CINTA DARI IBLIS
Bab 2
RUMAH
Pakcik Usman dibalut sunyi. Sesekali terdengar bunyi unggas bersahutan. Penghuninya
sudah masuk berehat di dalam bilik masing-masing. Melepaskan lelah tubuh
sebelum bersedia menghadapi hari seterusnya.
Aaira terus
terlelap sebaik meletakkan kepala ke bantal. Mungkin letih asyik berlari sahaja
satu hari ni. Hanya kedengaran bunyi kipas di siling berputar laju. Tak
pernahnya perlahan kipas di bilik Aaira. Suka dia begitu. Sedap meringkuk dalam
selimut sejuk-sejuk begitu.
Tenang Aaira
bernafas lembut. Lena tidurnya.
Tiba-tiba wajahnya
berkerut resah. Nafasnya mula tidak teratur. Namun matanya masih terpejam
rapat. Aaira merasakan seperti tubuhnya ditindih dengan satu susuk yang sangat
berat.
Hinggakan dia
tidak mampu menggerakkan walau sebatang jarinya. Dadanya mula rasa ketat dan
nafasnya makin sesak. Rusuknya terasa sakit menyucuk seperti ditekan. Dia ingin
menjerit sekuat hati tetapi suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Mulutnya
terkunci rapat, bahkan matanya pun tak dapat dicelikkan!
Aaira panik. Dia
melaungkan azan tapi hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Tidak terbit walau
sedikit bunyi pun dari mulutnya. Dia rasa semakin lemas. Air mata mula mengalir
di pipinya.
“Ya Allah…tolong
aku ya Allah… ya Allah tolong aku…. “ Rintihnya dalam hati.
Dia cuba
menggemakan laungan azan sekuat-kuatnya dalam hati, dalam keadaan nafasnya
makin pendek. Peluh membasahi dahi dan tubuhnya walaupun cuaca pada malam itu
agak sejuk.
Aaira masih
bergelut untuk bernafas.. hinggalah sayup-sayup kedengaran bunyi laungan azan
Subuh dari surau dalam kampungnya. Barulah perlahan-lahan tubuhnya terasa
kembali ringan. Benda berat yang menghimpitnya tadi seakan-akan beransur
menghilang. Tangan dan kakinya kembali dapat digerakkan.
Aaira bingkas
bangun dan duduk di atas katil. Wajahnya diraup dengan tangan yang seakan
menggigil.
“Allahu Akbar…” Ucapnya
perlahan.
Termenung sekejap
dia di atas katilnya sambil otaknya ligat cuba memproses apa yang baru berlaku
padanya sebentar tadi. Bingung. Terasa letih dan sakit-sakit tubuhnya…seperti
baru lepas dihempuk-hempuk oleh pihak lawan dalam acara sukan wrestling. Kepalanya juga terasa berat.
Macam pakai helmet.
Setelah beberapa
ketika bermenung di situ, dengan langkah longlai dicapainya tuala dan dia
menuju ke bilik air.
Ketika sedang
mandi di bawah shower, Aaira perasan
darah mengalir masuk le lubang laluan air di lantai. Sangkanya itu hanya darah
haidnya. Tetapi semakin lama darah itu kelihatan semakin pekat. Aaira cuba
menutup air dan mengamati lantai bilik air dengan lebih teliti.
Kemudian dibukanya
kembali air, direnungnya dengan berhati-hati. Tetapi hanya air biasa yang
mengalir di atas lantai itu masuk ke lubang laluan air.
“Perasaan aku je
kut…” Fikirnya. Lalu diteruskan mandiannya hingga selesai.
Aaira bersiap di
hadapan cermin, mengenakan kerongsang di selendang yang dipakainya. Tanpa
sengaja, jarinya tercucuk jarum kerongsang. Dalam juga.
“Aduh..!” Aaira
terjerit kecil.
Serentak itu,
kerongsang yang dipegangnya terjatuh ke lantai. Lalu dia membongkok tunduk
mengambilnya. Teraba-teraba sekejap dia mencari kerongsang yang terpelanting di
bawah meja solek. Tanpa dia sedari, refleksinya di cermin masih sedang berdiri
di situ, tidak ikut menunduk!
