Monday, May 13, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 10)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 10

AAIRA sedang bersiap-siap untuk tidur. Sedang dia menepuk-nepuk bantal dan mengibas-ngibas katil sambil berselawat, telefon bimbitnya berbunyi. Segera dicapainya.

“Selamat malam ya Humaira…” Mesej Whatsapp dari Kairi.

Sudah hampir sebulan sejak hari pertama Kairi mendapatkan nombor telefonnya. Selepas kes hari itu lah Kairi asyik menggelarnya si pipi merah. Kemudian entah sejak bila, panggilan itu bertukar jadi Humaira pula. Gelaran Nabi Muhammad SAW kepada Saidatina Aisyah R.A. yang bermaksud ‘putih kemerah-merahan yang melambangkan kecantikan.’ Nama Aaira Annayra sudah ditukar menjadi Aaira Humaira.

“Suka hati dia aje…” Getus Aaira.

Dalam tempoh ini, mereka sering juga berbalas pesanan. Kadang-kadang mereka berbual di telefon, ada juga sesekali mereka berhubung melalui panggilan video. Sempat juga mereka berjumpa 2 kali.

Kali pertama keluar, mereka hanya berjalan-jalan di shopping mall, dan makan bersama. Tetapi mereka bukan keluar berdua, Mikayla turut ada menemani Aaira.

Mereka berjanji untuk bertemu di kompleks membeli belah petang itu selepas Zohor. Pada mulanya Aaira jadi agak kekok, berjumpa dengan Kairi di luar begitu. Segan. Tetapi sekejap sahaja dia menjadi selesa.

Kairi pandai bergurau dan mengambil hati gadis-gadis itu. Terasa seperti mereka bertiga adalah sekumpulan kawan lama dari zaman sekolah. Ada saja ideanya untuk membuatkan mereka tertawa.

Kairi menemani gadis-gadis itu mencari dan memilih baju untuk dipakai sebagai penyambut pada Majlis Sambutan Perpisahan Pengarah Hospital mereka yang hanya tinggal tak berapa hari saja lagi. Tak jemu dia mengikut mereka masuk dari satu kedai ke kedai yang lain. Pandai pula tu dia memberikan pendapat tentang pilihan mereka. Boleh tahan juga citarasanya.

Aaira dan Mikayla masing-masing mencuba sepasang baju kurung kebaya berwarna coklat gelap dengan potongan fishtail, bercorak songket pada bahagian kainnya di bilik persalinan. Kairi yang memilihkan baju itu untuk mereka dan meminta mereka mencubanya.

Aaira membelek-belek sebentar baju yang tersarung di tubuhnya itu di hadapan cermin di dalam bilik persalinan, sebelum keluar menunjukkannya pada Kairi yang sedang duduk di kerusi di ruang menunggu di depan pintu bilik persalinan tersebut.

Sebaik sahaja dia melangkah keluar, Kairi terdiam merenungnya tak berkelip. Rasa bersilau matanya dengan keayuan gadis tersebut. Macam nak luruh jantungnya menahan debar yang mengocak di dada.

Ok ke?” Tanya Aaira.

Sekaligus merentap Kairi pulang ke alam realiti. Entah sudah sampai ke taman bunga di alam bunian mana dia membawa Aaira dalam lamunannya.

“Hah? Err…” Dia terdiam sekejap, mencari kata-kata untuk menjawab pertanyaan gadis itu.

Tujhe dekha to yeh jana sanam…” Tiba-tiba dia mendendangkan lagu Hindustan dari filem Hindi terkenal tahun 1995, yang dilakonkan oleh bintang lagenda, Shah Rukh Khan dan Kajol.

Pyaar hota hai deewana sanam…” Kairi menyambung nyanyian lagu filem ‘Dilwale Dulhaniya Le Jayenge’ itu sambil berdiri mendepakan tangannya ke arah Aaira, seperti lagak seorang hero Bollywood.

Pecah ketawa Aaira dengan gelagatnya itu.

Wehh…! Cantik la baju ni. Kita ambil yang ni lah.” Ujar Mikayla yang baru melangkah keluar dari bilik persalinan satu lagi.

Aaira mengesat matanya dengan tawa yang masih berbaki. Nasib sahabatnya itu keluar. Kalau tidak mungkin sudah berjoget Hindustan si Kairi ni kat depan ni. Kairi tersengih bahagia melihat sang gadis pencuri hatinya itu tertawa gembira.

