Sunday, May 12, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 9)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 9

AAIRA kelihatan ceria dan bersemangat. Pagi itu dia hadir bekerja semula selepas beberapa hari mengambil cuti rehat tahunan selepas kematian Tok Yah. Encik Azrun sendiri yang menyuruh dan memberi kebenaran kepadanya untuk cuti lebih lama bagi menenangkan diri dan merehatkan badan.

Encik Azrun memang tak pernah berkira dengan Aaira. Bab cuti ke.. bab kerja ke.. apa-apalah.. tak pernah dia bertegas menolak permintaan Aaira. Mungkin kerana Aaira jenis seorang yang tidak suka mengambil kesempatan. Tugasnya cuba dilaksanakan sebaik mungkin, dan dia tidak pernah menimbulkan masalah di tempat kerja. Baik dengan pesakit mahupun rakan sekerja. Itu yang bos sayang tu. Hehehe.

Tubuh Aaira kembali rasa bertenaga setelah bercuti. Alhamdulillah.. tiada lagi gangguan pada dirinya selepas berubat dengan Ustaz Abu Bakar tempoh hari. Aaira pun dah boleh solat. Jadi hatinya rasa lebih tenang.

Baru seminggu ditinggalkan ibadah itu, sudah gundah gulana jiwa dan hidupnya. Bagaimanalah keadaan mereka yang saban hari meninggalkan solat. Ketenangan. Itulah salah satu hikmah solat. Meletakkan dahi untuk bersujud kepada Allah juga adalah satu nikmat.

Seperti biasa, Aaira naik ke wad untuk memberikan khidmat rawatan fisioterapi kepada pesakit. Sedang dia membelek-belek rekod pesakit di kaunter wad, seorang jururawat mencuitnya.

Meh sini kejap.” Ajak Mel, staff nurse yang sebaya dengannya.

Ditariknya Aaira supaya mengikutnya ke bilik rehat staf. Di situ dia membuka lokernya dan mengeluarkan sesuatu. Sebuah kotak hadiah yang dibalut cantik.

“Ni ha, ada peminat bagi.” Hulurnya pada Aaira.

“Ish peminat apa pulak kau ni..” Aaira teragak-agak nak menyambut kotak itu.

“Biasalah.. orang lawa…ramai peminat… jealous aku tau.” Usik Mel.

Yela kau. Lawa kut mananya..” Aaira mencebik.

“Ala.. sape tu.. anak sedara Pakcik Talib katil 8 tu. Dia dah discharge masa kau cuti tu. Itu yang mamat ni pesan kirim kat aku. Beriya dia bawa nak bagi kat kau. Sekali kau tak ada. Frust betul muka dia.” Jelas Mel panjang.

Aaira mengerutkan kening.

“Nah ambik lah. Dia cuma pesan kat aku, kotak ni jangan langkah sebab ada ayat al-Quran..” Hulur Mel lagi.

Aaira pun mengambil kotak itu. Dibelek-beleknya sekejap.

“Aku nak pergi sambung kerja ni.” Beritahu Mel sambil beredar keluar dari bilik rehat staf tersebut.

Disebabkan rasa tak sabar, Aaira pun membuka hadiah itu di situ juga. Dikoyaknya kertas pembalut dengan berhati-hati, dan dibongkar isi di dalam kotak hadiah itu.

Ada 2 buah buku bersaiz A5 di dalamnya. 1 buku himpunan surah-surah pilihan seperti Surah Al-Kahfi, Surah al-Waqiah dan Surah al-Mulk. 1 lagi pula adalah gabungan Surah Yassin, Al-Ma’thurat dan Manzil. Ada juga sekeping kad yang tertulis ‘Aaira Annayra’ di atasnya. Aaira membaca isinya.

“Terima kasih cik Aaira yang manis, atas rawatan Cik pada Wa saya.. Harap-harap kita berjodoh lagi ye.”

