Monday, May 6, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 1)



CINTA DARI IBLIS

Bab 1

AAIRA tercungap-cungap mengambil nafas. Matanya pantas melingas ke kiri dan kanan cuba menangkap kelibat entiti yang mengejarnya tadi. Peluh merenik di dahi menyentuh keningnya yang berkerut-kerut. Bibirnya diketap dan matanya dipejam. Dia mengambil nafas perlahan-lahan sambil cuba berfikir tindakan seterusnya yang patut diambil.

“A’uzubillahiminassyaitonirrojim… Bismillahirrahmanirrahim…” bibirnya cuba membisikkan kalimah-kalimah agung dari ayatul Qursi… dengan penuh pengharapan pada pertolongan Rabb nya pada ketika ini.

“Ya Allah…aku berlindung denganMu daripada syaitan yang direjam… sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung..” hatinya berdialog dengan Tuhannya.. Maha Besar satu-satunya yang berkuasa menghulurkan bantuan kepada hamba-hambaNya.

Perlahan-lahan Aaira merangkak keluar dari tempat persembunyiannya. Sejenak dia berpaling melihat tempat dia bercangkung memeluk lutut tadi. Sempit dengan kerusi yang ditolak masuk ke bawah kaunter.

 “Muat pulak aku menyeronot kat situ.” Getus hatinya sendiri. 

Dia cuba berdiri dan menstabilkan tubuhnya. Kakinya terasa bersemut akibat mencangkung terlalu lama. Gerakannya begitu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang bunyi yang mungkin menarik sebarang perhatian yang tidak diingini. Keadaan masih gelap gelita seperti tadi. Tidak kelihatan sesiapa pun di situ.

Dengan berbekalkan cahaya matahari lewat petang  dari luar, Aaira cepat-cepat menggapai begnya yang terletak di atas kaunter dan berlari menuju ke arah pintu utama Unit Rehabilitasi. Dia perlu keluar dari situ sekarang juga.

Sebaik sahaja pintu automatik itu terbuka…Aaira memulakan larian pecutan bak atlit kebanggaan negara yang sedang dihujani dengan tepukan dan sorakan penonton. Tak sedikit pun dia menoleh ke kiri dan kanan. Yang difikirnya ketika ini hanya ingin cepat masuk ke dalam kereta dan beredar dari hospital tempat kerjanya itu.

Matanya menangkap kelibat bayangan hitam yang bagaikan mengejar laju di belakangnya. Bunyi berdengung yang sudah hilang sejak tadi juga kembali menghurung kedua belah telinganya. Membingitkan. Apa lagi, bagai dipasang enjin turbo, sepasang kaki pendeknya dipaksa memecut selaju mungkin demi melarikan diri daripada bayangan hitam tersebut.

Dalam kelam kabut berlari menuju ke arah tempat parkir kereta,tiba-tiba dia terlanggar satu susuk tubuh.

Tahap kelajuan lariannya telah menghasilkan impak yang agak besar dalam perlanggaran itu. Berdentum juga kepalanya pada dagu pemuda tak berdosa tersebut. Spontan tangannya mencengkam kuat  jaket pemuda itu. Kaki mereka yang bersilang-silang menyebabkan mereka hilang imbangan dan berguling-guling di atas tar. Sekiranya diletakkan adegan tersebut dalam mode slow-mo, dan dimasukkan sedikit lagu yang mendayu.. pasti sudah persis benar dengan adegan dalam filem hindustan era lewat 90-an.

“Aduuiii… habisla luruh gigi aku…” Rintih pemuda berjaket coklat tersebut hiba.

Dialihkan pula pandangannya pada bahagian siku jaketnya yang terkoyak dan mendedahkan sedikit kulit sikunya yang turut bercalar dan berdarah akibat terseret pada jalan tar. Serta-merta dihibakan lagi keadaan dirinya.

“Adoii…adoilaa… darah..darahh…. aku cedera parahh…”

Airaa yang terbaring di sampingnya turut beraduh sakit. Sebelah tangannya menyentuh bahagian kepalanya yang terhantuk pada dagu pemuda itu tadi. Berbintang sekejap matanya kesan hantukan tersebut. Sebelah lagi tangannya masih mencengkam kuat jaket pemuda itu.

Dalam keadaan masih cuba memfokuskan pandangannya, Aaira teringatkan bayangan hitam yang mengejarnya tadi. Pantas dia mendongak melihat sekeliling. Tercari-cari kelibat bayangan tersebut.

