JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab 13
“WEY!
Kau pergila tengok, siapa yang ketuk pintu tu!” Suruh Wan.
“Eh,
apa aku pulak, kau la pergi!” Tolak Lana.
“Hish!
Penakutlah kau ni. Kaulah pergi Hawa!”
Hawa
menelan liur yang terasa kesat.
“Last-last
aku jugaklah. Hampeh betul budak Wan ni. Dia yang penakut, habis orang
lain semua disuruhnya.” Bebel Hawa sendirian dalam hati.
Baru
dia hendak mengatur langkah menuju ke pintu, tiba-tiba lampu terpadam.
Gelap-gelita seluruh ruang bilik dorm mereka. Tersentak mereka berempat.
“Ah
sudah…dia main lampu pulak…” Syu bersuara perlahan.
Ketukan
di pintu masih bertalu-talu. Terkadang kuat, terkadang perlahan.
“Siapa
tu hah…??” Buat kesekian kalinya Lana menyoal.
Masih
tiada yang menyahut di luar. Ketukan masih berterusan. Sesekali tombol pintu
dipulas-pulas perlahan dari sebelah luar. Bagai sengaja mahu menambah kecut di
perut orang di dalam. Dalam kelam-kabut itu, Hawa mengorak langkah sambil
menyua tangan, cuba meraba dinding.
Tiba-tiba,
prapp!
“Hoit,
apa tu…” Wan berbisik.
Sekali
lagi air liur ditelan.
“Aku…
terpijak laptop…” Mahu tak mahu Hawa terpaksa jujur.
Laptop
yang masih terpasang filem seram Melayu tersebut menjadi mangsa tapak kaki Hawa
yang bersaiz 40. Tak dapat dipastikan tahap kecederaan komputer riba yang tidak
bersalah itu, dalam keadaan gawat begini.
Tadi
mereka sedang menonton filem ‘Jangan Pandang Belakang’ beramai-ramai. Elok
sahaja sampai di bahagian Opah memanggil-manggil ‘kawan’ Darma
masuk ke rumah.. pintu bilik mereka tiba-tiba diketuk. Apa lagi.., menyacak
bulu roma masing-masing.
“Hahh..??
laptop aku Hawaaa…” Teriak Wan dengan suara yang cuba dikawal rendah.
“Ala…sorry
la.. aku tak nampak..gelap…” Jawab Hawa serba salah, juga dengan suara
berbisik.
“Nanti
aku…” Kata-katanya terhenti dengan bunyi aneh yang kedengaran halus.
“Phisshh…..”
Masing-masing
menyepikan diri. Memasang telinga mengamati bunyi yang terdengar dekat.
“….puut..”
Bunyi tadi berakhir dengan lembut.
Serentak
itu bau yang agak kurang enak mula menikam hidung masing-masing perlahan-lahan.
“Weh..
bau apa….” Lana tidak sempat menghabiskan ayatnya.
“Shhh…
orang pesan, jangan tegur…” Potong Syu pantas, dengan nada yang begitu
bersungguh. Perlahan tangannya menggosok perut.
“Eh…ni bau ni aku kenal ni…” Wan tiba-tiba
menyampuk.
“Ha’ah…
kau kentut eh Syu!” Tembak Hawa.
Spontan
mereka memicit hidung, geram.
MENGEKEK-NGEKEK Fara Afiya dan Fara Afina ketawa
mendengarkan bacaan Isha. Sudah menjadi kebiasaan tiga beranak itu setiap malam
sebelum tidur. Isha akan membacakan sedikit buku cerita kepada puteri-puteri
kecil kesayangannya itu. Buku cerita kanak-kanak yang memaparkan kisah haiwan
hutan, buku kisah-kisah para Nabi dan sahabat, buku tauladan, dan yang menjadi
kegemaran mereka sekarang, buku kisah seram kelakar.
