Thursday, April 25, 2024

ARA ARI, dARAhmu kucARI (Bab 8)

 ARA ARI, dARAhmu kucARI


Bab 8

DATIN Sally mundar-mandir di dalam biliknya. Gelisah dia dibuatnya dengan mesej bergambar yang baru diterimanya dari aplikasi Whatsapp di telefon bimbitnya sebentar tadi. Baru sahaja beberapa hari yang lepas ibu dan ayah Hadif datang menemuinya dan suaminya, menyampaikan hasrat anak mereka yang mahu pernikahan dia dan Maira dipercepatkan.

Belum pun sempat dia memikirkan jalan untuk memujuk anak gadisnya itu, tiba-tiba dia menerima beberapa keping gambar Hadif bersama beberapa orang perempuan, dalam keadaan yang menjijikkan, dari pengirim tidak bernama. Datin Sally cuba menghubungi pengirim tersebut, tetapi gagal.

Air matanya mula menitis perlahan-lahan. Zalimkah dia dan suaminya sekiranya mereka tetap memaksa Maira untuk menerima Hadif? Akan bahagiakah gadis tersebut? Hadif memang terlalu sempurna sebagai calon menantu mereka, dari sudut penilaian duniawi di mata mereka. Tetapi sedikit pun mereka tidak melihat dari sudut ukhrawi. Entah memang tidak melihat, atau sengaja pura-pura tidak nampak.

Tetapi jujurnya, mereka sayangkan Maira. Sukar untuk tidak jatuh kasih pada anak sebaiknya. Tanpa sedar, anak itu turut membuatkan mereka beransur kembali mendekatkan diri pada cara hidup Islam yang sebenar, perlahan-lahan, walau masih tidak sepenuhnya.

“Ling…!” Terdengar suara Dato’ Harry memanggil isterinya dari tingkat bawah.

Datin Sally tersentak. Serta merta lamunannya terhenti. Dia bergegas turun ke bawah mendapatkan suaminya. Bulat matanya melihat beberapa orang pegawai polis berada bersama suaminya.

“Ada apa ni?” Soalnya kalut.

“Begini dato’, datin… kami telah menemui pembantu rumah dato’, Suriwijaya Binti Hardi, meninggal dunia dalam keadaan mengerikan di dalam semak berdekatan dengan pasaraya berhampiran dengan rumah dato’…” Jelas seorang pegawai polis.

“Hah?! Suri…?!” Datin Sally memekup mulutnya sendiri.

Terkejut dengan berita yang baru didengarnya. Rasanya baru petang tadi pembantu rumahnya itu memaklumkan mahu keluar membeli barang dapur.

“Allahu Akbar… apa maksud tuan,  mengerikan? Dia terlibat dengan kemalangan?” Ujar Dato’ Harry setelah terdiam seketika cuba memproses maklumat yang baru diterimanya.

“Mayatnya ditemui dalam keadaan semua jarinya dipotong, dan ditaburkan di atas badannya. Begitu juga dengan hidung, telinga, dan lidahnya. Berdasarkan siasatan awal, kita menyimpulkan kematian adalah disebabkan cekikan pada leher mangsa. Tetapi kita masih menunggu hasil bedah siasat lanjut.” Terang pegawai polis tersebut dengan lebih terperinci.

Terbeliak suami isteri tersebut mendengar penjelasannya. Datin Sally sudah mencengkam lengan suaminya. Kepalanya mula terasa pening seperti mahu pitam. Masing-masing tidak percaya wanita malang itu ditemui dalam keadaan sedemikian rupa.

“Kita syak, dia telah dibunuh… jadi saya harap dato’ dan datin dapat memberikan kerjasama dalam siasatan kami..” Pinta pegawai polis itu.

 

DATIN Sally masih termenung di katil. Fikirannya menerawang mengingatkan pembantu rumahnya. Setahunya, pembantu rumahnya itu bukanlah jenis yang bermusuh dengan orang. Orangnya sopan dan cekap dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dia juga tidak banyak kerenah.

