ARA ARI, dARAhmu kucARI
Bab
13
“HELLO baby….
buat apa tu?” Soal Hadif sebaik sahaja panggilan telefonnya dijawab.
“Err…tak ada buat apa…
baring-baring rehat…” Jawab Maira.
“Baby
dah lunch dah?” Soal Hadif lagi.
“Belum.. sekejap lagi.. err…Maira
tak berapa sihat…” Ujarnya memaklumkan keadaannya.
Sudah berkali-kali lelaki itu berpesan
padanya untuk memberitahunya terlebih dahulu sekiranya berlaku apa-apa.
“Hah? Tak sihat? Kenapa ni? You demam ke sayang?” Hadif mula risau.
“Tak..tak demam… tapi tak tahu kenapa
kaki Maira ni tiba-tiba sakit… Maira tak boleh berdiri…” Jelasnya satu-persatu.
“Hah?! Tak boleh berdiri?!” Hadif mula
kelam kabut.
“Teruk tu… sayang siap-siap dulu
sekejap lagi I datang ambil, kita
pergi hospital.” Sambungnya lagi, memberi arahan.
“Err..dah…dah pergi dah tadi…
doktor cakap tak ada apa-apa pun..semuanya normal. Dia pun tak tahu kenapa
Maira rasa sakit sampai tak boleh berjalan…” Jelas Maira terputus-putus. Risau
dimarahi kerana tidak memaklumkan keadaannya lebih awal.
“Doktor tak tahu…?” Hadif terdiam
seketika.
“Pergi hospital mana tadi?” Soalnya
lagi.
“Tempat kerja Maira…” Jawabnya pendek.
“Pak Saad bawakan ea?” Hadif terus
bertanya.
“Err..ha’ah..Pak Saad…dengan..
err..” Maira serba salah.
Suasana senyap seketika sebelum Hadif
kembali bersuara.
“Mus?” Tekanya.
Maira mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Err..ha’ah…kebetulan dia datang
hantar baju Pak Saad…” Jawabnya jujur.
Kedengaran Hadif menarik nafas panjang
di hujung talian.
“Kan
I dah cakap…kalau ada apa-apa, bagitahu I
dulu…bukan that guy!” Ujar Hadif
sebal.
“Maaf…maaf… Maira tengah sakit tadi..”
Ujar Maira dengan suara yang sedih.
Hadif terdiam. Rasa marah yang mula
menyerbu tadi mula terpadam dengan suara lembut gadis yang dicintainya itu.
Memang Maira pandai menyejukkan hatinya. Cepat sahaja dia meminta maaf.
“Kejap lagi I sampai.” Ujar Hadif sebelum menamatkan panggilan telefon.
“Hmm…kenapa? Kau kena marah?”
Tanya Rania yang sedang berbaring mengiring di sampingnya sambil menongkat
kepala.
Maira memuncungkan mulutnya dan
mengerutkan dahinya kepada sepupunya itu. Pura-pura sedih menyebik. Rania
ketawa.
“Kau tak payah nak buat muka macam tu
lah. Hishh! Macam susu basi. ” Ujarnya.
Maira turut ketawa lucu.
“Hmm…cemburu aku dengan kau…”
Bual Rania.
“Cemburu?” Maira mengangkat sebelah
kening.
“Iye…cemburu…. ramai yang sayang
kau…ambil berat dengan kau…” Ujar Rania.
Maira terdiam. Hati kecilnya mengakui
apa yang dikatakan Rania. Benar, dia perlu bersyukur.Walaupun dia lahir ke
dunia ini sendirian, tanpa keluarga dan saudara yang bertalian darah, tetapi
dia dikurniakan mama dan papa yang baik. Kebajikannya terjaga rapi, dan dia
menerima kasih sayang yang cukup dari mereka.
Dia juga ada sahabat-sahabat yang baik
seperti Ari, Rania, Hanim dan Hani. Memang dia sedang diuji bertindih-tindih
ketika ini, tetapi bukankan Allah uji sebab Allah sayang…? Dia yakin tentang
itu. Lagipun, dia tidak bersendirian. Orang-orang yang dia sayang ada
bersamanya.
