Wednesday, April 24, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 7)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI


Bab 7

MAIRA terkebil-kebil merenung siling. Entah kenapa tidurnya tidak lena malam itu. Semasa menunggu Rania siap mandi tadi, sudah nyenyak tidurnya. Sampai sempat bermimpi.

Tetapi selepas membersihkan diri dan bersolat, dia mengalami kesukaran untuk tidur pula. Padahal tubuhnya terasa letih seharian berjalan. Puas dia berkalih-kalih ke kiri dan kanan, matanya masih tidak mahu terlelap. Sudahnya dia hanya berbaring merenung siling.

Mengikut jadual, esok adalah hari terakhir mereka di Seoul. Pagi esok mereka akan mendaftar keluar dari hotel, dan mereka akan dibawa melawat Itaewon Mosque, masjid pertama yang dibina di Korea Selatan. Seterusnya mereka akan dibenarkan membeli-belah barangan cendera mata di Namdaemun Market, dan Dongdaemun Shopping Street.

Pada sebelah malamnya pula mereka akan menaiki penerbangan pulang ke Malaysia. Sedih pula rasa. Maira benar-benar menikmati beberapa hari yang gembira ini. Kenapalah percutian selalu terasa cepat berakhir?

Selain itu, tidak dapat dinafikan, Maira terasa sedih akan berpisah dengannya. Berada dekat dengannya membuatkan Maira rasa tenang dan gembira. Bahagia. Antara sedar dengan tidak, senyumannya membangkitkan satu perasaan rindu yang teramat sangat dari lubuk hati Maira.

“Tak boleh, Maira! Kau tak boleh macam ni.. Hadif macam mana? Mama, papa?” Bangkangnya sendiri di dalam hati.

Maira menggeleng-gelengkan kepalanya lalu berkalih menghadap Rania yang sedang tidur di sebelahnya. Tenang sahaja riaknya. Siap berdengkur kecil lagi.

La ilaha illallahu wahdahu la sharika lahu lahul-mulku wa lahul-hamdu wa huwa ‘ala kulli sha’in qadir…” Maira berbisik perlahan.

Kemudian dia bangun dari tempat tidurnya. Dari berkalih-kalih sahaja begitu, lebih baik dia mendirikan solat. Dapat juga dia mengadukan segala macam perasaan yang sedang berkecamuk dalam dadanya ketika itu.

Keluar dari bilik air, Maira tersentak melihat Rania sedang duduk bersila di atas katil di dalam gelap. Hanya lampu kecil dari almari baju yang sengaja dibiarkan terbuka sahaja menerangi sebahagian ruang bilik tersebut. Kepala Rania menunduk ke bawah merenung skrin telefon di tangannya. Rambutnya pula terurai menutupi wajahnya.

“Terkejutlah aku kau ni. Tiba-tiba tercongok kat situ gelap-gelap ni.” Bebel Maira separuh berbisik, samba mengurut dada.

“Kau buat apa tak tidur lagi ni? Bukan kau dah berdengkur ke tadi?” Soalnya lagi apabila dilihat Rania tidak memberikan sebarang reaksi.

Maira mengusap-ngusap belakang tengkuknya yang terasa sejuk. Memang bilik mereka sejuk kerana mereka tidak tahu cara memasang pemanas udara. Kemudian dia membentangkan sejadah dan menyarungkan telekung, malas nak ambil kisah dengan sikap Rania yang pelik.

“Mamun ke apa budak ni…” Leternya sendiri di dalam hati.

Maira mengangkat takbir dan memulakan solat sunat taubat.

Dia mengulang-ulang istighfar “Astaghfirullah hal ‘azim allazi laa ilaahailla huwalhayyu-qoyyum wa atuubu ilaih” selepas memberikan salam.

Kemudian disambung pula dengan zikir Nabi Yunus, “Laa ilaahailla anta subhaanaka innii kuntu minazh-zhalimiin” berulang kali sambil memicit tasbih kesayangannya.

