ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
11
MAIRA
pantas
mengeluarkan baju yang tergantung kemas di dalam almari lalu menghulurkannya
kepada Hani yang sibuk membantunya melipat baju-baju tersebut dan memasukkannya
ke dalam beg. Kemudian dia beralih pula untuk membuka laci yang memuatkan
tudung dan selendangnya.
Belum sempat laci itu ditarik,
tiba-tiba bahagian bawah almari tersebut bergegar-gegar. Pergerakan tangan
Maira terhenti. Serta merta dia berpaling menoleh ke arah Hani yang sedang
duduk di katil. Gadis itu mengerutkan keningnya.
“Kau nampak tak tadi?” Soal Maira.
“Nampak apa?” Soal Hani kembali.
Maira kembali mengalihkan pandangannya
ke arah laci tersebut. Diamatinya laci tersebut lama. Tiada apa yang berlaku.
Lalu dipegang semula laci tersebut. Tetapi sebelum sempat dia menariknya,
sekali lagi bahagian bawah almari itu bergegar, kali ini lebih kuat. Terus dia berlari
melompat ke atas katil. Hani juga kelam kabut mengangkat kedua belah kakinya ke
atas.
“Tikus ke?” Soal Hani cuak.
“Takkan tikus boleh goncang macam tu?”
Soal Maira kembali.
Dalam kepalanya sudah terbayang
beberapa ekor tikus sedang berlarian di dalam laci tersebut. Kalau seekor, tak
akan bergegar macam itu.
“Habislah tudung aku dalam tu..” Getus
hatinya sendiri.
Itu kalau tikus. Kalau ‘yang makan
tikus” yang ada di dalam, lagi kacau. Binatang menjalar dan melingkar tu..
“Habis tu.. nak buat macam mana ni..?”
Soal Hani lagi.
Mata Maira meliar memandang sekeliling.
Penyapu di sudut bilik menarik perhatiannya. Cepat-cepat dia turun dari katil
mendapatkan penyapu itu, kemudian pantas melompat naik ke atas katil semula.
Kedua-dua gadis itu saling berpandangan sambil menelan air liur.
“Kau nak buka ke, aku nak buka?” Tanya
Maira sambil menggenggam erat batang penyapu.
“Aku tarik..kau standby ea…” Ujar Hani, dengan lagak seorang hero penyelamat.
Maira mengangguk-anggukan kepalanya.
Air liur yang terasa kering di tekak ditelan berkali-kali. Kedua-dua gadis itu
melangkah perlahan menuju ke laci tersebut. Hani perlahan-lahan menghulurkan
tangannya mendekati laci tersebut, bersedia untuk menariknya. Maira pula sudah
bersedia menghayunkan batang penyapu di tangannya.
“Bismillah dulu wey…” Sempat Maira
berbisik sambil melihatkan tangan Hani yang sudah hampir dengan laci.
Hani yang sudah terganggu fokusnya
hanya menggawang-gawangkan tangannya kepada Maira sebagai isyarat menyuruhnya
diam.
“Keletak!”
Belum sempat Hani memegang laci
tersebut, ia terdorong keluar sendiri sehingga terjatuh separuh di atas lantai.
Seolah-olah ditolak dengan kuat dari sebelah dalam. Terjerit-jerit kedua orang
gadis itu sambil melompat naik semula ke atas katil. Batang penyapu yang berada
di pegangan Maira tadi sudah melambung entah ke mana.
Anehnya, tiada apa yang keluar dari
itu, tiada tikus, cicak atau apa-apa binatang yang berkemungkinan berada di
dalamnya tadi. Hani dan Maira saling berpandangan antara satu sama lain. Tidak
semena-mena, bau busuk seperti bangkai menusuk hidung mereka berdua. Spontan
Hani memicit hidungnya.
“Dah mati kut.” Ujarnya dengan suara
sengau, hidungnya dipicit kuat bagi menghalang bau busuk itu menerpa masuk ke
dalam rongga hidungnya.
“Kan baru bergerak-gerak tadi.” Sangkal
Maira, turut menutup hidungnya dengan belakang tapak tangannya.
Baunya begitu menusuk. Naik hingga ke
kepala. Perlahan-lahan dicapainya kembali batang penyapu yang sudah dilambung
jatuh ke lantai tadi. Dikuisnya laci tersebut dengan hujung batang penyapu itu.
“Keletak!”
