyak hatinya mengiyakan kata-kata Rania.

“Aku kena kuat… mama perlukan aku..” Bisik hatinya perlahan.

Mus yang baru datang bersila di depannya tersenyum melihat gadis itu meneguk air. Disenduknya sedikit nasi dan lauk lalu diletakkan di hadapan Maira. Kemudian disendukkan pula untuk Datin Sally.

“Sakit meghadapi kematian, memang tidak dapat nak digambarkan..” Ujarnya memulakan bicara.

Kata-katanya bukan bicara kosong. Dia sendiri sudah mengalami sakitnya kematian orang tersayang, sejak umurnya 5 tahun lagi. Waktu itu, Ara, sahabat baiknya itulah, yang banyak menghiburkannya, membantunya menelan rasa sakit itu. Masih segar di ingatannya senyuman dan celoteh gadis kecil itu yang tidak jemu saban hari memujuknya.

“Tak salah bersedih…memang itu yang akan kita rasa.. tetapi..jangan sampai memudaratkan diri ya…” Ujarnya lagi.

“Walaupun cara pemergian dato’…sangat mengejutkan…tapi apa yang saya lihat..,dato’ meninggal dalam keadaan yang baik..selepas solat..wajah dato’ tadi pun kelihatan tenang dan damai…” Jelasnya lagi, cuba meringankan perasaan dua orang wanita yang sudah lumpuh semangat mereka di kala itu.

Datin Sally dan Maira mula memanggungkan kepala, memberi perhatian pada apa yang dikatakan oleh anak muda itu. Pak Saad juga terangguk-angguk, mengiyakan kata-kata Mus. Memang wajah majikannya tadi terlihat bersih dan tenang. Mudahan rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

InshaAllah…sama-sama kita doakan..agar kita semua dapat kembali berkumpul di syurga Allah suatu hari nanti…” Ujarnya lagi.

“Lagipun…dato’ pun…pasti tak mahu datin dan Ara sampai jatuh sakit…kan?” Pancingnya.

Datin Sally mengangguk-angguk perlahan-lahan.

“Datin dan Ara makan sikit ya…? Sikit pun takpe…” Pujuknya lembut.

“Kalau tak….” Sengaja dia menghentikan kata-katanya di situ.

Datin Sally dan Maira memfokuskan pandangan padanya, menantikan kata-kata yang seterusnya.

“Kalau tak saya suapkan nasi ni, dengan datin-datin sekali saya suapkan. Nak?” Ugutnya sambil tersenyum manis.

Datin Sally dan Maira tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Perlahan-lahan hujung pinggan mereka dikuis-kuis. Kemudian nasi dijemput kecil lalu disuapkan ke mulut masing-masing. Pak Saad dan Rania turut tersenyum lega melihat kedua beranak itu menjamah makanan. Pandai Mus memujuk.

“Malam ni…saya tumpang tidur di rumah Pak Saad.. kalau-kalau Ara, datin atau Pak Saad perlukan bantuan saya…” Ujar Mus.

Datin Sally dan Maira berasa sedikit lega mendengarkan lelaki itu ada berdekatan, menemani mereka. Datin Sally sendiri tidak terasa kekok atau segan dengan anak muda yang baru pertama kali ditemuinya itu. Begitu juga Pak Saad. Terasa mesra dengan anak muda itu, seperti sudah lama kenal, atau lebih tepat lagi, seperti keluarga sendiri. Itulah kelebihan Kairi Musyrif. 

“Terima kasihlah Mus.. banyak tolong kami…” Ujar Datin Sally lembut.

“Tak ada apa datin..yang penting datin dan Ara cuba rehat secukupnya malam ni. Perkara-perkara lain kita risaukan kemudian, ya?” Balasnya mesra.

 

MALAM itu, Mus sempat berbual panjang dengan Pak Saad, sebelum kedua-duanya terlena keletihan. Bergenang air mata orang tua itu mendengarkan kisah Mus Dan Maira di rumah anak yatim sejak kecil, sehinggalah mereka bertemu kembali beberapa hari yang lepas.