Setelah itu, ditadahkan tangannya lalu dia membaca sayyidul istighfar, sebelum mengucapkan doa, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.” yang bermaksud, “Wahai Tuhan, Engkau Maha Pengampun, dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” Sebanyak tiga kali, lalu mengaminkannya.

Kemudian diteruskan pula dengan solat sunat tahajjud. Antara syarat solat tahajjud ialah dikerjakan selepas tidur, walaupun sekejap. Maira sudah pun terlelap sebentar sebelum mandi tadi. Rugi pula kalau dia tidak mengerjakan solat sunat tersebut.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud;

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

(Surah Isra’; ayat 79)


Rasulullah Sallallahu’alaihiwassalam bersabda yang bermaksud;

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, dan laksanakanlah solat ketika manusia sedang nyenyak tidur, nescaya kalian masuk syurga dengan selamat.” (HR Tirmidzi 2485, Ibnu Majah 1334)


Dengan tidak semena-mena, air mata Maira menitis membasahi sejadah di dalam sujudnya. Dihamburkan segala perasaan hatinya kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maira sendiri tidak tahu perasaan apakah yang sedang menyesakkan dadanya ketika ini. Tidak dapat disusun menjadi sebaris ayat untuk diadukan pada Tuhannya. Maka dia hanya berbicara dengan air mata. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di hati hambaNya.


Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud;

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.” (Surah Al Mulk: Ayat 13)

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu.” (Surah al Israa: Ayat 25)

“Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan, dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” (Surah at Taghabun: ayat 4)


Maira menyapu mukanya yang basah dengan air mata selepas memberi salam. Sedikit pun dia tidak tahu, ada sepasang mata lain yang turut basah dalam sujudnya, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan Maira di dunia dan akhirat, pada masa yang sama.

Hamba Allah itu juga mengajukan hasrat hatinya, yang menginginkan untuk dapat bersama dengan gadis itu. Bersujud dia memohon dan meminta-minta pada Yang Maha Satu, dengan keyakinan pada Yang Maha Mengabulkan Doa, dalam keadaan redha dan tawakkal dengan ketentuanNya.


       RANIA…” Maira menggoncang-goncang tubuh sahabatnya perlahan. Tiada sahutan.

“Bangunlah…bilik air dah kosong..pergilah mandi.” Panggilnya lagi sambil menarik selimut Rania. Mengerekot gadis itu seperti udang.

“Itulah..semalam yang kau bangun tercongok tengok telefon gelap-gelap tu kenapa?” Maira mula berleter.

Emmm…? Bila pula aku bangun tengok telefon. Mana ada..” Sahut Rania malas sambil bangun dan mengeliat.

“Habis tu..kau mengigau ke tengok telefon?” Soal Maira kembali, yakin melihat sahabatnya itu dengan mata kepalanya sendiri.

“Tak adalah… telefon aku tengah cas kat bawah sana tu ha..” Tegas Rania lagi.

Maira menoleh melihat ke arah telefon Rania yang berada dia atas lantai bilik di tepi dinding. Terimbas kembali imej ‘Rania’ yang sedang bersila di atas katil di dalam gelap semalam. Memang pun Maira tidak nampak wajahnya dengan jelas kerana ditutupi rambut. Serta merta digosok lengannya yang meremang. Mujur juga makhluk itu tidak mengajaknya berbual.

Err..pergilah mandi cepat. Kita nak kena check out lagi ni..kau dah siap kemas beg ke?” Soalnya cuba mengalih topik.

Rania bingkas bangun menuju ke bilik mandi.

 

SETELAH memeriksa keluar dari hotel pada pagi itu, mereka dibawa melawat Masjid Itaewon, sebelum acara membeli-belah barangan cendera hati untuk dibawa pulang. Antara barang yang menjadi sasaran Maira adalah sudu korea yang unik. Batangnya lebih panjang berbanding sudu biasa. Semuanya pengaruh drama Korea yang ditonton. Nampak sedap sahaja pelakon-pelakonnya menyudu makanan ke mulut dengan sudu unik tersebut.

Selain itu, periuk ramen yang mereka gunakan juga kelihatan menarik. Bolehlah dia guna untuk masak mi segera di Malaysia nanti. Hehe..

