Thursday, May 2, 2024

SUARA MALAM (BAB 1)

 

SUARA MALAM

 

    BAB 1

HEMBUSAN angin sejuk menyapa lembut permukaan kulit tangan Lana yang terdedah. Lana merinding kesejukan. Lain macam pula rasanya suasana malam ini. Nak kata nak hujan, tak ada pula nampak tanda-tandanya. Lagipun seminggu dua ni memang cuaca elok.. tiada hujan. Lana mendongak ke langit sambil menggosok-gosok lengannya. Baju t-shirt berlengan panjang bercorak belang hitam dan putih itu tidak mampu melindungi tubuhnya dari sentuhan dingin sang bayu malam itu. Langit kelihatan kosong tak berbintang.

“Jangan-jangan memang nak hujan tak?” Desisnya sendirian.

Gelas plastik di depannya yang berisi air ais kosong ditenung hambar. Sesekali penyedut minuman di dalamnya diusik-usik. Keluhan ringan dilepaskan perlahan. Jam yang menghiasi pergelangan tangannya diintai buat kesekian kalinya. Dah hampir pukul 10 malam. Lana mula gelisah.

Korang ni lambat betul la makan… cepatlah sikit.. assignment banyak lagi tak siap ni…” Omelnya tak puas hati kepada rakan-rakannya yang sedang enak mengunyah makanan.

“Alaa… rileklah kau ni… awal lagi ni.. assignment tu pun bukannya kena hantar minggu ni jugak pun..” Sahut Hawa dengan mulut yang separuh penuh.

Ha’ah kau ni.. kalut sangat kenapa… aku ni belum mula apa-apa pun lagi.” Sampuk Wan pula sambil bersandar perlahan di kerusi plastik yang didudukinya. Kenyang.

Lana tayang muka geram.

Ha’ah.. memanglah korang rileks.. korang ada laptop sendiri.. tak macam aku dengan Syu.. kalau tak menumpang ihsan korang untuk pinjamkan laptop, dah tentu kitorang kena tunggu giliran kat makmal komputer atau library…” Kata-kata itu hanya bergumam di dalam hatinya. Bimbang jika terluah nanti lain pula jadinya. Silap-silap kawan-kawan sebilikya itu dah tak mahu pinjamkan komputer riba mereka kepadanya lagi.

Syu berdehem kecil, mungkin cuba melancarkan tekaknya sebelum ikut campur dalam perbualan mereka.

“Dekat pukul 10 dah ni korangkejap lagi  makin sunyi nak lalu ‘jalan’ tu… lagipun aku rasa sejuk lain macam pulak malam ni.. kau orang tak sejuk ke? Kalau hujan ni niaya kita nak kena berlari balik… dahlah nyamuk pun banyak ni…” Syu bersuara perlahan. Sengaja ditekankan suaranya apabila menyebut perkataan ‘jalan’. Dengan harapan rakan-rakannya itu cepat menghabiskan makanan dan pulang ke bilik mereka.

Lana pula pantas menepuk-nepuk kaki dan pehanya, seraya tergaru-garu kecil. Konon-konon sibuk menampar nyamuk, bagi menyokong kata-kata Syu.

Wajah Hawa dan Wan kelihatan  berubah seketika.

Yelah-yelah kejap aku habiskan nasi ni… sayang… karang kau jugak yang marah aku membazir.” Leter Hawa sambil melajukan suapan.

Lana dan Syu menarik nafas lega.

“Tahu takut juga budak  berdua ni…” Bisik Lana sendiri.

Jalan yang dimaksudkan adalah lorong kecil yang terletak di tengah-tengah antara kolej kediaman mereka dengan kedai makan tempat mereka menjamu selera yang digelar ‘kandang’. Asal nama kedai itu adalah Medan Selera Jalan Fateh. Tapi namanya terlalu panjang untuk dijadikan bualan. Lagipun, keadaan kawasan itu di tanah lapang yang agak mencuram ke bawah dari jalan besar, ditambah dengan pagar kayu ringkas di kelilingnya membuatkan kedai makan itu popular dengan nama ‘kandang’ di kalangan pelajar-pelajar universiti berdekatan.

Biasanya semakin lewat malam semakin meriah kedai makan tersebut dengan para pelajar. Pagar kolej pula hanya akan ditutup pada pukul 11.30 malam. Sesiapa yang pulang lebih lewat dari itu akan dikenakan tindakan dan mendapat demerit di mana pemarkahan keseluruhan mereka akan ditolak, yang mana pastinya akan menjejaskan pencapaian mereka.

Lana serik kerana perkara itu pernah berlaku kepadanya dan Syu, sewaktu mereka bersusah-payah memanjat pagar kolej di tengah malam, semata-mata untuk mencetak keluar tugasan mereka di kedai berdekatan kolej yang sememangnya menyediakan perkhidmatan mencetak untuk pelajar-pelajar universiti di situ. Itupun gara-gara mereka terlambat menyiapkan tugasan kerana perlu menunggu giliran menggunakan komputer di perpustakaan.

Tapi malam itu kedai makan itu kelihatan agak lengang. Kebetulan minggu itu cuti semester pendek mereka baru bermula. Jadi kebanyakan pelajar yang tinggal tidak jauh dari universiti mengambil kesempatan untuk pulang ke rumah keluarga mereka. Hanya pelajar-pelajar yang tinggal berjauhan, atau dari negeri yang lain sahaja tinggal di kolej. Mereka terpaksa menunggu cuti semester panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Korang jalanlah dulu.. biar aku pergi bayar.” Ujar Hawa terkocoh-kocoh menghabiskan nasi goreng Pattaya dipinggannya.