Belum sempat Aaira nak buat pembayaran di kaunter bayaran, Kairi terlebih dahulu menghulurkan kad debitnya pada juruwang.

“Eehh…” Tak sempat Aaira nak menahan tindakan jejaka itu.

Kairi tersenyum kacak sambil mengangkat-angkat kening.

Takpe…saya ikhlas.” Ujarnya. Aaira dan Mikayla saling pandang-memandang, tak terkata apa-apa.

“Eh..janganla tengok saya macam tu, nanti orang tahu saya kacak.” Usiknya apabila gadis-gadis itu merenungnya.

Eee…perasan tak habis-habis…” Aaira pura-pura marah. Padahal hatinya sudah mula mengembang.

“Ish…mana ada… ini bukan cobaan tau… ini benar-benar kejadiann…” Ujarnya lagi, meniru dialog dalam Filem Pendekar Bujang Lapok.

Gadis-gadis itu menjeling tidak bersetuju, sambil menahan ketawa.

“Jom, kita pergi makan.” Ajak Kairi.

“Nak makan kat mana?” tanya Mikayla.

“Kita makan kat bawah, ada kedai best..” Jawab Kairi.

“Tapi sebelum tu kita pergi solat dulu ea..” Sambungnya lagi sambil mengorak langkah selepas meraih beg plastik berisi baju tadi dari tangan Aaira.

Dibimbitnya beg plastik itu seperti seorang lelaki budiman…, atau begitulah pandangan mata Aaira ketika itu. Bunga di taman hati sudah mula mekarlah katakan..

Setelah keluar dari surau, Aaira lihat Kairi sudah siap menunggu di bangku yang disediakan di situ. Bergetar juga hati gadisnya melihat wajah bersih lelaki itu dengan rambutnya yang masih basah-basah dengan air wudhuk. Mikayla yang sedang memerhatikan riak wajah Aaira itu tersengih sendiri.

“Kena pukau dah kawan aku ni..” Bisiknya sendiri dalam hati.

Kemudian mereka bergerak menuju ke kedai makan yang disebut Kairi. Tiba saja di kedai makan tersebut, Kairi terus mendapatkan pekerja di kaunter. Selepas berbual beberapa ketika, wanita itu membawa mereka ke tingkat atas kedai.

Kawasan di atas tidak terlalu besar, hanya ada beberapa buah meja di situ. Tempatnya juga agak tertutup dan lebih privasi. Hanya ada sepasang pelanggan muda sahaja di situ waktu itu. Kemudian wanita itu membawa mereka ke sebuah meja yang terletak di sudut hujung tingkat atas tersebut.

Aaira dan Mikayla terpempan melihat meja yang berhias cantik itu. Siap ada lilin wangi lagi. Sejambak bunga segar yang cantik di dalam sebuah bekas kaca kecil turut menyerikan meja itu. Dikelilingnya pula ada belon-belon berisi gas helium, berwarna hitam dan emas.

Rupa-rupanya Kairi sudah pun membuat tempahan awal di situ untuk mereka. Merah betul pipi Aaira waktu itu. Memang menjadi betul kejutan Kairi hari itu, Aaira langsung tak jangka. Kairi menarikkan kerusi untuk Aaira dan Mikayla duduk. Senyum meleret dia melihat pipi merah Aaira.

Tak lama kemudian, dua orang pelayan datang membawa minuman dan hidangan pembuka selera berupa Mushroom Soup dan juga Locco Nachos. Kelihatan sangat menyelerakan. Aaira dapat Chocolate Ice Blended sebagai minumannya. Manakala Mikayla mendapat segelas Vanilla Caramel.

“Macam mana awak tau saya suka Chocolate Ice Blended?” Tanya Aaira. Musykil juga. Dia ada pasang spy kah?

“Kenalkan, agen perisik saya, Miss Mikayla…” Kata Kairi sambil menghalakan tangan ke arah Mikayla.

Rupanya telah disiasat terlebih dahulu kegemaran gadis itu melalui teman rapatnya. Rapi betul persediaannya.

Kemudian mereka disajikan pula dengan hidangan utama yang begitu menyelerakan. Kairi memilihkan Chicken Chop With Special Sauce untuk Aaira. Kena betul dengan seleranya. Nasib baik dia tak minta tambah sepinggan lagi.