Mus pula seakan tidak mahu berenggang dari gadis itu hari ini. Seperti berat mahu menghadapi perpisahan yang bakal berlaku. Sampaikan Maira nak ke tandas pun ditemankannya hingga ke depan pintu.

Ngam! Comel macam saya.” Ujar Mus  menyarungkan topi bertulis ‘Seoul’ di atas kepala Maira. Dia juga memakai topi yang sama. Set pasangan.

“Ke awak nak ‘I love Korea’?” Soalnya.

Maira mengangkat kening.

“Ataupun…kalau awak nak ‘I love you’ pun boleh…” Ujarnya lagi sambil buat muka nakal.

Hanim dan Hani yang turut berada di situ memilih t-shirt serta-merta buat aksi nak termuntah. Spontan Maira menanggalkan topi di kepala lalu memukul lengan Mus perlahan menggunakan topi yang dipegangnya. Merah padam mukanya. Mus hanya ketawa nakal.

“Yang ini pun cantik.” Sengaja Mus  mengganggu Maira yang sedang sibuk memilih magnet peti sejuk.

“Awak kumpul ke fridge magnet ni?” Soalnya, merenung wajah Maira yang sedang asyik mengelas.

Maira mengangguk-angguk sambil tersenyum. Memang setiap kali melancong ke mana-mana, dia akan membeli magnet peti sejuk sebagai kenang-kenangan. Hampir penuh magnet dilekatkan pada peti ais besar di rumah mama papanya. Magnet dari semua negeri dalam Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak turut memenuhi ruang peti ais tersebut. Satu Malaysia sudah dijelajahnya.

“Seronok tengok tempat-tempat yang saya dah pernah pergi. Kalau boleh, saya nak melancong ke seluruh dunia!” Jawabnya, memasang angan-angan.

Mus tersenyum melihat wajah comel Maira yang bersungguh-sungguh menjelaskan cita-citanya.

Ok, ok..nanti kita pergi, ya..?” Balas Mus dengan muka selamba.

Maira mengerutkan dahi seketika sebelum tertawa kecil.

Apa sahaja yang Maira beli turut dibeli oleh Mus seperti set pasangan. Sehinggakan kebanyakan penjual-penjual di situ menggelar mereka ‘gwiyeoun keopeul’ yang bermaksud ‘cute couple’. Tersengih bangga Mus dengan pujian mereka.

 

MASA berjalan dengan begitu pantas. Kini, mereka sudah berada di lapangan terbang KLIA, siap dengan bagasi masing-masing. Ada yang mengambil gambar kenangan bersama buat kali terakhir. Hanya beberapa hari yang kumpulan itu luangkan bersama, tetapi sudah terasa begitu akrab. Mudahan ada rezeki untuk bertemu lagi.

Err…awak bagi nombor telefon kat saya. Nanti senang saya nak pergi buat x-ray.” Ujar Munir pada Hanim, tergagap.

Rakan-rakan mereka yang lain sudah bersorak. Mus turut menyikunya. Hanim yang sedang buat muka sombong tetap menyebutkan nombor telefonnya untuk disimpan oleh Munir.

“Eleh… dah jatuh hati jugalah tu.” Maira berbisik sendiri, lucu.

Firdaus ada juga cuba meminta nombor telefon Hani, tetapi tidak dilayan. Gadis itu sudah pun mempunyai kekasih hati.

“Ha…kau pun tak bolehlah nak minta nombor telefon Maira. Dia ni dah bertunang.” Lancar sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Rania.

Mus yang baru hendak mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluar terkedu. Suasana diam seketika. Maira diasak dengan rasa bersalah. Bukan dia bermaksud mahu menyembunyikan kenyataan itu, tetapi tiada kesempatan yang sesuai untuk dia mengaku tentang perkara yang sebenar. Lelaki itu pun tidak pernah bertanya jika dia sudah berpunya. Tak akanlah tiba-tiba sahaja dia hendak mengumumkan perkara itu.