Dibawahnya pula ada tertulis,

“Antara amalan yang baik diamalkan sebagai pelindung diri dari gangguan jin dan syaitan:

- Surah al-Baqarah ayat 1-5, ayat Qursi, Surah al-Baqarah ayat 284, 285, dan 286.

- Surah 3 Qul yang diulang sebanyak 3 kali, pagi dan petang.”

Aaira terangguk faham. Semua ayat yang disebut, ada di dalam al-Ma’thurat. Terharu juga dia dengan hadiah dari Kairi ini. Unik dan bermakna. Juga sangat bermanfaat. Yang lebih menyentuh hatinya adalah keprihatinan jejaka itu terhadap keadaan dirinya.

Tiba-tiba berkerut dahi Aaira membaca bahagian bawah kad itu.

“Ikhlas dari Kairi yang kacak. 0124747198.”

Aaira tergelak kecil.

 

SETELAH selesai tugasnya di wad, Aaira kembali ke unit. Dia berjanji untuk makan tengah hari bersama-sama Mikayla dan Fikri. Mereka masih belum turun dari wad. Diatur langkahnya menuju ke tandas. Terhenti sebentar dia di depan tandas. Tangannya ditadah dan doa yang terlebih dahulu dimulakan dengan Ta’awuz, dan Bismillah dibaca,

“Allahumma innii a’uudzubika minal khubutsi wal khabaa’itsi” Kemudian ditutup dengan selawat sejurus sebelum diaminkan.

Doa-doa pendek begitu semuanya telah dihafal Aaira sejak kecil lagi. Tapi itulah, kadang teringat dia baca, kadang main masuk aje. Tak istiqamah. Sekarang dia berusaha untuk mengamalkan semula doa-doa pendek dalam setiap rutin hariannya.

Terkadang terbayang juga dia peristiwa diganggu di tandas wad dulu. Setiap yang berlaku ada hikmahnya…kan? Setelah selesai urusannya, Aaira melangkah keluar dari tandas dengan kaki kiri sambil membaca,

“Ghufraanaka. Alhamdulillaahil ladzii adzhaba ‘annil adzaa wa’aafaani.”

Terlihat refleksinya sendiri kita lalu di cermin besar di ruang loker, Aaira membetul-betulkan pula tudungnya sambil membaca,

“Allaahumma kamaa hassanta kholqii fahassin khuluqi..”

yang bermaksud, ‘Ya Allah, sebagaimana Engkau telah cantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku.’ Dibacanya pula selawat dan diaminkan doanya tadi.

Kemudian dia berpusing untuk duduk di sofa yang terdapat di ruang itu. Baru dia menonggek nak duduk, Kak Aisyah memanggilnya. Kak Aisyah adalah seniornya di unit itu.

“Aaira… awak pergi tengok kat pantri. Atas meja, ada barang awak pesakit bagi.” Beritahu Kak Aisyah.

“Haa…siapa pulak yang bagi. Banyak betul hadiah aku hari ni.” Bisiknya sendiri dalam hati.

Err.. haa..siapa bagi Kak Aisyah” Soalnya.

“Apa nama dia ek… emm Mirza ke apa entah. Yang bawa Pakcik Talib dari Wad Kenanga tu. Sekarang dah jadi outpatient. Awak tak ada hari dia datang tu.” Jelas Kak Aisyah

“Oo.. ok ok terima kasih kak” Balas Aaira.

“Kairi lagi…” Aaira hanya tersenyum sendiri sambil menjungkitkan sebelah keningnya.

Dilihat di atas meja pantri ada sekotak kurma yang dibalut comel dengan reben. Ada sekeping kad di celah reben tersebut, tertera ‘Aaira Annayra’ di situ. Aaira mengambil bekas tersebut dan membeleknya. Kurma Ajwa.

Aaira membaca isi kad tersebut.

“Disebut dalam hadis Nabi SAW,

“Barangsiapa setiap pagi memakan 7 biji kurma Ajwa, maka pada hari itu ia akan terhindar dari racun dan sihir.’

