Friday, April 26, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 12)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI

Bab 12

MAIRA melangkah lemah menuju ke biliknya. Apa yang dikhuatirinya kini benar-benar terjadi. Mamanya sudah termakan pujukan Hadif yang mahu mempercepatkan pernikahan mereka. Bijak lelaki itu mengambil kesempatan di saat-saat keluarganya dihimpit masalah begini. Nafas panjang dihela. Entahlah…mungkin cuma dia sendiri sahaja yang berprasangka buruk pada lelaki itu.

Mungkin Hadif memang berniat ikhlas mahu membantu melindungi dirinya dan mamanya dari penjenayah kejam yang masih bebas berkeliaran di luar sana. Ada benarnya juga, keadaan di mana hanya dua orang wanita lemah yang tinggal di rumah besar itu mungkin membuka ruang yang lebih luas untuk penjenayah tersebut datang dan mengancam keselamatan mereka.

Atau juga mengundang dan menarik perhatian penjenayah lain untuk memecah masuk. Tetapi, benarkah pernikahan mereka itu adalah jalan yang terbaik. Atau lebih tepat lagi, adakah hanya itu sahaja satu-satunya jalan yang ada?

Sekali lagi keluhan berat dilepaskan perlahan. Maira tahu, tidak berlaku akan segala sesuatu tanpa izin Allah. Maira juga tahu, Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Bukan Hadif. Tetapi, idea pernikahannya dengan Hadif, serta kehadiran lelaki itu di rumah ini sebagai suami Maira, dilihat seperti satu-satunya cara untuk menenangkan hati mamanya yang sedang diasak risau dengan keselamatan dirinya pada ketika ini.

“Allah…” Rintih Maira perlahan.

Terasa begitu lemah dan tidak berdaya dengan keadaan. Hanya kepada Tuhannya dia bergantung harap. Langkah diatur menuju ke bilik air. Pili dibuka dengan niat mahu mengambil air wudhuk. Mahu diadukan segala kekusutan yang mencengkam jiwanya pada Sang Pencipta.

Basuhan pada anggota wudhuknya terhenti seketika. Baru teringat dirinya uzur. Maira menyelesaikan juga wudhuknya sebelum melangkah keluar dari bilik air lantas menghumbankan tubuhnya ke katil. Mengalir juga air matanya yang ditahan-tahan sejak tadi. Akhirnya dia tertidur dalam linangan air mata.

 

CANTIK betul anak mama hari ni. kalau papa dapat tengok Maira sekarang, mesti dia pun kagum sangat. Anak mama nampak macam Tuan Puteri Kayangan.” Puji Datin Salimah sambil menyeka mata yang sudah mula berair.

Maira hanya tersenyum tawar pada mamanya. Dialihkan pula pandangan pada wajahnya sendiri di cermin solek. Cantik mak andam menata rias wajahnya. Tetapi entah kenapa wajah itu turut dihiasi dengan kesedihan yang dalam. Jelas terpancar dari sepasang anak matanya. Mereka yang lain menganggap dia hanya bersedih kerana merindui papanya. Benar, dia sangat merindui papanya.

Tetapi, saat ini hatinya sedang menangis hebat kerana meronta tidak mahu diijab kabul dengan Hadif. Dan dalam masa yang sama, wajah Ari tidak berhenti-henti muncul dan menganggu layar ingatannya. Puas ditepis dan dihalau, masih juga senyuman itu hadir menambahkan galau di hati. Sedar tak sedar, entah sejak bila, Maira terpaksa mengakui… yang dia mencintai lelaki itu.

“Mama tunggu di bawah ya, sayang.” Ujar Datin Salimah sambil mengucup kepala anak perempuannya.

Maira tersentak, lalu mengangguk perlahan. Sekejap lagi majlis akad nikah akan berlangsung di rumah besar Dato’ Harun. Jemputan sudah riuh memenuhi ruang tingkat bawah rumah itu. Maira juga sudah siap disolek mak andam. Bakal pengantin baru itu menarik nafas dalam lalu menghembuskan keluhan panjang perlahan-lahan, berat betul hatinya hendak turun ke bawah.