“Awak…dah bertunang…?” Soal Mus perlahan.

Ada semacam riak terkejut bercampur kecewa di wajahnya.

Mata Maira sudah mula berkaca. Bermacam jenis perasaan bercampur-baur dalam dadanya ketika ini. Jika mahu jujur, memang hati gadisnya sudah terpaut pada lelaki itu. Belum pernah dia merasakan perasaan begitu pada mana-mana lelaki sebelum ini. Bahkan pada Hadif sekalipun tidak pernah. Suasana hening seketika. Semua mata tertumpu pada Mus dan Maira.

“Aduh…! Sakitnya tuh di sini….! Batu belah..batu bertangkup…. tangkuplah akuu…!” Ujar Mus dengan nada bergurau, setelah kembali mengawal emosi.

“Itulah kau.. lain kali tanya dulu, dah berpunya ke belum. Ini dia main terjah je… Orang lawa macam ni, mustahil belum berpunya tau!” Sampuk Munir, cuba membantu sahabatnya meredakan suasana yang agak tegang.

“Ooo..jadi kau nak aku cakap aku ni tak lawalah ya, sebab belum berpunya?” Tingkah Hanim pula.

“Hah?!” Munir tepuk dahi.

“Aku silap cakap ke?” Tanyanya sambil cuba meminta bantuan Mus.

Mus hanya mengetawakannya.

“Bagi balik nombor telefon aku…!” Hanim pura-pura marah.

Cepat-cepat Munir berlari bersembunyi di belakang Mus. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menayangkan muka sedih. Berderai ketawa mereka. Maira masih cuba menyedut kembali air mata yang mula mahu menitis keluar dari kelopak matanya.

“Hei…” Tegur Mus lembut.

“Senyumlah Ara….bila Ara senyum… dunia saya bersinar dengan lebih terang tau…” Ujar Mus lagi, tersenyum sambil membongkok dan menundukkan mukanya menjenguk wajah Maira yang masih suram. 

Kata-kata Mus terasa seperti satu renjatan kecil pada Maira yang masih tunduk memandang lantai. Satu demi satu memori masa kecilnya terlayar di ingatan. Imbasan-imbasan itu bersilih ganti dengan wajah Mus. Senyumannya, parut di keningnya, semuanya sama dengan anak itu.

       Bahkan janjinya untuk mencari Ara juga terngiang-ngiang kembali di telinga Maira. Walaupun Maira sudah mula memikirkan kemungkinannya, dia tidak berani untuk menyimpulkannya sendiri.

Tetapi sebentar tadi dia dengar dengan jelas lelaki itu memanggilnya ‘Ara’. Sejak dia tinggal bersama mama dan papanya, tiada sesiapa lagi pernah memanggilnya dengan nama itu. Nama yang sudah sebati dengan dirinya selama dia berada di Rumah Anak Yatim Basyirah.

“Jaga diri awak baik-baik ya.” Ujar Mus sambil berpaling melangkah pergi dengan menggalas begnya.

“Aa.. Ari…” Panggil Maira dengan suara yang hampir tidak keluar. Air mata sudah laju merembes keluar dari sepasang matanya.

Langkah Mus terhenti. Maira semakin sakan menangis.

“Ari…” Panggilnya lagi.

Mus masih berdiri tegak di situ tanpa menoleh. Air matanya sendiri sudah mula gugur. Sudah belasan tahun dia tidak mendengar sesiapa memanggilnya dengan nama itu. Kairi Musyrif Bin Hamzah. Nama penuhnya.

Sejak dia mengikut ayah angkatnya Pakcik Yusuf berhijrah ke luar negara, lelaki itu hanya memanggilnya Mus. Sama seperti panggilannya pada anak kandungnya, Mustafa, yang meninggal dalam kemalangan jalan raya bersama isterinya dan kedua orang tua Mus. Kebetulan pula panggilan Mus sesuai dengan pangkal namanya Musyrif. Rakan-rakannya juga mengenalinya dengan nama Mus.