Jadi Datin Sally memang benar-benar tidak dapat memberikan jawapan apabila ditanya jika ada kemungkinan pembantunya itu ada bermusuhan dengan sesiapa.

Suri telah bekerja di rumah Dato’ Harry sejak Maira masih sekolah menengah lagi. Pembantu rumah mereka sebelum itu, Bu’ Asi sudah kembali pulang ke negara asalnya. Wanita tua itu juga sudah sekian lama berkhidmat dengan keluarga mereka. Suri juga dikenali sebagai saudara kepada Bu’ Asi, yang telah menyarankan mereka untuk mengambilnya sebagai pengganti.

Bu’ Asi sempat melatih Suri dengan baik sebelum meninggalkan rumah dan keluarga Dato’ Harry dalam jagaannnya. Walaupun masih muda, tetapi Suri sangat cekap dengan tugasan-tugasannya. Tidak terasa kehilangan Bu’ Asi yang sudah biasa dengan keluarga mereka.

Petang tadi, dia hanya memaklumkan kepada Datin Sally untuk keluar membeli barang dapur. Tiada pula dia menunjukkan sebarang riak yang aneh seperti yang disoal oleh pegawai polis tadi. Berkerut Datin Sally cuba mengingat-ingat kembali rentetan perkara yang berlaku.

“Awak masih fikirkan Suri?” Tegur Dato’ Harry yang baru keluar dari bilik air.

Datin Sally hanya mengangguk lemah. Dato’ Harry mengambil tempat di sisinya di atas katil.

“Saya pun ada juga fikir-fikir, kalau-kalau kita ada musuh perniagaan, atau musuh-musuh lain… tapi entahlah.. semuanya terlalu mengejut..” Keluhnya, cuba membincangkan perkara tersebut dengan isterinya.

Datin Sally menganggukkan kepalanya lagi.

“Apa yang pembunuh itu buat padanya memang terlalu kejam dan tak berperikemanusiaan!” Luahnya sebak.

Mereka terpaksa melakukan pengecaman mayat kerana rupa mayat agak terjejas. Pitam dia dibuatnya melihat pembantunya dalam keadaan mengerikan begitu. Lemah seluruh tubuhnya. Berlari dia keluar dari bilik mayat menghamburkan muntah di longkang.

“Apalah salah budak itu..” Matanya yang tadi sudah kering, kembali bergenang dengan air mata.

Dato Harry mengusap-usap bahu isterinya, cuba menenangkannya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghadapi perkara tersebut. Belum pernah lagi dia berhadapan dengan kes bunuh, apatah lagi yang kejam seperti itu. Sekarang dia mula berasa risau dengan keselamatan anak isterinya. Siapa pembunuh tersebut, dan kenapa dia melakukan perkara itu masih belum diketahui.

“Tak apalah.. pihak polis pun dah mula menjalankan siasatan… kita cuba bantu mereka apa yang boleh..” Ujar Dato’ Harry.

Emm..awak dah hubungi Maira? Dia dah sampai Malaysia?” Soalnya, cuba mengalihkan perhatian isterinya agar tidak terlalu bersedih mengingatkan Suri.

“Dia ada call saya tadi, beritahu dah selamat sampai…. Tapi saya belum bagitahu apa-apa lagi tentang Suri…” Jawab isterinya.

Dato’ Harry mengangguk-anggukkan kepalanya. Mungkin lebih baik biarkan Maira berehat terlebih dahulu. Pasti dia akan terkejut dan sedih menerima berita ini. Dia juga agak rapat dengan Suri, memandangkan gadis itu hanya beberapa tahun lebih tua darinya.

Err… tentang Maira…” Datin Sally teragak-agak.

Tetapi dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa dari suaminya. Bukan itu sikapnya.

“Kenapa dengan Maira?” Soal Dato’ Harry sedikit risau.

“Ada orang hantar gambar ni pada saya… Hadif…” Jawab Datin Sally sambil mengunjukkan telefonnya pada suaminya.