Akhir sekali mereka disajikan dengan aiskrim tiga perasa di dalam mangkuk gelas yang sangat comel. Gembira betul Aaira waktu itu. Rasa seperti watak utama dalam sebuah drama romantis.

Hari indah itu berakhir dengan Kairi menghantar kedua gadis tersebut hingga ke kereta.

Err.. awak tunggu sini kejap boleh tak.” Pintanya sebelum beredar menuju ke keretanya sendiri tak jauh dari situ.

Tidak lama kemudian dia kembali mendapatkan gadis-gadis itu. Dihulurnya sejambak Chocolate Bouquet berisi Fererro Rocher yang dihias cantik dengan bunga. Mikayla juga dapat sekotak coklat yang sama yang diikat kemas dengan reben. Aduhai…manisnya lelaki ini. Aaira rasa seperti sudah tumbuh sayap di belakang belikatnya, mengepak-ngepak membawanya terapung ke atas. Tak jejak tanah dah!

Itu cerita kali pertama mereka keluar bersama.

 

KALI kedua pula, Kairi mengajaknya untuk bercuti dan bermalam di Homestay milik rakannya. Beriya-iya dia mengajak Aaira. Disuruhnya juga Aaira mengajak Ziyad dan Mikayla. Tetapi percutian itu benar-benar tidak menghampakan.

Mereka berempat melalui percutian yang sangat menggembirakan. Bermacam-macam aktiviti dicuba Aaira. Memandu ATV, memancing, berkayak, Flying Fox. Semuanya pengalaman baru untuk Aaira. Dia tak pernah berpeluang mencuba semua itu sebelum ini.

Aktiviti pertama yang mereka cuba ialah menaiki ATV. Aaira yang memang langsung tidak tahu menunggang motosikal memang menghadapi masalah mengawal ATVnya. Terjerit-jerit dia melelong-lelong ke sana ke sini sambil diketawakan mereka yang lain. Sekejap-sekejap dia berhenti. Kemudian ditekan pula minyak terlalu kuat. Laju melonjak ke depan ATVnya.

Terpekik kakitangan di situ berpesan jangan turunkan kaki. Bahaya takut tergilis dengan tayar belakang. Melompat Kairi menerpa membantunya. Kalau dibiarkan mungkin dia sudah mencium batang pokok!

Sudahnya dia hanya membonceng sahaja di belakang Ziyad. Mereka memandu mengikut trek yang disediakan. Agak mencabar juga. Ada laluan berbukit, jalan tak rata dan berlecah, kawasan semak. Mujur juga Aaira hanya membonceng. Mikayla pula sekejap-sekejap tersangkut. Ada juga Mikayla turun dari ATV hanya kerana tak berani memandu di bahagian selekoh jalan.

Terpaksa Ziyad atau Kairi memandu melepasi selekoh itu, dan mengalih semula ATVnya yang tersangkut ke kedudukan yang betul, sebelum mereka menyambung perjalanan. Memang pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Abangnya juga sempat menunjukkan kehebatannya memanah. Memang dia sudah cekap dengan sukan itu, kerana sudah biasa berlatih di sekolahnya. Dialah yang menjadi guru pelatih untuk sukan itu. Bukan main bergaya lagi dia memegang panah. Kalah Robin Hood.  Panahnya disasar ke arah papan target panah, tetapi mengena tepat ke hati Mikayla. Macamlah Aaira tidak tahu taktik abangnya yang cuba menarik perhatian teman rapatnya itu.

Kairi pada mulanya beriya-iya menyakat Aaira ketika melakukan aktiviti Flying Fox. Sudahnya, dia yang paling kuat menjerit semasa melakukan aktiviti itu. Terpejam-pejam matanya semasa meluncur turun. Apabila sampai di bawah, dia minta Ziyad memapahnya. Sudah tidak boleh berdiri katanya. Lembik lutut. Gayat. Puas mereka gelakkan dia sepanjang hari.

Mereka berehat sebentar untuk menikmati makan tengah hari. Mereka disajikan dengan masakan kampung oleh pihak Homestay. Memang membangkitkan selera. Ditambah pula dalam suasana kampung begitu. Mereka makan sambil bersila di meja rendah di ruang makan di situ. Bertambah Kairi dan Ziyad makan. Berebut-rebut. Hilang habis loya Kairi yang tadinya gayat melakukan aktiviti Flying Fox.