“Eeee Syu kentuuutt…!” Ujar Fara
Afina sambil ketawa,
“Puut…!” Sambung Fara Afiya masih mengekek
lucu.
Isha sendiri turut ketawa suka. Menarik
juga buku yang mereka baca sejak beberapa malam yang lalu. Kisah pengalaman
seram lucu beberapa orang pelajar asrama.
“Haa…dah…esok pulak kita
sambung.” Ujar Isha setelah tawa mereka reda.
“Alaa….mama…sikit lagilah…sikit lagi
je…” Rengek Fara Afina.
“Tadi dah sikit lagi dah. Dah, dah…
esok pulak sambung. Esok sekolah kan sayang. Pukul berapa dah ni.” Bantah Isha.
Kalau diturutkan budak-budak ni, tak
tidurlah jawabnya mereka. Nanti esok pagi masing-masing meragam buat perangai
bila dikejutkan untuk bangun ke sekolah.
Lagi-lagi si adik. Memang anak nombor dua ni lain sikit karakternya.
Kebanyakan yang Isha dengar dari pengalaman rakan-rakan, serta orang yang lebih
tua begitulah. Berbeza dengan karakter si kakak yang lebih mudah mengikut
arahan serta lebih bertolak ansur dengan adiknya. Tetapi kalau sudah terasa
hati, susah pula mahu dipujuk anak itu.
Kalau mengikut pengalaman Isha juga
begitu. Ibu dan ayahnya menghadapi cabaran yang lebih dalam membesarkan abang
Aqmar, jika nak dibandingkan dengan dirinya dan Kak Leeya. Entah berapa kali
ibunya mengurut dada sewaktu abang Aqmar pulang ke rumah dengan berdarah-darah.
Jatuh, bergaduh. Ada juga ayahnya dipanggil orang untuk melihat anak lelakinya
itu yang dikhabarkan lemas di sungai.
Tidak terkira pula berapa kali mereka mengunjungi hospital gara-gara Aqmar Alif
seorang.
Mungkin juga kerana dia seorang sahaja
anak lelaki dalam adik-beradik mereka. Lasaknya lain macam betul berbanding kakak
dan adik perempuannya. Tetapi dia memang bersikap sangat melindungi kepada Isha
dan Kak Leeya. Pantang dia kalau mereka berdua diganggu atau diusik. Pasti akan
diajar pengacau tersebut habis-habisan. Dengan Farhan pun sudah berapa kali
diterkamnya sejak menjadi abang ipar mereka. Panas hati dengan sikapnya pada
Kak Leeya. Mujur sempat ditahan Encik Arif.
“Ala mama ni…sikit je lagi…” Fara AFina
masih merengek tak puas hati.
“Mama kata sudah sayang. Esok kita
bacalah lagi.” Tegas Isha.
Fara Afina segera menarik selimut
dengan muka monyok.
“Baca doa tidur sayang…. comel-comel
busuk-busuk mama ni…” Sengaja Isha menggeletek leher anak kecil itu untuk
memujuknya.
Fara Afina hanya mengeraskan badannya
dan berpusing membelakangi Isha, menghadap kakaknya.
“Dia senyum mama..” Lapor Fara Afiya .
Isha tersengih. Dielus lembut rambut
Fara Afiya sebelum dahi anak itu dikucup penuh kasih. Kemudian perbuatan yang
sama diulang pada si adik.
“Fiya baca doa sayang…” Pinta Isha.
“Bismillahirraahmanirrahim….” Lancar
Fara Afiya membacakan surah-surah amalan mereka sebelum tidur.
Ayat Qursi, surah al Fatihah, surah
al-Iklas diulang sebanyak tiga kali, sebelum disambung dengan surah al-Falaq
dan an-Nas. Tidak lupa juga doa sebelum tidur, dan diakhiri dengan kalimah
syahadah dan selawat kepada Nabi. Kemudian dihembus kedua tapak tangannya lalu
diraup ke muka dan disapu ke seluruh badannya hingga ke kaki. Perbuatan itu
diulang sebanyak tiga kali. Isha yang dari tadi mengikut bacaannya
perlahan-lahan turut meniru pergerakannya bersama-sama.