Dato’ Harry segera mencapai telefon bimbit yang dihulurkan. Berkerut-kerut wajahnya melihat gambar-gambar tersebut.

“Astaghfirullahalazim….” Ujarnya keras.

Memang dia sedia maklum bahawa bakal menantunya itu menjalani gaya hidup ala-ala barat, sepertinya juga. Leka dengan minuman keras, jauh dari solat dan sebagainya. Tetapi dia hanya menutup mata sahaja memandangkan sikap lelaki itu yang sopan dan menghormati orang tua.

Tambahan pula, dia sangat bijak dalam mengurukan perniagaan. Lebih dari itu, sebagai seorang ayah dan seorang lelaki, dia dapat merasakan ketulusan Hadif menyayangi anak gadisnya.

Tetapi gambar-gambar jijik bakal menantunya dengan perempuan-perempuan lain itu benar-benar menimbulkan kemarahannya. Dia berasa tertipu. Hancur hatinya memikirkan kelukaan yang bakal diterima oleh anak kesayangannya. Sudahlah dia yang beriya memujuk Maira untuk menerima Hadif.

Apa yang harus dilakukan sekiranya rumah tangga yang bakal mereka bina nanti hanya akan melukakan dan menyakitkan anaknya?

“Nanti saya siasat dulu gambar ni. Kalau perlu, saya akan tanya sendiri pada Hadif. Awak janganlah risau, tahulah saya nak uruskan.” Ujarnya lagi, cuba menenangkan hati si isteri.

Walaupun hatinya sendiri sudah mula berasa sangsi dengan keputusan mereka untuk menjodohkan Maira dan Hadif.

“Sudahlah tu, tak usah difikirkan sangat. Tidurlah..rehatkan badan. Jangan sampai awak jatuh sakit pula nanti. Kita ni pun bukannya makin muda…” Arah Dato’ Harry.

Risau juga kalau-kalau tekanan darah isterinya naik dengan masalah yang bertimpa-timpa. Datin Sally hanya menurut arahan suaminya tanpa banyak kata. Kepalanya juga sudah mula berat memikirkan soal Suri dan juga Hadif. Dipejamkan matanya, cuba untuk lelap.

Dato’ Harry pula masih membelek-belek gambar dalam telefon isterinya. Gambar-gambar yang dihantar oleh Maira kepada mamanya menarik minatnya. Anak gadisnya kelihatan menikmati masa yang gembira melancong bersama kawan-kawannya. Seronok jadi orang muda. Masih kuat dan bertenaga. Kemudian dibuka pula akaun media sosial Maira, tidak puas melihat gambarnya melancong di Korea.

Sedang asyik membelek-belek akaun media sosial puterinya, dia terbuka satu video pendek ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Wadi Annuar. Memang dia tahu, Maira selalu mengongsikan ceramah-ceramah agama di akaun media sosialnya. Tetapi belum pernah dibuka satu pun daripada video-video tersebut.

“Kita tak tau, tarikh dan masa dan tempat kita nak mati. Dengan sebab itu Rasulullah Salallahu’alaihiwassalam minta kita sentiasa bersedia. Sebab kematian mengejut di akhir zaman ini sangat banyak berlaku. Kerana kematian mengejut salah satu daripada tanda kiamat kecil.”

Terkelip-kelip sebentar mata Dato’ Harry mendengarkan klip video pendek tersebut. Dibukanya lagi video yang seterusnya. Juga dari ustaz yang sama.

“Akan jadi banyak kematian yang mengejut di akhir zaman. Umur 8 tahun mati. 11 mati. 17 mati. 20-an mati. 30-an mati.2 minggu sebelum menikah meninggal. 2 minggu selepas menikah meninggal. Keluar nak pergi market meninggal. Keluar nak pergi pasar raya meninggal…”

Semakin berdebar-debar dadanya mendengar potongan klip video ceramah tersebut. Serta merta dia teringatkan Suri yang meninggal ketika keluar ke pasar raya. Dibukanya pula video yang lain.