Mus tersedar yang dia sudah terlepas kata memanggil Maira dengan nama ‘Ara’ ketika cuba memujuknya tadi. Memang dia bermaksud untuk memberitahu perkara yang sebenar pada gadis itu. Teman karibnya di Rumah Anak Yatim Basyirah.

Tetapi belum ada masa yang sesuai. Berita pertunangan Maira yang baru didengarnya tadi pula, langsung mematikan niatnya untuk terus memanjangkan perkenalan mereka. Dia hanya mahu mendoakan gadis itu hidup bahagia, walau tanpa dia di sisi.

Mereka yang lain yang berada di situ turut terpempan dengan adegan yang berlaku. Rania terkebil-kebil melihat Maira yang sedang menangis tersedu-sedu. Terasa bersalah juga kerana memberitahu Mus perihal pertunangan sahabatnya. Tidak sepatutnya dia masuk campur dalam urusan mereka.

Hanim dan Hani pula hanya terdiam tanpa suara. Mati akal apa yang patut dilakukan dalam situasi itu. Mereka langsung tidak tahu tentang kisah sebenar Maira adalah anak angkat pada Dato’ Harry dan Datin Sally. Mereka cuma tahu yang sahabat mereka itu langsung tidak bersikap seperti anak orang kaya selama menyewa serumah dengan mereka.

Munir pula menelan air liur di samping Mus. Dia baru sahaja beberapa bulan berkawan rapat dengannya. Mereka sama-sama baru mula bekerja di syarikat yang sama, dan lelaki itu menawarkannya untuk tinggal bersama memandangkan dia hanya tinggal sendirian. Dia tidak mempunyai ahli keluarga lain.

Berdasarkan apa yang Munir tahu, Mus baru sahaja pulang ke Malaysia setelah bertahun lamanya menetap di luar negara. Kematian ayahnya membuatkan dia mengambil keputusan untuk pulang menetap di Malaysia. Mudah sahaja dia mendapatkan kerja di tanah air sendiri berbekalkan pengalamannya sebagai seorang arkitek di syarikat terkemuka di luar negara.

Patutlah bulat mata Mus membaca senarai nama ahli kumpulan yang akan menyertai pelancongan ke Seoul dengan Agensi Pelancongan Asya tempoh hari. Awalnya jenuh Munir memujuknya untuk turut serta bersama dia, Firdaus dan Iman.

Mus menolak dengan memberikan alasan dia ada misi yang perlu diselesaikan di Malaysia. Ada seseorang yang perlu dia cari. Cinta pertamanya. Kemudian tiba-tiba sahaja dia berminat untuk menyertai mereka setelah membaca senarai nama tersebut. Tidak sangka pula dia bertemu dengan orang yang memang dicarinya.

“Ari janji nak cari Ara… kat mana pun Ara ada…” Bersusah payah Maira cuba menuturkan kata-kata dalam esak tangisnya.

“…ya, Ari memang dah tunaikan janji Ari… tapi lepas tu…?” Ujarnya lagi, tersekat-sekat.

“Ari nak tinggalkan Ara lagi…?” Tangisnya kembali rancak.

Mus mengenggam tangan sendiri. Disekanya air mata yang tumpah di pipi, sehingga tidak terkesan lagi. Kemudian perlahan-lahan dia berpaling kembali menghadap Maira. Diaturnya langkah satu persatu menuju ke arah gadis itu. Luluh hatinya melihat gadis itu menangis begitu. Dia berhenti tercegat betul-betul di hadapan Maira.

“Ara…Ari.. kuberi nama…saudara saudari…” Tiba-tiba Mus mula menyanyi di hadapan Maira. Tercengang-cengang rakan-rakan mereka yang lain.

“Cikebum! Cikebum!” Nyanyinya lagi, sambil membuat gaya mengangkat-angkat bahu.

“Malam-malam minggu, siang-siang hari, disko! disko!” Dipusing-pusing pula kedua tangannya ke kiri dan kanan.

“Putih-putih Melati Ali Baba…” Dirapatkan kedua-dua tangannya ke atas sambil melenggukkan kepala. Maira sudah terhenti menangis.