Seterusnya ditiupkan pula adiknya yang
masih terbaring berselimut, konon-konon merajuk, bermula dari atas kepala
hingga ke hujung kaki. Diulangnya tiupannya sebanyak tiga kali. Tersenyum Isha
melihat tingkahnya. Senang hati melihat sikapnya.
Memang itu yang Isha ajarkan selalu
bila si adik tertidur lebih awal tanpa sempat membaca doa, atau sewaktu Isha
uzur. Fara Afiya akan membacakan doa untuk dirinya dan menghembus tubuh adiknya
dan juga Isha. Memang anak itu seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.
Kemudian dia menerpa dan mencium pipi
Isha.
“Thank you sayang, I love you…”
Ujar Isha sambil membalas ciumannya.
“I love you too…” Balas Fara
Afiya sambil menarik selimut.
“I love you baby….” Bisik Isha pada Fara Afina yang sedang
pura-pura tidur.
Isha mematikan lampu utama dan
menggantikannya dengan lampu tidur yang menghasilkan imej corak bintang
berkelip dan berwarna-warni di siling dan dinding bilik. Lalu kepalanya
direbahkan penuh nikmat ke bantal. Matanya dipejamkan rapat beberapa saat sebelum
kembali terbuka luas.
Terkebil-kebil dia memerhatikan
kerlipan cahaya lampu tidur tersebut di siling. Tidak semena-mena perbualannya
dengan Cikgu Haidar siang tadi terlayar di ruang fikiran.
“ALONG sekarang single and
available tau..” Ujar Cikgu Haidar lagi, masih tersengih-sengih.
Pernyataannya berjaya mencuri perhatian
Isha yang sejak tadi tunduk merenung kertas borang pendaftaran. Cikgu Haidar
tersengih nakal. Pancing mengena!
Isha masih terkebil-kebil menanti
penjelasan seterusnya dari Cikgu Haidar.
“Err… along sebenarnya.. dah
lama kehilangan isteri dan dua orang anak perempuannya… mereka dah meninggal…”
Jelas Cikgu Haidar dengan berhati-hati.
Bicara seterusnya dirangka di dalam
kepala, cuba menyusun isi cerita yang ringkas dan mudah untuk difahami Isha.
“Innalillahi wainnailaihiroji’un…..”
Ucap Isha perlahan.
“Err…macam ni… lebih kurang 6,7 tahun yang lalu…, anak-anak
kembar along… diculik… kemudian..akibat dari peristiwa tu…, isteri along
mengalami kemurungan daan depresi yang berat…, hingga akhirnya meragut nyawanya
sendiri…” Ujar Haidar Huzaifah memulakan cerita.
Isha hanya diam mendengar dengaan
tekun.
“Beberapa tahun lepas tu pula…, pihak
polis menemukan… rangka kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa sindiket
perdagangan manusia yang melibatkan penjualan organ di pasaran gelap… anak-anak
perempuan along…turut dikenal pasti sebagai mangsa di antara mereka…” Jelas
Haidar Huzaifah lagi.
Air liur ditelan kelat. Masih terkesan
dengan peristiwa hitam yang menimpa keluarga mereka itu.
Isha sendiri begitu terkejut mendengar
cerita Cikgu Haidar. Dia langsung tak sangka, perkara sedahsyat itu telah
menimpa keluarga Cikgu Hud. Bertimpa-timpa rasa simpati menindih hati kepada
bekas gurunya itu.
Haidar Huzaifah tersenyum lemah melihat
reaksi Isha. Memang dia sudah mengagak penerimaan gadis itu dengan berita yang
disampaikan.