Tidak kelihatan di mana-mana. Bunyi berdengung yang menghimpit telinganya tadi juga hilang dengan serta-merta. Lega.

Aaira tak sedar yang pemuda tadi sedang merenungnya. Bila bertentang mata baru dia perasan yang mereka masih terbaring di atas jalan. Boleh pula lelaki itu membiarkannya tenggelam dalam lamunan.

Excuse me cik, awak tak nak lepaskan baju saya ke. Saya nak bangun ni. Awak nak baring kat sini sampai esok pagi ke?”  Tanya pemuda itu hairan bercampur geram.

“Err…takpe lah…kita baring je lah kat sini. Saya tak kisah. Ok juga lepak-lepak santai-santai kat sini sambil ditemani gadis cantik.” Ujarnya lagi bila dilihat gadis itu masih tak bergerak.

Diangkat tangannya menongkat kepala seperti orang sedang bersantai, sambil menatap mata gadis itu.

“Memang cantik.” Akuinya sendiri dalam hati, memuji ciptaan Allah.

“Cik..! Ooo cik…! Takkan terpegun tengok orang handsome macam saya kut.” Kairi masih membebel sendirian.

Aaira yang bagaikan baru tersedar dari lamunan, terkebil-kebil memandang wajah pemuda itu sambil menayangkan muka yang tidak bersalah. Sejenak pandangannya dialihkan pula pada tangannya sendiri yang masih mencengkam kuat jaket pemuda itu. Perlahan-lahan cengkamannya dilepaskan, masih dengan muka tidak bersalahnya.

“Eh eh budak ni… dia boleh buat muka tak bersalah pulak dengan mata bulat terkebil-kebil tu. Dia ingat tak comel ke?” Bebel Kairi sendiri dalam hatinya.

Kedua-duanya bingkas bangun dan menyapu-nyapu kotoran sambil membetul-betulkan pakaian mereka. Aaira membetulkan semula tudungnya yang sudah senget dan hampir menampakkan anak rambut. Kairi pula masih membongkok menepuk-nepuk kotoran pada kaki seluarnya. Kemudian dikemaskan rambutnya.

“Err… err sorry cik.. err sakit ke?” Aaira mula diserbu rasa bersalah.

“Boleh pulak dia tanya sakit ke? Nasib baik tak gugur gigi aku ni. Kalau tak habisla saham aku. Aset penting ni… ” leter Kairi dalam hatinya. Dagunya terasa berdenyut.

“Esok mesti lebam ni” sambung leternya dalam hati.

“Eh tak lah… takpe…sikit je ni..” lain yang dileter dalam hati, lain pula yang terpacul di bibirnya.  Kairi menguis-nguis batu-batu kecil yang terlekat di bahagian sikunya yang terluka.

“Err.. siku cik berdarah tu..” Aaira baru perasan luka di sikunya.

“Baju pun terkoyak..” Aaira mula kelam kabut.

“Ni macam mana ni. Nak kena bayar ganti rugi ke apa. Nampak macam mahal aje jaket tu.” Ligat otaknya berfikir apa yang harus dilakukan seterusnya. Langsung dia terlupa perihal bayangan hitam yang mengejarnya tadi.

“A’ah..takpe..sikit je ni. Cuma gigi ni je rasa longgar sikit. Keras jugak kepala awak ye..” Balas Kairi cuba bergurau mengendurkan suasana sambil melepaskan geram.

Aaira tersengih canggung.

“Awak macam mana, ok tak? Ada luka kat mana-mana?” Tanya Kairi sambil dibelek gadis itu bawah ke atas.

“Nasib baik tak tersembam muka di tar. Kalau tak habislah muka comel tu.” Ujarnya.

Aaira meraba-raba wajahnya sendiri.

“Haa..tahu takut..” Bisik lelaki itu dalam hati, lucu melihat reaksi Aaira.

“Awak lari dari siapa laju bukan main. Ada hantu kejar ke?” Spontan Kairi bertanya.

Serta-merta wajah Aaira berubah. Perkataan ‘hantu’ membuatkan dia teringat kembali kejadian yang baru menimpanya tadi.

Kairi yang sedar perubahan riak muka gadis itu berasa pelik.

“Awak..?” panggilnya.

“Err… maaf ye cik..saya minta maaf sangat terlanggar encik tadi. Err.. saya kena balik sekarang. Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu ya.” Aaira tergesa-gesa mengatur langkah untuk meneruskan perjalanan ke arah tempat parkir kereta.