       Mahu sahaja rasanya dia menguncikan diri di dalam bilik tanpa mneghiraukan semua tetamu. Tetapi pasti sahaja tindakan bodoh itu akan mengecewakan mamanya. Kedua-dua tangannya lantas digenggam erat, cuba mencari kekuatan. Dia berharap dirinya dapat mengawal emosi dan menyempurnakan majlis tersebut dengan baik.

Air mata yang begitu mudah mahu mengalir keluar disedut masuk semula sedalam yang boleh. Dipaksakan tubuhnya bangun berdiri untuk menyertai majlis yang sudah hampir dimulakan. Tetapi sebaik sahaja kedua-dua belah kakinya menekan dan memijak lantai untuk berdiri, serta merta tubuhnya jatuh terduduk kembali di kerusi. Maira mengerang kuat.

Tapak kakinya terasa sakit bukan kepalang, bagaikan terpijak puluhan paku tajam yang tercacak di lantai sewaktu berdiri tadi, membuatkan dia kembali terduduk. Dan sekarang dia terasa seolah-olah ada sesuatu yang sedang merobek-robek untuk menembus keluar, dari bahagian dalam tapak kakinya. Maira membelek tapak kakinya dengan wajah yang berkerut-kerut menahan sakit.

Kelihatan permukaan kulit tapak kakinya bergerak-gerak, seperti ada sesuatu di bawah lapisan kulit itu. Sakitnya tidak dapat digambarkan. Air mata sudah meleleh-leleh di pipinya. Ketakutan dan kesakitan yang dirasakannya sampai ke kemuncak apabila puluhan ekor ulat kecil dilihat mengoyak dan menembusi kulit tapak kakinya. Menitik-nitik darah dan ulat-ulat kecil yang keluar dari kakinya itu jatuh ke lantai. Terjerit-jerit Maira dibuatnya.

 

MAIRA terkejut bangun dari tidur sambil menjerit. Ditendang-tendangnya selimut yang menutupi tubuh dan kakinya hingga jatuh ke lantai.

“Maira?! Maira?! Kenapa ni?! Kenapa sayang?!” Soal Datin Salimah yang kelam kabut menerpa ke bilik anak perempuannya selepas terdengar bunyi jeritan.

Lampu di dinding dinyalakan sehingga keseluruhan bilik menjadi terang-benderang. Laju dia mendapatkan Maira yang masih terkebil-kebil di katil.

“Kenapa sayang? Kenapa Maira menjerit?” Soalnya lagi.

Dibeleknya wajah dan tubuh anaknya atas ke bawah. Bimbang disengat binatang berbisa atau apa. Maira yang tadinya terpinga-pinga memandang ibunya pantas menarik kakinya dan memeriksa keuda-dua belah bahagian tapak. Tiada apa di situ.

Baru dia sedar yang tadi dia hanya bermimpi. Mimpi yang terasa begitu nyata. Kesakitan dan keperitan apabila setiap ekor ulat itu mengopek tapak kakinya tadi benar-benar terasa begitu nyata.

“Maira mimpi buruk ma….” Rintihnya sambil memeluk tubuh mamanya erat.

Datin Halimah mengusap-usap kepalanya perlahan.

“Maira mimpi apa sayang? Sampai menjerit-jerit macam tu?” Soal mamanya risau.

Maira melonggarkan pelukannya dan memandang wajah gusar mamanya. Kemudian kepalanya digeleng perlahan. Dia tidak mahu ibunya susah hati atau berfikir bukan-bukan tentang mimpi anehnya itu.

“Tak nak cerita dengan mama?” Datin Halimah masih cuba mencungkil rahsia.

Err…tak..Maira tak ingat ma…” Jawab Maira, cuba berdalih.

Hmm..takpelah.. jom, tidur dengan mama kat bilik mama ya?” Ajak Datin Salimah.

Maira mengangguk lemah. Mereka berpimpin tangan menuju ke bilik Datin Halimah.  Ujian apa pulalah yang bakal menjenguk keluarga mereka selepas ini. Tuhan, permudahkanlah…

 

HAH?! Kau nak percepatkan pernikahan kau dengan Hadif?!” Soal Rania di hujung talian.