Keseluruhan laci tersebut yang tadinya
tergantung separuh di almari, jatuh ke lantai. Bulat biji mata Maira melihat
ada patung yang dibalut kemas seperti mayat yang siap dikafankan terbaring di
atas susunan tudung-tudungnya yang terlipat kemas. Ada kesan tompokan merah
seperti darah, dan juga warna hitam dan kuning, entah kotoran apa. Mungkin bau
yang busuk itu datang dari kesan kotoran tersebut.
“Apa tu weyyy…..” Suara Hani yang ikut
menjenguk dari atas katil sudah menggeletar.
“Aku tak tahu…macam..mayat..kecil. Ke
patung? Aku tak tahu…” Maira masih mahu menjawab pertanyaan Hani walaupun dia
sendiri pun tidak tahu apa benda yang sedang dilihatnya ketika itu.
“Haa..mayat…?!” Soal Hani yang sudah
mula pucat mukanya.
Maira menelan air liur sekali lagi,
sebelum cuba menguis patung tersebut dengan hujung batang penyapu.
“Weyyy…! Janganla…buatnya dia bangun
melompat-lompat macam pocong karang macam manaaa…?!” Hani sudah separuh
menjerit melihat sahabatnya menguis patung tersebut.
Sebaik sahaja hujung batang penyapu
yang dipegang Maira menyentuh patung itu, kedengaran satu suara menjerit dengan
begitu nyaring dan membingitkan telinga.
Spontan mereka ikut menjerit sambil
menekup kedua-dua belah telinga yang terasa berdesing dengan suara jeritan
panjang tersebut. Lintang pukang keduanya berlari keluar dari bilik itu. Nyaris
sahaja mereka berlanggar dengan Datin Sally yang masih tercangak-cangak mencari
kelibat Maira.
“Ya Allah…heyyy..! Budak-budak ni…
Kenapa dengan kamu ni?! Main lari-lari dalam rumah pulak…?”
“Tu…dalam bilik tu ma…”
Tercungap-cungap Maira cuba memberi penjelasan kepada mamanya.
“Kenapa dalam bilik? Ada apa? Baju dah
siap kemas ke?” Soal mamanya bertalu-talu.
“Tadi…tadi dalam bilik kitorang
nampak…” Maira terhenti, tidak tahu bagaimana mahu menceritakan apa yang
dilihatnya.
Datin Sally mengerutkan dahinya.
Seketika kemudian dia melangkah ke arah bilik yang dimaksudkan.
“Eh..mama..nak pergi mana tu..tak
payahlah ma…” Pujuk Maira sambil cuba memaut lengan mamanya.
Hani masih tercegat tak bersuara di
sampingnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia berlari keluar dari rumah ketika itu.
“Ma…” Maira masih memujuk ibunya agar
tidak masuk ke dalam bilik.
Hani pula mengekori mereka rapat di
belakang. Teringat pada filem-filem seram di mana watak yang ditinggalkan
bersendirian selalunya akan diserang hantu. Tangannya mula menarik hujung baju
Maira. Terkedek-kedek dia di belakang mereka.
Datin Sally menjenguk perlahan ke dalam
bilik. Laci almari kelihatan berada di lantai dengan isi yang sedikit berkecah.
Diliarkan pandangannya ke sekeliling bilik. Tiada apa yang aneh. Lalu dia
melangkah masuk ke dalam bilik. Maira dan Hani yang saling berpegangan di belakangnya
spontan memejamkan mata masing-masing.
“Tak ada apa pun…” Tegur Datin Sally
sambil pendangannya diarahkan kepada kedua gadis itu.
Maira dan Hani membuka mata. Benar.
Patung yang berbalut seperti hantu bungkus kecil sudah tiada di dalam laci
tersebut. Kesan-kesan kotoran yang mereka lihat tadi juga tidak berbekas
sedikit pun pada susunan tudung Maira di dalam laci. Mereka saling berpandangan
dengan penuh curiga.
Maira mendekati laci tersebut.
Dikuis-kuisnya tudung didalamnya. Benar-benar bersih tidak terkesan sedikit
pun. Dikerling pula sekeliling kawasan bilik, risau kalau-kalau patung itu ada
tercampak di mana-mana. Kemudian cepat-cepat dia mengemaskan tudungnya lalu
memasukkan semula laci tersebut.
“Maira dah siap kemas ke? Tudung tak
ambil?” Soal mamanya sambil membelek beg Maira yang berada di atas katil.
“Err…takpelah…kat rumah mama ada
lagi tudung…” Jawabnya, cuba berdalih.