“Alhamdulillah…terima kasih ya Allah…”
Hatinya berbisik kepada Tuhannya.
“Aku pun teringin juga… ada tunang, ada
kawan karib yang handsome risaukan
aku, ambil berat pasal aku…” Sambung Rania, sambil tayang muka monyok.
Maira mengulum senyum.
“Muka dia lagi teruk dari susu basi.”
Umpatnya sendiri dalam hati.
“Dah…kau tak payah mengada. Kau tu
bukan tak ada yang cuba masuk line…
kau yang jual mahal. Taste tinggi
bukan main…” Ujar Maira, mengusik.
Memang dia sudah tahu benar dengan
citarasa Rania terhadap lelaki. Mahunya hanya pada lelaki yang kacak dan kaya
sahaja, tidak kurang dari itu. Setandinglah dengan perawakannya yang cantik,
dan keluarganya yang berada.
“Ishh…mestilah.. nak tengok
hari-hari kan…kalau tak kacak, rosaklah mata aku nanti…” Balas Rania sambil
ketawa.
Spontan pehanya dicubit Maira.
“Gatal…!” Pekiknya perlahan.
Berhambur ketawa mereka berdua. Terlupa
sebentar Maira pada keadaannya yang tidak boleh berjalan atau berdiri.
“Rania….” Panggil Maira setelah ketawa
mereka reda.
“Hmmm…?” Sahut Rania sambil
memeluk bantal.
Malas rasanya untuk kembali masuk ke
pejabat. Kalau boleh mahu sahaja dia tidur di situ sekarang.
“Aku sayang kau tau… sayang
sangat-sangat…” Luah Maira penuh perasaan.
Rania terdiam seketika. Tersentuh
dengan pengakuan sahabat baiknya itu.
“Ehh…sorry… aku tak layan perempuan eh.. aku minat lelaki je..” Ujar
Rania dengan muka serius.
Maira terpinga-pinga sejenak, sebelum
mula menangkap jenakanya. Langsung dipukulnya gadis itu dengan bantal.
“Hishhh…! Kau ni kan….!!” Marah
Maira.
“Kau tu bukan boleh harap sangat.
Dahlah kita berdua-duaan je atas katil ni. Aku takut kau tak tahan dengan
kecantikan aku ni.” Sambung Rania, masih belum habis mengusik.
“Gelilah oii…!!!” Pekik Maira.
Pecah lagi ketawa mereka berdua.
“Amboi… suka betul diorang… apa
yang lucu sangat tu?” Tegur Datin Salimah yang baru melangkah masuk ke bilik.
“Rania ni ma… mengada tak habis.”
Pantas Maira mengadu.
Rania hanya tersengih dengan muka tidak
bersalah.
“Eh.. Rania gerak dululah aunty… Rania kena masuk office balik ni…” Ujar Rania sambil
membelek jam di tangan.
“Nanti esok aku datang lagi ea.”
Pandangannya dialihkan pada Maira.
Mereka berdua mengangguk-anggukkan
kepala.
“Kau jaga diri tau. Apa-apa call aku ok?” Pesannya sambil mengucup kepala Maira penuh kasih.
Datin Salimah menemankan Rania hingga ke pintu
depan.
“Err… aunty…” Ujar Rania sebelum melangkah keluar. Datin Salimah
memberikan perhatian kepada anak saudaranya itu, menunggu butir bicara yang
seterusnya.
“MAMA tidur dengan Maira kat bilik bawah ni
ya?” Pinta Datin Salimah.
Maira mengangguk-anggukkan kepalanya
sambil memeluk mamanya.
“Terima kasih ma…” Sahutnya manja.
Hari sudah pun malam. Dari tadi,
mamanya itulah yang membantunya bergerak ke sana ke mari, ke tandas dan
sebagainya menggunakan kerusi roda. Tadi Hadif datang dengan membawa kerusi
roda baru untuknya. Kerusi roda yang dipinjam dari hospital tadi juga dibawa
oleh Hadif untuk dipulangkan semula.
