Tuesday, May 14, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 11)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 11

PAGI itu Ziyad duduk bersembang di sofa di ruang tamu dengan ayahnya.

“Ada orang nak datang petang ni ayah.” Ujarnya memulakan bicara. Ayahnya berkalih memandangnya.

“Ada budak ni… berkenankan adik. Ikhlas dia sukakan adik.” Ziyad menarik nafas sebelum kembali menyusun kata.

“Kairi namanya. Yang bercuti sekali dengan kami hari tu. Dia dah berbual panjang dengan Ziyad. Dia beritahu niatnya nak melamar Aaira. Dia minta pendapat Ziyad. Jadi Ziyad cadangkan dia datang rumah dulu, jumpa dengan ibu ayah. Senang sikit nak berbincang.” Sambungnya.

“Dah lama ke diorang kenal?” Tanya Pakcik Usman.

Takdelah lama sangat. Baru jugak lagi.” Jawab Ziyad.

“Bagus ke budaknya?” Tanya ayahnya lagi, sedikit risau.

“Setakat yang Ziyad tengok ni, Alhamdulillah.. nampak baik orangnya. Elok perangainya. Dengan Ziyad pun cepat aje dia mesra. Rasa pun macam dah lama kenal. Tak kekok. Umur dia pun muda setahun aje dari Ziyad. Kitorang memang masuk kepala.” Jelasnya lagi.

“Ayah tengoklah sendiri kejap lagi. Boleh kenal-kenal sendiri.” Pintanya sopan.

Pakcik Usman terangguk-angguk.

Aaira terburu-buru turun ke bawah sambil menjinjit beg. Dia dah berjanji dengan Mikayla, Fikri, Fisha dan Syuhada untuk berlatih senam robik bersama-sama sebagai persediaan untuk ‘Karnival Kesihatan Malaysia Sihat’ yang akan diadakan di hospital mereka tak lama lagi.

Mereka telah diamanahkan oleh Encik Azrun untuk mengetuai sesi senam robik bersama para peserta di Karnival itu nanti. Jadi mereka perlu mencipta dan menghafal koreografi yang akan direka bersesuaian dengan lagu yang telah dipilih. Semua itu memerlukan latihan. Sebab itulah dia kena ke hospital juga hujung minggu begini.

“Wah… banyaknya ibu masak hari ni. Macam-macam lauk ada. Adik nak bawa buat bekal sikitlah,boleh?” Tegur Aaira.

Ibu dan abangnya sedang sibuk memasak di dapur bersama-sama. Macam nak menyambut tetamu.

“Ha ambillah. Ambil bekas kat atas sekali belah hujung dalam almari hitam tu.” Makcik Maryam menuding jari ke arah almari yang dimaksudkan.

“Sedapnya….” Ujar Aaira teruja melihat lauk yang diceduknya ke dalam bekas.

Serta merta enjin perutnya diaktifkan oleh bau lazat itu lalu menghasilkan bunyi berkeriuk minta diisi.

“Adik pergi dululah ibu, abang long. Dah lewat ni.” Ujar Aaira sambil menyalami tangan Ziyad.

“Ha pergilah… elok-elok… tak payah salamlah tangan ibu kotor ni.” Balas Makcik Maryam.

Aaira pun beredar ke hospital dengan kereta Myvi kuning kesayangannya.

 

PETANG itu selepas pulang dari berjemaah Zohor di Masjid, Pakcik Usman duduk berehat-rehat di ruang tamu. Makcik Maryam pula masih di dalam bilik, mungkin sedang mengaji. Ziyad pula berada di dapur. Deruan enjin kereta yang meluncur masuk ke perkarangan rumah Pakcik Usman menarik perhatiannya. Dijenguknya melalui tingkap.

“Yam…Ziyad…tetamu dah sampai ni.” Panggilnya memaklumkan kehadiran tetamu mereka.

“Assalammualaikum pakcik..” Sapa Kairi sopan sambil tunduk bersalam dengan Pakcik Usman yang sedia menyambut di depan pintu.