Sempat juga mereka berbincang mengenai kes pembunuhan yang menghantui keluarga tersebut. Tetapi langsung mereka tidak dapat meneka, siapa yang sanggup bertindak sekejam itu.

Manakala Maira lebih awal lagi sudah terlelap di samping Rania yang menemaninya. Tinggallah Datin Sally sendirian mengenangkan arwah suaminya.

“Saya nak minta maaf pada awak…” Terlayar kembali di ruang memorinya, kata-kata Dato’ Harun selepas mereka solat jemaah Subuh bersama pagi tadi.

“Saya lalai dan leka dengan dunia… dan sebagai suami… saya menyebabkan awak ikut hanyut bersama saya…” Ujar Dato’ Harun, sebak.

“Saya lupa yang dunia ini cuma tempat persinggahan kita. Tempat kita mengumpul bekalan untuk negara akhirat yang abadi…” Sambungnya lagi.

“Saya minta maaf…. Sebab tak bimbing awak untuk buat persediaan menuju alam yang kekal…” Diraih tangan isterinya lalu dikucupnya penuh kasih.

Datin Sally turut berasa sebak dengan perlakuan suaminya Subuh itu. Penyesalan yang sedang berhempas hebat di dalam hati Dato’ Harun, turut dirasakan oleh isterinya. Memang benar, mereka sudah lama terbuai dengan nikmat dunia. Padahal, pada usia begini, mereka sepatutnya sudah sedia mendekatkan diri dengan Allah. Ajal bakal menjemput, pada bila-bila masa sahaja.

“Saya nak berubah…. Saya nak kembali pada Tuhan…pada jalan yang lurus….” Sambungnya lagi. Menitis-nitis air matanya sambil menatap wajah isteri tercinta.

“Awak ikut saya, ya…? Kita sama-sama…” Ujarnya lagi, meletakkan harapan.

Datin Sally ikut menangis. Dianggukkan kepalanya perlahan-lahan. Suaminya mengukirkan senyuman yang manis. Lega dan bersyukur. Mudahan Allah mengampuni mereka, dan merahmati keluarga mereka.

 

AIR mata yang kembali mengalir di pipinya disapu. Datin Sally bangun dari baringnya lalu menuju ke bilik air. Dia berwudhuk dengan teliti lalu menyarungkan telekungnya. Dia mendirikan solat dengan khusyuk, sebelum melampiaskan dan menyampaikan rasa rindu dan kasih kepada suaminya.

Teresak-esak sepasang mata itu menangis dan merayu pada Yang Maha Mendengar. Bersungguh-sungguh dia berdoa agar dosa-dosa suaminya, dan dirinya diampunkan oleh Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat.

“Dan andai kata tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya atas dirimu dan (andaikata) Allah bukan Penerima Taubat lagi Maha Bijaksana, (nescaya kamu akan mengalami kesulitan-kesulitan)”

(Surah AnNur ayat 10)

 

PAGI itu, awal-awal lagi Mus sudah keluar membelikan sarapan untuk keluarga Dato’ Harun. Mereka duduk bersama di meja makan.

“Ari nak bawa Pak Saad ambil kereta dato’ di masjid.” Bualnya pada Maira yang sedang menyudu nasi lemak ke mulut.

“Boleh tolong hantarkan Ara ke rumah sewa sekali? Ara nak ambil baju…, nak duduk dengan mama kat sini.. Rania nak pergi kerja.” Ujarnya.

“Elok juga tu… buat sementara ni..Ara dan datin lebih baik jangan bersendirian dulu. Nak ke mana-mana pun kalau boleh biarlah ada teman..” Balas Mus.

“Betul tu…bahaya sebab penjenayah tu masih lagi bebas berkeliaran…” Sampuk Pak Saad.

Maira dan Datin Sally mengangguk-anggukkan kepala. Mujur juga pihak polis kerap membuat rondaan di kawasan kejiranan mereka sekarang. Bunyi hon di perkarangan rumah mengejutkan mereka.