Setelah berjaya
menemukan kerongsang yang jatuh tadi, Aaira kembali memandang cermin dan
menyiapkan lilitan selendangnya. Kemudian dia membelek hujung jari hantunya
yang berdarah sedikit. Spontan dia memasukkan jarinya ke dalam mulut bagi
menghilangkan rasa pedih, sambil berlalu keluar dari bilik.
Sementara itu,
refleksinya di cermin masih di situ, kelihatan menjilat-jilat jari yang terluka
tadi dengan penuh nikmat.
AAIRA turun ke bawah
dan menghala ke ruang dapur dengan wajah sugul. Dari jauh kedengaran suara
abangnya bernyanyi-nyanyi kecil sambil mendentingkan sudip di kuali. Ziyad
telah pun siap berpakaian kemas bersedia untuk pergi kerja. Sehelai apron digantung
di tubuhnya bagi mengelakkan terkena kotoran ke baju kerjanya. Sudah seperti
chef di restoran terkenal sahaja lagaknya. Entah apa yang digorengnya, sedap
juga baunya. Serta merta berkeroncong perut Aaira apabila terhidu bau lazat
tersebut.
Ziyad memang agak
berbakat dalam memasak. Apa sahaja resepi yang dicubanya pasti menjadi. Tak
seperti adik perempuannya. Dicuba sekali tak menjadi, langsung malas nak
dicubanya lagi. Sudahnya dia lebih selesa menjadi pembantu chef di dapur yang
selalunya diketuai oleh ibu dan abangnya. Ayahnya Pakcik Usman juga tak kurang
hebatnya kalau sesekali ke dapur. Mahu bertambah makannya bila ayahnya yang
beraksi.
“Mana ibu, abang
long?” Tanya Aaira.
“Ha? Oh..ibu
dengan ayah belum balik dari surau. Ada kuliah kut hari ni. Nenek ada kat dalam
bilik tu. Tak nak makan lagi katanya.” Ziyad terhenti dari nyanyiannya yang
dirasakan sedap tu. Perasan.
“Ni..abang long
buat mi goreng. Sedap tau. Untung siapa yang jadi isteri abang long nanti.”
Ziyad memuji diri sendiri sambil menyambung nyanyiannya.
Suara Ziyad memang
agak boleh tahan. Tapi tak pernah Aaira menyuarakan pendapatnya itu. Nanti 7 hari 7 malam pun belum tentu habis abangnya
itu membangga diri. Huh! Dasar jejaka perasan. Boleh kalah drama 7 Hari Mencintaiku
yang diminatinya yang sudah sampai 3 musim tu. Dah jauh lebih dari 7 hari dah.
Tapi Aaira suka endingnya. Happy pun happy, sedih pun iye. Sedih sebab Pak Samad meninggal. Rasa
bersalah pulak Aaira menyampah kat Pak Samad pada awal Musim 3 tu.
“Hah! Ni dah kenapa
termenung pagi-pagi ni. Muka pun monyok je dah macam tikus mondok tertelan ubat
gegat!” Sergah abangnya.
Tersentak Aaira.
Terus dia menyuapkan mi ke mulutnya dengan lafaz Bismillah.
“Abang long…”
Panggil Aaira perlahan.
Ziyad terhenti
mengunyah. Pandangannya difokuskan kepada adik kesayangannya itu. Risau juga
dia. Selalunya si adik dah melawan balas bila disergah begitu. Ini dah macam
Ultraman yang nak habis bateri aje…
“Semalam…” Aaira
terhenti.
Ziyad membetulkan
duduknya. Menunggu ayat seterusnya dari adiknya. Saspen pulak.
“Semalam.. adik
rasa kena tindih la.. tak boleh gerak, tak boleh nafas, rasa macam nak mati
dah.” Sambung Aaira mengadukan perihal semalam kepada abangnya.
“Sampai dengar
azan baru boleh bergerak. Suara pun tak boleh keluar.” Adunya lagi.