Kemudian mereka mencuba pula aktiviti berkayak. 1 kayak boleh dinaiki 2 orang. Aaira naik dengan Mikayla, Ziyad pula naik dengan Kairi. Macam biasa, Kairi sibuk membantu Aaira memakai jaket keselamatan sebelum memulakan aktiviti. Dipasangnya dengan begitu berhati-hati. Malu-malu juga Aaira dilayan begitu.

Ziyad pun sibuk juga nak meniru aksi gentleman Kairi. Dia cuba membantu memakaikan jaket Mikayla. Tetapi dia sendiri pun tak pandai. Habis terpintal-pintal tali klip keselamatan di jaket itu. Tepuk dahi Aaira melihatnya.

Kemudian mereka beriringan mendayung mengikut arus sungai. Rasa begitu tenang dan mendamaikan. Mikayla yang pada mulanya agak takut-takut nak naik, sampai tak nak berhenti pula. Suka betul dia berkayak. Entah berapa kali pusingan dia menaikinya. Orang lain sudah lenguh tangan, dia masih lagi belum mahu berhenti. Jenuh mereka heret dia naik.

“Sudahlah tu cik Mikayla oii…nak tercabut dah bahu kitorang ni ha..!” Leter Ziyad.

Tersengih-sengih gadis itu. Puas dia mendera mereka semua menemaninya berkayak.

Seterusnya mereka mencuba aktiviti berkuda. Aktiviti yang paling Aaira suka. Seronok sangat. Zaman sekolah dulu, Aaira cukup suka dengan siri televisyen The Cave of The Golden Rose. Siri fantasi yang penuh dengan makhluk-makhluk magis dan benda-benda ajaib itu berkisarkan tentang kehidupan puteri yang bernama Fantaghiro.

Watak utama perempuan itu sangat dikaguminya. Bergaya, hebat, bijak, berani, dan cantik. Pakej sempurna. Berangan-angan Aaira nak menunggang kuda, melihatkan sang puteri menunggang dengan penuh bergaya.

Waktu itu jugalah Aaira terpegun melihat Kairi. Berbaju t-shirt putih berlengan pendek dengan poket di bahagian kiri dada ala-ala Korean style, dipadankan dengan jeans biru lusuh. Dia menunggang seekor kuda putih yang besar dan cantik dengan penuh bergaya. Sebiji seperti seorang Prince Charming berkuda putih yang banyak terdapat dalam cerita kisah cinta fantasi dari Barat. Itu jugalah yang menjadi  angan-angan kisah cinta indah Aaira di alam remajanya.

Sebelum menunggang kuda, Kairi terlebih dahulu membantu memakaikan topi keselamatan kepada Aaira. Aaira pula semakin suka dilayan begitu. Kembang habis bunga di taman hatinya. Ziyad yang mengerling mereka di sebelah serta merta sibuk meminta Mikayla memakaikan topi itu untuknya. Sudahlah tubuhnya lebih tinggi dari gadis itu. Terkial-kial Mikayla nak memasangnya.

Hish. Tak sampailah. Pakai sendiri.” Ujar Mikayla yang sudah terjengket-jengket nak membantunya.

Serta merta Ziyad mencemikkan wajahnya menyebik seperti mahu menangis. Tergelak-gelak Mikayla, Aaira dan Kairi dibuatnya.

Mereka dibawa menaiki kuda mengikut laluan kuda yang telah disediakan. Berpusing menggunakan jalan kampung, melalui kawasan kebun dan juga air terjun, kembali ke kandang kuda. Kuda Aaira diawasi oleh Kairi yang menunggang di sampingnya. Manakala kuda Ziyad dan Mikayla diawasi oleh seorang lagi pelatih kuda dari belakang.

Mereka menunggang sambil menikmati suasana kampung dengan begitu teruja. Aaira siap berangan lagi, yang mereka berlima sedang menunggang sambil merungkai sebuah misteri, seperti dalam buku cerita misteri kanak-kanak yang disukainya semasa kecil. Siri 5 sekawan hasil karya Enid Blyton yang dialih-terjermah ke Bahasa Melayu. Mari Berpetualang!