Tunangnya itu juga memaklumkan telah
mengupah seorang jururawat peribadi untuk memudahkan pergerakannya di rumah.
Jururawat itu akan tinggal dan bekerja di rumah mereka sepenuhnya sehingga
Maira sihat mulai esok. Suram wajah Hadif melihat kekasih hatinya sakit begitu.
Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja
dia tidur di situ dan membantu menguruskan Maira sendiri. Tetapi
terang-teranglah gadis itu menolak. Tidak manis begitu. Mereka belum ada ikatan
yang sah.
“Sayang…mama dah setuju dengan cadangan
Pak Saad…nak bawa Maira cuba berubat di Pusat Perubatan Islam…” Ujar Datin
Salimah sambil mengusap-usap lengan anak daranya.
Maira mula memberikan perhatian kepada
mamanya.
“Esok…Mus datang ambil kita dengan Pak
Saad pergi ke sana.” Terangnya lagi.
Maira menelan air liur.
“Err…kena pergi ke mama…?” Soal
Maira kembali.
Datin Salimah memandang wajah anaknya
hairan. Terangkat kedua belah keningnya.
“Kalau…tak pergi…tak boleh ke…?”
Soalnya lagi dengan nada perlahan.
Entah kenapa, tiba-tiba dadanya jadi
berdebar-debar. Rasa takut pula hendak pergi ke Pusat Perubatan Islam. Dia mula
mencari akal untuk mengelak dari pergi berubat. Tetapi itulah Aimy Humaira,
kalau nak membantah kata mama dan papanya, bukan Mairalah namanya tu.
“Kenapa Maira tak nak pergi?” Soal
Datin Salimah pelik.
Anaknya itu bukanlah jenis yang tidak
percaya perkara-perkara mistik seperti dia dan suaminya. Mereka tahu, kewujudan
makhluk di alam sebelah sana itu benar, tetapi selagi tak nampak dengan mata
kepala sendiri, susah betul mahu mengakuinya.
Apa lagi tentang perbuatan dengki
khianat manusia yang menggunakan khidmat bomoh untuk mmenyihir dan sebagainya.
Pada mereka, zaman sekarang dah taka da lagi benda-benda macam itu. Sudah
lapuk.
Maira hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya sebagai jawapan kepada soalan ibunya. Dia sendiri pun tidak pasti
kenapa dia rasa berat untuk pergi.
“Kita cubalah ya, sayang….” Lembut
Datin Salimah memujuk anak gadisnya.
“Kan selalu Maira yang cakap dengan
mama, semua yang kita ada, semua Allah yang beri. Setiap perkara yang terjadi,
semuanya berlaku dengan izin Allah. Tapi… kita dituntut untuk berusaha, berdoa,
dan bertawakal…kan?” Syarah mamanya panjang lebar.
Maira terdiam sejenak.
“Ye ke Maira ceramah panjang
macam tu kat mama?” Soalnya kembali sambil buat muka kelakar.
“Iye…tak tahu ya? Anak mama ni
memang suka bagi ceramah dekat mama dengan papa dia…” Kata Datin Salimah sambil
tergelak.
Maira mengelip-ngelipkan matanya,
konon-konon buat muka comel. Datin Salimah ketawa lagi melihat anak daranya
seorang itu.
“Terima kasih sayang….” Ujar Datin
Salimah sambil mengelus rambut Maira penuh kasih sayang.
“Hmm? Terima kasih kenapa, ma?”
Soal Maira tidak faham.
Datin salimah terdiam seketika.
“Terima kasih sebab tak jemu-jemu cuba
buat mama dan papa kembali dekat dengan Tuhan… kembali pada cara hidup yang
Tuhan redha…” Suaranya mendadak berubah sebak.
“Maira tahu tak… sebelum papa
meninggal…, papa berubah sangat. Papa ajak mama solat sama-sama…” Bicaranya
terhenti.
Rasa sebak dan pilu memukul-mukul
dinding dadanya. Teringat saat-saat indah bersama suami tercinta di penghujung
hidupnya.