Belum sempat Kairi bertanya lebih lanjut, gadis itu telah pun meninggalkannya terpinga-pinga sendirian di situ.

“Alahai… sia-sia je bergegar gigi aku. Nombor telefon pun tak dapat. Nasib baik comel. Kalau tak aku dah tuntut pampasan ganti rugi mencederakan wajah handsomeku ini. Huh!” Bebelnya sendirian.

Diusapnya dagunya yang masih berdenyut. Memang kuat mereka berlanggar tadi.

Lantas langkahnya diatur kecewa menuju ke arah wad yang menempatkan bapa saudaranya yang baru ditimpa kemalangan jalan raya dua hari lepas.

“Kalau jodoh tak ke mana…..” Sempat pula mulutnya bernyayi-nyanyi kecil sambil berjalan, cuba meniru suara Dato’ Ustaz Kazim Elias dalam siri rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’.

 

SAMPAI saja di kereta Myvi kuning miliknya, Aaira terkocoh-kocoh mengeluarkan kunci dan tergesa-gesa masuk ke dalam kereta. Di dalam kereta dia menghela nafas panjang. Sempat juga diraba kepalanya yang terasa benjol hasil perlanggaran tadi. Berkerut wajahnya bila tersentuh tempat yang terhantuk tadi. Tadi tak sempat nak rasa sakit.

“Kalau kepala aku sakit macam ni. Dagu lelaki tadi…” Gumamnya sendiri, rasa bersalah.

Dengan lafaz Bismillah, enjin kereta dihidupkan. Tak lupa dia membaca doa-doa yang sering dibacanya sebelum memulakan perjalanan, termasuk doa menaiki kenderaan. Tekadnya adalah untuk sampai ke rumah sebelum azan Maghrib berkumandang, dengan harapan dapat mengelakkan perkara-perkara atau gangguan-gangguan lebih buruk berlaku.

Hampir 20 minit kemudian, Aaira selamat tiba di perkarangan rumahnya. Rumah kampung 2 tingkat yang serba sederhana itu didiami oleh ibu bapanya, abangnya dan nenek mereka yang sudah tua tetapi masih sihat tubuh badannya. Ibunya seorang suri rumah manakala ayahnya adalah seorang pesara guru. Abangnya juga mengikuti jejak langkah ayahnya dan bertugas sebagai seorang guru di sekolah berdekatan dan masih lagi belum mendirikan rumah tangga.

Pemalu sangat, langsung tak pandai berkawan dengan perempuan. Bila berdepan aje mulalah penyakit gemuruhnya tu datang. Boleh lembik lutut dan lemah seluruh sendinya dibuatnya. Sebab itulah masih lagi membujang sampai sekarang. Tapi kalau dengan adiknya yang seorang ini, tak berhenti-henti pula dia mengusik dan mengacau. Bingit rumah itu dengan pekikan mereka berdua bila berlaku adegan usik-mengusik. Mengalahkan rumah yang ada anak kecil!

Aaira turun dari kereta dan bergerak  melangkah masuk ke rumah. Dia terhenti di hadapan pintu rumah sambil terkumat-kamit membaca surah al-Ikhlas dan ayat Qursi.. seperti yang selalu diamalkannya. Seterusnya disambung dengan doa yang selalu dipesan ibunya untuk dibaca ketika pulang ke rumah.

“Bismillahirrahmanirrahim… in kullu nafsin lamma a’laiha hafizh… “

Lalu dia melangkah masuk dengan kaki kanan sambil memberikan salam.

“Assalammualaikum…” Sapanya perlahan.

“Waalaikumsalam…” Pantas ayahnya yang kebetulan sedang berada di ruang tamu menyahut salamnya.

Ayahnya siap berjubah dan berkain pelikat, bersedia untuk ke masjid menunaikan solat Maghrib.

“Lewat adik balik hari ni?” Sapa ayahnya.

“Ha’ah ayah… banyak dokumen nak kena siapkan sebab ada audit nak datang nanti..” Jelas Aaira ringkas. Ayahnya terangguk-angguk mendengar penerangannya.

“Ziyad…” Panggil ayahnya dengan suara yang dikuatkan sedikit. Pandangannya diarahkan ke tangga yang menghala ke tingkat atas.

“Tak siap lagi ke… jom ayah nak pergi dah ni.”

“Ye ayah… kejap Ziyad datang ni..” Laung Ziyad dari tingkat atas.

Berkeriuk bunyi anak tangga yang dipijak Ziyad dengan tergesa-gesa.