Kuda-kuda mereka memang sudah sedia terlatih dengan laluan tersebut. Jadi tiada sebarang masalah dihadapi semasa menunggang. Cuma kuda Ziyad aje yang tak berapa dengar cakap. Melencong ke sana sini dari laluan yang telah ditetapkan.

Mungkin kuda itu memberontak agaknya, terpaksa membawa Ziyad di atas belakangnya, bukannya gadis cantik. Namun dapat dikawal dengan baik oleh pelatih kuda yang mengawasi supaya masuk semula k dalam laluan asal. Tak habis Ziyad membebel bertengkar dengan kudanya.

“Oi…kau ni…sana lah.. degil ea. Babab kang!” Marahnya pada si kuda. Berdekah mereka mengetawakannya yang sedang terkial-kial mengawal kudanya.

Mereka berhenti sekejap di kawasan air terjun untuk mengambil peluang bergambar dengan kuda. Latar belakangnya memang cantik. Menjadikan mereka kelihatan begitu bergaya sekali dalam gambar-gambar. Tak sabar Mikayla nak memuat naik gambar-gambar tersebut di media sosialnya. Kemudian mereka meneruskan perjalanan pulang ke kandang kuda.

Aaira sangat berpuas hati dengan pengalaman ini. Teringin betul dia nak menunggang dengan cekap seperti Kairi. Mudahan dia berpeluang untuk belajar menunggang suatu hari nanti. Aamiin…

Sebelah malamnya pula mereka menjamu selera dengan hidangan barbeque di luar. Ziyad dan Kairi jadi tukang bakar. Mikayla dan Aaira pula jadi tukang makan. Pembahagian tugas yang sememangnya cukup adil dan saksama pada kedua gadis itu. Mujur juga cuaca malam itu baik. Langit yang tidak dilindungi awan mempamerkan cahaya bintang yang begitu indah. Mengasyikkan mata yang memandang. Subhanallah. Indah sungguh ciptaan Allah.

Teringat pula Aaira memori malam itu. Mereka berjalan-jalan di tepi sungai tempat orang berkayak, yang berdekatan dengan tempat mereka berbarbeque sebelum singgah ke tandas awam yang ada dekat situ. Semuanya berebut nak ke tandas setelah perut penuh diisi dengan makanan dan minuman.

Aaira siap dulu,lalu dia keluar menunggu Mikayla di luar. Dilihatnya Kairi sedang berdiri sendirian di luar,menyepak-nyepak batu. Dia tersenyum melihat Aaira. Aaira tercari-cari kelibat abangnya.

“Ziyad pergi beli air kejap kat kedai depan tu.” Ujar Kairi membaca kotak fikiran Aaira.

Woof!” Tiba-tiba ada seekor anjing liar lalu dekat dengan mereka, terkejut kedua-duanya.

Sedar-sedar aje, Aaira dah pun bersembunyi di belakang Kairi sambil menarik bajunya. Takut.

Kairi pun. Berdangdut-dangdut jantung Kairi dalam sangkar dadanya. Bukan takut pada sang anjing, tapi berdebar-debar bila gadis pencuri hatinya itu dekat dengannya.

“Hoi… korang buat apa tu haa… haa..gelap-gelap ni… aku report kat abang Ziyad..” Tiba-tiba Mikayla yang baru keluar dari tandas menyergah.

Baru dia nak melangkah menuju ke arah mereka, dia terperasankan anjing yang ada di situ. Macam lipas kudung dia melompat bersembunyi pula di belakang Aaira. Kairi dan Aaira mengulum tawa melihat tingkah Mikayla.

Penyakit nakal Kairi datang lagi. Dalam keadaan Aaira menarik bajunya di belakang,dan Mikayla pula di belakang Aaira,terus dia berlagak hero bergerak ke kiri dan ke kanan sambil didepakan kedua-dua belah tangannya. Sebiji macam permainan kanak-kanak, ‘Ibu ayam dan musang’.

“Hah… hahh… kalau berani mari lah.. haa.. mari..mari…” Diacahnya anjing yang langsung tak mengerti apa-apa itu. Aaira menahan gelak dengan keletahnya.

“Eee… awak nii…” Marah Aaira.

“Halaulah anjing tu…” Pintanya.

“Emm..! emm! Takkk…nakk!” Kairi tergeleng-geleng sambil disilang kedua tangannya memeluk tubuh.

“Macam ni la bestt…” Usiknya. Spontan Aaira mencubitnya. Geram.

