Friday, May 31, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 14)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 14

CEPAT sayang...mama dah lambat ni...” Bebel Isha sambil tangannya lincah membuka mangga pintu pagar yang masih berkunci.

Sebaik dia memanggungkan kepala, kelihatan Faiz sudah berdiri terpacak di depannya sambil tersengih-sengih.

“Isha semalam tidur awal ke? Puas abang Faiz tekan loceng.., tak keluar-keluar..” Sapanya mesra.

“Oh..ha’ah..Isha dengan budak-budak memang setiap hari pun tidur awal..” Jawab Isha jujur.

Aih...muda-muda macam ni pun tidur awal jugak ea...” Faiz tergelak-gelak sendiri dengan jenakanya yang tak selucu mana itu.

“Abang nak hantarkan makanan untuk Isha semalam... itulah..abang minta nombor telefon, sampai sekarang Isha tak bagi-bagi. Susah abang nak contact Isha. Ha lagipun kalau ada apa-apa berlaku kan susah...” Bebelnya panjang.

“Eh takpelah.. tak payahlah susah-susah hantarkan makan...lagipun lewat malam sangat macam tak berapa kena juga...” Ujar Isha berterus terang.

“Kalau tak faham jugak lagi ni tak tahulah...” Getunya sendiri dalam hati.

Err..maaf ya, saya dah lewat nak ke tempat kerja ni...” Sambung Isha lagi.

Riak muka Faiz agak berubah dengan layanan Isha yang dirasakan dingin. Dalam tak sedar bibirnya dijuihkan sambil dia melangkah menjauhi pagar untuk memberi ruang kepada Isha mengeluarkan kereta.

“Isha bagilah nombor telefon kat abang...apa-apa nanti senang...” Ujar Faiz masih tidak berputus asa sewaktu Isha turun mengunci semula pagar.

Isha menarik nafas panjang, mati akal mencari jalan untuk mengelak. Sudahlah dia terlambat, lelaki ini pula sibuk mencuri masanya.

 

“Eh..kenapa dengan tangan tu?” Soalnya tiba-tiba setelah terperasankan luka seakan-akan bekas gigitan di tangan lelaki itu, berserta luka panjang di lengannya seperti dicakar sesuatu. Elok juga dibuat pengubah topik.

“Oh...tak ada apa ni...kena cakar kucing... err...Isha...”

“Oh..nampak teruk juga tu.. kena letak ubat tu... err..saya pergi dulu ya, dah lewat ni...Assalammualaikum...” Cepat-cepat Isha memintas bicaranya sebelum bergegas melangkah masuk ke dalam kereta.

 

SEJURUS menurunkan kedua-dua Fara di hadapan pintu pagar sekolah, Isha pantas memusingkan kembali keretanya lalu mengambil tempat dalam barisan panjang deretan kereta dan motosikal para waris yang sedang menunggu giliran untuk keluar dari simpang.

“Cepatla..cepatla…” Ratibnya sendirian di dalam kereta.

Jam yang terpamer di dashboard kereta dikerlingnya berkali-kali. Geram pula rasanya apabila kolum minitnya tidak berhenti-henti bertukar digit.

Stoplah kejap…” Tangis hatinya sendiri.

Sudah terbayang angka merah yang bakal terpamer di kad perakam waktunya nanti. Dia pasti terlewat hari ini.

Sebaik sahaja mendapat peluang keluar dari simpang tersebut, Isha menekan deras pedal minyak dan memecut laju ke depan bak pelumba di litar. Satu demi satu kereta dan motosikal dipotongnya bila berkesempatan. Hampir semua lampu isyarat kuning dilanggarnya. Ini kalau Abang Alif ada di sebelah, mahu cair telinganya kena bebel. Silap haribulan diazannya terus telinga adiknya seorang itu!

Mujurlah selepas hampir separuh perjalanan, keadaan trafik menjadi lebih tenang. Isha perlu melalui jalan kampung yang lebih kecil dengan sawah bendang di kiri kanan jalan. Pelajar-pelajar sekolah juga sudah memulai sesi persekolahan, ibu bapa dan penjaga juga beransur pulang, mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pemanduan Isha menjadi lebih lancar, pedal minyak masih ditekan kuat dengan kedua belah tangannya mengenggam erat stereng kereta. Meliuk-liuk kepalanya ke kanan dan kiri mengikut rentak selekoh jalan. Ditambah pula dengan ketiadaan kenderaan lain di depan dan belakangnya ketika itu, semakin rancak dia menekan minyak.