Berdesing telinga Maira mendengar Rania menjerit di telefon. Pagi-pagi lagi dia sudah melaporkan perkara terseut kepada sahabat baiknya itu. Berharap dapat menumpang sedikit kekuatan dengan mengadukan rasa hatinya.

“Bukan aku…. mama dengan Hadif…” Balas Maira.

“Bila?!” Soal Rania lagi.

“Mama dengan keluarga Hadif dah setuju untuk akad nikah di pejabat agama hujung bulan ni… kenduri tak tahu lagi bila..” Jelas Maira lemah.

Air mata yang ditahan terasa kembali mahu mengalir keluar.

“Hah?! Tak sampai tiga minggu pun lagi. Tak cepat sangat ke? Kan arwah papa kau pun baru je meninggal…?” Soal Rania, tidak faham dengan berita yang baru didengarnya.

“Pada mama dengan Hadif, lebih selamat kalau Hadif tinggal dengan kitorang kat rumah ni, sebagai suami aku. Kau tahu kan, orang yang serang papa dengan Kak Suri masih bebas..” Jelas Maira lagi.

Suaranya sudah serak-serak menahan tangis. Rania terdiam seketika. Mula menghubungkan maklumat-maklumat yang diterimanya untuk memahami duduk perkara sebenar.

“Kau…ok tak ni..?” Rania kembali bersuara.

“Kau…nak nikah dengan Hadif? Aku ingat…kau suka kat Mus…” Tambahnya lagi.

Maira hanya menjawab soalannya dengan suara tangisan. Rania mengeluh perlahan.

“Aku ada mesyuarat penting hari ni…nanti lepas kerja aku pergi rumah kau ea.. “ Pujuk Rania.

Maira mengangguk-anggukkan kepalanya, walaupun jelas sekali sahabatnya itu tidak dapat melihat anggukannya di hujung talian.

“Assalammualaikum…” Ujarnya seraya menamatkan panggilan.

Maira menekup mukanya dengan bantal dan menangis sepuas-puasnya. Matanya sudah tidak tertahan lagi mahu mengalirkan air jernih itu, tetapi dalam masa yang sama dia bimbang mamanya dapat mendengar suara tangisannya.

 

       MAIRA…” Panggil Datin Salimah sambil mengetuk pintu bilik yang terkunci.

Maira bingkas bangun dari posisi menyembam di atas katilnya. Serta-merta tangisannya dihentikan dan suaranya dikawal sebaik mungkin.

Ye ma….” Sahutnya dari dalam bilik.

“Maira buat apa tu? Jom turun makan..Pak Saad dah belikan sarapan tu…” Balas mamanya.

Ok ma…sekejap lagi Maira turun.” Sahutnya kembali.

Pantas dia meletakkan kedua belah kaki ke lantai, bersedia untuk bangun dari katil dan membersihkan wajah di bilik air sebelum turun ke bawah. Tetapi, sebaik sahaja dia berdiri, Maira menjerit kesakitan.

Arghhh…!” Maira terduduk semula di katil.

Datin Salimah yang baru sahaja berpusing untuk melangkah pergi, kembali merapati pintu bilik anaknya.

“Maira? Kenapa tu?” Panggilnya dari sebelah luar.

Maira cuba berdiri lagi untuk mendapatkan pintu bilik yang masih berkunci. Tetapi sekali lagi dia terduduk sambil menjerit sakit. Lantai biliknya terasa begitu tajam menyucuk tapak kakinya. Dia langsung tidak boleh berdiri!

Nafas Maira sudah mula tidak stabil. Dicubanya lagi beberapa kali untuk berdiri, tetapi tidak berjaya. Kakinya betul-betul sakit. Air mata merembes keluar seiring rasa sakit di tapak kakinya. Datin Salimah masih mengetuk pintu dan memanggil namanya dengan panik di luar bilik.

“Maira? Kenapa tu? Pintu kunci ni, mama tak boleh masuk!” Panggilnya lagi.