“Eh adik baru balik ke?” Sapanya sambil mengerling ke arah Aaira. Belum sempat Aaira menjawab, Ziyad menambah, “Pergi mandi cepat. Belemoih. Busuk asemm. Sakit hidung abang long.” Katanya sambil memicit hidungnya sendiri di depan adiknya itu.

Aaira hanya menjeling abangnya itu sambil menjelirkan lidah dan berlalu naik ke atas.

Aaira masuk ke dalam biliknya dan meletakkan begnya di atas meja solek. Tangannya laju mengeluarkan kerongsang dan merungkai lilitan selendang kepalanya.  Sayup-sayup kedengaran azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Aaira menghembuskan nafas letih. Belum sempat melabuhkan punggung dan berehat.. sudah masuk waktu. Lantas dia cepat-cepat mencapai tuala dan beredar ke bilik mandi.

Di bilik air, Aaira terkesima kerana mendapati dirinya uzur.

“Patutlah sakit betul pinggang aku hari ni..” Omelnya sendirian.

Memang pun tak senang duduk dia hari ni menahan sakit di bahagian pinggang, punggung, dan peha sampai ke kakinya. Dia terus membersihkan diri. Terasa segar apabila air dari shower  menyiram kepala dan tubuhnya. Selesai mandi, Aaira duduk di birai katil sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala.

Termenung sekejap dia sambil fikirannya melayang-layang terkenangkan peristiwa petang tadi. Itu kali pertama dia diganggu kelibat bayangan hitam. Nampaknya gangguan yang dialaminya semakin menjadi-jadi.

Sebelum ini dia hanya sering diganggu melalui mimpi-mimpi buruk. Mimpi rumah lama lah, tandas kotor lah, mimpi jatuh dari tempat tinggi lah, mimpi dikejar binatang buas lah, dan yang paling kerap, mimpi ular. Satu jenis makhluk yang Aaira sangat-sangat tak suka. Geli, takut semua ada.

Jangan kata ular, pacat, lintah, cacing dan segala adik-beradik sepupu sepapat spesis itu semuanya digeruninya. Mahu terpekik terlolong dia kalau terjumpa binatang-binatang itu. Silap haribulan boleh demam dibuatnya.

Selain dari sering bermimpi yang buruk-buruk, tubuh Aaira juga sering lebam-lebam tanpa sebab. Kadang di peha, kadang di betis. Itu belum lagi termasuk rasa sakit lenguh dan berat semacam di kaki kirinya yang selalu datang tiba-tiba dan hilang juga tiba-tiba.

Entahlah.. ada juga dia terbaca dan terdengar tentang tanda-tanda gangguan. Mirip betul dengan apa yang dialaminya. Tapi dia cuba tidak terlalu memikirkannya dan hanya berusaha mendekatkan diri dengan Allah sebagai cara melindungi dirinya dari gangguan-gangguan tersebut.

Tetapi peristiwa petang tadi benar-benar mengejutkannya. Kebiasaannya dia habis kerja pukul 5 petang. Tapi beberapa hari ni dia terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkan segala dokumen-dokumen dan fail-fail penting, rekod-rekod pesakit, sistem pengisian data pesakit dalam komputer, dan sebagainya.

Tidak lama lagi akan datang satu kumpulan audit ke unitnya untuk menjalankan pemantauan yang sememangnya dilakukan secara berkala ke hospital-hospital. Jadi dia dan rakan-rakan kerja yang lain bergilir-gilir cuba melengkapkan dokumentasi-dokumentasi dan membuat persediaan sebaik mungkin untuk berdepan dengan lawatan kumpulan audit tersebut.

Tadi itu gilirannya untuk stayback dan menyiapkan kerja. Dalam keadaan sunyi sepi dengan hanya kedengaran bunyi ketukan jarinya di papan kekunci komputer, tiba-tiba dia terasa ada kelibat melintas laju di belakangnya. Diusap tengkuknya yang tiba-tiba meremang. Dia menoleh ke belakang tetapi tak terlihat siapa pun di situ. Hatta seekor kucing pun.

Baru dia berpaling hendak menghadap komputernya semula, sekali lagi kelibat hitam melintas laju di sebelahnya. Kali ini lebih dekat. Sehingga dia dapat merasakan gerakan angin dari lintasan kelibat tersebut. Tak tunggu lama, terus dia tutup komputer tersebut. Entah dah save ke belum kerja-kerjanya tadi dia pun tak pasti dan tak peduli lagi dah. Terus dia berkemas dan cepat-cepat mengunci pintu Unit Fisioterapi, unit di mana dia bekerja.