“Panjang papa berbual dengan mama… papa
minta…mama ikut dia…sama-sama dengan dia.. kembali mendekatkan diri dengan
Tuhan…” Sambungnya lagi dengan suara yang hiba.
“Papa bagitahu mama, dia betul-betul
rasa tersentak sewaktu mendengar ceramah agama yang Maira kongsikan di media
sosial…” Datin Salimah meneruskan ceritanya.
“…dan…kematian Kak Suri betul-betul
menyedarkan dia.., yang ajal itu sangat dekat…” Tambahnya lagi.
Maira hanya mendengar dengan khusyuk.
Air mata turut berlinang di pipinya mengenangkan arwah papa yang sangat
dicintai.
“Mama harap sangat…Allah terima taubat
papa…dan mama…ampunkan dosa-dosa kami yang lama hanyut dengan dunia…” Datin
Salimah sudah mengesak perlahan.
Maira mengeratkan pelukannya di tubuh
ibunya. Menangis kedua-dua beranak itu berpelukan. Tenggelam dalam seribu satu
rasa yang sedang bercampur-baur dalam hati yang sekeping. Resah, runsing dengan
ujian yang sedang melanda keluarga mereka. Rindu, hiba, mengenangkan pemergian
suami dan ayah tersayang. Sedih, takut, mengenangkan dosa-dosa semalam.
Berbesar hati, bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah yang tidak
terhitung.
Malam itu, detik itu… sewaktu mereka
berpelukan menangis bersama, juga adalah dengan izin Allah Azzawajalla. Atas
kebesaran rahmat Yang Maha Pengasih, mereka dapat merasakan nikmat berkasih
sayang. Allahu Akbar….Allah Maha Besar.
“Maira tahu tak… ayat terakhir papa
pada mama sebelum dia pergi…” Datin Salimah melonggarkan dakapannya setelah
tangisan mereka mulai reda.
“Saya sayang awak, saya sayang Maira….
Itu ayat terakhir arwah papa…” Sambungnya lagi.
Pantas dia menyeka air mata yang laju
mengalir turun.
“Papa sayang kita sayang….” Ujarnya
lagi. Tersenyum dalam tangisan.
Dikucupnya ubun-ubun anak kesayangannya
itu lembut.
“Dah…mama nak naik solat sekejap… nanti
mama turun temankan Maira tidur ya. Maira cubalah tidur dulu, rehatkan badan
tu.” Pintanya pada sang anak.
Maira mengangguk perlahan sambil
mengesat mata.
Datin Salimah bingkas bangun menuju ke
biliknya di tingkat atas. Tidak tertahan lagi rasa hati mahu bersendirian
menghamburkan rasa rindu pada arwah Dato’ Harun yang mencengkam jiwa di hadapan
Penciptanya. Akan diadukan pada Tuhannya segala rasa yang tersembunyi di
sebalik dadanya kepada Yang Maha Mendengar.
Maira termenung sejenak sebelum dikejutkan
dengan bunyi panggilan di telefon bimbitnya. Nama Ari tertera di skrin telefon.
Panggilan dijawab dengan rasa berdebar.
“Hello
Assalammualaikum….” Sapanya sebaik butang jawab ditekan.
“Waalaikumsalam…. Ara… Ari ni…”
Kedengaran suara Mus di hujung talian.
“Dah kenapa pulak aku bagitahu.
Mestilah naik nama aku kat telefon dia.” Bisik Ari sendirian sambil menepuk
dahi.
“Err…Ara macam mana rasa sekarang?
Kaki macam mana?” Soalnya kelam kabut, cuba menutup kesilapan tadi.
“Emm…Alhamdulillah…rasa panas,
pedih tu memang dah takde… tapi Ara masih belum dapat pijak lantai juga lagi…”
Lapor Maira telus.
“Emm…datin dah bagitahu, esok
Ari datang ambil Ara?” Soalnya lagi, masih runsing dengan keadaan kesihatan si
pemilik hati.
“Dah…” jawab Ara pendek. Masih berasa
berat hati mahu pergi.
“Emm… Ara…kalau boleh…Ara cuba
banyakkan baca al-Baqarah dulu ya sementara ni…” Pinta Mus lembut.