Jantungnya yang sudah memang berdegup laju sejak dari dalam kereta lagi, bertambah sakan. Sampai boleh dengar di telinganya sendiri bunyi degupan tersebut. Gemuruh bukan main.

“Waalaikumsalam…jemputlah masuk..” Sambut Pakcik Usman sambil tersenyum mesra.

“Mana Ziyad pakcik?” Itu pulak yang ditanyanya.

“Mana Ziyad ni…” Hatinya berbisik. Sekurang-kurangnya kalau ada Ziyad mungkin boleh kurang sikit gugupnya.

“Ziyad….! Help meee….! Huwaaaaa” Kairi sudah menjerit memanggil Ziyad dalam hatinya.

“Ziyad ada…sekejap lagi dia datang. Tengah tolong ibu dia kat dapur tu… Marilah duduk dulu.” Pelawa Pakcik Usman.

Kairi menurut langkah Pakcik Usman menuju ke sofa di ruang tamu. Matanya meliar ke sekeliling mencari kelibat Ziyad.

Err…pakcik sihat?” Tegurnya sopan, memulakan bicara.

Itu yang dia nak tanya tadi sebenarnya. Tapi soalan lain yang keluar.

“Alhamdulillah…sihat…” Jawab Pakcik Usman sambil tersenyum.

Bagaikan sedang membaca isi hati anak muda itu sekarang. Dia pun begitu juga dahulu sewaktu kali pertama berdepan dengan bakal bapa mertua.

Seraya itu juga kelihatan Ziyad sedang menatang dulang minuman dari dapur. Makcik Maryam mengekori langkahnya dari belakang. Serentak itu juga Kairi kelam kabut bangun menyambut dulang di tangan Ziyad. Tetapi tangannya sedang menggigil-gigil. Mujur sahaja tak tumpah-tumpah air di dalam jag. Ziyad berusaha semampunya untuk menahan gelak.

“Kau sihat Ziyad?” Tanya Kairi, cuba menutup gemuruh.

Aishh…aku Alhamdulillah…sihat walafiat..” Ketawa Ziyad sudah hampir terbarai.

Err…makcik sihat?” Tanya Kairi pada Makcik Maryam pula.

“Alhamdulillah sihat…” Sahut Makcik Maryam mesra.

“Semua orang dalam rumah ni sihat hah, Alhamdulillah… sekarang bagitahulah.. apa hajat Tuan Hamba datang ke mari..” Sampuk Ziyad, sengaja mengusik.

Err… saya….saya..err..” Kairi tergagap. Peluh dingin mula membasahi dahi.

“Saya apaa?!” Sergah Ziyad, nakal.

Err saya nak kawin dengan pakcik!” Menggelupur Kairi menjawab, terkejut dek sergahan Ziyad.

“Eh, apa aku cakap tadi?” Dia sudah menyumpah dalam hati sendiri.

Dilihatnya Ziyad sudah memegang perut sambil ketawa terbahak-bahak. Makcik Maryam dan Pakcik Usman turut tertawa lucu.

“Cis!... kau gelakkan aku ye Ziyad…sampai giliran kau nanti tahulah nasib kau.” Kairi membebel dalam hati.

“Tapi..pakcik dah kahwin dengan makcik kamu…” Sahut Pakcik Usman dengan ketawa yang masih berbaki.

Kairi menggaru-garu kepala sendiri sambil tersengih. Telinganya sudah merah. Kalau boleh dia mahu lari balik sekarang juga.

Err..macam ni pakcik…saya.. err…saya ikhlas suka pada anak pakcik, Aaira. Err..Ziyad pun tahu. Dia yang cadangkan saya berjumpa dulu dengan pakcik..” Kairi mula menyusun bicara.

Pakcik Usman mengangguk-angguk sambil tersenyum.

Err.. saya berhasrat nak.. emm..meminang anak pakcik kalau pakcik dan makcik tak keberatan…nak jadikan Aaira sebagai isteri saya yang sah…” Kairi cuba mengulang kembali dialog yang telah dihafal berulang kali di depan cermin sejak semalam.

Ziyad mengangguk-angguk. Agak kagum dengan keberanian Kairi berterus terang.