Kening lebat Ziyad
berkerut. “Dah kenapa pulak dengan adik aku ni.”detiknya dalam hati.
Risau Ziyad
dibuatnya. Tak pernah pun adiknya mengadu perkara macam itu.
“Adik tidur tak
baca doa ke. Ayat Qursi,Fatihah, 3 Qul… dah tua-tua pun nak kena dipesan lagi.”
Bebelnya cuba menyembunyikan kerisauan di hati.
“Ala orang tak
boleh solat..tak baca lah.. lagipun letih sangat semalam. Tak sedar dah tidur.”
Aaira memberi alasan walaupun sedar salahnya sendiri.
“Kot iye pun..
basuhlah kaki tu dulu. Kibas-kibas, tepuk-tepuk dulu tempat tidur tu. Ini dia
main landing aje entah ada jin duk
tengah sedap baring. Ha sekali dia landing
balik atas awak, baru tau. Zikir-zikir tu janganlah ditinggal. Tak boleh solat
pun masih boleh berzikir.” Panjang pula bebelnya pada si adik.
Aaira memanjangkan
muncungnya.
“Hah comel
sangatlah tu buat muncung panjang sedepa tu. Patutlah belum ada yang berani
masuk meminang. Nampak muncung dari jauh aje terus patah balik rombongannya.”
usik Ziyad sambil tergelak-gelak.
Aaira menjeling
masam.
“Eh abang long dah
lambat ni.” Ujar Ziyad sambil kalut melihat jam di tangannya.
“Abang long pergi
dulu lah. Adik hati-hati pergi kerja tu. Bawa kereta elok-elok. Jangan nak
berangan pulak sambil drive.”
Pesannya sambil beredar.
Suasana kembali
sunyi. Aaira cepat-cepat menghabiskan mi di pinggannya. Licin berkilat
dijamahnya mi goreng abangnya. Memang sedap.
Sedang dia
membasuh pinggan di sinki, sayup-sayup kedengaran suara abangnya
bernyanyi-nyanyi kecil. Tak dapat ditangkap lagu apa yang dialunkannya. Aaira
memperlahankan pili air,cuba mendengar dengan lebih jelas. Dah macam lagu siam
pun ada.
“Tadi cakap dah
lambat. Tak gerak lagi ke orang tua ni. Ke ada tertinggal barang.” Aaira
berteka teki sendiri.
Cepat-cepat dia
menyelesaikan basuhannya dan bergerak ke arah ruang tamu,arah datangnya
nyanyian abangnya. Tiba di ruang tamu, kosong. Tiada sesiapa di situ. Aaira
tercegat kehairanan. Tapi masih boleh didengar nyanyian kecil abangnya
itu.
“Abang kat bilik
nenek ke?” Dia meneka-neka.
Dijenguk ke dalam
bilik neneknya. Neneknya sedang tidur di atas katil. Tak nampak pula kelibat
abangnya.
“Takkan kat bilik
ibu.” Tekanya lagi.
Hanya ada 2 bilik
di tingkat bawah rumah itu. Ada 1 bilik air di ruang dapur. Aaira memang datang
dari dapur tadi. Memang abangnya tidak ada di situ atau di bilik air. Di
tingkat atas pula ada 3 bilik dan 1 bilik air. Aaira dan abangnya masing-masing
1 bilik,manakala 1 bilik lagi dijadikan bilik bacaan yang sering digunakan
abang dan ayahnya.
Telinganya masih menangkap
suara nyanyian kecil tersebut. Tak berpuas hati, Aaira menjenguk pula ke bilik
ibunya. Pintu bilik ditolak perlahan. Kosong. Tiada sesiapa. Suara nyanyian
kecil tadi tiba-tiba terhenti dan diganti dengan suara tertawa. Makin
diamati,Aaira mula rasa itu bukan suara abangnya.
Mukanya sudah
pucat. Suara tertawa itu kedengaran makin dekat tetapi tak dapat dipastikan
dari mana datangnya. Aaira yang masih tercegat di depan pintu bilik ibunya mula
rasa seperti mahu menangis. Di saat itu juga dia terasa seperti ada angin yang
berhembus di pipi kirinya. Bulu romanya menegak. Darahnya terasa berhenti
mengalir.