“Err…” Maira serba salah mahu
menjawab.
“Kalau Ara tak boleh baca, Ara pasang
dekat telefon pun tak apa…pasang kuat-kuat. Biar lari berterabur semua jin
syaitan.” Tambahnya lagi, segera dapat menangkap maksud Maira yang sedang uzur.
“Sempat buat lawak ea…” Tegur
Maira yang terasa agak lucu dengan kata-kata Mus.
“Eh, lawak ke? Ara tak gelak pun….”
Ujarnya dengan suara yang pura-pura sedih.
Langsung Maira tergelak dengan
reaksinya. Senang hati Mus mendengar suara riang kekasih hatinya.
“Emm..kalau macam tu…Ari je lah
bacakan untuk Ara… Ara buat loudspeaker,
pasang kuat-kuat.” Pinta Maira, sengaja mengambil kesempatan. Waktu-waktu sakit
macam ni memang waktu yang terbaik untuk mengada-ngada.
“Ha? Macam tu ke?” Soal Mus kembali.
Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.
“Ok..ok…
Ara tunggu sekejap, Ari ambil wudhuk dulu.” Ujarnya lagi setelah berfikir
sejenak.
“Ok..Ara
tunggu…” Jawab Maira riang. Suka, permintaannya dituruti.
Mus bergegas ke bilik air, panggilan
telefon tidak dimatikan. Maira dapat mendengar bunyi dia mengambil wudhuk di
bilik air.
“Ok…Ari
dah ready.” Ujar Mus selepas beberapa
ketika.
“Ok...bacalah…”
Pinta Maira.
“A’udzubillhiminassyaitonirrojim…..
Bismillahirrahmanirrahim….”
Mus memulakan bacaannya.
Maira berbaring di sebelah telefonnya
yang diletakkan di katil. Matanya dipejamkan, menghayati bacaan Mus. Lunak
merdu suaranya mengalunkan ayat suci al-Quran itu. Sangat mendamaikan.
Datin Salimah melangkah masuk ke bilik
tetamu untuk bersiap tidur. Dilihatnya anak gadisnya sudah terlena dengan
bacaan al-Quran yang masih terpasang di telefon. Ditariknya selimut menutupi
tubuh anaknya. Wajah tenang Maira yang sedang tidur nyenyak ditatap penuh
kasih. Kemudian dicapai pula telefon bimbit anaknya, baru dia perasan tertera
nama Ari pada paparan panggilan di skrin.
Rupanya bacaan merdu itu bukan dari Youtube atau aplikasi al-Quran, tetapi
suara Mus. Diam-diam dia berasa kagum dengan suara bacaannya anak muda itu yang
mendayu-dayu. Begitu menenangkan. Begitu menimbulkan kesedaran pada keagungan
Tuhan Yang Esa.
Terdetik perasaan keibuannya, alangkah
bahagianya rasa hati, jika anak muda itu yang bakal menjadi suami Maira.
Dapatlah dia tenang meninggalkan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu
dalam jagaan suami yang baik agamanya dan akhlaknya. Akhirnya dibiarkan sahaja
panggilan tersebut, sambil turut sama berbaring di sisi anaknya. Entah bila dia
terlelap dalam alunan suara anak muda itu, dia sendiri pun tidak pasti.
“Sadaqallahul’azim….” Mus
menamatkan bacaannya.
“Ara…psst…Ara…?” Panggilnya
dengan nada berbisik.
“Dah tidur agaknya…” Fikirnya sendiri.
“Selamat malam Ara… Ari sayang Ara sangat…” Bisiknya lagi, begitu
pasti tiada siapa yang mendengar luahan hatinya.
Lalu panggilan telefon dimatikan.
Naskhah suci al-Quran di papan rehal di
atas sejadahnya dialihkan ke tepi, lalu perlahan dia berdiri menunaikan solat
hajat. Dalam sujudnya, lelaki itu merintih-rintih dan merayu-rayu meminta
kesembuhan Maira pada Tuhannya.

No comments:
Post a Comment