“Hadif datang…” Ujar Rania yang mengintai di tingkap. Diayun langkahnya menuju ke pintu utama untuk menyambut lelaki itu.

Morning.. Maira..mama…” Sapa Hadif sebaik muncul di ruang makan. Plastik di tangan diletakkan ke meja.

“Eh.. belum kahwin lagi dah panggil mama dah?” Sampuk Rania, mulutnya dicebikkan.

Hadif ketawa kecil.

Takpe kan, mama?” Soalnya.

Datin Sally hanya tersenyum tawar.

“Semua orang dah breakfast dah? Hadif ada bawakan makanan ni…” Ujarnya.

“Lambat…kitorang dah kenyang dah, awal pagi lagi Mus dah carikan makan.” Jawab Rania.

Hadif mengerling Mus. Baru dia perasan lelaki itu masih di situ.

“Eh..you tidur kat sini ke semalam?” Soalnya, kurang senang.

“Mus ni tidur di rumah Pak Saad semalam. Pagi ni baru dia nak bawakan Pak Saad ambil kereta dato’..” Jawab Pak Saad.

Mus hanya tersengih pada Hadif.

“Eh.. dah lambat ni. Rania pergi kerja dulu ya aunty…aunty jaga diri elok-elok..nanti Rania datang lagi. Kau pun.. jangan menangis teruk-teruk sangat tau. Risau aku.” Ujarnya mengerling pada Maira sambil menyalami Datin Sally.

Maira menghantarnya sehingga ke pintu.

“Hadif tak kerja ke hari ni?” Tegur Datin Sally.

“Hadif masuk lewat sikit hari ni, sengaja datang nak tengok keadaan mama dan Maira.” Jawabnya.

Datin Sally mengangguk-anggukkan kepalanya.

Err…saya dengan Mus gerak dululah datin, nak ambil kereta.” Ujar Pak Saad meminta diri.

Yelah….hati-hati Saad… kamu pun mungkin dalam bahaya juga..” Pesannya risau.

Tidak sanggup lagi rasanya untuk terus menghadapi kematian dalam keluarga tersebut.

“Saya pergi dulu datin..” Ujar Mus, sopan.

“Eh..Maira? Tadi cakap nak tumpang Mus?” Ujar Datin Sally.

Maira baru melangkah ke ruang tamu setelah menghantar Rania ke pintu.

“Err..Maira nak pergi mana? Hadif boleh hantarkan.” Ujar Hadif menawarkan diri.

Tidak senang dia melihat keluarga itu terlalu rapat dengan Mus. Maira memandang Mus dan Hadif silih berganti.

“Maira nak pergi rumah sewa Maira sekejap.” Jawab Maira.

“Maira ikut Hadiflah, Hadif hantarkan.” Ujar Hadif membuat keputusan.

Err..ok.. sekejap Maira ambil beg.” Ujarnya sambil melangkah naik ke atas.

Pak Saad dan Mus pula melangkah keluar setelah bersalaman dengan Hadif. Mahu tak mahu sahaja dia mengenggam tangan mereka.

“Mama…mama ikut sekalilah…Maira risau tinggalkan mama sorang-sorang..” Pinta Maira yang sudah siap menggalas beg.

Datin Sally teragak-agak. Sebenarnya memang dia rasa ingin bersendirian meratapi arwah suaminya ketika itu. Tetapi mengingatkan pembunuh yang masih lepas bebas membuatkan dia berfikir dua kali.

        “Jomlah ma…sekejap je..Maira nak ambil baju je..” Rengeknya.

Hadif tersengih sendiri melihat gaya manja tunangnya. Suka.

Yelah..yelah..sekejap..” Datin Sally mengalah, diatur langkahnya menuju ke atas.

“Maira…you ok?” Soal Hadif lembut apabila hanya tinggal mereka berdua di ruang makan tersebut.

“InshaAllah..ok..” Balas Maira sambil tersenyum.

I rindukan you sangat, tau.” Luahnya bersungguh-sungguh.