Mereka yang lain laju menyeluk poket masing-masing untuk mengeluarkan duit bersamaan dengan jumlah pesanan makanan masing-masing.

Takpe-takpe, malam ni aku belanja.” Ujar Hawa lagi sebelum menyedut habis minuman yang masih berbaki di gelasnya.

Mereka bertiga hanya terkebil-kebil memandang Hawa yang bergegas ke kaunter pembayaran.

“Alhamdulillah…semoga bertambah murah rezeki kau, sahabat.” Doa Lana dalam hati.

Sememangnya mereka sudah sedia maklum akan keadaan kewangan Hawa dan Wan, yang lebih beruntung berbanding Lana dan Syu yang datang dari keluarga sederhana. Lebih-lebih lagi Syu yang dibesarkan sendirian oleh ibunya setelah ayahnya meninggal dunia sewaktu Syu masih di usia kanak-kanak. Keperluan makan pakai serta pembelajaran Syu dan 3 orang lagi adiknya ditanggung sepenuhnya oleh ibunya yang hanya berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

Mereka bertiga beransur meninggalkan meja makan dan bergerak perlahan sambil menunggu Hawa membuat pembayaran.

“Jom!” Sapa Hawa yang berlari anak mendapatkan kawan-kawannya.

Beriringan empat sekawan itu mengatur langkah menuju ke kolej kediaman mereka. Sebaik sebelum melalui lorong kecil yang agak gelap dengan lampu jalan yang telah rosak itu, Lana bersuara cemas.

“Weh!”

“Ish! Kau kenapa?!” Suara Wan sedikit meninggi, sebagai respon kepada Lana. Dadanya diurut perlahan. Terkejut. Entah kenapa malam itu lorong di depannya kelihatan lebih menyeramkan dari selalu.

“Aku tertinggal phone la….” Adu Lana perlahan. Tangannya sibuk meraba-raba kocek seluar.

Hish.. kau ni kan… pergilah ambil cepat, kitorang tunggu kat sini.” Ujar Wan pura-pura marah. Padahal lega juga hatinya. Sangkanya Lana dah ternampak makhluk mistik  apa di lorong itu tadi.

“Aku pergi kejapkorang tunggu tau. Jangan tinggal aku pulak.” Pesan Lana kalut. Mahu menangis dia dibuatnya kalau terpaksa meredah lorong gelap itu sendirian.

Berlari anak dia kembali ke kedai untuk mendapatkan telefon bimbitnya.

Fuh…nasib baik ada weh…kalau hilang ni tak tahulah aku…….” Kata-kata Lana terhenti.

Terkedu sekejap dia depan lorong kecil tersebut. Kawan-kawannya tiada di situ!

“Ya Allah…diorang tinggalkan aku….” Rintihnya sendiri.

Rasa takut mula menyelubungi diri. Lana sudah rasa hendak menangis. Lama dia berdiri di situ sambil terjengah-jengah menanti kalau masih ada pelajar lain yang mahu melalui lorong itu. Hampa. Tiada sesiapa di situ. Suasana sunyi malam itu membuatkan Lana bertambah gelisah. Mahu tak mahu, terpaksa juga dia meredah lorong itu sendirian.

“Sampai betul hati diorang tinggalkan aku….” Sungutnya sedih. Terasa hati betul dengan perlakuan teman-teman sebiliknya malam itu. Biasanya mereka tidak begitu.

“Bismillahirrahmanirrahim…. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah…” Terkumat-kamit mulutnya berzikir sambil memaksa kakinya yang sudah mula menggigil takut melangkah ke depan.

Niat di hati nak laju-laju, tapi entah kenapa sepasang kakinya terasa begitu perlahan menyusun langkah. Sampai di tengah-tengah lorong, tiba-tiba telinganya diasak dengan suara orang menangis. Mula-mula perlahan… kemudian seperti semakin rancak. Tersedu-sedu. Jantung Lana yang sememangnya sudah kuat mengepam sedari tadi, semakin hebat mengencang. Mata Lana mula bergenang. Takut!

“Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah” Lana memperhebat zikir di bibir seraya melajukan langkah.

Sebolehnya dia mahu cepat melepasi lorong itu. Pandangannya difokuskan ke depan. Cuba menganggar jarak yang masih berbaki untuk sampai ke kolej. Serentak itu juga air matanya meleleh laju ke pipi. Apa yang dilihat, lorong itu menjadi seolah-olah begitu panjang seakan tiada penghujung. Spontan matanya melingas ke kiri dan kanan. Bertambah deras air matanya tumpah. Dengan tidak semena-mena bahagian kiri dan kanan lorong itu dikelilingi pokok-pokok besar seperti di dalam hutan!

“Ya Allah….aku kat mana ni….” Tangis Lana ketakutan. Bibirnya sudah bergetar dan kedua belah tangannya menggigil. Tak pernah seumur hidupnya mengalami situasi begini.

“Huuuuu………. Huuuuuu……..” Serentak itu juga suara tangisan tadi semakin menghiba. Kedengarannya begitu dekat sekali dengan Lana.

Lana terkaku  di tempat dia berdiri.




No comments:

Post a Comment