“Allahu Akbar….” Hanya itu yang
terluncur keluar dari bibir Isha.
“Kalau Fateema dan Ameena masih
ada…mungkin mereka lebih kurang sebaya Fara sekarang…” Ujar Haidar Huzaifah
sambil mengukir senyum nipis.
“Sebab tu lah…macam yang Cik Isha
tengok.., penampilan along seperti agak kurang terurus…” Sambungnya lagi.
“Tak mudah untuk along bangun semula
setelah apa yang berlaku. Walaupun sekarang ni pada asasnya dia menjalani hidup seperti biasa…, tapi sedikit sebanyak
dia masih lagi dirundung rasa sedih dan kehilangan…” Jelas Cikgu Haidar dengan
nada mendatar.
“…sampailah baru-baru ni…., dia nampak
lain… nampak ceria…. Saya….dah lama tak nampak dia senyum…” Sambungnya
kemudian, dengan nada yang agak teruja.
“TING TONG!!” Deringan loceng pintu yang memecahkan
kesunyian malam merenggut lamunan Isha. Tersentak dia mengurut dada. Pantas
tangannya menggapai telefon bimbit.
“Ish.. dah pukul berapa ni..siapa pulak
yang datang malam-malam macam ni.” Sungutnya sendirian.
Perasaan kurang enak mula menerpa.
Seraya skrin telefon pintar ditekan-tekan, cuba mencari jika ada yang
menghantar pesanan untuk datang ke rumah pada waktu begitu. Kosong.
“Ting tong! Ting tong!” Tetamu di luar masih setia membunyikan
loceng dan tidak menunjukkan tanda mahu beredar. Isha masih enggan menyambut
kehadiran tamu tidak diundang tersebut. Perlahan dia menyusup ke tepi tingkap
sambil mengintai ke pagar. Risau juga..entahkan orang..entahkan mambang yang
main loceng!
Isha dapat mengecam susuk yang sedang
terhendap-hendap di luar pagar dengan bantuan lampu jalan yang terang di
hadapan rumah mereka. Jiran sebelah mereka, Faiz kelihatan masih berusaha
menekan loceng dengan sebelah tangannya lagi kelihatan seperti sedang membimbit
bungkusan plastik.
“Arghhhh...!” Suara tangisan kanak-kanak secara
tiba-tiba diikuti tempikan marah seorang wanita mengejutkan Isha. Faiz juga
tampak tersentak dan kelam kabut pulang ke rumahnya. Isha menarik nafas lega.
Termasuk malam ini, sudah hampir 3 kali
lelaki itu bertandang ke rumahnya lewat malam hanya semata-mata mahu memberikan
makanan yang dibawa pulang dari masjid.
Memanglah, kalau diikut logik waktu
pulangnya bertepatan dengan masa ceramah atau kuliah agama di situ tamat,
tetapi agak kurang sesuai pula menurut Isha untuk menghantarkan makanan ke
rumah wanita bujang hampir tengah malam begitu. Seolah membuka ruang mudah
untuk jiran-jiran lain memandang serong atau bergosip.
Suara tangisan kanak-kanak tadi mula
mereda dan suasana malam kembali tenang.
“Tidur Isha tidur... karang esok
mengantuk nak drive...” Bebelnya sendirian. Isha menyembamkan wajahnya
ke bantal, bergolek-golek mencari posisi yang selesa untuk belayar ke alam
mimpi. Tasbih digital yang terselit di celah bantal digenggam erat. Belum pun
sampai sepuluh kali butangnya ditekan, dia sudah terlena.
“ALYA ALISHA ARIF!” Terjegil mata bulat Hud Hurairah
melihatkan isi buku latihan Isha yang terlindung separuh dengan tangannya.
Terkejut monyet Isha dibuatnya. Habis
terconteng panjang lakarannya di helaian kertas tersebut. Belum sempat dia
berbuat apa-apa, Cikgu Hud sudah menarik bukunya dari meja.