Sejak gadis itu pulang dari Korea, dia belum bertemu dengannya lagi. Diminta untuk menjemputnya di lapangan terbang juga ditolak oleh gadis itu dengan baik.

You tak rindukan I?” Soalnya setelah dilihat gadis itu hanya mendiamkan diri.

Ingin dia mendengar balasan kata-kata rindu dari gadis pujaan hatinya itu. Seingatnya belum pernah sekalipun lagi Maira mengungkapkan rasa rindu atau sayang padanya.

Err..awak takpe ke masuk lewat ni?” Soal Maira, cuba mengalih topik.

Takpe..kalau you nak  I temankan you sepanjang hari ni pun boleh.” Jawab Hadif bersahaja.

Maira tersenyum.

“Kalau boleh I nak tengok senyuman you setiap saat.” Ujar Hadif lagi.

Tajam matanya menatap wajah si tunang.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil cuba melarikan pandangannya. Ini yang dia malas kalau ditinggal berdua dengan lelaki ini.

Err..mama dah siap…” Tegur Datin Sally di depan tangga.

“Mama…” Maira terpegun melihat mamanya mengenakan tudung di kepala.

“Kenapa pandang mama macam tu. Pelik ke?” Soal mamanya sambil membetul-betulkan tudung yang dipakai.

Maira menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mama cantik sangat…” Ujarnya.

Dibetulkan sedikit hujung tudung mamanya lalu dipeluknya tubuh itu erat. Hatinya memanjatkan kesyukuran melihat perubahan mamanya ke arah kebaikan. Benarlah…, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Hadif pun nak join peluk juga…” Sampuk Hadif.

“Jangan nak mengada…tunggu lepas nikah nanti.” Balas Datin Sally, tergelak kecil.

Hadif melepaskan tawa.

“Mama…Hadif rasa…elok kalau..kita cepatkan majlis…” Ujar Hadif sambil memandu.

Maira dan mamanya saling berpandangan.

“Sekurang-kurangnya..buat akad nikah dulu…” Sambungnya lagi.

Maira sudah mula tidak senang duduk. Papanya baru sahaja meninggal dunia semalam. Hari ini lelaki itu sudah bercakap soal nikah. Dahi Datin Sally juga berkerut-kerut. Serta merta dia teringatkan gambar-gambar memalukan Hadif yang diterima dari pengirim yang tidak dikenali.

“Bukan apa mama…sekurang-sekurangnya ada lelaki dalam rumah tu… Hadif dan Maira boleh tinggal dengan mama, temankan mama…dalam keadaan sekarang ni, mama dan Maira perlukan seseorang untuk menjaga keselamatan mama dan juga Maira.” Ujar Hadif, cuba menyelitkan logik di sebalik cadangannya.

“Sekarang ni semuanya terbatas. Susah Hadif nak jaga mama dan Maira…” Pujuknya lagi.

Maira sudah rasa seperti mahu menangis. Dia benar-benar belum bersedia untuk menjadi isteri kepada lelaki itu. Datin Sally terdiam. Mula memikirkan kebenaran kata-kata Hadif. Keselamatan anaknya adalah yang paling penting padanya ketika ini. Dia tidak mahu kehilangan Maira.

“Depan ni belok kanan. Dah sampai dah…” Ujar Maira, mematikan topik perbualan tersebut.

Baby.., dah siap kemas nanti call I, I datang ambil you dengan mama, ok?” Pesan Hadif sebelum Maira turun dari kereta.

“Eh takpelah…tadi Pak Saad dah janji nak datang ambil. Dia pergi ambil kereta sekejap je..” Balas Maira.

“Betul tu..sekejap lagi Saad datang ambil, Maira pun nak kemas baju sekejap je ni. Hadif pergilah masuk kerja, dah lewat sangat dah ni.” Ujar Datin Sally pula, menyokong kata-kata Maira.

Maira menarik nafas lega. Kepalanya terlalu kusut untuk memikirkan soal pernikahan buat masa sekarang.