“Hati-hati…Nabi Salallahu’alaihiwassalam sebut…kalian akan mati..dengan cara bagaimana kalian hidup… hati-hati…”

Dato’ Harry termangu sendirian. Tiba-tiba dadanya dihimpit pilu. Hatinya diasak dengan rasa takut akan kematian. Bergenang air matanya.

“Hebat sangatkah aku dan hidup aku, sampai aku mengabaikan suruhanNya…?” Hatinya berdialog sendiri.

“Hebat sangatkah gelaran dan pangkat aku, harta-harta aku, sehinggakan aku tidak lagi perlu bersujud menyembahnya?” Dia mencemuh dirinya sendiri yang sudah lama meninggalkan ibadah solat.

“Sudah cukup hebatkah aku, sudah cukup bersediakah aku untuk berdepan dengan kematian? Kalau esok malaikat cabut nyawa aku, selamatkah aku di akhirat nanti?” Soalnya lagi pada diri sendiri.

Merambu-rambu air matanya membasahi muka. Bahang keinsafan mula membakar dadanya. Terhenjut-henjut bahunya menahan tangis, risau membangunkan isterinya yang sedang tidur. Kemudian perlahan-lahan dia turun dari katil dan melangkah ke bilik air. Dibasahkan wajahnya dengan air dingin tersebut, terkial-kial mengambil wudhuk setelah sekian lama tidak melakukannya.

Selesai berwudhuk, dia menyelongkar almari mencari sejadah. Kemudian dia termenung sebentar, sebelum kembali mencapai telefon. Dicarinya video-video ringkas berkenaan solat. Bukan dia tidak tahu cara melakukannya, tetapi dia sudah lama meninggalkannya, sehingga dia berasa was-was tentang cara dan bacaannya. Setelah berpuas hati dan mengulang-ulang hafalannya, dia berdiri dan memulakan solat.

Usai solatnya, dia menadah tangan memohon keampunan. Teresak-esak dia menangis mengadu pada Tuhannya akan kekhilafan dirinya. Bersungguh-sungguh dia bertaubat dan merayu meminta keampunan dari Penciptanya. Dia benar-benar menyesal kerana begitu lama terleka dan lalai dengan dunia.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud,

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.”

(Az-Zumar 39, ayat 53)

 

SAYANG…bangun sayang… jom, kita solat Subuh sama-sama?” Perlahan Dato’ Harry menggerakkan bahu isterinya.

Datin Sally menggenyeh-genyehkan matanya. Kelihatan suaminya sedang tersenyum manis di sampingnya.

“Solat?” Soalnya kembali, terpinga-pinga.

Tidak pernah pula suaminya menyuruh atau mengajaknya solat sebelum ini. Telekungnya entah disimpan di mana pun dia tidak ingat. Dato’ Harry tersenyum lagi. Faham apa yang sedang bermain di fikiran si isteri.

“Ni..telekung awak yang Maira hadiahkan tahun lepas. Saya dah siapkan. Bangunlah…temankan saya solat…” Ujarnya lagi.

“Kita solat dulu, lepas solat nanti, kita berbual. Saya tahu, banyak yang awak nak tanya…” Sambungnya.

Datin Sally bangun dari baringnya. Kemudian perlahan-lahan diaturnya langkah menuju ke bilik air. Diturutkan sahaja permintaan suaminya tanpa membantah. Usai berwudhuk, disarungkan telekung pemberian anaknya ke tubuh.

“Lembut, sejuk, selesa…pandai Maira pilih.” Diam-diam dia memuji pilihan anaknya.

Itu kali pertama dia memakai telekung yang dihadiahkan anak kesayangannya. Suaminya mengimamkan solat Subuh mereka pada pagi itu. Rasanya belum pernah lagi mereka solat bersama-sama di rumah besar itu. Ada satu macam ketenangan aneh menyusup masuk ke dalam hati Datin Sally.