H.R. Bukhari no. 5445 dan Muslim no.2047”

Dan Aaira pun tersenyum lagi.

Senyum itu dibawanya sampai ke malam. Lena tidurnya bertemankan mimpi indah. Semoga hari esok turut menjanjikan senyuman manis di wajahnya.

 

PAGI itu Aaira bersiap ke tempat bekerja seperti biasa. Juga bergaduh dengan Ziyad yang kaki mengusik, seperti biasa. Alhamdulillah… tiada apa-apa perkara aneh berlaku padanya lagi. Pemanduannya juga tenang dan lancar.

Hari itu hari bekerja terakhir dalam minggu itu. Aaira turun lebih awal dari wad hari tu. Ramai pesakit yang dirujuk telah dibenarkan pulang oleh doktor. Mikayla pun sama. Leher Aaira dipanjang-panjangkan di ruang legar Unit Rehabilitasi. Dia sudah nampak kelibat Mikayla dari jauh.

Tiba-tiba dia ternampak seseorang yang dikenali. Spontan dipendekkan kembali lehernya. Sudah seperti kura-kura yang menyembunyikan kepala ke dalam cengkerangnya. Mukanya mula terasa panas dan jantungnya mula berdebar-debar. Aaira kelihatan tak tentu arah.

Wey! Kamu dah habis ke? Jomlah kita pergi kafe nak?” Mikayla tiba-tiba menyergahnya. Bagai mahu copot jantung si Aaira yang sedang menyorok-nyorok tu.

Dikerling Mikayla sekilas kemudian diarahkan kembali pandangan ke susuk yang dikenalinya tadi. Bagai dirancang, lelaki itu juga menoleh memandang Aaira. Mereka bertembung mata. Aaira tersentak. Lelaki itu pula melemparkan senyuman manis. Dia bergerak menuju ke arah Aaira. Aaira mula kelam kabut. Mula dibelek-belek dan disusun-disusun entah buku siapa di kaunter utama di situ.

Wey! kamu ni ada masalah pendengaran ke. Aku tanya kamu ni.” Mikayla berang tidak dilayan.

Err.. haa… ha jomlah.” Aaira langsung terlupakan Mikayla di sampingnya.

Dapat dirasakan yang lelaki tadi semakin menghampirinya. Dalam keadaan panik tu,terus disambarnya tangan Mikayla lalu ditarik mengikut langkahnya.

“Eh jomlah.. cepatlah..” Bebel Aaira.

“Eh awak nak bawa saya ke mana ni. Kot ye pun rindu sangat janganlah tarik-tarik macamni. Malu la kite..” Sambil digayakan sebelah  tangannya menutup muka.

Konon-konon malu. Aaira menoleh ke arah susuk yang diheretnya tadi. Kairi!

Automatik dilepaskan pegangan tangannya. Dialih pandangannya ke arah Mikayla yang sudah terbongkok memegang perut ketawa terbahak-bahak. Aduh…!

Malu Aaira bukan kepalang. Mahu saja dia menghilangkan kepalanya ketika itu seperti dalam pertunjukkan silap mata.

“Macam mana boleh tersilap ni…” Rungutnya dalam hati.

Kairi pula tercegat di situ melebarkan sengih.

“Awak rindu sangat kat saya ye…” Sengaja dia mengusik gadis itu yang sudah mula memerah wajahnya.

Eee… merepek. Perasan.. mana ada.” Nafi Aaira selamba. Padahal jantungnya kat dalam macam dah nak terlompat keluar.

“Alaaa… tak rindu kee….” ujar Kairi sambil mencemikkan mulutnya seakan mahu menangis. Matanya pula sengaja dibulatkan ala-ala karakter anime dan dikelip-kelipkannya mengada.

Aaira terlepas ketawa melihat kelakunya. Bersinar mata Kairi melihat gadis idaman hati sedang tertawa gembira di depan matanya. Tubuhnya sudah terasa bagaikan terangkat melayang ke udara. Tak cecah tanah dah!