“Saya suruh awak selesaikan soalan ni,
awak pergi lukis Son Goku??!” Suara hairan bercampur terkejut Cikgu Hud
disambut dengan ketawa lucu rakan-rakan sekelas yang lain.
Ada yang sibuk-sibuk bangun dari tempat
duduk masing-masing untuk ikut menjenguk lukisan yang dimaksudkan. Riuh mereka
mengetawakannya, tak kurang juga yang memuji lukisannya.
“Bertuah punya budak... Awak pun minat Dragonball
ye?” Perli Cikgu Hud sinis.
Isha tunduk diam menekur meja. Merah
padam mukanya menahan malu dan rasa bersalah. Apa nak buat, dia benar-benar
tidak meminati subjek Matematik Tambahan.
Berpusing kepala otaknya cuba menghafal
dan memahami formula dan jalan kira yang diajar. Sudahlah berbelit-belit
panjang, kemudian bila sampai ke akhir, jawapan yang diperoleh salah pula.
Sudah satu hal mahu menyemak semula dari awal di mana salahnya. Bosan betul!
Berbeza sungguh dengan subjek Matematik
Moden yang selalu diskor A. Padahal kedua-duanya menggunakan nombor-nombor yang
sama? Hairan betul...
“Hah! Diam pulak dia.. awak jangan
tiba-tiba nak bertukar jadi Super Saiya pulak!” Hentam Cikgu Hud masih
belum puas menyakat gadis itu.
“Kaa...meee...haa...mehaaa...!!!” Sambut seorang pelajar lelaki sambil
menggayakan aksi berlawan popular dalam siri kartun Mutiara Naga yang terkenal
di kalangan kanak-kanak dan remaja ketika itu.
Hingar-bingar kelas 5 Alfa dihiasi
gelak ketawa pelajar-pelajarnya mengusik Isha petang itu. Mujur sahaja dia
tidak boleh menggunakan teknik Gerakan Sejenak untuk menghilangkan diri
dari kelas waktu itu. Kalau tidak, sesaat pun dia tak mahu tunggu di situ lagi.
“Adoi...Alya Alisha Arif...lucu
la kamu ni... ” Cikgu Hud turut mengekeh ketawa dengan gelagat pelajar
kesayangannya itu.
Memang dia sudah maklum dari awal Isha
agak lemah dalam menguasai subjek tersebut. Sedangkan dia sering mendapat
markah yang tinggi untuk mata pelajaran yang lain. Lagi-lagi mata pelajaran
Bahasa Inggeris. Bangga betul Teacher Syuhada jika bercerita tentang
Isha pada rakan-rakan guru yang lain.
Besar harapannya untuk melihat Isha menceburi
bidang pendidikan dengan mengambil Bahasa Inggeris sebagai subjek utama. Anak
itu punya kelebihan dalam mengarang. Penulisannya boleh sampai ke hati pembaca.
Sudah beberapa kali Teacher Syuhada menitiskan air mata sewaktu menanda
kertas ujiannya.
Sampaikan pelajar nombor satu harapan
sekolah yang disasarkan untuk meraih keputusan straight A juga tidak
mampu menandinginya dalam subjek tersebut.
“Dah...buku awak ni saya simpan. Nanti
saya nak masukkan dalam frame, gantung kat dinding.” Ujar Cikgu Hud
masih mengulum senyum.
Isha tetap mematungkan diri memaku
pandangan ke meja. Terasa kebas mukanya menahan usikan demi usikan dari guru
dan rakan-rakan.
“Start minggu depan, awak kena
balik lewat dari orang lain sebagai denda. Saya akan buat latih tubi dengan
awak sampai awak mahir.” Tegas Cikgu Hud memberikan hukuman.
Isha menelan air liur yang terasa
kelat. Nasib...nasib...

No comments:
Post a Comment