JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab 15
BARU Isha mahu bergerak turun dari katil,
tiba-tiba kelihatan lintasan kelibat hitam betul-betul di hadapannya. Isha
tergamam. Detakan jantung yang tadinya sudah stabil kembali bergolak. Matanya dikecilkan, cuba mengamati
segenap ruang bilik yang hanya disirami cahaya lampu tidur.
“Zasss..!!”
Kali ini kelibat hitam itu melintas
lagi, betul-betul hanya seinci jaraknya dari wajah Isha. Pergerakan yang begitu
laju dan mendadak tersebut membuatkan Isha terlentang semula ke belakang. Laju
Isha bernafas sambil terbaring di katil merenung siling.
Tiba-tiba terasa pergelangan kaki
kirinya dicengkam kuat.
“Arghhh!!” Spontan gadis itu menjerit kesakitan.
Serentak itu juga tangan kasar
menggerutu dan berhaba yang mencengkam kuat pergelangan kakinya itu merentap
keras tubuh Isha jatuh ke bawah. Berdentum kepalanya di lantai. Belum sempat
Isha bertindak balas dengan situasi tersebut, pergelangan kakinya sekali lagi
direntap dan tubuhnya diseret keluar dari bilik. Berapi rasa kulit belakang
badannya bergesel laju di lantai mozek.
Dalam kelam kabut itu, Isha sempat
melihat susuk makhluk yang mengheretnya. Besar, hitam, berbulu lebat persis
seperti makhluk yang pernah dilihatnya berada di belakang Fara Afiya dan Fara
Afina ketika insiden elektrik terpadam tempoh hari.
“Allah….”
Hanya itu yang terlafaz di bibir Isha
yang menggeletar menahan takut dan sakit.
Serentak itu juga makhluk yang besar
berbulu hitam itu menyeringai dan mendengus ganas dengan sepasang mata yang
merah terbelalak. Dalam tempoh sedetik, tangannya yang masih mencengkam kuat pergelangan kaki
Isha menghumban dan menghempas kuat tubuh kurus itu ke dinding.
“Arghhhh….!!”
Tuhan sahaja yang tahu, tahap kesakitan
yang sedang Isha rasakan ketika itu. Seluruh tulang-temulang di dalam tubuhnya
terasa seakan hancur berserakan. Isha terbaring lembik di lantai. Tak dapat
digerakkan lagi hatta sebatang jarinya. Jauh sekali untuk bangun menyelamatkan
diri. Nafasnya disedut dan dihembus dengan susah-payah. Nyawa terasa seperti
berada di penghujungnya.
“Allah…… Allah….” Ucapnya lemah tidak
berdaya.
Seraya itu juga, makhluk tersebut yang
tadinya hanya berderam dan merengus tidak berhenti, mengaum dengan kuat.
Benar-benar seperti bunyi ngauman seekor harimau jantan yang sangat besar.
Jatuh bertaburan barang-barang dan peralatan rumah yang berada di atas meja dan
rak almari, dek kerana kuatnya suara ngauman tersebut.
Isha hanya mampu memandang lemah ke
arah makhluk tersebut yang mendekatinya dengan pantas. Tidak mampu berbuat
apa-apa lagi. Isha dapat melihat dengan jelas, makhluk hitam berbulu lebat itu
mengangkat kakinya yang kelihatan seperti kaki haiwan bertelapuk tinggi ke
udara, sebelum menghentaknya kuat ke atas perut Isha!
“Allahhhhh…..!” Teriak Isha kesakitan
teramat.
Serta merta pandangannya menjadi kelam.
“EH…Isha dah sedar?” Sapa Kak
Syara sebaik terlihat Isha mengelip-ngelipkan matanya. Aqmar Alif yang turut
berada berhampiran mula mendekati mereka.
“Allah…Alhamdulillah…” Ucap Aqmar Alif
perlahan.
“Emm…? Isha kat mana ni…? Apa
dah jadi…?” Soal Isha lemah.
Seluruh tubuhnya terasa sakit.
Lebih-lebih lagi di bahagian perutnya. Pergelangan kakinya juga terasa
berdenyut menyucuk.
“Isha… sayang… Isha sekarang kat
hospital…” Jelas Kak Syara lembut.
“…..hospital..?” Soal Isha lagi.
Dahinya dikerutkan, bersungguh cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku,
dan kenapa dia dimasukkan ke hospital.
“Ya sayang… Isha kat hospital…dah
sehari semalam Isha tak sedarkan diri.. puas adik kakak ni tidur ya…” Balas Kak
Syara lagi. Matanya kelihatan berkaca-kaca.