“Tapi saya rindu awak tauu… Kesian saya tertunggu-tunggu awak call. Sekali pun takde.” Kairi memanjangkan muncungnya, pura-pura kecewa dan merajuk. Sungguh hatinya merindui gadis itu. Pejam mata pun nampak Aaira. Buka mata pun nampak Aaira. Angau!

Aaira cuma membalas dengan tersengih serba salah. Memang tak lah dia nak call. Segan kut! Ada juga beberapa kali dicuba menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp, tetapi apa yang ditaipnya dipadam semula. Akhirnya sampai ke sudah 1 mesej pun tak berjaya dihantar.

“Saya tak kira, saya nak nombor awak sekarang jugak.” Katanya sambil menghulurkan telefonnya kepada Aaira.

“Kalau tak saya jerit guling-guling kat sini.” Sambungnya lagi, tersengih-sengih.

Aaira teragak-agak hendak menyambut telefon yang dihulur.

“Cepatla.. masukkan nombor awak dalam handset saya. Haa… kalau tak.. saya guling ni.. haa..saya gulingg…” Acahnya mengugut sambil melakukan aksi bersedia untuk terguling di bawah.

Aaira mengambil telefon tersebut dan menaipkan sesuatu di dalamnya.

Yessss!!!” Tangan Kairi digenggam dan sikunya dirapatkan ke badan. Suka betul dia.

Aaira menghulurkan kembali telefonnya. Dibelek-belek sekejap sebelum dia bersuara.

“Eh.. salah nama awak save ni.” Ujar Kairi.

“Rasanya aku tulis Aaira je tadi.” Bisik Aaira di dalam hatinya sambil buat muka hairan.

“Bidadariku Aaira…haa baru betul…” Bebel Kairi sambil ditekan-tekan telefonnya.

“Ya ampun… mamat ni kan.. suka hati dia aje. Kuat pulak tu suara dia.” Hati Aaira berbisik geram bercampur malu.

“Awak sihat..?” Tanya Kairi sambil merenung ke dalam mata Aaira. Melunaskan hutang rindu.

Err… Alhamdulillah sihat.. err.. saya minta diri dulu lah. Nak pergi lunch dengan kawan saya. Kesian dia dah lama tunggu. Dia tak boleh makan lambat, nanti dia pengsan.” Laju Aaira memberikan alasan, cuba melarikan diri. Tak pasal-pasal Mikayla difitnah.

“Nak ikuuuttt…” Kairi menggunakan nada manja untuk menyakat Aaira.

Bukan dia tak tahu gadis itu sedang menyembunyikan rasa gugup. Sudah merah pipi putihnya.

“Amboi…. habis Wa kamu ni kamu nak tinggalkan je sorang-sorang kat sini.” Sampuk Pakcik Talib yang dari tadi memerhatikan gelagat mereka.

Tak jauh pun kerusi tempat dia duduk dengan budak berdua tu. Sengaja dia tak bersuara, lucu menonton drama di depan mata. Tak sangka dia anak saudara kesayangannya itu handal betul mengurat perempuan!

Takde lah Wa.. saja je Mir usik Aaira. Suka tengok blusher kat pipi tu jadi makin merah. Comel…” Sangkal Kairi sambil mengusik Aaira.

Ketawa mereka berdua menyakat Aaira. Teruk dia dibuli. Panas aje rasa mukanya. Telinga panas. Hidung panas. Semua panaslah. Kalah rupa dia waktu pertama kali cuba mi segera Ramyeon Samyang yang super spicy tu. Mujur tak keluar asap dari kepalanya.

“Pakcik Talib macam mana sekarang?” Sapa Aaira sambil cover malu.

“Alhamdulillah..dah makin baik dah kaki ni.. kalau kat rumah pakcik tak pakai tongkat dah..” Sahut Pakcik Talib.