Dia ingin
melarikan diri tapi terasa seperti kakinya di gam ke lantai. Bunyi ketawa
semakin dekat seperti hanya di sebelah telinganya. Aaira cuma mampu memejamkan
matanya rapat-rapat sambil mulutnya tak berhenti menyebut nama Tuhannya.
“Assalammualaikum…”
Lembut suara ayahnya memberi salam dari
muka pintu.
Aaira membuka
mata. Suara itu tidak kedengaran lagi. Kakinya juga sudah boleh digerakkan. Dia
melangkah perlahan ke arah ibu dan ayahnya dengan kaki yang masih menggeletar.
“Ibu ayah dah
balik? Adik nak pergi kerja dah ni.” Sapa Aaira cuba berlagak biasa sambil
menyalami tangan ibu dan ayahnya.
“Sejuknya tangan
adik. Adik tak sihat ke?.” Tanya ibunya.
“Tak lah adik ok
je. Adik pergi dulu ye.” Aaira bergegas keluar. Cuba mengelak pandangan mata
ibunya.
“Elok-elok bawa
kereta tu. Jangan laju-laju ea..” Ringkas pesanan ayahnya.
Aaira
terangguk-angguk di muka pintu sambil melambai. Myvi kuning Aaira bergerak
keluar dari perkarangan rumahnya dan perlahan-lahan menghilang dari pandangan.
AAIRA memandu tenang.
Tasbih digital yang sedia ada di dalam kereta dicapai.
“Bismillahirrahmanirrahim…
Subhanallahi wa bihamdihi, Subhanallahil ‘azhim…” Aaira membaca zikir tersebut
berulang kali sambil memicit butang tasbih.
Rasulullah
Sallahu’alaihiwassalam bersabda yang bermaksud, “ Ada dua kalimat, yang ringan di lisan tetapi
berat dalam timbangan dan dicintai oleh ar-Rahman, ‘Subhanallah wa bihamdih
(Maha Suci Allah dan segala puji hanya bagiNya), dan ‘Subhanallahil ‘azhim
(Maha Suci Allah yang Maha Agung)”
[Sahih al-Bukhari,
Kitab at-tauhid, no: 7563]
Terlayar di mata
Aaira, potongan video yang pernah dilihatnya dalam media sosial, yang mengajak
orang ramai supaya menjadikan zikir tersebut sebagai satu amalan harian. Sejak
itu Aaira cuba untuk tidak meninggalkan amalan tersebut. Dijadikan sebagai
rutin hariannya, 100 kali sehari.
Tanpa dia sedari,
ada satu susuk sedang diam memerhatikannya dari tempat duduk belakang.
Sedang dia memandu
lancar, tiba-tiba dia nampak ada sebuah kereta dari arah depan memasuki jalan
yang bertentangan arah dari balik selekoh. Laju cuba memotong lori. Lalu terus
berdentam berlanggar dengan kereta di hadapan Aaira sehingga terseret kereta
tersebut. Mujur Aaira sempat membelok mengelak dari berlanggar dengan kedua-dua
buah kereta tersebut.
Kereta Aaira
terseret naik ke atas bahu jalan dan terhenti di situ. Beg udaranya terbuka dan
menampar hidung Aaira. Boleh tahan sakit juga. Terkejut dan tak tahu apa nak
buat, terus dicapainya telefon untuk menghubungi abangnya.
Terkejut bukan
main Ziyad bila diberitahu adiknya terlibat dengan kemalangan. Habis ditinggal
pelajar dan kelasnya yang sedang berjalan.
Aaira meraba-raba
hidungnya.
“Nasib baik ada
lagi.” Ujarnya dalam hati.
Hidungnya sudah
terasa tebal dan kebas ditampar beg udara tadi. Risau juga kut-kut dah hilang.
Dia melangkah
keluar dari kereta. Orang ramai sudah mula mengerumuni 2 buah kereta yang
berlanggar tadi. Remuk teruk juga. Mereka terpaksa menunggu bantuan sampai
untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.