“Nanti bolehlah aku pinjam skrip dia.” Bisiknya sendiri dalam hati, merangka rancangan.

“Boleh makcik tanya, anak ni kerja apa? Dah lama ke kenal dengan Aaira..?” Sampuk makcik Maryam, tidak sabar. Hatinya sudah mula berkenan dengan Kairi.

Err…saya pensyarah di Universiti Teknologi Mara sini makcik.. saya mula kenal dengan Aaira dalam hampir sebulan yang lepas makcik.. Aaira merawat bapa saudara saya yang kemalangan baru-baru ni…” Jawab Kairi lancar.

Kemesraan yang ditunjukkan keluarga itu sedikit sebanyak membantunya untuk bertenang.

“Bapa saudara kamu kemalangan?” Soal Pakcik Usman pula.

“Ya pakcik…, bapa saudara saya, Wa saya, adik ayah saya…Talib Bin Ibrahim. Err…saya tinggal dengan Wad dan Wa Chu sejak berusia 5 tahun…lepas ibu dan bapa saya meninggal dalam kemalangan jalan raya…” Kairi berterus terang dengan sejarah hidupnya.

Innalillahiwainnailaihiroji’un…” Sahut mereka yang lain.

Masing-masing tumpang bersimpati dengan kehilangan yang dialami anak muda itu.

“Pakcik dengan makcik kamu inshaAllah tak ada halangan… kalau tuan punya badan setuju, bolehlah kamu bawa pakcik dan makcik kamu datang…” Balas Pakcik Usman tenang.

Kairi mengangguk-angguk. Separuh hatinya sudah merasa lega.

“Eh marilah, kita makan dulu. Nanti sudah makan boleh berjemaah Asar sama-sama.” Ajak Pakcik Usman.

Sengaja hendak dipastikan dengan mata kepala sendiri, lelaki yang meminta Aaira itu baik agamanya, selain akhlaknya. Walaupun sudah diberitahu Ziyad yang lelaki itu tetap dalam menunaikan solatnya ketika mereka bercuti bersama dahulu.

“Ya Allah…aku menyerahkan segala urusanku, dan urusan keluargaku dalam pentadbiranMu sepenuhnya.. permudahkanlah bagi kami apa yang baik menurutMu…dan lindungilah kami dari perkara-perkara yang tidak baik ya Allah..” Doa Pakcik Usman dalam hatinya.

Gerak hatinya kuat mengatakan anak muda itu baik orangnya. Berkenan dia untuk menjadikannya menantu.

 

LEWAT petang itu baru Aaira pulang ke rumah. Seharian dia berlatih bersama kawan-kawannya di hospital. Sakit habis segala otot kakinya. Dipicit-picit kakinya sambil fikirannya melayang mengingatkan sesi latihan mereka sebentar tadi.

“Weh…dahlah…aku dah tak larat ni… karang aku pengsan kat sini macam mana…” Sungut Mikayla.

Dia sudah terjelepuk duduk di lantai. Tak berdaya lagi rasanya nak meneruskan latihan mereka. Sudah berpuluh kali mereka mengulang-ulang gerak langkah mereka. Sudahlah sebelum itu mereka sibuk mencuba gerakan yang sesuai dengan lagu yang dipilih.

“Kalau kau pengsan, kitorang tinggal je kat sini. Lainlah kalau Aaira, boleh aku dukung bawa ke kereta.” Sahut Fikri, turut menghempas punggung ke lantai.

Dia sendiri pun sudah letih. Akhirnya mereka semua turut duduk di lantai melepaskan lelah.

“Kau tu memang… Aaira aje yang kau peduli..” Sindir Fisha.

“Untunglah kau Aaira…” Sampuk Syuhada pula.

Aaira tak terkata apa. Sibuk menghabiskan air dalam botol. Dahaga.

“Aku rasa cukuplah kut untuk hari ni, kita pun dah dapat step untuk semua lagu. Tinggal nak hafal je. Nanti boleh praktis sendiri kat rumah.” Ujar Fikri.

Kitorang ikut je. Kau kan ketua kumpulan.” Balas Aaira.

Fikri hanya tersengih kepada Aaira. Muka gadis itu yang sudah merah keletihan dan basah dengan peluh ditatapnya penuh kagum.