Dia turut menitiskan air mata mengaminkan doa suaminya yang merintih-rintih meminta ampun dan meminta kesejahteraan untuk keluarga mereka.

      

AWAK tak apa ke tinggal seorang di rumah? Ke awak nak ikut saya ke office?” Soal Dato’ Harry, sedikit risau dengan keadaan isterinya. Biasanya ada juga si Suri menemankannya.

“Tak apa…lagipun sekejap lagi Maira nak datang. Dia masih cuti lagi hari ini. Awak baliklah awal, boleh makan sekali…” Jawabnya.

Dato’ Harry mengangguk-anggukkan kepalanya. Lantas dihulurkan tangannya untuk bersalam dengan si isteri. Datin Sally terpempan sebentar sebelum kelam-kabut menyambut tangan suaminya, disalam dan dicium. Seraya itu juga Dato’ Harry mengucup dahi isterinya penuh kasih.

“Saya sayang awak, saya sayang Maira..” Ujarnya tiba-tiba, bernada sedikit sebak.

Datin Sally memandang suaminya dengan terharu. Alangkah indahnya perasaan hatinya saat ini. Bukan mereka tidak saling menyayangi sebelum ini, tetapi apabila dipraktikkan cara hidup berkeluarga menurut Islam, segalanya terasa lebih indah dan membahagiakan. Alhamdulillah…nikmat Allah.

Dilambai-lambainya suaminya dari depan pintu rumah.

“Romantik dato’ dengan datin hari ni…” Tegur Pak Saad, pemandunya.

Dato’ Harry hanya tersenyum manis.

 

ASSALAMMUALAIKUM…. mama…! Mama sihat?” Sapa Maira sebaik sahaja menyalami mamanya di muka pintu.

Dicium dan dipeluknya wanita itu, rindu.

“Sihat sayang…amak mama sihat? Macam mana, seronok tak melancong?” Soal mamanya pula.

“Alhamdulillah seronok sangat mama. Mama tahu tak, Maira terjumpa dengan kawan lama Maira kat sana. Macam tak percaya ma, boleh jumpa dia balik.” Ujar Maira, sudah tidak sabar-sabar lagi mahu bercerita.

“Kawan lama Maira?” Soal mamanya kembali, cuba meneka kawan mana yang dimaksudkan anak gadisnya.

Ha’ah…kawan baik Maira dekat Rumah Anak Yatim Basyirah dulu…Ari..” Jawab Maira.

Berkerut-kerut dahi Datin Sally. Nama tersebut kedengaran tidak asing di telinganya.

“Oh..kawan baik Maira tu…” Memorinya tentang kawan kecil anak gadisnya itu kembali memenuhi kotak fikirannya.

Sehingga demam anak itu dibuatnya kerana terlalu rindukan sahabat baiknya itu sewaktu mula-mula dia berpindah ke rumah besar Dato’ Harry dan Datin Sally.

“Dia tinggal di sana ke?” Soal mamanya, berminat dengan cerita sahabat baik Maira.

“Tak mama…dia pun melancong ke sana juga. Kebetulan kami ambil agensi pelancongan yang sama.” Terang Maira, sambil matanya melingas mencari seseorang.

“Mana Kak Suri ma? Maira ada belikan oleh-oleh tau. Untuk mama, papa, Kak Suri dengan Pak Saad pun ada. Tapi tak banyaklah..tak muat beg sebab Maira tak ambil luggage.” Bebelnya sambil cuba bangun mencari pembantu rumah mamanya.

Datin Sally menarik nafas panjang sambil menarik tangan anaknya supaya kembali duduk di sampingnya.

“Sayang….” Ujar Datin Sally lembut, matanya mula berkaca mengingatkan Suri.

Maira memandang wajah mamanya hairan.

“Kak Suri… dah meninggal…” Susah payah Datin Sally memaksa ayat itu keluar dari mulutnya.