“Merah-merah jelita miau-miau…” Dibuatnya aksi kucing di kedua-dua pipinya.

“Siapa yang baik hati, Cinderella…” Diletakkan sebelah tangannya ke pipi dengan gaya mengada, manakala sebelah lagi tangannya menarik bahagian tepi seluarnya seperti sedang mengembangkan gaun puteri.

Maira sudah mula tersenyum melihat gelagatnya. Rakan-rakan yang lain pula bertepuk tangan mengikut rentak nyanyiannya.

“1 2 3 4…Ara maafkan Ari cepat…?” Dendangnya lagi, sambil merenung tepat ke dalam mata Maira.

 

SUASANA sunyi sepi di meja makan tersebut. Masing-masing mendiamkan diri, cuba memproses maklumat yang baru mereka terima. Mus dan Maira masing-masing telah menceritakan tentang asal usul mereka, dan bagaimana mereka bertemu dan membesar bersama di Rumah Anak yatim Basyirah, sehinggalah mereka terpisah mengikut keluarga angkat masing-masing.

“Tak sangka…korang bertemu kembali. Dah macam cerita novel pulak kisah korang ni.” Ujar Hanim perlahan, air matanya bergenang, turut tersentuh dengan kisah mereka berdua.

Tidak disangka sahabatnya yang sentiasa ceria dan gila-gila itu ialah seorang anak yatim piatu.

“Entah Maira..dengan aku pun kau tak pernah cerita pasal si Ari.” Sungut Rania. Dia sudah sedia maklum tentang asal usul sepupunya itu.

“Pakcik Yusuf dah meninggal dunia, Ara..” Ujar Mus pula.

“Innalillahiwainnailaihiroji’un…” Sambut mereka semua.

Maira tumpang bersimpati. Sekarang Ari kembali bersendirian di dunia ini. Keluarga yang ada pertalian darah dengannya mungkin masih ada, tetapi tergamak memutuskan persaudaraan kerana gelap mata dengan wang.

“Kalau kau sukakan Mus.. kau kena berbincang dengan uncle dan aunty lah..untuk putuskan pertunangan.” Rania tiba-tiba membangkitkan perkara itu.

Suasana menjadi kekok di meja makan tersebut. Tiada siapa yang bersuara.

“Kau pun bukannya sukakan Hadif kan..” Sambungnya lagi.

 Mereka yang lain mula menumpukan perhatian padanya, cuba memahami apa yang disampaikan.

“Sebenarnya Maira ni setuju bertunang dengan Hadif atas permintaan mama dan papa dia je.” Ujar Rania menjelaskan keadaan bagi pihak sepupunya.

“Lagipun…” Kata-kata Rania terhenti.

Rakan-rakan yang lain berdebar menunggu ayat seterusnya.

“Kau pun tahu kan.. Hadif tu ramai perempuan yang sukakan dia.. entah-entah… ada antara mereka yang sihirkan kau.” Sambungnya lagi.

Mereka yang lain agak terkejut dengan maklumat yang baru disampaikan oleh Rania. Mus mula dapat menangkap duduk perkara yang sebenar. Simpatinya bertambah kepada Maira.

“Maknanya…yang kau cakap kau nampak Aqif tu…” Hanim pula bersuara.

Maira hanya mengangguk mengiyakan pernyataan Hanim. Memang dia pernah bercerita pada Rania perihal pertama kali dia diganggu semasa malam majlis pertunangannya. Tetapi sahabatnya itu pula yang jadi lebih takut dari dirinya. Sejak itu dia tidak lagi menceritakan secara terperinci berkenaan gangguan yang berlaku kepadanya.

Waktu itu Maira sedang tidur lena di biliknya ketika tubuhnya tiba-tiba terasa panas membahang. Berpeluh-peluh dia dibuatnya, padahal penghawa dingin telah sedia terpasang pada suhu yang rendah. Dalam dia berkalih-kalih ke kiri dan kanan untuk cuba melelapkan kembali mata yang sudah cerah terjaga, katilnya bergegar-gegar bagai sengaja digoncang-goncang.