“Alhamdulillah…” Aaira terangguk-angguk.

“Assalammualaikum….” Sapa Makcik Sumayyah, isteri Pakcik Talib yang baru keluar dari tandas.

“Waalaikumsalam…” Jawab Aaira sambil mengamati muka wanita sebaya ibunya itu.

“Macam pernahku lihat, tapi di mana ya…?” Omelnya sendiri dalam hati.

“Eh…ni adik yang terbabas hari tu kan…” Tegur Makcik Sumayyah yang turut merenung Aaira. Baru Aaira teringat wanita yang menegurnya ketika itu.

“Hah?!” Terbabas apa? Kereta ke? Kat mana? Bila?” Tanya Kairi kalut.

“Hari tu, masa Wa Chu pergi bank dengan Cik Mah sebelah rumah tu. Wa kamu tak ikut masa tu.” Jelas Makcik Sumayyah.

“Wa Chu nampak sendiri kereta tu berlanggar. Memang nasib baik betul adik ni sempat mengelak. Terseret kereta dia naik ke bahu jalan. Tapi Alhamdulillah tak ada calar sikit pun kereta dia. Memang Allah lindung.” Cerita Makcik Sumayyah lagi.

Kairi tunjuk muka risau. Dia memang lemah betul kalau bab-bab kemalangan jalan raya ni. Trauma sejak kehilangan kedua orang tuanya serentak. Masa dapat tahu bapa saudaranya kemalangan hari tu pun, bagai nak luruh jantungnya. Berlari dia keluar meninggalkan mesyuarat yang sedang berjalan. Kejadian itu berlaku sewaktu dia sedang berada di tempat kerja.

Mujur juga dalam kalut-kalut tu ada kawan sekerja yang sudi menemaninya ke hospital. Dia sudah tak boleh memandu ketika itu. Lemah habis seluruh tubuhnya. Tak henti-henti dia memanjatkan kesyukuran apabila kecederaan yang dialami bapa saudaranya tidak terlalu teruk. Hanya pada mereka berdua sajalah tempat dia menumpang kasih sejak kecil. Usianya baru 5 tahun sewaktu kehilangan kedua orang tuanya. Sudahlah dia anak tunggal, tiada adik beradik.

“Tak ada apa pun…Alhamdulillah saya pun tak ada cedera apa pun masa tu.” Sampuk Aaira pula.

Kairi menarik nafas lega. Wajahnya masih beriak risau.

“Awak hati-hati tau…ulang-alik datang kerja hari-hari. Kalau boleh, awak amalkan baca Bismillahi tawakkaltu ‘allalah la hawla wala quwwata illa billah 3 kali, kemudian sambung dengan Bismillahilladzi la yadhurru ma’asmihi syai’un fil’ardhi wala fissama’i wahuwassami’ul ‘alim juga 3 kali setiap kali awak naik kereta. Besar maksud kedua-dua doa tu. ‘ Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepadaNya, tidak ada daya dan kekuatan kecuali denganNya’…, dan… ‘Dengan menyebut nama Allah yang bersama namaNya sesuatu itu tidak berbahaya di bumi dan di langit. Dan Dia Maha Mendengar lagi Mengetahui…” Panjang Kairi memberi nasihat.

Aaira terangguk-angguk. Memang itu yang diamalkannya setiap kali naik kereta, berserta doa menaiki kenderaan.

“…lepas tu…” Sambung Kairi.

Aik..tak habis lagi.” Bisik Aaira dalam hati.

“…awak tarik nafas..dalam-dalam… pejamkan mata… dan bayangkan wajah kacak saya ni. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah orang tersayang.” Ujarnya dengan nada iklan di tv.

Berderai ketawa mereka dengan keletahnya.

Dalam asyik bergurau-senda dan tertawa mesra, tanpa mereka disedari, ada sepasang mata sedang tajam memerhatikan dari jauh. Mata yang penuh dengan api cemburu dan dendam.




 

No comments:

Post a Comment