Isha terdiam seketika. Sehari semalam?
“Abang! Abang… makhluk tu! Makhluk tu
nak bunuh Isha!” Jerit Isha tiba-tiba.
Memorinya mula memulih menampar
ingatan. Masih jelas di matanya imej terakhir kaki bertelapuk makhluk itu yang
diangkat tinggi ke udara sebelum dihentak keras ke perutnya. Isha bingkas
bangun seakan mahu lari menyelamatkan diri.Tapi sakit yang dirasakan di
bahagian perutnya membataskan pergerakannya.
“Aduh! Sakitnya…sakitnya perut Isha…”
Spontan tangan diraba ke permukaan kulit perutnya. Terperanjat dengan apa yang
dirasakan di tapak tangannya, segera bajunya diselak. Kelihatan parut panjang
yang masih merah seakan baru dijahit setelah pembedahan.
“Ke…kenapa dengan perut Isha, Kak
Syara?” Terketar-ketar suaranya menyoal. Takut dengan apa yang dilihat.
“Isha…Isha sabar ya sayang… Kak Syara
ceritakan satu-satu…” Pujuk Syara lembut, juga dengan suara yang bergetar.
“Apa pun yang jadi.., Isha kena sabar
ya sayang… Allah uji sebab Allah sayang, sayang…” Tumpah juga air mata wanita
itu sambil memulakan penjelasan.
Isha masih menanti dengan debaran. Air
matanya sendiri ikut mengalir laju. Pilu sudah mengguris di hati walaupun
kebenaran belum diungkap.
Aqmar Alif mendesah dan bingkas beredar
ke tingkap. Rambutnya diraup-raup beberapa kali. Nyata ada perkara yang
menganggu atau membebani fikirannya.
“Isha… macam ni… akak dengan abang
jumpa Isha dalam keadaan terbaring tak sedarkan diri dalam rumah…darah penuh di
lantai… macam ada berlaku pergelutan…?” Jelas Syara seraya bertanya.
Isha mendiamkan diri. Tak semena-mena
memori diputar kembali pada apa yang telah berlaku.
“…jadi kami terus bawa Isha ke
hospital…” Sambung Syara setelah dilihat Isha tidak bereaksi pada
pertanyaannya.
“….sayang…” Kata-kata Syara
tersangkut-sangkut.
Kepala adik iparnya kesayangannya
dielus penuh kasih.
“…doktor terpaksa jalankan pembedahan
kecemasan untuk buang rahim Isha…sebab rahim Isha rosak dengan teruk dan
berlaku pendarahan yang tak dapat dikawal…” Jelas Syara sambil menangis.
Isha terkedu. Kepalanya terasa
melayang-layang. Perlahan-lahan air mata mula membanjiri wajah bersihnya.
“Kak… maksudnya… Isha… dah… tak
boleh….” Luahan Isha yang tersangkut-sangkut akhirnya hanya terhenti di situ.
Syara terus merangkulnya erat. Dia
sendiri tersedu-sedu mengenangkan ujian yang tertimpa pada adik yang dikasihi.
Mata Aqmar Alif sendiri basah mendengar
perbualan kedua wanita yang disayangi. Rambutnya diseka-seka berulang kali.
Hilang peluang untuk memiliki malaikat kecil dalam rahim sendiri bukanlah ujian
yang kecil untuk seorang wanita. Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui…
betapa dalamnya luka itu untuk hambaNya yang bernama perempuan.
Ya Allah…kami berharap pada rahmat dan
kasih sayangMu.. sesungguhnya perancanganMu adalah yang terbaik. Dan aturanMu
Maha Hebat. Pujuklah hati kami dengan kelembutanMu Ya Latif…
Yakinkanlah kami dengan janji-janjiMu
Wahai Allah… dan gembirakanlah kami dengan nikmat kurniaanMu..
“….dan bersabarlah atas apa yang
menimpamu…”
[Surah Lukman: 17]
“….sesungguhnya Allah bersama
orang-orang yang sabar.”
[Surah al Baqarah: 153]
“Isha…” Panggil Aqmar Alif sambil
mendekati satu-satunya adiknya.
“Boleh bagitahu abang…, apa yang
berlaku sebenarnya…?” Soal Aqmar lembut, memulakan perbincangan dengan serius.
Dia perlu tahu, apa sebenarnya yang
telah berlaku, hingga menyebabkan kecederaan begitu kepada adiknya. Nyaris
sahaja nyawanya melayang jika dia ditemui lebih awal.
Isha dan Syara yang tenggelam dalam
bawaan emosi mula mereda esak tangis
mereka.