Memang tidaklah dia nak pakai tudung
yang menjadi ‘tempat tidur’ hantu bungkus tu tadi.
“Kalau dah siap kemas, jomlah. Pak Saad
ada dah tunggu kat luar tu. Tadi lagi dia dah sampai.” Beritahu Datin Sally.
Dia sudah pun keluar menemui Pak Saad
sebentar tadi selepas ke tandas. Jadi dia berada di luar rumah ketika kekecohan
sedang berlaku di dalam bilik itu.
“Err..dah siap dah ni. Barang
lain semua ada je kat rumah mama.” Jawab Maira.
Sudah tidak sabar mahu beredar dari
situ.
“Err..kau macam mana. Nak tinggal seorang kat
rumah ni ke? Ke nak ikut aku, kita pergi rumah mama aku.” Ujar Maira, memberi
cadangan.
Risau pula hendak ditinggalkan Hani
sendirian selepas apa yang berlaku.
“Err..takpe..aku ok je…” jawab Hani.
“Masa kau tak ada, takde pun jadi benda
pelik-pelik. Masa kau ada je baru jadi macam ni. Hantu tu nak kacau kau je
kut..” Bisiknya di telinga Maira.
Maira menelan liur. Celupar pula mulut
budak ni.
“Kau ni kan…” Bisiknya kembali.
“Err..betul ke ni..kau sure ke?” Soal Maira lagi, masih khuatir
mahu meninggalkan sahabatnya itu.
Jam di dinding dikerling sekilas. Masih
ada beberapa jam sebelum Hanim pulang dari kerja.
“Betul..aku ok…kepala aku pun
dah tak sakit dah. Hilang lesap dah sakitnya.” Balas Hani bersungguh,
barangkali terkejut diusik tadi, langsung hilang denyut di kepalanya.
“Lagipun aku ingat sekejap lagi nak
keluar sekejap, pergi Watson.
Alang-alang cuti ni. Kau jangan risaulah. Kau baliklah, temankan mama kau. Kau
tu pun perlu rehat. Dah macam mata panda dah aku tengok.” Sambungnya lagi.
Maira mencemik.
“Comel apa panda..” Sanggahnya.
“Oklah..kalau
macam tu..aku balik dulu tau. Kau hati-hati. Apa-apa call.” Pesannya.
Hani hanya mengiyakannya sambil
menghantar anak-beranak itu ke pintu. Pak Saad keluar dari kereta untuk
memuatkan beg Maira ke dalam ruang bonet. Maira ikut melangkah ke bonet.
“Takpelah Pak Saad, Maira boleh
buat. Ringan je ni.” Ujarnya, menghalang Pak Saad dari membantunya.
Lelaki tua itu hanya tersenyum dan
mengangguk sebelum melangkah kembali ke tempat duduk pemandu. Maira memasukkan
begnya ke dalam kereta lalu menutup bonet perlahan sambil mengeluarkan telefon
bimbitnya. Nombor Hanim didail.
“Hello Assalammualaikum…” Sapanya
apabila panggilannya dijawab.
“Wey kau busy ke?” Soalnya.
“Waalaikumsalam..taklah…kan lunch break ni. Aku tengah makan kat cafe.” Jawab Hanim di hujung
talian.
Maira membelek jam di telefon bimbit
sebelum meletakkannya kembali ke telinga. Pantas betul masa berlalu. Sedar tak
sedar dah tengah hari. Akhir zaman.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi
Muhammad Sallallahu’alaihiwassalam bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku
kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti
sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari,
sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran
api.”
(Riwayat at-Tirmidzi: 2332)
Sempat pula Maira mengelamun
mengingatkan hadis yang pernah didengarnya.
“Oooo…weh..kejap lagi kau balik awal
sikit boleh tak?” Soalnya lagi.
“Ha? Kenapa?” Soal Hanim kembali.
“Takde…aku risaukan Hani kat
rumah tu sorang-sorang…” Jelasnya.
“Hani?” Soal Hanim kembali.
“Ha’ah Hani.. dia kan tengah tak
sihat..lagipun tadi.. err..kitorang ada..err..’terkejut’ sikit…”
Jelas Maira, tidak tahu bagaimana untuk menerangkan apa yang berlaku sebentar
tadi.
“Aku dah nak gerak balik rumah mama aku
ni. Aku datang dengan mama aku. Aku ambil baju sekejap je, nak tidur
sana… temankan dia. Err..ayah aku meninggal…” Jelasnya lagi.