Dalam Isha sedang asyik menumpukan perhatian kepada pemanduannya, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang kanak-kanak lengkap berpakaian seragam sekolah dengan menggalas beg berlari melintas jalan, betul-betul di hadapan kereta Isha! Jarak yang terlalu dekat antara mereka membuatkan Isha mendadak menekan pedal brek secara mengejut.

Sreetttttt…!!” Bingit bunyi yang terhasil apabila tayar kereta yang sedang berputar laju dihentikan secara paksa.

Isha terasa seperti keretanya melelong dan hampir hilang kawalan. Menggeletar seluruh tubuhnya setelah kereta benar-benar berhenti. Rasa macam di awang-awangan. Antara percaya dengan tidak apa yang baru sahaja berlaku.

Isha mencuba sedaya-upaya memfokuskan penglihatan yang mula terasa kembang. Terjengah-jengah dia dari dalam kereta, memusing mencari kelibat pelajar sekolah tadi. Dia yakin dia tidak melanggar anak itu, kerana tiada sebarang hentaman berlaku.

“Mana…” Bisik Isha sendirian. Mukanya sudah terasa panas, tindak balas dari rasa terkejut, takut dan risau yang bercampur-baur. Tunggu masa sahaja air matanya hendak mengalir turun.

Tangan yang masih menggigil dipaksa membuka pintu kereta sebelum dia melangkah turun dengan lemah. Seketika dia berdiri di samping pintu kereta yang terbuka. Matanya diarahkan memeriksa keadaan sekeliling. Memang tiada sesiapa.

Hanya keretanya sahaja yang berada di situ pada ketika itu. Isha mula melangkah melihat-lihat di sekitar. Dijenguk habis ke dalam bendang, mana tahu kalau anak kecil itu terpelanting hasil perlanggaran. Sampai bawah kereta pun diperiksanya sekali. Memang tiada sesiapa!

Bunyi sayup burung kecil bersahutan menambahkan sunyi di laluan tersebut. Isha menggosok-gosok lengannya sendiri. Takkanlah dia bermimpi sambil memandu pula. Memang dia nampak jelas kelibat pelajar sekolah yang berlari melintas jalan betul-betul di depan keretanya tadi. Terpinga-pinga Isha dibuatnya  memikirkan apa yang sedang berlaku. Setelah benar-benar pasti memang tiada sesiapa di situ, Isha kembali melangkah longlai menuju ke arah pintu kereta yang masih terbuka.

Dalam keadaaan masih bingung, membuntang biji mata Isha melihat seekor ular hitam berkilat melingkar di sebelah tayar hadapan keretanya. Keras kaku tidak berkutik dia di situ. Tergamam.

“Ya Allah..apa pula ni… nak lari mana ni.. macam mana nak masuk dalam kereta ni..” Isha mula hendak menangis.

Kedudukan ular tersebut menjadikan mustahil untuknya berlari masuk ke dalam kereta. Nak meminta tolong, tiada seorang manusia pun yang lalu di situ ketika itu. Sedang dia berkira-kira tindakan terbaik yang boleh diambil dalam situasi tersebut, ular itu tiba-tiba menyusur laju menghampirinya. Terjerit-terjerit, terlompat-lompat Isha mengundur menjauhi ular tersebut. Spontan juga kedua-dua matanya terpejam rapat, enggan menyaksikan perkara menakutkan yang bakal terjadi.

Sejenak juga dia berkeadaan begitu, sebelum matanya dibuka perlahan-lahan setelah menyedari tiada apa yang berlaku. Ular tersebut tiada di situ! Terpusing-pusing Isha mencari kelibat haiwan menakutkan itu.

“Masuk dalam kereta ke?” Terjengah-jengah dia dari luar, bimbang kalau-kalau ular itu menyelinap masuk ke dalam kereta.

Setelah dipastikan dirinya dalam keadaan selamat, barulah pemanduannya diteruskan. Keretanya meluncur perlahan meninggalkan tempat kejadian dengan seribu tanda tanya.