Aaira memanjatkan
rasa syukur. Dia memang bernasib baik kerana tidak ikut berlanggar dengan kedua
buah kereta tersebut. Kalau tidak pasti dia mengalami kecederaan yang lebih
parah.
“Adik ok?
Tak ada cedera kat mana-mana kan?” Tegur seorang wanita sebaya ibu Aaira yang
kebetulan sedang berada di situ.
“Saya ok
makcik Alhamdulillah. Saya tunggu abang saya datang. Terima kasih..” ujar Aaira
sopan.
Aaira berjalan
mengelilingi keretanya. Tiada apa-apa kerosakan. Diperhatikan pula tangannya
sendiri. Menggigil. Aaira rasa dia tak takut atau terkejut pun. Tapi menggigil
juga kedua belah tangannya. Tubuhnya memberi reaksi kepada apa yang berlaku.
Tak lama kemudian
Ziyad sampai dengan Pakcik Usman.
“Adik ok
tak?” Menggelabah Ziyad mendapatkan adiknya. Dibeleknya adiknya atas ke bawah.
Lega hatinya.
“Hah! Hidung adik
dah takde!” Sempat dia mengusik bila dilihat hidungnya adiknya merah macam
lampu raya. Dapat diagak akibat terkena hentaman beg udara.
“Abang ni…sakit
tahu!” Marah Aaira.
“Alhamdulillah…nasib
baik tak ada apa-apa. Balik nanti terus buat sujud syukur.” Arah Pakcik Usman
pada kedua orang anaknya.
Pakcik Usman
memandu kereta Aaira menuju ke bengkel, untuk diperiksa kalau-kalau berlaku
apa-apa kerosakan. Manakala Ziyad membawa adiknya ke klinik.
“Doktor cakap
apa?” Tanya Ziyad dalam kereta.
“Tak ada apa-apa
pun. Tak patah pun hidung ni. Lain-lain memang tak ada cedera apa..dapat ubat
surut bengkak je.” Jawab Aaira.
“Doktor bagi cuti
sakit untuk hari ni. Dia suruh rehat. Abang long kena masuk kerja balik ke?”
Tanyanya
“Ha’ah abang long
kena pergi sekolah balik. Tadi ada guru ganti tempat abang long sekejap. Kejap
lagi abang long balik awal. Adik nak makan apa malam ni, nanti abang long
masakkan.” Ujar Ziyad sambil mengambil air mineral yang dibelinya tadi.
Aaira dah telan
air liur mendengar tawaran abangnya. Waktu datang bulan ni memang nafsu
makannya besar. Teringin macam-macam.
“Adik nak spaghetti. Bolognese. Dengan meatball
tau. Cheese pun nak” Jawabnya laju.
Dah terbayang-bayang di matanya.
“Sedapnya…”
Ujarnya sambil menelan liur.
“Yelah..balik
nanti abang singgah beli barang. Nah minum air ni dulu. Awak tu terkejut lagi.”
Ujarnya menghulurkan botol air mineral yang sudah siap dibuka penutupnya.
“Bismillah,
selawat dulu.” Tambahnya lagi.
Aaira menurut
arahan abangnya.
Ziyad bergerak ke
tempat kerja semula setelah menghantar adiknya pulang.
“Ibu nak masak apa
tengah hari ni? Meh adik tolong.” Tanyanya menjenguk ibunya di dapurnya.
Neneknya juga ada di situ. Ayahnya masih belum pulang ari bengkel.
“Tak payah…kamu
pergi rehat. Letak ais kat hidung tu. Merah macam badut dah ibu tengok.” Gurau
Makcik Maryam. Risau sebenarnya. Terkejut dia bila diberitahu tentang
kemalangan itu tadi.
Aaira memuncungkan
mulut sambil beredar ke ruang tamu. Dia duduk berehat menonton televisyen
sambil menuam hidungnya. Siaran rancangan yang membosankan membuatkan dia
terlena di sofa dengan bungkusan ais di hidungnya. Langsung dia tak sedar,
susuk yang berada dalam keretanya tadi sedang berdiri di situ memerhatikannya.