Adoih. Sedapnya.” Kairi menggeliat terkena ketam batu Aaira.

Sambil ketawa dihentak-hentak kakinya ke tanah,menggertak dan menghalau anjing tersebut. Anjing itu pun beredar dari situ sambil mengongoi.

“Bukan aku nak kacau kau orang pun…” Mungkin itulah agaknya bicara anjing itu pada mereka.

“Korang buat apa beratur kat sini. Nak masuk tandas lagi ke?” Ziyad yang baru datang menegur mereka.

Di tangannya ada 4 bungkus air ikat tepi. Pelik dia melihat mereka beratur lurus begitu.

Takdelah.. ada anjing tadi…” Sahut Mikayla.

“Adik nak milo ais!” Aaira sudah bersedia menyambut air dari tangan abangnya.

“Eh eh… ini Mikayla punya. Mikayla 2, abang 2. Adik pergila suruh Kairi beli.” Katanya sambil melarikan air itu dari adiknya.

“Nah…khas untuk awak.” Lalu dihulurnya kepada Mikayla.

“Habisla awak… dah kena turun kerusi… pangkat ‘Mem’ manja dah dirampas…” Kairi turut mengusik.

“Tapi takpe. Saya sudi memanjakan awak..” Sambungnya lagi. Bagaikan terlupa yang abang Aaira berada di situ.

“Amboi amboi… selamba badak kau mengurat adik aku depan aku ye.. aku ada kat sini tau!” Bidas Ziyad.

Dalam pada itu, Aaira diam-diam merenggut bungkusan air di tangan Mikayla lalu menjelirkan lidahnya kepada mereka bertiga sambil berlari.

Eyy budak bertuah ni. Ape ambil air orang tu. Awak punya kat sini..!” Jerit abangnya.

Mereka sama-sama tertawa. Perasaan gembira menyelinap ke ruang setiap hati yang berada di situ, malam itu.

Keesokan harinya pula, mereka membawa bekal makanan dari homestay dan berkelah di kawasan air terjun. Mereka mencari tempat yang sesuai untuk duduk sebelum membentangkan tikar yang telah dibawa.

Ziyad dan Mikayla tak menyempat-nyempat lagi dah nak terjun. Dapat aje tempat, terus ditinggalkan selipar lalu bergegas ke air. Kairi pula membantu Aaira membentang tikar alas dan menyusun bakul makanan.

“Awak seronok tak datang sini?” Tanya Kairi memulakan perbualan. Dia menanggalkan selipar kemudian  naik dan duduk di atas tikar.

“Seronok sangat awak! Terima kasih tau ajak kitorang ke sini. Memang best.” Jawab Aaira ceria.

Kairi tersenyum gembira. Dia menepuk-nepuk tikar di sebelah tempat dia duduk sambil memberikan isyarat mata memanggil Aaira duduk di sebelahnya. Aaira teragak-agak sekejap sebelum menuruti permintaannya. Dadanya sudah mula berdebar.

Aaira melabuhkan punggung di sebelah hujung atas tikar. Jauh sikit dari Kairi. Kairi tersenyum nakal sambil mengesotkan punggungnya merapati Aaira. Sampai terasa dekat sahaja dengusan nafasnya. Bertambah sakanlah jantung Aaira mengepam darah laju ke seluruh tubuhnya. Mukanya sudah terasa panas. Dilemparkan pandangan ke arah Ziyad dan Mikayla yang sedang terjerit-jerit kesejukan dalam air. Cuba mengelak dari memandang ke arah Kairi.

“Awak…” Kairi memanggilnya dengan nada manja. Berdiri bulu tengkuk Aaira dibuatnya.

“Awak…cuba tengok sini kejap…” Pintanya lagi. Masih bernada manja.

Aaira teragak-agak. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Kairi. Kairi tersenyum manis.

“Saya ada benda nak bagitahu awak...” Ujarnya lagi.

Sengaja dia menggunakan nada suara yang menggetarkan hati Aaira. Tiba-tiba dia menggerakkan tangannya menghampiri wajah Aaira. Aaira sudah menunduk sambil memendekkan tengkuknya, mengelak dari tangan Kairi. Kemudian Kairi mengalihkan tangannya mengarah ke kepala Aaira. Dia mengambil sesuatu yang terasa melekat di tudungnya.