“Allahu Akbar….” Ucapnya sambil meraup wajahnya perlahan, mula sedar apa yang dialaminya tadi adalah antara gangguan yang sedang menguji hidupnya kala ini.

Sekurang-kurangnya itu akan menjadi kali terakhir Isha memandu selaju itu. Pastinya dia akan lebih beringat dan berhati-hati selepas ini.

Alhamdulillah a’la kulli hal…

 

PILIH yang cantik sikitlah sayang.. yang ini dah kelabu dah.. nampak tak cantik dah…” Ujar Isha sambil membelek-belek baju yang kelihatan lusuh di matanya.

“Ala…tapi adik suka yang ni..” Bebel Fara Afina.

“Awak tu memang…kalau dah yang itu, yang itu je dipakainya… padahal yang lain banyak lagi ni yang cantik-cantik. Semua cantik kan mama beli… sayang baju.. nanti tak pakai, kecik macam tu je, bila dah tak muat nanti baru sibuk nak pakai.. membazir.. tak baik tau.” Isha juga tak mahu mengalah lawan membebel dengan si kecil.

“Haa…membazir tu perangai siapa… syaitan…” Fara Afiya ikut serta menambahkan inci di muncung itik adiknya.

Riuh tiga beranak tersebut mengemaskan pakaian untuk dibawa ke rumah Fariz Farhan di timur tanah air. Lelaki itu sudah berjanji untuk mengambil anak-anak gadisnya itu sempena cuti penggal persekolahan yang bakal bermula.

“Nanti kat sana elok-elok… jangan degil.. dengar cakap abi dgn ami.. adik jangan buat perangai merajuk tu sangat… nanti kalau orang marah anak mama, ha macam mana?” Leter Isha dalam kerisauan.

Fara Afiya dan Fara Afina terangguk-angguk akur dengan nasihat Isha. Berebut mereka berpelukan dengannya. Lama juga mereka bakal berpisah. Lebih kurang sebulan. Cukup untuk membuatkan hati masing-masing terusik dengan rasa rindu yang bakal memberat. Adat ibu dan anak-anak… semasa ada, sering bertingkah. Bila jauh, rindu pula.

“Nanti jangan lupa kat mama pulak... awak tu..dah dapat main dengan adik baby nanti.. langsung tak ingat mama dah..” Ujar Isha pura-pura merajuk.

Kalau diikutkan, ini adalah kali pertama Fariz Farhan menyuarakan hasrat untuk datang mengambil mereka bercuti ke rumahnya di pantai timur. Sebelum ini pelbagai alasan diberikan apabila Fara Afiya dan Fara Afina meminta untuk meluangkan masa dengannya dan adik baru mereka. Sibuk kerjalah... isterinya kurang sihatlah... adik baby masih kecil untuk dibawa berjalanlah. Sehingga akhirnya Fara Afiya dan Fara Afina tidak lagi meminta untuk bertemu dengan ayah mereka.

Sudahlah panggilan telefon pun jarang-jarang sekali diterima. Kasihan anak-anak kecil itu hanya boleh memendamkan rasa rindu pada sang ayah sendiri. Walau bagaimanapun layanan yang diterima dari sang ayah, hati tulus bidadari-bidadari kecil itu tetap menyayangi dan merindui ayah kandung mereka dengan tidak berbelah-bagi.

“Kesian mama...nanti mesti mama rindu kitorang kan?” Ujar Fara Afiya yang masih memeluk Isha sayu.

“Mama.., mama tak takut ke tinggal sorang-sorang nanti?” Soal Fara Afina pula. Mungin sudah membayang-bayangkan keadaan Isha sendirian di rumah.

“Ish.. kenapa pulak mama kena takut... kita kena takut kat siapa? Kat hantu ke... kat Allah?” Soal Isha semula.

“Allah..!” Sahut keduanya serentak.

 

ISHA berkalih baring untuk kesekian kalinya. Matanya masih juga belum mahu terlelap. Sudah lama dia tidak tidur sendirian. Anak-anak buah kesayangan sudah bertolak ke rumah ayah mereka sejak awal pagi tadi.