“Hah?! Innalillahiwainnailahiroji’un…”
Ucap Hanim, terkejut.
Suasana sunyi seketika.
“Takziah Maira..banyakkan bersabar ya..
aku doakan arwah papa kau ditempatkan di kalangan orang beriman…” Ujar Hanim
sayu.
“InshaAllah…terima kasih weh…”
Ujar Maira, sedikit sebak.
“Eh tapi…” Hanim terdiam seketika.
“Hani ada kat sini. Tengah makan dengan
aku…” Sambungnya.
Maira yang sedang melangkah untuk masuk
ke dalam kereta terhenti. Jantungnya mula berdebar laju.
“Ha?” Soalnya pendek.
“Hani..ada kat sini..tengah makan
dengan aku…kejap..aku buat loudspeaker.”
Balas Hanim.
“Maira…takziah weh…aku tumpang
simpati…” Kedengaran suara Hani di hujung talian.
Pantas dia mematikan talian. Lalu
ditekan pula panggilan video kepada Hanim. Kelihatan Hanim dan Hani sedang
menjengulkan kepala ke dalam ruang kamera. Dada Maira semakin berkocak hebat.
Berdentam-dentam rasanya jantungnya menghempas dinding dada.
“Ha..kenapa tiba-tiba video call… kau ok tak ni?” Soal Hanim.
“Err..ok.. oklah.. err..aku nak gerak dah. Nanti aku call kau lagi.” Jawabnya sebelum mematikan talian.
Dia meneruskan langkahnya masuk ke
dalam kereta. Terkial-kial dia menutup pintu kereta dengan tangan yang
menggigil. Sempat dia berpaling melihat ke arah ‘Hani’ yang masih menunggu di
muka pintu. ‘Hani’ melambai-lambaikan tangan ke arahnya sambil tersengih
menayangkan giginya.
Senyumannya itu kelihatan sangat
menyeramkan pada pandangan Maira. Matanya dipejamkan kuat-kuat. Dia rasa
seperti mahu menangis ketakutan. Tidak adil betul mengusik dengan cara
menyerupai orang yang dekat dengannya. Keterlaluan.
“Maira..?” Sapa Datin Sally sambil
menepuk peha anaknya lembut.
Maira membuka mata. Dipandangnya wajah
mamanya.
“Maira nak makan apa? Kita minta Pak
Saad singgah beli dulu. Bungkus makan dekat rumah, nak?” Soal Datin Sally.
“Apa pun boleh ma. Maira ikut je.”
Jawabnya ringkas.
TOMBOL pintu dipulas perlahan. Maira
melangkah masuk ke dalam rumah bersama mamanya sambil menjinjit bungkusan
plastik berisi nasi ayam.
“Mama makanlah dulu…Maira nak naik atas
solat dulu sekejap.” Ujar Maira sambil meletakkan bungkusan plastik yang
dibimbitnya di atas meja.
“Mama pun nak solat dulu juga. Sekejap
lagi kita makan sama-sama ya, sayang?” Ujar Datin Sally.
Maira terkebil-kebil seketika sebelum
memeluk ibunya erat. Hatinya dihujani rasa syukur yang tidak terhingga.
Alhamdulillah. Mereka beriringan melangkah menuju ke tangga untuk naik
menunaikan kewajipan fardhu tersebut.
Maira membuka tudungnya lalu menuju ke
bilik air di dalam biliknya untuk membersihkan diri terlebih dahulu. Dia
sedikit kecewa apabila mendapati dirinya uzur. Dihayunkan langkah menuju ke
bilik mamanya yang terbuka luas. Lalu dia bergolek di atas katil mamanya.
“Eh..Maira tak nak solat sekali dengan
mama?” Soal Datin Sally.
“Maira tak boleh solat…” Ujarnya sambil
memuncungkan mulut.
Datin Sally tergelak kecil.
“Kalau macam tu Maira pergilah makan
dulu.” Balasnya.
“Tak nak… Maira nak tunggu mama.” Jawab
anak gadisnya sambil bergolek di katil.
Datin Sally hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya sebelum meneruskan solat. Maira memejamkan matanya, menikmati
keempukan bantal yang dipeluk. Entah bila dia terlelap pun dia tidak sedar.
Dalam lenanya yang sebentar itu, Maira
bermimpi berada di dalam tandas yang terpencil di dalam hutan. Semak samun dan
tumbuhan menjalar menghiasai kawasan tersebut. Tandas itu juga sangat kotor,
dan dipenuhi dengan tuala wanita yang berlimpahan dengan darah kotor. Begitu
banyak bergelimpangan di sekitar lantai, juga menyumbat ruang mangkuk tandas.