“Isha… abang… ada makhluk hitam besar
berbulu lebat serang Isha abang..” Ujar Isha sambil mengerut-ngerutkan dahi,
memaksa kotak fikirannya bekerja mengingati kejadian malam itu.
Berubah wajah Aqmar Alif dan Syara,
terkejut dengan penjelasan Isha. Langsung tidak sangka kecederaan serius yang
berlaku pada gadis itu adalah berkaitan dengan perkaara mistik. Aqmar Alif
mengenggam penumbuk. Ini keterlaluan!
“Mula-mula..Isha mimpi buruk.. lepas tu
bila terjaga, Isha nampak kelibat melintas laju depan Isha.” Sedaya upaya dia cuba menyusun semula kejadian yang
berlaku dengaan pantas tersebut.
“Tiba-tiba makhluk tu rentap kaki Isha.
Dia heret Isha kat lantai. Lepas tu… dia hempas Isha kat dinding.” Ceritanya
satu persatu. Masih terasa-rasa sakitnya tubuhnya dihempas kuat ke dinding
simen.
“Last Isha ingat.., dia pijak
perut Isha kuat abang… kaki dia..macam kaki lembu, kaki kuda macam tu…”
Sambungnya lagi.
Tangannya mengarah ke perut sendiri.
Mula memahami apa yang telah berlaku, kenapa rahimnya rosak teruk sebegitu
rupa..
Bagai terhenti nafas Aqmar Alif dan
Syara mendengaar rentetan kejadian yang berlaku. Saat-saat genting ketika Isha
diserang sewaktu bersendirian di rumah.
“Abang!” Isha tiba-tiba tersentak
seolah-olah baru teringat sesuatu.
“Isha pernah nampak makhluk tu abang.
Masa tu Fiya dengan Fina ada. Dia berdiri betul-betul kat belakang diorang.
Allah….Allah… nasib baik Fiya dengan Fina tak ada abang…kakak… Allah….” Menderu
semula air mata Isha apabila teringatkan kedua anak buah kesayangannya itu.
Allah Maha Besar. Mujurlah mereka
berdua tiada bersamanya ketika dia diserang malam itu. Tidak dapat dibayangkan
sekiranya anak-anak kecil itu yang dicederakan makhluk jahat tersebut. Isha
tidak mahu! Tak sanggup! Sudah cantik semua yang Allah susun. Isha tidak kisah
walaupun langsung tidak berpeluang merasa mempunyai zuriat sendiri. Bukan
sahaja rahimnya, bahkan nyawanya juga sanggup dijadikan tukaran sekiranya
anak-anak itu yang menjadi taruhan.
Allah lebih tahu semua itu. Allah lebih
tahu, ujian yang mana yang mampu digalas seorang Alya Alisha. Kepala Isha
terangguk-angguk perlahan dengan bicaranya sendiri dalam hati. Dalam diam
menyetujui perancangan Penciptanya. Dalam diam mensyukuri aturan Tuhannya.
Allah…
Alhamdulillah… Alhamdulillah a’la kulli
hal….
“Melampau!” Aqmar Alif bersuara kuat.
Hilang sabar lelaki itu dengan musuh tak
bernama yang tidak sudah-sudah membuat onar pada keluarganya. Entah siapa yang
tak puas hati sangat pada mereka.
Kedua-dua Isha dan Syara tersentak. Air
liur ditelan. Diam tidak berkutik mereka untuk sejenak. Syara sendiri tidak
berani berkata apa-apa untuk menyejukkan hati suaminya kala itu.
“Allah….” Ujar Aqmar Alif perlahan
sambil kedua-dua belah tangannya meraup wajah.
“Abang nak pergi jumpa Ustaz Abbas. Apa
yang berlaku kali ni memang melampau. Tak boleh dibiarkan lagi. Kita kena
hentikan apa yang diorang buat ni.” Tegas suaranya.
Syara dan Isha hanya saling
pandang-memandang antara satu sama lain.
BUNYI air dari tandas yang dipam mengejutkan
Isha dari tidur. Entah bila dia terlelap pun dia tak sedar. Mungkin tubuhnya
masih lemah setelah dibanting kuat dan seterusnya menjalani pembedahan. Jarum
di tangan diusik sedikit. Sakit.
Pandangan Isha melata ke sekeliling.
Tiada sesiapa di situ. Abang Alif mungkin masih belum pulang dari rumah Ustaz
Abbas. Jadi mungkin Kak Syara yang berada di tandas. Sememangya bilik di
hospital swasta tersebut hanya menempatkan Isha seorang. Selain tandas yang
disediakan di dalam bilik, ada juga sofa dan meja kopi ditempatkan di ruang
bilik yang agak luas untuk keselesaan pesakit dan ahli keluarga.