Suara iklan
televisyen yang tiba-tiba kuat mengejutkan Aaira dari tidurnya. Dia nampak
abangnya sedang duduk di sofa berdekatan.
“Eh abang long?
Tadi kata kena masuk kerja balik?” tanyanya sambil menguap. Dialihkan bungkusan
tuaman sambil bangun dari baring. Terasa beku hidungnya. Tanpa dia sedar,
‘abangnya’ sedang tersenyum dengan senyuman panjang yang mengerikan.
Kedua-kedua hujung mulutnya benar-benar menyentuh cuping telinga dan pandangan
matanya menggerunkan.
Aaira dengar bunyi
kereta di halaman rumah.
“Ayah dah balik.”
Katanya sambil menoleh ke arah abangnya.
Kosong. Tiada
orang di sofa itu. Aaira terpinga-pinga.
“Assalammualaikum…”
Ayahnya memberi salam.
“Waalaikumsalam…”
Jawabnya sambil menggaru kepala.
“Aku mamai ke?
Kepala aku tak kena airbag pun tadi.”
Aaira masih bingung.
MALAM itu mereka semua
menjamu selera dengan hidangan barat, spaghetti
Bolognese hasil tangan Ziyad, atas permintaan ‘orang sakit’. Berselera
betul Aaira makan. Terlupa habis tentang kejadian kemalangan pagi tadi. Merah
di hidungnya juga sudah beransur hilang.
“Abang long.. esok
malam temankan adik dengan Mikayla tengok wayang boleh tak. Kami nak tengok Mat
Kilau. Esok keluar kat wayang. Macam best
je..poster dia pun nampak power.
Abang long takde plan apa kan esok?”
Tanya Aaira dengan nada memujuk. Kalau keluar malam dengan kawan baiknya
Mikayla, mesti dia akan ajak abangnya temankan.
“Hmm…adik
belanja.” Sahutnya abangnya pendek.
“Ookaayy…” Ibu jari Aaira diangkat tanda
setuju. Inilah satu untungnya ada abang bujang. Senang dia nak merap.
Hehehehe….
“Abang long nak popcorn ehh…” pinta abangya lagi.
“Siap bos!” Aaira
tidak membantah.
Tak sabar rasanya
menunggu esok malam. Aaira memang kaki wayang. Pantang ada cerita baru yang
menarik minatnya, pasti diheret abangnya atau kawan baiknya Mikayla untuk
menemaninya menonton.
Entah apa yang dia
suka sangat. Bila cerita dimulakan dengan suasana gelap, ditemani sekotak popcorn dan minuman kegemarannya, Coco Smoothies Oreo Less Sugar yang
didapatkannya dari kiosk Tealive yang
kemudiannya disorok dalam beg tangannya sebelum diseludup masuk ke panggung,
fuh… feeling itu sangat dia suka. Seolah-olah dia masuk dan hanyut ke
dalam satu pengembaraan dunia khayalan
yang dibawa oleh cerita yang ditonton, sesuatu yang tak boleh dia dapatkan
dalam dunia realiti.
Malam itu tidurnya
tak begitu lena. Tersentak-sentak dia terjaga dari tidurnya. Mimpikan keretanya
berlanggar tanpa sempat menekan brek. Mungkin masih terkejut dengan kemalangan
pagi tadi. Dipaksakan juga matanya untuk tidur, mengenangkan esok adalah hari
kerja.
Dalam pada matanya
terpejam itu tiba-tiba dia terdengar suara ramai orang sedang berbisik-bisik..
tak jauh dari katilnya. Dicelikkan mata dan dipandang keliling. Tiada apa-apa.
Dipejamkan kembali matanya. Suara berbisik itu kembali, kali ini lebih dekat.
Serta merta dia
bangun dan duduk. Bingkas dia berdiri berjalan ke arah suis di dinding di tepi
pintu dan terus memetik lampu. Dipandangnya sekeliling . Tiada apa. Dia
melangkah perlahan kembali di katilnya, was-was. Akhirnya dipaksa tidurnya
dalam keadaan lampu terpasang.

No comments:
Post a Comment