“Ma…! Kaki Maira sakit ma! Maira tak boleh bangun…!” Panggil Maira dari dalam bilik sambil menangis.

“Hah?! Kaki sakit?! Tak boleh bangun?!?” Datin Salimah benar-benar panik.

Ligat otaknya cuba mengingat di mana dia menyimpan kunci pendua bilik. Situasi cemas itu membuatkan dia tidak dapat berfikir dengan baik. Tangannya sudah mula menyentak-nyentak tombol pintu. Tetapi pintu bilik itu terlalu kukuh untuk tenaga wanitanya.

“Maira tunggu sekejap mama panggil Pak Saad!” Laung Datin Salimah.

Laju terdengar derapan kakinya melangkah turun, dari dalam bilik. Maira masih menangis, kesakitan dan kebingungan. Dipegang kedua belah kakinya yang terasa panas dan pedih. Apabila dia cuba berpijak, sakit itu bertukar menjadi sakit menyucuk yang tidak terhingga.

Benar-benar seperti berdiri di atas puluhan jarum tajam. tapak kakinya langsung tidak boleh mencecah lantai. Setelah berfikir seketika, Maira cuba menjatuhkan punggungnya ke lantai. Kemudian dia mengesot perlahan-lahan ke arah pintu bilik.

Sementara itu, di bawah, Datin Salimah terpekik-pekik berlari keluar memanggil nama Pak Saad. Kebetulan juga waktu itu kereta Mus bergerak memasuki perkarangan rumah besar itu. Pada masa yang sama juga Pak Saad kelihatan terburu-buru keluar dari rumahnya.

“Kenapa ni datin?” Soal Pak Saad cemas.

“Kenapa ni?” Soal Mus pula.

Lelaki itu baru mendekati mereka berdua. Tujuan dia ke situ pada pagi itu adalah untuk memulangkan baju Pak Saad yang dipinjamnya tempoh hari. Sudah dibasuh bersih dan dilipat kemas. Sarapan pagi juga dibawanya sebagai buah tangan. Sudahnya semuanya ditinggalkan di dalam kereta. Kelam-kabut dia keluar mendapatkan Datin  Salimah yang dilihatnya terpekik-pekik berlari keluar rumah.

“Maira! Maira terkunci dalam bilik. Katanya kakinya sakit tak boleh berdiri.” Ujar Datin Salimah kelam kabut.

Pak Saad dan Mus saling berpandangan seketika sebelum masing-masing bergegas masuk ke dalam rumah dan berlari menuju ke tingkat atas.

“Mama….! Mama….!” Panggil Maira yang masih mengesot di lantai. Pintu bilik sudah berjaya dibuka.

“Ya Allah Maira…kenapa ni…?!” Jerit Pak Saad.

Terkejut dia dan Mus melihat Maira mengesot begitu. Datin Salimah tercungap-cungap muncul di belakang mereka berdua sesudah berlari menaiki tangga.

“Kaki Maira…kaki Maira sakit sangat.. tak boleh berdiri. Tak boleh pijak.” Tangis Maira.

“Hah? Kenapa tiba-tiba macam ni? Ada binatang berbisa gigit ke?” Soal Pak Saad cemas.

“Kita ke klinik dululah.” Gesa Mus, bimbang dengan keadaan gadis itu.

Datin Salimah mendapatkan Maira. Dipapahnya Maira, cuba untuk membantunya bangun.

Arghhh…!” Jerit Maira lagi sebaik sahaja kakinya berpijak di lantai.

“Sakit! Sakit ma…” Teresak-esak dia menangis menahan sakit.

Batang tubuh ibunya diruntun kuat sebelum dia kembali melorot dan terduduk di lantai.

“Ya Allah…macam mana ni Saad, Mus…??” Datin Salimah turut menangis melihat keadaan anak perempuannya.

Entah apa yang tidak kena, tiba-tiba sahaja sakit begitu. Mus meraup wajahnya risau.

“Saya angkat ya?” Ujarnya tergagap-gagap. Bercampur-baur perasaan risau, bimbang, runsing, dan serba-salah.