Tidak semena-mena jantungnya
berdebar-debar. Rentak debaran yang hanya berlaku bila…
“Eh! Awak dah bangun?” Sapa Hud
Hurairah yang baru keluar dari bilik air.
Bulat mata Isha merenung susuk di
depannya. Apa dia buat kat sini? Kelam kabut dia berpusing keliling mencari
tudung. Tudung yang tersangkut di hujung kepala katil disauk dan disarungkan ke
kepala, gelojoh. Sedetik kemudian mereka berdua terkebil-kebil bertatapan mata
antara satu sama lain.
Berkerut seribu wajah Hud Hurairah
menahan tawa. Habis herot-berot wajah kacaknya. Isha mencemik pelik. Kenapa?
Apa yang lucu?
Seraya itu juga Hud Hurairah memutarkan
jari telunjuk di wajahnya sendiri. Memberi isyarat kepada Isha. Tudung yang
dipakai terkalih! Atas ke bawah, bawah ke atas. Potongan jahitan berbentuk
segitiga yang sepatutnya berada di bahagian dagu sudah terkalih ke atas dahi.
Bahagian awning tudung pula berada di bawah dagunya. Aduhai….
Isha menjeling sepintas lalu, menahan
malu, sebelum kedudukan tudungnya dibetulkan. Keras juga perutnya yang masih
berjahit cuba menahan tawa dari meledak. Hud Hurairah menghampirinya dengan
senyum yang tertahan-tahan.
“Awak ni kan…dari dulu lagi.., kalau nampak saya je, mesti
terus kelam kabut macam ni.” Ujarnya
lucu.
“Berdebar-debar ke tengok saya?
Suka sangat kat saya eh?”
Soalnya selamba.
“Zupp!!”
Isha tersentak. Rasa macam kena panah
tepat ke tengah jantung. Bull’s eye!
“Eh..mana ada..mengarutlah cikgu ni..
perasan. Saya cuma nak cepat pakai je tudung ni tadi.” Dalih Isha, cuba
menutup gugup.
Jantung kat dalam tengah bergendang jangan
ceritalah. Lagi rancak dari tarian singa
yang selalu dibuat dari rumah ke rumah semasa sambutan perayaan Tahun Baru
Cina!
Terletus juga gelak Hud Hurairah,
melihatkan kekalutan gadis itu, dengan kedua-dua belah pipi yang sudah memerah.
“Alah…tak nak mengaku pulak…saya
tahulah…awak suka sangat kat saya… tu, jantung kat dalam tu. Dup dap dup
dap! Dengar sampai sini tau.” Usiknya lagi, masih belum puas mahu menyakat.
Spontan Isha memegang dadanya sendiri,
yang sememangnya tengah mengocak kencang. Betul ke dengar?
Berhambur lagi ketawa Hud Hurairah
melihat reaksi comel gadis itu.
Terkelip-kelip Isha memandangnya.
Lelaki ini dah kenapa? Berani sangat bergurau bukan-bukan ni hari ni. Main
cakap lepas sesedap rasa dia aje! Mentang-mentanglah hanya mereka berdua
saja di situ ketika itu. Mana Kak Syara ni. Kak Syaraaa….!
“Hai awak ni… tahulah saya ni bekas
cikgu awak. Benda macam ni pun nak kena tunggu saya ajar jugak…” Sambungnya
lagi, bersulam ketawa nakal.
“Ni…cakap macam ni.. I… love…
you….!” Tambahnya lagi, sambil tersengih suka.
Terbuntang biji mata Isha dibuatnya.
Dah habis besar matanya yang bulat itu. Sikit lagi je, nak terkeluar
dari soket!
“Wehhh…dah kenapa dengan orang nii…. Biar
betuuulll…!” Teriaknya sendiri dalam hati.
Sekarang apa nak buat niii…. Nak bangun
lari pergi tandas? Nyorok bawah katil? Atau nak lompat keluar je dari
tingkap sebelah ni??!!
“Isha…. Seriously… I love you…”
Hud Hurairah mengulang kata-katanya. Kali ini nadanya berubah. Lebih lembut,
lebih tegas… juga ada getaran yang dalam.
Isha rasa pening-pening lalat.
“Kalau aku pitam sekarang, ok
tak?” Soalnya pada diri sendiri. Berkira-kira untuk pura-pura pengsan, bagi
melarikan diri dari situasi tersebut.