Abi dan ami mereka datang menjemput mereka di rumah abang Alif setelah mereka tiga beranak bermalam di sana. Betul-betul mereka hanya datang menjemput sahaja. Langsung tidak diterima pelawaan abang Alif dan kak Syara untuk masuk ke rumah. Walhal kak Syara sudah siap-siap menyediakan nasi lemak sambal sotong istimewanya untuk menyambut tetamu. Terpaksalah pula Isha menghabiskan sambal sotong kak Syara yang memang menjadi kegemarannya itu. ‘Terpaksa’......

Isteri baru abang Farhan pun bukan main sombong lagi pada pandangan Isha. Turun dari kereta pun dia tidak mahu. Langsung tidak bertegur sapa dengan keluarga Isha. Ada juga Isha menyuarakan rasa hatinya itu pada kak Syara. Tapi wanita itu hanya tersenyum mesra.

Alah.. dia kan tengah riba baby kat dalam kereta tu.. dengan macam-macam barang lagi.. tak baik tau bersangka buruk kat orang.” Lembut Syara menegur adik iparnya seorang itu. Sudah cemberut mukanya. Sebiji muka Fara Afina ketika merajuk.

Erm… betul jugak tu.. adeh.. kenapalah teruk sangat aku ni. Cubalah bersangka baik sikit.” Omel Isha sendirian dalam hati. Perlahan-lahan dilafazkan istighfar di bibirnya yang masih sengaja dimuncungkan tanda protes. Saling tak tumpah seperti Fara Afina ketika dibebelkan.

Isha berkalih lagi. Layaran situasi yang berlaku pagi tadi berkocak pergi dari kotak fikirannya. Keluhan lembut dilepaskan. Rindunya rasa pada budak-budak itu..

Telefon bimbit di meja tepi katil ditekan. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Isha membenamkan semula kepalanya ke bantal. Mujurlah esok cuti. Kalau tidak melelonglah keretanya dipandu dalam keadaan mengantuk. Silap haribulan boleh terjun bendang.

“Szziiiiiiiiittttttt…..!!!!!”

Tiba-tiba pendengaran Isha berdesing ditusuk bunyi nyaring seperti benda tajam dicakar pada atap zink, betul-betul di tepi telinga kirinya. Spontan Isha menekup telinga kirinya sambil memerukkan kepalanya di celahan bantal dan selimut. Sakit betul telinga Isha, nyeri tak terkata. Beberapa saat juga dia berkeadaan begitu. Telinganya terasa berdengung dan pekak sebentar. Dirabanya perlahan cuping telinganya.

“Allahu Akbar!”

Jantung Isha berhenti berdetak. Darah serta-merta berhenti mengalir ke seluruh tubuhnya. Wajahnya bertukar pucat lesi. Nafasnya mencungap sebelum tangannya meraba bahagian kiri kepalanya. Isha panik. Jantung yang tadinya terhenti kini mengepam dengan dua kali ganda lebih laju. Cuping telinganya tiada di situ!

Kelam kabut dia meraba mencari cuping telinganya. Air mata meleleh laju. Kejadian itu benar-benar menakutkan Isha. Lebih mengerikan apabila tapak tangannya terhenti pada cuping telinga kirinya yang telah beralih kedudukan ke belakang kepalanya!

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!!”

Serentak itu juga kedengaran hilaian tawa yang datang entah dari mana, seolah-olah sedang mengejek dan berpuas hati dengan keadaan Isha.

“Allahh!!”

Mendadak Isha bangun terpacak di atas katil. Terpinga-pinga sebentar cuba menyatukan fikirannya yang terasa pecah mengembang. Seketika kemudian telefon bimbit di meja kecilnya dicapai lalu jam loceng yang sedang berbunyi nyaring dimatikan.

Peluh yang merenik membasahi dahi diseka perlahan. Hembusan angin sejuk dari penghawa dingin yang terpasang baru mula dirasa menyapa kulit tubuh yang basah dengan peluh. Nafas ditarik panjang. Perlahan tangannya diarah ke bahagian kedua-dua telinganya.

“Allah….aku mimpi…” Ujarnya perlahan.

Entah bila dia terlelap pun dia tidak sedar. Termenung dia seketika sebelum lafaz Ta’awuz diucapkan.




No comments:

Post a Comment