“…ada ni kat kepala awak…” Sambungnya lagi tersengih-sengih sambil mengunjukkan seekor kumbang yang agak besar saiznya.

Terjerit Aaira sambil bingkas bangun berdiri. Kairi sudah bergolek di situ memegang perut sambil ketawa lucu. Seronok dia menyakat gadis itu. Kemudian dia bangun duduk sambil mengesat mata.

“Ada seekor lagi kat bahu tu….” Katanya lagi sambil menyambung ketawa.

Terjerit-jerit Aaira sambil mengibas-ngibas seluruh kepala dan tudungnya. Kemudian dia menerpa dan melutut depan Kairi.

“Tolonglah buangkan…!” Pintanya sambil mengipas-ngipas tudungnya dengan harapan kumbang itu jatuh.

Tersengih-sengih Kairi kesukaan. Perlahan dia mengangkat tangannya mendekati tudung Aaira. Kemudian ditariknya hujung tudung gadis itu yang sudah senget untuk membetulkannya kembali.

Takde dah, takde dah… saya gurau je..” Ujarnya masih tersengih suka.

Hish..! Awak ni…!” Aaira menarik muka masam.

Terus dia bangun meninggalkan Kairi lalu menyertai Mikayla dan Ziyad yang sedang seronok mandi. Kairi masih tersenyum-senyum sendiri di situ. Dia duduk bersila sambil memegang dada. Jantungnya sendiri pun sedang meloncat-loncat kat dalam. Ditepuk-tepuk perlahan bahagian kiri dadanya.

All is well…, all is well…” Ucapnya memujuk hati, dengan meniru dialog dari filem Bollywood tahun 2009, berjudul ‘3 Idiots’ yang dibintangi oleh Aamir Khan dan Kareena Kapoor.

Hisss… sejuknyaa….!” Tergigil Aaira yang baru masuk ke dalam air.

Mikayla memanjat batu cuba menghampiri Aaira yang baru menyertai mereka. Tiba-tiba terlicin pula kakinya. Serta merta tangannya dipaut Ziyad yang berada berhampiran, menyelamatkannya dari terjatuh.

“Baik-baik…” Ujarnya, cepat-cepat melepaskan pegangannya kembali setelah gadis itu stabil.

“Haaa….adik bagitahu ayah abang long pegang tangan anak dara oranggg….” Usik Aaira yang memerhatikan kejadian itu dari dalam air.

Ziyad sudah berpaling memandang ke arah hutan, menyembunyikan senyuman dan debaran di dada. Mikayla pula pura-pura membetulkan tudung dan baju. Tiba-tiba,

“Cebushhh!!”

Kairi tiba-tiba melompat ke dalam air dari atas batu. Memercik air mengena mereka bertiga. Terjerit si Mikayla.

“Oii…!” Tempik Ziyad pula.

Aaira nampak Kairi sedang menyelam menuju ke arahnya. Tiba-tiba dia melonjak naik dari dalam air betul-betul di depan Aaira. Dia berdiri begitu dekat dengan Aaira. Ditolak rambutnya ke belakang dan diraup mukanya yang basah ke bawah. Lalu ditatapnya jauh ke dalam anak mata Aaira. Dekat. Kemudian dia tersenyum.

“Awak tahu kan…. Saya suka awak.” Ujarnya pendek dengan suara yang perlahan.

Kemudian dia kembali tersenyum sebelum melonjakkan badannya ke belakang dan berenang dengan gaya kuak lentang, menjauhi gadis itu. Tergamam Aaira. Terkedu tak bersuara. Berdiri tercegat dia di situ, tidak tahu bertindak balas dengan tindakan yang tidak disangka-sangka lelaki itu.

 

BUNYI mesej yang kedua mengejutkan Aaira dari lamunan panjangnya.

“Tidur mimpi saya tau.” Mesej Kairi lagi setelah seketika tidak mendapat balasan.

Aaira hanya membalas pesanan tersebut dengan pelekat gambar seekor kucing comel yang sedang mengerling tajam sambil menjelirkan lidah, sebelum membenamkan mukanya ke bantal. Entah suka atau malu.

Kairi pula memeluk telefon bimbitnya. Sambil berguling-guling di atas katil.

Dan malam itu… ada 2 keping hati telah disahkan menghidap jangkitan penyakit cinta.

No comments:

Post a Comment