“Saya….” Hud Hurairah terhenti, nafas
cuba disedut sedalamnya, cuba mencari kekuatan untuk menuturkan ayat
seterusnya. Sejujurnya, tubuhnya sendiri pun sedang menggeletar tidak keruan.
Tadi je, berlagak selamba sangat!
“Isha… saya… dah lama sukakan awak.
Saya… betul-betul sukakan awak. Suka… yang betul-betul suka. Bukan suka yang
main-main. Memang saya tak main-main betul-betul sukakan awak. Suka awak
sangat-sangat.” Terbelit-belit lidahnya sendiri menuturkan ayat yang
dirasakannya berulang-ulang dan berterabur.
Isha sudah keras menjadi patung. Air
liur yang sedari tadi tak lepas di tekak cuba ditelan.
“Isha.. saya..pernah berniat.. nak
lamar awak menjadi isteri saya yang sah, selepas awak habis belajar…” Air liur
sendiri ditelan. Rahsia hatinya yang dipendam sekian lama cuba diungkapkan pada
gadis itu dengan susah-payah.
“Tapi.. saya terpaksa turutkan kemahuan
arwah ayah saya.. untuk berkahwin dengan sepupu saya. Isha…masa tu… saya
betul-betul tak berdaya.” Ujarnya lagi.
Kolam matanya mula bergenang.
Sememangnya tiada siapa yang tahu, betapa hancurnya sekeping hati lelakinya,
bila mana dia terpaksa berpindah dan berjauhan dari gadis kesayangannya itu,
sekaligus berkahwin dan mendirikan rumah tangga dengan Sakeena.
Hanya Sang Pencipta hatinya sahaja yang
tahu, betapa tersiksanya dia. Betapa perasaannya pada gadis itu benar-benar
kuat, benar-benar tulus. Tetapi dia hanya mampu menyerahkan urusannya, seluruh
hidupnya pada Tuhannya pada waktu itu. Tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya
Allah, semata-mata.
Dan sekarang, takdir membawa gadis itu
kembali ke dalam hidupnya.
Tersentuh Isha melihat reaksinya yang
kelihatan begitu bersusah-payah memberi penjelasan. Teringat dia sepintas
tentang kisah hidup lelaki itu yang telah lebih dahulu dimaklumkan pada Isha
oleh Cikgu Haidar sebelum ini.
“…dan sekarang.. awak ada dengan saya
lagi.. saya…takkan lepaskan awak, apa pun yang jadi. Saya…tak nak kehilangan
awak lagi…” Ujarnya penuh kesungguhan.
Tanpa sedar, butiran air mata jatuh
menitis di kedua-dua pipi Alya Alisha. Tidak sangka dengan pengakuan yang
didengarnya ketika ini.
“Saya… cintakan awak… Alya Alisha
Arif.” Bergetar suaranya mengungkapkan sebaris ayat tersebut.
“…dan saya…. nak awak jadi… isteri saya
yang sah… peneman hidup saya… pelengkap agama saya…” Ucapnya lagi. Jelas,
lembut, dan tegas.
Hud Hurairah mengenggam kuat tangannya
sendiri. Nak genggam tangan gadis manis ini, belum boleh lagi! Liurnya sendiri
ditelan berkali-kali.
“Yeayyy mama Chu terimalah!!”
Suara Akmal tiba-tiba mengejutkan kedua mereka yang sedang tenggelam dalam
emosi dan situasi.
Syara kembali menutup mulut Akmal
sambil tersengih kerang. Sudah ditutup mulut anak kecil itu supaya tidak
menganggu sejak tadi, terlepas pula.
“Betul tu mama Chu terimalah! Ammar
suka uncle ni! Uncle ni handsome!” Sampuk Ammar pula
sambil menggoyang-goyangkan tangan papanya.
Aqmar Alif dan Ustaz Abbas yang turut
berdiri tercegat di situ ikut menayangkan sengihan kerang seperti Syara. Entah
sejak bila mereka berdiri diam di situ menonton drama swasta tidak berbayar di
depan mata!
Mereka berdua pula langsung tidak sedar
bila mereka yang lain itu masuk ke bilik. Agaknya kalau berlaku gempa bumi di
luar, atau hospital tersebut diserang zombi pun, langsung mereka tak perasan!
Hud Hurairah dan Isha saling
berpandangan. Spontan keduanya mula buat aksi P.Ramlee ketika berdepan dengan
Cik Salmah dalam filem Seniman Bujang Lapuk. Seorang kalut check besi
katil hospital. Seorang lagi sibuk cari kutu khinzir!

No comments:
Post a Comment