Langkahnya panjang-panjang dan laju menghala ke arah pintu utama Unit Rehabilitasi. Tiba-tiba dia merasa deruan angin laju datang entah dari arah mana,terus menuju ke arahnya. Sekaligus bingit telinganya dengan bunyi berdengung. Dalam kesamaran bangunan yang gelap itu, dia nampak bayangan kelibat hitam terbang menuju ke arahnya.

Bayangan itu berdesup melintas atas kepalanya. Aaira jatuh terduduk kerana terlalu terkejut. Spontan dia merangkak mencari tempat untuk bersembunyi. Waktu itulah dia menyeronot masuk ke bawah kaunter pendaftaran utama Unit Rehabilitasi.

Kaunter tersebut merupakan kaunter utama yang terletak di tengah-tengah di antara Unit Fisioterapi tempatnya bekerja,dan Unit CaraKerja di sebelahnya. Kedua-dua perkhidmatan ini termasuk dalam perkhidmatan pemulihan yang lebih dikenali sebagai Unit Rehabilitasi.

Dan kejadian seterusnya menyebabkan dia teringat pada lelaki yang dilanggarnya petang tadi. Entah apa khabar orang itu. Tak pasal-pasal sakit dan terluka kerana bertembung dengan Aaira.

 

DALAM pada fikirannya menerawang mengenangkan peristiwa petang tadi sambil mengeringkan rambut dengan tuala, tiba-tiba “Bammmm…!!” berdentum bunyi sesuatu yang besar dan berat jatuh atas bumbung rumah.

“Allahu Akbar!” tersentak Aaira mendengarkan dentuman tersebut. Jantungnya automatik berdegup kencang.

Berturutan dengan bunyi dentuman tadi, kedengaran bunyi seperti binatang berkuku tajam berlari dan menggeserkan kukunya di atas bumbung. Panjang dan mengilukan. Seketika kemudian terdengar pula bunyi mencakar pada bahagian luar dinding rumah, hampir dengan tingkap bilik Aaira yang bertutup dan diselimuti tirai.

Bulat mata Aaira memandang ke arah tingkap dengan jantung yang semakin mengencang detaknya. Tak sampai hitungan 3 detik, kaki Aaira sudah pun membawa tubuhnya berlari keluar dari bilik. Berdentum dentam bunyi kaki Aaira di atas lantai papan tingkat 2 rumah milik keluarganya. Ibunya yang sedang menyiapkan makan malam di dapur terhenti dari pekerjaannya dengan muka penuh tanda tanya.

“Apa pulak yang si budak Aaira ni buat kat atas tu. Macam nak runtuh rumah ni. Takkan pulak duk berlatih senam robik malam-malam ni.” Makcik Maryam meneka-neka sendiri.

Beberapa saat kemudian Aaira terpacul di dapur. Lagaknya seperti baru selesai menjalani sesi latihan larian berpagar. Tercungap-cungap.

“Ibu!” Panggilnya separuh menjerit.

“Ibu dengar tak tadi bunyi kuat macam ada benda jatuh atas bumbung! Lepastu bunyi macam ada binatang berlari kat atas bumbung tu.” Laju Aaira melaporkan perihal tadi kepada ibunya.

“Hmmphh… musang lah tu… yang kamu kelam kabut sangat macam nampak hantu ni kenapa? Drama sangat. Itulah suka sangat tengok cerita hantu bukan-bukan kat tv tu. Haa lepas tu sibuk terbayang sana terbayang sini. Lepas tu sendiri yang takut.” Bebel Makcik Maryam. Sangkanya apalah tadi.

Aaira menjuihkan bibirnya.

“Alaa..orang bukan takut. Orang terkejut je…” Tingkah Aaira cuba membela dirinya sendiri.

“Yelah terkejut kamu tu. Macam nak runtuh rumah ni kamu berlari. Dah, tolong ibu hidangkan lauk ni. Ayah dengan abang kamu dah nak balik tu. Boleh makan sekali.” Sahut ibunya sambil tersenyum sinis, lucu dengan keletah anak perempuannya yang seorang ini.

Itu belum cicak terjun atas kepala, mahu dia lompat terus ke bawah dari atas tangga tadi. Jackie Chan tengok pun terkejut urut dada.

“Betullah orang terkejut…” Gumamnya perlahan sambil tangan mula memegang senduk untuk menceduk lauk.