“Comot-comot pun masih comel.” Getus hatinya. Lalu dikenyitkan mata kepada gadis itu.

 

LAMUNAN Aaira terhenti apabila sudah sampai ke simpang untuk masuk ke rumahnya. Berkerut-kerut dahi Aaira ketika berselisih dengan kereta Honda City berwarna putih yang sedang bergerak keluar dari halaman rumah. Diamatinya susuk lelaki di dalam kereta itu.

“Eh..?! itu kan….!?” Soalnya sendirian.

“Assalammualaikum…” Aaira melangkah masuk dengan kaki kanan sambil memberi salam. Dilihatnya ibu, ayah dan abangnya sedang duduk berbual di ruang tamu.

“Waalaikumsalam… haa adik.. masuklah.. mari duduk sini sekejap, ayah nak bercakap sikit.” Panggil ayahnya. Jantung Aaira menghentam-hentam dinding dadanya, bertindak balas dengan situasi tersebut.

“Kairi datang tadi… dia minta izin ayah dan ibu untuk bawa keluarganya datang merisik dan meminang…” Ujar ayahnya setelah Aaira mengambil tempat di sofa.

“Haa…?” Bulat biji mata Aaira.

Serta merta menderu darah menyerbu naik ke muka. Rasanya kalau dibuka pintu dinding dada Aaira sekarang, pasti sudah berkejaran dia menangkap jantungnya yang meloncat keluar berlari terlompat-lompat di ruang tamu itu. Begitu sekali kuat debarannya ketika itu.

Ziyad dan ibunya sudah tersengih-sengih melihat reaksi Aaira.

“Hah.. kenapa? terkejut? Dia tak ada bagitahu kamu ke?” Soal ayahnya.

Aaira hanya terkebil-kebil tak berkutik di situ.

“Buat muka terkejut pula dia.” Sakat abangnya.

Adik tu pun bukannya makin muda.. tahun ni dah masuk 30. Elok sangat dah kawin. Ibu pun berkenan dengan si Kairi tu.” Sampuk ibunya.

Aaira diam. Memang betul usianya sudah beralih dekad. Entahlah kenapa jodohnya dirasakan agak lambat berbanding rakan-rakan sebayanya. Zaman sekolah dan universiti dulu memang ramai juga yang cuba memikatnya. Tapi satu pun tak dilayannya. Dia menetapkan fokusnya pada pelajaran. Dah kerja nanti baru fikir soal jodoh. Begitu perancangannya.

Tapi bila dah kerja ni, susah pula nak mencari calon. Kalau ditanya pun ada yang pernah meluahkan perasaan atau tidak, hanya Fikri seorang yang terlintas di fikirannya. Itu pun dia cuma mengajak Aaira bercinta, langsung tiada disebut tentang perkahwinan.

“Ha! orang bercakap dengan dia, dia pergi berangan pulak.” Ziyad menyergah adiknya. Tersentak Aaira disergah begitu.

“Adik fikirlah dulu masak-masak… Buat solat istikharah.. minta petunjuk.. nanti bagitahu kat ayah jawapan adik. Tapi janganlah lama sangat. Kesian pula orang menunggu…” Nasihat ayahnya.

“Sudahlah orang tu tak lena tidur.. Nanti makan pun tak kenyang mandi pun tak basah.. tertunggu-tunggu jawapan dari buah hati pengarang jantung..” Terkekek-kekek Ziyad menyakat adiknya.

Aaira mengetapkan bibir geram.

Takpe takpe… ada ubi ada batas…” Ucap hatinya.

 

BEBERAPA hari berlalu setelah itu. Hari-hari yang dirasa begitu meresahkan bagi Kairi. Betullah seperti yang diteka Ziyad. Memang tak lena tidurnya.

Malam itu, Aaira duduk di meja makan sambil berbual dengan ibunya yang sedang mengemas dapur. Seketika kemudian Pakcik Usman menarik kerusi turut melabuhkan punggungnya di situ.

“Macam mana.. adik dah buat istikharah?” Tanyanya pada anak perempuannya.