“Kalau macam tu, ok lah…apa-apa call I ya? Tak perlulah minta tolong orang lain, I kan tunang you..” Hadif mengalah, sekaligus berpesan, dengan nada cemburu.

Maira mengangguk-anggukkan kepalanya. Malas mahu berdebat lebih panjang.

“Terima kasih..” Ujarnya perlahan.

“Elok-elok drive, Hadif…” Sempat Datin Sally berpesan sebelum mula melangkah masuk ke perkarangan rumah sewa Maira.

I Love You..” Bisik Hadif perlahan sambil melambaikan tangannya kepada si tunang.

Maira hanya membalas lambaiannya dan cepat-cepat berpusing mengekori langkah Datin Sally. Diseluknya kunci dalam beg tangan lalu dipulas pintu perlahan dengan lafaz Bismillah.

“Assalammualaikum..” Sapanya perlahan.

“Kawan-kawan Maira tak ada kat rumah?” Soal mamanya.

Matanya meliar memandang sekeliling rumah yang kosong.

“Rasanya diorang dah mula kerja hari ni.” Sahut Maira.

Langsung terlupa dia hendak mengkhabarkan berita kematian papanya kepada rakan-rakan serumahnya itu.

“Mama duduklah dulu sekejap, Maira pergi kemas baju.” Pinta Maira.

“Eh takpe, mama tolong Maira, cepat sikit siap. Tapi mama nak ke tandas dulu.” Ujar Datin Sally.

“Oh..tandas kat dapur ma, ikut sini je” Jawab Maira, menunjukkan arah.

Rumah sewa mereka itu tidaklah sebesar mana. Hanya rumah teres setingkat bersaiz sederhana, dengan 3 bilik tidur. Ruang dalam rumah yang agak kosong tanpa perabot yang besar-besar membuatkan rumah itu kelihatan agak luas.

Maira bergegas menuju ke bilik tidurnya. Dicapainya beg di tepi almari lalu diletakkan di atas katil.

“Tuk tuk tuk!” Kedengaran bunyi pintu biliknya diketuk.

Maira berpaling. Tiada orang.

“Salah dengar kut..” Fikirnya sendiri lalu dia meneruskan kerjanya.

“Maira.” Terdengar suara Hani menyapanya.

Maira berkalih ke arah pintu biliknya yang separuh terbuka. Tiada sesiapa di situ. Lalu dia berpusing semula ke arah begnya di atas katil. Terlompat dia apabila melihat Hani tiba-tiba sedang duduk tersengih kepadanya di atas katil, di sebelah begnya.

“Allahu Akbar!” Latahnya kuat.

Hishh kau ni…! Terkejut aku tau tak. Bila masa pulak kau ada kat situ?” Soalnya sambil mengurut dada.

Dahinya dikerutkan, sengaja menunjukkan muka konon-konon marah pada rakannya itu. Hani masih tersengih di situ.

“Ala..sorry la.. kau yang terkejut, aku pulak yang kena marah.” Ujarnya lucu.

“Kau tak kerja ke hari ni?” Soal Maira.

“Patutnya memang aku kerja, tapi rasa sakit kepala pula tadi. Itu yang aku EL.” Terang Hani.

“Kau tidur rumah mama kau ke semalam? Tak bagitahu kitorang pun.” Soal Hani kembali.

Maira menarik nafas panjang.

Sorry weh..aku langsung terlupa nak whatsapp korang. Sebenarnya.. papa aku meninggal…” Ujarnya perlahan.

Hani sudah membeliakkan matanya.

“Ini pun aku balik ambil baju.. aku ingat nak stay dengan mama aku dulu buat masa ni.. temankan dia… kesian dia sorang-sorang kat rumah tu…” Jelas Maira.

Hani terdiam seketika.

“Takziah Maira..” Ujarnya kemudian.

Mungkin tidak tahu mahu berkata apa lagi dalam situasi itu ketika itu.

“Marilah aku tolong kau..” Pelawanya.




No comments:

Post a Comment