Mulut Maira terkunci. Tidak sangka dengan apa yang didengar telinganya. Datin Sally mengenggam tangan anak perempuannya kuat.

“Innalillahiwainnailaihiroji’un….” Ucap Maira perlahan.

Air mata mula meluncur laju di pipi bersihnya.

“Kenapa ma….” Serak suaranya bertanyakan Suri.

Datin Sally terdiam seketika. Tidak tahu cara menyampaikan kejadian tragis itu pada Maira.

Err… polis mengesyaki yang… err… Kak Suri.. err… mati dibunuh…” Jawab mamanya tergagap-gagap.

Maira menekup mulutnya yang sudah terlopong. Air mata semakin laju mencurah keluar. Datin Sally juga tidak dapat menahan sebak. Didakapnya Maira erat lalu mereka menangis bersama. Pemergian Suri sahaja sudah cukup memilukan. Hakikat dia dibunuh dengan kejam pula terlalu pedih dan mengerikan untuk diterima keluarga itu.

 

KITA balik terus, dato’?” Soal Pak Saad pada majikannya.

Matanya difokuskan ke jalan. Kereta mewah Dato’ Harry meluncur laju meninggalkan perkarangan pejabatnya. Soalan Pak Saad mematikan lamunan Dato’ Harry. Berkerut dahinya memikirkan tentang apa yang berlaku di pejabat tadi. Dia sudah cuba menyenaraikan sebahagian nama yang berkemungkinan besar ada berdendam atau mahu bermusuh dengannya untuk diserahkan kepada pihak polis.

Selain itu, dia turut meminta pekerjanya yang mahir dalam bidang pengeditan gambar untuk meneliti gambar-gambar bakal menantunya yang diterima oleh isterinya. Menurut pekerjanya itu, gambar-gambar tersebut adalah gambar-gambar asli, bukan gambar yang telah diedit. Malah, tarikh dan waktu yang tertera di gambar itu juga adalah asli.

Ini bermakna, Hadif telah melakukan perbuatan itu ketika dia dan Maira sudah pun bertunang. Kenyataan tersebut benar-benarkan mengecewakan Dato’ Harry. Apa yang tinggal sekarang hanyalah untuk dia mendengar penjelasan dari mulut Hadif sendiri tentang perkara tersebut. Walaupun jauh di dasar hatinya, dia sudah terdetik untuk tidak meneruskan pernikahan mereka, tetapi dia tetap mahu bersemuka dengan anak muda itu.

Memang dia sendiri juga tidak layak untuk menghakimi perbuatan-perbuatan dosa lelaki itu, sedangkan dirinya pun tidak sesuci mana. Mungkin Hadif boleh bertaubat dan meninggalkan perkara-perkara buruk itu. Tetapi berubah bukanlah suatu perkara yang mudah.

Hati ayah mana yang sanggup menyerahkan anak gadisnya kepada seorang lelaki seperti itu. Bukan sahaja perasaan anak perempuannya nanti hancur, bahkan kemungkinan untuk dia mendapat penyakit-penyakit yang tidak diingini juga tinggi dari amalan pergaulan bebas bakal suaminya itu.

Dato’ Harry mengerling jam di tangannya seketika.

“Kita singgah solat di masjid tu dulu sekejap Saad.” Ujarnya sambil menunjukkan jarinya ke arah masjid yang berada tidak jauh di depan.

Pak Saad terkebil-kebil sekejap. Tidak pernah sebelum ini majikannya itu mengajaknya solat. Sudah berpuluh tahun dia bekerja dengannya.

Tidak dinafikan, majikannya itu memang seorang yang baik, pemurah, dan sangat bertimbang rasa. Tetapi menjaga kewajipan solat bukanlah satu keutamaan padanya. Diam-diam Pak Saad melahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas perubahan itu. Bukan sekali dua lelaki tua itu mendoakan majikannya.

“Baik Dato’..” Jawab Pak Saad sambil tersenyum.

“Syukur Alhamdulillah….” Bisik hatinya sendiri.




No comments:

Post a Comment