“Cepat Mus…!” Ujar Datin Salimah mengizinkan lelaki itu membantu.

Pak Saad juga mengangguk-anggukkan kepalanya menyetujui cadangan anak muda itu. Mujur juga lelaki itu ada di situ ketika itu. Jika diharapkan tubuh tuanya, belum tentu dia mampu mengendong gadis itu turun ke bawah. Teragak-agak Mus menyentuh Maira. Dicempungnya gadis itu erat sebelum berlari turun ke bawah menuju ke kereta. Maira pula mencengkam kuat baju Mus bagi mengelakkan dirinya terjatuh.

“Datin pergi dulu, naik kereta Mus. Saya kunci pintu rumah, nanti saya ikut belakang.” Pesan Pak Saad pada Datin Salimah.

“Tudung! Tudung Maira!” Jerit Maira dari dalam kereta. Baru tersedar keadaan dirinya dalam situasi kelam kabut itu.

“Ya ya…Pak Saad ambilkan.” Sahut orang tua itu.

Kereta Mus meluncur laju menuju ke hospital. Diekori pula dengan kereta Dato’ Harun yang dipandu oleh Pak Saad.

 

KERUSI roda Maira ditolak dengan berhati-hati oleh Mus ke dalam rumah. Maira kelihatan lebih tenang setelah disuntik dengan ubat penahan sakit. Rasa panas dan pedih di kakinya sudah hilang. Tetapi dia masih juga tidak dapat berdiri. Setiap kali tapak kakinya berpijak di lantai, dia akan berasa sakit ditusuk benda tajam. Akhirnya dia terpaksa menggunakan kerusi roda.

Masing-masing bingung dengan penyakit yang menyerang Maira secara tiba-tiba itu. Doktor sendiri pun tidak dapat memastikan punca kesakitan yang dirasakan gadis itu. Melalui pemeriksaan yang dijalankan, tiada apa yang tidak kena pada kakinya. Semuanya berada dalam keadaan baik dan normal. Sinar-X juga telah dibuat, oleh Hanim, sahabatnya sendiri. Sampel juga telah diambil untuk ujian darah.

“Sekejap mama siapkan bilik tamu untuk Maira.” Ujar Datin Salimah sambil beredar menuju ke bilik tetamu yang berada di tingkat bawah rumah tersebut.

“Saya tolong aunty..” Tawar Rania.

Gadis itu bergegas ke hospital setelah mendapat tahu keadaan Maira melalui Hanim. Habis ditinggalkan mesyuarat di pejabatnya tadi kepada pembantunya. Risau betul dia dengan keadaan sepupunya itu.

Kejap Pak Saad ambilkan air untuk kamu.” Ujar Pak Saad pula sebelum beredar ke ruang dapur.

“Eh..Pak Saad… takpe saya… tak dahaga..” Mus bercakap sendirian menghadap susuk tubuh Pak Saad yang sudah menghilang di sebalik dinding.

Tinggallah Mus dan Maira berdua di ruang tamu.

Err….” Kedua-duanya bersuara serentak.

Mus tersenyum.

“Ara nak cakap apa, cakaplah.” Ujar Mus, memberi laluan untuk gadis itu berbicara terlebih dahulu.

Err… terima kasih… tolong Ara..” Ujar Maira perlahan.

Air liur ditelan. Tiba-tiba teringat pula situasi cemas sewaktu lelaki itu mendukungnya tadi. Dalam keadaannya tidak bertudung pula tu. Nasib baik dia memakai baju lengan panjang dan seluar panjang. Buatnya dia tengah pakai gaun tidur separas lutut tadi? Iya lah, sedang berada di dalam rumah berdua sahaja dengan ibunya.

Wajahnya mula merona merah. Malu sendiri mengingatkan keadaan itu. Kalau kakinya sudah tidak sakit, pasti dia sudah berlari naik ke bilik untuk menyembamkan mukanya ke bantal. Malu!

Err…tak ada apa lah…” Jawab Mus, turut menelan air liur.

Spontan situasi tadi turut bermain semula di kotak fikirannya.

Err… sakit lagi kaki Ara?” Soalnya kembali, cuba mengalih topik.