Keadaannya sangat menjijikkan. Baunya juga menyengat hidung.
“Maira…jom sayang, kita makan dulu.
Tidur pula dia…” Bebel Datin Sally sambil menggerak-gerakkan tubuh anaknya
perlahan.
Maira terpisat-pisat bangun.
“Aku mimpi ke tadi…?” Soalnya sendiri.
Dia melangkah malas turun dari katil,
membuntuti langkah ibunya turun ke ruang makan.
“Maira…” Panggil ibunya.
Maira yang sedang menguis-nguis nasi di
pinggan memanggungkan kepala. Memberi perhatian kepada ibunya. Masing-masing
tidak begitu berselera untuk makan. Masih lagi bersedih dengan pemergian Dato’
Harun. Hanya sekadar mengalas perut agar tidak jatuh sakit.
“Mama rasa…betul juga apa yang Hadif
cakap tu…” Ujar Datin Sally.
Memek muka Maira berubah.
“Papa dah tak ada….” Datin Sally
terhenti sejenak.
“Pak Saad pun dah berumur, tak berapa
kuat lagi dah…” Sambungnya lagi.
“Sekarang cuma tinggal kita, dua orang
perempuan je dalam rumah ni…” Ujarnya.
“Kalau apa-apa berlaku…” Kata-katanya
terhenti lagi.
Direnungnya wajah anak gadisnya sayu.
Dia benar-benar tidak sanggup kehilangan Maira. Dalam keadaan pembunuh gila
yang masih lepas bebas di luar sana. Tidak tahu sampai bila mereka akan berada
dalam keadaan bahaya, selagi dia belum ditangkap. Entah apa dendam atau motifnya
menyerang Suri dan Dato’ Harun. Semuanya begitu merunsingkan fikirannya.
“Sekurang-kurangnya…sebagai suami,
Hadif boleh sentiasa ada bersama Maira..untuk lindungi Maira…adalah juga orang
lelaki dalam rumah ni…” Ujarnya lagi, bernada memujuk.
“Mama harap…Maira boleh ikut permintaan
mama ni…mama tak sanggup kehilangan Maira…” Tambahnya lagi, dengan suara yang
sebak.
Mata Maira mula berkaca. Hatinya
meronta-ronta mahu keluar dari situasi yang melemaskan itu. Dia langsung tidak
bersedia untuk menjadi seorang isteri. Apatah lagi isteri Hadif. Dia langsung
tidak mencintai lelaki itu. Itu yang sebenarnya. Tetapi tiada sebaris ayat pun
yang keluar dari mulutnya untuk membantah kata-kata mamanya. Dia hanya menunduk
merenung nasi ayam di depannya.
Datin Sally menatap wajah anak gadisnya
dengan air mata yang bergenang di kolam matanya. Dia sendiri pun tidak pasti,
apakah permintaannya yang satu ini bakal membebankan seorang Aimy Humaira.
Apakah pernikahan dengan Hadif adalah sesuatu yang menggembirakan hati anak
gadisnya. Atau apakah Hadif mampu untuk membahagiakan Maira, dan menjaganya
dengan baik.
Gambar-gambar jelik Hadif kembali
terlayar di kotak fikirannya. Apa agaknya perasan Maira jika dia melihat gambar
itu. Bolehkah hati perempuannya memaafkan lelaki itu, dan menerimanya sebagai
suami. Jika diikutkan tarikh yang tertera pada gambar-gambar tersebut, Hadif
berkali-kali melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun ketika mereka sudah
bertunang.
Apa cintanya pada Maira tidak mampu
untuk membuatkan dia setia pada gadis itu? Tidak cukup untuk membuatkan dia
meninggalkan cara hidup yang kotor itu? Bagaimana jika dia masih tidak dapat
berubah walaupun setelah bergelar seorang suami?
Semua persoalan tersebut bertalu-talu
menyerang benak fikiran Datin Sally. Dato’ Harun pula telah pergi
meninggalkannya tanpa sempat berpesan apa-apa. Tiada sudah seorang suami di
sisinya, menemaninya mengharungi hidup.
Tiada lagi susuk yang dapat sama-sama
berbincang dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi, seperti kebiasaannya.
Kerinduan mula datang menerpa dari segenap arah. Perlahan air mata mengalir di
pipinya.

No comments:
Post a Comment