“Asss..….salammualaikum!” Sergah abangnya dari belakang secara tiba-tiba. Terjerit kecil dia terperanjat pada sergahan abangnya.

“Abang long niii…!” Marahnya.

“Nasib baik tak tumpah lauk ni tau tak.” Ringan aja rasanya tangannya nak mengetuk abangnya dengan senduk yang dipegang.

Sudahlah dia baru terkejutkan musang di atas rumah tadi, baru jantungnya nak stabil,disergah pula begitu.  Aaira menjeling abangnya tajam.

“Alololo… dia bagi jelingan maut kat kita pulak…” Usik abangnya sambil lincah tangannya membantu menghidangkan lauk di atas meja.

Ziyad memang ringan tulang dengan kerja-kerja rumah. Dah biasa dia melihat ayahnya sama-sama menguruskan rumah tangga dengan ibunya sejak kecil. Padanya tiada istilah kerja rumah kerja perempuan. Semua buat sama-sama. Letih sama-sama, rehat sama-sama.

“Adik.. pergi panggil tok makan sama-sama.” Suruh ibunya.

Aaira segera mendapatkan neneknya di bilik. Dilihat neneknya masih duduk di kerusi di atas sejadah. Masih bertelekung sambil memegang tasbih. Lutut tuanya sudah tak tahan dilipat rapat untuk bersolat di bawah. Jadi dia terpaksa menggunakan kerusi.

“Tok jom makan. Ayah dah balik.” Ajak Aaira.

“Haa yelah.. “ Sahut neneknya sambil membuka telekung.

Sekilas dia memandang ke arah cucunya yang sedang berpusing bergerak ke dapur. Dikecilkan matanya cuba memastikan apa yang dilihat. Samar-samar kelihatan seperti bayangan hitam mengekor di belakang cucunya..kemudian menghilang di balik pintu. Digosok-gosok mata tuanya…ragu dengan penglihatan sendiri.

“Dah panggil tok dah?” Tanya Makcik Maryam.

“Dah… kejap lagi tok datang..tengah simpan telekung.” Jawab Aaira sambil mengambil tempat di meja makan.

Dia duduk di sebelah abangnya, berdepan dengan Pakcik Usman dan Makcik Maryam.

“Tengok tu ibu..dia duduk dekat dengan ikan. Ini tak boleh harap ni… kucing jadian ni.. Kejap lagi sepinggan ni habis kat dia sorang je…” Ziyad mengusik sambil mengalihkan pinggan ikan di depan Aaira. Diletakkan di depannya.

“Cakap orang pulak… dia yang nak ikan tu..” Jeling Aaira.

Bukan dia tak tahu kegemaran abangnya itu. Ikan yang digoreng garing tu sekali makan 3 ekor dia boleh habis.

“Iyelah tu…jangan kamu berdua bercekau macam kucing berebut ikan pulak. Banyak tu ha.. makanlah..” Balas Makcik Maryam, sudah masak sangat dengan perangai anak-anaknya.

“Riauuuu!!! Arrr…!” Ziyad berpaling ke arah adiknya sambil meniru bunyi kucing yang sedang bergaduh.

Dia mengacah-acahkan tangannya seperti nak mencakar Aaira. Berderai ketawa mereka.

“Mari duduk mak…” Sapa Pakcik Usman sambil bangun menarik kerusi untuk Tok yah.

“Amboi…sakan tok dengar ada kucing bergaduh tadi.” Tegur Tok Yah mesra.

“Ha’ah mak…kucing kepala hitam.” Sahut Makcik Maryam. Mereka menyambung ketawa.

“Bismillahirrahmanirrahim…. Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa waqinaa ‘adzaaban-naar” Ziyad mengetuai bacaan doa untuk keluarganya.

“Aamiin….” Sahut ahli keluargannya yang lain.

Gulai ayam, ikan kembung goreng, sayur campur dan sambal belacan menjadi hidangan mereka malam itu. Cukup untuk membuka selera dan membuatkan mereka makan bertambah.

Dalam pada mereka rancak berbual mesra sambil menjamu selera, Tok Yah sekejap-sekejap merenung ke arah Aaira. Bukan Aaira yang dipandangnya, tetapi bayang-bayang hitam di belakang cucunya. Cuba diamati dengan teliti.

“Bayang barang dari atas almari tu agaknya” Gumamnya sendiri. Namun, terdetik sesuatu di hati tuanya.





No comments:

Post a Comment