“Sekarang tak sakit dah. Rasa panas, pedih tu dah tak ada. Tapi bila pijak, rasa macam pijak jarum banyak..” Terang Maira.

“Pelik juga…doktor pun tak tahu kenapa dengan kaki Maira..” Sampuk Pak Saad yang tiba-tiba muncul dengan sedulang air.

“Itulah…bergerak semua boleh…cuma tak boleh berdiri, tak boleh pijak.” Sahut Maira sambil menggerak-gerakkan kedua-dua kakinya.

“Maira…masuk baring dulu ya, rehat.” Tegur Datin Salimah yang baru muncul bersama Rania.

“Jom, aku temankan kau.” Ujar Rania sambil menolak kerusi roda Maira ke bilik tetamu.

Datin Salimah kemudian melabuhkan punggungnya di sofa.

“Tak tahu macam mana nak terima kasih dengan Mus. Selalu ada untuk tolong kami.” Ujarnya pada anak muda itu.

Takpe datin… saya senang boleh hulurkan bantuan waktu-waktu macam ni.” Balas Mus sopan.

Masing-masing terdiam seketika. Wajah Datin Salimah jelas menunjukkan kerisauan. Satu demi satu ujian datang bertimpa-timpa. Belum selesai satu masalah, sudah tiba yang lain.

“Maaf datin…tapi…saya rasa, elok kalau kita cuba ikhtiarkan untuk bawa Maira berubat ke Pusat Perubatan Islam.” Pak Saad bersuara.

Dia tahu, majikannya itu tidak begitu percaya dengan perkara-perkara mistik. Tetapi, melalui hemat pandangannya sebagai orang tua yang lebih dahulu makan garam, sakit Maira bukan sakit biasa. Bahkan doktor sendiri pun tidak dapat mengenal pasti masalah yang dialaminya.

Err…saya pun setuju dengan pendapat Pak Saad tu…” Ujar Mus menyokong.

Terkebil-kebil seketika Datin Salimah memandang wajah mereka berdua. Ligat otaknya cuba memproses cadangan yang diberikan. Mungkin dia patut mendengar nasihat mereka. Lagipun, hanya mereka sahajalah tempat dia bergantung harap pada ketika ini. Tidak pula dia teringatkan bakal menantunya waktu-waktu begitu.

Kemudian kepalanya diangguk-anggukkan perlahan, tanda bersetuju dengan cadangan yang diberi. Dia tidak mahu melihat Maira lama-lama menderita sakit begitu. Siksa hatinya melihat anak kesayangannya menanggung sakit. Jika Perubatan Islam boleh membantu menyembuhkan anak gadisnya itu, apa salahnya mereka mencuba.

“Kalau macam tu, esok pagi saya boleh datang tolong bawakan datin dan Maira ke Pusat Perubatan tu.” Tambah Mus setelah dilihatnya wanita itu menganggukkan kepala tanda bersetuju.

“Mus tak kerja ke esok?” Sampuk Pak Saad.

“Saya boleh ambil cuti. Kesian Maira sakit sampai tak boleh berjalan..” Ujarnya sedikit sebak.

“Terima kasih Mus…” Ujar Datin Salimah, terharu.

“Kalau macam tu esok pagi kita sama-sama pergi ya..?” Ujar Pak Saad pula.

Masing-masing menganggukkan kepala. Besar harapan di hati agar perubatan Islam dapat membantu menyembuhkan Maira.

Err…kalau macam tu, saya minta diri dulu ya datin, Pak Saad.” Ujar Mus.

Haa…yelah..kamu pun dah hampir seharian di hospital hari ni.” Sahut Pak Saad.

“Tak jumpa Maira dulu?” Soal Datin Salimah.

Takpelah datin..biar dia rehat.. esok pagi saya datang lagi, inshaAllah.” Tolak Mus sopan.

Tangannya dihulur untuk bersalam dengan Pak Saad.

Ha..yelah..hati-hati bawa kereta ya Mus…” Pesan Datin Salimah sambil menemani anak muda itu ke pintu depan.




No comments:

Post a Comment