Maira cuba bangun tetapi tubuhnya terasa seperti ditekan ke katil. Dia langsung tidak dapat bergerak. Semakin lama semakin kuat katilnya digoncang. Maira menjerit ketakutan, tetapi mama dan papanya yang berada di bilik berdekatan bagaikan tidak dapat mendengar suaranya. Gegaran tersebut tiba-tiba berhenti, dan diganti pula dengan suara mengilai yang panjang dan menyeramkan.

Dalam keadaan bilik yang gelap hanya bersuluh cahaya lampu tidur yang malap, Maira dapat melihat dengan jelas kelibat seorang wanita berambut panjang menggerbang dengan wajah yang hodoh terapung secara meniarap di siling biliknya. Perlahan-lahan dia mendekati Maira sehingga wajahnya berada betul-betul di depan muka Maira.

Bau busuk hamis bangkai menusuk hidung Mara. Tekaknya terasa loya, manakala matanya masih terbuntang memandang wajah ngeri makhluk tersebut yang hitam melegam dan tersopak-sopak. Makhluk itu mengangakan mulutnya luas, sebesar muka Maira, lalu memuntahkan muntah yang hitam pekat berisi ulat dengan bau yang teramat busuk.

Serentak itu juga terdengar azan Subuh berkumandang dari Masjid berdekatan. Makhluk itu hilang lesap begitu sahaja. Maira tercungap-cungap duduk di atas katilnya sambil memandang keliling.

Tiada sebarang kesan muntah hitam tadi pada dirinya. Mengingatkan kejadian tadi, Maira terus berlari ke bilik air dan memuntahkan segala isi perutnya. Masih terasa-rasa bau busuk tadi menusuk hidungnya dan muntah berisi ulat tumpah ke wajahnya.

Ada juga Maira terfikir mahu menceritakan kejadian tersebut kepada mama dan papanya. Tetapi dia mematikan niatnya mengenangkan mama dan papanya bukanlah jenis orang yang percayakan perkara-perkara ghaib atau gangguan-gangguan begitu. Silap haribulan, mereka menyangkanya mempunyai masalah mental atau tekanan jiwa pula. Lagipun, Maira tidak mahu membuatkan mereka risau atau susah hati. Jadi dia hanya menghadapinya sendiri.

 

ARA jangan rasa Ara seorang diri…” Mus mula bersuara.

“Kita semua ada dengan Ara. inshaAllah kita ikhtiarkan sesuatu. Mungkin kita boleh cuba ke Pusat Perubatan Islam…” Sambungnya lagi.

Mereka yang lain turut mengangguk-angguk, mengiyakan kata-katanya. Masing-masing bersedia membantu Maira, apa yang terdaya.

“Alhamdulillah…terima kasih untuk nikmat sahabat-sahabat yang baik ini, Ya Rabb…” Bisik hati Maira, terharu.

“Tentang tunang Ara tu…” Mus terdiam sebentar.

“Jujur…Ari memang sayangkan Ara.” Bicaranya terhenti lagi. Air liur sendiri ditelan.

“Ari..cintakan Ara…” Ada getaran di suaranya. Nafasnya dihela seketika.

“…dan..Ari memang berniat, dan bersedia untuk menjadikan Ara isteri Ari… yang sah di sisi agama…, sekiranya Ara sudi…” Sambungnya lagi, menyatakan maksud hatinya yang bukan sekadar mahu bermain cinta dengan gadis itu.

Dia mahukan Aimy Humaira sebagai pelengkap agamanya, teman hidupnya, dunia akhirat. Tetapi tidak timbul di hatinya untuk merampas tunangan orang.

Maira terkaku di situ. Bernafas pun tidak. Seluruh sistem tubuhnya terhenti berfungsi. Rakan-rakan yang lain turut terkedu mendengar pengakuan tulus Mus.

“…tetapi Ari redha sepenuhnya dengan ketentuan jodoh… apa yang pasti…, Ari tetap sahabat Ara sampai bila-bila.” Ujarnya lagi, bernada tegas di hujung katanya.




No comments:

Post a Comment