Lambat-lambat Aaira mengangguk.

“Dah ada keputusan?” Soalnya lagi.

“Ayah rasa macam mana…?” Soalnya kembali setelah terdiam sejenak.

“Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak engkau perbuat (demikian), akan terjadi fitnah di Bumi dan kerosakan yang luas. Riwayat Tirmizi,Ibnu Majah dan al-Hakim.” Ayahnya membacakan sebuah hadis sebelum menyambung bicara.

“Kalau tanya ayah, ayah suka dengan Kairi tu. Hati ayah rasa senang dan selesa dengan dia.” Sambung ayahnya lagi.

“Ibu pun setuju dengan ayah. Hati ibu rasa berkenan.” Sampuk ibunya tiba-tiba.

“Abang long kamu pun cakap macam tu.” Sambungnya lagi.

Aaira diam. Dia pun mengaku, yang hatinya sudah mula rasa sayang pada lelaki itu. Dia rasa selesa dan selamat dengan Kairi. Dari awal lagi pun memang dia dah terpikat. Tapi tak sangka pula secepat itu Kairi melamar. Rasa tak percaya. Macam dalam mimpi.

“Aaira suka Kairi?” Ayahnya bertanya.

Mukanya merona merah. Lambat-lambat kepalanya dijatuhkan, mengiyakan.

“Alhamdulillah….” Ucap Pakcik Usman lega. Ibunya juga terangguk-angguk sambil tersenyum gembira.

“Alhamdulillah… makan nasi minyak lah kita.” sampuk Ziyad yang datang entah dari mana,tiba-tiba terpacul di situ.

Maka berjemaahlah mereka bertiga mentertawakan Aaira yang sedang malu. Nak aje rasanya dia menyorok kat bawah meja tu sekarang.

“Seperkara lagi ayah…” Tutur Ziyad setelah ketawa mereka reda. Ditariknya juga kerusi dan dia melabuhkan punggungnya.

Err…” Kekok dia hendak menyambung.

“Ziyad sebenarnya dah lama berniat nak jadikan Mikayla sebagai isteri.” Ucapnya perlahan.

Memang pun dia sendiri sudah tertunggang terbalik merindukan gadis itu saban hari. Cuma ditunggu masa yang dirasakan sesuai untuk mengungkapkan isi hatinya pada keluarganya.

“Alang-alang nak buat majlis adik ni… err… Ziyad ingat… err…” Bicaranya terhenti. Ziyad menelan liurnya.

“Kamu nak tumpang sekaki?” Laju ibunya menyampuk. Sudah gembira bukan kepalang hati orang tua itu.

Aaira pula rasa nak menjerit kat situ. Tak sangka dia bakal berkahwin serentak dengan teman karibnya. Teringat janji mereka dulu.

“Kamu nak kahwin tunggu aku tau Aaira. Kita kahwin sama-sama. Jangan tinggal aku sorang,kesian aku…” Ujar Mikayla yang masih tersedu-sedu.

Puas dia menangis di tandas dengan ditemani Aaira sejurus memutuskan hubungan dengan tunangnya sebentar tadi.

Ok ok… aku tunggu kamu. Nanti kita kahwin hari yang sama ye..” Pujuk Aaira bersungguh-sungguh.

Dia pun ikut sama menangis tadi melihat kawannya menangis dengan begitu teruk. Mikayla memandang muka Aaira. Sudahnya kedua-kedua mereka tergelak-gelak sambil mengesat air mata dan air hidung.

“Alhamdulillah…. Alhamdulillah ya Allah… mak setuju sangatlah kita buat sekali. Kamu tu pun. Dah masuk kategori terlajak dah. Tahun ni dah 35 umur kan?” Ujar Makcik Maryam gembira, mematikan lamunan Aaira.

“Alhamdulillah…. nanti ayah uruskan,kita pergi meminang Mikayla. Haa lepas tu bolehlah kamu berempat buat persediaan. Tak payah lama-lama bertunang.” Sahut ayahnya.

Pakcik Usman dan Makcik Maryam tak henti-henti memanjatkan kesyukuran pada Tuhan.

No comments:

Post a Comment